Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label batuk. Show all posts
Showing posts with label batuk. Show all posts

Sunday, January 02, 2011

Batuk Berpanjangan

Jika anda perokok tegar berusia 40 tahun ke atas, mengalami masalah batuk berpanjangan yang tidak hilang walaupun mencuba pelbagai jenis ubat dan ada kalanya dada terasa sesak; segera berjumpa doktor kerana ini antara tanda penting penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD).
Kebanyakan perokok menganggap batuk adalah masalah biasa tetapi jika ia berlanjutan, itu bermakna ada sesuatu yang tidak kena; apatah lagi jika anda cepat berasa penat dan mengah (tercungap-cungap bernafas) apabila melakukan senaman mudah, termasuk menaiki tangga.

Menghidap COPD bermakna saluran udara ke paru-paru anda separa tersumbat dan membuatkan anda sukar bernafas. Ia penyakit kronik yang mengambil masa bertahun-tahun untuk terjadi dan biasanya dialami pesakit berumur 60 tahun. Bagaimanapun, penyakit dialami pesakit tua ini kebanyakannya teruk dan sukar dirawat.

Oleh kerana proses pembentukan penyakit ini mengambil masa yang lama, ada kemungkinan COPD bermula lebih awal iaitu pada usia 40-an dan punca utamanya ialah merokok.

Antara gejala utama ialah batuk berpanjangan dan batuk itu pula mengandungi kahak. Ini menyebabkan pernafasan pesakit COPD mempunyai bunyi berdehem seperti pesakit asma. Faktor ini juga membuatkan ada doktor tersalah anggap menyangkakan pesakit menghidap asma.

Walaupun dua-dua penyakit itu membabitkan saluran pernafasan yang sempit dan berkongsi beberapa gejala hampir sama, ia sebenarnya berbeza. Antara gejala COPD ialah:



  • Batuk berpanjangan dan berkahak.





  • Dada terasa sesak dan sempit.





  • Cepat penat dan bernafas tercungap-cungap. Keadaan menjadi lebih buruk apabila bersenam.




  • Untuk kes COPD teruk, pesakit juga tercungap-cungap bernafas ketika melakukan kerja harian mudah seperti memasak, mengemas atau menaiki tangga dalam rumah. Dalam keadaan ini pesakit memerlukan banyak tenaga hanya untuk bernafas.

    COPD juga dipanggil ‘batuk perokok’ atau asma perokok kerana ia menyebabkan pesakit sesak nafas. Pesakit COPD serius di negara ini dianggarkan mencecah 500,000 orang. Kajian mendapati dua daripada lima perokok mengalami COPD selepas 15 hingga 20 tahun merokok.

    Apabila membincangkan isu perokok dan COPD, pasti ada yang berkata mereka mengenali seseorang yang sudah berpuluh-puluh tahun merokok tetapi masih nampak sihat.

    Memang, tidak semua perokok menghidap COPD tetapi jika anda perokok tegar, peluang untuk menghidap penyakit ini lebih cerah.

    Di kalangan perokok, siapa yang mendapat COPD bergantung kepada daya ketahanan badan. Daya ketahanan badan adalah berbeza dan individu yang lemah daya ketahanan badannya lebih dekat dengan cengkaman COPD.

    Presiden Inisiatif Kesatuan Profesional Malaysia Untuk Pemberhentian Tembakau (IMPACT), Datin Dr Aziah Ahmad Mahayiddin, berkata rokok adalah punca utama banyak penyakit yang boleh dicegah dan hampir separuh daripada perokok meninggal dunia akibat penyakit berkaitan rokok seperti strok, sakit jantung, kanser dan penyakit saluran pernafasan.

    “Ketagihan rokok adalah sejenis penyakit yang memerlukan rawatan doktor. Desakan merokok pada waktu pagi (selepas bangun tidur) adalah keinginan paling sukar dikawal dan antara sebab utama orang kembali menyedut asap beracun itu, terutama bagi mereka yang dalam usaha berhenti,” katanya.

    Yang menyedihkan ialah, kesan negatif asap rokok bukan pada perokok saja tetapi boleh menjejaskan kesihatan pasangan dan anak yang menjadi perokok pasif.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan perokok pasif ialah individu yang terdedah kepada asap rokok sekurang-kurangnya 15 minit dalam masa dua hari untuk tempoh seminggu.

    Berdasarkan risalah pendidikan Kementerian Kesihatan menyebut, perokok pasif mempunyai risiko 30 peratus lebih tinggi mendapat kanser paru-paru dan penyakit jantung (25 peratus lebih) berbanding perokok itu sendiri.

    Malah, ada wanita yang tidak pernah merokok turut menghidap COPD, gara-gara menghidu asap rokok dan asap pembakaran di tempat kerjanya sejak muda!

    COPD membuatkan kualiti hidup pesakit terjejas. Selain tidak dapat bergerak aktif, pesakit sentiasa berasa kurang yakin dengan kebolehan diri untuk berjalan, khususnya di tempat awam.

    Mereka juga bimbang jika mendapat jangkitan pernafasan; walaupun selesema biasa. Pada orang sihat, jangkitan virus selesema hanya menyebabkan ketidakselesaan tetapi bagi pesakit COPD, ia boleh membawa kemudaratan sehingga terpaksa dimasukkan di hospital.

    Bagi perokok wanita, risiko menghidap COPD lebih tinggi kerana secara amnya paru-paru wanita lebih lemah berbanding lelaki. Maknanya wanita boleh mendapat COPD walaupun tempoh merokok lebih pendek daripada rakan perokok lelaki.

    Bolehkan COPD dicegah dengan bersenam? Senaman mempunyai banyak manfaat terhadap kesihatan tetapi ia tidak mampu mencegah seseorang daripada menghidap penyakit ini. Institut Perubatan Pernafasan (IPR) pernah menerima pesakit COPD yang ketika mudanya adalah ahli sukan.

    Kajian menunjukkan perokok yang bersenam secara tetap (sekurang-kurangnya 30 minit, tiga hingga lima kali seminggu) mempunyai kebarangkalian lebih rendah untuk mendapat COPD berbanding perokok yang tidak bersenam. Namun, cara pencegahan terbaik ialah berhenti merokok.

    Bekas perokok juga boleh mendapat COPD walaupun sudah berhenti merokok. Ini kerana kerosakan salur pernafasan dan paru- paru akibat asap rokok tidak boleh diperbaiki dan sehingga kini tiada ubat dapat memulihkan paru-paru yang rosak.

    Rawatan utama untuk COPD ialah berhenti merokok. Bagaimanapun ia bukan perkara senang, malah ada pesakit COPD masih gagal menghentikan tabiat itu walaupun kerap dimasukkan ke hospital padah penyakit itu.

    Apabila anda berhenti merokok, tahap kesihatan meningkat secara berperingkat dan ia juga boleh mengurangkan risiko menghidap kanser paru-paru dan COPD.

    Bahkan tindakan berhenti merokok menyelamatkan nyawa pasangan yang secara tidak langsung menjadi perokok pasif.

    Maka, sempena Hari COPD Sedunia yang disambut pada 18 November setiap tahun, tanyakan lima soalan berikut pada diri sendiri:
    1. Adakah anda kerap batuk pada kebanyakan hari?
    2. Adakah batuk anda berkahak?
    3. Adakah anda cepat penat dan tercungap-cungap ketika melakukan sesuatu berbanding rakan seusia?
    4. Adakah anda berumur 40 tahun ke atas?
    5. Adakah anda perokok atau bekas perokok?
    Jika anda menjawab ‘ya’ kepada sekurang-kurangnya tiga soalan, pergi berjumpa doktor untuk menjalani ujian pernafasan menggunakan spirometer di mana-mana hospital berhampiran yang mempunyai alat ini.

    Ujian ini untuk menguji fungsi paru-paru. Ia untuk mengukur kemampuan paru-paru menerima, menahan dan menggunakan udara; mengetahui sama ada paru-paru mengalami halangan pada saluran udara; menentukan tahap penyakit paru-paru dan memantau keberkesanan rawatan diterima pesakit.

    Jangan tunggu sehingga anda tidak tahan dengan batuk teruk dan pernafasan tercungap-cungap kerana ia mungkin menandakan penyakit anda serius dan sukar diubati. Apalah maknanya mempunyai umur panjang jika sisa hidup dihabiskan dalam kesakitan.




  • Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my/

    Sunday, March 30, 2008

    Air Liur Berdarah, Busuk

    SOALAN:
    Doktor, saya ingin bertanya tentang masalah kesihatan yang sedang saya alami sekarang. Saya kini berusia 21 tahun. Mei lalu, saya mengalami batuk yang agak teruk di mana saya terbatuk sehingga tidak dapat dikawal lalu termuntah. Sekarang saya dah okey tetapi yang menjadi masalahnya, setiap hari apabila bangun dari tidur dan meludah, terdapat darah di dalam air liur saya.

    Ia berlaku hampir setiap hari dan boleh dikatakan, setiap hari pasti ada keadaan di mana air liur saya berwarna coklat cair, sangat busuk dan meloyakan seperti najis. Apakah masalah yang sedang saya hadapi ini kerana kebanyakan doktor yang saya tanya rata-ratanya tidak dapat memberikan jawapan yang pasti.

    Saya merokok, tidak minum arak dan pernah beberapa kali melakukan seks oral tetapi selepas masalah ini berlaku, saya tidak melakukan tabiat itu lagi kerana bimbang masalah boleh jadi bertambah buruk. Saya amat berharap pihak tuan dapat merungkaikan permasalahan yang cukup membelenggu ini.

    Mike,


    JAWAPAN:
    Masalah batuk boleh disebabkan oleh beberapa perkara. Puncanya boleh bermula dari paru-paru ataupun tekak.

    Seseorang yang kuat merokok boleh mengalami batuk setiap pagi yang dikenali sebagai ‘batuk perokok’. Ini berpunca daripada asap rokok yang terkumpul dari hari sebelumnya menyebabkan kerengsaan ke atas bahagian paru-paru ataupun tekak.

    Batuk ini boleh mengeluarkan kahak yang putih dan jika ia mengalami jangkitan kuman yang kerap berlaku, menyebabkan pendarahan.

    Pendarahan itu mungkin merah bila pendarahan berlaku semasa sedang batuk ataupun darah lama terkumpul yang berwarna coklat atau kehitaman. Ia mungkin mengeluarkan bau yang busuk.

    Kanser tekak juga boleh memberikan simptom yang sama, selalunya diiringi oleh perubahan pada suara.

    Saya nasihatkan agar saudara berhenti merokok supaya bahagian tekak dan paru-paru mendapat rehat dari asap rokok yang mungkin akan memulihkan keadaan.

    Jika masalah ini berterusan, berjumpalah seorang doktor pakar supaya pemeriksaan lanjut dapat dilakukan dan masalah sebenar diketahui dan dirawat.


    Ditulis oleh:
    Dr Loganathan Athanari
    Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT),
    Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC)

    Dipetik dari:
    http://www.utusan.com.my/

    Wednesday, March 19, 2008

    Anak Batuk Dan Muntah Setiap Malam

    SOALAN:
    Doktor, anak kedua saya, perempuan, berusia 4 tahun lebih. Seperti kanak-kanak lain, dia aktif dan sihat. Menyusu botol tiga atau empat kali sehari dengan setiap susuan adalah pada kapasiti sembilan auns. Perkembangan tumbesaran mengikut kata doktor adalah normal.

    Cuma apa yang membimbangkan saya ialah dia akan batuk-batuk pada setiap malam dan pengakhiran daripada batuk tersebut, dia akan memuntahkan segala isi perutnya. Barulah dia akan nyenyak tidur.

    Keadaan bilik bukanlah sejuk ataupun panas sangat yang mungkin menyebabkan tercetusnya batuk itu. Saya juga akan memastikan bilik di sapu dan dibersihkan setiap hari bagi mengelakkan debu.

    Jadi doktor, kami amat risau dengan keadaannya itu. Apakah terdapat kemungkinan lain yang menyebabkan dia berkeadaan sedemikian. Yang peliknya, dia tidak pula batuk pada siang hari.

    Terima kasih di atas keprihatinan doktor.

    Banges Munga


    JAWAPAN:
    Batuk di kalangan kanak-kanak adalah gejala yang kerap berlaku dan ada banyak faktor yang boleh menjadi faktor penyebabnya. Namun begitu, tidak banyak keadaan yang boleh menyebabkan batuk pada waktu malam.

    Batuk waktu malam mungkin merupakan tanda awal penyakit lelah di kalangan kanak-kanak. Kanak-kanak yang menghidapi penyakit lelah pada awalnya boleh bermula dengan batuk berpanjangan terutama pada waktu malam dan awal pagi.

    Dalam keadaan ini, mereka selalunya berkahak dan ini boleh menyebabkan batuk dan muntah. Sesetengah kanak-kanak juga mudah berhingus atau hidung berair pada waktu malam.

    Di dalam keadaan begini juga, mereka boleh mengalami batuk pada waktu malam dan seterusnya muntah disebabkan oleh lendir yang banyak.

    Bagi mengurangkan gejala ini, bilik haruslah kerap dibersihkan, seelok-eloknya bilik tidak ditempatkan dengan permaidani untuk mengurangkan habuk.

    Saya nasihatkan puan agar membawa anak berjumpa doktor pakar untuk pemeriksaan selanjutnya.


    Ditulis oleh:

    Dr Roliza Ibrahim
    Pakar Pediatrik,

    Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam

    Dipetik dari:
    http://www.utusan.com.my/