Senarai Doktor Pakar Yang Terdapat di Malaysia dan Bidang Kepakaran Mereka dan Soal Jawab Permasalahan Yang Dihadapi Oleh Pesakit. Pakar Bedah, Pakar Bius, Pakar Oftalmologi, Pakar Ortopedik, Pakar Otorinolaringologi, Pakar Sakit Puan, Pakar Sakit Tuan,Pakar Traumatologi, Pakar Kanak-Kanak, Pakar Sakit Hidung, Telinga & Mulut (List of Specialist Doctor in Malaysia and Daily Health Information for Malaysian)
Peminat Setia Doktor Pakar
Tuesday, July 27, 2010
Kegagalan Hati
Penyakit kuning adalah tanda bagi banyak penyakit. Ia boleh dikesan apabila kulit dan sklera (bahagian putih mata) berubah menjadi kuning, Ini berlaku kerana lebihan bilirubin. Keadaan kulit kuning disertai kencing bewarna gelap dan najis berwarna pucat (berlaku apabila salur hempedu tersekat). Selain itu, pesakit mengalami kegatalan pada kulit, muntah dan hilang nafsu makan.
Gejala
Secara umum, penyakit kuning boleh dikategorikan kepada dua jenis: obstructive jaundice (sakit kuning disebabkan sekatan pada salur hempedu) dan hepatocellular jaundice (sakit kuning disebabkan masalah hati).
Obstructive Jaundice
Obstructive jaundice, atau cholesistik jaundice disebabkan sumbatan pada salur pundi hempedu akibat batu hempedu, kanser pankreas atau kanser salur hempedu. (kolangiokarsinoma).
Pesakit akan mengalami kencing berwarna gelap dan najis yang pucat disebabkan oleh kurangnya pengeluaran cecair hempedu dan bilirubin ke dalam usus. Sakit dan demam adalah gejala sekiranya salur hempedu tersumbat oleh batu hempedu. Disebabkan gejala yang dihidapi adalah sakit pada bahagian atas abdomen, pesakit selalunya disalah tafsirkan sebagai sakit gastrik.Bagaimanapun kesakitan boleh merebak ke bahagian belakang badan.
Hepatocellular Jaundice
Ia disebabkan oleh kecederaan atau radang sel hati. Ubatan moden atau herba tradisional tertentu boleh mengganggu fungsi hati. Keadaan ini boleh menghalang bilirubin yang dihapuskan dari darah atau dikeluarkan dari hempedu, yang boleh menyebabkan sakit kuning. Hepatitis alkohol juga adalah penyebab utama hepatoselluler jaundice.
Virus Hepatitis
Hepatitis adalah keadaan di mana hati menjadi terangsang dan keupayaan hati untuk memproses dan merembeskan bilirubin terhalang. Penyakit virus hepatitis termasuk virus hepatitis A, B dan C. Virus hepatitis A biasanya dijangkiti melalui dari makanan bercengkerang, manakala virus hepatitis B dan C dijangkiti melalui darah atau cairan badan.
Penyakit hati kronik akan menyebabkan hati tidak boleh berfungsi seperti hati sihat. Jika terdapat lebih parut pada tisu hati menggantikan tisu normal, fungsi hati akan mengurang (misalnya tidak boleh membersihkan darah, mencernakan makanan dan menyimpan tenaga). Akhirnya sakit kuning akan berlaku. Selalunya apabila pesakit sedar mengalami sakit kuning, keadaan mungkin telah menjadi tahap serius dan pesakit mungkin mengalami kegagalan hati dan komplikasi dari serosis hati (hati menjadi keras).
Rencana ini adalah sumbangan Persatuan Gastroenterologi & Hepatologi Malaysia yang disokong oleh Program Perut Sihat VITAGEN. Untuk mendapatkan buku mengenai kesihatan sistem penghadaman secara percuma, sila hubungi 03-5621 1408.
Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/
Sunday, May 25, 2008
Hati Yang Bersih Dan Sihat
![]() |
| KEROSAKAN hati akibat hepatitis mungkin membawa kepada sirosis dan kanser hati. |
Sejauh mana anda mengenali hati sendiri? Hati yang banyak digunakan dalam frasa kata harian jarang mendapat perhatian dari sudut kesihatan berikutan jarang berlaku kes penyakit yang amat teruk berbanding masalah jantung, buah pinggang atau kanser.
Pada dasarnya, ramai di antara kita yang mengambil mudah kesihatan hati memandangkan ia antara organ yang paling pantas tumbuh kembali. Keupayaan tersebut menyebabkan jarang berlaku masalah hati di kalangan orang dewasa, di samping tempoh rawatan penyakit hati yang mungkin lebih pendek berbanding penyakit lain.
Kebelakangan ini, lebih tumpuan mula diberikan kepada organ malang ini berikutan peningkatan kes jangkitan virus yang menyebabkan hepatitis atau keradangan hati. Bagaimanapun, secara umumnya, orang ramai masih mengambil ringan betapa pentingnya organ ini dalam kehidupan seharian mereka.
Kenali Hati
Hati merupakan organ dalaman dan kelenjar terbesar di dalam badan manusia yang memainkan peranan penting dalam penyahtoksikan serta metabolisma badan.
Pakar Perubatan dan Kardiologi Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) Shah Alam, Kolonel (B) Dr. Abd. Rahman Mohd. Ali menjelaskan hati merupakan antara organ utama di bahagian abdomen dan berada di bawah tulang rusuk.
“Kedudukan hati selalunya di bawah rusuk sebelah kanan dalam 99 peratus daripada kita tetapi ada juga individu yang hatinya terletak di sebelah kiri.
“Organ ini banyak fungsinya, bukan sahaja dalam metabolisma makanan malahan sebagai penawar toksin atau apa juga racun yang masuk ke dalam badan,” katanya.
Menurut beliau, fungsi menguraikan ubat dan racun ini amat penting bagi mengelakkannya menjadi racun dan merosakkan badan.
Tambahnya, hati juga boleh menukar sesetengah bahan menjadi bahan aktif yang boleh digunakan badan dan membuang bahan sampingan berbahaya yang dikeluarkan melalui najis atau air kencing.
Hati juga menghasilkan hempedu yang disimpan di dalam pundi hempedu untuk digunakan dalam proses penghadaman lemak. Selain itu, hati turut berfungsi sebagai kilang simpanan untuk gula, lemak, protein dan vitamin yang akan dikeluarkan mengikut keperluan badan.
Dr. Abd. Rahman menjelaskan semua fungsi-fungsi berkenaan akan terganggu jika berlaku kerosakan pada hati.
“Kerosakan hati juga boleh menyebabkan kegagalan hati berfungsi dengan mendadak (akut) dan boleh menyebabkan pesakit koma akibat pengumpulan toksin di dalam badan.
“Walaupun kegagalan akut fungsi hati jarang berlaku, jumlah kematian di kalangan pesakit yang mengalaminya amat tinggi dan boleh berlaku dalam masa beberapa minggu sahaja,” jelasnya.
Tambahnya, pesakit juga boleh mengalami pendarahan teruk akibat kegagalan hati menghasilkan ‘faktor pembekuan darah.
Gejala Radang
Antara gejala masalah hati adalah hilang selera makan, muntah, demam dan badan menjadi gatal di banyak tempat.
Dr. Abd. Rahman menyatakan pesakit juga mungkin menunjukkan simptom mata berwarna kuning dan air kencing kuning keemasan seperti teh ‘O’ pekat.
“Selain itu, pesakit juga mungkin akan perasan warna najis yang kurang pekat kerana hati tidak dapat menghasilkan hempedu (yang memberikan warna najis).
“Selain itu, pesakit juga mungkin mengalami simptom penyakit kuning, loya, sakit pada kawasan hati dan hati bengkak,” ujarnya.
Menurut beliau, punca utama keradangan hati di Malaysia adalah akibat jangkitan virus, bakteria, fungus atau parasit. Virus merupakan punca utama hepatitis di negara ini, dengan Virus Hepatitis A (HAV) yang merebak melalui minuman dan makanan paling banyak ditemui.
Dr. Abd. Rahman menjelaskan selain HAV, virus hepatitis jenis B (HBV) dan C (HCV) juga kerap ditemui di Malaysia berbanding jenis D, E, F dan G yang jarang ditemui di Malaysia.
“Virus Hepatitis E (HEV) mempunyai ciri-ciri yang hampir serupa dengan HAV seperti merebak melalui air atau orang yang menguruskan makanan.
“HEV bagaimanapun kerap ditemui di India dan Bangladesh dan boleh di bawa masuk ke negara ini oleh imigran dari negara terbabit,” ujar beliau.
Penawar Hati
Keupayaan hati untuk tumbuh semula, dan lebih pantas berbanding organ lain membolehkannya menggantikan tisu hati yang rosak. Namun, ini tidak bermakna pesakit tidak perlu “menjaga hati” mereka kerana memikirkan hati boleh membaiki diri sendiri.
Dr. Abd. Rahman menjelaskan semua pesakit hepatitis perlu mengawal pemakanan, pengambilan nutrien dan juga mengelakkan pengambilan ubat, kecuali yang perlu.
“Pesakit perlu mengurangkan benda-benda berlemak, banyakkan pengambilan karbohidrat serta jauhkan dari mengambil ubat-ubatan termasuk paracetamol.
“Mereka juga perlu memastikan pengambilan protein dan air secukupnya untuk membantu pemulihan hati serta mengambil suplemen vitamin tertentu seperti vitamin K untuk masalah pendarahan,” katanya.
Bagi jangkitan HAV yang paling banyak berlaku bagi hepatitis akibat jangkitan virus, kebanyakan pesakit sembuh akan sendiri dan tidak perlu dimasukkan ke wad. Pesakit HAV dianggarkan pulih sepenuhnya selepas kira-kira 45 hari, dan virus tersebut juga akan hilang sepenuhnya dari badan pesakit.
Jangkitan HBV dan HCV bagaimanapun mungkin memerlukan rawatan ubat tertentu seperti interferon, ubat bagi mengurangkan replikasi virus dan ubat untuk menggalakkan penghasilan antibodi. Hampir 10 peratus pesakit HBV dan sehingga 50 peratus pesakit HCV mungkin akan menghidap sirosis dan kanser hati. Dari segi keberkesanan ubat yang digunakan pula, jangkitan HCV lebih sukar dirawat kerana kadar keberkesanan rawatan cuma 40 peratus berbanding 60 peratus untuk HBV.
Kebolehan istimewa hati untuk tumbuh semula memudahkan pendermaan hati memandangkan hanya sebahagian kecil organ tersebut diperlukan untuk transplan kepada pesakit yang memerlukan. Tisu hati juga dapat tumbuh kembali menjadi organ hati yang penuh walaupun jika cuma tinggal 25 peratus tisu hati yang sihat.
Dr. Abd. Rahman bagaimanapun menjelaskan pemindahan hati selalunya dilakukan bagi kes hepatitis yang bukan berpunca daripada jangkitan virus atau kuman.
“Pesakit yang mengalami kerosakan hati akibat jangkitan mempunyai risiko hati baru yang dipindahkan turut dijangkiti.
“Jika tiada lagi virus atau kuman punca hepatitis di dalam badan pesakit, doktor mungkin akan menimbangkan untuk melakukan pemindahan hati,” ujar beliau.
Menurutnya lagi, pemindahan hati untuk hepatitis yang berpunca daripada bahan kimia atau toksin lebih mudah dilakukan.
Namun, Dr. Abd. Rahman menegaskan sebarang toksin perlu dibuang terlebih dahulu dan pesakit yang ketagihan (ubat atau alkohol) perlu dipulihkan dahulu sebelum pemindahan hati dijalankan.
Ini dapat mengelakkan pembaziran hati yang didermakan kerana ia juga akan rosak jika toksin, ubat atau alkohol terus diambil pesakit. Antara individu yang akan mendapat manfaat besar melalui pemindahan hati adalah pesakit hepatitis autoimun.
Janganlah kita mengabaikan kesihatan mana-mana organ sekalipun, termasuk hati, dengan alasan ia dapat pulih sendiri dan tidak membawa maut dengan serta-merta. Bayangkan hati seperti otak dan tulang belakang yang membolehkan kita menggerakkan badan serta menjalankan aktiviti harian.
Tanpa hati, kita bukan sahaja akan mati, malahan akan hilang kawalan dalam fungsi kimia utama badan yang tidak jauh bezanya dari perlahan-lahan menjadi lumpuh. Sayang diri, sayang hati.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my
Sunday, February 17, 2008
Bahaya Virus Hepatitis
Badan manusia adalah ‘perumah’ paling disukai virus dan bakteria kerana menerima bekalan makanan yang berterusan.
Virus hepatitis merupakan antara virus yang perlu diberikan perhatian yang serius.
Hepatitis bermakna keradangan hati dan virus hepatitis boleh menyebabkan kita mengalami masalah ini yang mungkin berakhir dengan kematian jika tidak diberikan rawatan yang sewajarnya.
Punca utama hepatitis ialah jangkitan virus dan tahap kerosakan pada hati bergantung kepada jenis virus yang menyerang.
Sehingga kini, tujuh jenis virus hepatitis telah dikesan di seluruh dunia yang dinamakan mengikut nama huruf iaitu virus hepatitis A,B,C,D,E,F dan G.
Bagaimanapun, virus yang lazim ditemui adalah hepatitis jenis A hingga E manakala jangkitan untuk hepatitis F pula hanya dijumpai sekali di India pada 1994 dan Hepatitis G hanya dikesan pada 1995.
Jangkitan virus-virus ini boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu akut (gejala yang teruk dalam masa yang singkat) atau kronik (kerosakan teruk yang berlaku secara perlahan dalam tempoh yang panjang).
Virus Hepatitis A dan E
Dua virus ini mempunyai ciri yang lebih kurang sama. Ia disebarkan melalui makanan tercemar dan menyebabkan hepatitis akut.
Biasanya pesakit akan mengalami masalah kesihatan selama sebulan.
Antara gejala jangkitan adalah;
- demam kuning, demam,
- sakit perut, muntah, cirit-birit,
- sakit kepala, mata menjadi kuning dan lesu
Apabila virus memasuki badan, ianya mengambil masa kira-kira dua minggu (dipanggil tempoh inkubasi) sebelum menyebabkan masalah kesihatan.
Biasanya individu dijangkiti juga mengambil masa kira-kira dua minggu untuk pulih semula.
Sehingga kini, Malaysia hanya mempunyai kes virus Hepatitis A (HAV) kerana jangkitan virus Hepatitis E (HEV) hanya dilaporkan berlaku di India dan Afrika.
Walaupun gejala jangkitan HAV dan HEV dianggap lebih ‘ringan’ berbanding virus Hepatitis B dan C, wanita hamil yang mendapat jangkitan HEV menghadapi risiko paling tinggi menemui maut (antara 15 hingga 25 peratus).
Hepatitis A boleh merebak melalui makanan dan minuman yang tercemar (disebarkan penyedia makanan yang telah dijangkiti atau daripada makanan mentah) atau melalui sentuhan, seperti membabitkan alat keperluan harian dan permainan di pusat jagaan kanak-kanak.
Malah, ada individu yang dijangkiti melalui darah yang tercemar (pemindahan darah atau perkongsian jarum suntikan) tetapi jangkitan melalui cara ini jarang berlaku.
Kanak-kanak yang dijangkiti HAV biasanya mengalami penyakit demam kuning pada kadar yang berbeza.
Kurang daripada 10 peratus kanak-kanak di bawah umur enam tahun mengalami demam kuning sementara 40 hingga 50 peratus kanak-kanak dalam lingkungan umur enam hingga 14 tahun mengalami demam kuning.
Kebarangkalian untuk mendapat demam kuning meningkat sehingga 70 atau 80 peratus jika jangkitan berlaku pada kanak-kanak lebih dewasa atau peringkat remaja sekitar umur 14 tahun ke atas.
Sehingga kini, masih tiada rawatan khusus untuk penyakit ini tetapi ia boleh dielakkan melalui pengambilan dua dos vaksin pada jarak enam hingga 12 bulan.
Pengambilan vaksin disarankan bagi individu yang berisiko tinggi seperti pengembara, lelaki homoseksual dan penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan.
Virus Hepatitis B
Virus Hepatitis B (HBV) mempunyai tempoh inkubasi yang lebih lama iaitu antara dua hingga tiga bulan.
Virus ini juga boleh menyebabkan dua jenis masalah, sama ada akut atau kronik.
HBV adalah virus yang paling lazim berjangkit di dunia. Dianggarkan lebih dua bilion penduduk dunia dijangkiti penyakit HBV dan kira- kira 350 juta lagi menjadi pembawa HBV yang kronik.
Lebih menyedihkan, kebanyakan pembawa HBV kronik ini berada di India dan Afrika.
Di Malaysia, 60 hingga 70 peratus kes HBV berlaku di kalangan orang Cina, Melayu (30 peratus) dan 10 peratus di kalangan orang India.
Virus ini disebarkan melalui hubungan seks, berkongsi jarum suntikan atau pemindahan darah.
Wanita hamil yang telah dijangkiti HBV juga boleh memindahkan virus ini kepada anak ketika bersalin.
Selain itu, HBV dikatakan 100 kali lebih cepat merebak berbanding virus HIV dengan gejala jangkitan seperti;
- demam kuning
- kematian akut (mengejut)
- jangkitan kronik
- kematian akibat penyakit hati yang kronik
Bagaimanapun, bukan semua orang yang mendapat penyakit hepatitis akibat HBV dan ada yang tidak mengalami masalah kesihatan dan boleh bekerja seperti biasa.
Hampir 90 peratus individu yang dijangkiti HBV mampu menyingkirkan virus tersebut melalui tindakan antibodi badan manakala 10 peratus lagi menjadi pembawa.
Oleh kerana itu, HBV lebih bersifat kronik dan gejala kesihatan biasanya muncul apabila usia menjangkau umur 40 tahun.
Di kalangan pesakit, dianggarkan 20 hingga 25 peratus mengalami masalah sirosis hati (sel hati mati, mengeras dan menyebabkan parut).
Daripada jumlah yang mengalami sirosis hati ini, kira-kira lima hingga 10 peratus mendapat kanser hati.
Jangkitan HBV boleh dikesan melalui pemeriksaan fungsi hati terutama ujian paras enzim hati (ALT).
Biasanya bagi individu yang dijangkiti, paras antibodi adalah tinggi, walaupun hatinya boleh berfungsi secara normal.
Selain itu, ujian yang boleh dilakukan bagi mengesan jangkitan virus ini adalah melalui proses serologi, imbasan bunyi, DNA bagi mengesan HBV dan biopsi hati untuk mengesan darjah keradangan atau kehadiran fibrosis (tisu hati bengkak dan bertukar menjadi parut).
Rawatan yang ada sekarang adalah untuk memperlahankan dan memberhentikan tindakan HBV daripada terus merosakkan hati.
Ianya diberikan dalam bentuk suntikan yang perlu diambil tiga kali setiap minggu dalam tempoh empat hingga enam bulan.
Pesakit juga perlu mendapatkan pemeriksaan susulan setiap enam bulan atau setahun sekali bagi memastikan tiada keradangan baru pada hati mereka.
Sebagai perlindungan, anda boleh mengambil vaksin Heptitis B yang diberikan dalam tiga dos dengan jarak tiga bulan setiap suntikan.
Virus Hepatitis C
Hepatitis C dikategorikan sebagai penyakit kronik. Virus ini dikenali sebagai HCV dan boleh berjangkit melalui perkongsian jarum suntikan dengan individu yang dijangkiti, menerima darah atau menjalani pembedahan pemindahan organ sebelum 1995, menjalani dialisis darah dalam tempoh berpanjangan, hubungan seks (terutama yang kerap bertukar pasangan), akupuntur dan jangkitan dari ibu kepada bayi ketika bersalin.
HVC mempunyai tempoh inkubasi antara enam hingga tujuh minggu. Antara gejala yang biasa yang dibabitkan dengan HCV adalah;
- demam kuning (30 hingga 40 peratus kes)
- demam yang tidak teruk
- sakit perut
- keletihan
- kerap mendapat jangkitan virus lain seperti virus selesema
HVC boleh menyebabkan sirosis hati dan pengambilan alkohol yang berlebihan boleh mempercepatkan proses sirosis hati di kalangan penghidap Hepatitis B dan C.
Jika seseorang itu mendapat kedua-dua jangkitan HBV dan HCV, masalah sirosis dan kanser hati akan menjadi bertambah teruk. Bagaimanapun kes ini jarang berlaku.
Ubat yang diberikan kepada pesakit HCV biasanya bertujuan menghentikan tindakan virus berkenaan dan perlu diambil melalui suntikan atau pil selama enam hingga 12 bulan.
Virus Hepatitis D
Virus Hepatitis D (HDV) dikategorikan sebagai virus yang tidak lengkap kerana ianya memerlukan HBV untuk bertindak.
Maknanya jika seseorang itu hanya dijangkiti HDV, dia tidak akan mengalami sebarang masalah.
Gejala kesihatan hanya muncul jika individu berkenaan juga dijangkiti HBV selepas dijangkiti HDV. Namun, kes seperti ini jarang berlaku.
Jika anda mengalami mana-mana gejala seperti yang telah disebutkan, segera jalani ujian lanjut untuk hepatitis, terutamanya bagi individu yang lahir sebelum 1989.
Berbincang dengan doktor mengenai kaedah rawatan yang sesuai dengan anda.
Individu yang disahkan bebas daripada jangkitan mana-mana virus hepatitis disaran mengambil suntikan vaksin sebagai perlindungan.
Ditulis oleh:
Dr Abdul Malik Jamal Buhari
Pakar Runding Perubatan dan Gasteroenterologi
Kelana Jaya Medical Centre (KJMC)
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
