Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, June 27, 2012

Aktif Bersenam Pintar Matematik

Bijak dalam subjek Matematik menjadi salah satu kelebihan kanak-kanak yang aktif khususnya mereka yang mengalami obesiti.

Senaman biasa boleh menambah kemampuan kanak-kanak obes, yang biasanya hanya duduk diam, untuk berfikir, membuat pelbagai rancangan, bahkan bertambah baik dalam Matematik.

Demikian penemuan oleh pengkaji di Universiti Sains Kesihatan Georgia, Amerika Syarikat (AS).

Mengapa mata pelajaran Matematik? Tidak dijelaskan sebabnya, namun alasan utama kerana Matematik adalah subjek yang memiliki tahap kesukaran yang lebih tinggi berbanding mata pelajaran lain.

Para pengkaji juga berharap agar bukan kanak-kanak obes sahaja yang perlu bersenam setiap hari, bahkan mereka yang bertubuh normal. Penyelidikan tersebut didasarkan pada kajian ke atas 171 orang kanak-kanak terlebih berat badan berusia antara tujuh hingga 11 tahun di AS.

Setelah melakukan senaman setiap hari, terdapat perkembangan yang sangat signifikan dari segi kecergasan dan penguasaan mereka dalam matematik. Menurut laman web Pysch Central, selepas dilakukan imbasan MRI terhadap otak kanak-kanak tersebut, terdapat peningkatan aktiviti otak di korteks prefrontal iaitu kawasan yang digunakan untuk berfikir.


MATEMATIK memerlukan tumpuan yang lebih untuk menguasainya.

Selain itu, kecerdasan otak (IQ) turut bertambah. Semakin kerap mereka bersenam, semakin tinggi IQ mereka. Rata-rata berlaku peningkatan sebanyak 3.8 mata untuk mereka yang bersenam selama 40 minit sehari selama tiga bulan.

Senaman yang dilakukan adalah pelbagai. Ini termasuk berlari, lompat tali dan bersenam.

Semua aktiviti itu juga merangsang otak. Ini memandangkan senaman membuatkan aliran darah serta oksigen ke otak berjalan lancar.

Faktanya, seseorang tidak mungkin boleh bergerak jika otaknya tidak aktif. Untuk aktif, oksigen diperlukan sekali gus menjadikan kedua-dua aktiviti dan oksigen saling berkait.



Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my/

Saturday, June 23, 2012

Kanser Boleh Diubati

Sebut saja kanser semua pasti gerun dan terbayang rawatan kemoterapi dan radioterapi. Apa menyebabkan kanser dan bagaimana kita mendefinisi penyakit kanser. Pakar Runding Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Muhammad Azrif Ahmad Annuar berkata, kanser adalah penyakit ketumbuhan yang bermula dengan sel normal.

"Tetapi disebabkan bahan karsinogen, sel normal mengalami mutasi atau perubahan genetik.

"Sel normal yang membiak tanpa kawalan atau benign tidak membiak dengan laju dan tidak merosakkan tisu keliling," katanya.

Bagaimanapun ketumbuhan boleh menjadi malignant yang membentuk kanser dan boleh merosakkan tisu dan merebak ke tulang, darah, paru-paru, hati dan otak.

Sel 'superman' ini, kata Dr. Azrif mulanya normal kemudian bermutasi menjadi sel kanser yang mempunyai kuasa untuk merebak ke bahagian lain.

"Misalnya kanser paru-paru bermula daripada lapisan paru-paru yang penuh dengan bebola kecil di mana udara masuk ke permukaan.

"Asap rokok yang masuk ke paru-paru membawa lebih 200 bahan karsinogen yang menyebabkan sel normal cedera dan rosak," katanya.

Biasanya badan dapat membunuh sel rosak tetapi ada kalanya sel yang rosak tidak dapat diperbaiki. Sel badan yang didedahkan dengan bahan karsinogen secara berterusan akan bermutasi, masuk ke dalam saluran darah dan merebak ke bahagian lain.

Dr. Azrif berkata, kanser merupakan penyakit biasa di negara ini. Biasanya wanita lebih cenderung mendapat kanser payudara, kolorektor dan serviks manakala lelaki pula dengan kolorektor, paru-paru dan prostat.

Kenapa kanser payudara terletak nombor satu? Apabila wanita didiagnosa pada usia 40 atau 50 tahun risiko kanser payudara lebih tinggi pada kaum Cina berbanding Melayu dan India.

Risiko kanser payudara juga rendah jika perempuan bersalin banyak kali pada usia muda dan menyusukan anak.

Interaksi dengan alam sekitar, gaya hidup, pencemaran dan bahan makanan boleh menyebabkan kanser. Setiap manusia mempunyai metabolisme yang berlainan menyebabkan cara memecahkan penyakit juga berbeza.

Terdapat lebih 200 jenis kanser manakala kanser yang jarang ditemui di negara ini adalah kanser kulit melanoma dan kanser pankreas.

Kanser pankreas sukar dikesan kerana terletak di belakang perut. Kedudukannya yang terlindung, tidak mempunyai saraf menyebabkannya sukar dikesan dan hanya dikesan selepas merebak ke tempat lain seperti hati dan paru-paru.

Kanser pankreas peringkat 1 biasanya boleh dibedah dan dibuang tetapi selepas lima tahun biasanya hanya 20 peratus saja masih hidup. Pengesanan awal memberikan peluang pesakit kanser hidup lebih lama.

"Punca kanser pankreas masih belum diketahui dan paling sukar dikesan kerana tiada ujian pengesanan awal," katanya.

Kanser pankreas tidak seperti kanser payudara yang boleh dikesan melalui mamogram, serviks dengan pap smear.

Risko kanser boleh dikurangkan dengan pengesanan awal, gaya hidup sihat, berat badan ideal, diet sihat dan senaman.

Rawatan kanser terbahagi kepada dua iaitu radioterapi hanya kawasan sasaran dan kemoterapi seluruh badan.

Bagaimanapun disebabkan kesedaran kanser, angka kematian akibat kanser pada akhir 1990an rendah berbanding 10 hingga 15 tahun lalu.

"Kini dua pertiga pesakit kanser dapat disembuhkan dengan pengesanan awal dan rawatan," katanya. Bagaimanapun golongan warga emas dan pesakit kencing manis dan darah tinggi berisiko mendapat kanser.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Tuesday, June 19, 2012

Jauhi Tabiat Onani

SOALAN :

Saya tidak keras dan susah menegang. Ia mungkin kesan daripada kekerapan saya melakukan onani satu masa dulu. Sehingga ini, saya masih dihantui masalah itu.


Kimi,
Pahang

JAWAPAN:

Untuk lelaki, zakar satu-satunya organ yang sukar dikawal minda. Bayangkan, sejak di dalam perut ibu, zakar menunjukkan fungsinya apabila doktor mudah mengenal pasti jantina anak lelaki ketika janin yang cukup sifat mencapai ereksi.


Ereksi janin lelaki kerap berlaku, lebih-lebih lagi ketika mahu membuang air kecil, dan proses ini kekal sehingga bayi lelaki itu mahu dilahirkan.

Kanak-kanak lelaki mula mengenali ereksi apabila dia menyentuhnya. Sememangnya anggota itu sensitif kepada sentuhan dan apabila teruja, ia akan tegang.

Proses akil baligh membuatkan anggota kelamin itu lebih aktif akibat tindak balas hormon testosteron dan membuatkan perasaan menjadi teruja dengan pengeluaran air mani.

Apabila perasaan itu dapat dikawal, proses ereksi juga dapat dikawal kecuali ereksi spontan seperti ereksi pagi dan ereksi akibat sentuhan kepada zakar.

Anda boleh tahu anggota kelamin anda menjalankan fungsinya apabila merangsangnya. Apabila anggota itu keletihan, tindak balasnya kurang dan ketika itu ia tidak akan mengikut kehendak anda.

Ia tidak akan keras atau menegang seperti yang anda mahu. Jadi tanggapan bahawa anggota kelamin anda tidak atau kurang tegang pada waktu pagi atau pada waktu ia sepatutnya menegang disebabkan aktiviti onani, memang tepat.

Anggota kelamin mempunyai fungsi tertentu. Ia mengikut ragam fungsinya dan bukan ragam tuannya. Jauhi tabiat onani kerana ia hanya mendatangkan keburukan.

Elak memberi tekanan kepada anggota kelamin anda. Insya-Allah, ia akan jadi sihat dan sempurna.



Ditulis oleh: Dr Ismail Tambi 
Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my/

Friday, June 15, 2012

Sukar Capai Ejakulasi

SOALAN:


Saya baru berusia 21 tahun. Yang membimbangkan saya sekarang ialah, saya sukar mencapai ejakulasi. Kadangkala saya perlu berbaring untuk mencapai ejakulasi dan ia mengambil masa lebih setengah jam.


Adakah ini satu penyakit dan bagaimana mahu merawatnya? Untuk pengetahuan doktor, saya pernah mengadakan hubungan seks dengan teman wanita serta kerap melakukan onani. 


Saya juga pernah menghidap sifilis tapi sudah sembuh. Masalah lambat ejakulasi dikesan selepas saya pulih daripada penyakit berkenaan. 


Putera
Kuala Lumpur 


JAWAPAN:


Memandangkan anda terbabit dalam aktiviti seks rambang sejak muda dan pernah dijangkiti penyakit kelamin, anda mungkin tidak menyedari bahawa anda juga membawa penyakit kelamin lain walaupun dikatakan sembuh. 


Kajian mendapati 80 hingga 90 peratus individu yang terbabit dengan aktiviti seks rambang, tidak tahu mereka terkena jangkitan penyakit sifilis lain seperti herpes, HPV (kuman virus Papilloma), hepatitis B, chlymidia dan HIV kerana kebanyakan jangkitan itu tidak menunjukkan kesan ketara kepada pembawa. 


Orang yang menjadi mangsa ialah pasangannya apabila berkahwin kelak. 


Mengenai masalah ejakulasi anda, jika ujian darah yang dilakukan menunjukkan anda bebas sepenuhnya daripada sifilis, ia mungkin berpunca daripada masalah lain. 


Selain penyakit kronik seperti kencing manis, masalah urat saraf, penyakit prostat seperti keradangan prostat, stres, keletihan, kurang minat terhadap pasangan dan keresahan juga boleh mengakibatkan lambat ejakulasi. 


Masalah ini juga boleh berlaku jika orang yang mengalaminya mengambil alkohol atau dadah. 


Yang boleh saya katakan, anda mungkin mudah bosan melakukan hubungan seks dengan satu pasangan kerana anda sudah biasa sangat dengannya. Jadi, hubungan seks tidak lagi sesuatu yang istimewa buat anda. 


Cara terbaik ialah hentikan aktiviti seks rambang dan jalani ujian darah untuk mengesan jika virus penyakit kelamin itu masih wujud. 




Ditulis oleh: Dr Ismail Tambi 
Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my/

Monday, June 11, 2012

Cabaran Intim di Usia Emas

“Aku dah tualah. Tak larat dah.” Ini antara kata-kata pasangan tua berusia 50 tahun ke atas setiap kali diajukan pertanyaan mengenai hubungan seks.

Dalam erti kata lain, hampir seluruh masyarakat menganggap pasangan warga emas tidak boleh dan tidak layak lagi mengadakan hubungan seks.

Namun, tahukah anda hubungan seks sebenarnya tiada had umur kerana naluri, nafsu dan syahwat kekal hingga akhir hayat. Bagi wanita dan lelaki warga emas yang masih ingin melakukan hubungan seks, mereka perlu bersedia.

Ada beberapa cabaran dihadapi, antaranya ialah faraj isteri kering, kesat, pembukaan faraj sempit dan mengecut, manakala zakar suami tidak dapat ereksi lama dan kurang kepadatannya.

Faraj yang masih ada kemampuan melahirkan zuriat, berada dalam keadaan gebu, lembut dan mudah meluas. Ini kerana kesan dan pengaruh hormon kewanitaan estrogen kepada kulit dan otot lantai pelvis.

Apabila wanita putus haid dalam masa lima tahun, kulit menjadi kesat dan faraj jadi sempit jika persetubuhan jarang atau tidak dilakukan.

Cara menjaganya supaya sentiasa lembut dan tidak sempit ialah menyapu losen pelembap atau krim perapi anggota sulit perempuan krim kepada bahagian luar iaitu di bibir besar dan kecil.

Selain itu, boleh menggunakan jeli seperti jeli K-Y atau Top Gel untuk melegakan pembukaan faraj supaya pembukaan faraj tidak sempit.

Wanita juga boleh gunakan batang plastik yang dikenali sebagai alat pelega atau ‘dilator’ untuk melegakan pembukaan faraj supaya sentiasa dalam keadaan bersedia bagi memudahkan suami melakukan tusukan ke dalam faraj tanpa wanita itu berasa sakit.

Ini satu pendekatan untuk mengelakkan faraj daripada menjadi tidak berguna. Lelaki yang mengalami lemah tenaga batin iaitu gagal mencapai ereksi sesuai untuk melakukan hubungan seks boleh berjumpa doktor untuk rawatan moden.

Rawatan moden seperti pengambilan ubat PDE-5 Inhibitor seperti Viagra, Cialis atau Levitra dapat membantu meningkatkan kemasukan darah ke dalam otot zakar dan memantap serta memadatkan ereksi supaya mudah untuk menyalurkan ereksi ke dalam faraj.


Ditulis oleh: Dr Ismail Tambi 
Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my/

Thursday, June 07, 2012

Suami Perlu Tahan Lama Dalam Hubungan Seks

Dalam setiap perkahwinan, seks antara pelengkap kebahagiaan. Hubungan seks yang menyeronokkan membantu setiap pasangan menjalani kehidupan dengan lebih sempurna.

Tidak dinafikan, kegagalan dalam hubungan seks mampu menjadikan rumah tangga berantakan hingga membawa kepada perceraian! Saya kerap dihujani pertanyaan daripada lelaki yang gagal dalam persetubuhan apabila ketegangan atau ereksi kemaluan tidak bertahan lama. Apabila mahu memasukkannya, ia mengendur! Ia berbeza jika mereka melakukan onani, di mana zakar dapat ereksi lebih lama.

Masalah sedemikian boleh menyebabkan tekanan kepada suami kerana tidak dapat memuaskan isteri, manakala isteri pula pasti kecewa.

Untuk mengatasi masalah itu, anda perlu memantapkan otot kemutan supaya ereksi dalam keadaan tegap dan padat. Otot kemutan digunakan untuk menahan najis dan kencing.

Jika kekuatannya sempurna, otot kemutan boleh dikekalkan kemutan ketika bergerak atau berdayung sewaktu bersama.

Apabila terasa hendak klimaks, hentikan pergerakan dan apabila perasaan hendak klimaks itu hilang, teruskan dayungan dengan memadatkan kemutan! Lakukan senaman kemutan atau ‘kegel’ (mencengkam otot pembukaan lubang najis dan lubang kencing) 10 hingga 20 kali setiap sesi. Dalam sehari, anda boleh melakukan sekurang-kurangnya empat sesi.

Ada juga lelaki mengalami keciciran darah daripada salur ven ketika ereksi dan lama-kelamaan, ereksi menjadi kendur jika tiada rangsangan. Ereksi kekal ketika onani kerana rangsangan dilakukan dengan tangan.

Ini tidak berlaku ketika bersetubuh dengan pasangan kerana rangsangan daripada isteri tidak sama dengan tangan, tambahan pula apabila individu itu terikat dengan tabiat onani!


Ditulis oleh: Dr Ismail Tambi 
Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my/

Sunday, June 03, 2012

Ejakulasi Ke Belakang

Saya menerima e-mel daripada beberapa pembaca mengenai kegagalan mengeluarkan air mani walaupun mencapai kepuasan dalam hubungan seks. Mereka terasa hendak membuang air kecil selepas melakukan hubungan seks dan ketika itu, air mani serta kencingnya keluar sekali.

Masalah ini dikenali sebagai ‘retrograde ejaculation’ atau ejakulasi ke belakang iaitu ejakulasi ke dalam pundi kencing.

Ia sering berlaku kepada lelaki yang menghidap kencing manis kerana kerosakan urat saraf yang terbabit dengan sistem kawalan ejakulasi.

Bagi lelaki yang mengalami masalah ini, apabila pintu yang membuka ruang salur kencing dari kawasan pundi prostat tidak terbuka ketika ejakulasi, air mani terus masuk ke dalam pundi kencing, yang mana ketika itu pintu pembukaan pundi kencing terbuka!

Ada juga lelaki mengalami masalah sama akibat kesan sampingan ubat tekanan darah tinggi jenis ‘alpha-blockers’. Kini ubat itu jarang digunakan doktor. Ada lelaki yang pernah menjalani pembedahan prostat mengalami masalah serupa.

Pembedahan prostat atau apa-apa prosedur untuk melonggarkan salur kencing boleh menyebabkan pintu dalam corong salur kencing antara kawasan prostat tertutup.

Air mani yang termasuk ke dalam pundi kencing akan terdedah kepada air kencing yang berasid dan berkuman, menyebabkan sperma itu lemah dan mati.

Bagi lelaki yang mengalami masalah ini, cara berkesan untuk membuat isteri hamil ialah melalui kaedah menapis sperma aktif daripada air kencing dan membersihkannya sebelum disalurkan ke dalam rahim isteri ketika isteri subur.

Kaedah ini hanya boleh dilakukan oleh pusat perubatan yang menyediakan khidmat itu. Anda boleh rujuk kepada pusat perubatan terdekat untuk mengetahui sama ada mereka menyediakan kaedah itu.

Anda juga boleh melakukan hubungan seks dengan pundi kencing separa penuh (berasa seperti mahu buang air kecil tetapi boleh tahan).

Dalam keadaan itu, jika berlaku klimaks, ejakulasi boleh berlaku dan ada sedikit kemungkinan air kencing tercicir sedikit! Kadangkala ubat yang merangsangkan saraf seperti ubat ‘simpato mimitic’ boleh membantu. Semua rawatan ini hanya diberi di klinik atau hospital.

Selain itu, air kencing boleh diperiksa selepas melakukan hubungan seks dan klimaks untuk memastikan sama ada sperma wujud di dalamnya.

Doktor juga boleh memberi ubat untuk melegakan injap supaya ejakulasi boleh berlaku ke depan.


Ditulis oleh: Dr Ismail Tambi
Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my/