Peminat Setia Doktor Pakar

Monday, March 29, 2010

Glaukoma Buta Dalam Senyap

Rosnah Abdul Rashid Shirlin (tiga dari kanan) bersama para peserta yang menyertai Hari Glaukoma Sedunia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Agak mengejutkan apabila statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan baru-baru ini menunjukkan 1.8 peratus daripada rakyat Malaysia dikesan mempunyai masalah glaukoma. Keadaan itu menjadikan masalah tersebut merupakan penyakit kedua tertinggi dalam bidang kesihatan mata.

Mungkin ramai tidak mengetahui fakta bahawa glaukoma adalah salah satu penyebab utama kebutaan kekal yang menjejaskan hampir jutaan manusia di seluruh dunia.

Ia merupakan penyakit mata yang menyebabkan kerosakan pada saraf optik iaitu laluan yang membawa imej ke otak.

Sekiranya tidak dirawat, penyakit ini akan merosakkan saraf optik seterusnya menyebabkan hilang penglihatan.

Menyedari akan tahap bahayanya penyakit tersebut, Pertubuhan Glaukoma Malaysia baru-baru ini telah menganjurkan Hari Glaukoma Sedunia.

Diadakan di salah sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, acara tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Ketika ditemui selepas majlis tersebut, Rosnah berkata, tahap kesedaran di kalangan rakyat Malaysia mengenai penyakit itu masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain.

Sehubungan itu, katanya, masyarakat di negara ini perlu membuat pemeriksaan mata secara berkala sebagai usaha mencegah daripada mendapat penyakit itu.

''Glaukoma adalah sejenis penyakit senyap yang boleh menyebabkan buta secara perlahan-lahan dan jika tidak dikesan dan dirawat dengan segera, seseorang itu akan menjadi buta sepenuhnya.

''Dan anda bayangkan dalam 27 juta penduduk Malaysia, hanya 21 peratus daripada jumlah tersebut yang tahu apa itu glaukoma dan 70 peratus lagi langsung tidak tahu mengenai penyakit tersebut.

''Tiada ubat yang mampu menyembuhkan penyakit ini sepenuhnya selain rawatan pencegahan apabila ia dapat dikesan lebih awal,'' ujarnya.

Tambah Rosnah, penyakit glaukoma boleh terjadi kepada sesiapa sahaja malah jika dilihat trend hari ini, penyakit yang kebiasaannya berlaku kepada individu yang berumur 45 tahun dan ke atas kini mula menyerang golongan remaja semuda 23 tahun.

Jelas beliau lagi, penyakit glaukoma hari ini merupakan satu masalah yang serius dan kadar pertambahan mereka yang menghidap penyakit tersebut adalah mengikut kadar populasi penduduk Malaysia.

Katanya lagi, kemudahan bagi merawat pesakit glaukoma akan diperluaskan ke hospital awam di seluruh negara di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Dalam pada itu, perlu diingatkan bahawa glaukoma terjadi tanpa rasa sakit dan secara perlahan-lahan pesakit boleh hilang penglihatan tanpa disedari.

Oleh itu adalah mustahak ujian saringan mata dilakukan ke atas pesakit terutamanya yang mempunyai sejarah keluarga.

Tujuan utama rawatan adalah untuk mengekalkan penglihatan dan rawatan perubatan yang betul serta sempurna dapat merawat serta mengawal glaukoma.

Faktor keturunan juga dilihat faktor yang berkait rapat dan mempengaruhi kebarangkalian seseorang itu menghidap glaukoma.

Jika ada ahli keluarga anda pernah menghidap glaukoma jenis kronik, ahli keluarga lain juga harus disaring lebih awal.

Gejala glaukoma di kalangan bayi baru lahir dapat dilihat dengan kewujudan lapisan kornea atau mata hitam yang tidak jernih seperti mata bayi biasa.

Saiz mata juga mungkin membesar kerana tekanan mata meningkat di dalam mata.

Kanak-kanak berumur beberapa tahun pula mungkin mengalami gejala silau dan kadang kala membenamkan muka ke bantal untuk mengelak mata terkena cahaya.

Perlu difahami bahawa glaukoma masih boleh dirawat dengan pelbagai jenis ubat titis yang mudah digunakan dan mempunyai kesan sampingan minimum.

Jika tekanan mata tidak dapat dipulihkan dengan ubat titis, pembedahan harus dilakukan.


Ditulis oleh:
Mariatul Qatiah Zakaria

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Friday, March 26, 2010

Hormon Rendah Rambut Gugur

Rambut gugur fenomena yang ditakuti semua orang.

Keguguran rambut yang melampau atau alopecia totalis jarang berlaku tetapi kebanyakan wanita akan menghadapi tahap tertentu alopecia atau kehilangan rambut yang banyak.

Bulu pada badan tumbuh pada tempoh pusingan tertentu tetapi jangka pusingan tersebut bergantung pada bahagian tertentu tubuh. Contohnya, rambut tumbuh lebih cepat daripada bulu ari-ari.

Semasa hamil, rambut akan tumbuh lebih lebat daripada kebiasaan. Tetapi sebaik selepas melahirkan bayi, tahap hormon anda akan mula berkurangan dan anda dapat melihat rambut anda semakin menipis dan banyak yang gugur.

Bagaimanapun, lama kelamaan rambut baru mulai tumbuh bagi menggantikan rambut yang telah banyak gugur itu.

Alopecia areata merupakan keadaan di mana rambut yang gugur pada satu-satu bahagian tubuh seperti di kepala bersaiz hingga sebesar duit syiling atau lebih.

Keadaan ini akan pulih secara semula jadi tetapi jika anda berjumpa doktor, doktor akan memberikan suntikan bagi mempercepatkan pertumbuhan rambut.

Jika anda menyedari rambut anda banyak gugur, iaitu lebih daripada 100 helai atau lebih sehari, anda patut berjumpa doktor.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Diet pesakit jantung

Mary Easaw John bersama kakitangannya yang terlibat dalam sesi demonstrasi masakan untuk diet di IJN, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Kesempatan 'berkampung' sekejap di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini membuatkan saya terfikir, betapa mudahnya menyediakan makanan berkhasiat untuk pesakit khususnya yang menghidap sakit jantung.

Jika sebelum ini ramai yang menganggap perkara ini rumit kerana golongan ini perlu disediakan menu lain, seharusnya persepsi ini diubah.

Seperti orang lain, mereka juga boleh makan koktel, acar dan puding.

Namun, penggunaan perisa seperti gula dan garam serta minyak dikurangkan. Hasilnya, makanan tetap enak dan sesuai untuk mereka yang inginkan diet sihat.

Menurut Pengurus Pengurusan Diet IJN, Mary Easaw John, pesakit jantung perlu mengadakan pelan pemakanan berkhasiat yang memberi tumpuan kepada sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin.

"Jauhi makanan yang mengandungi lemak buatan seperti snek dan makanan yang telah diproses, serta lemak tepu. Mulakan pelaburan kesihatan jantung pada umur muda dan nikmati masa tua yang bakal mendatang.

Pesakit juga tidak boleh pemakanan minyak serta pemakanan yang banyak lemak kerana ia boleh menyebabkan arteri tersumbat," ujarnya ketika majlis demonstrasi masak sempena Bulan Pemakanan IJN.

Penyumbang terbesar penyakit ini adalah aterosklerosis, di mana berlakunya penebalan kolesterol serta bahan berserat yang dikenali sebagai plak, di sepanjang dinding arteri.

Ini menyebabkan arteri tersumbat dan akhirnya mengehadkan aliran oksigen dan darah ke jantung serta otak anda.

Dalam kes-kes di mana jantung tiba-tiba menerima aliran darah yang tidak mencukupi, kesakitan pada dada serta serangan jantung yang lebih serius boleh berlaku.

Tambah Mary, pesakit juga perlu makan lebih sayur-sayuran dan mengurangkan makanan mengandungi karbohidrat seperti nasi dan roti. Ramai yang tidak mengetahui sayur dapat mencuci badan dan membuang toksik.

Selain pemakanan, pesakit perlu menjaga gaya hidup mereka.

Dengan godaan makanan segera serta hidangan berkalori tinggi, adalah amat penting bagi golongan muda mengamalkan gaya hidup lebih sihat bagi mengurangkan risiko peningkatan tahap kolestrol jahat.

Pertama sekali, teruskan pemeriksaan rutin bersama pakar perubatan anda. Mengetahui lebih awal bahagian kesihatan anda yang bermasalah dapat membantu mencegah penyakit serius dalam jangka masa panjang serta merancang satu pelan kesihatan yang boleh anda ikuti.

Senaman tetap serta aktiviti fizikal mampu memperbaiki kesihatan jantung serta mengawal berat badan anda. Malahan, senaman meningkatkan jumlah kolesterol baik dan membantu mengurangkan tekanan.

"Jika anda tidak mampu mengamalkan senaman secara tetap, anda mungkin mengambil sedikit masa untuk berjalan. Anda juga boleh menari," jelasnya.

Selain itu, ramai pesakit jantung yang tersalah anggap apabila merasakan mereka boleh makan apa sahaja selepas mengambil ubat-ubatan.

Jika keadaan ini berlaku, Mary berpendapat ubat tersebut sudah tentu tiada fungsi.

Sempena bulan pemakanan, IJN menyediakan perkhidmatan nasihat diet termasuk diet kaunseling, maklumat antara makanan dan penyakit serta panduan pemakanan sihat.

Bagi mereka yang berminat boleh menghubungi IJN, 03-26006596 atau e-mel info@ijn.com.my


Ditulis oleh:
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Wednesday, March 24, 2010

Rawatan Selesa Dengan Lokomat

Sarah Jane Fernandez ceria menggunakan Lokomat.

Bukan mudah untuk pesakit strok dan lumpuh pulih seperti sedia kala. Selain perubatan dan rawatan fisioterapi, mereka memerlukan semangat yang tinggi untuk kembali menikmati hidup berkualiti, sama seperti sebelum serangan berlaku.

Kini dengan adanya mesin Lokomat dan Armeo, pesakit strok dan lumpuh akibat kecederaan otak traumatik dan saraf tunjang boleh menjalani rawatan pemulihan dengan lebih selesa dan intensif.

Malah penggunaan dua mesin buatan Switzerland yang terbukti mampu membantu pesakit kembali berjalan semula itu sudah dipraktikkan di negara Jepun, Australia dan Singapura.

Pertama di negara ini, ia ditempatkan di Yayasan SSL Strok dan Pembangunan Masyarakat, Petaling Jaya Selangor.

Salah seorang pesakit yang mendapatkan rawatan di sini, Sarah Jane Fernandez mengakui beliau semakin selesa menggunakan dua mesin baru tersebut.

Menurutnya, jika peralatan konvensional menyebabkan badannya sakit juga memerlukan tenaga lebih daripada fisioterapi, kini tidak lagi dengan bantuan dua mesin tersebut.

“Malah ia seperti melakukan aktiviti harian. Saya boleh berjalan dengan melihat pemandangan indah, melakukan aktiviti menggunakan tangan dan sebagainya,” kata gadis yang mengalami masalah lumpuh seluruh anggota badan selepas terlibat dengan kemalangan itu.

Neuroplasticity

Lokomat dan Armeo dicipta oleh Dr. Gery Colombo dari syarikat pengeluar Hocoma menggunakan konsep neuroplasticity dalam membantu pesakit yang mengalami masalah pergerakan.

“Otak manusia mempunyai dinamik yang menukar kemungkinan kepada fungsi pembelajaran semula, tidak seperti organ lain.

“Otak mengandungi sel saraf atau neuron yang bersambung antara satu sama lain. Pembelajaran berlaku melalui pertukaran kekuatan pada sambungan tersebut dengan menambah atau mengurangkan sambungan atau melalui pertambahan sel baru. Terma inilah yang dipanggil neuroplasticity,” kata Dr. Colombo yang ditemui ketika pelancaran Lokomat dan Armeo baru-baru ini.

Lokomat, menurutnya akan membantu pesakit yang tidak boleh berjalan disebabkan strok, kecederaan tulang belakang tidak lengkap dan penyakit berkaitan neurologikal.

Pesakit akan dibantu dan diberi panduan ketika berjalan di atas treadmill yang menawarkan pelbagai peringkat latihan.

Mesin ini mengatasi beberapa cabaran terapi biasa.

“Latihan biasa secara manual memerlukan bantuan staf profesional dan sangat memerlukan tenaga. Melalui kaedah lama, hanya sesi yang singkat boleh dilakukan yang mana ini akan menghadkan keberkesanan latihan itu,” kata beliau.

Sebaliknya Lokomat, sangat intensif dan merupakan terapi gerah alih (locomotion) psikologikal yang mesra pengguna.

Dengan pembantu robotik dan penyokong berat badan yang mampu menahan bebanan pesakit obesiti, ia digabungkan dengan treadmill untuk menghasilkan operasi automatik membolehkan pesakit meraih kemajuan dalam tempoh yang lebih singkat.

Pesakit dengan keperluan khas seperti obesiti, spastik, berkerusi roda atau pesakit kanak-kanak boleh mendapat faedah daripada mesin ini.

Lokomat kata Dr. Colombo, hanya memerlukan seorang pembantu terapi untuk menyelaras parameter latihan bagi memenuhi keperluan individu.

Sementara itu, beliau berkata Armeo pula digunakan untuk pesakit yang mengalami lumpuh di bahagian atas iaitu lengan.

Sebelum ini, ramai pesakit strok sukar untuk menggerakkan semula fungsi lengan mereka kerana otot lemah dan sukar melawan graviti.

“Armeo akan meneutralkan berat anggota, membenarkan pesakit menggunakan kawalan tangan di kedua-dua lengan dan tapak tangan. Seterusnya pesakit akan menggerakkan tombol dan mengikut arahan permainan menggunakan simulasi 3D aktiviti harian,” katanya.

Jelas beliau lagi, melalui pemerhatian pesakit pada arahan dan gambar yang terdapat pada skrin, ia akan menghantar isyarat pada otak bagi meneruskan pergerakan seterusnya, iaitu menggerakkan tangan.

Melalui mesin ini, pesakit mempunyai inisiatif sendiri untuk menggerakkan tombol bagi menjayakan permainan yang sedang mereka ikuti. Secara tidak langsung ia menjadi motivasi kepada mereka untuk terus menjalani latihan.

Menurut beliau, setakat ini terdapat lebih 30 jenis permainan berlesen yang dipasang pada Armeo dan angka itu akan bertambah dalam masa terdekat.

“Kajian menunjukkan, 50 peratus peningkatan pada fungsi neurologikal pesakit menggunakan Lokomat dan Armeo. Ini bermakna, pesakit mempunyai lebih peluang untuk berjalan dan bergerak seperti biasa semula,” katanya.


Ditulis oleh:
Bintu Rasyada A. Rahman

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Monday, March 22, 2010

Tekanan Darah Tinggi di Kalangan Rakyat Malaysia

Lebih 17.2 juta manusia meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit kardiovaskular, dengan itu menjadikannya penyebab utama kematian di seluruh dunia.

Penyakit tekanan darah tinggi semakin meningkat di Malaysia sepanjang 10 tahun kebelakangan ini dan kini membabitkan kira-kira 4.8 juta rakyat Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican.

Kira-kira 43 peratus rakyat Malaysia yang berumur melebihi 30 tahun menderita penyakit kronik ini, iaitu peningkatan daripada 33 peratus yang direkodkan pada tahun 1996, tambah beliau dalam ucapan pembukaan di Mesyuarat Tahunan Saintifik Ketujuh Persatuan Hipertensi Malaysia.

Di Malaysia, penyakit jantung dan penyakit yang berkaitan peredaran pulmonari merupakan penyebab utama kematian di hospital-hospital kerajaan. Presiden Persatuan Jantung Nasional (NHAM) Dr. Sim Kui Hian berkata negara ini kehilangan beribu-ribu orang yang masih dalam lingkungan umur produktif setiap tahun akibat diserang oleh penyakit-penyakit kardiovaskular.

Bagaimanakah Kita Boleh Mengawal Tekanan Darah Kita?

“Pemeriksaan tekanan darah secara kerap di rumah untuk sentiasa mengamati paras tekanan darah kita.

“Mereka yang mengambil ubat anti hipertensi hendaklah terus mengambilnya setiap hari dan jangan lupakan ia atau berhenti mengambilnya tanpa terlebih dahulu meminta nasihat doktor.

Cara Untuk Mengelak Daripada Serangan Darah Tinggi


# Jangan merokok

# Kekalkan berat badan yang sihat

# Bersenam secara kerap

# Semua orang dewasa yang sihat dalam lingkungan umur 18-65 tahun seharusnya mendapat sekurang-kurangnya 30 minit kegiatan senaman yang sederhana lima hari seminggu.

# Makan makanan yang sihat

# Makan lebih banyak buahan dan sayuran yang segar

# Kurangkan pengambilan garam

# Kurangkan makanan bergoreng; pilihlah makanan yang dikukus, panggang atau dibakar

# Kurangkan pengambilan makanan yang sarat dengan kolesterol.

# Ambillah suplemen Koenzim Q10 (CoQ10)

Apa Itu CoQ10?

Koenzim Q10 (CoQ10) ialah sejenis jisim yang menyerupai vitamin dijumpai di dalam setiap sel dalam badan manusia. CoQ10 adalah perlu untuk mengeluarkan tenaga di peringkat selular. Para saintis mendapati jantung kita mengandungi 10 kali lebih banyak CoQ10 berbanding mana-mana organ lain dalam badan. Ini kerana jantung kita adalah organ yang paling kuat bekerja sebab ia berdegup kira-kira 100,000 kali sehari. Tidak ada satu degupan pun boleh berlaku tanpa wujudnya tenaga.

Menjana tenaga yang banyak tidak menjadi masalah semasa kita masih muda. Badan dapat mengeluarkan semua CoQ10 yang diperlukan oleh jantung, tetapi apabila kita semakin tua, badan akan mengeluarkan semakin sedikit CoQ10. Pada peringkat umur 50-an atau 60-an, jantung kita akan mengalami kebuluran tenaga. Sebaik sahaja keadaan ini berlaku, jantung tidak lagi mampu bekerja dengan cekap serta tidak berupaya untuk menyampaikan semua oksigen dan nutrien yang diperlukan oleh organ dan tisu di seluruh badan. Akibatnya, kita akan berasa letih dan tidak bermaya.

Manfaat CoQ10 Untuk Kesihatan Jantung


Banyak penyelidikan telah dilakukan terhadap CoQ10 tetapi hasil yang paling menarik ialah yang dicapai dalam bidang kardiologi.

Pada tahun 1972, Dr. Karl Folkers (dikenali sebagai “Bapa CoQ10" kerana kajian mendalam beliau mengenai CoQ10) dan Dr. Gian Paolo Littarru membuktikan mereka yang menghidapi penyakit jantung seringkali adalah mereka yang juga kekurangan CoQ10. Paras kekurangan CoQ10 telah pun dimantapkan dengan amat jelas dalam kes-kes kegagalan jantung kongestif dan kardiomayopati (otot jantung yang berpenyakit) yang merupakan penyakit yang melibatkan otot jantung itu sendiri.

Apabila otot jantung lemah, ia tidak dapat mengepam semua darah yang diterima daripada badan. Juga, apabila otot jantung itu lemah, ia memerlukan lebih banyak jumlah nutrien yang mesti disalurkan ke sel-sel jantung supaya ia dapat mencipta tenaga. Salah satu nutrien yang paling penting ialah CoQ10. Dengan mengambil suplemen CoQ10, maka otot jantung yang lemah itu dengan mudahnya dapat menambah semula simpanan CoQ10-nya. Ini membolehkan otot jantung menjana lebih banyak tenaga dengan itu memperbaiki keadaannya yang lemah itu.

Koenzim CoQ10 merupakan suatu rawatan yang berkesan bagi mereka yang mengalami tekanan darah tinggi, menurut satu ujian klinikal yang diterbitkan dalam majalah Southern Medical Journal (2001; 94:112-7).

Mengikut kata Dr. Peter H Langsjoen, M.D., F.A.C.C. (Doktor, Ahli Biokimia dan Penyelidik), “Dari pengalaman klinikal saya, kekurangan CoQ10 adalah penyebab kepada kekakuan otot jantung, yang akan menyebabkan badan bertindak balas dengan adrenalin. Dan seterusnya akan menyebabkan tekanan darah tinggi”.

Terdapat beberapa penyelidikan berkaitan CoQ10 dan semuanya menunjukkan peningkatan fungsi otot jantung dan lama kelamaan menurunkan tekanan darah.

Manfaat daripada CoQ10 untuk jantung kini merupakan suatu fakta yang telah pun diterima ramai di kalangan para doktor pada hari ini. Banyak kajian menunjukkan kebaikan yang konsisten dalam kefungsian jantung di kalangan para pesakit yang mengambil CoQ10. Adalah penting kita menyedari bahawa CoQ10 itu digunakan untuk menyokong rawatan-rawatan tradisi dan bukan sebagai penggantinya.

Bukan Semua Suplemen CoQ10 Adalah Sama

Bentuk tradisi suplemen CoQ10 adalah tidak mudah diserap oleh badan (serbuk CoQ10 yang diampaikan dalam minyak soya - kapsul gel lembut, tablet yang berasaskan serbuk, kapsul gelatin keras yang diisikan dengan serbuk). Masalahnya ialah saiz zarah CoQ10 adalah sangat besar, lagipun ia tidak larut dalam air dan juga susah hendak larut dalam lipid, dengan itu membuatkannya sukar untuk badan menyerapnya.

Bagaimanapun, kini terdapat suatu bentuk CoQ10 yang ‘larut air’ (hydrosoluble) diperbuat dengan menggunakan teknologi “BioSolv” yang telah dipatenkan. Proses ini dapat mengecilkan saiz zarah daripada 25-70 mikron menjadi hanya 0.3 mikron - iaitu lebih kecil daripada seekor bakteria! Kebiasaannya, lagi kecil saiz sebutir zarah maka lagi baik penyerapannya. Apa yang tidak diserapi ke dalam aliran darah tidak dapat digunakan oleh badan.



Ditulis oleh:
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Sunday, March 21, 2010

Pemeriksaan Awal Bantu Atasi Glaukoma

Pagi Jumaat lalu, Zaini ke sebuah pusat membeli-belah untuk memeriksa matanya. Sejak akhir-akhir ini, penglihatannya semakin kabur. Memang sebelum ini dia kurang gemar memakai cermin mata hitam, malah dia sering menatap komputer pada jarak yang dekat. Kebetulan rakannya menyarankan dia membuat pemeriksaan mata di sebuah kedai optik terkenal.

Melalui penerangan rakannya, baru dia mengetahui tidak semua kedai optik mempunyai ahli optometri. Ahli optometri adalah individu yang berkait rapat dengan penglihatan.

Bidang kerjaya sebagai ahli optometri agak luas. Ia turut merangkumi memberi rawatan kepada masalah penglihatan yang dialami pesakit.

Mereka juga membuat diagnosis terhadap masalah penglihatan yang dialami mana-mana individu sama ada rabun jauh atau dekat atau kedua-duanya sekali yang memerlukan bantuan alat penglihatan seperti cermin mata atau kanta lekap untuk kembali normal.

Selain itu, tugas mereka turut membabitkan ujian terhadap keupayaan mata individu untuk memfokus. Mereka juga mampu untuk menentukan darjah kanta yang perlu digunakan oleh mana-mana individu yang mengalami masalah rabun.

Ahli optometri mampu membuat ujian glaukoma dan penyakit mata yang lain dengan melakukan diagnosis keadaan yang disebabkan masalah penglihatan mata seperti darah tinggi dan kencing manis dengan merujuk pesakit kepada pengamal perubatan yang disarankan.

Melalui pemeriksaan mata termasuk beberapa ujian khas, ia dapat mengelakkan kehilangan penglihatan akibat daripada penyakit ini.

Menurut juru gaya cermin mata dan ahli optometri Malaya Optical, Ryan Ho, kebanyakan ahli optometri menjalankan tugas secara umum. Bagaimanapun, ada yang pakar dalam penglihatan warga emas dan kanak-kanak. Selain itu, ada juga di antara mereka yang pakar dalam bidang kanta lekap, terapi penglihatan dan penglihatan untuk ahli sukan.

Selain itu, ada juga ahli optometri yang terbabit dalam bidang penyelidikan, mengajar dan memberikan khidmat perundingan.

"Untuk menjadi ahli optometri bukan mudah. Mereka perlu mendapatkan kelayakan yang sah. Mana-mana individu yang berminat perlu ada kelaykan tertentul," katanya.

Menurut Ryan, orang ramai boleh membuat ujian glaukoma di Malaya Optical memandangkan kedai ini mempunyai ahli optometri yang sah dan mesin pemeriksaan yang canggih. Kemudian, Ryan akan menyarankan pelanggannya yang mempunyai masalah mata berjumpa dengan pakar perubatan.

"Ramai orang yang tidak memahami fungsi optometri. Dengan pencegahan dan pengesanan awal, kami dapat membantu pelanggan mengatasi glaukoma. Justeru itu, selain membeli cermin mata hitam untuk melindungi mata, mereka juga boleh mengetahui tahap kesihatan mata," jelasnya yang telah memenangi anugerah BrandLaureate-SMEs 2009 (Hadiah Jenama-Usahawan Kecil Sederhana) di bawah kategori Jenama Terbaik Dalam Jualan Runcit - Pusat Vision Solution.

Kedai pertama Malaya Optical dibuka pada tahun 1957 oleh datuk Ryan, di China Town Kuala Lumpur. Ryan memberitahu, keistimewaan kedai Malaya Optical adalah setiap tujuh kedai ini ditempatkan seorang optometri agar pelanggan-pelanggannya boleh mendapatkan nasihat daripada seseorang yang bertauliah.

"Satu lagi kelebihan kedai Malaya Optical berbanding dengan kedai kaca mata lain yang terdapat di Malaysia adalah beberapa daripada cawangannya dilengkapi dengan mesin-mesin canggih untuk mengesan masalah penglihatan dan kesihatan anak mata.

Juru gaya cermin mata ini pernah menjadi penasihat kepada beberapa orang ahli politik dan artis-artis popular dalam negara.

"Saya menganalisis bentuk tulang muka dan deria sebelum memberikan mereka nasihat dan panduan untuk menyerlahkan lagi bahagian muka. Ini menambahkan lagi keceriaan di muka si pemakai, kerana kaca mata mampu mengubah rupa bentuk seseorang dalam sekelip mata tanpa kosmetik," ujarnya.


Ditulis oleh:
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Thursday, March 18, 2010

Rawatan Sakit Belakang Tanpa Pembedahan

Saya tidak mahu dibedah untuk pulihkan masalah sakit belakang saya. Saya takut jika pembedahan itu tidak berjaya dan saya lumpuh. Saya tidak yakin sanggup menanggung akibatnya," kata Siti Ismail, seorang wanita bertubuh kecil yang aktif bersukan mewakili tempat kerjanya, seperti badminton dan ping pong.

Sakit belakang yang dialaminya sejak beliau mengangkat sebuah pasu bunga berat, kini merupakan kebimbangan utamanya.

Selepas bertemu dengan beberapa pakar ortopedik, pakar neurologi serta pengamal perubatan alternatif, Siti yakin bahawa sakit belakang beliau boleh dirawat tanpa pembedahan. Dan beliau yakin keputusan beliau betul!

Dr. Siow Yew Siong, seorang Pakar Bedah Ortopedik berpengalaman, mengesahkan bahawa pembedahan bukan satu-satunya kaedah pemulihan sakit belakang dan ia bukan dalam senarai keutamaan rawatan bagi mereka dengan masalah spina degeneratif.

SAKIT BELAKANG

"Kebanyakan mereka yang mengalami sakit belakang menyeksakan khususnya di bahagian bawah badan ialah yang berusia lebih 45 tahun. Ini disebabkan oleh tulang spina yang menebal dan juga ligamen. Sebenarnya, kaki yang berasa kebas merupakan sebahagian daripada simptom sakit belakang, khasnya di bahagian bawah," jelas Dr. Siow.

Apabila ditanya berapa lama tempoh yang diambil oleh mereka yang mengalami sakit belakang untuk mengatasi kesengsaraan ini, tidak kira semasa berdiri atau duduk, Dr. Siow berkata: "Pertama, kami perlu bertanyakan kepada pesakit sejarah terperinci sakit belakang yang mereka alami. Kemudian, menguji kekuatan otot untuk memastikan refleks mereka. Satu ujian darah dilakukan untuk mengenal pasti punca sakit yang teruk ini.

"Langkah berikut ialah ujian MRI ataupun Magnetic Resonance Imaging, yang akan mengenal pasti sama ada sakit itu disebabkan oleh masalah tulang degeneratif atau kecederaan," katanya ketika ditemui pada forum kesihatan umum bagi Sakit Belakang dan Kaki Kebas, baru-baru ini.

Satu ujian saraf kemudian dijalankan untuk mengenal pasti saraf yang terbabit dalam sakit yang menyeksakan ini. Imbasan tulang hanya dilakukan untuk mendiagnosis bahagian tulang yang terbabit dan juga untuk memantau apa-apa jangkitan selepas kecederaan berlaku.

"Saya cadangkan pencegahan sebagai cara terbaik dalam mengelak sakit belakang yang menyeksakan ini. Lakukan senamanan Neural Flossing. Ia hanya mengambil masa 30 minit; 10 minit apabila anda bangun pagi, sebelum turun dari katil untuk ke tandas dan 20 minit sebelum anda masuk tidur.

"Pesakit saya sentiasa memberi alasan yang mereka kesuntukan masa. Pastikan tilam anda mampat, supaya ia dapat menampung badan anda dengan baik," tegas Dr. Siow apabila ditanya akan kaedah rawatan terbaik bagi sakit belakang.

RAWATAN BAGI SAKIT BELAKANG

Menurut beliau, setiap orang harus meneliti dengan serius postur berdiri dan duduk masing-masing.

Nasihat beliau, pastinya wajar diberikan pertimbangan khusus bagi mereka yang menaip berjam-jam di hadapan komputer di ruang kerja mereka.

"Duduk lama di satu tempat tidak baik untuk tulang belakang anda. Saya menggalakkan pesakit saya untuk mengingatkan rakan-rakan mereka supaya berdiri untuk beberapa minit selepas duduk selama sejam."

"Berjalan pastinya disyorkan, walaupun mungkin ada majikan yang tidak senang dengan kakitangan 'hiperaktif' yang berjalan semasa waktu kerja," tambah Dr. Siow berseloroh.

Harus diingati yang tiada siapa yang terkecuali daripada sakit ini, tidak kira muda atau tua.

Sebenarnya, sakit belakang yang dialami oleh pesakit muda tidak kurang serius berbanding golongan berusia yang mengalaminya. "Bagi kanak-kanak, ia sebahagian daripada proses pembesaran mereka," jelas Dr. Siow kepada seorang ibu yang meminta penjelasan semasa forum itu.

Seorang lagi yang hanya mahu dikenali sebagai Nordin, bertanya mengenai teknik serta keberkesanan rawatan frekuensi radio oleh kerana ramai yang takut untuk menjalani pembedahan.

Pakar ini menjelaskan bahawa di bawah prosedur gelombang radio, saraf di tempat berkenaan dibakar dan rawatan ini boleh menghentikan rasa sakit bagi tempoh 9 hingga 12 bulan.

Bagaimanapun, untuk memastikan tempoh bebas sakit yang lebih lama latihan Neural Flossing mesti dijalankan secara berterusan.

POSTUR BAIK

Aneh sekali, selepas itu pesakit biasanya lupa masalah mereka itu dan mereka akan leka semula apabila tiada sakit ini selama 12 bulan. Mereka juga mengabaikan senaman dan akhirnya sakit belakang ini menghantui mereka semula.

Saraf menghantar perutusan sakit ke otak. Oleh itu apabila saraf dirawat mengikut prosedur ini, ia menghentikan perutusan sakit. Bagaimanapun, saraf ini boleh hidup semula dan tumbuh.

Terdapat kes di mana saraf-saraf ini walaupun kembali berkomunikasi dengan otak, tiada lagi rasa sakit. Ini kerana pesakit terus menjalani fisioterapi dan latihan secara berjadual.

Hari ini, terdapat pelbagai penawar untuk merawat sakit belakang, yang boleh menjejaskan kehidupan.

Epidural Lysis dan Radiofrequency Ablation kini terdapat di Malaysia, satu terapi intervensi untuk meredakan sakit akut dan kronik.

"Saya hanya akan mengesyorkan pembedahan jika ia benar-benar perlu khususnya apabila ia menjejaskan gaya hidup pesakit. Walaupun demikian, kita perlu menilai sakit ini terlebih dahulu kerana pembedahan tidak bermakna rasa sakit ini akan hilang. Saya menasihatkan kepada sesiapa sahaja supaya menjaga dengan baik postur mereka, gunakan pendakap secara berterusan untuk mengelakkan bongkok. Rawat sebarang kesakitan dengan merujuk kepada doktor yang pakar dalam bidang ini," Dr Siow mengingatkan semua.

Menjaga postur anda semasa menggosok pakaian juga penting kerana pergerakan mendadak tulang belakang boleh menimbulkan masalah.


Ditulis oleh:
Hazlinda Hamzah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Wednesday, March 17, 2010

Tibi Penyakit Sepanjang Zaman

Pelbagai cara telah dilakukan. Langkah pencegahan juga telah dilaksanakan. Namun, penularan penyakit tibi (tuberculosis) tetap tidak ada surutnya.

Malah angkanya terus meningkat dari tahun ke tahun.

Menurut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini terdapat lebih kurang 20 juta kes tibi aktif di seluruh dunia.

Penyakit ini dikatakan menjangkiti antara 50 hingga 100 juta penghuni dunia terutama kanak-kanak secara tahunan.

Tiga juta kematian berlaku setiap tahun disebabkan penyakit jangkitan tibi dan 80 peratus daripadanya melibatkan negara-negara membangun.

WHO juga menyatakan hampir 26 peratus kematian di negara dunia ketiga boleh dielakkan sekiranya pesakit tibi mendapatkan rawatan sewajarnya.

Apakah punca utama penyakit yang sudah wujud sejak zaman kuno ini terus bertahan? Bagaimana pula peranan kita dalam usaha untuk memastikan penyakit ini tidak lagi menjadi antara pembunuh utama penyakit berjangkit ini?

Senario Jangkitan Tibi di Malaysia

Di negara ini, angka mereka yang dijangkiti penyakit ini semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Sejak 1989 secara purata sebanyak 11,500 hingga 12,000 kes dikesan setiap tahun. Separuh daripada kes ini didapati positif dijangkiti tibi.

Pada 2006, seramai 14,000 pesakit tibi telah dapat dikesan dimana nisbah jangkitan adalah 61 untuk setiap 100,000 penduduk.

Tahun berikutnya, sebanyak 16,000 kes baru dicatatkan dan pada 2008 pula sebanyak 17,506 kes baru didaftarkan. Daripada angka ini, 10,441 disahkan dijangkiti kuman tibi dengan 2207 kes melibatkan pendatang asing.

Angka jangkitan terus meningkat tahun lalu dengan 17,496 kes baru direkodkan.

Bagaimanapun, kes tibi di Malaysia masih rendah berbanding Filipina, Thailand dan Indonesia, namun lebih tinggi dari negara Singapura.

Tibi dan Pendatang Asing

Kemasukan pekerja dari negara-negara dunia ketiga sememangnya menjadi punca utama jangkitan tibi masih berleluasa biar pun tahap kebersihan dan kesihatan di negara ini boleh dikatakan berada pada paras sederhana.

Menurut Dr. Hairulfaizi, tibi sememangnya sangat sinonim dengan negara mundur dan kemasukan pekerja dari negara-negara ini turut membawa sekali penyakit tersebut.

“Pemeriksaan kesihatan menyeluruh perlu dilakukan kepada pekerja asing ini agar mereka tidak membawa sekali kuman yang mudah berjangkit ini. Bagaimanapun, langkah ini masih belum boleh diimplementasi sepenuhnya atas beberapa sebab, antaranya kemasukan pendatang tanpa izin,” kata beliau.

Penyebaran kuman di kalangan pendatang berlaku dengan mudah disebabkan keadaan persekitaran yang memudahkan penyakit merebak dan menular.

Boleh dikatakan dengan keadaan tempat tinggal yang sempit dan kurang ventilasi menjadi salah satu sebab penting kepada jangkitan ini menular dengan mudah.

Selain itu kata beliau, negara maju seperti Amerika Syarikat juga turut berdepan dengan masalah ini disebabkan kemasukan pendatang asing dari negara membangun seperti Mexico.

Rawatan

Bakteria tibi mempunyai dinding sel yang tebal dan amat sukar untuk dibunuh menggunakan antibiotik. Kuman ini juga boleh hidup di dalam sel-sel darah dan di dalam tisu anggota badan lain.

Oleh itu, rawatan tibi perlu terus diberikan selama enam bulan supaya semua kuman di dalam dan di luar sel dapat dibunuh sepenuhnya.

Cara rawatan adalah dengan memberikan antibiotik kepada pesakit. Ini adalah untuk mengelakkan kuman tibi menjadi kebal kepada ubat (multidrug resistance tibi). Ubat yang biasa diberi adalah isoniazid, rifampicin, pyrazinamide, streptomycin dan ethambutol. Pesakit perlu mengambil ubat-ubat ini setiap hari bagi dua bulan pertama, sehinggalah pemeriksaan doktor dijalankan.

Sekiranya pemeriksaan doktor menunjukkan kemajuan dari segi simptom, imej imbasan sinar-X dan pemeriksaan kahak, cara pengambilan ubat akan diubah kepada dua kali seminggu untuk empat bulan seterusnya. Imbasan sinar-X dan ujian kahak perlulah dijalankan setiap dua bulan sepanjang tempoh rawatan, sehinggalah pesakit didapati sembuh sepenuhnya (selalunya hanya dalam tempoh enam bulan).

Seperti antibiotik lain, ubat-ubat untuk tibi juga mempunyai kesan sampingan termasuk loya, muntah, rasa gatal badan dan letih. Adalah sangat penting pesakit memaklumkan doktor atau jururawat jika terjadi sebarang kesan sampingan yang teruk.

Kejadian kuman tibi yang kebal kini didapati meningkat di beberapa negara di rantau Asia. Kuman jenis ini amat sukar dihapuskan dan kadar kematian pesakit akibat jangkitan kuman tibi kebal adalah setinggi 80 peratus.

Langkah Pencegahan

Menurut kajian, pesakit yang aktif tibi akan menjangkiti 10 hingga 15 orang di sekelilingnya.

Bagi pesakit yang disahkan tibi mereka perlu:

# Mematuhi arahan pengambilan ubat yang telah ditetapkan tempohnya.

# Ambil cuti dan tidak ke tempat kerja atau sekolah bagi mengelakkan kuman tibi tersebar.

# Selepas beberapa minggu rawatan, pesakit akan rasa lebih baik dan tidak akan menjangkiti orang lain lagi. Doktor akan menasihatkan waktu yang paling sesuai untuk kembali berkerja atau ke sekolah.

# Asingkan bilik tidur, jangan berkongsi pakaian, makanan dan sebagainya. Elakkan sentuhan dengan orang lain bagi mengurangkan risiko jangkitan.

# Dari segi ventilasi, pastikan sistem pengudaran rumah dan pejabat dalam keadaan baik. Halakan kipas ke arah tingkap untuk meniup angin keluar dari ruang bilik. Ini akan mengurangkan peluang bakteria tibi untuk terus berada dalam ruang dan menjangkiti orang lain.

Selain itu, kanak-kanak yang merupakan golongan mudah dijangkiti digalakkan tidak mengunjungi hospital bagi mengelakkan penyebaran kuman tibi. Bagi bayi baru lahir, suntikan BCG mampu memberi perlindungan daripada bakteria tibi.

Pemeriksaan kesihatan menyeluruh perlu dilakukan ke atas pekerja yang masuk ke negara ini terutama jika dari negara dunia ketiga.

We're on the move - tema Hari Tibi Sedunia 2010


Tahun ini menjadi titik tengah kepada Rancangan Memerangi Tibi Global yang dilancarkan WHO pada 2006. Pertubuhan itu menyasarkan tahun 2015 sebagai noktah kepada penyakit berbahaya ini. Pelbagai langkah dan usaha ditingkatkan demi satu matlamat iaitu memberhentikan penyebaran penyakit yang menjadi pembunuh utama penyakit berjangkit di dunia ini.

Slogan on the move memerangi tibi menunjukkan tema yang dipilih tahun ini ringkas, fleksibel dan mudah difahami. Sesuai dengan kempen tahun ini memberi fokus kepada individu tidak kira dari seluruh pelosok dunia yang berjaya menemui cara memberhentikan tibi untuk menjadi inspirasi kepada orang lain.


Ditulis oleh:
Bintu Rasyada A. Rahman

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Tuesday, March 16, 2010

Makanan Seimbang Jaga Buah Pinggang

Petah dan lincah. Gaya tukang masak terkenal, Datuk Redzuawan Ismail, 52 yang lebih mesra dengan panggilan Chef Wan ternyata mencuit hati hadirin. Di saat semua orang membincangkan isu serius tentang sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia (WKD) 2010, Chef Wan menceriakan suasana.

Namun, di sebalik gelak ketawa Chef Wan, dia sendiri mempunyai pengalaman yang boleh dikongsi dengan pesakit lain. Atas kedegilan dan sikap tak acuh dalam menjaga pemakanan, bapa Chef Wan disahkan menghidap kencing manis.

"Sudah menjadi budaya masyarakat kita, suka duduk dan minum lama-lama di kedai makan. Pengalaman Chef Wan sendiri, disebabkan kedegilan orang tua mendengar nasihat, kaki bapa saya dipotong kerana kencing manis. Itu baru cebisan kisah penyakit ini dan ramai lagi mangsa di luar sana kerana gaya hidup," ujarnya ketika majlis pelancaran sambutan WKD di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sebagai tukang masak, Chef Wan sentiasa berkongsi menu baru khususnya makanan seimbang.

Terpilih sebagai duta Yayasan Buah Pinggang Malaysia (NKF), Chef Wan sangat teruja. Katanya, dia akan mengadakan demonstrasi memasak bagi memupuk tabiat pemakanan sihat di kalangan masyarakat.

"Sikap masyarakat yang gemar memakan apa sahaja sebenarnya boleh diubah. Kita perlu berjaya dengan apa yang kita makan, bukan paksa orang untuk makan. Justeru itu, gaya hidup makan di luar seperti kedai makan dan restoran perlu diubah.

Kita perlu balik pada zaman dahulu iaitu makan di rumah bersama keluarga untuk membentuk institusi keluarga. Makan di luar belum menjamin kualiti dan kebersihan makanan. Kebiasaannya mereka ingin untung. Sebab itulah, bila orang tanya rahsia kesihatan, saya jawab makanan seimbang," katanya.

Chef Wan menambah, setiap individu mempunyai pengambilan makanan yang tidak sama dan perlu mengikut gaya hidup. Tambah Chef Wan, tidak semestinya gemuk itu tidak elok tetapi setiap individu perlu berjaga-jaga risiko penyakit itu penting.

Nasihatnya, sikap perlu diubah dan mengawal makanan dengan cara yang seimbang.

Sambuatan WKD

Dalam pada itu, WKD akan disambut meriah buat kali kelima pada 11 Mac ini di lebih 100 buah negara termasuk Malaysia. WKD merupakan kempen kesedaran global yang memberi fokus terhadap pentingnya penjagaan buah pinggang serta bertindak sebagai medan terbaik kepada orang ramai bagi menjalani pemeriksaan buah pinggang. Pemeriksaan bertujuan mengetahui sama ada mereka berisiko untuk menghidap penyakit buah pinggang atau tidak. Tahun ini kempen diharap dapat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang kaawlan penyakit kencing manis bagi menghindari daripada diserang penyakit buah pinggang kronik (CKD).

CKD berlaku apabila seseorang mengalami pembuangan albumin yang berlebihan dalam air kencing atau kemorosotan ketara dalam fungsi buah pinggang. Lebih daripada 500 juta penduduk dunia menderita akibat beberapa penyakit buah pinggang. Setiap tahun ramai yang meninggal dunia akibat masalah buah pinggang yang berpunca daripada penyakit kencing manis.

Apabila CKD tidak dikawal pada peringkat awal sehingga mengakibatkan kerosakan buah pinggang, maka proses berikutnya adalah dialisis atau pemindahan buah pinggang. Bagaimanapun, pelbagai rintangan dan kesukaran dalam mendapatkan buah pinggang baru untuk proses pemindahan menyebabkan ramai pesakit memilih untuk kaedah rawatan haemodialysis atau peritoneal dialisis. Kini, di Malaysia terdapat 20,000 pesakit dialisis dan kerajaan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan giat mengenal pasti pesakit yang benar-benar memerlukan bantuan bagi menanggung kos rawatan dialisis yang semakin meningkat.

Bagi mereka yang ingin memperoleh maklumat lebih terperinci berhubung dengan aktiviti sambutan WKD, sila hubungi talian bebas tol NKF di 1300-88-3110 atau layari laman web, www.nkf.org.my, www.worldkidneyday.org atau e-mel ke edu@nkf.org.my.


Ditulis oleh:
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/