Peminat Setia Doktor Pakar

Friday, August 31, 2012

Kemurungan Boleh Dirawat


SOALAN :

Saya mempunyai seorang rakan yang boleh dikategorikan menghidap kemurungan. Masalah yang dihidapinya bukan sahaja menjejaskan hubungannya dengan keluarga seperti menguruskan suami dan anak-anak, malah merebak kepada rakan-rakan sekerja. Dia menjadi pendiam dan sering syak wasangka pada orang sekeliling. Apakah yang menyebabkan seorang wanita menjadi murung dan apakah kesan kemurungan kepadanya? Adakah ubat antimurung boleh membantu rakan saya?

Hajar, 
Kuala Lumpur

JAWAPAN :

Kemurungan adalah penyakit mental yang menyebabkan perasaan (mood) seseorang individu menjadi semakin menurun. Ini akan menjejaskan kehidupan seharian individu tersebut termasuklah pemikiran, perasaan, tingkah laku dan kesejahteraan seseorang itu.

Kemurungan yang tidak diberi rawatan sewajarnya boleh menyebabkan seseorang bertindak agresif sehingga berkeinginan membunuh diri.

Memang tidak pelik bagi golongan yang mengalami kemurungan yang kronik berisiko tinggi menghidapi masalah jantung kerana tekanan dan stres adalah salah satu penyebab penyakit jantung.

Ada pesakit dan ahli keluarga tidak mengambil berat penyakit kemurungan ini walaupun terdapat rawatan seperti ubat-ubatan dan kaunseling. Mungkin masyarakat tidak sedar bahawa masalah mental adalah penyakit sepanjang hayat dan ia boleh berulang-ulang tanpa mereka sedari. Justeru pesakit tidak boleh berhenti mengambil ubat sewenang-wenangnya tanpa nasihat pakar psikiatri. Namun, disebabkan prejudis masyarakat, pesakit dan ahli keluarga tidak mahu mendapatkan rawatan.

ParanoiaPada pengamatan saya, kawan anda sedang mengalami kemurungan dengan paranoia. Paranoia adalah gangguan mental yang merujuk pada seseorang yang percaya atau bersyak wasangka bahawa orang lain sentiasa mengancam dirinya (walaupun pada hakikatnya tidak). Elok anda segera mengesyorkan rawatan kemurungan yang dialami oleh kawan anda ini. Masalah yang dialaminya sudah serius.

Terdapat pelbagai faktor yang dapat meningkatkan kemurungan iaitu faktor tekanan diri, kurang yakin pada diri sendiri dan perasaan kendiri yang rendah, kehilangan daya kawalan ke atas perlakuan-perlakuan individu, pengalaman sosial yang menyakitkan seperti kematian orang yang sangat disayangi, perceraian atau kegagalan dalam peperiksaan juga boleh menyumbang ke arah kemurungan. Pengaruh emosi seperti menghadapi tekanan hidup seringkali juga menjadi punca masalah kemurungan.

Selain punca-punca yang dinyatakan di atas, faktor biologi individu terbabit juga boleh menjadi penyebab penyakit kemurungan. Antara faktor biologi tersebut adalah ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak.

Dipercayai bahawa ketidakseimbangan bahan kimia yang dipanggil neurotransmiter serotonin di bahagian otak akan menyebabkan seseorang itu mengalami kemurungan. Serotonin inilah yang terlibat dalam proses pemikiran dan mengawal emosi. Oleh itu apabila berlaku ketidakseimbangan bahan kimia tersebut, otak tidak lagi mampu menyelaraskan proses pemikiran dan emosi dengan baik. Apabila perkara ini berlaku, ia akan menjejaskan proses pengeluaran kata-kata, ingatan dan daya tindak seseorang manusia dan akhirnya akan wujudlah masalah kemurungan.

GenetikKemurungan juga berlaku lebih kerap kepada seseorang yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap kemurungan. Oleh itu ada kemungkinan kemurungan ini boleh diwarisi melalui genetik atau keturunan. Ia juga boleh disebabkan oleh sesetengah ubat darah tinggi. Sekiranya ini berlaku, kemurungan itu akan beransur hilang dengan sendirinya apabila ubat-ubatan tersebut diberhentikan. Oleh itu jika seseorang itu sedang mengambil ubat-ubatan, sila pastikan dengan doktor terlebih dahulu sama ada ubat-ubatan tersebut mungkin punca pesakit mengalami kemurungan ataupun tidak.

Daripada kenyataan di atas, dapat dirumuskan bahawa penyakit ini berpunca daripada pelbagai faktor yang merangkumi genetik, psikologi dan yang ada kaitan dengan proses perkembangan personaliti dan sebagainya.

Sepanjang rawatan, emosi pesakit akan bertambah baik dan kesakitan fizikal dialaminya juga semakin berkurangan. Ahli keluarga juga memainkan peranan membantu memulihkan pesakit murung dengan memahami keperluan dan manfaat ubat yang kadangkala boleh membuatkan mereka berhenti mengambil ubat tanpa berbincang dengan doktor.

Ramai pesakit dan ahli keluarga tidak sedar bahawa memberhentikan pengambilan ubat kemurungan secara tiba-tiba menyebabkan kemurungan menyerang semula. Ini bermakna risiko pesakit untuk mengalami kemurungan selepas berhenti mengambil ubat adalah sangat tinggi.

Setelah tanda-tanda penyakit dapat dikawal dengan mengambil ubat secara teratur, satu rancangan pemulihan yang lengkap dan komprehensif harus diatur supaya pesakit dapat kembali berfungsi di dalam masyarakat seperti sediakala. Sebahagian daripada pusat kesihatan dilengkapi unit pemulihan psikososial di dalam komuniti bagi membantu kawan anda pulih daripada penyakit dan mengembalikan keyakinan diri untuk bekerja dan berinteraksi dengan masyarakat. Jangan biarkan kawan anda terus merana. Bantulah dia untuk mendapatkan rawatan dengan kadar segera.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Friday, August 24, 2012

Jerebu Tingkatkan Serangan Asma


Apabila udara diselubungi jerebu dan dipenuhi dengan bahan-bahan pencemar, sudah pasti kita semua tidak sabar-sabar untuk berada di dalam rumah. Pencemaran udara adalah suatu masalah bagi semua orang, bukan hanya untuk mereka yang mempunyai penyakit respiratori.

Jerebu adalah satu fenomena yang sentiasa melanda negara kita dan banyak negara jiran yang lain. Ia adalah disebabkan oleh zarah-zarah atau habuk-habuk halus yang terapung di atmosfera dalam kepekatan tinggi dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Kesan jerebu terhadap kesihatan umum kanak-kanak biasanya ringan dan boleh dirawati dengan mudah. Paling teruk, ia boleh menyebabkan gejala-gejala seperti kerengsaan mata, hidung atau ruam.

Namun, jika anak anda mempunyai sejarah masalah respiratori, sinusitis dan alergi kulit, kesihatannya mungkin lebih terancam semasa musim jerebu. Jika anak anda mempunyai asma, maka dia mungkin mengalami gejala yang lebih teruk.

Serangan asma berlaku apabila seseorang kanak-kanak itu mengalami episod sesak nafas yang berulang-ulang dan bunyi nafas yang berdehit disebabkan oleh kebengkakan pada tiub bronkus yang seterusnya menyempitkan saluran pernafasan dan mengurangkan aliran udara yang masuk dan keluar dari paru-paru.

Sebab utama mengapa jerebu boleh menjejaskan kanak-kanak yang mempunyai asma dengan teruk:

* Mereka sering bermain di luar rumah

* Mereka mempunyai kadar pernafasan yang lebih cepat

* Paru-paru mereka masih berkembang

* Paru-paru mereka adalah lebih sensitif Gejala-gejala yang perlu berjaga-jaga:

* Bunyi nafas yang berdehit

* Batuk semasa tidur

* Kesukaran untuk bernafas

* Dada berasa ketat

Anak anda mungkin mengalami keresahan semasa tidur, rongga hidung membesar, bernafas melalui bibir yang memuncung, kelesuan, sesak nafas, muntah dan bernafas dengan cepat. Terdapat juga banyak amaran yang jelas bagi asma, ini termasuk bunyi nafas yang berdehit, berdehem dengan kerap dan batuk tanpa mengalami selsema. Ia adalah penting untuk mengawasi tanda-tanda ini.

Dalam kes-kes yang teruk, saluran pernafasan menjadi begitu sempit sehingga anak anda tidak dapat bernafas dengan secukupnya dan ini boleh mengakibatkan keadaan yang boleh membawa maut.

Gejala-gejala ini disebabkan oleh penyempitan saluran udara sehingga mengurangkan aliran udara yang masuk dan keluar dari paru-paru.

Kajian menunjukkan terdapat hubung kait yang konsisten antara kualiti udara dan gelaja asma yang teruk. Semasa musim jerebu, ia telah terbukti bahawa peningkatan dalam bahan-bahan pencemar udara akan mengurangkan fungsi paru-paru disebabkan oleh keradangan pada lapisan paru-paru. Saluran pernafasan akan bertindak balas secara keterlaluan untuk mencetuskan dan merangsangkan banyak perubahan yang dikaitkan dengan keradangan. Ini menjelaskan mengapa kekerapan kejadian asma dan jangkitan bahagian atas sistem pernafasan meningkat semasa musim jerebu.

Ubat pelegaOleh sebab asma adalah satu keadaan yang kronik, ia tidak boleh diubati dan memerlukan rawatan dengan gabungan satu alat sedut untuk kelegaan segera dan satu ubat pencegah untuk kawalan jangka masa panjang.

Ubat pelega adalah satu alat sedut yang melegakan saluran pernafasan dan diguna kan apabila berlakunya serangan asma. Ubat pencegah adalah satu alat sedut yang diguna setiap hari (walaupun tiada serangan asma) untuk mengurangkan keradangan dalam saluran pernafasan dan membantu untuk mengelakkan serangan yang selanjutnya.

Oleh itu, ia adalah sangat penting para guru dan jurulatih sedar tentang risiko yang boleh dihadapi oleh kanak-kanak yang mempunyai asma semasa musim jerebu.

Jika tahap pencemaran udara adalah tinggi, sukan di luar bangunan boleh digantikan dengan aktiviti fizikal dalam bangunan, bergantung kepada bagaimana anak anda mengatasinya.

Petua melindungi anak anda terhadap jerebu:

* Berada di dalam rumah sebanyak mungkin. Elakkan sebarang sukan dan aktiviti di luar rumah untuk mengurangkan pendedahan kepada pencemaran.

* Memerhatikan ramalan cuaca. Banyak ramalan cuaca memberi maklumat tentang indeks kualiti udara dan keadaan lain yang boleh menjejaskan asma.

* Tutup pintu dan tingkap. Jika anda menggunakan penyaman udara, bersihkan penurasnya dengan kerap untuk meningkatkan dan mengekalkan kualiti udara dalam rumah.

* Jika anda perlu keluar dari rumah, ingatlah bahawa menutup hidung dan mulut dengan sapu tangan adalah tidak berkesan kerana habuk-habuk terlalu halus dan boleh menembusi kain biasa. Sentiasa menggunakan topeng apabila keadaan jerebu adalah teruk.

* Jika anak anda mengalami keresahan mata, titiskan beberapa titik larutan bergaram (boleh didapati di kebanyakan farmasi) ke dalam matanya untuk membantu melegakan keresahan.

* Amalkan kebersihan yang baik dengan mandi secara tetap dan mencuci tangan dengan kerap semasa anda masuk ke dalam rumah.

* Kekalkan hidrasi dengan meminum air dengan kerap. Pastikan anak anda mendapat cecair mencukupi dan rehat secukupnya.

* Satu cara lain untuk meningkatkan sistem imun bayi anda adalah dengan menyusuinya.

* Jangan merokok dan jauhi perokok. Pastikan anda menjauhkan anak dan diri anda daripada perokok.

* Jangan memakai kanta lekap apabila keadaan jerebu menjadi teruk.

* Pastikan ubat pelega berada bersama anda sepanjang masa. Pengambilan ubat-ubat ini seperti yang ditetapkan boleh mencegah serangan asma dan membantu anda mengendalikan pencetus-pencetus dengan lebih baik.

* Akhir sekali, bincang dengan doktor anda tentang pelan pengurusan asma anak anda. Dengan adanya satu pelan pengurusan peribadi dan dengan mengikutinya, ia akan membantu anda mengawal gejala dengan baik.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Friday, August 17, 2012

Mata Di Ambang 40-an


Usia tidak mampu dihindari. Semakin bertambah angka, pelbagai organ tubuh turut terjejas dan semakin menurun prestasinya.

Jantung, paru-paru dan buah pinggang antara yang terkesan akibat proses penuaan lalu menjejaskan kesihatan malah nyawa.

Bagusnya, orang kita semakin sedar kepentingan menjaga kesihatan dengan melakukan pelbagai pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah, paras gula dan pelbagai lagi.

Namun, pemeriksaan mata kurang diberi penekanan. Tahukah anda, kebarangkalian untuk menjadi buta tanpa melihat sebarang simptom amat tinggi terutamanya mereka yang berusia 40 tahun ke atas?

Glaukoma iaitu kerosakan pada saraf optik antara punca kebutaan yang berlaku secara senyap tanpa menunjukkan sebarang simptom dan sebenarnya ia mampu dirawati jika melakukan pemeriksaan mata lebih awal.

Dekan International Medical School, Management & Science Universiti (MSU) dan Pakar Perunding Oftalmologi, Profesor Dr. Normalina Mansor berkata, ramai individu yang menjadi buta akibat glaukoma kerana lambat melakukan pemeriksaan.

"Ramai yang tidak perasan mata juga sama penting seperti organ-organ lain dan perlu diberi perhatian dengan melakukan pemeriksaan terutamanya mereka yang berusia 40 tahun ke atas.

"Ini kerana, sistem dan organ-organ badan akan terjejas apabila kita semakin berusia termasuklah mata.

"Kebanyakan individu hanya berjumpa dengan pakar mata apabila keadaan mata semakin teruk atau berada di tahap yang tidak mampu dirawati.

"Mereka terkejut apabila saya maklumkan masalah mereka seolah-olah perkara sedemikian tidak akan berlaku sedangkan ia berubah mengikut usia.

"Jangan sekadar melakukan pemeriksaan tahap kerabunan di kedai-kedai cermin mata kerana mereka tidak dapat mengesan lebih mendalam tentang masalah mata kecuali di klinik pakar mata," ujarnya ketika ditemui di Klinik Pakar Dr. Normalina, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, baru-baru ini.

Empat jenis masalah mata yang menjadi punca utama kebutaan adalah glaukoma, katarak, degenerasi makula dan diabetik rinepati.

Terang Normalina, pelbagai lagi masalah mata lain akibat usia yang semakin menganjak boleh menjejaskan kehidupan harian.

Selain buta, sekurang-kurangnya individu yang mempunyai masalah mata mengalami rabun dekat atau jauh, ketidakselesaan, kabur penglihatan dan imej yang tidak lurus.

Berikut antara masalah mata yang sering dihadapi mereka yang berusia 40 tahun ke atas.


Ditulis oleh: Raja Intan Dianna Raja Azaham
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Friday, August 10, 2012

Ubah Gaya Hidup Lawan Kanser


Bila doktor beritahu saya kena kanser tahap empat, rasa dunia saya gelap. Macam-macam yang saya fikir ditambah pula dengan perasaan takut, risau dan kadang-kala tidak tahu apa yang perlu saya lakukan.

"Beliau menyarankan saya segera menjalani pembedahan kerana kanser prostat saya di tahap yang serius.

"Saya terduduk dan terdiam. Saya tidak dapat membuat keputusan. Malam itu, saya tidak dapat tidur. Ahli keluarga saya pula terkejut dengan berita yang saya sampaikan. Sebelum ini, saya cuma dengar tentang penyakit ini, bila terkena pada diri sendiri, saya jadi bingung," ujar Dhanaraj Kumar, 58, mengimbas semula peristiwa pada Mac 2010.

Keesokan harinya, Dhanaraj sudah sedia memberitahu doktor keputusan yang dibuatnya.

Walaupun bagi orang lain keputusan itu mungkin salah, Dhanaraj cuba berfikiran positif.

"Saya tidak mahu melakukan pembedahan kerana belum bersedia. Doktor kemudian memberi saya ubat. Usaha saya tidak berhenti setakat itu sahaja. Saya berjumpa dengan beberapa orang pakar onkologi untuk mengetahui status penyakit dan rawatan yang saya perlukan.

Pembedahan"Rata-rata mereka menyarankan saya melakukan pembedahan. Cuma saya tertarik dengan pendapat seorang doktor ini. Beliau memberi saya dua pilihan, pembedahan atau hidup positif dengan mengamalkan gaya hidup sihat," katanya.

Kata-kata doktor itu memberi sedikit harapan buatnya. Bukan dia mengingkari arahan atau menidakkan pendapat doktor sebelum ini. Cuma pengalaman beberapa ahli keluarganya sendiri yang menghidap kanser tidak menemui pengakhiran hidup yang positif. Semuanya pergi dalam masa yang singkat membuatkan Dhanaraj risau untuk melakukan pembedahan.

Justeru dia mengambil keputusan untuk memperbaiki gaya hidupnya untuk melawan penyakit itu.

Ditanya bagaimana beliau boleh mendapat penyakit tersebut, Dhanaraj sendiri tidak pasti apa punca kanser yang dihidapinya itu.

"Doktor pun belum dapat mengenal pasti puncanya, mungkin faktor pemakanan tetapi ia tidak dapat dipastikan," katanya.

Menurutnya, doktor menasihatkan dia mengubah cara makan, bersenam dan berhenti merokok.

"Nasihat itu saya ikut. Selama hampir setahun lebih ini, saya tidak lagi keluar bersuka-ria bersama-sama rakan-rakan sampai lewat malam. Kehidupan saya banyak dihabiskan bersama keluarga di rumah.

"Setiap hari saya akan tidur awal dan bangun pukul 5 pagi. Kemudian, saya akan berjalan kaki di sekitar rumah. Paling penting, saya tidak makan makanan segera. Saya banyakkan makanan segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, halia dan bawang. Saya hanya bersarapan pagi dengan oat," katanya yang turut melakukan kaji selidik mengenai kanser prostat dan gaya hidup sihat.

Dhanaraj juga bersyukur kerana seorang rakannya memperkenalkan sejenis suplemen herba yang membantu dirinya mengawal kanser merebak lebih serius.

Hasil pemeriksaan kesihatan yang dilakukan Dhanaraj, paras prostat spesifik antigen (PSA) menurun dan berada pada tahap yang stabil.

Dalam hal ini, dia menyeru orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat jika mahu kesihatan mereka pulih atau bertambah baik.

"Persoalan sekarang bukan tentang apa yang perlu orang lain lakukan untuk anda. Tetapi pilihan atas anda sendiri. Macam saya, walaupun tidak mahu dibedah, saya mengubah cara pemakanan, tidur dan amalan seharian. Anda juga begitu. Lakukan perkara yang anda rasa baik," katanya yang cukup berterima kasih kepada isteri dan anak-anaknya yang tidak putus-putus memberi sokongan untuknya mengharungi hidup dengan positif walaupun menghidap kanser.


Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah 
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Friday, August 03, 2012

Rawatan Mudah Diabetes


Cuba anda bayangkan bagaimana hidup anda jika hilang deria penglihatan, menggunakan kerusi roda akibat strok atau gangren kaki (kaki dipotong) selain berisiko tinggi mengalami serangan jantung sedangkan umur belum mencecah 40 tahun.

Itulah yang menanti pesakit diabetes mellitus akibat gagal mengawal penyakitnya, sama ada kerana tidak mengubah gaya hidup, tidak mahu mengambil ubat atau mengambil ubat tradisional sesuka hati.

Keadaan diburukkan lagi jika di kalangan mereka ini telah menghidap diabetes sejak usia muda lagi.

Diabetes mellitus adalah satu sindrom masalah metabolisma yang menyebabkan tahap gula di dalam darah tinggi (hiperglisemia) sama ada akibat masalah penghasilan (diabetes jenis pertama) atau fungsi (sensitiviti) insulin (diabetes jenis kedua atau diabetes gestasi).

Kebanyakan orang dewasa menghidap diabetes melitus jenis 2 (T2DM).

Namun, ramai penghidap T2DM tidak dapat mengawal penyakit dengan ubat anti-diabetes masing-masing, mereka menghadapi risiko mengalami kerumitan.

Profesor Perubatan Diabetes University Leicester, Profesor Melanie Davies memberitahu sekurang-kurangnya 67 peratus daripada penghidap T2DM menghadapi risiko kemerosotan fungsi ginjal yang tinggi dan kira-kira 30 peratus sudah mengalami kemerosotan fungsi ginjal di Amerika Syarikat.

Sementara itu, lapan hingga 10 pesakit diabetes dengan kemerosotan fungsi ginjal mempunyai risiko lebih tinggi mengalami kerumitan serius seperti keadaan hipoglisemia dan penyakit kardiovaskular.

"Justeru, pesakit amat memerlukan ubat anti-diabetes oral (OAD) yang boleh dipercayai dengan profil keselamatan dan toleransi lebih baik yang mudah digunakan tanpa mengira fungsi ginjal pesakit.

"Kebanyakan OAD tidak disyorkan atau memerlukan pelarasan dos dan pemantauan teliti kerana mewujudkan halangan penting kepada penghidap T2DM dengan kemerosotan fungsi ginjal, " ujarnya pada majlis pelancaran ubat (T2DM) terbaru Trajenta oleh Boehringer Ingelheim dan Eli Lilly.

Trajenta adalah rawatan diabetes yang diluluskan sebagai ubat satu kekuatan dos (lima miligram, sekali sehari) bagi pesakit dewasa. Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) di bawah Kementerian Kesihatan telah meluluskan Trajenta seperti yang disyorkan di kalangan pesakit dewasa dengan T2DM untuk meningkatkan kawalan glisemia bersama diet dan senaman, sebagai monoterapi rawatan tunggal atau sebagai tambahan kepada metformin, sulfonilurea atau metformin serta sulfonilurea.

Tambah Profesor Melanie, Trajenta boleh diambil dengan satu dos untuk semua pesakit tidak kira tahap kegagalan buah pinggang atau hati.

"Ia menawarkan manfaat yang diberikan oleh kelas perencat DPP-4 dengan tahap kemujaraban dan toleransi yang baik serta neutral dari segi berat dan mewujudkan risiko hipoglisemia yang rendah dan juga memberikan kelebihan tambahan tiada pelarasan dos tanpa mengira fungsi ginjal dan hati pesakit," katanya.

Perkembangan positif ini pasti menggembirakan penghidap T2DM, terutamanya di Asia kerana penularan diabetes telah meningkat antara dua hingga lima kali ganda dalam tempoh dua dekad lepas berbanding 1.5 kali ganda di negara Barat.

Tambahan lagi, disebabkan oleh kesan sampingan yang dikaitkan dengan OAD yang tidak sesuai, pesakit mungkin mendapati sukar untuk mematuhi rawatan yang disyorkan. Kadar pematuhan pesakit dengan T2DM adalah antara 65 peratus hingga 85 peratus bagi OAD dan 60 peratus hingga 80 peratus bagi insulin.

"Trajenta memberikan pelbagai manfaat yang berkesan dan sesuai bagi kebanyakan penghidap T2DM," kata Pengarah Urusan Boehringer Ingelheim Malaysia Sdn. Bhd., Cheong YK.

Katanya lagi, ramai penghidap diabetes selalunya khuatir tentang peningkatan berat badan atau hipoglisemia yang mengurangkan pematuhan terhadap ubat.

"Trajenta tidak memberi kesan terhadap berat apabila digunakan sebagai monoterapi dan boleh diambil pada bila-bila masa, dengan atau tanpa makanan, yang memberikan kawalan T2DM lebih baik tanpa menjejaskan penjagaan pesakit," tambahnya.

Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah  

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/