Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, December 28, 2011

Yogurt Boleh Ubati Stres

Berdasaekan laporan ilmiah yang diterbitkan oleh Proceeding of the National Academy of Sciences, minuman susu fermentasi atau yogurt dikatakan mampu mengubati depresi.

Menurut sekumpulan pengkaji Ireland, probiotik, atau bakteria baik yang terkandung di dalam yogurt memiliki potensi untuk mengubah kimia otak dan mengurangkan kecemasan dan gangguan yang berkait rapat dengan tekanan.

Rumusan itu hasil daripada uji kaji ke atas seekor tikus yang diberikan probiotik Lactobacillus rhamnosus. Kumpulan pengkaji tersebut mendapati, tikus yang diberi probiotik kurang memiliki tanda-tanda mengalami stres, cemas dan murung. Tikus itu juga mempunyai hormon stres kortikosteron yang jauh lebih rendah.

“Ini membuktikan bahawa probiotik dapat mempengaruhi kimia otak. Ia juga menunjukkan bakteria berperanan penting dalam komunikasi di antara usus dan otak,” ujar Profesor John Cryan dari Kolej Universiti Cork, Ireland.

Namun begitu, dia menegaskan bahawa orang yang mengalami kemurungan tidak boleh mengambil jalan mudah dengan membeli semua jenis yogurt di pasaran.

EKSTRA: Amalan meminum air daun mangga yang telah direndam semalaman di dalam secawan air sangat membantu meringankan gejala diabetes.

Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my/

Saturday, December 24, 2011

Kurang vitamin D picu kanser usus

Kanser kolorektal atau kanser yang menyerang usus besar dan rektum dikatakan cepat merebak ke bahagian lain sebelum merosakkannya.

Walaupun punca kanser ini belum dikenal pasti, namun satu analisis terbaharu menunjukkan pola makan tertentu dapat mengurangkan risiko penyakit ini.

Menurut laporan dalam Jurnal Klinikal Onkologi, pola pemakanan yang tinggi dengan vitamin D boleh menurunkan risiko kanser usus sehingga 33 peratus.

Dalam 18 kajian melibatkan lebih daripada 10,000 orang mendapati, mereka yang mengambil vitamin D lebih tinggi, lebih rendah risiko untuk mendapat penyakit tersebut.

Namun, Dr. Huanlong Qin dan rakannya dari The Sixth People Hospital dan Universiti Jiao Tong Shanghai, China, mengatakan penemuan tersebut belum dapat disahkan lagi kerana belum banyak kajian yang menganalisis hubungan antara vitamin D dengan kanser usus dijalankan.

EKSTRA: Selain boleh mengurangkan tekanan darah tinggi, menarik nafas panjang juga boleh mengurangkan rasa sakit, menjauhi perasaan gugup dan melegakan perut.

Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my/

Tuesday, December 20, 2011

Aktif Bersenam Pintar Matematik

Bijak dalam subjek Matematik menjadi salah satu kelebihan kanak-kanak yang aktif khususnya mereka yang mengalami obesiti.

Senaman biasa boleh menambah kemampuan kanak-kanak obes, yang biasanya hanya duduk diam, untuk berfikir, membuat pelbagai rancangan, bahkan bertambah baik dalam Matematik.

Demikian penemuan oleh pengkaji di Universiti Sains Kesihatan Georgia, Amerika Syarikat (AS).
Mengapa mata pelajaran Matematik? Tidak dijelaskan sebabnya, namun alasan utama kerana Matematik adalah subjek yang memiliki tahap kesukaran yang lebih tinggi berbanding mata pelajaran lain.

Para pengkaji juga berharap agar bukan kanak-kanak obes sahaja yang perlu bersenam setiap hari, bahkan mereka yang bertubuh normal. Penyelidikan tersebut didasarkan pada kajian ke atas 171 orang kanak-kanak terlebih berat badan berusia antara tujuh hingga 11 tahun di AS.

Setelah melakukan senaman setiap hari, terdapat perkembangan yang sangat signifikan dari segi kecergasan dan penguasaan mereka dalam matematik. Menurut laman web Pysch Central, selepas dilakukan imbasan MRI terhadap otak kanak-kanak tersebut, terdapat peningkatan aktiviti otak di korteks prefrontal iaitu kawasan yang digunakan untuk berfikir.

Selain itu, kecerdasan otak (IQ) turut bertambah. Semakin kerap mereka bersenam, semakin tinggi IQ mereka. Rata-rata berlaku peningkatan sebanyak 3.8 mata untuk mereka yang bersenam selama 40 minit sehari selama tiga bulan.

Senaman yang dilakukan adalah pelbagai. Ini termasuk berlari, lompat tali dan bersenam.

Semua aktiviti itu juga merangsang otak. Ini memandangkan senaman membuatkan aliran darah serta oksigen ke otak berjalan lancar.

Faktanya, seseorang tidak mungkin boleh bergerak jika otaknya tidak aktif. Untuk aktif, oksigen diperlukan sekali gus menjadikan kedua-dua aktiviti dan oksigen saling berkait.

 Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my/

Friday, December 16, 2011

Jangkit HIV Melalui Makanan Dikunyah

Kajian terbaru dari Afrika Selatan mendapati, lebih daripada dua pertiga ibu dan penjaga positif HIV yang memberikan makanan yang mereka kunyah kepada bayi masing-masing, berkemungkinan meletakkan bayi mereka berisiko tinggi mendapat jangkitan virus berbahaya itu.

Walaupun melalui kajian tersebut penyelidik tidak bertanyakan soalan kepada penjaga berkenaan sama ada mereka mempunyai virus HIV atau tidak semasa perbincangan mengenai pemberian makanan kepada bayi diadakan, tetapi setengah daripada mereka ditemu ramah di klinik HIV.

Kebanyakan penjaga yang mengunyah makanan juga didapati mengalami penyakit mulut seperti gusi berdarah dan bengkak mulut tetapi masih lagi memberikan makanan yang dikunyah mereka kepada bayi.

Hal ini secara tidak langsung menyebarkan penyakit tersebut kepada bayi yang dijaga sekiranya mulut bayi tersebut luka.

Kajian terkini yang dilakukan oleh Dr. Aditya Gaur, di Hospital Kanak-Kanak St. Jude di Memphis, Amerika Syarikat juga mendapati amalan kunyahan makanan telah menular di kalangan masyarakat setempat.
"Seterusnya kita akan melihat sejauh mana risiko pengamalan pemindahan pathogens ini akan berlaku," katanya kepada Reuters.

Dr. Gaur merupakan salah seorang penyelidik pertama yang mengkaji permasalahan tersebut di Amerika Syarikat. Tetapi secara amnya dia mendapati bukti-bukti yang menunjukkan kes-kes tersebut adalah sedikit.
Dalam pada itu, kajian terbaru yang diketuai oleh Dr. Elke Maritz dari Hospital Kanak-Kanak Tygerberg dan Universiti Stellenbosch di Cape Town, juga tidak dapat membuktikan terdapatnya kaitan antara kunyahan makanan dan jangkitan HIV kepada bayi.

Tetapi penjaga-penjaga perlu mengetahui risiko-risiko yang bakal dihadapi terutama sekali di kawasan yang mempunyai jumlah penyakit HIV dan hepatitis B yang tinggi.

Mereka juga perlu mengetahui cara lain bagaimana bayi boleh mengalami jangkitan tersebut selain melalui makanan yang telah dikunyah.

Dalam kajian tersebut, Maritz dan rakan-rakan yang lain telah menemu bual 154 penjaga bayi terutama ibu-ibu di tempat menunggu HIV, klinik ibu mengandung dan juga rumah kanak-kanak.

Dua pertiga daripada mereka atau 106 orang menyatakan bahawa bayi mereka diberi makanan yang telah dikunyah oleh mereka.

Sebanyak 55 orang daripada mereka pula mengalami penyakit mulut seperti gusi berdarah dan bengkak mulut dan 41 daripada jumlah tersebut dilaporkan memberi makanan yang mengandungi darah kepada bayi mereka.
Begitupun, perkara tersebut merupakan senario biasa yang sering dialami bayi ketika menerima makanan yang telah dikunyah sama ada dari ibu mereka ataupun penjaga mereka.

"Laporan mengenai makanan yang bercampur dengan darah bukan lagi satu perkara yang merunsingkan mereka malah bayi-bayi tersebut turut mengalami penyakit mulut," ujar Maritz lagi.

Para penjaga yang ditemui memberitahu, mereka melakukan perkara tersebut (mengunyah makanan) bertujuan untuk merasa makanan tersebut terlebih dahulu sama ada panas atau tidak sebelum diberikan kepada bayi masing-masing.

Kebanyakan daripada mereka turut memberitahu bahawa mereka dinasihati berbuat demikian oleh ibu masing-masing dan mereka juga tidak mengetahui risiko yang bakal dihadapi.

"Berdasarkan kepada amalan yang dilakukan oleh masyarakat setempat sebelum ini, mengunyah makanan merupakan perbuatan biasa yang sering dilakukan oleh penjaga-penjaga dan mereka juga tidak diberitahu semasa ditemu ramah sekali gus tidak mengesyaki sesuatu yang buruk melalui amalan tersebut," kata Maritz.
Tambahnya lagi, sebenarnya mengunyah makanan bukanlah satu perbuatan yang salah atau teruk dan perbuatan ini sering dilakukan oleh keluarga yang tidak berkemampuan untuk memiliki peralatan yang boleh menghancurkan makanan.

Bagaimanapun, menurut Gaur pula, ia amat penting untuk seimbangkan risiko kekurangan makanan dengan potensi yang dapat memindahkan penyakit HIV melalui makanan yang dikunyah.

Tambah Gaur, sebaik sahaja para penyelidik mendapat gambaran sebenar mengenai masalah tersebut dan bagaimana mudahnya virus HIV dapat dipindahkan melalui makanan yang dikunyah, doktor-doktor akan memberi nasihat kepada pesakit mengenai risiko yang bakal dihadapi. Tetapi semua ini memerlukan penyelidikan yang lebih mendalam.

"Bila anda menyedari akan segala risiko ini, anda akan berkongsi bersama pesakit-pesakit dan dalam masa yang sama anda juga harus menyedarkan masyarakat setempat mengenai segala risiko-risiko ini.
"Kajian ini perlu diterjemahkan ke dalam bentuk kaunseling dan juga amalan seharian," katanya.
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Monday, December 12, 2011

Pil Kurus Bukan Penyelesaian

SOALAN:
Saya mempunyai masalah berat badan. Seorang rakan menyarankan saya mengambil pil kurus. Apakah kesannya kepada kesihatan saya? Bagaimana saya mahu menguruskan badan tanpa kesan sampingan?

Suzi, 
Kuala Lumpur.

JAWAPAN:

Masalah berat badan merupakan isu utama di kalangan wanita tak kira peringkat usia, bangsa dan adat budaya. Ia sentiasa menghantui pemikiran. Kadang-kadang wanita kita yang mempunyai masalah ini digelar '3G' - gebu, gempal dan gemuk. Ada yang bimbang suami memandang wanita lain yang lebih cantik jelita. Para isteri sanggup berbuat apa saja untuk menarik perhatian suami kepada diri mereka. Ada yang menghabiskan beribu ringgit untuk rawatan kecantikan dan juga pelangsing badan. Kegemukan atau obesiti juga boleh mengakibatkan masalah kesihatan lain seperti meningkatnya risiko kanser payu dara, kanser usus (kolorektal), kanser rahim (uterus/ peranakan), penyakit buah pinggang, ketidakseimbangan hormon dalam badan, penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan juga strok (angin ahmar).

Mesti ramai di antara anda yang berazam nak kuruskan badan. Tapi untuk menguruskan badan anda ke tahap ideal ia bukanlah semudah yang disangka. Anda perlukan komitmen yang amat tinggi untuk merealisasikannya. Berikan diri anda ruang, masa dan usah cepat berputus asa. Anda pasti boleh.

Bersungguh-sungguh

Kalau anda bersungguh-sungguh mahu kuruskan badan, sebaik-baiknya usahakannya secara semulajadi dengan menggabungkan dua aspek iaitu pemakanan seimbang dan senaman yang konsisten. Biarpun hasilnya lambat sedikit, ia pasti berbaloi. Terdapat beberapa panduan ringkas yang boleh anda amalkan demi mencapai impian tersebut iaitu dengan menetapkan matlamat anda untuk mengurangkan berat badan secara perlahan-lahan. Iaitu penurunan dalam lingkungan 0.5 kilogram hingga satu kilogram dalam seminggu.
Biasanya 0.5 kilogram adalah angka yang biasa yang mampu dicapai oleh kebanyakan anda. Jangan terlalu memaksa jika anda tak mencapai sasaran awal. Jika anda dapat kurangkan 0.1 kilogram pun dah bagus untuk peringkat permulaan.

Sebaiknya, lupakan niat anda untuk mengambil sebarang ubat-ubatan dengan tujuan menurunkan berat badan. Lebih-lebih lagi tanpa mendapat nasihat atau kebenaran doktor.

Rendah kalori

Anda juga disaran mengambil makanan dan minuman yang rendah kalori dan mempunyai kandungan nutrien yang tinggi. Kurangkanlah sebanyak 500 kalori sehari untuk mengurangkan berat badan. Kurangkan juga pengambilan makanan ataupun minuman yang manis (kandungan gula yang tinggi). Lebihkanlah memakan buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Anda juga hendaklah mengelak dari memakan makanan ringan di antara waktu makan dan memperbanyakkan meminum air mineral atau air kosong sahaja.

Anda juga hendaklah menetapkan waktu makan anda setiap hari. Sebagai contoh mengambil sarapan di antara jam 7.00 ke 7.30 pagi, makan di antara waktu pagi dan tengahari (10.00 - 11.00 pagi), makan tengahari (12.30 tengahari - 1.30 petang), minum petang (3.30 - 4.00 petang) dan makan malam (6.30 petang - 7.30 malam). Kemudian, disiplinkan diri anda agar makan pada waktu yang ditetapkan. Jika dicepatkan atau dilambatkan sedikit pun tak mengapa. Ikut keadaan dan kesesuaian anda. Cuba amalkan untuk menjamah makanan di ruang makan dan bukanlah di depan televisyen. Biasakan diri untuk menggunakan pinggan yang lebih kecil semasa makan. Tujuannya supaya anda tidak mengambil terlalu banyak atau menambah lauk-pauk yang berlemak atau berkalori tinggi.

Penuhkan hari anda dengan melakukan aktiviti tertentu bagi mengelakkan daripada asyik teringatkan makanan.

Sebagai contoh, lakukan aktiviti senaman atau aerobik tiga hingga lima kali seminggu. Lakukan selama 30 minit setiap hari. Akhir sekali, pastikan anda mendapatkan rehat secukupnya. Contohnya waktu tidur, tidurlah dalam enam hingga lapan jam sehari. Saya mengharap agar Suzi dapat mencuba panduan kuruskan badan yang telah diberikan. Insya-Allah, anda akan kelihatan lebih langsing ataupun mendapatkan berat badan yang ideal. Selamat mencuba.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Thursday, December 08, 2011

Terapi Sinar Inframerah Jauh

Dulu badannya cepat letih dan sering mengantuk. Lebih memburukkan keadaan apabila berat badannya tidak menentu. Sebagai seorang kakitangan kerajaan, Yatie Nordin berasa risau. Lebih-lebih lagi, pada usia mencecah 50-an, dia perlukan banyak tenaga.

Justeru itu, dia amat serius perihal penjagaan kesihatan ini. Mungkin bagi rakan-rakannya, dia seorang wanita yang sihat tubuh badan. Namun, Yatie beranggapan masalah berat badan dan toksin sama penting seperti dia melakukan rawatan wajah.

Dalam kesibukan mengejar tugas harian, Yatie diperkenalkan Terapi Sinar Inframerah Jauh (FIR) Zazen .
"Sebagai seorang wanita bekerja, saya jarang mempunyai masa bersenam. Pengetahuan tentang terapi ini membuatkan saya ingin memiliki sauna Zazen. Selepas memiliki sendiri sauna ini, saya kemudiannya bercadang untuk membuka pusat terapi sauna FIR," ujarnya yang kini mengusahakan Zazen Health Solutions Sdn. Bhd terletak di No. 1-41, Jalan Pandan Prima 2, Dataran Pandan Prima, Kuala Lumpur (berhampiran TESCO Ampang).

Toksik

Sebagai rawatan alternatif, terapi FIR Zazen membakar 600 sehingga 900 kalori setiap 30 minit sesi.
Bahkan terapi ini membantu mengekalkan berat badan ideal.

Menurut Yatie, rawatan terapi pemanasan inframerah jauh merupakan penyelesaian sains untuk pelbagai masalah kesihatan.

"Berbanding dengan sauna konvensional, alat sauna FIR membolehkan pesakit yang menghidap masalah jantung dan lelah mencubanya tanpa memberi kesan terhadap penyakit yang mereka hadapi. Rawatan terapi mudah ini juga tidak memenatkan ini hanya memerlukan pesakit duduk di dalam alat sauna selama 30 minit pada setiap kali rawatan. Berbeza dengan sauna biasa yang hanya merangsang permukaan kulit untuk mengeluarkan peluh, sauna FIR ini bertindak daripada dalam," ujarnya.

Sistem pemanasan FIR jauh mampu mengeluarkan toksik yang terkandung dalam lapisan ketiga kulit manusia.
Selepas menjalani terapi ini, 70 peratus air berbentuk peluh akan keluar dan selebihnya ialah toksik yang terkumpul dalam badan kita.

Kebiasaannya pesakit yang telah menerima rawatan terapi akan berasa lebih ringan, dapat tidur malam dengan lebih lena dan akan ke tandas pada keesokan paginya.

Oksigen

Selepas menerima rawatan terapi ini pesakit akan dapat meningkatkan peredaran darah dan oksigen dalam tubuh.

Disebabkan pelancaran darah baik, ia memberi kecantikan pada kulit di samping menggalakkan pertumbuhan sel kulit baru dan membakar lemak.

Ia juga sesuai digunakan oleh semua orang daripada bayi hingga kepada warga emas. Hanya wanita mengandung dan dalam haid tidak digalakkan mencuba kerana dikhuatiri memudaratkan kandungan dan menambah kelesuan badan akibat pengeluaran darah haid.

"Pada tahun 1998, FDA meluluskan penggunaan terapi sinar inframerah sebagai alat untuk meredakan kesakitan otot dan tisu. Terapi alternatif ini dapat membantu dalam prestasi atlet tempatan. Ia juga digunakan oleh individu yang prihatin terhadap kesihatan. Secara umumnya, kabin Zazen FIR sesuai untuk kegunaan seharian setiap ahli keluarga di kediaman masing-masing. Kami juga menyediakan rawatan percuma kepada warga emas," ujarnya.

Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah   
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Sunday, December 04, 2011

Pengurusan Ekzema Atopik

Ekzema merupakan penyakit kulit yang kerap dialami di seluruh dunia dengan 10 hingga 20 peratus terdiri daripada kanak-kanak dan satu hingga tiga peratus merupakan golongan dewasa. Ekzema atopik atau dermatitis atopic sejenis penyakit radang kulit yang mencetuskan ruam gatal hingga menyebabkan rasa sakit dan resah.

Penyakit kulit ini merupakan jenis ekzema yang paling banyak berlaku tetapi puncanya masih samar. Faktor genetik dan persekitaran dikatakan memainkan peranan dalam berlakunya masalah kulit.

Ia boleh menjangkiti sesiapa saja, namun lebih kerap berlaku pada kanak-kanak.

Penjagaan kulit kanak-kanak yang mengalami ekzema biasanya satu proses berterusan sehingga mereka dewasa.

Bukan setakat rasa gatal, merah dan ruam, penyakit ini juga boleh memberi tekanan emosional dan kesan kewangan bukan sahaja ke atas pesakit tetapi juga ahli keluarga, khususnya penjaga.

"Ekzema atopik satu bentuk alergi atau alahan, di mana ia berpunca daripada sistem kekebalan tubuh (imun) yang tidak normal sehingga membawa kepada kepada kerosakan kulit.

Ia adalah suatu keadaan di mana kulit pesakit khususnya kanak-kanak menjadi gatal dan kering.

Apabila kanak-kanak terasa kulitnya gatal, mereka akan menggaru dan ini merosakkan kulit dan mencetuskan kegatalan semula. Ini menyebabkan kelembapan kulit hilang menyebabkan berlakunya ekzema atopik," ujar Pakar Runding Pediatrik dan Dermatologi Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Leong Kin Fon.
Bayi yang berhadapan dengan ekzema atopik akan mengalami keresahan dan sukar untuk tidur.

Akibatnya, penjaga turut mengalami masalah yang sama sehingga menyebabkan tekanan.

Meningkat

Tambah Dr. Kin Fon, di Malaysia sahaja, 12.6 peratus pelajar sekolah menghadapi masalah ekzema berbanding di Indonesia hanya 3.7 peratus. Fenomena ini juga lebih tinggi di Malaysia Timur berbanding di Semenanjung.

Kebimbangan ini juga melibatkan kes ekzema atopik di kalangan kanak-kanak berumur enam hingga tujuh tahun yang meningkat daripada 9.5 peratus kepada 12.6 peratus.

Daripada kes yang berlaku, kulit pesakit atopik ekzema bukan sahaja menjadi kemerah-merahan, tetapi juga bersisik, keras dan tebal terutama di bahagian tangan dan kulit yang berlipat misalnya pada bahagian siku serta lutut.

"Kulit mungkin menjadi keras dan melecet atau bernanah akibat jangkitan bakteria. Jika seorang ahli keluarga mempunyai ekzema, asma atau alahan rinitis (alahan pada debunga), anak mereka ada peluang besar untuk turut mengalaminya.

Sesetengah kanak-kanak yang ada ekzema turut mendapat asma atau alahan rinitis. faktor persekitaran seperti cuaca dan pencemaran juga dikatakan menjadi faktor utama penyakit ini," katanya ketika kempen kesedaran ekzema atopik anjuran Leo Pharma di Bangsar, Kuala Lumpur.

Rawatan

Dalam pada itu Pakar Dermatologi, Pensyarah Kanan Hospital Hammersmith dan Pakar Kehormat Dermatologi di Kolej Imperial dan Diraja Lepasan Ijazah Sekolah Perubatan, London, Dr. Anthony Chu berharap pesakit berbincang dengan individu yang pakar terutama dalam pengurusan bagi meminimumkan serangan ekzema.

Menggambarkan bayi yang menghidap penyakit ini akan resah dan tidak boleh duduk diam, Dr. Anthony berpendapat ia sesuatu yang serius kerana kesan gatal atau ruam yang digaru itu boleh luka dan berdarah.
Menurut beliau, terdapat dua pilihan rawatan iaitu menggunakan streoid atau kombinasi streoid antibiotik dan krim.

Selain menggunakan pelembap, steroid untuk keradangan dan anti ubat gatal, pesakit boleh mengawal keadaan itu sendiri. Ini termasuk mengurangkan penggunaan cecair pencuci, penghilang bau, kosmetik, debunga dan makanan tertentu.

Dalam pada itu, pesakit-pesakit ekzema tidak disarankan menggunakan sabun atau mandian berbuih pada kulit mereka kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan kulit.

Sebaliknya, mereka disarankan menggunakan pembersih dan pelembap yang bukan sahaja berfungsi sebagai pelindung tetapi juga pelembap terutama kulit yang alergi.

Sementara itu, kempen kesedaran ekzema atopik (bersatu menentang rasa gatal (itch) yang dijalankan dengan sokongan Leo Pharma ini, bertujuan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai penyakit tersebut.

Berikut beberapa langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah ekzema:
* Bawa anak berjumpa doktor
* Pastikan mereka mandi dengan sabun khas yang berkelembapan tinggi tanpa bahan kimia yang mengeringkan kulit.
* Sapu pelembap di seluruh badan selepas mandi.
* Pakai pakaian yang nipis dan diperbuat daripada fabrik kapas.
* Pastikan persekitaran rumah bersih dan bebas dari habuk dan kotoran.
* Jika anak berpeluh ambil kain basah dan lap di tempat yang berpeluh.
Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah   
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/