Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label sadatul mahiran rosli. Show all posts
Showing posts with label sadatul mahiran rosli. Show all posts

Monday, November 30, 2009

Vaksin HPV Pencegahan Awal Kanser Serviks

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan mulai tahun depan, seramai 300,000 remaja perempuan berusia 13 tahun di seluruh negara akan diberi suntikan pelalian virus papilloma manusia (HPV) bagi mencegah penularan kanser serviks.

Pemberian vaksin berkenaan adalah di bawah Program Pelalian HPV yang diluluskan oleh Kabinet baru-baru ini dan melibatkan kos RM150 juta setahun.

Suntikan vaksin itu akan memberi kesan yang lebih baik bagi mencegah kanser serviks terhadap golongan remaja berbanding dewasa khususnya mereka yang berumur melebihi 40 tahun.

Pemberian suntikan dirasakan perlu kerana kanser serviks merupakan kanser kedua yang kerap berlaku di kalangan wanita di negara ini selepas kanser payu dara.

Kira-kira 80 peratus kes kanser serviks didiagnosis di negara-negara membangun dan risiko mendapat kanser ini di kalangan wanita Malaysia ialah 19.7 per 100,000 penduduk. Ia adalah tinggi berbanding dengan lain-lain negara ASEAN.

Sehubungan itu, vaksin HPV adalah antara peluang terbaik bagi menentang penyakit kanser di peringkat awal selain daripada pemeriksaan pap smear.

Sebanyak tiga dos HPV perlu diambil. Dos kedua akan diberi selepas sebulan atau dua bulan dos pertama diberikan manakala dos ketiga akan diberikan selepas enam bulan tarikh dos pertama.

Vaksin ini akan hanya perlu diambil sekali dalam seumur hidup. Keberkesanannya dalam mencegah penularan kanser serviks jenis 16 dan 18 adalah sehingga 98 peratus.

Perunding Pakar Onkologi, Obstetrik dan Ginekologi dan juga Ahli Lembaga Persekutuan Antarabangsa Ginekologi dan Obstetrik (FIGO), Datuk Dr. Abd. Aziz Yahya, berkata, di Malaysia, separuh kes baru kanser serviks meninggal dunia hanya semasa peperiksaan pertama.

"Ini kerana kebanyakan pesakit ini hanya datang melakukan pemeriksaan setelah berada di tahap empat. Manakala peringkat umur yang kerap memperoleh kanser ini ialah antara 40 tahun hingga 49 tahun dan 50 tahun hingga 59 tahun.

"Mereka ini selalunya terdiri daripada ibu yang mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah yang sangat memerlukan kasih sayang dan penjagaan daripada seorang bernama ibu. Jadi sekiranya ibu mendapat kanser serviks, maka perpisahan bakal berlaku.

"Oleh itu, kita harus memastikan golongan ini tidak mendapat kanser serviks kerana ramai yang akan merasai kehilangannya. Selain itu, wanita perlu bersikap proaktif dalam usaha mengambil langkah untuk melindungi diri mereka daripada penyakit ini," katanya ketika menyampaikan kertas kerja mengenai Kanser Pangkal Rahim dan Vaksin HPV di Malaysia, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar Dr. Abd. Aziz, pencegahan kanser serviks boleh dilakukan sama ada menerusi suntikan vaksin atau ujian pap smear secara berkala. Suntikan vaksin adalah senjata yang boleh membantu sistem imun mengenali dan memusnahkan virus sebelum bertapaknya sesuatu jangkitan.

"Suntikan vaksin dianggap sebagai kaedah pencegahan utama manakala pap smear pula adalah tahap pencegahan sekunder. Jadi, ia adalah satu kombinasi pencegahan yang amat penting.

"Namun begitu, hanya 30 peratus wanita di negara ini yang menjalani pemeriksaan ini. Ini kerana ramai yang masih tidak mendapat informasi mengenai pemeriksaan yang mampu mengesan kanser pada peringkat awal.

"Di Amerika Syarikat, setiap wanita diwajibkan menjalani pap smear setiap tahun manakala di United Kingdom setiap tiga tahun. Oleh itu di Malaysia bagi wanita yang berisiko seperti perokok, telah mengandung sebanyak lima kali dan mempunyai banyak pasangan, dinasihatkan menjalani pemeriksaan setahun sekali manakala yang lain tiga tahun sekali.

"Dengan cadangan kerajaan untuk memberi suntikan vaksin HPV secara percuma itu, adalah cadangan yang terbaik bagi mencegah kanser dari seawal usia remaja dan sebelum berkahwin.

"Bahkan, kajian perintis program vaksin HPV yang dilakukan ke atas 10,000 wanita di Amerika Syarikat pada tahun 2000 menunjukkan bahawa tiada seorang pun daripada mereka mendapat kanser. Oleh itu, kesan vaksin HPV bagi mencegah penularan kanser serviks adalah yang terbaik. Di samping tiada kesan sampingan selepas pengambilan vaksin HPV,'' katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Doktor Pakar Kesihatan Awam Malaysia, Prof. Datuk Dr. Syed Mohamed Aljunid berkata, kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2007 menganggarkan kos yang perlu ditanggung kerajaan untuk merawat pesakit kanser serviks di seluruh negara ialah RM389.8 juta setahun.

"Dianggarkan setahun sebanyak 4,969 kes kanser pangkal serviks dan lama di negara dan setiap seorang memerlukan RM78,642,226 untuk rawatan.

"Tanpa program suntikan ini, dianggarkan 1,215 daripada 260,000 kes kanser mengalami kanser serviks. Tetapi dengan adanya program ini, maka 838 kes kanser serviks boleh dielakkan.

"Lebih memeranjatkan dengan adanya program vaksin ini, perbelanjaan rawatan boleh dikurangkan sebanyak RM17,774,239 setahun iaitu 68.7 peratus penjimatan.

"Oleh itu, vaksin HPV adalah inisiatif yang positif kerana pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan," katanya.


Ditulis oleh:
Sadatul Mahiran Rosli

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Sunday, October 11, 2009

Ubah Kualiti Hidup Pesakit Alzheimer

Alzheimer ialah salah satu bentuk penyakit nyanyuk (demensia) yang kerap dialami oleh mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas. Ia menyebabkan kehilangan progresif sel saraf otak yang penting untuk pemikiran normal, daya ingatan dan fungsi otak.

Setiap tahun, sebanyak 4.6 juta kes baru demensia dilaporkan di seluruh dunia iaitu satu kes baru muncul setiap tujuh saat.

Sementara itu, menjelang tahun 2050, dianggarkan terdapat 100 juta pesakit demensia di seluruh dunia.

Pada umumnya, pesakit alzheimer menghadapi gangguan kemahiran dan prestasi kerja akibat kehilangan daya ingatan jangka masa terdekat.

Selain itu, pesakit mungkin berdepan dengan kesukaran melaksanakan tugasan yang biasa dilakukannya.

Ketua Unit Geriatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Lee Fatt Soon berkata, alzheimer kerap dihadapi oleh mereka yang telah berusia.

Dianggarkan sebanyak empat peratus warga emas yang berusia 75 tahun menghidap alzheimer, 85 tahun (16 peratus) dan 90 tahun (32 peratus).

Menurutnya, pada kebiasaan tanda pertama pesakit mula mengalami nyanyuk adalah ketidakupayaan untuk mengingati perkara yang baru berlaku dalam kehidupan hariannya seperti pergi melancong atau membeli belah.

"Seterusnya, mungkin timbul perubahan pada corak pertuturan atau percakapan. Misalnya, pesakit mempunyai masalah menggunakan perkataan yang betul, lebih cenderung mencari perkataan yang ringkas atau sememangnya menghadapi kesukaran memilih perkataan yang sesuai.

"Selain itu, pesakit alzheimer juga mengalami kesulitan atau kurang orientasi dalam mengecam masa dan tempat. Daya pertimbangan yang semakin merosot turut menyukarkan pesakit dalam membuat keputusan,'' katanya ketika menyampaikan ceramah awam yang dianjurkan oleh Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia dan Novartis Corporation (M) Sdn. Bhd. (Norvatis), baru-baru ini.

Menurut Fatt Soon, pesakit alzheimer juga tidak boleh menjaga diri seperti untuk ke bilik air, memberus gigi, memakai pakaian dan mandi serta berkecenderungan tersalah meletak barang.

Pada akhirnya, keupayaan mereka untuk berjalan dan bercakap juga mungkin terjejas atau hilang sama sekali.

Walaupun penyelidikan intensif dijalankan kebelakangan ini, penyakit alzheimer masih belum difahami sepenuhnya dan tiada penawar yang diketahui. Ini menyebabkan pengesanan dan rawatan awal merupakan satu-satunya pilihan untuk menguruskan penyakit dengan berkesan.

Bagaimanapun, masih terdapat kekurangan kesedaran dan pemahaman terhadap penyakit ini di kalangan masyarakat.

Kebanyakan pesakit yang menghidapi masalah ini menderita tanpa bantuan atau harapan.

Sepatutnya, fenomena ini harus diubah kerana kualiti hidup pesakit alzheimer boleh diubah.

Seringkali pesakit, keluarga dan penjaga mereka kurang mendapat sokongan yang diperlukan dan sepatutnya diterima.

Justeru itu, Yayasan Alzheimer Malaysia (ADFM) dengan kerjasama Norvatis Corporation Malaysia mengumumkan satu siri inisiatif sempena Hari Alzheimer Sedunia (WAD) 2009 termasuk Piagam Global Penyakit Alzheimer.

WAD yang diraikan pada 21 September lalu setiap tahun memberi tumpuan kepada meningkatkan tahap kesedaran penyakit alzheimer dan mengutarakan realiti hidup dengan penyakit otak yang bertambah susut.

Penaung ADFM, Puan Seri Wendy Ong berkata, kebanyakan rakyat Malaysia masih samar mengenai realiti penyakit alzheimer.

Kurang kesedaran dan kefahaman mengenainya mendorong kepada lebih banyak yang menderita kerana mereka sering ketinggalan dari mendapatkan bantuan penjagaan yang sewajarnya.

"Menyedari perlunya penyakit alzheimer diberikan lebih banyak pendedahan, satu kempen mengumpul tandatangan dilancarkan untuk mendapatkan sokongan bagi Piagam Global Penyakit Alzheimer yang disediakan oleh Penyakit Alzheimer Antarabangsa (ADI).

"Piagam ini mendesak satu tindakan untuk mencari penyelesaian ke atas isu kesihatan umum yang semakin meningkat dan penjagaan kecemasan sosial yang disebabkan oleh penyakit alzheimer dan demensia yang lain,'' katanya.

Tambah Wendy, kemuncak perayaan WAD Malaysia diadakan pada 26 September lalu di Pusat Penjagaan Harian ADFM, Seksyen 11, Petaling Jaya, Selangor.

"Pelbagai acara yang memberi pendedahan lebih mendalam mengenai alzheimer diadakan khusus untuk pesakit, penjaga kesihatan dan keluarga serta orang ramai.

"Juga satu siri promosi melalui stesen-stesen radio mengenai fakta mengenai penyakit alzheimer dan membincangkan Piagam Global Penyakit Alzheimer serta kempen tandatangan turut diadakan," ujarnya.


Ditulis oleh:
Sadatul Mahiran Rosli

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Saturday, June 27, 2009

KISS Penuhi Keperluan Kanak-Kanak HIV/AIDS

Di Malaysia, 'kehadiran' HIV/AIDS hanya dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan pada Disember 1986. Namun sesuatu yang memeranjatkan dari tempoh itu sehingga Disember 2008 jumlah yang dijangkiti HIV dan dilaporkan kepada kementerian sebanyak 84,630.

Daripada jumlah itu sebanyak 14,576 menderita AIDS dan 11,234 mati akibatnya manakala pada tahun yang sama seramai tiga mati setiap hari.

Dianggarkan pula 10 individu menjalani HIV positif setiap hari dengan banyak lagi kes yang tidak dilaporkan.

Kanak-kanak juga tidak ketinggalan dihidapi penyakit yang boleh membawa maut ini. Sebanyak 2,027 kanak-kanak dari umur dua hingga 19 tahun dijangkiti HIV dan 443 adalah positif AIDS.

Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman berkata, kanak-kanak yang hidup dengan HIV/AIDS juga mempunyai keperluan yang sama seperti kanak-kanak normal.

"Mereka memerlukan bantuan segera dan sokongan kewangan. Dengan kejayaan yang diperoleh oleh program Dana AIDS Pediatrik, kami ingin memanjangkan matlamat bagi meningkatkan bantuan kepada kanak-kanak yang berumur 13 hingga 19 tahun.

"Sebab itulah kami menubuhkan Program KISS (Keep in School Scheme) pada tahun lalu untuk menolong kanak-kanak kurang kemampuan yang dijangkiti HIV/AIDS.

"Program ini bertujuan untuk membantu kanak-kanak dan individu terbabit meneruskan persekolahan di peringkat menengah atau vokasional serta memenuhi keperluan harian," katanya baru-baru ini.

Menurut Dr. Adeeba, untuk pertama kali pada tahun ini, kanak-kanak berusia 13 hingga 19 tahun diberi bantuan. Program KISS menyediakan bantuan kewangan untuk meminimumkan penderitaan kanak-kanak yang hidup dengan HIV/AIDS.

"Menerusi skim ini, bantuan kewangan dan penajaan ditawarkan dalam bentuk bulanan bagi memenuhi keperluan harian seperti makanan, pakaian dan persekolahan dan pengangkutan bagi mendapatkan rawatan HIV.

"Ia juga membantu kami merapatkan jurang dan menyediakan kemudahan kepada kanak-kanak ini setanding dengan kanak-kanak normal," katanya.

Menurut Dr. Adeeba, MAF bekerjasama dengan pediatrik dari klinik kesihatan, hospital, rumah kebajikan seperti Rumah Soleha untuk mengenalpasti kanak-kanak yang dijangkiti HIV/AIDS.

Dalam pada itu beliau mengakui, sebahagian daripada program KISS dibiayai hasil sumbangan daripada badan-badan korporat.

Terbaru sumbangan sebanyak RM150,000 oleh L'Oreal sempena ulang tahun ke-100 jenama produk penjagaan wajah terkenal tersebut baru-baru ini.

Sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban kewangan keluarga yang kurang kemampuan yang mempunyai anak dijangkiti HIV/AIDS begitu juga dengan kanak-kanak mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa yang hidup dengan HIV atau mati kerana AIDS.

Pengarah Urusan L'Oreal Malaysia, Jean-Francois Couve memberitahu, sumbangan ini diharap boleh membantu dalam membiayai keperluan persekolahan seperti yuran, uniform, kasut dan perbelanjaan harian.

Ia juga bakal mengubah kehidupan kanak-kanak tersebut dengan masa depan lebih cerah apabila mereka berpeluang meneruskan pelajaran serta mendapat penjagaan kesihatan yang baik.

"L'Oreal Malaysia sebenarnya telah lama mempunyai komitmen dalam program HIV/AIDS di Malaysia dan sempena ulang tahun ke-100 ini kami telah terpanggil untuk membantu 100 kanak-kanak yang yang kurang bernasib baik," jelasnya.

Sempena sambutan ulang tahun tersebut jenama kecantikan antarabangsa itu telah meraikan bersama 67,500 pekerjanya di 65 buah negara.

Ia turut mengumumkan pelaksanaan 100 projek kemasyarakatan di seluruh dunia bagi membantu komuniti di peringkat akar umbi iaitu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

Matlamat 100 projek itu ialah untuk membantu kanak-kanak dan remaja kurang kemampuan bagi mendapatkan pendidikan terutama di kawasan luar bandar, membantu keperluan khas individu dan membantu masyarakat miskin yang kurang berkemampuan.


Ditulis oleh:
Sadatul Mahiran Rosli

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Sunday, June 21, 2009

Tiba-Tiba Nafas Terhenti Ketika Tidur

Obstructive Sleep Apnea (OSA) atau nafas terhenti semasa tidur untuk beberapa ketika (beberapa saat hingga melebihi satu minit) merupakan gangguan tidur yang paling lazim berlaku di seluruh dunia. Masalah ini berlaku kerana saluran pernafasan yang tersekat sementara.

OSA bukan sahaja boleh memberi impak negatif terhadap kualiti kehidupan dan produktiviti seseorang, tetapi juga meningkatkan risiko penyakit diabetes, tekanan darah tinggi, serangan jantung, angin ahmar, peningkatan berat badan, mengurangkan kadar hayat dan mengurangkan fungsi imun serta lain-lain penyakit.

Bagaimanapun ramai yang tidak mengendahkan gangguan berkenaan lalu membiarkannya tanpa mendapatkan diagnosis perubatan. Ini kerana mereka menganggap gangguan itu adalah suatu yang tidak membawa musibah kepada tubuh atau kehidupan.

Itu adalah tanggapan yang salah. Sekiranya seseorang individu itu mempunyai simptom-simptom seperti berdengkur dengan kuat dan amat mengganggu, tercunggap-cunggap mencari udara atau tersedak semasa tidur dan terasa amat mengantuk pada siang hari, maka mereka telah pun 'dijangkiti' OSA.

Naib Presiden Philips Asia Pacific Home Healthcare Solutions, Peter White berkata, tempoh dan kualiti tidur orang ramai menurun disebabkan perubahan gaya hidup yang berlaku, tekanan kerja, kebimbangan kewangan atau diet yang lemah.

"Kesan-kesan daripada tidak cukup tidur mempunyai impak ekonomi yang besar, selain daripada penurunan produktiviti yang ketara. Keadaan mereka yang tidak stabil ini turut boleh mengakibatkan kemalangan industri mahupun jalan raya.

"Kekurangan tidur juga boleh mengakibatkan pertambahan berat badan, diabetes, tekanan darah tinggi dan juga serangan jantung," katanya ketika menyampaikan ceramah Understanding OSA baru-baru ini.

Menurut White, OSA juga sangat berkaitan dengan darah tinggi. Sebanyak 40 peratus pesakit OSA menghidap darah tinggi sementara 30 hingga 50 peratus pesakit darah tinggi mengalami OSA.

"Mekanisme dalam OSA juga memain peranan dalam menyebabkan serangan jantung. Kaitannya sungguh mudah, seseorang yang mempunyai masalah OSA akan mendapat diabetes. Manakala 2/3 pesakit diabetes mati akibat daripada serangan jantung dan strok.

"Tidak ketinggalan juga pesakit OSA mempunyai risiko komplikasi berkaitan dengan anestesia," katanya.

Justeru itu, katanya, seseorang yang mengalami OSA akan didiagnosis dengan pemeriksaan fizikal, sejarah serta soal jawab mengenai tidur atau simptom yang berlaku semasa siang dan masalah tidur.

"Selalunya pesakit OSA akan diperiksa sekiranya mempunyai simptom seperti tidur yang letih, darah tinggi, leher yang panjang iaitu 43 cm untuk lelaki dan 41 cm untuk wanita, mempunyai rahang yang kecil dan menghidap diabetes," ujarnya.

OSA boleh dengan mudah didiagnosis oleh doktor yang menilai aduan dan simptom pesakit. Jika gangguan tidur yang disyaki, pesakit akan dirujuk kepada kajian diagnostik tidur dikenali sebagaiPolysomnogram atau PSG bagi mengesahkan bentuk dan tahap serius gangguan tidur, serta rawatan yang sewajarnya diambil.

Sebaik sahaja OSA dikenalpasti sebagai punca aduan dan simptom pesakit, ia selalunya boleh dirawat secara berkesan dengan terapi Tekanan Saluran Udara Positif Berterusan (CPAP) iaitu kaedah rawatan yang lebih digemari untuk OSA.

CPAP memberikan aliran lembut tekanan udara menerusi saluran lubang hidup menggunakan topeng menggelakkan saluran udara daripada tumbang bagi membolehkan pesakit OSA bernafas bebas semasa tidur. Peralatan CPAP dilengkapi dengan pelbagai ciri untuk meningkatkan keselesaan pesakit semasa terapi.

Kebaikan CPAP berbanding dengan rawatan biasa meminimumkan kesan OSA, meningkatkan tenaga dan perhatian semasa siang, menurunkan tekanan darah, mengurangkan risiko strok dan serangan jantung serta meningkatkan kualiti hidup.

Sementara itu, Presiden Persatuan Masalah Tidur Malaysia (SDSM), Prof. Dr. Syed Hassan Ahmad memberitahu individu-individu dengan OSA adalah dua atau tiga kali lebih tinggi untuk menghidap hipertensi dan juga meningkatkan risiko serangan jantung berbanding mereka yang tanpa OSA.

Kajian-kajian lanjut telah menunjukkan bahawa diabetes jenis dua lebih kerap berlaku pada pesakit dengan pernafasan gangguan tidur yang bebas daripada faktor-faktor lain.

"Di Malaysia, peningkatan usia, obes, merokok dan penggunaan sedatif adalah dikaitkan dengan dengkur yang merupakan simptom OSA. Kumpulan etnik Cina dan India jua berisiko lebih tinggi berbanding Melayu," katanya.


Ditulis oleh:
Sadatul Mahiran Rosli

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Sunday, July 27, 2008

Skizofrenia Bukan Masalah Disampuk Jin

Dianggarkan satu daripada 100 orang di seluruh dunia, menghidap skizofrenia, satu daripada penyakit mental paling serius. Di Malaysia sahaja, dianggarkan satu peratus penduduk menghidap skizofrenia yang mana bilangannya sama banyak antara lelaki dan wanita.

Penyakit ini mempunyai gejala positif (halusinasi dan delusi), gejala negatif (kemurungan, pengasingan diri dan emosi yang tidak terkawal) dan pemikiran yang tidak teratur.

Antara faktor yang dikatakan meningkatkan risiko seseorang untuk menghidap skizofrenia adalah pengaruh genetik, trauma (kecederaan) pada otak sewaktu atau ketika dilahirkan selainnya dari kesan pengasingan sosial ataupun tekanan.

Ketua Jabatan Perubatan Psikologikal Universiti Malaya, Prof. Dr. Mohamad Hussain Habil berkata, ramai pesakit skizofrenia lambat mendapatkan rawatan menyebabkan sukar untuk pulih.

Ini kerana keluarga tidak tahu perubahan tingkah laku yang dialami oleh pesakit adalah di sebabkan skizofrenia, malah yang biasa dilakukannya menghantar pesakit ini berubat dengan cara keagamaan kerana dipercayai telah disampuk jin, syaitan dan pelbagai makhluk halus.

‘‘Kerana wujudnya salah anggapan itu, maka pesakit lewat mendapat rawatan, cuma datang ke hospital apabila pesakit bertindak agresif. Mereka agresif hanya pada keluarga dan tidak kepada orang lain.

‘‘Justeru itu bagi mencegah schizofrenia, pesakit perlu mendapat rawatan awal sebaik sahaja menyedari terdapat perubahan ke atas dirinya supaya kerosakan pada otak dapat dirawat dan potensi untuk pulih lagi cerah,’’ katanya ketika menyampaikan ceramah mengenai All about Schizophrenia: The Facts and Myths and Bridging Psychosis with Reality di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Dr. Mohamad Hussain, secara tipikalnya skizofrenia terbentuk pada remaja atau awal usia 20-an sekali pun gejala yang ditunjukkan tidak jelas sehingga usia agak lewat.

Kebanyakan kaum lelaki jatuh sakit seawal usia 16 hingga 25 tahun manakala kaum wanita mula menunjukkan gejala ini antara usia 23 hingga 36 tahun.

‘‘Penyakit mungkin terjadi tiba-tiba namun sebelum sebelum episod pertama berlaku, ada perubahan ketara pada tingkah laku seseorang seperti mudah baran, murung, mengasingkan diri dan tidak boleh belajar atau bekerja dengan baik.

“Ramai orang muda mempunyai corak sikap begini tetapi tidak sakit. Namun, jika keadaan ini sering berlaku dan semakin buruk, ia seharusnya diberi perhatian.

‘‘Penyakit ini boleh bermula dengan pengambilan dadah. Adakalanya penyakit ini tersembunyi disebabkan dadah kerana dadah atau perbuatan menghidu gam yang dikaitkan dengan tingkah laku tidak menentu,’’ katanya.

Tambahnya, ramai pesakit menjadi penganggur atau diberhentikan kerja kerana penyakit ini. Ramai majikan tidak mahu mengambil pekerja yang ada skizofrenia kerana kurang faham mengenai keadaan mereka.

‘‘Gangguan ini memberi kesan besar pada aktiviti sosial mereka kerana kemampuan berinteraksi adalah rendah, keadaan kesihatan mental dan fizikal mereka lemah, tidak makan dengan baik, merokok dan mengambil minuman keras secara berlebihan dan gangguan terhadap kehidupan keluarga tidak dapat dielakkan kerana secara puratanya penjaga perlu menghabiskan 15 jam seminggu untuk menjaga ahli keluarga yang menghidap skizofrenia.

‘‘Sementara itu, masyarakat juga menanggung beban kerana keperluan penjagaan di hospital dan rumah, ubatan, keselamatan sosial dan sistem keadilan awam lain,’’ jelasnya.

Beliau memberitahu, selain daripada pemberian ubatan bagi merawat pesakit, mereka juga perlu menjalani beberapa program bagi membantu pesakit mencapai kefungsiannya atau kembali normal.

‘‘Inilah yang menyebabkan kos untuk merawat penyakit skizofrenia ini merupakan yang termahal. Di Amerika Syarikat sahaja pada tahun 1999, sebanyak AS$32.5 bilion (RM100.75 bilion) dibelanjakan untuk merawat penyakit ini. Ini adalah kos yang terpaksa digunakan kerana kelewatan pesakit mendapat rawatan,’’ ujarnya.

Sementara itu, Profesor Bersekutu Klinikal Columbia University College of Physicians & Surgeons, Prof. Zafar Sharif berkata, walaupun tiada rawatan yang boleh mengubati skizofrenia, ia boleh diurus dengan rawatan tertentu iaitu rawatan oral dan penggunaan ubat antipsikotik.

Suntikan intra-muskular iaitu antipsikotik konvensional sudah diperkenalkan sejak tahun 1960-an bertujuan bagi mengatasi masalah mematuhi rawatan. Kejayaan banyak terbukti. Banyak kajian menunjukkan pesakit memilih suntikan yang bertindak jangka panjang berbanding dengan rawatan oral. Namun begitu, antipsikotik ini mempunyai kelemahan kerana ia berasaskan minyak dan sering dikaitkan dengan rasa sakit atau alahan.

Manakala, Risoerdal Consta adalah ubat antipsikotik antipikal yang pertama terdapat dalam formulasi bertindak jangka panjang. Dengan menggunakan antipsikotik ini, pesakit tidak perlu memikirkan untuk mengambil pil harian.

‘‘Kajian untuk penambahbaikan ubat antipsikotik ini sentiasa dijalankan bagi meningkatkan keserasian, keselamatan dan kepatuhan rawatan. Sehubungan itu, baru-baru ini, formulasi oral baru bagi meningkat rawatan pilihan diperkenalkan.

‘‘Invega adalah ubat antipsikotik atipikal oral dengan mekanisme perlepasan berlanjutan bagi rawatan akut dan rawatan pencegahan berulang skizofrenia. Invega dengan dosnya sekali sehari, direka khusus bagi pengeluaran paliperidone (bahan aktif) menerusi teknologi perlepasan unik OROS terbukti akan profil keberkesanan, keselamatan dan ketahanan.

‘‘Daripada kajian-kajian klinikal sudah terbukti pada ramai pesakit, Invega mampu mengurangkan gejala skizofrenia, termasuk pada kali pertama, meningkatkan kefungsian pesakit berdasarkan Performance and Social Performance Scale,’’’ jelasnya.

Menurut Zafar, kesannya dapat dilihat seawal hari keempat di mana kajian klinikal secara statistiknya menunjukkan perbezaan ketara dibandingkan dengan penggunaan plasebo atau gejala skizofrenia. Apabila digunakan pada kadar yang dicadangkan, kesan sampingan Invega 6mg adalah berbandingan dengan plasebo.

‘‘Dengan teknologi inovatif OROS, Invega memberi peluang kepada ramai penghidap skizofrenia menguruskan penyakit mereka bersama kumpulan rawatan untuk menikmati kehidupan lebih bermakna dan produktif.

‘‘Invega melepaskan paliperidone iaitu satu entiti kimia dan merupakan rawatan bagi skizofrenia yang menggunakan teknologi pengeluaran berterusan OROS. Teknologi OROS menawarkan pelepasan ubatan yang konsisten dalam tempoh 24 jam dengan mengurangkan fluktuasi puncak dan jurang pada kepekatan plasma ubatan,’’ katanya.

Tambahnya, kelulusan penggunaan Invega adalah berdasarkan keputusan program pembangunan klinikal membabitkan 1,306 pesakit dalam tiga kajian utama yang dijalankan di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Sukatan primer untuk melihat keberkesanan ubat rawatan adalah dengan Positive and Negative Syndrome Scale (PANSS), satu skala yang biasa digunakan dalam penyelidikan skizofrenia bagi mengukur tahap gejala positif atau negatif.

‘‘Kadar pemberhentian pengambilan ubat Invega disebabkan kesan sampingan adalah lebih rendah berbanding dengan plasebo (5 peratus plasebo dibandingkan dengan Invega.

‘‘Selain mematuhi arahan rawatan, keluarga dan pesakit perlu mempunyai pengetahuan mengenai skizofrenia, gejala dan ubatan yang disyorkan bagi merawat pesakit kerana maklumat ini adalah sebahagian daripada proses rawatan khususnya untuk menyokong rasionalnya untuk mematuhi arahan,’’ jelasnya.


Ditulis oleh:
Sadatul Mahiran Rosli

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Thursday, May 29, 2008

Selulit Cacatkan Penampilan

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa selulit merupakan musuh utama bagi sebahagian wanita yang mementingkan penampilan diri. Kehadirannya menjadikan kulit di bahagian paha, pinggul serta perut merekah dan menggeleber.

Masalah tersebut kerap dikaitkan dengan keturunan kerana jika ibu mempunyai selulit, kemungkinan besar anaknya akan juga mengalami perkara sama. Begitupun, umur yang meningkat dan tidak menjaga tubuh turut mengundang selulit. Semakin usia bertambah, lemak dan selulit akan berkumpul sehingga mencacatkan penampilan.

Eksekutif Produk L’Oreal Paris, Irene Ng Ze Ann berkata, diet yang tidak dijaga seperti gemar mengambil alkohol, makanan berminyak dan berlemak, kafein dan gula, adalah antara penyebab timbulnya selulit.

Ini diburukkan lagi jika seseorang itu kurang menjalani aktiviti mengeluarkan peluh seperti berjoging dan bersenam, serta kerap menghadapi tekanan.

“Ketidakseimbangan antara penyimpanan lemak dengan penggunaan semula bukan sahaja menambah selulit, tetapi menjadikan ia degil dan sukar dihilangkan.

“Malah, seseorang yang berjaya mengurangkan lemak serta menguruskan badan belum tentu dapat menghapuskan selulit. Ini kerana tubuh yang langsing bukan jaminan tiada lemak dan selulit,’’ katanya pada pelancaran Perfect Slim Pro, produk baru oleh L’Oreal bagi membantu mengekang masalah selulit.

Menurut Irene, memang tiada jalan pintas bagi menghilangkan selulit, namun ada pelbagai produk rawatan secara dalaman dan luaran yang ada di pasaran.

Katanya, Perfect Slim Pro menawarkan rawatan berbeza dengan produk bagi menghilangkan selulit yang lain, di mana ia menggunakan alat urutan bagi memecahkan bahagian yang mempunyai selulit seperti paha, pinggul dan perut.

Penggunaan secara konsisten dapat membantu menghapuskan lemak-lemak yang terdapat di bawah kulit.

“Pegang alat urutan pada sudut 45 darjah dan urut ke arah kulit. Urut ke arah atas iaitu mengikut aliran darah (ke jantung) dan jangan sesekali ke arah belakang. Kemudian sapukan dengan body-contouring draining concentrate yang mengandungi Co-Caffeine Cx bagi menyingkirkan selulit yang degil. Hanya memerlukan lima minit setiap sesi dalam sehari, selulit akan lenyap dari diri anda,’’ jelasnya.

Tip Menghilangkan Selulit:

* Garam

Kurangkan pengambilan garam. Gantikan dengan buah dan sayuran segar, kacang buncis, tempe, daging tidak berlemak dan ikan.

* Kafein

Usahakan untuk minum maksimum hanya satu cawan kopi atau teh setiap hari. Kombinasi kafein yang banyak dan duduk lama di kerusi menyebabkan aliran darah tidak lancar.

* Gula

Gula yang berlebihan akan disimpan sebagai lemak. Kurangkan pengambilan makanan seperti biskut, coklat dan aiskrim.


Ditulis oleh:
Sadatul Mahiran Rosli

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/