Peminat Setia Doktor Pakar

Tuesday, March 04, 2008

Cara Pembersihan Telinga Dengan Betul

SOALAN:
Doktor, saya pernah terbaca dalam artikel kenyataan sebelum ini yang menyatakan ‘Penggunaan putik kapas untuk mengorek telinga harus dielakkan kerana tahi telinga di bahagian luar saluran telinga boleh ditolak masuk ke bahagian dalam dan boleh mengurangkan tahap pendengaran.’

Adakah ini bermakna tahi telinga (wax) boleh dibiarkan sahaja dan tidak dicuci? Sejauh mana pula tindakan ini akan memberi kesan kepada pendengaran?

Bahan apa pula yang sesuai digunakan untuk mencuci telinga? Adakah alat khas untuk mengorek telinga atau larutan khas untuk mencuci wax seperti yang biasa digunakan untuk mencuci telinga haiwan peliharaan?

Hani

JAWAPAN:
Penghasilan tahi telinga adalah berlainan pada individu yang berlainan. Sebagai contoh, individu A mungkin mengeluarkan lebih banyak tahi telinga daripada individu B.

Malah, seseorang juga berkemungkinan mengeluarkan lebih banyak tahi telinga pada sebelah telinga sahaja.

Ini ialah kerana tahap fungsi kelenjar “cerumen” yang terletak di bahagian luaran lubang telinga yang berbeza.

Tahi telinga yang lembut dan berwarna keemasan mempunyai kelebihan dari segi membenarkan gelombang bunyi merentasinya.

Ia juga dapat mengelakkan serangga daripada memasuki bahagian dalam telinga, terutamanya ke bahagian gegendang telinga.

Tahi telinga lembut ini selalunya dapat keluar sedikit demi sedikit dengan sendirinya dan selalunya dapat diperhatikan semasa mengesat di bahagian luar lubang telinga selepas mandi.

Jika seseorang itu menggunakan putik kapas dengan kerap, kebanyakan tahi telinga ini akan dialihkan (ditolak ke dalam) berdekatan gegendang, menyebabkan ia terkumpul dan menjadi kering.

Tahi telinga yang keras, kering dan semakin banyak ini akan mendatangkan kesakitan dan menghalang gelombang bunyi daripada merentasinya. Justeru, pendengaran individu berkenaan akan menjadi semakin berkurangan.

Cara yang baik untuk menjaga telinga ialah dengan hanya membersih bahagian luar lubang telinga menggunakan tuala bersih setiap kali mandi dan bukan menggunakan putik kapas.

Terdapat ubat-ubat tertentu yang boleh mencairkan tahi telinga, tetapi hanya patut digunakan jika disyorkan oleh doktor.

Kadangkala, tahi telinga akan mengembang selepas ubat-ubat ini digunakan dan memerlukan doktor pakar menyedutnya keluar mengunakan mikroskop tanpa mencederakan gegendang telinga.


Ditulis oleh:
Dr Loganathan Athanari
Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT),
Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

1 comment:

  1. Dr. Loganathan Athanari,

    Saya tertarik dengan jawapan daripada Dr. Loganathan Athanari dan ada beberapa soalan susulan untuk Dr., sekiranya individu tersebut mengeluarkan lebih banyak tahi telinga pada sebelah telinga sahaja. Adakah keadaan tersebut adalah tidak normal atau boleh memudaratkan individu tersebut? Dan adakah keadaan tersebut akan berlarutan sehingga individu tersebut besar sekiranya individu tersebut masih bayi/kanak-kanan?

    Mohon maklumbalas daripada Dr. Loganathan Athanari. Sekian, terima kasih.

    Eizam Yusof

    ReplyDelete