Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label kesihatan buah pinggang. Show all posts
Showing posts with label kesihatan buah pinggang. Show all posts

Monday, November 19, 2012

Rawatan Ginjal di Rumah


Sebagai usaha mencari kaedah terbaik untuk pesakit buah pinggang Mesyuarat Persatuan Peritoneal Dialisis Antarabangsa (ISPD) ke-14, Jawatankuasa Penganjur ISPD 2012 dengan kerjasama Baxter Asia Pasifik baru-baru ini telah mengumpulkan para pakar nefrologi dan penggubal polisi bagi membincangkan tentang kemajuan dasar dialisis.

Seminar itu telah mengetengahkan idea-idea bagaimana pembaharuan polisi-polisi dialisis yang sedia ada akan memberi kesan-kesan positif terhadap kaedah rawatan dialisis di rumah, terutamanya melalui kaedah rawatan Peritoneal Dialisis (PD).

Pengarah Kumpulan Penyelidikan Penyakit Kronik dan Profesor Perubatan di University of Minnesota, Dr. Allan Jason Collins berkata, pesakit yang dirawat dengan PD mungkin mempunyai kadar jangka hayat yang lebih baik pada peringkat awal berbanding pesakit yang menerima rawatan hemodialisis konvensional (HD).

Malah katanya, pesakit yang lebih muda yang tidak mempunyai sebarang mobiditi lain mungkin mempunyai kadar jangka hayat yang lebih baik dengan PD.

Selain itu, kos keseluruhan yang ditanggung bagi rawatan PD adalah lebih rendah berbanding HD.

"Sebagai contoh, di Malaysia, kos bagi setiap tahun hayat yang diselamatkan adalah enam peratus lebih rendah bagi PD6.

"Oleh kerana rawatan dialisis dilakukan di rumah, PD mempunyai keputusan klinikal yang sama seperti HD, dengan kos yang lebih rendah.

" Skim pembayaran balik berkelompok dialisis yang diperkenalkan oleh Centres for Medicare and Medicaid di Amerika Syarikat, secara jelas mengiktiraf peranan rawatan dialisis di rumah dan terutama sekali kelebihan dari segi ekonomi bagi PD," katanya yang juga penyelidik utama bagi polisi dialisis di Amerika Syarikat (USRDS).

Sementara itu, Ketua dan Penasihat Nefrologi Kebangsaan, Kementerian Kesihatan, Dr. Ghazali Ahmad berkata, peningkatan pesakit yang memerlukan dialisis di negara ini telah mendorong kepada pertambahan pusat dialisis sejak 10 tahun kebelakangan ini.

"Ada kebimbangan yang telah diutarakan terhadap pengurusan dan prestasi rawatan di pusat dialisis, terutamanya masa menunggu yang lama di pusat dialisis umum disebabkan kekurangan kapasiti dan kakitangan terlatih.

"Sementara kita mencari jalan penyelesaian untuk mengurangkan masalah ini dengan memberi garis panduan yang terbaik, kita juga perlu melihat semula amalan dan polisi dana kebangsaan bagi memastikan peruntukan yang boleh menampung perkhidmatan dialisis berkualiti untuk semua pesakit pada masa kini mahupun pada masa depan, di negara ini," katanya

Dr. Ghazali berkata, keutamaan ke atas PD berpotensi untuk mengatasi kekangan kapasiti dan juga memendekkan masa menunggu oleh kerana rawatan PD dilakukan di rumah pesakit sendiri.

Dengan akses rawatan yang lebih luas, PD juga menawarkan rawatan yang memberi fokus secara individu dan khas untuk seseorang pesakit di samping membekalkan maklumat kepada pesakit untuk menguruskan rawatan di rumah sendiri.

Presiden Jawatankuasa Penganjur ISPD 2012, Datuk Dr. Zaki Morad Mohd. Zaher berkata, usaha memastikan rawatan dialisis yang berkualiti melibatkan pelbagai aspek polisi dialisis.

Katanya, ini termasuk membenarkan pesakit membuat pilihan, melatih dan mendidik pesakit serta para profesional, memilih pesakit, mematuhi garis panduan, sehinggalah saiz pusat dialisis yang bersesuaian.

Beliauberkata, melalui tatacara-tatacara itu, kerajaan boleh berusaha menyediakan rawatan yang selamat dan berkesan, di samping memperbaiki keputusan standard jagaan pesakit.

"Penting bagi kita untuk mempertimbangkan aliran terkini bagi dialisis di rumah sebagai menyediakan pendekatan menyeluruh dan holistik terhadap rawatan kegagalan fungsi buah pinggang," katanya pada sesi perbincangan meja bulat sempena seminar itu.

Sesi perbincangan meja bulat itu dihadiri beberapa orang pakar dari Amerika Syarikat, Australia, Malaysia, Thailand dan Taiwan, yang masing-masing membentangkan perkembangan terkini berkaitan polisi PD di negara mereka.

Turut hadir di perbincangan tersebut ialah 50 peserta dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Brunei, Filipina dan Singapura; termasuk wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Tuesday, April 19, 2011

Kencing Kotor Bukan Tanda Sakit Buah Pinggang

SOALAN:
Salam Doktor,

Saya telah berkahwin selama enam bulan. Masalah saya disini, saya selalu dijangkiti kencing kotor secara kerap. 


Saya telah membuat check up di klinik berdekatan dan beliau memberi saya 3 jenis ubat iaitu painkiller (Diclofenac Sodium 50mg), antibiotik (Ceturoxime 250mg) dan pelawas kencing (Ural Effervescent Granules). Kekerapan jangkitan ini selalu terjadi ketika saya datang bulan. Kitaran datang bulan saya normal dan teratur iaitu 22 hingga 23 hari. Doktor mengdiagnosi melalui simptom loya, sakit di bahagian ari-ari, pinggang dan pundi kencing. Saya tidak mengalami kesakitan ketika membuang air kencing atau air besar cuma kesakitan yang dirasai ketika saya sedang duduk berehat dan sedang aktif seperti berjalan atau berlari. Saya cuma mengalami kencing berdarah pada kali pertama dijangkiti kencing kotor.

Jangkitan berikutnya tidak diikuti dengan darah kecuali sakit seperti yang saya jelaskan tadi. 

Doktor yang merawat menasihatkan saya supaya minum air lebih, jangan menahan kencing dan cuci bahagian kemaluan selepas bersama suami. Persoalannya di sini, adakah saya berkemungkinan besar menghidapi masalah buah pinggang dan sekiranya saya mengandung, adakah ubat yang di beri oleh doktor yang merawat saya boleh menjejaskan kandungan saya?  

Lynn Kajang, Selangor.

JAWAPAN:
Kebiasaannya, orang ramai mempunyai tanggapan yang salah tentang kencing kotor. Kencing kotor biasanya terjadi akibat jangkitan kuman. Cara yang terbaik untuk mengesahkan anda mendapat jangkitan kotor atau tidak, lakukan pemeriksaan air kencing di makmal. Ia juga boleh mengesan sama ada masalah kencing kotor anda ada kaitan dengan sakit buah pinggang. Jika ia hanya jangkitan air kencing biasa, ia tidak ada kaitan dengan sakit buah pinggang. Begitu juga sekiranya anda mengandung, kencing kotor dan ubat-ubatannya tidak menjejaskan kandungan melainkan anda disahkan sakit buah pinggang.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Saturday, October 16, 2010

Buah Pinggang Rosak Boleh Jejas Kesuburan

Ketika menjalani rawatan dialisis, proses penghasilan sperma akan terjejas dan mutu sperma yang dihasilkan adalah rendah malah sperma yang dihasilkan mempunyai masalah motiliti.

Bagaimanapun, kajian menunjukkan selepas seseorang lelaki menjalani pemindahan buah pinggang, akan berlaku perubahan di mana proses penghasilan sperma kembali pulih tetapi timbul masalah dari segi motiliti. Dalam sesetengah kes pula, kualliti dan motiliti akan pulih sepenuhnya.
SOALAN :
Saya berusia 38 tahun dan disahkan mengalami kerosakan kekal di kedua-dua belah buah pinggang. Saya perlu menjalani rawatan dialisis berjadual serta banyak berpantang. Persoalan saya, apakah ini boleh menjejaskan kesuburan saya?

Ingin Tahu



JAWAPAN :
Untuk makluman saudara, pesakit buah pinggang kronik terutama yang perlu menjalani rawatan dialisis akan menghadapi masalah kesuburan. Pengumpulan toksin terutama urea dalam darah akibat daripada kegagalan buah pinggang boleh menjejaskan penghasilan sperma.

Satu lagi masalah yang akan timbul adalah mati pucuk di mana kemungkinan untuk saudara menghadapi masalah ini meningkat dari sembilan peratus sebelum dialisis kepada 70 peratus ketika rawatan dialisis dijalankan.

Bagaimanapun, masalah ini boleh diatasi dengan mudah iaitu menggunakan ubat PDE5 inhibitor seperti viagra. Saya ingin menasihatkan saudara berjumpa pakar fertiliti supaya kaedah seperti penyimpanan sperma (sperm banking) boleh dilakukan sebelum rawatan dialisis bermula. Ini boleh membantu jika saudara ingin mendapatkan zuriat melalui cara assisted in vitro fertilization.



Dipetik dari:http://www.bharian.com.my/

Tuesday, March 16, 2010

Makanan Seimbang Jaga Buah Pinggang

Petah dan lincah. Gaya tukang masak terkenal, Datuk Redzuawan Ismail, 52 yang lebih mesra dengan panggilan Chef Wan ternyata mencuit hati hadirin. Di saat semua orang membincangkan isu serius tentang sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia (WKD) 2010, Chef Wan menceriakan suasana.

Namun, di sebalik gelak ketawa Chef Wan, dia sendiri mempunyai pengalaman yang boleh dikongsi dengan pesakit lain. Atas kedegilan dan sikap tak acuh dalam menjaga pemakanan, bapa Chef Wan disahkan menghidap kencing manis.

"Sudah menjadi budaya masyarakat kita, suka duduk dan minum lama-lama di kedai makan. Pengalaman Chef Wan sendiri, disebabkan kedegilan orang tua mendengar nasihat, kaki bapa saya dipotong kerana kencing manis. Itu baru cebisan kisah penyakit ini dan ramai lagi mangsa di luar sana kerana gaya hidup," ujarnya ketika majlis pelancaran sambutan WKD di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sebagai tukang masak, Chef Wan sentiasa berkongsi menu baru khususnya makanan seimbang.

Terpilih sebagai duta Yayasan Buah Pinggang Malaysia (NKF), Chef Wan sangat teruja. Katanya, dia akan mengadakan demonstrasi memasak bagi memupuk tabiat pemakanan sihat di kalangan masyarakat.

"Sikap masyarakat yang gemar memakan apa sahaja sebenarnya boleh diubah. Kita perlu berjaya dengan apa yang kita makan, bukan paksa orang untuk makan. Justeru itu, gaya hidup makan di luar seperti kedai makan dan restoran perlu diubah.

Kita perlu balik pada zaman dahulu iaitu makan di rumah bersama keluarga untuk membentuk institusi keluarga. Makan di luar belum menjamin kualiti dan kebersihan makanan. Kebiasaannya mereka ingin untung. Sebab itulah, bila orang tanya rahsia kesihatan, saya jawab makanan seimbang," katanya.

Chef Wan menambah, setiap individu mempunyai pengambilan makanan yang tidak sama dan perlu mengikut gaya hidup. Tambah Chef Wan, tidak semestinya gemuk itu tidak elok tetapi setiap individu perlu berjaga-jaga risiko penyakit itu penting.

Nasihatnya, sikap perlu diubah dan mengawal makanan dengan cara yang seimbang.

Sambuatan WKD

Dalam pada itu, WKD akan disambut meriah buat kali kelima pada 11 Mac ini di lebih 100 buah negara termasuk Malaysia. WKD merupakan kempen kesedaran global yang memberi fokus terhadap pentingnya penjagaan buah pinggang serta bertindak sebagai medan terbaik kepada orang ramai bagi menjalani pemeriksaan buah pinggang. Pemeriksaan bertujuan mengetahui sama ada mereka berisiko untuk menghidap penyakit buah pinggang atau tidak. Tahun ini kempen diharap dapat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang kaawlan penyakit kencing manis bagi menghindari daripada diserang penyakit buah pinggang kronik (CKD).

CKD berlaku apabila seseorang mengalami pembuangan albumin yang berlebihan dalam air kencing atau kemorosotan ketara dalam fungsi buah pinggang. Lebih daripada 500 juta penduduk dunia menderita akibat beberapa penyakit buah pinggang. Setiap tahun ramai yang meninggal dunia akibat masalah buah pinggang yang berpunca daripada penyakit kencing manis.

Apabila CKD tidak dikawal pada peringkat awal sehingga mengakibatkan kerosakan buah pinggang, maka proses berikutnya adalah dialisis atau pemindahan buah pinggang. Bagaimanapun, pelbagai rintangan dan kesukaran dalam mendapatkan buah pinggang baru untuk proses pemindahan menyebabkan ramai pesakit memilih untuk kaedah rawatan haemodialysis atau peritoneal dialisis. Kini, di Malaysia terdapat 20,000 pesakit dialisis dan kerajaan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan giat mengenal pasti pesakit yang benar-benar memerlukan bantuan bagi menanggung kos rawatan dialisis yang semakin meningkat.

Bagi mereka yang ingin memperoleh maklumat lebih terperinci berhubung dengan aktiviti sambutan WKD, sila hubungi talian bebas tol NKF di 1300-88-3110 atau layari laman web, www.nkf.org.my, www.worldkidneyday.org atau e-mel ke edu@nkf.org.my.


Ditulis oleh:
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Sunday, July 27, 2008

Apabila Buah Pinggang Gagal Berfungsi

Kemajuan dalam rawatan penyakit buah pinggang peringkat akhir menyediakan pelbagai pilihan kepada pesakit untuk membantu mereka menguruskan penyakit mereka secara berkesan. Kemerosotan buah pinggang lazimnya mengambil masa yang panjang dan dalam kebanyakan kes, masalah ini hanya dikesan selepas penyakit berkenaan bertambah teruk. Penyakit buah pinggang di peringkat yang paling lanjut dirujuk sebagai penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESRF); di mana fungsi buah pinggang seseorang jatuh di bawah paras tertentu atau berhenti berfungsi sepenuhnya.

Pesakit ESRF berhadapan dengan pelbagai jenis masalah kerana tubuh badan mereka mula menyimpan air yang berlebihan dan bahan buangan yang biasanya disingkirkan oleh buah pinggang. Tangan dan kaki yang membengkak merupakan simptom yang sering dilaporkan selain kesukaran bernafas dan kekurangan selera makan yang mungkin diiringi rasa mual dan muntah. Jika dibiarkan tanpa rawatan, ESRF boleh menyebabkan sawan dan koma.

Oleh itu, pesakit buah pinggang peringkat akhir perlu mendapatkan rawatan segera menerusi terapi penggantian fungsi renal. Tiga jenis rawatan alternatif telah dicipta untuk mengambil alih sebahagian fungsi penting buah pinggang bagi membolehkan pesakit terus hidup. Terapi berkenaan tidak menyembuhkan penyakit buah pinggang tetapi membantu melegakan ketidakselesaan pesakit dan membolehkan mereka hidup lebih lama.

HD atau PD

Hemodialisis (HD) ialah proses penapisan darah yang dilakukan dengan bantuan mesin. Darah yang mengandungi bahan buangan dibersihkan melalui dialyser dan dikembalikan semula ke dalam badan. Pesakit yang menjalani HD perlu mengunjungi pusat dialisis tiga kali seminggu untuk sesi rawatan yang mengambil masa antara empat hingga lima jam untuk setiap sesi. Oleh kerana jarum diperlukan untuk mengeluarkan darah dan mengembalikannya ke dalam badan, pesakit yang menjalani HD terdedah kepada jangkitan kuman dan pendarahan jika tidak mematuhi prosedur yang betul. Ada juga di kalangan pesakit yang mengalami pening kepala, mual, kekejangan kaki dan keletihan akibat rawatan tersebut.

Berbeza dengan HD, dialisis peritoneum (PD) menggunakan membran peritoneum atau selaput abdomen sebagai penapis. Satu tiub kecil dan lembut yang dikenali sebagai kateter dimasukkan menerusi pembedahan melalui dinding abdomen, ke dalam ruang peritoneum di mana dialisis berlaku. Larutan dialisis kemudian diisi ke dalam abdomen melalui kateter untuk memerangkap bahan buangan dari darah.

Selepas beberapa jam, larutan yang telah diguna dialirkan keluar dari badan. Buat masa ini, terdapat dua jenis PD iaitu dialisis peritoneum bergerak berterusan (continuous ambulatory peritoneal dialysis) atau CAPD dan dialisis peritoneum automatik (automated peritoneal dialysis) atau APD.

Pesakit CAPD perlu menjalani empat pertukaran dialisis setiap hari, dengan setiap pertukaran mengambil masa antara 20 hingga 30 minit.

APD pula dilakukan semasa pesakit tidur, dan mengambil masa antara lapan hingga 12 jam setiap malam. Walaupun CAPD dan APD masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri, PD pada umumnya memberikan fleksibiliti dan kemudahan pergerakan yang lebih. Oleh kerana rawatan dilakukan di rumah, pesakit juga boleh mengatur jadual dialisis supaya bersesuaian dengan waktu kerja dan perjalanan kehidupan seharian.

Tambahan lagi, pertukaran dialisis yang kerap dan berterusan untuk mengeluarkan bahan buangan dan air yang berlebihan dari badan hampir menyerupai fungsi semula jadi buah pinggang. Namun begitu, PD merupakan rawatan invasif kerana kateter perlu dimasukkan secara kekal di dalam abdomen. Jangkitan kuman boleh berlaku jika PD dilakukan dalam persekitaran yang kurang bersih.

Pemindahan Buah Pinggang

Di antara pilihan rawatan yang ada, pemindahan buah pinggang adalah pilihan terbaik bagi pesakit memiliki buah pinggang sendiri. Kebebasan daripada rawatan dialisis memang satu prospek yang menarik, tetapi usaha mencari penderma yang sesuai mengambil masa yang panjang dan pesakit perlu diletakkan dalam senarai panjang pesakit yang menunggu pemindahan buah pinggang. Walaupun penderma yang sesuai ditemui, pesakit terpaksa bergantung kepada ubat sepanjang hayat untuk mengelakkan badan menolak buah pinggang yang didermakan itu.

Seperti dengan ubat-ubatan lain, penggunaan ubat secara berterusan dan berpanjangan juga boleh mengundang kesan sampingan yang tidak diingini. Perlu ditekankan bahawa tiada satu terapi yang sesuai untuk semua pesakit, sementara individu tertentu mungkin lebih sesuai untuk jenis rawatan khusus berbanding kaedah rawatan lain.

Pertimbangan yang teliti perlu dibuat untuk memenuhi keperluan dan gaya hidup pesakit, tanpa menjejaskan kesihatan mereka untuk membantu mereka menguruskan penyakit dengan berkesan. Sama ada pesakit memilih hemodialisis, dialisis peritoneum atau pemindahan buah pinggang, pilihan perlu dibuat dengan maklumat yang tepat dengan mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu bagi menentukan kaedah rawatan yang paling sesuai dan terbaik untuk mereka.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Saturday, July 19, 2008

Penyakit Buah Pinggang Kronik


KEROSAKAN buah pinggang berlaku tanpa sebarang rasa sakit sehinggalah mencapai satu tahap yang teruk dan tidak dapat diselamatkan lagi.














Penyakit buah pinggang kronik menular secara beransur-ansur dan jika dikesan pada peringkat awal, masalah ini boleh dilengahkan dengan strategi rawatan yang sesuai dan pengubahsuaian gaya hidup.

Bayangkan suatu hari anda keluar dari bilik doktor selepas diberitahu ada sesuatu yang tidak kena dengan buah pinggang anda.

Anda mungkin tertanya-tanya dan berfikir kenapa anda tidak pernah terasa sakit atau tidak selesa sebelum ini.

Situasi seperti ini tidaklah luar biasa kerana penyakit buah pinggang biasanya tidak menunjukkan sebarang simptom pada peringkat awal.

Mereka yang mengalami kemerosotan beransur-ansur dalam keupayaan buah pinggang mereka berfungsi secara normal dikatakan menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD).

Turut dikenali sebagai kegagalan buah pinggang kronik, masalah ini disebabkan oleh kehilangan nefron buah pinggang yang secara normalnya berfungsi sebagai penapis.

Kerosakan nefron buah pinggang menjejaskan kesihatan seseorang kerana bahan buangan tubuh kekal dalam darah dan tidak disingkirkan bersama air kencing.

CKD mungkin dilihat seolah-olah berlaku secara tiba-tiba, tetapi sebenarnya kemerosotan buah pinggang sudahpun hadir buat beberapa lama tanpa disedari oleh pesakit sendiri.

Ini tidak menghairankan kerana tubuh badan manusia berupaya berfungsi secara berkesan dengan hanya satu buah pinggang.

Walaupun kebanyakan kita boleh dikatakan bernasib baik kerana dilahirkan dengan dua buah pinggang yang sihat, seseorang yang dilahirkan dengan sebuah buah pinggang masih boleh melalui hidup yang normal dan sihat.

Faktor yang membezakan CKD daripada penyakit buah pinggang akut adalah kadar kemerosotan buah pinggang.

Berbanding dengan penyakit buah pinggang akut, CKD berlaku dalam jangka masa yang panjang sedangkan penyakit buah pinggang akut menular dengan pantas.

Lazimnya, penyakit buah pinggang akut disebabkan oleh penyakit yang memberi kesan kepada buah pinggang, aliran darah atau air kencing yang mengalir keluar daripadanya.

Tahap keterukan CKD boleh ditentukan berdasarkan ukuran atau anggaran kadar penapisan glomerulus (GFR) pesakit.

Secara ringkasnya, GFR ditakrifkan sebagai kadar buah pinggang menapis bahan buangan dari tubuh badan dan sering dirujuk sebagai ‘fungsi buah pinggang’.

Peringkat CKD

Pada peringkat pertama dan kedua, simptom kemerosotan buah pinggang adalah minima. Namun begitu, masalah buah pinggang biasanya dikesan menerusi tekanan darah tinggi, tahap kreatinine (urea) yang tinggi dalam darah, kewujudan darah atau protein dalam air kencing, tanda kerosakan buah pinggang dan sejarah keluarga berpenyakit buah pinggang polisistik iaitu sejenis penyakit buah pinggang yang diwarisi.

Mereka yang disahkan menghidap CKD pada peringkat satu dan dua boleh melindungi kesihatan buah pinggang mereka serta fungsinya secara berkesan dengan mengekalkan tekanan darah pada tahap yang sewajarnya, mengambil makanan yang kurang mengandungi protein dan melakukan senaman secara tetap.

Apabila CKD menular ke peringkat tiga, seseorang boleh mengalami anemia atau penyakit tulang peringkat awal.

Rawatan perlulah diperoleh seawal yang mungkin untuk mengurangkan ketidakselesaan bagi pesakit dan komplikasi yang mungkin timbul kemudian.

Pesakit CKD pada peringkat empat dan lima memerlukan terapi penggantian renal untuk mengambil alih fungsi buah pinggang bagi terus hidup.

Pesakit boleh memilih sama ada untuk menjalani dialisis atau melakukan pemindahan organ apabila fungsi buah pinggang mereka terjejas dengan teruk.

Tahap kelima CKD juga dikenali sebagai penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESRF) untuk menandakan keadaan buah pinggang yang tidak lagi berfungsi.

Malangnya, CKD merupakan proses yang tidak boleh dipulihkan yang menyebabkan kerosakan kekal kepada buah pinggang.

Namun begitu, pesakit buah pinggang masih boleh menaruh harapan kerana ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengesan penyakit pada peringkat awal supaya tahap penularannya boleh diperlahankan.

Pemeriksaan kesihatan berkala sangat penting kerana sebarang keabnormalan dalam darah, air kencing, atau tekanan darah boleh dikesan dengan mudah.

Walaupun bukan semua ciri abnormal merupakan petanda penyakit buah pinggang, langkah berjaga-jaga wajar diambil oleh individu terbabit.

Dengan pengesanan awal, strategi rawatan yang sesuai disertakan perubahan gaya hidup boleh memanjangkan fungsi buah pinggang pesakit dan melengahkan CKD.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Saturday, July 05, 2008

Mengapa Buah Pinggang Gagal


KEGAGALAN buah pinggang berfungsi mungkin berpunca daripada faktor boleh ubah (gaya hidup) atau faktor tidak boleh ubah (warisan genetik).



















Penyakit buah pinggang sering berpunca daripada amalan gaya hidup kurang sihat yang boleh diubah untuk mengurangkan kadar kejadian dan melengahkan perkembangan penyakit.

Penyakit buah pinggang berpunca daripada pelbagai faktor, sama ada masalah yang diwarisi sejak lahir atau sesuatu yang dihidapi kemudian.

Namun begitu, punca penyakit buah pinggang tidak selalunya dapat ditentukan. Tetapi sebarang bentuk penyakit yang menjejaskan salur darah atau struktur buah pinggang yang lain boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.

Faktor-faktor tertentu juga mungkin menyebabkan seseorang individu menghadapi risiko lebih tinggi menghidap penyakit buah pinggang.

Secara khususnya, mereka yang mengalami diabetes, tekanan darah tinggi, warga tua dan golongan yang mempunyai sejarah penyakit buah pinggang dalam keluarga perlu mengambil langkah berjaga-jaga tambahan kerana kebarangkalian mereka juga mengalami penyakit buah pinggang jauh lebih tinggi.

Sesetengah orang menghidap penyakit buah pinggang akibat faktor yang diwarisi, seperti dalam kes sakit buah pinggang polisistik (PKD).

Seseorang yang menghidap PKD mengalami ketumbuhan sista dalam buah pinggang.

Secara beransur-ansur, sista ini akan mengambil alih jisim buah pinggang, lantas menjejaskan fungsi buah pinggang dan akhirnya menyebabkan kegagalan buah pinggang berfungsi.

Walaupun kerosakan kepada buah pinggang umumnya hanya dapat dikesan selepas satu tempoh yang panjang, penyakit buah pinggang akibat faktor genetik boleh muncul pada peringkat yang lebih awal.

Dalam sesetengah kes, masalah fungsi buah pinggang dapat dikesan sebelum bayi dilahirkan lagi.

Ini sering diperhatikan di kalangan pesakit buah pinggang polisistik resesif autosom (RAPKD) yang jarang-jarang didapati.

Mereka yang mengalami masalah tumbesaran yang menghalang pembentukan buah pinggang secara normal juga mungkin tampil dengan masalah buah pinggang pada usia muda.

Walaupun sukar untuk menentukan ciri- ciri semulajadi seseorang, penyakit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi boleh dielakkan dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Ini penting kerana diabetes dan tekanan darah tinggi merupakan dua punca utama penyakit buah pinggang yang menyebabkan kegagalan buah pinggang berfungsi.

Data daripada Laporan Ke-14 Daftar Dialisis dan Pemindahan Malaysia 2006 mengesahkan hakikat ini di mana 57 peratus daripada kes penyakit buah pinggang didapati berpunca daripada diabetes, diikuti oleh tekanan darah tinggi yang merangkumi enam peratus daripada semua kes yang direkodkan.

Kadar gula yang berlebihan dalam darah dan tekanan darah yang terlalu tinggi bertindak sebagai racun yang menyerang dan menjejaskan salur darah di dalam buah pinggang.

Penyakit berkenaan bukan sahaja menjejaskan buah pinggang dari peringkat awal, malah memburukkan keadaan dengan mempercepatkan penularan penyakit buah pinggang.

Pesakit yang mengambil terlalu banyak ubat pelega kesakitan juga seharusnya diberi amaran tentang risiko menghidap penyakit buah pinggang.

Soal selidik yang teliti sering mendapati pesakit lazimnya mempunyai sejarah sakit kepala kronik, sakit belakang, kelesuan dan kelemahan dalam jangka panjang yang mungkin menyebabkan penggunaan ubat pelega ini secara berterusan.

Di Australia, kejadian penyakit renal akibat ubat pelega kesakitan telah jatuh secara mendadak selepas pengharaman jualan ubat tersebut menerusi kaunter (tanpa preskripsi doktor).

Ia perlu ditekankan bahawa hanya menerusi penggunaan berterusan dan dalam tempoh yang lama ubat pelega barulah masalah buah pinggang mula timbul.

Kerosakan kepada buah pinggang mungkin berlaku dengan penggunaan jangka panjang ubat antiradang bukan steroid (NSAID) seperti aspirin dan ibuprofen.

Oleh kerana terdapat pelbagai faktor yang menimbulkan masalah buah pinggang, seseorang perlu sedar perbezaan antara faktor yang boleh dikawal dan faktor yang tidak boleh dikawal yang mempengaruhi kesihatan buah pinggang.

Walaupun keadaan genetik seseorang tidak boleh diubah, perubahan dalam tabiat pemakanan dan gaya hidup boleh membawa manfaat dalam usaha mencegah dan melambatkan penularan penyakit buah pinggang.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Friday, June 20, 2008

Siri I : Kenali Buah Pinggang Anda

Pengesanan awal penyakit buah pinggang amat penting untuk melambatkan penularan penyakit ini dan mencegah penyakit kardiovaskular yang berkaitan.

Buah pinggang adalah organ yang penting dalam badan. Meskipun saiznya kecil, hanya lebih kurang dua penumbuk tangan, buah pinggang kita mempunyai keupayaan untuk menapis bahan buangan daripada darah dan membantu membuang bendalir berlebihan.

Setiap hari, kira-kira 200 liter darah ditapis atau ‘dibersihkan’ oleh buah pinggang. Di samping itu, buah pinggang juga terlibat dalam penghasilan sel-sel darah merah, kawalan tekanan darah, kawalan keseimbangan asid-bes (alkali) dan penjagaan kesihatan tulang.

Jika terdapat keadaan tidak normal dalam buah pinggang, contohnya tahap protein melebihi paras normal atau terdapat kesan darah dalam air kencing atau jika fungsi buah pinggang merosot, besar kemungkinan kita menghidap penyakit buah pinggang kronik.

Pada peringkat awal, penyakit buah pinggang tidak ketara kerana pesakit masih berasa sihat. Oleh kerana itu, adalah tidak menghairankan jika ramai orang tidak sedar mereka mengalami masalah buah pinggang dan lama-kelamaan penyakit ini lebih teruk.

Hakikatnya, penularan penyakit buah pinggang kronik adalah lebih serius daripada yang kita sangkakan.

Kajian terhadap pelbagai bangsa di seluruh dunia menunjukkan bahawa kira-kira satu daripada setiap 10 orang dewasa menghidap penyakit buah pinggang kronik.

Di samping itu, penyakit buah pinggang kronik adalah ‘penyakit berganda’ kerana ia dikaitkan dengan peningkatan sekurang-kurangnya 10 kali ganda risiko kematian awal akibat penyakit jantung, strok dan penyakit vaskular periferal.

Fungsi renal atau ginjal adalah pada tahap optimum dengan dua buah pinggang yang sihat. Sedikit kemerosotan dalam kadar fungsi biasanya tidak memudaratkan.

Normal

Seseorang masih dapat menjalani hidup normal dengan hanya satu buah pinggang, yang memberikan 50 peratus fungsi renal.

Masalah kesihatan yang serius biasanya mula timbul apabila fungsi renal seseorang merosot hingga di bawah paras 30 peratus.

Apabila fungsi renal kurang daripada paras 10 hingga 15 peratus, peluang untuk hidup adalah tipis jika pesakit tidak menjalani rawatan penggantian fungsi ginjal seperti dialisis atau pemindahan buah pinggang.

Oleh kerana gejala yang ketara, penyakit buah pinggang hanya dapat dikesan pada peringkat lanjut, adalah penting untuk mengesan penyakit ini pada peringkat awal. Ini boleh dilakukan melalui pemeriksaan kesihatan yang mudah dan berkala, khususnya ujian air kencing, darah dan tekanan darah.

Jika dikesan awal, penularan penyakit buah pinggang boleh dilambatkan dengan rawatan dan strategi pengurusan kesihatan yang betul. Pesakit diabetes, mereka yang mengalami tekanan darah tinggi, warga tua dan mereka yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit buah pinggang hendaklah menjalani pemeriksaan secara tetap bagi mengesan penyakit buah pinggang kronik kerana mereka menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk diserang penyakit ini.

Mereka yang menghidap penyakit autoimun seperti lupus eritematosus sistemik (SLE), mempunyai berat badan berlebihan atau merokok, serta mereka yang mengambil ubat pelega kesakitan, seperti ubat anti-radang yang bukan steroid (NSAIDS) untuk jangka masa panjang, juga berdepan dengan risiko yang lebih tinggi untuk penyakit buah pinggang kronik.

Berikutan keputusan ujian darah dan air kencing, imbasan buah pinggang dan pemeriksaan lain mungkin dinasihatkan untuk menentukan punca kemerosotan fungsi buah pinggang.

Ini penting agar rawatan yang sebaik mungkin dapat diberikan kepada pesakit untuk mengekalkan fungsi buah pinggang dan secara tidak langsung, mencegah komplikasi kardiovaskular yang berkaitan.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Thursday, May 29, 2008

Sandaran Pesakit Buah Pinggang


BDC mempunyai enam buah mesin untuk mencuci darah.










Apabila buah pinggang rosak teruk antaranya berpunca daripada penyakit kronik lain seperti darah tinggi, diabetis mellitus dan sebagainya, ia akan gagal berfungsi untuk menapis bahan yang tidak diperlukan oleh tubuh.

Buah pinggang memainkan peranan penting bagi mengeluarkan kotoran dalam darah dan mengeluarkan air yang berlebihan dalam badan.

Di samping itu, ia turut membantu mengimbangi tekanan darah, menghasilkan hormon serta membantu tulang sum-sum menghasilkan sel-sel darah serta memelihara tulang yang sihat.

Antara gejala penghidap penyakit buah pinggang ialah terdapat darah dalam air kencing, bengkak sekeliling mata serta buku lali dan sering kencing pada waktu malam.

Selain pemindahan buah pinggang, rawatan dialisis adalah yang paling lazim dilakukan oleh pesakit buah pinggang bagi membolehkan mereka hidup secara normal.

Dalam tempoh lebih 20 tahun, jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dialisis di negara ini meningkat dengan begitu ketara.

Terpanggil dengan jumlah pesakit yang memerlukan dialisis bertambah saban tahun, Shahruddin Dali, mengambil langkah proaktif dengan membuka pusat dialisis persendirian bagi menampung jumlah pesakit yang semakin ramai.

Dorongan tersebut semakin kuat apabila mendapati kebanyakan pusat dialisis persendirian yang ada diusahakan oleh orang bukan Melayu, sedangkan lebih 50 peratus pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis di negara ini adalah orang Melayu.

Beliau berpendapat, jika ada pusat dialisis diusahakan orang Melayu, pasti pesakit mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan sepanjang hayat mereka dengan lebih selesa.

“Pada awalnya saya ingin membuka pusat dialisis yang mengenakan bayaran yang rendah sahaja dan cuba memohon tajaan daripada pihak-pihak yang berkemampuan.

“Bagaimanapun sambutan yang diterima tidak menggalakkan dan saya fikir saya tidak boleh lagi menangguhkan hasrat ini,’’ kata Shahruddin.

Melayan

Dengan modal sebanyak RM100,000 hasil simpanan sendiri serta pinjaman sebanyak RM350,000 daripada Bank Pembangunan, Shahruddin berjaya membuka Pusat Dialisis Bangi (BDC) pada tahun 2004.

Empat tahun beroperasi, BDC kini mempunyai empat buah mesin bagi mencuci darah di mana setiap sebuah mesin berharga RM40,000.

Menurut Shahruddin lagi, buat masa ini, BDC mempunyai seramai 37 orang pesakit berdaftar yang datang dari sekitar Bangi, Kajang, Serdang, Cheras, Hulu Langat, Dengkil dan Putrajaya.

“Tujuh puluh peratus daripada pesakit adalah bekas kakitangan kerajaan atau swasta berumur di antara 27 tahun hingga 70 tahun.

“Kami tidak mengambil pesakit yang berumur lebih 70 tahun kerana kebiasaannya golongan usia begini turut mempunyai penyakit kronik yang boleh membahayakan nyawa. Untuk mereka, rawatan mungkin lebih selamat jika dilakukan di hospital yang mempunyai peralatan lebih canggih,’’ jelasnya yang mengamalkan falsafah ‘Jaga Kualiti Kesihatan’.

Menurut beliau, BDC yang sering dipantau oleh Kementerian Kesihatan, amat berhati-hati memberikan rawatan dan perkhidmatan yang baik sepanjang pesakit berada di pusat itu.

“Kakitangan kami melayan pesakit seperti ahli keluarga supaya mereka berasa selesa sepanjang berada di sini,’’ tambahnya yang juga pengarah BDC bersama abangnya, Rahman Dali dan Dr. Siti Hawa Abdul Karim.

Pada masa ini, BDC yang dibuka daripada pukul 7 pagi hingga 9 malam, merupakan satu-satunya pusat dialisis yang terdapat di kawasan Bangi, Selangor.

Pusat tersebut dilengkapi dengan seorang pakar nefrologi, seorang doktor bertugas serta dua orang jururawat terlatih.

Perubahan Emosi

Setiap kakitangan dilatih supaya mengamalkan sikap mesra dengan pesakit yang sememangnya mengharapkan jagaan dan rawatan terbaik.

Katanya, BDC mahu pesakit menganggap pusat tersebut sebagai rumah kedua kerana mereka menghabiskan masa kira-kira empat jam di situ bagi setiap kali rawatan.

Shahruddin berkata, setiap pesakit yang mendapat rawatan dialisis di BDC dikenakan bayaran antara RM150 hingga RM200 bagi sekali rawatan.

BDC akan cuba mendapatkan bantuan daripada pusat zakat untuk pesakit yang kurang berkemampuan, di mana melalui bantuan itu pesakit hanya perlu membayar caj minimum sahaja.

Katanya, lokasi yang dipilih amat bertepatan kerana jauh daripada kesesakan lalu lintas ,sekali gus dapat mengurangkan masalah yang dihadapi pesakit untuk datang mendapatkan rawatan dialisis.

Bagi pesakit yang tidak mempunyai kenderaan atau tidak mampu memandu sendiri, BDC menyediakan kenderaan yang akan menjemput dan menghantar pesakit pulang.

“Oleh itu, anak atau keluarga pesakit yang tidak dapat menghantar atau menjemput tidak perlu bimbang akan keselamatan ahli keluarga yang datang ke BDC,” katanya.

Berdasarkan pengalaman dan pengamatan beliau, pesakit buah pinggang biasanya mengalami perubahan emosi dan cara berfikir.

Mereka mudah marah dan keluarga perlu sentiasa memberikan sokongan.

Menurutnya, terdapat juga pesakit yang seperti putus asa dan tidak mahu datang untuk rawatan dialisis.

Beliau akan ke rumah pesakit, memujuk dan memberikan semangat kepada mereka agar tidak patah semangat untuk meneruskan kehidupan.

“Kita perlu faham bawah pesakit buah pinggang biasanya mudah tersentuh hati dan sensitif. Mereka berasa seperti menyusahkan anak-anak dan selalu sedih.

“Apa pun, pesakit buah pinggang harus mengubah persepsi bahawa mereka juga boleh hidup seperti orang lain. Jangan fikir bahawa hidup sudah musnah dan tidak berguna lagi,’’ ujarnya mengakhiri pertemuan.

Kepada pesakit buah pinggang yang tinggal di sekitar Bangi dan kawasan berdekatan yang ingin mendapatkan rawatan dialisis, boleh menghubungi talian 03-82100200.


Ditulis oleh:
Meran Abu Bakar

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Friday, May 23, 2008

Selamatkan Buah Pinggang Daripada Hipertensi

Sempena Hari Hipertensi Sedunia 2008, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan ingin menerangkan kaitan antara tekanan darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

James, 40, seorang yang ringkas dan tidak banyak menghadapi masalah atau tekanan yang mengganggu kehidupannya. Namun, semuanya berubah apabila beliau dikenalpasti menghidapi tekanan darah tinggi. Pemeriksaan lanjut mengesahkan yang beliau telah lama mengalami keadaan tersebut dan buah pinggang beliau juga mula menunjukkan tanda-tanda kerosakan.

Fatimah pula mendapat tahu yang beliau mempunyai penyakit buah pinggang melalui ujian air kencing ketika berumur 36 tahun. Beberapa tahun kemudian, beliau menghidapi tekanan darah tinggi yang mana doktor percaya ia akibat daripada kegagalan buah pinggangnya. Fatimah akhirnya menjalani rawatan dialisis dan meninggal dunia selepas mengalami strok baru-baru ini.

Hipertensi (tekanan darah tinggi) telah menjadi satu epidemik global dengan 1.5 bilion penduduk dunia menghidapinya.

Dalam tahun 2006, 42.6 peratus rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun ke atas dianggarkan menghidap hipertensi tetapi hanya 26 peratus daripada mereka yang menerima rawatan berupaya mengawal tekanan darah mereka.

Selain sering dikaitkan dengan strok dan serangan jantung, hipertensi juga berkait rapat dengan buah pinggang.

Hipertensi yang tidak terkawal boleh mengakibatkan kerosakan kepada buah pinggang dan sebaliknya juga penyakit buah pinggang boleh menyebabkan hipertensi menjadi bertambah buruk.

Kaitan Buah Pinggang - Tekanan darah

Tekanan darah merujuk kepada keupayaan darah menolak ke arah dinding arteri sementara ia bergerak ke seluruh tubuh yang dikawal oleh buah pinggang.

Buah pinggang bertindak menyingkirkan garam dan cecair berlebihan daripada darah bagi mengurangkan beban tekanan darah. Selain daripada itu, ia juga mengekalkan garam dan air untuk meningkatkan tekanan darah yang rendah.

Bagi mereka yang menghidapi hipertensi essential (sebab-sebab tidak dikenalpasti), tekanan darah tinggi yang berlanjutan boleh merosakkan salur darah dan alat penapis di dalam buah pinggang. Ini akan memberi kesan kepada keupayaan buah pinggang menyingkirkan bahan buangan daripada badan.

Tanda-tanda hipertensi berkaitan dengan penyakit buah pinggang termasuklah pengurangan jumlah air kencing (sama ada kesukaran untuk membuang air kecil atau kekerapan membuang air, terutamanya pada waktu malam), dan kaki bengkak akibat pengumpulan cecair dalam badan (oedema).

Hipertensi sekunder pula terjadi akibat daripada masalah dalam buah pinggang itu sendiri. Salah satu penyebab dari jenis hipertensi (hipertensi renal) adalah pengurangan bekalan darah kepada buah pinggang akibat ateriosklerosis (arteri renal tersumbat akibat pengumpulan lemak dan kolesterol membentuk plak pada dinding saluran darah).

Akibat kekurangan darah, buah pinggang dan kelenjar adrenal (yang terletak di atas buah pinggang) bertindakbalas dengan menghasilkan hormon-hormon tertentu yang meningkatkan tekanan darah.

Hipertensi renal biasanya dikenalpasti apabila tekanan darah tinggi berlaku di kalangan individu yang lebih muda atau tekanan darah tinggi peringkat awal berlaku di kalangan mereka yang lebih tua.

Penjagaan Buah Pinggang

Menurut Perunding Nefrologi yang juga Ahli Lembaga Pengurusan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF), Dr Goh Bak Leong, hipertensi merupakan penyebab kedua terbanyak yang menyumbang kepada penyakit buah pinggang peringkat akhir. Lebih penting lagi, tekanan darah yang tidak terkawal akan mempercepatkan perkembangan penyakit kegagalan buah pinggang.

“Masalahnya, seseorang boleh menghidapi hipertensi dan (atau) penyakit buah pinggang tanpa sebarang simptom,” katanya.

Oleh sebab itu, amat penting untuk mengetahui sama ada kita mempunyai hipertensi atau tidak. “Semua orang dewasa seharusnya mengukur tekanan darah mereka dengan teratur. Purata tekanan darah pada siang hari seharusnya di bawah 135/85 milimeter Merkuri (mmHg) dan rawatan diperlukan untuk tekanan yang lebih tinggi daripada itu.

“Mereka yang mempunyai diabetes atau penyakit buah pinggang juga perlu dirawat sebagai pesakit hipertensi jika tekanan darah mereka melebihi 130/80 mmHg,” ujar Dr. Goh.

Beliau menawarkan beberapa cara bagaimana penghidap tekanan darah tinggi boleh meningkatkan kadar keberkesanan rawatan. “Gunakan alat monitor (pemantau) tekanan darah di rumah bagi memeriksa bacaan anda setiap hari. Kurangkan juga pengambilan garam, sos dan bahan perisa yang mengandungi sodium tinggi.

“Pilih makanan yang sihat, lakukan aktiviti fizikal dan kurangkan berat berlebihan kerana pengurangan kecil antara lima hingga 10 peratus berat badan boleh mengurangkan tekanan darah tinggi,” jelasnya.

Katanya, pengambilan alkohol juga perlu dielakkan atau sekurang-kurangnya dihadkan jumlahnya di samping tidak merokok dan belajar menguruskan tekanan (stres).

Menurut Dr Goh, mereka yang menghidap tekanan darah tinggi juga perlu menilai fungsi buah pinggang dengan teratur.

“Ujian ringkas terhadap air kencing (urin) boleh dilakukan untuk mengesan kehadiran proteinuria (protein dalam urin).

“Jika disyaki menghidap penyakit buah pinggang, beberapa ujian makmal lain akan dilakukan bagi mengesahkan sama ada buah pinggang masih berfungsi dengan baik. Ujian-ujian ini termasuklah serum kreatinin dan nitrogen urea darah (BUN) yang boleh menunjukkan kerosakan buah pinggang jika hasil ujian menunjukkan kadar yang tinggi,” tegas beliau.

Mereka yang mempunyai diabetes dinasihatkan mengambil ujian urin mikroalbuminuria bagi mengenalpasti kehadiran molekul kecil protein.

Pengerusi Ahli Lembaga Pegurusan NKF, Dr. SS Gill menekankan bahawa amat penting untuk tidak mengambil mudah akan hipertensi dan penyakit buah pinggang.

“Selepas diabetes, hipertensi adalah penyebab kedua terpenting kepada penyakit buah pinggang peringkat akhir. Mereka yang menghidap kedua-dua hipertensi dan penyakit buah pinggang berada dalam kumpulan yang berisiko tinggi.

“Bagi mereka, langkah yang penting adalah untuk mengawal tekanan darah. Sekiranya gagal dikawal, mereka mungkin akan menghabiskan hidup dengan bergantung kepada dialisis,” katanya.

Mereka yang mengalami kegagalan buah pinggang perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu bagi menapis bahan buangan di dalam darah. Setakat ini, kos rawatan di hospital swasta adalah RM3,000 sebulan dan dialisis juga merupakan rawatan seumur hidup yang berkos tinggi.

Oleh kerana beban kos yang tinggi, NKF menyediakan rawatan subsidi dialisis kepada pesakit yang miskin melalui 20 pusat rawatan seluruh negara. NKF juga menawarkan perubatan dan sokongan kebajikan sosial kepada pesakit.

“Peningkatan kelaziman kes hipertensi perlu dititikberatkan kerana penyakit ini bertanggungjawab meningkatkan jumlah pesakit kegagalan buah pinggang tahap akhir seperti yang dapat kita lihat setiap tahun.

“Kami berharap orang ramai akan mengambil serius masalah ini dengan menangani hipertensi dan melindungi buah pinggang mereka. Kami juga berharap supaya lebih ramai warga korporat dan individu-individu tampil ke depan bagi menyokong usaha kami membantu mereka yang miskin dan memerlukan bantuan, terutamanya pesakit yang menjalani dialisis sepanjang hidup mereka,” jelas Dr. Gill.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Wednesday, April 30, 2008

Dialisis Kanak-Kanak

Bagi kanak-kanak yang menghidapi penyakit buah pinggang, masa depan mereka akan menjadi malap jika tidak menjalani dialisis dan tiada ihsan kemanusiaan.

Airul Mohamad Safie, 14, anak bongsu daripada lima adik-beradik dikenal pasti menghidap penyakit kegagalan buah pinggang sejak berumur sembilan tahun. Dua daripada kakaknya juga menghidapi penyakit ini pada usia yang muda. Salah seorang daripadanya meninggal dunia akibat komplikasi sampingan selepas didiagnosis pada umur empat tahun. Ibunya, Jamilah terpaksa berulang-alik dari Kuala Selangor ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan untuk anak-anaknya. Selama 23 tahun, Jamilah terpaksa menanggung beban kos rawatan dan pengangkutan awam.

Rajeswari Mathavam pula didiagnosis menghidap kegagalan buah pinggang peringkat akhir pada usia lima tahun apabila mata dan badannya bengkak. Namun hari ini, pada usia 10 tahun, hidup Rajeswari seperti kanak-kanak lain. Cuma, beliau perlu melakukan dialisis dalam persekitaran bersih setiap hari pada pukul 8 malam.

Tahukah anda kegagalan buah pinggang boleh berlaku kepada kanak-kanak, walaupun seawal tahun pertama kehidupan mereka? Penyakit yang diwarisi merupakan antara punca penyakit buah pinggang di kalangan kanak-kanak dari tahap kelahiran sehingga umur lima tahun. Manakala bagi yang berumur 10 hingga 19 tahun, penyakit glomerular merupakan penyebab utama penyakit buah pinggang. Glomerular berlaku apabila unit penapisan (glomeruli) buah pinggang rosak, menyebabkan protein masuk ke dalam air kencing. Keluaran protein yang meningkat secara berterusan akan menyebabkan kegagalan buah pinggang.

Penyakit buah pinggang juga boleh berlaku semasa pembentukan fetus dalam kandungan disebabkan perkembangan unit perfungsian sel (nefron) yang abnormal dalam buah pinggang. Kanak-kanak juga boleh dilahirkan dengan buah pinggang yang tidak normal dan tidak berupaya berfungsi dengan betul. Ini mungkin berkaitan ataupun tidak berkaitan dengan sekatan saluran kencing. Sebab-sebab lain yang menyebabkan penyakit ini kronik termasuklah pembalikan aliran air kencing ke dalam buah pinggang.

Tanda-Tanda Dan Pencegahan

Bagaimanakah anda tahu sekiranya seseorang kanak-kanak sedang menderita akibat penyakit buah pinggang, terutamanya apabila kanak-kanak itu tidak tahu menyuarakan ketidakselesaan ataupun perasaannya?

"Ibu bapa harus lebih prihatin atas tumbesaran yang normal bagi kanak-kanak dan tumbesaran mereka tidak terencat. Kanak-kanak cepat membesar dalam dua tahun yang pertama kehidupan.

"Kanak-kanak yang menghidapi penyakit buah pinggang mungkin mengalami bengkak terutamanya kawasan sekeliling mata. Anemia atau kekurangan sel darah merah juga boleh menjadi simtom penyakit buah pinggang kronik," jelas Pakar Pediatrik Nefrologi dari HKL yang juga ahli lembaga Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF), Dr. Lim Yam Ngo.

Dialisis Untuk Kanak-Kanak

Jika penyakit buah pinggang kronik menjadi semakin teruk, ini akan menyebabkan kegagalan buah pinggang peringkat akhir yang memerlukan dialisis. Peritoneal dialisis yang terdiri daripada Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) dan Automated Peritoneal Dialysis (APD) adalah jenis rawatan yang biasa digunakan untuk kanak-kanak yang menghidapi penyakit buah pinggang berbanding rawatan hemodialisis.

"Hemodialisis tidak dijadikan pilihan di kalangan kanak-kanak kerana mereka perlu ke pusat dialisis selama empat jam, tiga kali seminggu. Selain daripada itu, kanak-kanak juga takut dengan jarum yang digunakan dalam rawatan tersebut," kata Dr. Lim.

Untuk kaedah CAPD, pesakit mempunyai satu kateter tetap yang dimasukkan ke dalam badan. Melalui kateter ini, cecair dialisis dimasukkan ke dalam abdomen pesakit. Bahan kumuh dari badan akan disingkirkan melalui cecair dialisis tersebut yang dikeluarkan selepas empat hingga enam jam.

Cecair dialisis yang baru dimasukkan ke dalam badan. Proses untuk pemasangan pertukaran cecair mengambil masa antara 30 hingga 45 minit setiap kali dan dilakukan oleh ibu bapa pesakit atau penjaga. Sesi rawatan pertukaran cecair mesti dijalankan setiap empat hingga enam jam, empat kali sehari. Jumlah masa yang diambil serta kekerapannya dalam sehari tidak mudah untuk kanak-kanak yang bersekolah dan yang kedua-dua ibu bapanya yang berkerja.

"Dengan APD, dialisis bermula pada waktu malam dan berterusan selama 10 jam semasa kanak-kanak tidur. APD membolehkan kanak-kanak menghadiri sekolah dan dapat mengurangkan beban dialisis pada keluarga terutama bagi ibu bapa yang bekerja.

"Kanak-kanak yang menjalani dialisis berkemungkinan mempunyai keyakinan diri yang rendah, kurang tumpuan dalam pelajaran serta kemahiran bahasa dan pergerakan yang lemah. Ibu bapa dan anak seharusnya diberi kaunseling supaya dapat mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi masalah seterusnya.

"Mereka harus belajar tentang penyakit ini dan cara menjalankan rawatan. Ia juga penting untuk ibu bapa berkongsi pengalaman dengan orang lain," kata Dr. Lim.

Penyakit buah pinggang kurang berlaku di kalangan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, tiada sesiapa pun dapat membantu mereka selain menghulurkan simpati.

Tetapi syukurlah, kerana terdapat rawatan dialisis untuk mereka tetapi memerlukan kos yang tinggi. Kini NKF membantu 21 kanak-kanak menjalani rawatan di HKL.

"Walaupun kanak-kanak ini mempunyai penyakit buah pinggang pada usia muda, mereka berpeluang membesar seperti biasa. Bantulah NKF supaya kami dapat memberikan harapan dan bantuan kepada pesakit yang mengalami masalah buah pinggang, terutamanya melalui Dana Dialisis Kanak-kanak ini," kata Pengerusi Lembaga Pengarah NKF, Dr.S.S.Gill. Untuk maklumat lanjut, layari www.nkf.org.my atau hubungi NKF melalui talian 1300-88-3110.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Sunday, April 06, 2008

Adakah Buah Pinggang Anda Sihat?

Kajian di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan 10 peratus daripada golongan dewasa mempunyai masalah kerosakan buah pinggang dan mereka juga tidak tahu mengenainya.

Ujian saringan mudah di mana-mana klinik atau hospital dapat menunjukkan jika anda salah seorang daripada mereka.

Thangachiammah M. Muthoo 51, tidak tahu bahawa dia mengalami diabetes dan gejala tersebut perlahan-lahan merosakkan buah pinggangnya. Dia menerima rawatan dialisis di Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) sejak enam tahun lalu.

Aris Said, 53, pula merupakan pesakit dialisis di NKF sejak beberapa tahun lalu dan sebelum ini tidak tahu bahawa dia mempunyai tekanan darah tinggi dan diabetes. Dia juga tidak menyedarinya kerana dia berasa sihat, sehinggalah suatu hari kedua-dua belah buah pinggangnya berhenti berfungsi.

Shamsuddin Mohd Nor, 30, tidak pernah menyangka bahawa dia akan mendapat penyakit kronik ini. Dia sering mengalami sakit belakang yang berterusan. Ia merupakan penyakit buah pinggang kronik yang tidak diketahui puncanya. Dia terpaksa menerima rawatan dialisis sepanjang hayatnya.

Anda mungkin pernah mendengar cerita tentang individu-individu mengalami kegagalan buah pinggang secara tiba-tiba. Kenyataannya, buah pinggang mereka telah lama mengalami kerosakan tanpa disedari. Mereka mengalami kerosakan buah pinggang yang kronik, tiada tanda-tanda atau secara senyap, dan kadang-kala berkekalan selama bertahun-tahun lamanya. Bagaimanapun, apabila tiba masanya, gejala-gejala tersebut akan timbul tetapi pada masa itu, keadaan telah menjadi serius dan kerosakan yang terjadi tidak dapat dipulihkan lagi. Kebanyakan penapis kecil yang dipanggil nefron di dalam buah pinggang sudah rosak dan hanya tinggal beberapa nefron yang terpaksa bekerja keras untuk menapis darah. Tanpa rawatan, semua nefron akan musnah dan kerosakan buah pinggang kekal terjadi.

Tanda-tanda kerosakan buah pinggang:

* Kerap membuang air kencing terutamanya pada waktu malam, lama-

kelamaan semakin berkurangan dan jumlah air kencing juga akan berkurangan

* Retensi (penakungan) air kencing menyebabkan kaki, buku lali serta mata bengkak

* Sering gatal di bahagian badan tanpa sebab yang nyata

* Air kencing yang berbuih kerana kehadiran protein

* Cepat letih dan mengantuk

* Kerap sakit kepala

* Mengalami masalah tidur

* Kurang selera makan dan penurunan berat badan

* Terasa seperti hendak muntah, loya

* Darah di dalam air kencing

Sebab-Sebab Kerosakan Buah Pinggang Kronik (CKD)

Perunding Nefrologi dan Setiausaha Kehormat Lembaga Pengurusan NKF, Dr. Thiruventhiran Thilaganathan menyatakan buah pinggang adalah satu struktur yang agak rapuh dan perlu dilindungi daripada faktor-faktor yang boleh menyebabkan CKD.

“Kerosakan buah pinggang kronik boleh berpunca daripada beberapa masalah buah pinggang seperti buah pinggang polisistik, jangkitan buah pinggang, penyumbatan arteri renal (yang membekalkan darah kepada buah pinggang), penyumbatan di dalam salur kencing kerana batu karang atau ketumbuhan, penggunaan sesetengah ubat dalam jangka panjang dan kecacatan buah pinggang secara semulajadi.

“Tiga punca utama kerosakan buah pinggang di Malaysia adalah diabetes yang tidak terkawal (57 peratus daripadanya merupakan kes kerosakan buah pinggang kronik), sebab yang tidak diketahui (27 peratus) dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal (enam peratus),” katanya.

Diabetes adalah penyakit di mana konsentrasi gula di dalam darah adalah tinggi. Lama-kelamaan paras gula yang tinggi akan merosakkan buah pinggang dan menyebabkan keadaan yang dipanggil diabetes nefropati yang merupakan penyebab nombor satu kegagalan buah pinggang. Satu pertiga pesakit diabetes mengalami diabetes nefropati.

Tekanan darah tinggi (hipertensi) pula adalah situasi yang merujuk kepada tekanan kuat pada salur darah yang menolak dinding arteri. Tekanan darah tinggi kronik boleh menyebabkan kerosakan salur darah dan fungsi penapisan di dalam buah pinggang. Ini adalah berita buruk terutamanya kepada pesakit diabetes kerana 60 peratus daripada mereka akan mempunyai tekanan darah tinggi.

Masa Untuk Melakukan Ujian!

Perunding Nefrologi dan ahli Lembaga Pengurusan NKF, Dr. Goh Bak Leong berkata, kira-kira 14 peratus golongan dewasa di Malaysia menghidap diabetes.

“Bilangan kes tekanan darah tinggi bagi orang dewasa yang berumur 30 tahun ke atas pula mencecah 42.6 peratus,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, disebabkan kedua-dua diabetes dan hipertensi mungkin berlaku tanpa simptom, ramai rakyat Malaysia tidak tahu bahawa paras gula dalam darah mereka atau tekanan darah mereka tidak normal.

Tambahnya, mereka juga tidak tahu bahawa mereka mengalami kerosakan buah pinggang kronik atau pada tahap yang serius.

Timbalan Pengerusi Kedua dalam Lembaga Pengurusan NKF, Dr. Tan Chwee Choon pula menyatakan kegagalan buah pinggang perlu dikesan pada peringkat awal.

“Lebih awal anda mengetahui masalahnya, lebih cepat ia dapat dirawat bagi mengelakkan ia menjadi lebih teruk.

“Anda perlu berusaha menjaga buah pinggang anda dan mencegah dari terjadi kerosakan buah pinggang kronik,” jelasnya.

Pemeriksaan kesihatan Bergerak NKF Lifecheck telah memeriksa lebih 4,000 orang di Lembah Klang sejak ia mula dilancarkan pada Januari 2008.

Pengerusi Lembaga Pengurusan NKF, Dr S. S. Gill berkata NKF Lifecheck adalah sebahagian daripada program pendidikan komuniti dikenali sebagai ‘Kidney Care’.

“Bas bergerak NKF Lifecheck akan melawat syarikat-syarikat dan komuniti setiap hari bagi menawarkan ujian untuk mengesan protein di dalam urin (salah satu daripada tanda awal kerosakan buah pinggang kronik), paras gula yang tinggi dalam darah, tekanan darah tinggi, kolestrol darah yang tinggi dan ujian juga dilakukan dengan mengukur status berat badan.

“Peserta yang mengambil bahagian juga diberikan kaunseling oleh kakitangan yang berkelayakan sementara individu yang disyaki mempunyai kerosakan buah pinggang, diabetes atau tekanan darah tinggi akan dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor bagi mengetahui diagnosis dengan lebih tepat,” ujarnya.

Menurut beliau, ujian dan kaunseling dicaj sebanyak RM2 bagi setiap individu.

Perkhidmatan yang boleh dianggap percuma ini adalah hasil usahasama Sunway Group dan syarikat-syarikat yang mengambil berat mengenai kesihatan komuniti. Kerosakan buah pinggang kronik adalah penyakit serius. Hari buah pinggang sedunia pula baru sahaja berlalu dengan slogan “Adakah buah pinggang anda sihat?” Jika anda tidak tahu jawapannya, tanyalah kepada doktor anda hari ini.

Artikel ini ihsan NKF KIDNEY CARE, iaitu program pendidikan komuniti oleh Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) yang turut menawarkan subsidi rawatan dialisis dan ubat-ubatan percuma, ujian makmal, rawatan susulan dan memberi kebajikan kepada pesakit buah pinggang. NKF juga mengalu-alukan derma dari orang awam untuk memberi sokongan kepada pesakit buah pinggang. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.nkf.org.my atau hubungi NKF Hotline 1300-88-3110.

Bacaan Normal Untuk Buah Pinggang Yang Sihat

* Gula dalam darah kurang dari 5.6 mmol/L (tidak berpuasa)

* Tekanan darah kurang dari 130/90 mmHg

* Ujian urin tiada protein, tiada gula, tiada darah

* Ukuran pinggang kurang dari 102 cm (lelaki), kurang dari 88 cm (wanita)

* Indeks berat badan Antara 18.5 -24.9 kg/m2


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Sunday, March 16, 2008

Jaga Buah Pinggang Anda

Kehidupan Muhammed Shahrul Nizam, 23 tahun, selama ini adalah normal sehinggalah buah pinggangnya gagal berfungsi.

Ini adalah akibat infeksi sistem perkumuhan yang berulang kali dialaminya. Muhammed menjalani rawatan dialisis di Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) selama lima tahun. Beliau berjaya melalui pelbagai cubaan dan penyesuaian serta hidup secara aktif walaupun berkeadaan begitu.

“Di samping belajar, saya juga bermain dalam kumpulan muzik atau berjumpa kawan.

“Setiap hari merupakan satu bonus untuk saya,” kata Muhammed.

Dalam mengharungi penyakit buah pinggang ini, Muhammed memberitahu kawan- kawannya untuk menghargai buah pinggang mereka.

“Anda tidak akan berasa kehilangan apa yang anda ada sehinggalah ia betul-betul hilang," katanya.

Bagi Chuah Seong Ban, 34, sebelum ini, hanya bapa dan kakaknya yang menghidapi sakit buah pinggang, sehinggalah akhirnya dia sendiri turut menghidapinya.

“Pada mulanya, saya berasa sangat tidak selesa dan saya tidak dapat tidur malam sehinggalah pada satu hari, kedua-dua buah pinggang saya berhenti berfungsi sekali gus,” ujarnya.

Walaupun bekerja sebagai seorang jurutera profesional, Seong Ban gembira kerana syarikatnya bersetuju untuk menanggung kos rawatan dialisis untuknya, tiga kali setiap minggu. Jika tidak, sudah tentu beliau akan menanggung beban kewangan yang begitu tinggi. Seong Ban berasa prihatin dan simpati memikirkan pesakit lain yang kurang bernasib baik berbanding dirinya dan bergantung kepada NKF yang banyak menyumbang kepada kebajikan pesakit-pesakit ini.

NKF menyasarkan Hari Buah Pinggang Sedunia kali ketiga ini sebagai satu usaha untuk meningkatkan pengetahuan umum bagi menangani peningkatan bilangan penyakit buah pinggang.

Adakah anda tahu bahawa lebih daripada 500 juta (atau 10 peratus golongan dewasa) di seluruh dunia mempunyai penyakit buah pinggang?

Sedarkah anda berjuta-juta pesakit meninggal dunia setiap tahun akibat daripada serangan jantung dan strok yang berkaitan dengan penyakit buah pinggang kronik?

Sebarang penyakit yang mengancam buah pinggang harus diberi perhatian dengan serius. Terutamanya penyakit buah pinggang kronik yang telah meningkat bilangan kesnya. Ini adalah disebabkan diabetes yang tidak dapat dikawal dan tekanan darah tinggi iaitu dua faktor penyumbang utama kepada kerosakan buah pinggang. Merokok, obesiti, umur yang meningkat dan sejarah keluarga yang mempunyai penyakit buah pinggang merupakan faktor risiko yang harus dititikberatkan.

Penyakit buah pinggang boleh membawa kepada kegagalan buah pinggang peringkat akhir jika tidak dikesan atau tidak menerima rawatan awal. Merujuk kepada kegagalan buah pinggang kronik, ini adalah keadaan yang mengancam nyawa dan pesakit memerlukan pemindahan buah pinggang atau dialisis untuk meneruskan hidup.

Dialisis adalah satu proses menapis toksin di dalam darah yang perlu dijalankan tiga kali dalam seminggu sepanjang hayat pesakit. Kos rawatan dialisis juga adalah terlalu tinggi untuk ditanggung berseorangan oleh pesakit. Syukurlah penyakit buah pinggang boleh dicegah terutamanya bagi mereka yang mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Mengelakkan Masalah

Buah pinggang sangat penting. Ia memproses darah kita setiap hari untuk menapis bahan buangan yang dihasilkan proses metabolisme badan. Bahan buangan itu dikeluarkan dari dalam badan melalui air kencing (urin) atau najis. Apabila buah pinggang rosak atau menjadi lemah disebabkan penyakit, keupayaan untuk menapis darah akan menurun. Jadi, bahan buangan berkenaan akan terkumpul di dalam badan.

Rawatan

Setakat ini, lebih dari 16,000 rakyat Malaysia sedang menjalani rawatan dialisis dan dianggarkan akan menjangkau sehingga 20,000 menjelang 2010. Di seluruh dunia, pesakit yang menjalani rawatan dialisis dianggar akan meningkat pada kadar tujuh peratus setiap tahun.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Pengurusan NKF, Dr. S. S. Gill, penyakit buah pinggang peringkat akhir perlu dicegah bagi mengelakkan beban proses rawatan dialisis.

“Jagalah buah pinggang anda sebaik mungkin. Jika anda telah mendapat penyakit diabetes atau tekanan darah tinggi, pastikan ia dikawal dengan berkesan.

“Jangan biarkan diabetes dan tekanan darah tinggi merosakkan buah pinggang anda,” katanya.

Mereka yang kelihatan sihat dari luar juga perlu mengambil berat masalah buah pinggang ini. Timbalan pengerusi NKF, Prof. Datuk Dr. Zaki Morad Mohamad Zaher menjelaskan NKF menggalakkan semua orang dewasa menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan.

“Saya yakin pengukuran ini dapat mengesan faktor risiko yang ada malah dapat mengesan penyakit buah pinggang peringkat awal.

“Ini seterusnya dapat mengurangkan jumlah kes penyakit buah pinggang kronik (CKD) di Malaysia bagi tempoh 15 tahun yang akan datang,” jelas beliau.

NKF kini menjalankan promosi pemeriksaan kesihatan dengan aktif melalui program ‘NKF Life Check’ yang dilancarkan pada bulan Februari.

Yayasan ini kini mempunyai sebuah bas dengan 40 tempat duduk yang dilengkapi dengan kakitangan yang berkelayakan dan tujuh tempat kerja untuk ujian penyaringan dan khidmat nasihat.

Khidmat ini bukan sahaja bagi memeriksa kesihatan masyarakat umum tetapi juga pekerja-pekerja syarikat. Sambutan yang diperoleh setakat ini adalah baik dan NKF menerima lebih banyak permintaan untuk perkhidmatan pemeriksaan ini. Program NKF Life Check merupakan sebahagian daripada program pendidikan komuniti NKF ‘Kidney Care’ yang dimulakan bersempena dengan sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2008.

Naib Timbalan Pengerusi NKF, Dr. Tan Chwee Choon menyatakan pengesanan awal dan rawatan awal boleh melambatkan perkembangan kegagalan buah pinggang peringkat akhir daripada 20 peratus hingga 50 peratus.

“Yang paling penting, setiap orang perlu belajar tentang penjagaan kesihatan buah pinggang mereka.

“Melalui NKF Kidney Care dan pelbagai acara lain, kami berharap dapat menyampaikan maklumat penjagaan kesihatan buah pinggang kepada orang ramai,” katanya.


Artikel ini adalah sumbangan daripada:
Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia
(http://www.NKF.org.my)

Tuesday, March 11, 2008

Penyakit Gusi Berkaitan Dengan Buah Pinggang

Penyelidikan di Universiti Case Western Reserve, Cleveland, Ohio, Amerika Syarikat mendapati mereka yang mempunyai penyakit gusi dan juga kehilangan beberapa batang gigi mempunyai risiko hampir dua kali ganda lebih tinggi untuk menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD).

Mereka yang mempunyai penyakit gusi dilihat mempunyai risiko 60 peratus lebih tinggi menghidap CKD sementara individu kehilangan gigi mempunyai risiko 85 peratus lebih tinggi.

Penyakit gusi dan kehilangan gigi merupakan faktor risiko bukan tradisional yang dikaitkan dengan CKD di samping kurang pendedahan maklumat dan kegagalan menggunakan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

CKD merupakan antara masalah kesihatan umum yang kurang didiagnosis dan bilangan mereka yang menghidapinya semakin meningkat setiap tahun.

Kumpulan penyelidik berkenaan menyatakan maklumat baru dari beberapa penyelidikan lain dapat membantu menjelaskan dengan lebih rapi hasil rawatan gusi dalam mengurangkan jumlah kes CKD.

Kajian lanjut untuk memahami kaitan antara CKD dan penyakit gusi juga dicadangkan bagi membantu mengurangkan bilangan, perkembangan dan komplikasi CKD.

Monday, March 10, 2008

Jangan Ambil Ringan Kesihatan Buah Pinggang

Buah pinggang atau ginjal mungkin bukan organ tumpuan apabila membincangkan penyakit kronik yang membahayakan nyawa. Namun, perlu disedari bahawa organ penapis bahan kumuh badan ini memainkan peranan yang amat penting dalam menjaga keseimbangan beberapa fungsi badan dan organ lain.

Untuk meningkatkan kesedaran risiko penyakit buah pinggang kepada orang ramai, Hari Buah Pinggang Sedunia mula diadakan sejak 2006, pada hari Khamis kedua bulan Mac setiap tahun. Hasil inisiatif bersama Persatuan Nefrologi Antarabangsa (ISF) dan Persekutuan Yayasan Buah Pinggang Antarabangsa (IFKF), sambutan hari berkenaan juga untuk menggalakkan pencegahan dan pengesanan awal masalah buah pinggang.

Dianggarkan lebih 500 juta penduduk dunia atau kira-kira 10 peratus golongan dewasa kini mengalami masalah buah pinggang atau penyakit buah pinggang kronik (CKD) dengan kira-kira 2,500 pesakit baru mengalami masalah buah pinggang dan memerlukan rawatan dialisis setiap tahun di Malaysia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan bilangan kes CKD perlu diturunkan sebanyak dua peratus untuk setiap tahun bagi 10 tahun akan datang dengan meningkatkan kesedaran umum tentang pentingnya pengesanan awal dan langkah pencegahan penyakit buah pinggang.

Langkah ini diharapkan dapat mengelakkan sejumlah 36 juta kematian akibat masalah buah pinggang dalam tempoh berkenaan. Dengan tema ‘buah pinggang yang mengagumkan’ tahun ini, diharap dapat menekankan betapa pentingnya peranan buah pinggang yang menapis dan membersihkan 200 liter darah setiap hari.

Antara faktor meningkatkan risiko CKD adalah, pesakit diabetes mellitus atau hipertensi, berat badan berlebihan atau obes, menghisap rokok, umur melebihi 50 tahun atau mempunyai sejarah keluarga dengan diabetes mellitus, hipertensi dan penyakit buah pinggang. Mereka yang mempunyai faktor-faktor risiko ini perlu menjalani pemeriksaan berkala bagi memastikan buah pinggang sihat dan berfungsi dengan baik. CKD boleh dikesan dengan ujian mudah terhadap air kencing bagi menguji tahap kreatinine, tahap penapisan dan kehadiran protein albumin.

Dengan adanya diabetes atau hipertensi, atau kedua-duanya sekali, CKD mungkin akan menjadi lebih teruk sehingga membawa kepada kegagalan fungsi tahap akhir buah pinggang. Jika ini berlaku, pesakit hanya mempunyai dua pilihan sama ada menjalani rawatan dialisis (mencuci darah) atau pemindahan buah pinggang.

Tempatan

Ketua Perkhidmatan Nefrologi, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Rozina Ghazalli menjelaskan CKD adalah penyakit senyap yang berlaku tanpa disedari sehinggalah mencapai tahap akhir.

“Kerosakan berterusan yang berlaku pada buah pinggang sering terlepas pandang kerana tidak menyakitkan pada peringkat awal.

“Jika CKD berkembang kepada kegagalan buah pinggang peringkat akhir, pesakit terpaksa menanggung kos ubat yang tinggi sama ada melalui dialisis setiap minggu ataupun pemindahan buah pinggang,” katanya.

Dr. Rozina menegaskan, pendedahan kepada orang ramai tentang bahaya penyakit seperti diabetes dan juga CKD dapat membantu mengawal penularan penyakit kronik dalam jangka panjang.

“Rekod Pendaftaran Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia menunjukkan lebih 18,000 pesakit kini menjalani rawatan dialisis atau telah menjalani pemindahan buah pinggang.

“Lebih 57 peratus daripada bilangan pesakit buah pinggang berkenaan turut direkodkan mempunyai diabetes,” ujar beliau.

Dr. Rozina juga menegaskan, pendedahan maklumat penjagaan dan pencegahan penyakit buah pinggang kepada umum akan mengurangkan beban penyakit di samping beban psikososial dan ekonomi terhadap pesakit, keluarga, komuniti dan kerajaan.

Antara cara untuk menjaga dan mencegah penyakit buah pinggang adalah dengan mengawal tekanan darah, mengawal diabetes, gaya hidup sihat (pemakanan dan senaman), berhenti merokok, menjaga berat badan, minum sekurang-kurangnya dua liter air setiap hari dan mengelakkan mengambil ubat yang boleh merosakkan buah pinggang seperti ubat penahan sakit tertentu. Buah pinggang bukan sahaja berfungsi menapis dan membuang toksin dan air berlebihan di dalam badan malahan penting dalam menghasilkan hormon-hormon tertentu untuk membuah sel darah, mengawal tekanan darah dan mengekalkan tulang yang kuat.

Menurut Dr. Rozina, kegagalan buah pinggang juga boleh membawa kepada penyakit kardiovaskular.

“Setiap tahun, dianggarkan kira-kira 10 peratus pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis meninggal dunia.

“Kebanyakan daripada mereka bukan meninggal dunia akibat masalah buah pinggang, sebaliknya akibat penyakit jantung,” jelasnya.

Kata beliau, perkhidmatan nefrologi Kementerian Kesihatan juga telah memulakan Program Sayang Buah Pinggang sejak 2004 untuk memberikan pendedahan maklumat terkini kepada doktor dan jururawat.

Kos

Bagi Presiden Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN), Dr. Tan Chwee Choon pula, program dan forum untuk kakitangan kesihatan ini juga berkesan dalam membantu menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

“Dengan memberikan maklumat terkini kepada kakitangan kesihatan, pesakit boleh mendapatkan maklumat mengenai buah pinggang dengan lebih mudah dan tepat.

“Ini penting bagi memastikan pesakit dan juga doktor mendapat maklumat tepat mengenai CKD untuk memudahkan pengesanan dan rawatan awal,” jelasnya.

Tegas beliau, pencegahan dan rawatan awal penting kerana masalah buah pinggang perlu ditanggung untuk satu tempoh yang lama dalam hidup.

Selain itu, Dr. Chwee Choon turut menjelaskan, bilangan sebenar pesakit buah pinggang atau yang meninggal akibat buah pinggang sukar ditentukan.

“Ramai pesakit buah pinggang meninggal akibat sakit jantung sebelum masalah pada organ berkenaan dikesan.

“Memandangkan mereka meninggal sebelum dikesan atau menerima rawatan dialisis, kebanyakannya akan digolongkan sebagai meninggal akibat sakit jantung,” kata beliau.

Menurut beliau, ini jelas menunjukkan kesan berangkai antara masalah pada buah pinggang dengan masalah organ lain, terutamanya jantung.

Tambahnya, ini lebih membimbangkan kerana 90 peratus pesakit CKD di seluruh dunia belum dikesan, terutamanya di negara membangun.

Dr. Chwee Choon memaklumkan kos untuk setiap sesi dialisis adalah antara RM150 hingga RM200 tetapi pesakit akan memerlukan tiga kali rawatan setiap minggu.

“Kos ini berkurangan sedikit di pusat dialisis badan bukan kerajaan (NGO) yang menerima subsidi kerajaan, antara RM50 hingga RM60 untuk setiap sesi.

“Anggaran kasar kos operasi tahunan untuk rawatan pesakit sahaja adalah antara RM100 juta hingga RM200 juta,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun menyatakan kos penyakit buah pinggang bukan hanya dari segi kewangan malahan penderitaan yang terpaksa ditanggung pesakit.

Peluang kedua

Pengerusi Penganjur Hari Buah Pinggang Sedunia 2008 Malaysia, Dr. Goh Bak Leong menyatakan pesakit yang menjalani dialisis secara puratanya dapat hidup antara 10 hingga 15 tahun lagi.

“Jika anda salah seorang yang perlu hidup dengan dialisis, anggaplah anda mendapat peluang kedua.

“Walaupun sukar, ini tidak bermakna hidup anda telah berakhir kerana banyak yang boleh dicapai dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Tegas beliau, teknologi juga semakin berkembang dan memungkinkan penemuan kaedah rawatan dan pencegahan yang lebih berkesan kelak.

Tambahan pula, mereka yang mengetahui mempunyai masalah mungkin lebih bertuah memandangkan bagi setiap pesakit dengan masalah buah pinggang yang dikesan, sembilan pesakit lagi gagal ditemui.

Berasaskan slogan tahun ini, ‘Adakah Buah Pinggang Anda Sihat?’, orang ramai disarankan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2008 dan lakukan ujian mudah untuk menguji tahap kesihatan buah pinggang anda. Ingatlah, pengesanan awal bukan sahaja dapat memperlahankan perkembangan kerosakan buah pinggang malahan mampu mengelakkan kegagalan fungsi buah pinggang.


Ditulis oleh:
Nurul Anuar Kari

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/