Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label nurul anuar kari. Show all posts
Showing posts with label nurul anuar kari. Show all posts

Monday, October 05, 2009

Pentingnya Jantung Pekerja

Melihat telatah kanak-kanak, dapat dirasakan dengan jelas perbezaan keseronokan yang dikecapi dalam bergerak, bermain dan bergembira.

Bagi kanak-kanak, semua perkara merupakan satu pengalaman baru yang perlu diterokai, sementara ada di antara golongan dewasa seakan hilang rasa teruja terhadap persekitarannya.

Bolehkah semua ini digalaskan puncanya terhadap suasana kerja dalam zaman moden yang pantas dan menyerabutkan kepala?

Mungkin frasa kata bekerja untuk hidup (mencari rezeki) kini lebih sesuai ditukar kepada hidup untuk bekerja.

Dikerjakan

Mungkin disebabkan keinginan mengejar kemewahan ataupun aplikasi teknologi moden dalam pekerjaan telah memaksa ramai pekerja menghabiskan lebih banyak masa di pejabat daripada di rumah.

Balik ke rumah juga cuma untuk tidur, kadang kala hanya untuk beberapa jam sebelum terpaksa bangun awal untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas untuk ke pejabat semula.

Bertuah sekali bagi golongan pekerja yang tidak terperangkap dalam rutin 'maut' yang menambah tekanan mental dan fizikal kerana akhirnya ia bukan sahaja akan merosakkan badan pekerja, malahan memberi kesan kepada organisasi yang mengupah mereka.

Masakan tidak, organisasi tersebut perlu menanggung kos perubatan yang tinggi dan juga kehilangan produktiviti tenaga kerja berkenaan.

Untuk itu, Pakar Perunding Kardiologi, Jabatan Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Shaiful Azmi Yahya menekankan pentingnya menjaga kesihatan diri dan jantung di tempat kerja.

"Sempena Hari Jantung Sedunia hari ini, kita perlu memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan jantung pekerja.

"Memandangkan kita menghabiskan lebih masa masa di tempat kerja, jangan biarkan diri terperangkap dalam gaya hidup yang boleh merosak dan menjejaskan kesihatan diri," katanya.

Beliau menyarankan kaedah mudah seperti banyakkan berjalan, menggunakan tangga (bukannya lif), menjaga apa yang dimakan dan tidak merokok untuk memastikan diri kekal sihat.

Tegasnya, majikan juga boleh menonjolkan sifat prihatin dengan menyediakan sedikit kemudahan untuk bersenam (gim) dan kafeteria yang menghidangkan pilihan makanan seimbang.

"Bagi sesebuah organisasi, kesihatan kakitangan menjadi tunjang kejayaan dan kelangsungan mereka.

"Jika pekerja sakit, organisasi tersebut juga yang akan kerugian dari segi pembiayaan perubatan dan juga kehilangan produktiviti kerja!"

Dr. Shaiful Azmi mendakwa masalah jantung kini berada di tangga kedua pembunuh utama rakyat Malaysia, di belakang jangkitan kuman (seperti denggi dan sebagainya).

"Sedangkan kereta juga kita perlu servis untuk pastikan bergerak lancar, inikan pula badan dan jantung kita.

"Lakukan pemeriksaan sebelum sebarang masalah timbul, terutamanya untuk mereka yang melebihi umur 40 tahun atau dalam kumpulan berisiko," ujarnya.

Beliau memaklumkan banyak mangsa serangan jantung yang akan menemui ajal (sekitar 20 peratus).

Tambahnya, bukan sahaja keluarga kehilangan orang tersayang, malahan majikan akan kehilangan tenaga kerja di usia mereka paling produktif.

Saringan dari ketika diri masih sihat juga sebenarnya melindungi dari bebanan kos rawatan jika mengalami penyakit jantung.

Dr. Shaiful Azmi menjelaskan kos rawatan pesakit dengan masalah jantung boleh melangkaui RM20,000, dan ini belum termasuk kos rawatan susulan.

"Pembedahan, prosedur rawatan, ubat dan kos ditahan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) menelan belanja besar bagi seseorang pesakit jantung.

"Kos ini akan menjadi lebih tinggi sekiranya terdapat komplikasi semasa rawatan. Untuk itu, pemeriksaan berkala dan pencegahan dari awal dapat menyelamatkan anda dari beban kewangan untuk rawatan penyakit jantung kelak," tegasnya.

Kos rawatan yang besar ini juga pasti menjejaskan kewangan majikan, terutamanya jika terpaksa menanggung rawatan untuk ramai kakitangan dengan masalah jantung.

Untuk itu, jangan diabaikan atau diambil mudah kelebihan saringan dan pemeriksaan berkala yang hanya menelan belanja kecil berbanding rawatan selepas sakit.

Abaikan

Antara kesan jelas pengabaian kesihatan diri adalah kehilangan beberapa pemimpin, sehinggakan negara tidak putus-putus mengadakan pilihan raya kecil.

Dr. Shaiful Azmi turut berkongsi rasa kecewa bagaimana masalah jantung tetap diambil mudah masyarakat umum.

"Kita sering kali menganggap semua orang tiada masalah jantung. Pemeriksaan kesihatan jantung selalunya diabaikan selagi seseorang itu kelihatan sihat atau tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit.

"Pemeriksaan jantung sepatutnya dimulakan ketika kita masih sihat lagi, bukannya selepas sudah sakit. Periksa dari awal! Jika tiada masalah, boleh ulang saringan selepas satu atau dua tahun," tegasnya.

Menurut beliau, pemeriksaan berkala dari ketika badan masih sihat dapat memastikan tiada masalah pada jantung dan juga dapat mengesan sebarang masalah dari peringkat awal.

Tambahnya, jika kerosakan jantung lewat dikesan, dan pada usia yang sudah lanjut, pasti amat sukar untuk memulihkan dan merawat masalah tersebut.

"Ada juga yang mengalami sakit dada tetapi hanya mengabaikannya. Risiko untuk masalah jantung juga telah berulang kali dinyatakan tetapi masih ramai yang tidak ambil peduli.

"Mereka yang mempunyai faktor risiko masalah jantung perlu beri perhatian dan jalani pemeriksaan berkala sebelum berlakunya kerosakan yang tidak dapat dirawat lagi!"

Mengerjakan

Puasa selama satu bulan telah melatih diri kita untuk mengurangkan pengambilan makanan, terutamanya jenis yang memudaratkan badan.

"Semasa Ramadan, kebiasaannya ramai yang mengurangkan pengambilan makanan berlemak, berminyak ataupun air berkarbonat.

"Namun, semua kebaikan yang dikumpulkan sepanjang berpuasa boleh musnah dalam satu Hari Raya sahaja jika tidak menjaga apa yang dimakan," tegas Dr. Shaiful Azmi.

Beliau menyarankan orang ramai meneruskan amalan baik sepanjang Ramadan supaya segala manfaat kesihatan dapat dikekalkan selepas 1 Syawal, sehingga Ramadan tahun hadapan dan selama yang boleh.

"Jika tidak boleh ubah gaya hidup secara drastik sekalipun, ubah sedikit-sedikit dahulu. Mulakan dengan puasa sunat selepas Hari Raya.

"Berpuasa bukan sahaja baik untuk perut, malahan organ-organ lain, termasuklah jantung anda," katanya.

Selain kolestrol tinggi (makanan berlemak), tekanan darah tinggi, diabetes, tekanan (stres), obesiti dan kurang bersenam, Dr. Shaiful Azmi sekali menegaskan peranan rokok terhadap masalah jantung.

"Sudah berbuih mulut mengulang kesan rokok terhadap jantung dan kesihatan badan. Pekara ini masih sukar dikawal sepenuhnya memandangkan rokok menjadi sumber pendapat pihak tertentu.

"Walaupun beberapa langkah sebelum ini masih kurang memberi kesan terhadap tabiat buruk ini, tindakan kerajaan meningkatkan jumlah tempat larangan merokok dilihat dapat membantu mengurangkan kesan asap rokok."

Beliau menekankan perlunya menghalang tabiat merokok mengambil tempat di usia remaja dan kanak-kanak lagi untuk menghalang bilangan perokok terus meningkat.

"Jangan dilupa, masih banyak pesakit yang mengalami masalah atau penyakit jantung akibat rokok," ujarnya.

Dr. Shaiful Azmi terus menegaskan pentingnya pemeriksaan awal, semasa masih sihat dan bukannya selepas sudah timbul gejala penyakit.

"Saya sendiri menjalani pemeriksaan berkala, termasuk pemeriksaan darah bagi memastikan tiada bacaan yang melebihi tahap normal.

"Jika pemeriksaan mengesan sesuatu masalah sekalipun, kita masih mempunyai pilihan seperti mengubah gaya hidup, pemakanan dan senaman sebelum perlu mengambil sebarang ubat atau rawatan," jelasnya.

Tambahnya, sedangkan kereta yang dibeli mahal dijaga rapi, inikan pula badan dan jantung kita. Peliharalah jantung anda supaya tidak luput nyawa secara tiba-tiba.


Ditulis oleh:
NurulAnuar Kari

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Tuesday, September 22, 2009

Kekalkan Cara Pemakanan Sihat

Setelah lebih tiga minggu berpuasa, umat Islam kini menghampiri penghujung Ramadan 1430 Hijrah. Begitu pantas masa berlalu, meninggalkan mereka yang alpa dengan tibanya minggu terakhir berpuasa.

Suasana puasa tahun ini mungkin agak hambar berikutan ancaman wabak Influenza A H1N1 dan isu-isu yang terus disensasikan. Namun, sebagai sebuah negara dengan masyarakat majmuk, acara-acara sepanjang Ramadan dan Syawal tetap dikongsi bersama, tanpa mengira bangsa dan agama.

Gastrik Puasa

Seperti tahun-tahun sebelum ini, masih ada umat Islam yang ditangkap kerana tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai. Bila ditahan, alasan yang paling biasa adalah gastritis (gastrik), tidak sihat atau terlupa.

Tidak dinafikan terdapat individu yang diperakui doktor bertauliah mempunyai masalah kesihatan mahupun gastrik teruk yang menyukarkan mereka berpuasa.

Bagaimana pula golongan yang hanya mengalami gastrik, sakit perut atau apa sahaja penyakit yang hanya menyerang di bulan Ramadan?

Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, yang juga merupakan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh berkongsi pengalaman memeriksa dan merawat mereka yang mengalami masalah sistem penghadaman di bulan puasa.

“Masalah sistem penghadaman boleh bermula dari esofagus, perut, usus kecil mahupun usus besar.

“Untuk masalah sistem penghadaman di bulan puasa, biasanya ia melibatkan bahagian esofagus, perut dan usus besar.”

Menurut beliau, biasanya terdapat dua kumpulan yang hadir dengan gejala gastrik, iaitu yang telah lama menghidap gastrik atau mereka yang cuma mengalami gastrik di bulan puasa.

Sesetengah pesakit yang mengadu mengalami kesakitan di bahagian abdomen ketika berpuasa mungkin bukan menipu, sebaliknya akibat kandungan asid perut yang tinggi.

Pesakit juga mungkin mengalami masalah perut yang sensitif terhadap asid, sedangkan paras asid perut adalah normal.

“Golongan remaja yang mengalami gastrik misalnya, ada yang tidak menunjukkan kesan luka di dalam perut (melalui ujian endoskopi).

“Masalah mungkin berpunca dari jumlah asid yang banyak atau perut menjadi sensitif terhadap asid,” jelasnya.

Dr. Ahmad Shukri menerangkan kandungan asid perut berlebihan boleh menyebabkannya naik ke esofagus dan membawa kepada rasa sakit atau panas di bahagian dada (heart burn) atau pedih ulu hati.

Jumlah asid perut yang tinggi mahupun penyakit refluks asid juga boleh menolak asid jauh ke atas, sehingga ke dalam mulut.

Pulih Puasa

Walaupun gastrik merupakan antara masalah yang biasa timbul dan dikaitkan dengan amalan berpuasa, ada juga yang sembuh darinya di bulan Ramadan.

Dr. Ahmad Shukri mendedahkan terdapat di kalangan pesakit yang kembali normal ketika berpuasa, mungkin akibat perubahan amalan pemakanan.

“Sebelum Ramadan, pesakit mungkin makan terlalu banyak, atau memilih makanan berminyak, berlemak atau berkarbonat.

“Tidak hairan juga mereka semakin pulih di bulan Ramadan memandangkan cara pemakanan pada waktu berkala (sahur dan berbuka puasa) sepanjang berpuasa, berbanding mereka yang makan tidak mengikut waktu, termasuk yang hanya makan bila perut sudah memberi syarat ‘sakit’ di ulu hati.”

Beliau turut menegaskan, golongan yang pulih masalah gastriknya di bulan puasa kebiasaannya tidak mempunyai kaitan dengan masalah ulser mahupun barah dalam salur penghadaman mereka.

“Pesakit gastrik biasa tidak menunjukkan gangguan selera makan mahupun penurunan mendadak berat badan.

“Golongan ini juga tidak menunjukkan gejala serius seperti muntah atau najis yang berdarah. Tanpa gejala serius, pesakit tidak perlu terlalu bimbang dengan masalah gastrik mereka,” ujarnya.

Namun, Dr. Ahmad Shukri bertegas mereka yang mengalami gastrik tidak mempunyai alasan untuk membiarkan diri mereka merana sehinggakan tidak mampu berpuasa.

Beliau memaklumkan kini terdapat bermacam bentuk rawatan untuk masalah gastrik dan sistem penghadaman, sama ada untuk mengurangkan asid perut, menyembuhkan luka, melancarkan pergerakan najis di dalam usus dan sebagainya.

“Mereka yang sudah mempunyai pengalaman diserang gastrik pada masa khusus, seperti ketika bulan puasa, perlulah menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan sebelum tibanya bulan Ramadan. Jangan biarkan diri merana!”

Selain gastrik, beliau menerangkan terdapat juga banyak kes sembelit di bulan puasa. Ini secara mudahnya dikaitkan dengan kekurangan air sehingga menyebabkan najis menjadi keras dan sukar dikeluarkan.

“Lama-kelamaan, najis yang sukar keluar akan membawa kepada masalah angin, tersumbat, kembung dan juga sakit perut.

“Sembelit juga boleh membawa kepada masalah buasir, terutamanya jika pesakit meneran dengan kuat sehingga menyebabkan salur darah di sekitar dubur membengkak dan berdarah,” katanya.

Untuk mengelakkan sembelit, pesakit dinasihatkan meningkatkan pengambilan serat dan juga air. Serat bukan sahaja memanjangkan rasa kenyang, malahan dapat menyimpan air.

Mereka yang mengalami gejala hilang selera dan penurunan mendadak berat badan turut diingatkan supaya lebih berjaga-jaga.

“Gejala tersebut, ditambah dengan sejarah keluarga yang mempunyai sejarah kanser (sama ada pada sistem penghadaman atau barah yang lain dalam keluarga), memerlukan perhatian rapi.

“Pesakit dinasihatkan menjalani pemeriksaan endoskopi (OGDS) sebelum atau selepas bulan puasa, ataupun pemeriksaan segera jika keadaan dilihat membahayakan kesihatan dan nyawa,” jelas Dr. Ahmad Shukri.

Beliau turut memaklumkan kemungkinan berlakunya gastrik (dispepsia) dengan ulser atau tanpa ulser, mahupun kanser yang berpunca dari aktiviti bakteria Helicobacter pylori yang berada di dalam perut dalam jangka masa yang lama, tanpa disedari.

Amalan Berbuka

Waktu berbuka boleh dikatakan waktu yang paling dinanti-nantikan umat Islam yang berpuasa, terutamanya anak-anak kecil yang baru belajar berpuasa.

Dr. Ahmad Shukri mengulangi peringatan supaya waktu berbuka dimulakan dengan sesuatu yang ringan terlebih dahulu, seperti buah-buahan atau buah kurma mengikut sunah Nabi.

“Solat dahulu selepas berbuka ringan dan makan berat selepas solat. Ini dapat merangsang pengeluaran asid dan enzim sistem penghadaman untuk menerima makanan yang berat.

“Elakkan mengambil banyak makanan berminyak atau berlemak kerana ini akan melambatkan fungsi sistem penghadaman. Kurangkan juga makanan pedas dan masam kerana ia akan menyebabkan perut kurang selesa,” jelasnya.

Walaupun pengambilan air yang cukup diberi penekanan, beliau menasihatkan mereka yang berpuasa untuk mengelakkan minuman berkafein kerana ia akan menyebabkan otot pencerut (sphincter) pada esofagus menjadi lemah dan membolehkan asid perut naik ke atas.

Dr. Ahmad Shukri turut menyarankan orang ramai mengelakkan amalan makan lewat malam, dekat dengan waktu tidur, mahupun terus tidur selepas makan. Ini katanya akan menyebabkan asid perut mudah naik ke dalam esofagus atau refluks asid sehingga boleh menyebabkan radang esofagus (oesophagitis).

“Walaupun di waktu malam bulan puasa, adalah lebih baik mengamalkan pengambilan makanan yang sedikit berulang kali daripada makan dengan banyak dalam satu hidangan.

“Jika anda perlu mengambil ubat tertentu, dapatkan nasihat doktor mengenai cara mengambilnya di bulan puasa. Mungkin sekali di waktu sahur dan sekali di waktu berbuka.”

Seperti mana digalakkan mempercepatkan berbuka puasa, mereka yang berpuasa turut digalakkan melewatkan waktu bersahur mengikut sunah Nabi.

“Ini dapat mengurangkan tempoh perut kosong dan memudahkan amalan berpuasa,” kata Dr. Ahmad Shukri.

Dugaan Raya

Tidak dapat dinafikan kehadiran Syawal amat dinanti-nantikan ramai umat Islam, ada di antaranya sehingga terlupa akan segala keberkatan dan kelebihan Ramadan.

Walaupun Ramadan tahun ini membawa dugaan-dugaan tertentu kepada umat Islam, bagi Dr. Ahmad Shukri, Hari Raya Aidilfitri itu sendiri membawa dugaan yang besar.

“Besar dugaannya di Hari Raya. Bermacam juadah terhidang dan begitu mudah untuk kita lupa diri selepas sebulan menahan lapar dan dahaga.

“Perlu diingatkan, perut kita perlu diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga angin dan hanya satu pertiga ruang untuk makanan. Akan menjadi beban besar jika kita makan terlalu banyak.”

Selepas sebulan dilatih mengamalkan pemakanan teratur, dua kali sehari (pagi dan malam) di bulan Ramadan, sikap melahap bukan sahaja akan membebankan perut, malahan organ lain juga (seperti pankreas).

Dr. Ahmad Shukri memaklumkan amalan makan berulang kali sepanjang hari selepas tamatnya bulan puasa akan menyebabkan sistem penghadaman menjadi berkecamuk akibat campuran bermacam jenis makanan.

“Tambahan lagi, jika seseorang itu mempunyai alahan (intolerence) terhadap bahan atau makanan tertentu.

“Mungkin sukar untuk mengesan bahan atau makanan berkenaan (seperti kacang atau susu) memandangkan telah dicampurkan ke dalam hidangan Raya,” jelasnya.

Cara makan juga memainkan peranan penting! Beliau mencadangkan amalan mengunyah dilakukan lebih lama dari biasa dan bukannya terus menelan apa yang dimasukkan ke dalam mulut.

Ini bagi membolehkan perut dan usus bersedia dengan mengeluarkan asid dan enzim yang diperlukan untuk penghadaman.

Selain jumlah dan jenis makanan, perkara yang penting untuk diperhatikan adalah tahap kebersihan makanan.

Masalah kebersihan makanan telah dibangkitkan sepanjang bulan Ramadan hasil jualan makanan yang tercemar mahupun telah basi di beberapa gerai bazar Ramadan.

Ini juga mungkin berlaku ketika menjamah makanan di rumah terbuka ataupun ketika bertandang ke rumah rakan dan saudara-mara, terutamanya jika makanan telah lama dihidangkan atau terdedah kepada lalat dan serangga.

“Pengambilan kuih raya yang banyak juga perlu diberi perhatian terutamanya kepada mereka yang menghidap kencing manis dan darah tinggi.

“Ini memandangkan banyak kuih raya yang dijual secara komersial kini mempunyai banyak gula, kolesterol dan bahan sampingan lain, mengikut cara kuih itu dimasak.”

Dr. Ahmad Shukri turut mengingatkan mereka yang mempunyai penyakit tertentu supaya beringat dan mengambil ubat di pagi Raya sebelum keluar bertandang ke rumah rakan dan saudara.

“Mereka yang mempunyai masalah perut (seperti gastrik) perlu mengelak dari mengambil terlalu banyak makanan berlemak ataupun minuman berkarbonat.

“Adalah lebih elok jika mengambil sedikit makanan ringan di rumah sebelum keluar. Walaupun ingin menjaga hati tuan rumah, jangan sampai merosak hati dan perut sendiri,” katanya.

Beliau sekali lagi mengingatkan semua umat Islam supaya tidak memusnahkan segala manfaat yang dikumpul dengan berpuasa sepanjang Ramadan.

Tegasnya, puasa selama sebulan telah membolehkan sistem penghadaman berehat dan merupakan satu titik permulaan untuk kita semua mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang.

“Jangan pula kita jadikan sambutan Hari Raya alasan untuk memusnahkan segala kelebihan berpuasa di bulan Ramadan.

“Di penghujung Ramadan, di permulaan Syawal, jadikan titik permulaan untuk hidup sihat dan kekalkan amalan pemakanan yang teratur dan seimbang!”


Ditulis oleh:
Nurul Anuar Kari

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Tuesday, September 15, 2009

Puasa Tangan

Mikroorganisma, kuman! Kumpulan hidupan halus melibatkan virus, bakteria, protozoa, fungi dan sebagainya ini berada di sekeliling kita, sepanjang masa.

Bilangannya berpuluh ribu kali ganda lebih banyak memandangkan saiznya yang amat kecil dan kemampuannya membiak dan merebak dengan mudah dan pantas.

Ini jelas kelihatan dari situasi pandemik global akibat penularan virus Influenza A H1N1, yang merentasi hampir semua penempatan manusia di seluruh dunia.

Halus

Kuman, secara umumnya, memang sekumpulan makhluk yang kurang disenangi manusia kerana sering digambarkan sebagai kotor dan membawa penyakit. Pandangan ini adalah benar, dan juga salah!

Sememangnya tamadun manusia diketahui sering dibelenggu ancaman kuman yang menyebabkan penyakit mahupun membawa maut, sejak sejarah tamadun mula dicatatkan lagi.

Penemuan antibiotik, penisilin, pada 1928 serta ubat antiviral sekitar 1980-an (selepas bermulanya pemetaan genetik virus) telah membolehkan manusia menentang jangkitan kuman secara khusus dan berkesan.

Namun, seperti mana-mana hidupan, setiap kuman yang diserang menggunakan antibiotik, antivirus ataupun ubat-ubat lain akan membentuk adaptasi dan ketahanan terhadap ubat tersebut.

Hasilnya, muncul spesies-spesies kuman baru dengan daya ketahanan tinggi seperti Methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA), yang asalnya cuma bakteria penumpang biasa di permukaan kulit dan hidung kita.

Pembentukan ketahanan atau rintangan terhadap ubat banyak didorong oleh penyalahgunaan ubat oleh pesakit dan juga kakitangan kesihatan.

Walaupun ketahanan itu tetap akan terbentuk, prosesnya dipercepatkan melalui penggunaan ubat seperti antibiotik dan antiviral oleh pesakit yang tidak memerlukannya, atau pengambilan ubat dengan cara yang salah.

Bagaimanapun, tidak semua kuman itu kotor dan membawa penyakit. Bakteria biasa di permukaan kulit dan di dalam usus kita banyak membantu dalam pertahanan badan terhadap jangkitan kuman berbahaya lain. Bakteria dan fungi juga makin banyak digunakan dalam makanan (roti) dan minuman (kultur probiotik), sementara virus kini diaplikasikan sebagai satu kaedah rawatan (suntikan bahan genetik - DNA)

Puasa Tangan

Sebenarnya, telah menjadi maklumat umum peranan besar tangan kita dalam menyebarkan kuman pembawa penyakit. Sebelum ini, berlaku kes-kes keracunan makanan di sekolah dan di waktu banjir. Kini tersebar pula virus selesema, H1N1, juga kebanyakannya melalui tangan (ke hidung atau mulut).

Hakikatnya, tangan dan mulut manusia merupakan yang tempat paling banyak kuman, tetapi kebanyakannya tidak berbahaya. Namun, bayangkan bagaimana jika tangan dihinggapi kuman (bakteria, virus, protozoa) yang berbahaya. Tambahan pula, tangan itu yang menguruskan makanan, mahupun tangan sendiri yang mengutip 'tetamu tidak diundang' di dalam pengangkutan awam mahupun di tempat tumpuan umum.

Tangan bersentuh mulut, boleh menyebarkan kuman punca keracunan makanan (seperti bakteria Salmonella), ataupun tangan ke hidung (menyebar virus H1N1) menjejaskan sistem pernafasan.

Untuk itu, sepanjang bulan puasa ini, pastikan anda menjaga mulut, mata, telinga, dan juga tangan dari membawa mudarat kepada diri sendiri. Ini amat mudah dengan amalan menjaga kebersihan diri dan persekitaran di samping amalan berwuduk, yang boleh membantu membersihkan permukaan tangan, muka dan kulit badan. Pilih hidup yang suci dan bersih!


Ditulis oleh:
Nurul Anuar Kari

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Monday, June 29, 2009

Tewas Jika Mengaku Kalah

Ini semua salah saya. Saya ingatkan anak cuma demam biasa." "Kami cuma melawat saudara yang sakit di hospital, tidak pula disangka anak kecil kami dijangkiti."

Itu menjadi antara kata sesalan ibu bapa dan saudara mara yang ahli keluarganya dijangkiti atau maut akibat jangkitan kuman.

Demam, petanda pertahanan asas badan terhadap pencerobohan kuman dan penyakit tertentu sering diambil mudah.

Kuman. Walaupun ancaman jangkitan kini banyak melibatkan virus, terdapat juga bakteria, fungus mahupun protozoa yang boleh menyebabkan jangkitan teruk pada manusia.

Secara umum, kesemua makhluk zarah ini dikenali sebagai kuman. Meningitis, pneumonia, demam denggi, SARS dan semestinya selesema hasilnya.

Pandemik, Endemik, Epidemik

Tiga istilah sering digunakan dalam menggambarkan kewujudan dan tahap jangkitan kuman dalam satu-satu kawasan tetapi kerap kali disalah ertikan.

>> Endemik - hadir untuk jangka panjang, dalam jumlah kecil, di kawasan-kawasan tertentu

>> Epidemik - menjangkiti sekumpulan besar individu pada masa sama

>> Pandemik - tersebar secara meluas, atau epidemik besar-besaran (global)

Sejak pengumuman pandemik global influenza A H1N1 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Jun lalu, semakin jelas bunyi batuk, bersin, hembusan hingus dan gejala demam di sekeliling kita. Rakan sekerja, sahabat dan keluarga sering dikhuatiri menjadi mangsa terbaru.

Menghampiri penghujung Jun, dunia mencatatkan lebih 30,000 jangkitan dengan lebih 150 kematian. Negara pula mencatatkan 105 kes sehingga 26 Jun lalu, dengan 90 kes dari luar negara dan 15 kes jangkitan tempatan. Nasib kita juga baik kerana belum ada catatan kematian.

Ini melibatkan saringan lebih 1,600 kes yang disyaki jangkitan H1N1, kebanyakannya mereka yang baru pulang dari negara yang turut dilanda H1N1 seperti Singapura, United Kingdom, Thailand, Filipina, Australia dan Amerika Syarikat.

Namun, Malaysia sebenarnya menghadapi serangan dari dua arah apabila satu lagi virus tegar terus menyerang dan membunuh.

Bezanya cuma virus ini memerlukan vektor untuk berpindah antara manusia tetapi keupayaan membunuhnya terbukti jauh lebih tinggi.

Pensyarah Kanan ORL, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kelantan, Dr. Irfan Mohamad awal bulan ini meluahkan bagaimana bahaya denggi kian tenggelam di sebalik populariti H1N1.

Lonjakan glamor influenza A H1N1 yang begitu pantas bagaikan artis program realiti yang menenggelamkan 'bakat besar' veteran denggi.

"Kedua-duanya menunjukkan peningkatan pada kadar yang pantas."

Namun, Dr. Irfan melahirkan kekesalan bagaimana orang ramai pantas bertindak mengawal H1N1 tetapi pada masa sama masih sanggup tinggal dalam kawasan yang padat dengan vektor denggi, nyamuk Aedes.

Denggi yang endemik di kawasan tropika, termasuk Malaysia, mampu menjadi epidemik besar jika usaha pencegahan terus diabaikan.

Jumlah terkumpul denggi sehingga pertengahan tahun ini mencecah 22,500 kes berbanding sekitar 18,000 kes dalam tempoh sama pada 2008. Ini termasuk 57 kematian berbanding 35 pada 2008.

Pengakuan Kementerian Kesihatan di ambang 'kekalahan' dalam memerangi denggi pada 10 Jun lalu juga amat mengecewakan.

Sebagai salah seorang yang berjaya merempuhi jangkitan virus denggi, penulis menyeru usaha diteruskan tanpa mengaku kalah di pertengahan jalan.

Dua Serentak

"Sememangnya berjaga-jaga menghadapi wabak baru merupakan suatu tindakan proaktif yang amat penting, namun ia tidak seharusnya mengalpakan perjuangan kita memerangi denggi."

Itu menjadi peringatan Dr. Irfan, bukan sahaja kepada warga kerja Kementerian Kesihatan, malahan seluruh rakyat Malaysia.

Gunakan langkah pencegahan bersepadu untuk menghapus dan mengelakkan penularan kedua-dua virus tersebut, serentak.

Kebersihan diri dan persekitaran perlu dijadikan pelindung utama. Risiko jangkitan Japanese Encephalitis (JE), meningitis, pneumonia, denggi, influenza dan bermacam penyakit lain pasti merudum dengan amalan penjagaan tahap kebersihan berterusan.

Semudah membersihkan tangan, mandi, menggunakan sabun dan produk antiseptik, membersihkan kawasan persekitaran rumah dan memastikan sebarang projek ternakan besar jauh dari kawasan kediaman umum.

Kurangkan juga aktiviti dan perjalanan ke kawasan yang terjejas, kecuali perlu. Ini termasuklah kawasan yang padat kerana kelompok manusia yang ramai memudahkan pemindahan kuman, terutamanya yang mudah merebak melalui cecair badan.

Kementerian dan kerajaan pastinya akan terus memantau dan bertindak terhadap kes di luar dan juga dalam negara mengikut keperluan.

Tanggungjawab besar dan utama kini terletak di tangan setiap anggota masyarakat itu sendiri yang pertama sekali perlu mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini.

Fahami ciri-ciri ancaman terhadap diri, keluarga dan negara. Pastikan juga kerjasama penuh diberikan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan risiko penularan jangkitan lebih besar.

Perhatikan dan pantau tahap kesihatan sesama ahli keluarga, terutamanya anak-anak. Bukan sahaja untuk melindungi nyawa mereka, malahan untuk mengelakkan penyebaran kuman terutamanya jika anak dihantar ke taman asuhan, tadika, sekolah mahupun universiti.

Di sini, alasan tiada masa di kalangan ibu bapa yang sibuk bekerja tidak boleh diterima sama sekali. Perkara yang melibatkan nyawa dan kesihatan keluarga perlu diutamakan. Jangan hidup untuk kerja semata-mata. Kerja untuk hidup, untuk keluarga.

"Tidak perlulah kita menunggu diri atau ahli keluarga mahupun sahabat kita dimasukkan ke wad baharulah sibuk (hendak bertindak), kerana pada waktu itu nasi mungkin sudah menjadi bubur," tegas Dr. Irfan.

Kita berdepan dengan bermacam jenis penyakit sepanjang masa, seumur hidup kita. Langkah yang diambil bagi mencegah dan mengawal penyakit-penyakit ini menjadi titik penentu kelangsungan hidup diri dan keluarga.

Kemunculan satu penyakit dan virus baru juga tidak memberi lesen untuk kita mengabaikan usaha melindungi keluarga dan negara dari penyakit sedia ada, yang sama atau mungkin lebih bahaya.

Cegah H1N1, cegah denggi! Kita pasti tidak akan kalah selagi tidak mengalah.


Ditulis oleh:
Nurul Anuar Kari

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Saturday, April 18, 2009

Keperluan Komponen Pembekuan Darah

Bagi kebanyakan daripada kita yang sihat tubuh badan, perkara kecil seperti pembekuan darah mungkin dilihat sebagai sesuatu yang remeh dan diambil mudah.

Namun, cuba bayangkan jika luka dan darah anda tidak membeku dan terus mengalir tanpa henti. Tentu ramai yang akan panik tidak keruan, atau mungkin terus pengsan melihatkan linangan merah di lantai.

Ini merupakan satu risiko dan kebiasaan harian yang perlu dihadapi pesakit yang mengalami masalah pembekuan darah.

Masalah pendarahan tentunya memerlukan rawatan darah tambahan. Namun, ini juga diambil mudah ramai orang yang berfikir pendermaan darah cuma penting untuk pembedahan, bersalin, kemalangan atau penyakit seperti denggi, anemia atau talasemia.

Setiap pain darah yang didermakan sebenarnya bukan hanya menyelamatkan satu nyawa semata-mata, malahan mungkin beratus atau beribu-ribu orang.

Darah mempunyai banyak komponen yang setiap satunya dapat menyelamatkan satu atau lebih nyawa. Ini bermakna, setiap titik darah penderma amat bernilai dan mampu menyelamatkan lebih ramai pesakit dari yang difikirkannya.

Masalah Pembekuan Darah

Kumpulan penyakit yang melibatkan pembekuan darah dikenali sebagai masalah pendarahan, masalah pembekuan darah dan koagulopati, yang menunjukkan kecacatan dalam mekanisme pembekuan darah badan.

Punca masalah ini mungkin pelbagai dan secara umum membawa kepada hasil sama iaitu pendarahan yang berterusan (abnormal) dan kekurangan dalam keupayaan pembekuan darah.

Masalah pembekuan darah mungkin berpunca dari faktor luar (ubat, racun, penyakit), masalah autoimun ataupun warisan genetik.

Faktor luar yang boleh mengganggu mekanisme pembekuan darah semulajadi badan termasuklah ubat pencair darah (warfarin), kerosakan hati atau bisa ular (orok-orok, ular kapak).

Masalah autoimun biasanya melibatkan penghasilan antibodi terhadap komponen faktor pembeku darah.

Secara genetiknya pula, kekurangan atau mutasi gen untuk penghasilan protein komponen pembekuan darah boleh menyebabkan masalah pengeluaran protein komponen berkenaan.

Jenis-jenis penyakit von Willebrand dan hemofilia merupakan penyakit genetik utama yang dikaitkan dengan masalah pembekuan darah.

Hemofilia merupakan sekumpulan penyakit genetik yang menjejaskan kemampuan badan mengawal mekanisme pembekuan darah yang diperlukan untuk menghentikan pendarahan akibat kecederaan (kebocoran) salur darah. Ianya terbahagi kepada dua jenis utama iaitu Hemofilia A dan Hemofilia B.

Pembawa dan Penghidap

Hemofilia A melibatkan ketiadaan komponen faktor pembekuan VIII, sementara Hemofilia B melibatkan kekurangan faktor IX.

Hemofilia A merangkumi 90 peratus kes hemofilia dan dianggarkan berlaku dalam 1 bagi setiap 10,000 kelahiran lelaki sementara Hemofilia B pula 1 dalam setiap 20,000 hingga 34,000 kelahiran lelaki.

Hemofilia melibatkan warisan genetik dari kromosom seks X dan berlaku hampir keseluruhannya di kalangan lelaki sahaja.

Namun, bukan kesemua kes hemofilia diwarisi secara genetik. Sekitar 30 peratus kes Hemofilia A dan B turut dikaitkan dengan mutasi spontan gen yang diwariskan ibu atau bapa yang sihat kepada anak mereka.

Memandangkan wanita mempunyai sokongan dua salinan kromosom X (XX) dan lelaki hanya satu kromosom X (XY), wanita lebih mudah menjadi 'pembawa' sementara lelaki 'penghidap' hemofilia.

Wanita mungkin mewarisi kromosom X dengan gen hemofilia dari ibu (pembawa) atau bapa (penghidap) mereka sementara penghidap hemofilia lelaki sudah pasti memperolehinya dari ibu mereka.

Ibu yang membawa gen hemofilia mempunyai 50 peratus kebarangkalian mewariskan gen tersebut kepada anak lelakinya (sama ada mewariskan kromosom X sihat atau kromosom X hemofilia).

Namun, seorang anak perempuan yang menerima dua kromosom X hemofilia, satu dari ibu pembawa dan satu dari ayah yang menghidap hemofilia, maka anak perempuan itu akan menghidap hemofilia.

Wanita yang menghidap hemofilia dan mempunyai kedua-dua kromosom X hemofilia sudah pasti akan mewariskan kromosom tersebut kepada anak-anaknya, menyebabkan kesemua anak lelakinya menghidap hemofilia (100 peratus) dan anak perempuannya pula pembawa atau penghidap (jika bapa menghidap hemofilia).

Sebelum ini, sukar untuk memastikan jika seorang wanita (ibu) menjadi pembawa gen hemofilia. Kemajuan ujian DNA membolehkan wanita pembawa gen berkenaan dikesan lebih awal dan dapat memberikan mereka pilihan dan juga persedian dalam merancang keluarga melalui kaunseling pakar genetik.

Keperluan mewarisi kedua-dua kromosom X tersebut untuk menghidap hemofilia merupakan punca lebih ramai lelaki yang menghidap penyakit ini.

Bagi lelaki yang menghidap hemofilia pula, kesemua anak perempuannya akan menjadi pembawa sementara anak lelaki pula tidak akan menghidap hemofilia (kromosom X anak lelaki datang dari ibu).

Pertambahan bilangan penghidap hemofilia dikaitkan dengan kemajuan perubatan yang membolehkan pesakit hidup lebih lama dan mampu mewariskan gen tersebut.

Oleh itu, ujian genetik dan kaunseling disarankan untuk keluarga dengan sejarah hemofilia sebagai langkah pencegahan dan persediaan awal.

Mekanisme

Disebabkan ketiadaan atau kekurangan komponen faktor pembekuan darah tertentu, pesakit hemofilia menghadapi risiko pendarahan yang teruk jika berlaku kecederaan (kerosakan) salur darah.

Masalah faktor pembekuan darah tersebut menyebabkan pembentukan gumpalan darah beku pada bahagian yang luka tidak dapat bertahan mahupun menutup kebocoran salur darah terbabit.

Bagaimanapun, ini bukannya bermakna pesakit hemofilia akan mengalami pendarahan yang teruk, sebaliknya pendarahan yang berterusan kerana kebocoran luka gagal ditutup.

Bagi kes hemofilia yang teruk, kecederaan kecil sudah cukup untuk menyebabkan aliran darah sehingga berhari-hari, berminggu-minggu atau terus tidak akan pulih sepenuhnya.

Pendarahan (walaupun yang kecil) akibat ketiadaan faktor VIII (Hemofilia A) mengambil masa lebih lama untuk pulih dan boleh membawa maut jika pendarahan dalaman berlaku di otak atau menyebabkan kerosakan kekal jika pendarahan dalam sendi.

Pendarahan luar akibat kecederaan pula tidak memberi ancaman besar tetapi meningkatkan risiko pendarahan semula dan juga pendarahan dalaman kawasan terbabit, ke dalam otot, sendi atau bahagian tertutup lain.

Rawatan

Hemofilia tiada penawar yang dapat menyembuhkan pesakit sepenuhnya. Bagaimanapun, ia dapat dikawal dengan menggantikan faktor pembekuan terbabit ke dalam darah pesakit secara berkala atau mengikut keperluan.

Rawatan penggantian faktor pembekuan ini dapat membekalkan faktor VIII untuk pesakit Hemofilia A dan faktor IX untuk pesakit Hemofilia B.

Faktor pembekuan berkenaan boleh diperolehi dari serum darah yang didermakan, rekombinan (protein dihasilkan sel haiwan lain hasil penggabungan semula bersama genetik manusia) atau gabungan kedua-duanya.

Memandangkan sesetengah pesakit membentuk antibodi terhadap faktor pembekuan darah gantian yang diberikan, jumlah yang diberi mungkin perlu ditingkatkan atau diganti dengan jenis rekombinan.

Sejak 1993, faktor pembekuan darah rekombinan, yang kebiasaannya dihasilkan dari kultur tisu ovari hamster (CHO), banyak terdapat di pasaran dan digunakan secara meluas di negara-negara Barat.

Walaupun lebih tulen dan selamat, faktor pembekuan rekombinan adalah amat mahal dan sukar diperolehi di negara membangun yang lebih banyak bergantung kepada pengasingan komponen darah yang didermakan.

Negara-negara Barat juga mempunyai dua sistem rawatan iaitu pemberian faktor pembekuan darah secara berkala atau mengikut keperluan.

Rawatan berkala dapat mengekalkan faktor pembekuan darah dalam jumlah yang cukup untuk keperluan badan sementara rawatan mengikut keperluan diberikan jika berlaku kecederaan atau pendarahan berterusan.

Kos rawatan berkala hemofilia dianggarkan boleh melangkaui AS$300,000 (RM1.08 juta) setahun tetapi kaedah ini dijangka dapat mengurangkan kerosakan sendi akibat pendarahan dalaman.

Dari segi kos jangka panjang, beberapa pakar turut mencadangkan kaedah rawatan berkala lebih berkesan dan lebih murah berbanding menunggu berlakunya pendarahan dan kerosakan bahagian badan pesakit hemofilia.

Pesakit hemofilia juga dinasihatkan supaya melakukan senaman tertentu untuk menguatkan sendi seperti siku, lutut dan pergelangan kaki sebagai perlindungan awal daripada kerosakan akibat pendarahan.

Bagi mereka yang mewah kesihatan, ingatlah kepada golongan yang memerlukan, walaupun cuma satu bahagian kecil darah kita.

Kembangkan minda anda dan fahami bahawa satu perbuatan baik bukan hanya menolong satu individu, dan berhenti dengan individu itu sahaja.

Setiap pain darah yang didermakan mampu menyelamat beratus jika tidak beribu nyawa pesakit, tidak kira akibat kecederaan, pembedahan, jangkitan mahupun penyakit warisan genetik.

Memandangkan kos faktor pembekuan darah rekombinan yang amat mahal, pendermaan darah merupakan alternatif terbaik untuk melindungi dan membantu beribu-ribu pesakit hemofilia, mahupun penyakit masalah pembekuan darah lain di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai pendermaan darah, layari laman web Pusat Darah Negara (PDN) www.pdn.gov.my atau hubungi talian 03-26933888.


Ditulis oleh:
Nurul Anuar Kari

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Friday, March 13, 2009

Sempatkah Mata Menatap Cucu?

Penglihatan dan kesihatan mata! Bagi kebanyakan daripada kita, kesihatan mata sering kali diambil remeh sedangkan menjadi buta diperakui ramai sesuatu yang lebih menggerunkan daripada mati muda.

Sempena Hari Glaukoma Sedunia pada 12 Mac ini, maklumat penyakit mata ini akan cuba diketengahkan untuk meningkatkan pemahaman tentang risiko dan juga pencegahannya.

Mungkin ramai yang tidak tahu apa itu glaukoma, tetapi secara ringkasnya ia boleh menyebabkan seseorang menjadi buta tanpa sebarang tanda awal.

Ini bermakna mereka yang menghidap glaukoma boleh menjadi buta tanpa disedari, dan mungkin hilang segala keupayaan melihat wajah-wajah orang tersayang.

Mengenali Glaukoma

Semua penyakit sistemik akan memberi kesan kepada mata, termasuklah kanser yang mudah merebak ke mata memandangkan kelajuan aliran darah yang tinggi di dalam mata.

Glaukoma melibatkan sekumpulan penyakit atau masalah mata yang menyebabkan kerosakan khusus kepada saraf optik dan seterusnya menjejaskan penglihatan.

Saraf optik umpama jambatan yang menyampaikan maklumat dari mata ke otak untuk diproses sebagai imej penglihatan.

Pengerusi Persatuan Oftalmologi, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Profesor Dr. Muhaya Mohamad menegaskan, oleh kerana saraf tidak dapat tumbuh kembali, sebarang kerosakan saraf optik juga kekal dan tidak dapat dipulihkan.

"Hampir tiada langsung simptom awal untuk glaukoma yang menyebabkan kerosakan kekal kepada saraf optik.

"Penglihatan yang terjejas tidak dapat dipulihkan lagi tetapi kemerosotan penglihatan dapat diperlahankan jika dikesan awal," jelasnya.

Menurut beliau, glaukoma mungkin melibatkan masalah peningkatan tekanan dalam mata, seperti mana kesan tekanan darah tinggi kepada salur darah, jantung dan buah pinggang.

Tambahnya, glaukoma berlaku secara senyap, perlahan dan berperingkat sedangkan kesannya adalah kekal dan tidak boleh dipulihkan kembali.

Walaupun kurang berkaitan dengan pemakanan, penyakit ini tetap berkait rapat dengan faktor persekitaran seperti kesan kepada radikal bebas yang boleh menyebabkan kerosakan sel.

Walaupun belum dibuktikan sepenuhnya kaitan radikal bebas terhadap badan, sebarang bentuk tekanan tambahan kepada badan boleh membawa kepada masalah kesihatan yang kronik.

Glaukoma akan mula menjejaskan penglihatan periferal (sisi) pesakit, menyebabkan hanya sudut pandangan terowong (hadapan) sahaja yang jelas.

Faktor risiko yang dikaitkan dengan penyakit ini termasuk peningkatan usia, tekanan tinggi dalam mata (IOP), sejarah keluarga dengan glaukoma, berketurunan Afrika atau Cina, dan miopia (rabun jauh).

Kesedaran umum dan pencegahan melalui pengesanan awal amat penting memandangkan glaukoma hanya boleh dikesan melalui pemeriksaan rapi mata.

Jika dikesan awal, tambahan kerosakan saraf optik dapat dicegah atau dilengahkan, mengekalkan tahap penglihatan yang tinggal dan seterusnya mengelakkan daripada menjadi menjadi buta.

Dr. Muhaya menyatakan, dari pengalaman beliau, lebih banyak pesakit Cina dan Melayu yang dirawat untuk masalah glaukoma di negara ini.

"Mata yang kecil meningkatkan risiko glaukoma. Glaukoma dan retinopati diabetik pula merupakan dua punca kebutaan utama yang boleh dicegah.

"Retinopati diabetik boleh dirawat tetapi tahap penglihatan asal tidak dapat dipulihkan. Glaukoma bagaimanapun tidak dapat dipulihkan lagi jika pesakit sudah buta," tegasnya.

Beliau menjelaskan, seperti penyakit kronik lain, mereka yang dikesan menghidap glaukoma juga perlu menjalani rawatan seumur hidup.

Mengesan dan Mencegah

Dr. Muhaya menegaskan mungkin terdapat ramai individu yang tidak menyedari mereka menghidap glaukoma kerana penyakit ini hampir tiada simptom awal yang jelas.

"Kerosakan saraf optik akan berterusan, sehingga menjadi buta jika glaukoma tidak dikesan dan dirawat segera.

"Oleh itu, adalah amat penting untuk orang ramai memahami faktor risiko penyakit ini supaya ia dapat dikesan pada peringkat awal," katanya.

Beliau menekankan pengesanan dan rawatan awal juga dapat meningkatkan kebarangkalian mengekalkan deria penglihatan sehingga penghujung hayat, sekurang-kurang supaya sempat melihat anak dan cucu.

Dari segi rawatan, glaukoma kini dirawat menggunakan titisan mata ataupun pembedahan jika titisan mata gagal mengurangkan tekanan dalam mata.

Bagaimanapun, sasaran rawatan glaukoma adalah mengurang atau melengahkan kerosakan saraf optik, mengekalkan medan penglihatan pesakit dan seterusnya membolehkan pesakit menjalani aktiviti harian seperti biasa.

Tinjauan Serantau

Tinjauan All Eyes On Glaucoma Pfizer dijalankan baru-baru ini untuk individu melebihi umur 40 tahun di Malaysia, China, Taiwan, Hong Kong, India, Filipina, Korea, Singapura dan Thailand. Tinjauan serupa juga pernah dijalankan di Amerika Syarikat dan Eropah sebelum ini.

Selain untuk memahami tahap kesedaran, pemahaman dan pandangan mengenai kesihatan mata di kalangan penduduk Asia berumur 40 hingga 70 tahun, tinjauan ini juga diadakan bagi meningkatkan kesedaran tentang glaukoma dan keperluan golongan terbabit mengambil langkah pencegahan untuk menjaga kesihatan mata.

Secara puratanya, tidak sampai separuh penduduk rantau ini yang tahu mengenai glaukoma dengan purata 57 peratus tidak mengetahui apa itu glaukoma atau salah faham ianya sesuatu yang tidak melibatkan mata.

Penasihat Perubatan Kanan Pfizer Malaysia, Singapura dan Brunei, Dr. Vicknesh Wellupillai yang membentangkan hasil tinjauan tersebut memaklumkan bahawa catatan menunjukkan tahap kesedaran glaukoma di Malaysia adalah yang paling rendah.

"Hanya 21 peratus rakyat negara ini mengetahui apa itu glaukoma, berbanding 66 peratus di Korea (tertinggi di Asia).

"Sembilan peratus lagi warga Malaysia salah faham glaukoma melibatkan masalah pendengaran, tekanan darah tinggi atau pendarahan dalaman, sementara 70 peratus langsung tidak tahu mengenai penyakit tersebut," katanya.

Ini menunjukkan hanya seorang dari setiap lima rakyat Malaysia pernah dengar dan betul-betul tahu bahawa glaukoma boleh menyebabkan kebutaan.

Bagaimanapun, peratusan serantau menunjukkan masih banyak boleh dilakukan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan penduduk di rantau Asia, terutamanya di Taiwan, Singapura, India dan Malaysia yang mencatatkan tahap kesedaran glaukoma paling rendah.

Dr. Vicknesh menjelaskan tinjauan itu turut menunjukkan 45 peratus responden dari Malaysia mempunyai risiko lebih tinggi menghidap glaukoma (rabun jauh, kecederaan atau masalah mata, tekanan darah tinggi) sedangkan 68 peratus daripada jumlah tersebut tidak mengetahui apa-apa mengenai glaukoma.

"Dua pertiga (67 peratus) rakyat Malaysia juga didapati lebih takut menjadi buta daripada mati muda.

"Ini dikaitkan mereka dengan kesukaran bekerja (68 peratus), memandu (48 peratus) atau keluar dari rumah (44 peratus) jika menjadi buta," jelasnya.

Doktor Mata

Selain tahap kesedaran glaukoma yang rendah di rantau ini, tinjauan berkenaan turut menunjukkan rakyat Malaysia dan Singapura merupakan yang paling sukar bertemu doktor mata.

Dr. Vicknesh mendedahkan 87 peratus rakyat Malaysia tidak bertemu doktor mata sejak setahun lalu dan hanya 26 peratus yang pernah menjalani pemeriksaan tahap tekanan dalam mata (IOP).

"Tahap kesedaran glaukoma jelas rendah dengan hanya 39 peratus rakyat negara ini menjalani pemeriksaan mata yang kerap sementara sebahagian besar memikirkan ia bukan sesuatu yang perlu.

"Sebahagian besar golongan berumur lebih 40 tahun ini juga sedar tentang kepentingan memeriksa tekanan darah tetapi tidak untuk IOP," ujarnya.

Di samping itu, hanya 42 peratus daripada golongan yang berisiko menghidap glaukoma telah menjalani pemeriksaan IOP berbanding 85 peratus telah menjalani pemeriksaan tekanan darah.

Dr. Vicknesh menambah, tahap kesedaran di kalangan doktor keluarga juga perlu ditingkatkan kerana mereka didapati kurang merujuk kes pesakit kepada doktor mata. Cuma 33 peratus responden Malaysia pernah dirujuk doktor keluarga kepada doktor mata.

Lebih banyak pendedahan dan pendidikan tentang glaukoma, terutamanya di kalangan melebihi umur 40 tahun, perlu dijalankan supaya tahap kesihatan mata dan deria penglihatan penduduk Malaysia dan rantau Asia tidak terjejas.

Kerjasama semua pihak berwajib, berkelayakan dan berkemampuan amat perlu dalam menggalakkan pencegahan glaukoma melalui pemeriksaan rapi dan IOP mata, termasuklah di kalangan doktor keluarga bagi memastikan rujukan pesakit kepada pakar bersesuaian.

Namun, penekanan kepada kesedaran glaukoma turut mementingkan kesihatan umum mata dan deria penglihatan.

Orang ramai perlu mementingkan kesihatan mata setaraf dengan masalah kesihatan lain seperti diabetes, masalah kardiovaskular, sendi, sistem peranakan mahupun sistem penghadaman.

Penglihatan sebagai satu daripada lima deria utama memberi kesan besar kepada kehidupan harian.

Fikirkan sendiri sejauh mana anda dapat menyesuaikan diri menjalani kehidupan tanpa salah satu deria utama ini.

Janganlah disia-siakan anugerah penglihatan yang tidak dinikmati sesetengah warga Malaysia lain, sedangkan penyakit seperti glaukoma dapat dibendung dan dikawal jika dikesan dari peringkat awal.

Bersama kita memastikan glaukoma dan mana-mana penyakit mata tidak lagi meragut penglihatan warga Malaysia, sebelum tiba hujung hayatnya.


Ditulis oleh:
Nurul Anuar Kari

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Thursday, February 26, 2009

Berdikari Melalui 'Lembah Susu'

Makanan, air, elektrik, ubat, pengangkutan dan pakaian merupakan antara keperluan asas zaman moden yang digunakan sepanjang masa. Oleh itu, semua keperluan asas berkenaan perlu dijamin cukup untuk kegunaan dan juga selamat untuk digunakan.

Ironinya, Malaysia sebagai satu 'syurga makanan' banyak bergantung kepada sumber bekalan makanan dari luar yang melibatkan susu, daging, sayur, ikan, makanan diproses (seperti biskut), beras dan bermacam lagi. Malang juga, pergantungan kepada sumber luar telah menyaksikan bekalan makanan negara terjejas akibat krisis makanan global.

Ditambah pula dengan peningkatan harga barang akibat kenaikan harga minyak sebelum ini, semakin banyak barang keperluan melangkaui kemampuan pembeli. Mungkin harga hanya akan jatuh selepas berlakunya bencana atau skandal yang menyebabkan pembeli menjauhi produk terbabit seperti selesema burung (ayam dan unggas lain), lembu gila (daging), pencemaran melamin (susu dan produk tenusu lain) dan pencemaran bakteria (produk makanan siap proses).

Pergantungan

Skandal pencemaran susu dengan melamin telah meninggalkan kesan mendalam penguna di seluruh dunia. Selain itu, persepsi terhadap produk keluaran China juga terjejas teruk. Ini jelas apabila seorang doktor pakar di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur baru-baru ini menasihatkan penulis supaya mengelakkan sebarang produk dari negara tersebut.

Perkara yang berbangkit merupakan rasa was-was doktor berkenaan terhadap produk makanan, terutamanya untuk bayi dan kanak-kanak kerana dikhuatiri mengancam dan menjejas kesihatan. Bagaimanapun, saranan doktor itu sukar diikuti memandangkan banyak produk makanan, terutamanya makanan siap proses dan makanan bayi dibawa masuk dari luar atau mengandungi bahan keluaran negara terbabit, atas dasar kos pengeluaran lebih murah.

Berdepan dengan kekurangan pilihan tempatan, saranan itu hanya dapat dicapai jika negara mampu berdikari dan menghasilkan bekalan makanan secukupnya untuk memenuhi permintaan domestik. Ini secara tidak langsung akan memudahkan pemantauan dan menjamin kualiti dan keselamatan makanan yang dikeluarkan.

Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Aminah Abdullah memberi contoh negara kita hanya menghasilkan empat peratus keperluan susu tempatan.

"Sebanyak 96 peratus bekalan susu kita dibeli dari negara seperti Australia, New Zealand dan Belanda.

"Ini menunjukkan pergantungan besar terhadap sumber luar sedangkan susu merupakan sumber nutrien penting bagi semua peringkat usia, dari bayi hinggalah warga emas," tegasnya.

Tambahan pula katanya, susu penting untuk ibu dan perkembangan fetus serta bagi mengelakkan masalah osteoporosis, terutamanya di kalangan wanita selepas menopaus. Skandal susu di China jelas telah memberi kesan kepada pengambilan susu segar dan produk tenusu lain yang penting untuk mengumpul kalsium bagi mengelak kerapuhan tulang di usia emas.

Berdikari

Dr. Aminah menegaskan jika subsidi pertanian dapat ditingkatkan lagi, mungkin pertanian negara mampu menampung keperluan domestik.

"Macam mana pun, pertanian adalah punca yang memberi makanan kepada penduduk dunia. Dengan menyediakan bekalan dan stok simpanan, kerajaan dapat menjamin bekalan yang cukup dan selamat.

"Kerajaan telah mewujudkan 'meat valley' (lembah daging), jadi kenapa tidak dijadikan dua dalam satu dengan turut menjadikannya 'milk valley' (lembah susu)," katanya.

Namun, berdikari bukan hanya bermakna terhadap satu produk tetapi sebanyak mungkin produk lain memandangkan Malaysia mempunyai kemampuan menghasilkan kebanyakan sumber makanannya sendiri.

Dr. Aminah menyatakan apa yang perlu ditekankan kini adalah keperluan untuk menanam sebanyak mungkin untuk menampung keperluan negara terlebih dahulu.

"Dulu, orang kata lebih murah beli dari luar. Sekarang kita kena galakkan supaya ditanam sebanyak mungkin.

"Galakkan kembali penanaman kecil-kecilan. Tanah terbiar juga boleh diusahakan mengikut kesesuaian. Jika tidak sesuai untuk makanan manusia, tanam untuk makanan haiwan ternakan," ujarnya.

Dengan penanaman kecil-kecilan jelasnya, orang ramai juga dapat mengelakkan keperluan penggunaan racun serangga yang sering digunakan dalam penanaman besar-besaran. Penggunaan racun mudah dikesan bila melihatkan sayur bersih dan tiada lubang sedangkan sayur tanpa racun akan ada sedikit lubang memandangkan Malaysia kaya dengan hidupan serangga yang memakan dedaun.

Bagi negara Asia seperti Malaysia, nasi dan susu boleh dikatakan antara makanan ruji sehinggakan ada rakyat negara ini yang perlu makan nasi setiap hari.

"Bayangkan golongan yang mesti makan nasi ini, pasti menghadapi masalah jika tidak cukup bekalan atau harga beras meningkat.

"Dari segi ini, kerajaan sudah cuba sebaik mungkin untuk menambah keluaran padi dengan Sabah, Sarawak dan Kedah sebagai pengeluar utama," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, penanaman padi terikat kepada faktor sumber air, kesesuaian tanah dan jenis baja untuk padi.

Beliau menegaskan kajian-kajian bagi meningkatkan pengeluaran padi dan tanaman lain dapat membantu menjadikan Malaysia sebuah negara yang mampu berdikari. Negara yang dapat menampung keperluan makanan rakyat tidak perlu risau akan pengaruh luar lagi.

Selain itu, kajian menyeluruh di semua peringkat bermula dari pengeluaran sehingga ke pemprosesan juga penting bagi menjamin kualiti dan keselamatan makanan yang sampai kepada orang ramai.

Pemantauan

Makanan diproses membawa risiko paling tinggi terutamanya jika ianya diimport dan hanya diubah label pembungkusan sedangkan produk tidak diuji rapi untuk bahan kimia yang toksik atau dicemari kuman. Malangnya, Malaysia banyak bergantung kepada pemeriksaan luar kerana tidak dapat dinafikan masih banyak kemudahan perlu ditingkatkan bagi membolehkan negara menjalankan pemeriksaan rapi sendiri.

Pemantauan lebih mudah jika dibuat di pusat pemprosesan (kilang), terutamanya jika pusat berkenaan berada dalam negara. Kebiasaannya, makanan siap proses telah melalui beberapa peringkat pemprosesan dan pembungkusan sehinggakan sukar ditentukan apa yang telah ditambah.

Dari segi penguatkuasaan pula, pemantauan menjadi lebih sukar jika sumber makanan datang dari luar kerana perlu menguji setiap produk yang dibawa masuk. Penguatkuasa juga perlu lebih kerap mengadakan pemeriksaan mengejut terhadap produk yang dibawa masuk supaya produk tercemar atau berbahaya tidak menjadi santapan pengguna.

Timbalan Dekan (Pembangunan dan Infrastruktur) dan Ketua Pusat untuk Penyelidikan Xenobiotik Shiamadzu-UMMC, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC), Profesor Dr. Mustafa Ali Mohd. menyokong saranan peningkatan pemantauan terhadap penyebaran meluas bahan cemar dalam makanan, terutamanya selepas skandal melamin tahun lalu.

"Tidak dinafikan negara mengalami kekurangan pakar dan kelengkapan dalam memantau kualiti dan keselamatan makanan.

"Oleh itu, kita perlu menambah kelengkapan teknologi dan kepakaran tempatan bagi membolehkan pemantauan lebih berkesan dijalankan," katanya.

Beliau memaklumkan tempat terbaik untuk menjalankan pemantauan dan pengumpulan sampel ujian adalah di kilang yang mengeluarkan produk terbabit.

Jelasnya, kilang yang menjadi tempat bermulanya pencemaran dalam produk terbabit kadang kala tidak menyedari berlaku pencemaran dalam produk keluaran mereka. Bagaimanapun, jika kilang berada di luar negara akan menyukarkan tugas pemantauan pihak berwajib di Malaysia menjamin produk yang dibawa masuk bebas bahan cemar.

Teknologi

Dalam memastikan sesuatu produk bersih dan selamat, ataupun tercemar dengan bahan tertentu, amat penting ujian dijalankan oleh pakar dan menggunakan peralatan bersesuaian. Ini tegas Dr. Mustafa, bagi memastikan keputusan ujian adalah tepat kerana bukan sahaja melibatkan kemungkinan memusnahkan produk bernilai jutaan ringgit, malahan bagi mengelakkan produk tercemar sampai kepada pengguna.

Dalam meningkatkan kelengkapan teknologi negara, Dr. Mustafa memaklumkan Universiti Malaya kini memiliki mesin Liquid chromatography Tandem Massspectrometry (LC/MS/MS), sebuah mesin khusus yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Perubatan Amerika Syarikat (FDA).

Tambahnya, melalui kaedah yang lebih mudah dan ringkas, mesin ini dapat menguji banyak sampel serentak dan telah diterima pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Kelengkapan serta kepakaran dalam dan luar negara juga kini membolehkan UMMC meluaskan kajian bagi mengesan lebih banyak bahan cemar yang mungkin hadir dalam produk-produk di pasaran.

Dr. Mustafa menyatakan pihak UMMC sedang cuba menghasilkan kaedah yang lebih baik dan berkesan dengan peralatan sedia ada supaya ujian dapat dijalankan dengan lebih pantas, lebih murah dan juga lebih tepat.

"Ujian juga sedang dijalankan terhadap dakwaan penggunaan plastik di dalam makanan goreng untuk menjadikannya lebih rangup, tetapi ini masih belum terbukti.

"Selain itu, kami juga sedang menguji pewarna dan pengawet makanan dalam usaha meluaskan pemantauan terhadap produk makanan di pasaran," ujarnya.

Beliau turut memaklumkan kajian sedang dijalankan terhadap produk melamin seperti pinggan, cawan dan bahan kalis api.

Tambahnya, sebelum ini penyelidikan lebih bertumpu kepada bahan toksik atau logam berat di dalam cat yang digunakan pada produk terbabit.

"Kami dapati melamin boleh bocor dari produk tersebut pada suhu yang tinggi, dan meresap ke dalam makanan.

"Penyerapan juga berlaku lebih pantas dengan kehadiran minyak atau bahan berasid," dakwanya.

Isu melibatkan makanan pasti tidak akan lapuk ditelan zaman memandangkan ianya keperluan wajib harian dalam hidup manusia. Oleh itu, ambillah iktibar pelbagai kejadian yang telah berlaku sebelum ini dan berusahalah menjamin kualiti serta keselamatan sumber makanan anda.

Elakkan produk luar selagi boleh, utamakan sumber makanan yang segar serta kembalikan aktiviti penanaman kecil-kecilan di mana boleh. Pihak berwajib pula cubalah tingkatkan pemantauan dan kebarangkalian berdikari dalam pengeluaran produk makanan untuk kegunaan dalam negara. Bersama kita menjamin bekalan makanan yang berkualiti dan selamat untuk semua.


Ditulis oleh:
Nurul Anuar Kari

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Monday, February 09, 2009

Rempah Ratus Pengganti Rasa

Malaysia sememangnya terkenal dengan kekayaan rasa dari pelbagai budaya masyarakat majmuk. Masyhur sebagai syurga makanan, bermacam bentuk, rasa dan warna hidangan menjadi juadah pada hari-hari perayaan dan sambutan, mahupun hari-hari biasa.

Namun, trend gaya hidup kini memaksa sesetengah daripada kita mengambil pendekatan 'Abdul Wahub Ismet Ulam Raja' yang tidak makan tetapi hanya mencium bau makanan. Masakan tidak, gaya hidup, tekanan (stres) dan juga penyakit telah memaksa sekelompok mereka yang malang mengubah cara pemakanan dengan mengelakkan bahan-bahan 'penyedap' makanan dan minuman seperti gula, garam, lemak, minyak serta perasa tiruan.

Sebenarnya, kempen mengurangkan pengambilan gula, garam, lemak dan minyak telah berjalan sejak beberapa tahun lalu memandangkan peningkatan kes penyakit kronik dan masalah obesiti di kalangan rakyat Malaysia. Masalah berkenaan juga semakin teruk apabila semakin ramai kanak-kanak yang obes dan mula menghidap penyakit kronik seperti diabetes dan tekanan darah tinggi dari usia muda lagi.

Remaja pula mula dikesan menghidap penyakit jantung, masalah paru-paru, artritis dan bermacam lagi. Bagi segelintir yang sudah terlambat untuk membuat perubahan, pilihan untuk mengurangkan bahan penyedap sudah tiada kerana ia kini menjadi satu kewajipan dalam kehidupan seharian mereka.

Tiga Abdi

Seperti juga filem Tiga Abdul oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, terdapat tiga penyakit kronik utama yang menyelubungi hidup rakyat negara ini iaitu diabetes, penyakit kardiovaskular (tekanan darah tinggi, jantung, strok) dan kegagalan buah pinggang. Walaupun banyak lagi penyakit kronik lain yang mengancam kualiti hidup kita, tiga penyakit tersebut memaksa penghidapnya mengabdikan diri kepada kawalan diet pemakanan yang amat ketat.

Hilang sudah nikmat rasa bagi mereka ini apabila kebanyakan makanan kegemaran yang enak dan lazat tidak lagi menyentuh lidah, sebaliknya hanya menyeksa hidung dengan bau yang menggoda. Lebih teruk lagi, mereka kini beralih kepada hidangan bermacam jenis ubat-ubatan dalam usaha mengawal masalah kesihatan yang dihadapi.

Bagi golongan yang sihat sejahtera, sukar digambarkan hidup seseorang itu terkongkong dengan pengambilan ubat sebagai makanan ruji sementara makanan biasa seperti nasi lemak, teh tarik mahupun susu perlu dielakkan. Hilangnya nikmat rasa ini memberi cabaran besar untuk doktor dan pakar pemakanan memastikan pesakit mengawal diet harian mereka.

Sesetengah pesakit yang tewas kepada godaan aroma makanan akhirnya terpaksa menghadapi natijahnya apabila keadaan kesihatan bertambah teruk. Nikmat seminit, derita bertahun.

Namun, adakah pesakit diabetes, penyakit kardiovaskular dan kegagalan buah pinggang selamanya tidak dapat menikmati sebarang rasa dan perisa?

Terlalu banyak gula membahayakan pesakit diabetes, lebih garam dan protein membahayakan pesakit buah pinggang, sementara limpahan lemak dan minyak membahayakan pesakit kardiovaskular. Maka, suramlah hidup penghidap tiga penyakit kronik tersebut tanpa nikmat rasa.

Rasa Perisa


Dalam usaha berkongsi alternatif perisa makanan untuk pesakit, Pusat Perubatan Sunway (SMC) baru-baru ini menganjurkan Bengkel Nutrisi Renal Tahunan ketiganya untuk penghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD). Melalui bengkel ini, Pakar Nefrologi dan Pakar Pemakanan SMC berkongsi bersama pesakit CKD cara mengawal diet tanpa perlu mengorbankan kesemua perisa makanan. Antara alternatif garam, gula dan bahan perasa tiruan yang diketengahkan adalah dengan menggunakan bahan semula jadi yang diamalkan masyarakat kampung sejak turun temurun.

Rempah ratus, antaranya mempunyai kesan sebagai herba, bukan sahaja menambah rasa malahan dapat membantu dalam menjaga tahap kesihatan dan keseimbangan fungsi badan.

Pakar Pemakanan Kanan SMC, Ho Wan Mi menyatakan kawalan pemakanan amat penting bagi pesakit CKD mahupun mereka yang menghidap CKD bersama penyakit lain.

"Kita banyak menggunakan bahan tambahan dalam masakan harian tetapi bahan tambahan ini hanya menambah sedikit sahaja rasa pada makanan.

"Mengurangkan bahan tambahan seperti garam tidak bermakna tiada rasa, sebaliknya ia boleh diganti dengan pelbagai perisa rempah ratus dari bahan semula jadi," katanya.

Jelasnya, bahan seperti kunyit, bawang merah, bawang putih, kayu manis, halia, serai, lada, kurma merah dan cili merupakan contoh rempah yang memberi rasa sebenar makanan.

Tambahnya, perbezaan menggunakan garam dan bahan tambahan lain dengan rempah asli dapat dilihat melalui rasa masakan tradisional, seperti tomyam, yang dimasak menggunakan rempah asli berbanding yang menggunakan bahan siap diproses.

Terdapat sebilangan rempah yang siap diproses juga ditambah bermacam bahan lain termasuk garam berlebihan, perasa, pengawet dan mungkin juga pewarna tiruan untuk meningkatkan rasa dan membolehkannya disimpan lama.

Wan Mi turut mengingatkan peserta bengkel tersebut supaya berwaspada dengan bahan yang digunakan dalam produk siap diproses seperti sos dan kicap, yang mungkin mengandungi bahan yang berbahaya untuk pesakit CKD.

"Dalam hal mengawal diet, hanya orang yang menghadapi situasi sama yang memahami.

"Oleh itu, sokongan keluarga dan pasangan dapat memudahkan usaha pesakit mengawal diet pemakanan. Isteri juga boleh tolong memasak, di samping mengawal bahan yang digunakan dalam hidangan," ujarnya.

Bagaimanapun, untuk tidak membosankan pesakit, dan juga ahli keluarga lain dengan hidangan serupa sepanjang masa, Wan Mi mencadangkan mengambil resipi pelbagai bangsa sebagai pilihan.

Jelasnya, hidangan-hidangan tersebut boleh disesuaikan mengikut rasa dan keadaan kesihatan pesakit. Ini seterusnya boleh diselang-selikan untuk mempelbagaikan menu harian pesakit dan juga ahli keluarga.

Beberapa contoh makanan yang dihidangkan pada bengkel tersebut membuktikan rempah ratus dapat mengekalkan rasa makanan. Walaupun berbeza, ia tetap mempunyai kelazatan tersendiri di samping mempelbagaikan pilihan menu pesakit.

Di Tangan Sendiri

Makan di luar juga tidak digalakkan untuk pesakit CKD, mahupun mana-mana penghidap penyakit kronik. Ini kerana mereka tidak dapat mengawal jenis dan jumlah bahan tambahan yang digunakan dalam makanan dan minuman yang dibeli. Tiada gunanya jika makanan yang dihidang sedap tapi penuh dengan bermacam bahan tambahan. Ia seperti meletakkan kesihatan diri sendiri di tangan orang lain.

Bagi pesakit CKD, keutamaan diberikan kepada kawalan pengambilan garam dan protein. Garam boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah sementara protein menghasilkan bahan buangan yang perlu ditapis buah pinggang. Kedua-duanya memberi lebih tekanan dan mampu meningkatkan kerosakan buah pinggang.

Wan Mi menegaskan, kawalan diet dapat melengahkan keperluan menjalani rawatan dialisis di kalangan pesakit CKD.

"Pemantauan perkembangan CKD (atau penyakit kronik lain) perlu dijalankan secara berkala.

"Untuk pesakit CKD, kandungan kreatinin (bahan buangan metabolisma otot yang ditapis buah pinggang), di dalam darah perlu dikawal pada tahap serendah mungkin," jelasnya.

Menurutnya lagi, kawalan diet pesakit CKD sememangnya sukar tetapi bagi pesakit diabetes yang juga menghidap CKD, kawalannya lebih ketat.

Tambahnya, pesakit diabetes bukan sahaja perlu mengawal pengambilan gula, malahan garam dan juga protein. Bagaimanapun, pengurangan pengambilan gula dan kawalan pemakanan dapat menurunkan paras gula darah dan boleh dianggap satu bonus untuk pesakit.

Wan Mi turut menasihatkan pesakit CKD yang terpaksa memulakan rawatan dialisis supaya mengawal berat badan kerana mereka mungkin akan mula kehilangan banyak berat badan akibat kegagalan penuh fungsi buah pinggang.

Bagi mereka yang masih sihat dan tidak dibelenggu mana-mana penyakit kronik, dinasihatkan supaya mengambil makanan dalam jumlah yang berpada. Di dalam setiap hidangan, terdapat bermacam bahan yang ditambahkan dan mungkin boleh membawa kepada penyakit tertentu.

Dengan keengganan sesetengah peniaga menurunkan harga bahan masakan, dan juga khabar peningkatan harga gula, amat elok jika masa ini dijadikan titik permulaan kawalan diet yang lebih sihat. Walaupun sukar untuk mengelakkan penggunaan produk siap diproses atau amalan makan di luar, sekurang-kurangnya cuba bataskan jumlah garam, gula, lemak dan minyak dalam makanan dan minuman di rumah.

Satu pilihan kecil mengutamakan kesihatan diri dan keluarga memberi kesan besar dalam jangka panjang. Letakkan pilihan itu di tangan anda sendiri.


Ditulis oleh:
Nurul Anuar Kari

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Friday, September 12, 2008

Puasa : Penyucian Rohaniah dan Fizikal


Utamakan pengambilan sayur-sayuran.








Rasa seperti sekelip mata kita kembali ke bulan Ramadan dan ibadah puasa. Bulan mulia ini disambut dengan bermacam ragam manusia, antaranya gembira dipanjangkan umur menemui Ramadan 1429 Hijrah, tidak kurang juga yang mula menghidap ‘penyakit’ tertentu sehingga tidak boleh berpuasa.

Ramai juga yang memulakan ‘pesta makanan’ setiap petang di bazar Ramadan atau pun bufet mewah di hotel-hotel besar. Lebih mengejutkan, ada juga segelintir yang sudah mula membeli-belah untuk Hari Raya Aidilfitri sebelum puasa bermula lagi.

Apa juga cara Ramadan disambut, semua umat Islam tetap wajib menunaikan Rukun Islam ini dengan berpuasa selama sebulan, pada bulan yang turut menjanjikan pelbagai peluang menyucikan diri. Menyentuh tentang penyucian diri, Ramadan bukan hanya untuk penyucian rohaniah malahan amat bermanfaat dalam penyucian badan, terutamanya salur penghadaman dan perkumuhan (termasuk sistem pernafasan bagi perokok).

Tempoh tanpa makan dan minum hampir 14 jam (di Malaysia) memberi sistem penghadaman peluang berehat seketika di samping meningkatkan proses penyingkiran toksin di dalam badan. Namun proses pemulihan ini menjadi sia-sia jika waktu berbuka dijadikan waktu melahap sehinggakan sistem penghadaman terpaksa ‘bekerja’ lebih kuat dari waktu tidak berpuasa.

Sahur dan Berbuka
Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Norlaily Md. Nasir menasihatkan amalan nutrisi seimbang sepanjang bulan Ramadan, bukan sahaja bagi mendisiplinkan diri malahan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan berpuasa.

“Sepanjang berpuasa, bersahur menjadi satu keperluan supaya badan mempunyai tenaga secukupnya untuk menjalankan aktiviti harian.

“Namun, menu sahur tidak boleh terlalu berat dengan cadangan hanya setengah pinggan nasi di samping melebihkan sayur dan buah-buahan,” katanya.

Menurutnya, buah juga boleh diganti dengan kurma ketika bersahur memandangkan sesetengah warga emas menganggap buah makanan yang ‘sejuk’.

Tambahnya lagi, bagi mereka yang agak kurang berselera untuk bersahur pada awal pagi, boleh juga mengamalkan bersahur dengan dua keping roti (bakar atau tidak), bersama segelas susu.

Bagi makanan yang dihidangkan, tidak mengira pada waktu bersahur atau berbuka, perkara utama yang perlu diperhatikan adalah mengurangkan penggunaan santan dalam masakan dan mengurangkan pengambilan makanan berlemak.

Ketika berbuka, adalah lebih baik bermula dengan beberapa biji buah kurma seperti yang diamalkan Rasullullah SAW dan mengelakkan bermula dengan makanan atau minuman yang manis.

Norlaily menjelaskan, pengambilan makanan berasaskan karbohidrat (nasi, mi, mihun) perlu dikurangkan kepada hanya setengah pinggan dengan keutamaan pengambilan sayur dan buah-buahan antara tiga hingga lima hidangan.

“Kebanyakan daripada kita mengambil lauk bersantan, berlemak atau pedas. Lauk pedas tidak sesuai untuk kanak-kanak dan warga emas.

“Elakkan juga pengambilan makanan kering seperti asam kerana ia tidak elok untuk sistem penghadaman ketika badan agak kekurangan air,” ujarnya.

Menurut Norlaily, orang ramai perlu melebihkan pengambilan air kosong, sebanyak mungkin bila berkesempatan (sahur atau selepas berbuka).

Selain itu, pengambilan kopi atau teh semasa bersahur dan awal berbuka juga tidak digalakkan kerana minuman berkafein akan menyekat penyerapan nutrien di samping meningkatkan kehilangan cecair badan.

Jika perlu juga, minum secawan kopi atau teh, bolehlah diambil selepas satu jangka masa berbuka seperti selepas sembahyang tarawih.

Serat dan Puasa
Norlaily memaklumkan penekanan besar diberikan kepada buah dan sayur ketika bersahur dan berbuka adalah kerana manfaat kandungan serat tumbuhan yang tinggi ke atas badan.

“Serat tumbuhan dapat melambatkan proses berasa lapar, membolehkan kita bertahan dalam tempoh sepanjang berpuasa.

“Serat dapat menyerap air, mengurangkan rasa lapar dan membolehkan badan bertahan melakukan aktiviti harian sehingga lebih lapan jam,” jelasnya.

Menurutnya, serat juga kaya dengan vitamin dan mineral tersendiri, di samping menyahtoksin badan dan membuatkan kita lebih ceria dan bertenaga.

Oleh itu, disarankan bersahur dengan buah dan sayur secukupnya untuk menahan rasa lapar, dan sama juga ketika berbuka supaya cepat berasa kenyang.

Norlaily menyatakan, individu berpuasa bukan sahaja dapat melakukan aktiviti harian seperti biasa dengan pengambilan serat, malahan dapat membantu mengelakkan sembelit yang mudah berlaku di ketika badan kekurangan air.

“Seperti ramai sedia maklum, antara kebaikan utama serat tumbuhan adalah melancarkan dan membersihkan sistem penghadaman dan perkumuhan.

“Selain itu, serat juga dapat membantu mengurangkan kalori dan lemak di kalangan mereka dengan berat badan berlebihan,” ujarnya.

Bagi mereka yang menghidap penyakit kronik pula, Norlaily menasihatkan supaya memperbanyakkan pengambilan makanan berserat tinggi bagi mengawal paras gula darah (serat larut) untuk pesakit diabetes.

Tambahnya, serat juga dapat mengurangkan kolesterol untuk pesakit kardiovaskular dan mengurangkan risiko kanser melalui kandungan fitokimia (phytochemical) di samping membolehkan pesakit menjalani ibadah puasa seperti orang biasa.

Norlaily menekankan pentingnya serat dalam kehidupan seharian, terutamanya ketika berpuasa tetapi diambil dalam jumlah berpatutan.

“Perkara utama adalah serat dapat membantu kita tahan berpuasa dan melakukan aktiviti harian seperti biasa sepanjang Ramadan.

“Namun, adalah lebih penting mendapatkan kuantiti nutrien yang seimbang dengan tidak mengabaikan komponen lain di dalam piramid makanan yang tidak kurang pentingnya,” tegasnya.

Katanya lagi, walaupun disaran lebih banyak pengambilan serat, perlu juga diambil dalam jumlah sederhana dan tidak berlebihan.

Dakwanya, pengambilan serat secara berlebihan boleh membawa kepada masalah angin di dalam badan.

Disiplin dan Sederhana
Dalam mendapatkan diet serat secukupnya, buah menjadi pilihan utama memandangkan ia mudah diperoleh dan harganya juga tidak terlalu mahal.

Sumber lain seperti bijirin mungkin lebih mahal sedikit sementara sayur pula disarankan ditanam sendiri bagi mereka yang mempunyai kawasan tanah untuk berbuat demikian.

Norlaily juga menasihatkan penanaman disiplin diri sepanjang Ramadan terutamanya dalam membeli makanan di luar dan amalan diet ketika bersahur dan berbuka.

“Ramadan bukan pesta makan! Bulan mulia ini sepatutnya dapat membantu kita mengurangkan perbelanjaan harian jika diamalkan pembelian berhemah.

“Beli secara sederhana. Utamakan makanan berserat dan bertenaga untuk keperluan badan menjalankan aktiviti fizikal,” katanya.

Menurutnya, serat itu penting untuk kesihatan tetapi perlu juga mempelbagaikan komponen dari piramid makanan untuk mencapai keseimbangan nutrien yang diperlukan badan.


Ditulis oleh:
Nurul Anuar Kari

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Sunday, March 16, 2008

Pelbagai Punca Sakit Dada


UJIAN ECG tekanan (kiri) dapat membantu mengesan salur darah tersumbat.

Sakit dada, sakit jantung. Ini telah menjadi satu pemahaman dan ketakutan di kalangan masyarakat negara ini sehinggakan banyak drama atau filem di negara ini menjadikannya satu klise untuk menunjukkan bencana dan tragedi keluarga. Setelah bertahun-tahun masyarakat didedahkan kepada ‘kefahaman’ ini, tidak hairanlah ramai yang bergegas mencari doktor apabila mengalami sakit dada kerana khuatir diserang sakit jantung.

Tidak boleh disangkal bahawa penyakit jantung menjadi pembunuh utama di negara ini dan banyak negara lain lagi. Memandangkan semakin ramai golongan muda yang diserang sakit jantung, tidak menghairankan juga golongan yang cemas ini terdiri daripada semua peringkat umur.

Namun, orang ramai perlu pandai membezakan antara serangan jantung dengan penyakit lain supaya perasaan cemas ketika mengalami sakit dada tidak membawa kepada kemudaratan lain.

Pakar Perunding Gastroenterologi dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh menjelaskan, serangan jantung biasanya menyebabkan kesakitan pada bahagian kiri atau tengah dada tetapi kadangkala boleh berlaku pada bahagian kanan dada juga.

“Rasa sakit ini seperti dada ditindih (ditekan), berat atau dibelit (sempit), dan boleh merebak dari dada ke leher, rahang atau lengan kiri

“Selain itu, rasa sakit akibat serangan jantung turut dikaitkan dengan simptom lain seperti berpeluh, rasa mual, sesak nafas dan rasa berdebar-debar (palpitation),” jelas beliau.

Kata beliau, rasa sakit ini juga datang dan pergi dan cuma bertahan untuk beberapa saat atau beberapa minit sahaja, serta dapat dikurangkan dengan berehat.

Tambahnya, serangan jantung juga dikaitkan dengan aktiviti fizikal berat seperti senaman terlalu kuat, mengangkat barang yang berat atau naik banyak anak tangga. Jika stres ditambah dengan perasaan marah yang membuak-buak, terdapat juga kemungkinan serangan jantung berlaku secara mendadak.

Jantung vs Reflux

Perkara pertama dalam mengelakkan kekeliruan dan rasa cemas akibat sakit dada adalah mengenali simptom ketika berlakunya serangan jantung. Perasaan cemas adalah normal jika kesakitan timbul di tempat yang sebelum ini tidak pernah berasa sakit.

Tetapi jangan terlalu risau atau cemas sehingga memudaratkan lagi keadaan dan menyebabkan rasa sakit itu semakin kuat.

Antara punca sakit dada bukan akibat serangan jantung yang biasa ditemui adalah masalah reflux asid perut yang menyebabkan radang dan bengkak kepada esofagus serta rasa pedih hulu hati.

“Sistem badan manusia telah diatur untuk berfungsi dengan elok, dari atas turun ke bawah, yang mengalir pula dalam satu arah. Jika fungsi sistem badan terganggu sehingga menjadi songsong, itu mungkin tanda hadirnya penyakit tertentu dan rasa sakit itu pula sebagai petanda daripada badan, memaklumkan terdapat kepincangan dalam fungsi sistem berkenaan,” kata Dr. Ahmad Shukri.

Penyakit yang dikenali Reflux Gastroesophageal (GERD) ini merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh reflux asid dari perut yang menghakis struktur salur penghadaman.

Dr. Ahmad Shukri menjelaskan, rasa pedih hulu hati yang berhampiran dengan kedudukan jantung ini mungkin menyebabkan kekeliruan di kalangan orang ramai.

“Selalunya reflux berlaku selepas makan terutama bila individu berkenaan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak,” kata beliau.

Beliau menyatakan reflux juga menyebabkan rasa mual, rasa asid (masam) di dalam mulut dan tidak melibatkan simptom seperti serangan jantung (sesak nafas, rasa berdebar) serta tidak dikaitkan dengan aktiviti fizikal.

Tambahnya, reflux juga boleh menyebabkan simptom batuk yang kering pada waktu malam, serangan asma (lelah) disebabkan kekejangan bronkiol atau menyebabkan pesakit bangun mengejut pada waktu malam akibat sakit di bahagian dada.

Rasa pedih hulu hati berbeza dengan sakit jantung kerana melibatkan perasaan seperti terbakar (heart burn) yang berpanjangan. Makanan pedas atau berlemak boleh menyebabkan simptom ini berlaku atau menjadi bertambah teruk.

Saringan dan Rawatan

Selain simptom, perlu juga diketahui ujian saringan bagi menentukan keadaan kesihatan anda serta menentukan rasa sakit pada dada berpunca daripada masalah jantung atau sebaliknya. Bukan sahaja ujian saringan, malahan cara rawatan untuk serangan jantung dan reflux juga berbeza.

Menurut Dr. Ahmad Shukri, doktor akan menjalankan ujian elektrikal kardiogram (ECG) jika pesakit disyaki mempunyai masalah jantung atau mengalami serangan jantung.

“Selain ECG, ujian darah juga dijalankan untuk menentukan kandungan kolesterol dan gula di dalam darah.

“Doktor juga akan mengambil tekanan darah pesakit dan menguji kehadiran enzim jantung yang dikeluarkan jika jantung mengalami kecederaan,” kata beliau.

Jika ECG adalah normal tetapi masih disyaki masalah jantung, Dr. Ahmad Shukri memaklumkan doktor akan melakukan ujian ECG tekanan (stres) yang memerlukan pesakit berlari di atas mesin treadmill bagi menguji kesannya terhadap jantung.

Beliau menjelaskan jantung akan memerlukan lebih banyak oksigen ketika menghadapi tekanan atau berlari dan perubahan pada bacaan ECG akan berlaku jika terdapat salur darah yang tersumbat.

Bagaimanapun, ujian ECG tekanan tidak memberikan bacaan yang 100 peratus tepat dan kadangkala boleh memberikan bacaan positif atau negatif yang salah. Ini merupakan antara batasan terhadap ujian saringan ini yang kadangkala boleh menunjukkan pesakit yang mempunyai masalah jantung sebagai sihat.

Dr. Ahmad Shukri memaklumkan pesakit boleh menjalani ujian koronari angiogram jika ujian stres ECG juga normal sedangkan doktor masih mengsyaki masalah jantung.

“Ujian koronari angiogram boleh menunjukkan bilangan dan tahap salur darah koronari jantung yang tersumbat dengan lebih tepat. Selain angiogram, pesakit juga boleh menjalani ujian angiogram MultiSlice Computer Tomography (MSCT) yang hanya memerlukan suntikan di tangan dan lebih cepat,” jelas beliau.

Selain itu, beliau turut menyatakan rawatan masalah jantung berbeza mengikut keadaan dan tidak semestinya memerlukan pembedahan besar.

Sekiranya doktor mengesan tanda positif pada ECG, Stres ECG atau MSCT, maka kaedah seterusnya yang terbaik adalah koronari angiogram yang membolehkan rawatan dilakukan pada saluran darah yang tersumbat melalui belon angioplasti dan stenting. Pembedahan pintasan jantung mungkin perlu dilakukan sekiranya bilangan dan tahap saluran koronari tersumbat terlalu serius. Selain itu, pesakit juga perlu meneruskan rawatan yang melibatkan penggunaan ubat bagi mengelakkan serangan jantung berulang.

Dalam pada itu, Dr. Ahmad Shukri memaklumkan masalah reflux pula dapat ditentukan dengan ujian endoskopi (OGDS) bagi menentukan sama ada terdapat radang atau luka di saluran penghadaman esofagus, atau hiatal hernia yang menjadi punca masalah berkenaan.

“Ujian lain untuk masalah reflux adalah kajian pH saluran penghadaman esofagus selama 24 hingga 48 jam.

“Rawatan untuk masalah reflux pula lebih mudah dengan bertumpu kepada mengurangkan penghasilan asid perut,” jelas beliau.

Menurut Dr. Ahmad Shukri, penghasilan asid perut boleh dikawal menggunakan ubat tertentu yang perlu diambil secara berkala oleh pesakit.

Dr. Ahmad Shukri menasihatkan sesiapa yang menghadapi sakit dada untuk berjumpa dengan doktor untuk menjalani ujian lanjut dan juga untuk dirujuk kepada doktor pakar perut, jantung atau paru-paru mengikut penyakit yang disyaki.

“Perlu diingat sakit dada itu bukan hanya petanda sakit jantung tetapi mungkin juga melibatkan masalah kesihatan lain yang perlu dikenalpasti dengan segera untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin.

“Jangan ambil mudah walaupun jika bukan disyaki serangan jantung dan dapatkan nasihat serta pandangan doktor anda dengan segera,” tegas beliau.

Sebarang pertanyaan mengenai sakit dada boleh diajukan kepada Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh melalui e-mel ashukris@yahoo.co.uk

Risiko dan Pencegahan

Terdapat dua jenis faktor risiko serangan jantung iaitu faktor tidak boleh ubah dan boleh ubah. Faktor tidak boleh ubah termasuk umur lebih 40 tahun, jantina lelaki dan mempunyai sejarah keluarga sakit jantung pada usia muda. Faktor boleh ubah pula lebih melibatkan gaya hidup yang boleh dikawal seperti merokok, kolesterol tinggi, darah tinggi, diabetes, obesiti dan stres.

Serangan jantung juga boleh berlaku seawal usia 20-an akibat amalan pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.

Bagi mereka yang aktif dalam sukan dan boleh berlari dalam jarak dua kilometer dengan mudah, rasa sakit dada berkemungkinan bukan akibat serangan jantung. Namun bagi mereka yang bermain sukan kurang tekanan seperti golf, sakit dada berkemungkinan menandakan serangan jantung terutamanya jika mereka kurang berjalan dan banyak menaiki kereta buggy sepanjang bermain golf. Senaman, diet rendah lemak dan tidak merokok menjadi antara kaedah utama yang dicadangkan untuk mengurangkan risiko dan mengelak mengalami serangan jantung.

Antara kumpulan yang berisiko menghidap reflux asid pula adalah perokok, berat badan berlebihan, mempunyai masalah hiatal hernia dan kuat minum kopi. Merokok dan tabiat sering minum kopi boleh melemahkan cerut atau spinkter esofagus dan akan memudahkan asid perut naik ke dalam saluran esofagus. Pesakit yang menghidap reflux perlu menjaga pemakanan dan mengamalkan pengambilan makanan dalam hidangan kecil dengan kekerapan lebih tinggi, atau makan sedikit-sedikit, banyak kali setiap hari.

Punca-Punca Lain Sakit Dada

* Aneurisme aorta yang bocor atau pecah

Masalah ini melibatkan salur darah yang membengkak dan lebih berbahaya daripada serangan jantung kerana boleh menyebabkan kematian mengejut pesakit. Masalah ini biasanya berlaku di kalangan mereka yang sudah lanjut usia dan antara punca utamanya adalah tekanan darah tinggi. Selain itu, pesakit yang dijangkiti kuman siflis ketika masih muda juga menghadapi risiko aneurisme yang lebih tinggi selepas melewati umur 50 tahun.

* Pleuritis

Masalah ini melibatkan radang pada lapisan pleura iaitu membran yang melitupi paru-paru. Pesakit biasanya berasa sakit ketika menarik nafas akibat paru-paru yang mengembang menyentuh lapisan pleura. Pleuritis mungkin berlaku akibat jangkitan kuman dan cara rawatannya adalah dengan merawat jangkitan tersebut.

* Costochondritis (Sindrom Tietze)

Masalah ini melibatkan keradangan dan bengkak pada satu atau lebih tulang rawan costal pada tulang rusuk pesakit. Antara puncanya adalah trauma atau batuk yang berpanjangan. Kesakitan akibat masalah ini turut melibatkan tulang rusuk dan pesakit akan berasa lebih sakit jika kawasan terbabit ditekan. Rasa sakit pada dada akibat masalah ini juga berpanjangan dan boleh mencecah berhari-hari lamanya.

Selain tulang rusuk dan rawan costal, kesakitan pada otot dada juga diletakkan di bawah kumpulan ini. Antara punca kepada masalah ini adalah senaman keras atau terlalu berat yang mencederakan struktur tulang, otot atau rawan pada dada. Kebanyakan pesakit yang mengalami masalah ini menyangkakan mereka, mengalami serangan jantung tetapi costochondritis mudah dibezakan dengan sakit jantung atau reflux asid memandangkan kedua-dua keadaan berkenaan tidak menyebabkan kesakitan bertambah jika dada ditekan.

Pesakit selalunya hanya perlu mengambil ubat penahan sakit untuk masalah ini dan akan pulih selepas satu masa tertentu, bergantung kepada punca masalah berkenaan.

* Tekanan pada saraf

Masalah ini berpunca daripada tekanan pada saraf tunjang akibat dihimpit tulang belakang ‘cervical’ yang semakin rapat. Kesakitan yang mulanya dirasakan pada leher boleh beralih ke dada dan boleh berlaku kepada golongan muda ataupun yang berusia. Walaupun jarang berlaku, masalah ini mungkin dihadapi mereka yang mengalami kecederaan teruk pada leher.

Masalah ini boleh dikesan melalui imbasan Sinar-X atau imbasan MRI (Magnetic resonance imaging) ke atas tulang belakang pesakit. Rawatan untuk masalah ini biasanya melibatkan ubat dan fisioterapi tetapi pembedahan mungkin diperlukan untuk pesakit dengan masalah yang lebih serius.


Ditulis oleh:

Nurul Anuar Kari

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Monday, March 10, 2008

Jangan Ambil Ringan Kesihatan Buah Pinggang

Buah pinggang atau ginjal mungkin bukan organ tumpuan apabila membincangkan penyakit kronik yang membahayakan nyawa. Namun, perlu disedari bahawa organ penapis bahan kumuh badan ini memainkan peranan yang amat penting dalam menjaga keseimbangan beberapa fungsi badan dan organ lain.

Untuk meningkatkan kesedaran risiko penyakit buah pinggang kepada orang ramai, Hari Buah Pinggang Sedunia mula diadakan sejak 2006, pada hari Khamis kedua bulan Mac setiap tahun. Hasil inisiatif bersama Persatuan Nefrologi Antarabangsa (ISF) dan Persekutuan Yayasan Buah Pinggang Antarabangsa (IFKF), sambutan hari berkenaan juga untuk menggalakkan pencegahan dan pengesanan awal masalah buah pinggang.

Dianggarkan lebih 500 juta penduduk dunia atau kira-kira 10 peratus golongan dewasa kini mengalami masalah buah pinggang atau penyakit buah pinggang kronik (CKD) dengan kira-kira 2,500 pesakit baru mengalami masalah buah pinggang dan memerlukan rawatan dialisis setiap tahun di Malaysia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan bilangan kes CKD perlu diturunkan sebanyak dua peratus untuk setiap tahun bagi 10 tahun akan datang dengan meningkatkan kesedaran umum tentang pentingnya pengesanan awal dan langkah pencegahan penyakit buah pinggang.

Langkah ini diharapkan dapat mengelakkan sejumlah 36 juta kematian akibat masalah buah pinggang dalam tempoh berkenaan. Dengan tema ‘buah pinggang yang mengagumkan’ tahun ini, diharap dapat menekankan betapa pentingnya peranan buah pinggang yang menapis dan membersihkan 200 liter darah setiap hari.

Antara faktor meningkatkan risiko CKD adalah, pesakit diabetes mellitus atau hipertensi, berat badan berlebihan atau obes, menghisap rokok, umur melebihi 50 tahun atau mempunyai sejarah keluarga dengan diabetes mellitus, hipertensi dan penyakit buah pinggang. Mereka yang mempunyai faktor-faktor risiko ini perlu menjalani pemeriksaan berkala bagi memastikan buah pinggang sihat dan berfungsi dengan baik. CKD boleh dikesan dengan ujian mudah terhadap air kencing bagi menguji tahap kreatinine, tahap penapisan dan kehadiran protein albumin.

Dengan adanya diabetes atau hipertensi, atau kedua-duanya sekali, CKD mungkin akan menjadi lebih teruk sehingga membawa kepada kegagalan fungsi tahap akhir buah pinggang. Jika ini berlaku, pesakit hanya mempunyai dua pilihan sama ada menjalani rawatan dialisis (mencuci darah) atau pemindahan buah pinggang.

Tempatan

Ketua Perkhidmatan Nefrologi, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Rozina Ghazalli menjelaskan CKD adalah penyakit senyap yang berlaku tanpa disedari sehinggalah mencapai tahap akhir.

“Kerosakan berterusan yang berlaku pada buah pinggang sering terlepas pandang kerana tidak menyakitkan pada peringkat awal.

“Jika CKD berkembang kepada kegagalan buah pinggang peringkat akhir, pesakit terpaksa menanggung kos ubat yang tinggi sama ada melalui dialisis setiap minggu ataupun pemindahan buah pinggang,” katanya.

Dr. Rozina menegaskan, pendedahan kepada orang ramai tentang bahaya penyakit seperti diabetes dan juga CKD dapat membantu mengawal penularan penyakit kronik dalam jangka panjang.

“Rekod Pendaftaran Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia menunjukkan lebih 18,000 pesakit kini menjalani rawatan dialisis atau telah menjalani pemindahan buah pinggang.

“Lebih 57 peratus daripada bilangan pesakit buah pinggang berkenaan turut direkodkan mempunyai diabetes,” ujar beliau.

Dr. Rozina juga menegaskan, pendedahan maklumat penjagaan dan pencegahan penyakit buah pinggang kepada umum akan mengurangkan beban penyakit di samping beban psikososial dan ekonomi terhadap pesakit, keluarga, komuniti dan kerajaan.

Antara cara untuk menjaga dan mencegah penyakit buah pinggang adalah dengan mengawal tekanan darah, mengawal diabetes, gaya hidup sihat (pemakanan dan senaman), berhenti merokok, menjaga berat badan, minum sekurang-kurangnya dua liter air setiap hari dan mengelakkan mengambil ubat yang boleh merosakkan buah pinggang seperti ubat penahan sakit tertentu. Buah pinggang bukan sahaja berfungsi menapis dan membuang toksin dan air berlebihan di dalam badan malahan penting dalam menghasilkan hormon-hormon tertentu untuk membuah sel darah, mengawal tekanan darah dan mengekalkan tulang yang kuat.

Menurut Dr. Rozina, kegagalan buah pinggang juga boleh membawa kepada penyakit kardiovaskular.

“Setiap tahun, dianggarkan kira-kira 10 peratus pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis meninggal dunia.

“Kebanyakan daripada mereka bukan meninggal dunia akibat masalah buah pinggang, sebaliknya akibat penyakit jantung,” jelasnya.

Kata beliau, perkhidmatan nefrologi Kementerian Kesihatan juga telah memulakan Program Sayang Buah Pinggang sejak 2004 untuk memberikan pendedahan maklumat terkini kepada doktor dan jururawat.

Kos

Bagi Presiden Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN), Dr. Tan Chwee Choon pula, program dan forum untuk kakitangan kesihatan ini juga berkesan dalam membantu menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

“Dengan memberikan maklumat terkini kepada kakitangan kesihatan, pesakit boleh mendapatkan maklumat mengenai buah pinggang dengan lebih mudah dan tepat.

“Ini penting bagi memastikan pesakit dan juga doktor mendapat maklumat tepat mengenai CKD untuk memudahkan pengesanan dan rawatan awal,” jelasnya.

Tegas beliau, pencegahan dan rawatan awal penting kerana masalah buah pinggang perlu ditanggung untuk satu tempoh yang lama dalam hidup.

Selain itu, Dr. Chwee Choon turut menjelaskan, bilangan sebenar pesakit buah pinggang atau yang meninggal akibat buah pinggang sukar ditentukan.

“Ramai pesakit buah pinggang meninggal akibat sakit jantung sebelum masalah pada organ berkenaan dikesan.

“Memandangkan mereka meninggal sebelum dikesan atau menerima rawatan dialisis, kebanyakannya akan digolongkan sebagai meninggal akibat sakit jantung,” kata beliau.

Menurut beliau, ini jelas menunjukkan kesan berangkai antara masalah pada buah pinggang dengan masalah organ lain, terutamanya jantung.

Tambahnya, ini lebih membimbangkan kerana 90 peratus pesakit CKD di seluruh dunia belum dikesan, terutamanya di negara membangun.

Dr. Chwee Choon memaklumkan kos untuk setiap sesi dialisis adalah antara RM150 hingga RM200 tetapi pesakit akan memerlukan tiga kali rawatan setiap minggu.

“Kos ini berkurangan sedikit di pusat dialisis badan bukan kerajaan (NGO) yang menerima subsidi kerajaan, antara RM50 hingga RM60 untuk setiap sesi.

“Anggaran kasar kos operasi tahunan untuk rawatan pesakit sahaja adalah antara RM100 juta hingga RM200 juta,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun menyatakan kos penyakit buah pinggang bukan hanya dari segi kewangan malahan penderitaan yang terpaksa ditanggung pesakit.

Peluang kedua

Pengerusi Penganjur Hari Buah Pinggang Sedunia 2008 Malaysia, Dr. Goh Bak Leong menyatakan pesakit yang menjalani dialisis secara puratanya dapat hidup antara 10 hingga 15 tahun lagi.

“Jika anda salah seorang yang perlu hidup dengan dialisis, anggaplah anda mendapat peluang kedua.

“Walaupun sukar, ini tidak bermakna hidup anda telah berakhir kerana banyak yang boleh dicapai dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Tegas beliau, teknologi juga semakin berkembang dan memungkinkan penemuan kaedah rawatan dan pencegahan yang lebih berkesan kelak.

Tambahan pula, mereka yang mengetahui mempunyai masalah mungkin lebih bertuah memandangkan bagi setiap pesakit dengan masalah buah pinggang yang dikesan, sembilan pesakit lagi gagal ditemui.

Berasaskan slogan tahun ini, ‘Adakah Buah Pinggang Anda Sihat?’, orang ramai disarankan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2008 dan lakukan ujian mudah untuk menguji tahap kesihatan buah pinggang anda. Ingatlah, pengesanan awal bukan sahaja dapat memperlahankan perkembangan kerosakan buah pinggang malahan mampu mengelakkan kegagalan fungsi buah pinggang.


Ditulis oleh:
Nurul Anuar Kari

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/