Peminat Setia Doktor Pakar

Sunday, December 06, 2009

Kenali Usus Anda

Ramai tidak mengendahkan kepentingan untuk mengekalkan sistem penghadaman yang sihat hinggalah kesihatan mereka terjejas.

Seorang yang normal akan mengambil lebih kurang satu kilogram makanan sehari. Ini bermakna kita akan makan lebih kurang 365 kilogram makanan setiap tahun!

Walaupun kita memasukkan banyak makanan ke dalam usus kita, namun kita masih belum benar-benar menghargai kepentingan kesihatan sistem penghadaman.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, penyakit sistem penghadaman menjadi punca keenam utama kematian di hospital kerajaan sepanjang 2008.

Kita perlu ingat bahawa keadaan sistem penghadaman seseorang akan mempengaruhi kesihatan dan kesejahteraan diri secara keseluruhan.

Ia bukan sahaja memainkan peranan penting dalam penghadaman dan penyerapan nutrien, malah turut merupakan sebahagian daripada sistem imun dan saraf. Sudah tiba masanya untuk kita mengutamakan sistem penghadaman kita!

Bagaimana Usus Berfungsi

Sistem penghadaman adalah penting untuk memastikan makanan yang dimakan akan dihancurkan, dihadam dan diserap untuk memberi kita tenaga.

Makanan yang kita makan akan melalui saluran makanan (mulut, esofagus, perut, usus kecil dan besar) dengan bantuan organ "tambahan" sistem penghadaman (hati, pankreas dan pundi hempedu).

>> Mulut - Penghadaman akan bermula sebelum makanan memasuki mulut. Bau makanan akan merangsang air liur. Inilah sebabnya mengapa air liur akan keluar apabila anda lalu di hadapan sebuah kedai biskut. Penghasilan air liur akan bertambah apabila anda mula menggigit makanan. Air liur yang mengandungi enzim seperti amilase akan menyumbang kepada proses kimia penghadaman, iaitu proses yang memecahkan nutrien kompleks kepada bentuk yang lebih ringkas, serta membantu menjadikan makanan lebih lembut dan mudah ditelan.

>> Esofagus - Dari mulut, makanan akan melalui esofagus, suatu tiub sepanjang 10 inci. Makanan akan ditolak ke dalam perut menerusi pergerakan peristalsis (pergerakan seakan ombak) oleh dinding esofagus yang berotot. Makanan biasanya akan mengambil masa lebih kurang 10 saat untuk sampai ke perut setelah ditelan.

>> Perut - Anda boleh menganggap perut sebagai pusat pemproses makanan badan. Ia akan menggaul, mengisar dan melumatkan semua makanan di dalam perut. Apabila makanan digaul, perut akan menghasilkan jus gastrik, yang mengandungi asid hidroklorik, bagi membantu penghadaman. Pada kebiasaannya, makanan akan tinggal di dalam perut selama 4 jam. Persekitaran berasid perut (pH 1 hingga 2) akan membolehkan makanan menjadi cecair pekat yang boleh dihadam dan diserap dengan mudah.

>> Usus kecil - Dari perut, makanan akan melalui usus kecil. Jangan terpedaya dengan perkataan 'kecil' ini kerana usus kecil anda sebenarnya melebihi 6 meter panjang. Ia merupakan tempat utama bagi penyerapan nutrien. Pada permukaan usus kecil terdapat struktur seakan jari yang dikenali sebagai 'vili' dan pada permukaan vili ini pula terdapat struktur yang seakan jarum. Struktur vili yang unik ini akan menambah luas permukaan usus kecil dan membolehkan penyerapan nutrien yang lebih baik. Apabila dibentangkan, luas permukaan usus kecil anda adalah sebesar satu gelanggang tenis. Penyerapan bermula apabila molekul makanan menembusi vili untuk memasuki rangkaian kapilari darah. Aliran darah akan membawa molekul- molekul halus ini ke bahagian-bahagian tubuh yang lain untuk menjalani penukaran kimia yang seterusnya menjadi nutrien dan tenaga yang diperlukan oleh tubuh untuk meneruskan kehidupan.

>> Usus besar - Tujuan utama usus besar adalah untuk menyerap sebanyak air yang boleh daripada makanan yang dimakan. Bahagian yang tidak diserap akan membentuk fesis yang terdiri daripada 75 peratus lembapan dan 25 peratus pepejal. Fesis akan disimpan di dalam bahagian terakhir usus besar yang dikenali sebagai rektum, dan akhirnya akan keluar daripada tubuh dalam bentuk tinja.

>> Hati - Hati menghasilkan hempedu, sejenis bahan penghadaman yang memecah lemak dan meneutralkan asid makanan. Hempedu akan dihantar ke pundi hempedu untuk disimpan.

>> Pundi hempedu - Fungsi utama organ ini adalah untuk menyimpan hempedu yang akan dirembes ke dalam usus kecil apabila terdapat kehadiran makanan.

>> Pankreas - Pankreas merembes enzim yang akan memecahkan lemak, karbohidrat dan protein secara kimia.

Walau bagaimanapun, sistem penghadaman tidak mampu melaksanakan semua tugas-tugas ini dengan sendiri. Sebagai contoh, tidak semua makanan yang kita makan boleh dihadam. Untuk tujuan ini, tubuh memerlukan bantuan tambahan - ia memerlukan bakteria. Ya, memang betul, bakteria.

Koloni

Percaya atau tidak, terdapat bertrilion bakteria yang sedang tinggal dalam sistem penghadaman anda. Bakteria yang turut dikenali sebagai mikroflora usus ini akan menyokong kesihatan usus dengan membantu sistem penghadaman.

Sesetengah kesan bermanfaat mikroflora usus adalah untuk membantu proses penghadaman dengan menghasilkan enzim penghadaman dan merangsang penghasilan sel-sel imun pada lapisan dinding usus.

Otak dan jantung sering dilabel sebagai organ 'penting' di dalam tubuh. Namun demikian, kita tidak boleh terus hidup tanpa sistem penghadaman kita.

Tambahan lagi, tanpa sistem penghadaman, kita akan ketinggalan satu daripada keseronokan utama dalam kehidupan - makanan!

Bayangkan hidup tanpa rasa stik yang digril atau brownie yang suam dan lembap.

Oleh itu, anda digalak untuk lebih menghargai kesihatan penghadaman, bukan sahaja dari segi pencegahan penyakit tetapi untuk mempertingkatkan keseronokan dalam kehidupan, seperti memakan semua makanan lazat yang dimasak oleh ibu atau ayah, isteri atau suami, mahupun teman wanita atau teman lelaki!

* Datuk Dr. Muhammad Radzi Hassan merupakan mantan Presiden Persatuan Gastroenterologi & Hepatologi Malaysia. Artikel ini merupakan sumbangan Persatuan Gastroenterologi & Hepatologi Malaysia serta disokong oleh geran pendidikan daripada Program Perut Sihat VITAGEN. Untuk mendapatkan buku kecil kesihatan penghadaman yang percuma atau maklumat lanjut, sila hubungi talian 03-56211408.


Ditulis oleh:
Datuk Dr. Muhammad Radzi Hassan

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Ubah Stigma Kegemukan

Siapa yang tidak kenal dua personaliti ini, Syanie dan Enot. Kedua-duanya memang terkenal dengan saiz badannya yang agak besar tetapi sentiasa menyenangkan orang sekeliling dengan sifat ramah mereka. Oleh kerana saiz badan mereka juga, Syanie dan Enot kelihatan begitu comel setiap kali muncul di kaca televisyen. Namun baru-baru ini, Syanie terpaksa menjalani pembedahan yang dinamakan gastric bypass.

Tujuan sebenar Syanie melakukan pembedahan tersebut bukanlah untuk kurus tetapi kerana tahap kesihatannya yang semakin merosot.

Berbeza pula dengan Enot, dia berjaya membuktikan saiz badan bukan penghalang untuk dia menyertai Sehati Berdansa 3. Siapa sangka artis berbadan montel dan comel macam Enot pun ada semangat tari yang tinggi.

Namun, masyarakat kini terpaksa bersedia berdepan dengan masalah kegemukan atau obesiti yang kian meningkat. Persoalannya, adakah golongan ini perlu menurunkan badan atau meneruskan kehidupan dengan persekitaran atau gaya hidup yang sihat?

Kedua-dua personaliti tadi membuktikan mereka cuba memperbaiki diri dan bersikap optimis.

Bagi generasi muda, pencegahan awal perlu dilakukan agar tidak menyesal kemudian hari.

Apa perbezaan obesiti dan terlalu gemuk? Menurut Presiden Persatuan Kajian Kegemukan Malaysia (MASO), Profesor Dr. Ismail Noor, obesiti dan terlalu gemuk sering kali bertukar ganti.

"Sebenarnya ia tidak sama. Obesiti ditakrifkan sebagai lebihan pengumpulan lemak badan yang membahayakan kesihatan. Pada waktu yang sama terlalu gemuk pula pada tahap yang lebih rendah dari obesiti. Kedua-dua ini berlaku apabila pengambilan (dalam bentuk makanan) melebihi tenaga yang diperlukan (metabolisme dan aktiviti fizikal)." katanya.

Tambah beliau, gaya hidup negatif akan memburukkan keadaan dan seseorang itu boleh menjadi terlalu gemuk iaitu obesiti.

Selain itu, baka, faktor fisiologi dan psikologi juga perlu diambil kira. Ada pendapat yang mengatakan bahawa 70 peratus individu menjadi terlalu gemuk kerana baka ibu bapa. Sudut fisiologi pula menunjukkan mereka mengambil makanan ketika emosi tidak stabil seperti bosan, sedih dan bimbang.

Justeru itu, langkah pengurusan iaitu mengehadkan makanan, melakukan banyak kegiatan fizikal, mengubah tingkah laku, rawatan menggunakan ubat menguruskan badan dan pembedahan adalah salah satu cara untuk mengurangkan masalah ini.

Katanya, paling utama kikis tabiat makan yang buruk.

"Makanan perlu mengandungi nutrien yang cukup, saiz makanan yang sesuai dengan keperluan badan dan waktu makan yang tetap. Rawatan lain perlu mengambil kira kesan terhadap kehilangan berat badan dan usaha mengekalkannya kerana bimbang berlakunya kesan sampingan yang boleh memudaratkan kesihatan." ujarnya.

Dr. Ismail mengulas, penurunan berat badan memainkan peranan penting dalam usaha mencegah dan melengahkan kemunculan diabetes.

Data baru-baru ini mendedahkan bahawa penularan diabetes telah meningkat daripada 8.3 peratus pada 1996 kepada 14.9 peratus pada 2006.

"Seorang daripada enam dewasa Malaysia berusia lebih 30 tahun menghidap diabetes iaitu dianggarkan berjumlah 1.4 juta orang. Penularan diabetes telah meningkat hampir sekali ganda pada dekad lepas sejajar dengan penggandaan bilangan penduduk dengan berat badan berlebihan atau gemuk." katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kajian Kegemukan Antarabangsa, Profesor Philip James pula berkata, kegemukan adalah satu masalah yang perlu ditangani kerana ia adalah punca kepada pelbagai penyakit.

"Kajian perubatan mendapati bahawa mereka yang mempunyai BMI 25 ke atas akan meningkatkan risiko menghadapi diabetes di samping serangan jantung. Kehilangan berat badan walaupun dalam kuantiti antara lima hingga 10 kilogram dapat membantu melegakan banyak masalah yang berkaitan dengan obesiti." katanya.

Beliau berkata, antara penyebab utama berlakunya obesiti ialah banyak dipengaruhi oleh gaya hidup yang diamalkan oleh individu tersebut.

Prof Philip memberitahu, diabetes adalah salah satu daripada penyakit berkait paling umum yang dialami oleh 61 peratus daripada pesakit yang gemuk dan 90 peratus daripada diabetes jenis dua disebabkan berat badan yang berlebihan.

Kegemukan juga meningkatkan risiko mengalami pradiabetes iaitu keadaan yang dicirikan glukosa darah yang lebih tinggi daripada normal.

Beliau menyarankan, betapa perlunya seseorang yang mempunyai berat badan berlebihan yang mendapati sukar mengurangkan berat badan untuk mendapat nasihat profesional daripada pakar pemakanan, pakar diet dan doktor.

Ini memudahkan individu mengetahui pilihan yang ada untuk mengurangkan berat badan termasuk farmaskoterapi dan pembedahan dalam badan yang serius.

Namun, dalam segala hal, stigma kegemukan boleh diubah sekiranya setiap individu mula mengubah gaya hidup mereka.


Ditulis oleh:
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Wednesday, December 02, 2009

Petua Menghadapi Diabetes

Kebanyakkan mereka yang didiagnosis mengalami diabetes atau pra diabetes, sentiasa dimaklumkan mengenai komplikasi jangka panjang akibat diabetes yang boleh menyebabkan serangan jantung dan strok, buta, sakit buah pinggang dan pemotongan anggota badan.

Malangnya, hanya sebilangan sahaja yang diberitahu kesemua komplikasi tersebut umumnya boleh dicegah melalui perubahan gaya hidup yang disyorkan seperti diet, makanan tambahan, kerap bersenam dan mengambil perhatian kepada ujian perubatan seperti HbA1c, pemeriksaan mata yang kerap dan sebagainya. Kebanyakan penghidap diabetes boleh mencegah atau melambatkan kebangkitan komplikasi itu.

Menurut Laporan oleh USA Today keluaran April 2009, walaupun ujian HbA1c mudah diperolehi, terdapat kurang daripada 42 peratus penghidap diabetes telah melakukannya atau memahami makna kesimpulan yang dicapai.

Di bawah ini merupakan beberapa cara yang mudah namun penting untuk mencegah terjadinya komplikasi yang berkaitan dengan takat gula darah tinggi:

Perubahan gaya hidup yang merangkumi:

1. Diet

Walaupun anda mengalami pra-diabetes atau diabetes, ini tidak bermakna anda tidak boleh menikmati pelbagai makanan. Matlamatnya ialah mempelajari pengambilan makanan seimbang dalam jumlah yang betul. Di sini terdapat beberapa petua mengenai pemilihan makanan berkhasiat bagi anda sekeluarga:

"Makan banyak sayuran dan buahan. Cuba pilih dari warna yang berlainan agar kepelbagaian dimaksimumkan.

"Makan sayuran yang tidak berkanji seperti bayam, lobak merah, brokoli atau kekacang hijau.

"Pilih makanan bijirin penuh dan bukan makanan bijirin yang diproses. Makan nasi beras perang, bukan nasi putih serta pilih roti perang dan bukan roti putih.

"Keluarkan kulit daripada sebarang jenis daging seperti ayam, daging lembu dan sebagainya..

"Minum air dan minuman "diet" tanpa kalori dan bukan minuman soda biasa, teh yang manis dan lain-lain minuman yang dimaniskan dengan gula.

"Kurangkan makanan ringan berkalori tinggi dan pembasuh mulut seperti keropok, biskut, kek, dan ais krim lemak penuh.

2. Kerap Bersenam

Senaman adalah sebahagian daripada gaya hidup sihat bagi semua orang terutamanya penting bagi mereka yang mengalami pra diabetes dan diabetes. Tetapi, senaman bukan bermaksud berlari marathon atau menekan tubi 300 kali. Matlamatnya adalah untuk menjadi aktif dan kekal aktif dengan melakukan perkara yang anda gemari seperti berkebun atau bersiar-siar.

3. Pemeriksaan perubatan tetap terutamanya:

a) Ujian Darah HbA1c

HbA1c (hemoglobin A1c, haemoglobin A1c terglikosilat, glikohemoglobin A1c atau ujian A1c) merupakan ujian makmal yang mengemukakan purata glukosa darah untuk jangkamasa merangkumi dua hingga tiga bulan.

Secara khusus, ia mengukur bilangan molekul glukosa yang terikat kepada hemoglobin, suatu bahan dalam sel darah merah. Orang yang tidak mengalami diabetes biasanya mempunyai takat HbA1c kurang daripada 6 peratus. Ini bermakna kurang daripada 6 peratus molekul hemoglobin terikat secara kekal kepada glukosa.

Berdasarkan kepada hasil kajian seperti Percubaan Pengawalan dan Komplikasi Diabetes (DCCT), yang menunjukkan kawalan ketat glukosa darah boleh mengurangkan risiko mata, buah pinggang dan penyakit saraf akibat diabetes, Persatuan Diabetes Amerika mengesyorkan supaya penghidap diabetes cuba mengawal takat HbA1c di bawah 7 peratus.

b) Pemeriksaan mata

Jika anda menghidap diabetes, dapatkan pemeriksaan mata menyeluruh sekurang- kurangnya sekali setahun dan jika anda mempunyai diabetes retinopati, anda mungkin memerlukan pemeriksaan mata lebih kerap. Orang yang mempunyai retinopati proliferatif boleh mengurangkan risiko mereka menjadi buta sebanyak 95 peratus dengan mendapatkan rawatan tepat pada masa dan rawatan susulan yang betul.

4. Suplemen Nutrien

Suplemen multivitamin dan mineral berpotensi tinggi dirumus untuk menyokong keperluan nutrien khas bagi golongan yang mempunyai paras gula darah yang tinggi, termasuk diabetes. Pembekalan nutrien utama tambahan kepada mereka yang mengalami pra diabetes dan diabetes telah menunjukkan pengawalan gula yang lebih baik dan juga mencegah atau mengurangkan perkembangan komplikasi utama diabetes.

Contoh khusus nutrien utama yang diperlukan oleh pesakit diabetes dalam jumlah yang lebih tinggi daripada kandungan dalam formula multivitamin dan mineral harian yang biasa adalah Asid Alfa Lipoik, Vanadium Sulfate dan Kromium. Pesakit diabetes memerlukan lebih banyak Asid Alfa Lipoik, sejenis antioksidan "sejagat" yang boleh berfungsi dalam sel berair dan berlemak.

Sekumpulan badan penyelidikan telah menemui sejenis vitamin B12 yang bersifat aktif secara neurologi dikenali sebagai mecobalamin (atau methylcobalamin) yang boleh membantu dalam menumbuhkan kembali saraf yang rosak, iaitu komplikasi paling umum yang berkaitan dengan takat glukosa darah tinggi.

Mecobalamin

Saintis Jepun telah mengetahui bahawa Mecobalamin memberi perlindungan terhadap penyakit neurologi (saraf) dan penuaan melalui mekanisma yang berbeza daripada terapi masa kini. Beberapa gangguan yang mungkin boleh dicegah atau dirawat dengan terapi vitamin semulajadi ini termasuk neuropati periferal.

Perkataan neuropati berasal daripada dua bahagian: "neuro" merujuk kepada saraf dan "pati" menunjukkan penyakit. Nueropati periferal adalah sejenis keadaan yang melibatkan saraf-saraf di luar sistem saraf pusat terutamanya pada lengan dan kaki.

Saraf merupakan laluan komunikasi badan. Isyarat elektrik dari otak bergerak melalui saraf dan memberi arahan kepada pelbagai bahagian badan. Badan menerima maklumat daripada persekitaran melalui deria dan menghantar maklumat tersebut ke otak melalui saraf.

Kebanyakan saraf periferal bertanggungjawab untuk keupayaan perasaan yang anda perolehi seperti sentuhan, kesakitan dan suhu. Terdapat jutaan penghujung saraf tersebut di jejari anda, tangan, jari kaki dan kaki yang direka untuk melindungi anda daripada bahaya dan menjauhi perkara-perkara yang panas, sejuk, tajam dan sebagainya.

Gejala-gejala neuropati periferal mungkin merangkumi:

>> Kekebasan atau tidak sensitif terhadap kesakitan atau suhu

>> Rasa berdenyut-denyut, panas membahang atau rasa menyucuk

>> Rasa sakit menusuk atau kekejangan

>> Terlalu sensitif terhadap sentuhan, sekalipun sentuhan yang lembut

>> Hilang keseimbangan dan koordinasi

Membeli Suplemen

Pesakit diabetes berada pada tahap risiko lebih tinggi terhadap jangkitan dan penyembuhan luka yang lambat. Kajian menunjukkan pesakit diabetes yang mengambil suplemen harian selama setahun telah mengalami kadar jatuh sakit dan jangkitan yang berkurangan jika dibandingkan dengan subjek kajian yang mengambil plasebo.

Jika anda adalah seorang pesakit pra-diabetes atau diabetes, keperluan pemakanan anda adalah berbeza. Dengan itu, anda harus beringat untuk mendapatkan suplemen multivitamin dan mineral harian yang mengandungi kesemua bahan kandungan tersebut di atas yang didapati dalam potensi lebih tinggi. Ambillah jenis yang dirumus khas untuk pesakit diabetes dan pra diabetes untuk membantu dalam penjagaan optimum kesihatan dan mencegah penyakit.

Walaupun betapa pentingnya suplemen, multivitamin dan mineral harian yang baik perlu dipilih bagi mereka yang mengalami paras gula darah tinggi. Gabungan vitamin B12 dan mecobalamin yang aktif secara neurologi adalah disyorkan kerana keupayaannya untuk membantu dalam pencegahan dan penyembuhan kembali saraf yang rosak - sejenis komplikasi umum yang dialami oleh mereka yang mempunyai takat gula darah tinggi.



Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Kanser Mulut

Bersesuaian dengan perlaksanaan Minggu Kesedaran Kanser Mulut yang diadakan setiap tahun dan pada tahun ini bagi peringkat negeri Kelantan diadakan pada 15 November hingga 21 November, artikel saya pada minggu ini adalah berkaitan dengan bahayanya kanser mulut.

Sehingga sekarang, tidak terdapat perangkaan yang tepat terhadap data kes-kes kanser mungkin kerana kekurangan pembiayaan kewangan dan juga tenaga manusia.

Malah masih lagi terdapat kurangnya pengetahuan masyarakat tentang tanda-tanda awal kanser mulut (precancerous).

Namun, mempunyai pengetahuan bagi mengenal pasti tanda-tanda awal dan faktor-faktor risiko yang menyebabkan kejadian kanser mulut boleh membantu menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kecacatan akibat pembedahan.

Walaupun langkah-langkah pencegahan telah dijalankan oleh Bahagian Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia - seperti program saringan kanser oral, program televesyen dan radio, tetapi kes-kes yang hadir untuk mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia masih lagi kebanyakannya terdiri daripada kes-kes yang agak lewat seperti pada tahap 3 dan 4.

Rawatan seperti pembedahan terhadap kes-kes seperti ini menyebabkan pengudungan (mutilation) atau deformasi muka, kualiti hidup yang terjejas terutama fungsi penguyahan, penelanan dan percakapan dan peratusan kejayaan pembedahan juga menurun.

Kombinasi rawatan Radioterapi dan Kemoterapi diperlukan untuk kebanyakan kes-kes yang lewat dan rawatan ini juga mendatangkan komplikasi-komplikasi tertentu.

Oleh itu, biar apapun rawatan kepakaran yang boleh membantu, mengenali tanda-tanda awal kanser mulut memberi peluang terbaik untuk rawatan.

Dibantu dengan kepakaran Klinik Onkologi yang terdiri daripada pakar Oral & Maksilofasial, Pakar ENT, Klinikal Onkologi, Pakar rekonstruktif dan lain-lain kepakaran, termasuklah rehabilitasi, boleh meningkatkan kualiti hidup pesakit yang menerima rawatan.

Saringan pra kanser

dan kanser mulut

Tujuan pemeriksaan

1. Mengesan awal keadaan pada mereka yang berisiko - berdasarkan faktor umur, cara hidup dan tabiat harian

2. Mengesan awal keadaan yang berisiko tinggi menjadi kanser mulut

3. Mengesan awal keadaan kanser yang masih kecil dan tidak bergejala

Pemeriksaan didapati positif apabila terdapatnya keadaan seperti kanser mulut, leukoplakia (tompok putih yang bukan disebabkan oleh jangkitan, reaksi terhadap bahan tertentu dan sebagainya), erythroplakia atau erythroleukoplakia dan submucous fibrosis.

Gejala klinikal dan tanda

kanser mulut

Pada peringkat awal, ianya tidak sakit dan kadang-kala cuma rasa pedih yang berpanjangan, terdapat tompok-tompok merah, putih atau indurasi, bengkak dan lempuh (ulser).

Pada peringkat yang agak lewat, ia akan berasa sakit, mengganggu fungsi mulut seperti pergerakan lidah atau rahang, mengunyah dan menelan.

Kawasan mulut yang biasanya terjadi kanser mulut bagi pesakit di Malaysia, khususnya di HUSM ialah mukosa pipi (mungkin akibat pengunyahan tembakau dan sireh pinang), seterusnya di ikuti oleh bahagian tepi lidah, lantai mulut dan rahang bawah.

Faktor risiko kanser mulut

Sehingga ke hari ini banyak kajian terhadap tisu kanser bagi mengenal pasti struktur turutan genetik, mengenalpasti struktur khusus permukaan sel (surface cell marker) dan juga kajian terhadap alatan-alatan bagi membantu diagnosis kanser sedang dijalankan di seluruh pusat kanser dalam dan luar negara bagi membantu rawatan dan pengesanan awal kanser, termasuk kanser mulut.

Oleh kerana sehingga ke hari ini masih belum di ketahui punca sebenar penyebab kanser mulut, langkah pencegahan perlu ditekankan.

Ini termasuk menjauhi diri dari faktor-faktor risiko terhadap kanser mulut seperti merokok, mengunyah tembakau, makan sireh pinang yang disapu kapur, ketagih alkohol, siflis, keadaan prakanser, jangkitan (seperti virus tertentu), keadaan trauma berpanjangan akibat penggunaan gigi palsu yang longgar, radiasi dan kekurangan sumber antioksidan dalam diet seperti vitamin C, E dan beta keroten.

Jika terdapat sebarang keadaan atau gejala seperti dibincangkan di atas, hendaklah segera berjumpa doktor gigi di klinik atau di hospital bagi mendapatkan rawatan seterusnya.

Di hospital, keadaan berisiko akan dikenal pasti dan rawatan bersesuaian akan diberikan sekiranya terdapat punca keadaan tersebut - seperti jangkitan kulat, keadaan gigi yang tajam dan sesi kaunseling diberikan jika terdapat tabiat yang berisiko.

Jika masih lagi belum pulih, sedikit tisu akan diambil dan dihantarkan ke makmal patologi untuk mendapatkan diagnosis lebih tepat.

Rawatan kanser mulut

Sehingga ke hari ini, rawatan untuk kanser mulut hanyalah pembedahan. Ini kerana keadaan muka yang kompleks menyukarkan pembuangan tisu kanser secara berkesan, tambahan pula terdapat penyaliran limfa dari bahagian kepala ke leher sebelum memasuki aliran vena.

Sel-sel kanser akan menduduki sistem limfa di leher dan sistem limfa ini terpaksa dibuang bersama dengan tisu kanser semasa pembedahan.

Bayangkan tisu kanser di bahagian mulut pada peringkat tahap 3 dan 4 iaitu yang mempunyai saiz melebihi 4 sentimeter (cm).

Bahagian yang terpaksa dibuang adalah sekurang-kurangnya 7 cm bagi memastikan ianya bebas dari kanser dan ini mengakibatkan deformasi yang teruk dan mengganggu fungsi menelan, mengunyah, percakapan dan kecacatan muka yang akan mengganggu emosi seseorang.

Pembedahan, jika dilakukan pada peringkat awal seperti tahap 1 dan 2, mampu memberi peratusan kejayaan tinggi di samping kecacatan yang sedikit.

Walaupun begitu, dengan adanya kepakaran unit surgeri Rekonstruktif , pemindahan tisu dari bahagian badan yang lain bagi menampal kecacatan akibat dari pembedahan kanser mulut dapat dilakukan kini.

Ini sedikit sebanyak dapat merawat emosi dan mengembalikan keyakinan diri pesakit kanser mulut.

Akhirnya, kerjasama dari pelbagai pihak yang terlibat seperti pihak kerajaan, unit rawatan kanser, masyarakat, media dan badan-badan bukan kerajaan boleh membantu program-program kesedaran dalam pengesanan awal kanser khususnya kanser mulut bagi kejayaan rawatan.

Kerjasama ini juga sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kes kanser mulut di tahap 3 dan 4 jika kanser tersebut dapat dikesan dari peringkat awal lagi.


Ditulis oleh:
Dr Shaifulizam Ab Rahman
Pensyarah, Pakar Oral & Maksilofacial Surgeri,
Pusat Pengajian Sains Pergigian, Kampus Kesihatan USM, Kelantan

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Tuesday, December 01, 2009

Tulang Sihat Ketika Mengandung

Perjalanan ke arah tulang sihat sepanjang hayat bermula dengan ibu mengandung. Tahniah di atas kandungan anda! Pastinya ia saat yang paling menggembirakan dalam kehidupan anda, bukan?

Anda bakal membawa satu kehidupan yang baru ke dalam dunia. Ia pengalaman yang meletihkan dan mendebarkan, lebih-lebih lagi jika ia kandungan pertama anda.

Anda pasti ingin memberikan yang terbaik dan mengharapkannya membesar dengan sihat dan pintar.

Tetapi, anda perlu menjaga diri sendiri terlebih dahulu. Lagipun, bayi sihat datang dari ibu yang sihat.

Bayi anda memerlukan kalsium untuk membentuk tulangnya, dan sebagai ibu anda perlu menyediakan semua nutrien yang diperlukannya untuk membesar melalui diet anda.

Jika anda tidak mendapat kalsium yang secukupnya dalam diet, bayi anda akan menyerapnya dari tulang anda sendiri.

Akibatnya, tulang anda akan kekurangan kalsium. Anda perlu membawa bayi di dalam rahim buat beberapa bulan dan ini boleh meletakkan beban pada tulang belakang anda.

Namun, wanita mengandung turut menghasilkan lebih estrogen iaitu sejenis hormon yang dapat melindungi tulang.

Hasilnya, apa juga kehilangan jisim tulang ketika mengandung biasanya pulih setelah bersalin.

Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna anda boleh mengabaikan tulang anda. Menjaga kesihatan tulang tetap penting untuk kesejahteraan anda dan bayi anda.

Kalsium Untuk Tulang

Mulakan dengan memastikan anda mendapat kalsium yang cukup dalam diet harian. Wanita mengandung menyerap kalsium lebih baik daripada yang tidak mengandung kerana peningkatan hormon estrogen.

Tetapi, bagi negara seperti Malaysia di mana amalan pengambilan kalsium adalah rendah, pengambilan harian sebanyak 1,000 miligram (mg) adalah disyorkan bagi wanita mengandung.

Susu adalah sumber kalsium yang terbaik bagi sesiapa yang ingin membina tulang kuat. Tetapi bukan semua orang boleh atau suka minum susu.

Bagi para ibu yang tidak serasi dengan laktosa atau tidak suka minum susu, banyak sumber kalsium lain yang boleh dipilih.

Ini termasuklah:

>> Produk berasaskan susu seperti yogurt, keju dan aiskrim.

>> Sayuran hijau dan berdaun seperti pak choy Cina, kai lan dan brokoli.

>> Produk berasaskan soya seperti tofu, taufu fah dan tempe.

>> Ikan dengan tulang yang boleh dimakan seperti sardin dalam tin dan ikan bilis.

>> Minuman diperkaya dengan kalsium seperti jus oren, minuman yogurt dan malt.

>> Makanan diperkaya kalsium seperti bijirin sarapan dan biskut.

Kini, apabila pengeluar makanan bersaing untuk memberikan nilai kesihatan yang terbaik kepada pengguna, pasaran dipenuhi dengan produk yang baik untuk kesihatan tulang.

Jadi anda mempunyai banyak pilihan apabila memilih produk yang menepati citarasa anda!

Dapatkan Vitamin D

Satu daripada komponen penting untuk kesihatan tulang yang juga sering diabaikan adalah vitamin D.

Badan kita menghasilkan vitamin D sendiri apabila terdedah kepada cahaya matahari, jadi anda tidak memerlukan suplemen jika anda kerap terdedah kepada cahaya matahari, kecuali disyorkan oleh doktor.

Walaubagaimanapun, Jawatankuasa Penyelaras Makanan dan Pemakanan Kebangsaan mencadangkan mereka yang berkulit gelap untuk mendapatkan lebih pendedahan cahaya matahari kerana pigmen pada kulit gelap boleh mengurangkan penghasilan (sintesis) vitamin D.

Bersenam Untuk Tulang Sihat

Anda juga perlu mendapatkan sebanyak mungkin senaman yang diperlukan untuk menggalakkan pembentukan tulang.

Senaman menahan berat yang memaksa badan membawa berat sendiri melawan graviti adalah paling berkesan untuk membina tulang.

Senaman jenis ini termasuklah berjalan, senamrobik, menaiki tangga dan juga menari.

Menjadi aktif ketika mengandung bukan saja membantu tulang anda tetapi ia turut membuat anda berasa dan kelihatan lebih baik.

Senaman juga boleh mengurangkan sakit belakang, kekejangan dan rasa kembung sambil menambah rasa gembira dan membantu anda tidur lebih lena di waktu malam.

Ia juga meningkatkan aliran darah melalui tulang anda untuk memberikan seri kepada wajah.

Tetapi, dapatkan nasihat doktor dan pakar fisioterapi sebelum memulakan rutin senaman untuk mengelakkan komplikasi kepada kandungan.

Rokok dan Alkohol

Mengamalkan tabiat yang baik saja tidak cukup. Anda juga perlu menghentikan tabiat yang tidak sihat seperti merokok dan mengambil alkohol yang tidak baik untuk bayi, diri sendiri dan juga tulang anda.

Merokok dan pengambilan alkohol boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi kepada perkembangan bayi anda.

Sebaliknya, berikan bayi anda permulaan yang terbaik dalam kehidupan dengan memastikan kesihatan anda terjaga ketika mengandung.

Mengandung adalah perjalanan yang melibatkan banyak susah dan senang. Anda akan sedar - jika anda masih belum sedar, bahawa anda sedang memikul antara tanggungjawab hidup yang paling besar ketika ini.

Tetapi jangan takut, anda akan belajar perlahan-lahan, seperti bakal-bakal ibu lain juga.

Cuma ingat untuk tidak mengabaikan kesihatan tulang anda. Dan bagi perkara yang lain, nikmatilah waktu istimewa dalam peringkat hidup anda ini.

Tulang Sihat dan Menyusu Badan

Menyusu badan adalah pengalaman semula jadi yang boleh menyenangkan buat ibu dan anak.

Ia bukan saja memberikan pilihan khasiat terbaik untuk bayi, tetapi membolehkan ibu dan bayi menjadi lebih rapat.

Tetapi anda perlu ingat bahawa badan ibu juga boleh kehilangan jisim tulang ketika menyusu.

Ini berlaku disebabkan oleh keperluan kalsium bayi yang semakin meningkat, dan biasanya diambil dari tulang ibu.

Satu lagi penyebab kehilangan jisim tulang adalah pengurangan penghasilan estrogen, yang melindungi tulang.

Berita baiknya, kehilangan jisim tulang biasanya diganti dalam masa enam bulan selepas bayi mula mengambil makanan lain.

Tetapi para ibu digalakkan untuk membina dan mengekalkan tulang kuat untuk diri sendiri dan bayi dengan mendapatkan diet yang sihat dan seimbang dengan kalsium dan senaman yang kerap.

Artikel Tulang Sihat Sepanjang Hayat oleh Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur ini disokong oleh geran pendidikan daripada Fonterra Brands (Malaysia) Sdn Bhd dan Rottapharm Madaus.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Jangan Malu Bincang OAB

A sesuatu yang normal sebagai sebahagian daripada proses penuaan," luah pesara guru, Mary, 65. Ada pula yang menganggap ia sebagai perubahan gaya hidup. "Saya selalu tahu di mana tandas berada,'' kata seorang akauntan, David, 50.

Seorang peguam, Ellen, 42 berkata, saya takut menjalinkan hubungan intim."

"Jika saya berjaga malam, saya takut jatuh tetapi jika saya tidak bangun, saya takut katil saya basah," ujar pesara mekanik, George, 76.

Siapakah mereka? Mereka adalah golongan yang tidak sedar tentang penyakit kehilangan kawalan pundi kencing (OAB).

Realitinya, OAB bukan saja boleh merunsingkan, tetapi mungkin boleh memalu dan mengehadkan kehidupan harian individu yang berdepan dengan masalah seumpama itu.

Kebetulan, OAB jarang menjadi perbincangan di kalangan masyarakat tetapi ia sebenarnya mempengaruhi jutaan manusia tidak kira jantina dan umur mereka.

Justeru itu, bagi meningkatkan keprihatinan orang ramai mengenai masalah OAB, beberapa langkah awal perlu diambil bagi membantu pesakit mengatasi perasaan malu mereka.

Antaranya, pesakit perlu digalakkan untuk berbincang mengenai masalah OAB. Selain itu, pesakit perlu dididik bahawa OAB bukan proses penuaan yang normal dan sebaliknya, adalah masalah lazim tetapi memerlukan rawatan perubatan.

Kebanyakan pesakit menguruskan sendiri masalah dihadapi kerana tiada peralatan saringan yang membolehkan OAB dikesan selain mengetahui gejalanya.

Terapi lain termasuklah membuat perubahan terhadap amalan pemakanan dan tingkah laku, menggunakan rangsangan elektrikal, senaman dan maklum balas biologi.

Perubahan terhadap amalan pemakanan antara yang boleh dilakukan ialah mengurangkan minum air pada waktu malam, tidak mengambil kafein dan menambahkan pengambilan serat dalam makanan.

Untuk tingkah laku antara strategi mengawal kebocoran air kencing ialah berhenti dan berdiri tegak, tenang dan rehat badan serta berjalan menuju ke bilik air dalam keadaan biasa

Penasihat Perubatan Pfizer Malaysia dan Singapura, Dr. Mohd Nawi Wahid berkata, kajian yang dibuat di 30 buah klinik swasta Malaysia mendapati 35 peratus pesakit yang mengalami OAB tidak pernah membincangkan simptom mereka dengan doktor.

Beliau berkata, 83 peratus daripada 450 orang yang berumur 30 tahun ke atas masih merasakan OAB boleh diatasi. Manakala 25 peratus lagi beranggapan perkara ini tidak penting.

"Daripada jumlah itu, hanya 14.7 peratus yang didiagnosis mengalami OAB dan 58.8 peratus tidak dapat dikesan kerana masalah mengambil ujian air kencing ketika lawatan semasa," katanya pada sidang media di Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini anjuran Pfizer Malaysia.

Dalam pada itu, Perunding Urologi, Universiti Rome, Itali, Dr. Andrea Tubaro, memberitahu 11 hingga 22 peratus orang dewasa yang berumur 40 tahun ke atas di Eropah, Asia dan Amerika Syarikat menghidap OAB.

Dr. Andrea berkata, kajian menunjukkan OAB turut menyerang golongan muda dan tua.

Hasil kajian turut menunjukkan OAB amat biasa dialami oleh masyarakat dunia berbanding penyakit lain seperti asma, diabetes, alzheimer dan kanser.

Kajian

"Berdasarkan kajian dibuat didapati jumlah perbezaan antara wanita dan lelaki yang mendapatkan rawatan bagi masalah OAB, tidaklah begitu banyak perbezaan.

Bagaimanapun, paling nyata kajian menunjukkan ramai tidak berbincang mengenai masalah kawalan pundi kencing mereka dengan doktor kerana beranggapan tiada apa yang boleh dilakukan ataupun terlalu segan untuk membincangkannya.

"Pesakit wanita misalnya, berasa tidak selesa untuk mendapatkan rawatan dengan doktor lelaki kerana pada masa ini kebanyakan pakar urologi adalah lelaki. Malah, di Barat juga tidak ramai yang tampil untuk mendapatkan rawatan doktor," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan kes OAB yang dikesan oleh doktor bukan ketika individu berkenaan mendapatkan rawatan bagi mengatasi masalah itu, sebaliknya disebabkan pemeriksaan atau masalah untuk penyakit lain.

Dr. Andrea memberitahu, walaupun OAB membuatkan rutin kehidupan individu itu terjejas, masih ramai yang tidak mendapatkan rawatan.

Tanpa disedari pesakit, OAB menyebabkan masa tidur terganggu dan berasa letih kerana terpaksa kerap ke tandas.

Gejala yang dialami oleh lelaki dan perempuan adalah sama tetapi anatomi berbeza. Bagi lelaki, tanda-tanda OAB banyak membawa kepada kelenjar prostat.

"Gejala OAB mungkin bermula sebagai satu masalah ringan. Kekerapan untuk kencing akan meningkat, dan lama kelamaan menjadi terlalu terdesak dan akhirnya menimbulkan gejala inkontinens terdesak yang lebih serius.

"Bagi lelaki pula menahan kencing lebih kerap mungkin boleh menolong memanjangkan masa di antara kekerapan ke tandas, individu juga boleh melakukan senaman untuk melatih semula pundi kencing dan menguatkan otot yang menyokong pundi kencing dan uretra (tiub yang membawa air kencing)" jelasnya.


Ditulis oleh:
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/