Senarai Doktor Pakar Yang Terdapat di Malaysia dan Bidang Kepakaran Mereka dan Soal Jawab Permasalahan Yang Dihadapi Oleh Pesakit. Pakar Bedah, Pakar Bius, Pakar Oftalmologi, Pakar Ortopedik, Pakar Otorinolaringologi, Pakar Sakit Puan, Pakar Sakit Tuan,Pakar Traumatologi, Pakar Kanak-Kanak, Pakar Sakit Hidung, Telinga & Mulut (List of Specialist Doctor in Malaysia and Daily Health Information for Malaysian)
Peminat Setia Doktor Pakar
Wednesday, April 25, 2012
Pil Perancang Untuk Cantik?
Tindakan sebegini bukanlah langkah yang bijak jika tujuan utama pengambilan pil tersebut hanyalah untuk kelihatan cantik dan mempunyai kulit yang licin, mulus serta berseri tanpa jerawat.
Fungsi utama pil perancang kehamilan adalah untuk menjarakkan kehamilan. Ia bertindak menghalang proses ovulasi dan menjadikan seseorang wanita tidak subur.
Di samping itu, ia juga merencatkan pertumbuhan lapisan dalam rahim (endometrium) yang akan meluluh atau gugur menghasilkan darah haid. Darah haid sememangnya dijangka menjadi sedikit berbanding sebelumnya, lebih teratur serta bilangan harinya lebih pendek. Pengambilan pil ini sesuai untuk wanita yang mengalami pendarahan haid yang banyak yang boleh mengakibatkan kekurangan darah (anemia). Dari sini jelas bahawa pil perancang kehamilan ini dapat menghalang ovulasi dan juga mengurangkan pendarahan haid dan memendekkan tempoh bagi wanita yang mengalami pendarahan haid yang banyak dan berpanjangan. Pada masa sama, ia juga dapat menjadikan kitaran haid lebih teratur.
KesihatanPenggunaan pil perancang kehamilan menjamin mutu kesihatan wanita. Apabila wanita dapat merancang keluarga dengan baik, ia menyumbang kepada kurangnya kadar kematian bayi, mengelakkan gangguan haid dan pada masa sama, masalah kulit juga dapat diatasi.
Penggunaan pil perancang kehamilan ini juga menyelamatkan wanita dalam banyak perkara terutama kesihatan wanita ketika hamil. Ketika hamil, banyak risiko dihadapi wanita seperti kandungan yang tidak diingini, bayi mati dalam kandungan, gejala berkaitan sista ovari, barah dan sebagainya.
Dengan pengambilan pil perancang kehamilan, wanita mungkin dapat mengelakkan daripada mengalami gejala berkaitan dan kesihatan mereka juga terpelihara daripada penyakit berkenaan.
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
Sunday, May 11, 2008
Rawatan Tidak Invasif Kurangkan Risiko
Prosedur tidak invasif juga dilihat menarik minat pesakit yang belum bersedia, tidak mahu atau tidak boleh menjalani pembedahan dengan catatan 11.4 juta prosedur dijalankan sepanjang 2005 iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding tahun 2000.
Pakar Runding Perubatan Estetik, Dr. Alice Prethima menjelaskan alternatif terhadap pembedahan dan jarum ini juga mampu membantu masalah kulit lembik, parut, kesan regangan atau selulit melalui kaedah terkini, berkesan dan selamat.
"Pada satu seminar di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, saya melihat fokus rawatan semakin bertumpu kepada kaedah rawatan tidak invasif.
"Namun, kaedah rawatan ini kurang dibawa masuk ke Malaysia berbanding negara luar yang memberikan lebih ruang untuknya berkembang," katanya.
Pencapaian
Antara cara pemikiran utama rakyat negara ini adalah lebih memilih pembedahan atau satu kaedah drastik untuk mendapatkan dan mengekalkan kecantikan.
Menurut Dr. Alice, pesakit di negara ini juga kurang diberikan pendedahan mengenai kaedah terkini rawatan kulit seperti penggunaan laser berbanding kaedah lama yang mencungkil keluar jerawat atau pigmen pada kulit.
"Penggunaan jarum merupakan antara yang paling digeruni pesakit tetapi melalui kaedah dilectropolation, pesakit tidak memerlukan suntikan untuk memasukkan molekul penting untuk rawatan kulit.
"Pembedahan juga tidak lagi diperlukan untuk menegangkan kulit melalui penggunaan kolagen yang menjadikan kulit anjal dan kelihatan lebih muda," jelasnya.
Kata beliau, kaedah tidak invasif seperti laser kini menjadi pilihan untuk rawatan kecantikan berbanding pembedahan yang membawa risiko kerosakan sel saraf dan juga jangkitan kuman.
Kaedah tidak invasif juga mampu melicin permukaan kulit seperti di bawah mata dengan hanya memerlukan rawatan berkala sekali setiap dua atau tiga tahun. Selain itu, rawatan laser selektif sekali setiap minggu dapat membantu penumbuhan kembali rambut selepas empat hingga enam bulan.
Ini dilihat lebih sesuai berbanding kaedah lama yang mengambil rambut dari bahagian belakang kepala untuk ditanam di kawasan yang keguguran rambut. Kaedah berkenaan membawa risiko pembedahan dan juga meninggalkan parut besar di belakang kepala.
Selain itu, Dr. Alice menyatakan lipolisis laser menjadi alternatif kepada pembedahan membuang lemak (liposuction) untuk membuang lemak berlebihan.
"Liposuction merupakan prosedur pembedahan yang berbahaya dan boleh menyebabkan kehilangan darah atau embolisma kepada pesakit.
"Selain itu, pembedahan tersebut memerlukan penggunaan ubat pelali (anestesia), meninggalkan kulit berlebihan yang menggeleber dan memerlukan pesakit berehat selama sebulan," katanya.
Dr. Alice membandingkan pembedahan tersebut dengan penggunaan laser yang mensasarkan sel lemak sahaja di kawasan dengan lemak berlebihan, menegangkan kulit, kurang tanda lebam dan pesakit pulih dengan lebih pantas sehingga boleh melakukan senaman perut selepas hanya 24 jam.
Kulit Mulus
Secara umumnya, banyak rawatan untuk kulit muka hanya membersihkan dan membuang lapisan permukaan atas kulit sahaja. Ini bagaimanapun boleh dianggap sia-sia memandangkan lapisan sel basal (lapisan bawah kulit) akan menggantikan lapisan atas itu setiap dua atau tiga minggu, seterusnya membentuk lapisan baru yang licin dan cantik secara semulajadi.
Menurut Dr. Alice, sesetengah pesakit sebelum ini mahukan masalah pigmentasi kulit mereka diselesaikan dalam hanya satu rawatan.
"Permintaan ini dipenuhi doktor dengan membakar permukaan atas kulit, mendedahkan lapisan kulit muda di bawah dan menampilkan rupa kulit yang bersih dan cantik untuk seketika.
"Masalah kulit pesakit bagaimanapun akan kembali berulang, dan mungkin lebih teruk dengan pigmentasi yang lebih gelap kerana punca masalah tersebut tidak dirawat," ujarnya.
Dr. Alice menegaskan diagnosis yang betul diperlukan sebelum sebarang rawatan diberi bagi menentukan punca pigmentasi dan mencari cara terbaik menangani punca masalah berkenaan.
"Sebarang perubahan pada badan pasti akan menunjukkan tanda pada kulit. Rawatan perlu dijalankan perlahan-lahan bagi menilai tindak-balas kulit dan puncanya berjaya ditangani," jelasnya.
Rawatan pigmentasi boleh dirawat melalui kaedah invasif minimum, tanpa memerlukan jarum, dan lebih penting lagi merawat punca masalah serta memberikan hasil yang lebih cantik.
Dr. Alice turut menekankan pentingnya penggunaan krim pelindung sinaran matahari tetapi perlu memilih krim yang bersesuaian dengan tahap pendedahan matahari.
"Kebanyakan produk di pasaran dihasilkan untuk kulit Kaukasia (kulit putih) dengan Faktor Perlindungan Kulit (SPF) antara 15 hingga 20.
"Ini tidak sesuai untuk kulit Asia yang memerlukan SPF lebih daripada 30 (SPF30). Pigmentasi dan juga kanser kulit boleh berlaku jika kadar SPF yang digunakan tidak mencukupi kerana hanya sebahagian kulit dilindungi sementara sebahagian lagi tidak dilindungi dari sinaran matahari," tegasnya.
Tambah beliau, penuaan akibat sinaran matahari boleh menyebabkan liang-liang kulit membesar, kulit menjadi kasar, kedut dan juga melayut.
Yang Mana Satu
Terdapat sesetengah pesakit yang berfikir pembedahan akan memberi perlindungan kekal dan penyakit yang dirawat tidak akan berulang. Ini tidak benar kerana masalah yang sama mungkin berulang beberapa tahun kemudian. Ada juga pesakit yang hanya mahukan hasil segera dan tidak gembira bila dimaklumkan kaedah yang betul untuk merawat masalah mereka akan mengambil sedikit masa.
Menurut Dr. Alice, hampir semua bahagian badan, dari kepala hingga ke ibu kaki, kini mempunyai alternatif kaedah invasif minimum untuk rawatan.
"Rawatan laser tiada darah, boleh mencapai kawasan badan yang agak dalam, tidak memerlukan ubat pelali dan pesakit pulih lebih pantas.
"Teknologi nano pula telah menghasilkan molekul nano yang lebih mudah diserap untuk memulihkan kecederaan sel kulit," katanya.
Namun, Dr. Alice terpaksa membangkitkan masalah pemilihan rawatan bersesuaian di kalangan pesakit.
"Masih ramai pesakit yang tidak tahu apa yang boleh dilakukan untuk merawat masalah kulit mereka dan akhirnya memilih kaedah yang tidak sesuai.
"Ramai pesakit yang datang menemui saya selepas mengalami komplikasi akibat memilih kaedah yang salah untuk merawat kulit mereka," ujarnya.
Katanya, sebilangan daripada mereka juga didapati tidak menjalankan penyelidikan sendiri sebelum mencuba kaedah baru yang dipasarkan.
Dr. Alice turut memaklumkan masalah pemilihan ubat dan kaedah rawatan juga tidak lagi hanya melibatkan golongan wanita malahan lelaki yang menghadapi masalah rambut gugur dan juga yang mahukan kulit sihat serta cantik.
"Penjagaan kulit kini bukan hanya bergantung kepada pelembap kulit, tetapi sekarang terlalu banyak produk kecantikan kulit di pasaran, diiringi bermacam dakwaan pemulihan dan rawatan.
"Orang ramai perlu berwaspada terhadap produk atau kaedah yang menghilangkan pigmentasi dalam tempoh seminggu kerana ia amat mencurigakan," jelasnya.
Menurut beliau, untuk hasil yang kekal berpanjangan, rawatan kulit akan mengambil sedikit masa, memerlukan rawatan ulangan dan mungkin semakin pulih sehingga 95 peratus dalam tempoh kira-kira dua bulan.
Rawatan tidak invasif atau invasif minimum tidak bebas risiko sepenuhnya tetapi dilihat jauh lebih rendah berbanding risiko melalui pembedahan.
Dr. Alice menasihatkan orang ramai yang ingin mencuba teknologi baru atau kaedah rawatan terkini memastikan ia telah diluluskan Pentadbiran Makanan dan Perubatan AS (FDA) dengan melakukan penyelidikan melalui Internet terlebih dahulu .
"Teknik atau teknologi yang sesuai digunakan bergantung kepada masalah yang dihadapi pesakit selain faktor lain seperti tahap kesihatan semasa dan bentuk badan. Pemeriksaan mencari punca dasar masalah kulit juga penting termasuk masalah hormon badan," tegasnya.
Dr. Alice turut menekankan orang ramai tidak terlalu mengikut perakuan individu yang menggunakan produk baru kerana kadangkala kaedah tersebut hanya bersesuaian untuk sesetengah pesakit sahaja.
Untuk khidmat pakar runding atau maklumat lanjut kaedah rawatan tidak invasif, sila hubungi Dr. Alice melalui talian 1-300-88-32-34.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my
Wednesday, March 19, 2008
Teknik Serdev Mencantikkan Wajah Dalam Masa Singkat
Sekian banyak teknik rawatan kecantikan diperkenalkan di negara ini bagi memberi pilihan terbaik kepada mereka yang ingin mendapatkan tubuh atau wajah yang ‘sempurna’.
Usaha-usaha mendapatkan wajah atau tubuh yang diingini tidak pernah terhenti, apatah lagi formula dan kaedah yang diperkenalkan di pusat-pusat kecantikan semakin canggih dan terkini.
Baru dua tahun diperkenalkan di negara ini, teknik rawatan Serdev khusus dicipta bagi mereka yang mahukan wajah dan bahagian-bahagian badan yang kendur kelihatan tegang dan mantap.
Ia juga berfungsi untuk memperkecil dan membentuk anggota yang dikehendaki.
Uniknya, kaedah rawatan Serdev tidak memerlukan masa yang panjang untuk mendapatkan wajah yang cantik dan kelihatan muda sebagaimana yang diingini dan tidak perlu tinggal lama di ‘wad’ misalnya.
Dengan hanya mengambil masa selama sepuluh minit hingga setengah jam (bergantung bahagian anggota badan), pelanggan yang mendapatkan kaedah itu tidak akan merasa sebarang kesakitan dan tidak akan menganggu masa harian mereka.
Menurut Perunding Estetik, Dr. Ng Kuan Choong, 41, teknik Serdev diperkenalkan oleh seorang doktor estetik dari Bulgaria, Nikolay IP Serdev, sepuluh tahun lalu dan kini ia telah digunakan di seluruh dunia. IP Serdev juga merupakan presiden kepada sebuah persatuan pembedahan kecantikan dan perubatan estetik di Bulgaria.
Kaedah teknik kecantikan yang paling terkini ini sangat ringkas kerana hanya menggunakan benang dan jarum - prosedur yang dilakukan sebagaimana kita menjahit butang baju.
Ia juga selamat, berkualiti, berkesan, tiada kesan sampingan, tidak kelihatan kesan teknik berkenaan dan produk yang digunakan juga halal kerana ia berasaskan tumbuh-tumbuhan.
“Teknik ini sangat ringkas, sehinggakan anda boleh melakukan rawatan ini ketika anda keluar rehat untuk makan tengah hari.
“Apabila anda balik semula ke pejabat, wajah anda akan menjadi begitu berbeza, namun orang tidak akan tahu apa yang membuatkan anda kelihatan lebih jelita sekiranya anda tidak memberitahunya,” katanya bergurau.
Dr. Kuan Choong, yang merupakan pengasas dan satu-satunya doktor pakar Serdev di negara ini berkata, ramai daripada kita apabila telah meningkat usia akan berhadapan dengan kulit wajah yang mula jatuh, mengendur, menggeleber dan berkedut.
Wajah yang mengendur bukan disebabkan oleh kulit wajah, ia diakibatkan oleh lapisan bawah kulit yang dipanggil galeal menjadi kendur dan jatuh dan mengakibatkan wajah kelihatan kendur dan kulit tidak menegang.
Pemilik klinik kecantikan The Laser Clinic yang terletak di 11A, Jalan Telawi 5, Bangsar, Kuala Lumpur itu berkata, menerusi kaedah Serdev untuk mengembalikan keremajaan wajah, kulit di bahagian kening (atas telinga) yang dipanggil temporal akan ditanda titik berbentuk empat segi.
Kemudian jarum yang disangkutkan benang akan dicucuk kepada keempat-empat tanda titik itu. Benang yang tertinggal di dalam kulit (galeal), hujungnya yang terkeluar akan ditarik 45 darjah kemudian diikat. Kaedah yang sama akan dilakukan kepada bahagian kening di sebelah lagi.
“Hasil tarikan 45 darjah itu akan mengangkat kulit wajah dan galeal sehingga menjadikan wajah lebih tegang, menaik dan menirus di bahagian dagu.
“Tarikan itu akan menjadikan wajah anda lebih muda, cerah dan gebu,” katanya.
Tidak mencacatkan
Apabila ditanya mengenai benang berkenaan, Dr. Kuan Choong berkata, benang itu tidak akan ‘mencacatkan’ wajah pelanggan kerana ia tidak akan kelihatan apabila bahagian hujung yang diikat akan digunting.
Benang akan tertarik ke dalam dan menyerap ke dalam kulit dalam tempoh dua minggu serta kekal di dalamnya.
Teknik ini juga selamat kerana ia tidak akan menganggu urat saraf berhampiran dengan kulit kerana setiap tempat yang ingin dimasukkan benang itu dipastikan terlebih dahulu tidak berbahaya.
Kaedah memasukkan benang itu dilakukan dalam keadaan nyahkuman. Benang itu sendiri mengandungi probiotik, vitamin-vitamin, vitamin C, kolagen dan fiber.
Dr. Kuan Choong berkata, teknik Serdev akan bertahan selama lima hingga sepuluh tahun sebaik ia dilakukan ke atas anggota badan berkenaan dan kos yang diperlukan ialah antara RM2,500 sehingga RM7,000.
“Setakat ini pelanggan yang paling tua untuk mendapatkan rawatan ini berusia 68 tahun dan rawatan ini juga dilakukan oleh mereka yang berusia di awal 20-an.
“Selain wajah, rawatan ini boleh digunakan untuk menaikkan punggung, membentuk bibir, meruncing dagu, dagu terbelah, membuat lesung pipit, menaikkan payu dara, menaik dan mengecilkan hidung, menaikkan pipi, menegangkan leher dan sebagainya,” katanya.
Dr. Kuan Choong juga menasihatkan kepada orang ramai yang ingin mendapatkan teknik Serdev agar berjumpa dengan doktor yang bertauliah dalam bidang berkenaan.
Apabila ditanya kenapa ada wajah seseorang itu tampak lebih tua daripada usia sebenar, menurutnya ia bergantung kepada bentuk kehidupan yang diharungi, cara hidup dan faktor genetik.
“Ada orang nampak muda bergantung kepada hormon dan genetik iaitu berapa jumlah kolagen dan fiber terkandung dalam wajah seseorang itu,” katanya.
Ditulis oleh:
Rosmah Dain
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/