Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label dr suhaimi isa. Show all posts
Showing posts with label dr suhaimi isa. Show all posts

Friday, March 07, 2008

Bolehkah Saya Mengandung

SOALAN:
Doktor, saya berumur 31 tahun dan ingin mengandung. Hampir setahun saya mencuba tetapi belum berhasil. Haid saya setiap bulan tiada masalah dan sentiasa tepat pada masa. Tidak pernah terlewat atau terawal.

Untuk pengetahuan doktor, saya pernah melakukan D&C 3 tahun lepas. Apakah yang patut saya lakukan untuk membolehkan saya hamil semula? Adakah kerana D&C menyebabkan saya sukar untuk hamil?

Ieda,
Sungai Petani

JAWAPAN:
Masalah seseorang itu susah untuk hamil boleh berpunca daripada masalah wanita yang biasanya berkaitan dengan masalah ovulasi dan masalah saluran falopian/ peranakan. Bagi lelaki pula ialah masalah sperma.

Mengikut cerita puan yang tidak mempunyai masalah haid maka saya beranggapan ovulasi berlaku setiap bulan. Bagi seseorang yang mempunyai pusingan haid yang tetap setiap 28 hari, maka waktu ovulasi atau telur keluar adalah pada hari ke 14 haid. Saluran falopian boleh tersumbat bila jangkitan kuman terjadi akibat daripada D & C. Oleh itu saya syorkan elok dilakukan ujian menentukan sama ada saluran falopian puan tersumbat atau tidak.

Ujian ini memerlukan puan berjumpa doktor pakar. Lagipun sudah setahun puan berumah tangga dan umur sudah mencecah 30-an, maka puan tidak perlu membuang masa kerana kesuburan puan akan menurun setiap tahun. Saya berpendapat masih ada masa dan harapan untuk puan beroleh cahaya mata. Semoga berjaya.


Ditulis oleh:

Dr Suhaimi Isa
Pakar Sakit Puan,
Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Sindrom Ovari Plcystic

SOALAN:
Doktor, saya telah berkahwin selama tiga tahun dan sehingga kini belum menunjukkan tanda-tanda kehamilan.

Saya memang teringin untuk menimang cahaya mata seperti pasangan berkahwin lain tetapi rezeki masih belum memihak kepada saya.

Bermacam-macam usaha yang telah dibuat seperti berjumpa bidan dan doktor. Kitaran haid saya pula normal setiap bulan.

Saya juga mengambil Clomid untuk beberapa bulan sebelum ini.

Tetapi sesetengah doktor tidak menggalakkan saya mengambil pil Clomid.

Setelah membuat pemeriksaan, doktor mendapati saya menghidap Sindrom Ovari Plcystic (PCOS).

Doktor mengatakan telur yang terhasil pada setiap bulan tidak dapat keluar dari ovari, oleh itu kehamilan tidak berlaku.

Doktor juga meminta saya mengurangkan berat badan yang kini adalah 58 kilogram dengan ketinggian 158sm, sedangkan saya tidak dalam kategori gemuk dan BMI saya normal.

Doktor memberi ubat metformin bagi menyelesaikan masalah saya ini. Bagaimanapun, selepas tiga bulan mengambil metformin, saya masih belum hamil.

Saya ingin tahu mengapa PCOS berlaku dan apakah risiko yang dihadapi pesakit? Bagaimana cara mengubatinya dan adakah saya masih mempunyai peluang untuk mengandung?

Anis,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
Bagus sekiranya puan dapat mengekalkan BMI puan kerana sebarang masalah kesuburan atau rawatannya ada kaitan rapat dengan BMI. Obesiti menjadikan seseorang itu kurang subur dan rawatan seperti metformin atau clomiphine kurang berkesan.

PCOS adalah ‘penyakit’ pada ovari di mana terdapatnya folikel-folikel (seperti sista-sista kecil) di sekeliling dinding ovari. Ini berpunca dari folikel-folikel yang tersangkut dan tidak hilang semasa kitaran haid setiap bulan. Terdapat juga gangguan hormon-hormon androgen (hormon lelaki) yang mengganggu pembesaran-pembesaran telur dari ovari. Pengambilan metformin dapat membantu gangguan hormon androgen ini dan boleh menyebabkan ovulasi (telur keluar) setiap bulan. PCOS tidak mempunyai rawatan yang khusus untuknya. Rawatan PCOS lebih fokus kepada masalah yang dihadapi oleh pesakit seperti masalah haid dan kemandulan.

Memandangkan puan telah mengambil clomiphine dan metformin lebih dari 6 bulan tanpa ada tanda-tanda, maka saya syorkan puan berjumpa pakar untuk rawatan selanjutnya seperti ‘Intrauterine Insemination’. Ini memerlukan induksi kesuburan dengan menggunakan suntikan hormon sekiranya clomiphine tidak berjaya. Peluang untuk mengandung masih dalam lingkungan 25% hingga 30 %.


Ditulis oleh:

Dr Suhaimi Isa
Pakar Sakit Puan,
Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Mengandung Pada Usia Lewat

SOALAN:
Doktor, saya kini berusia 42 tahun, saya berkahwin pada Jun 2006 dan selamat melahirkan seorang bayi lelaki yang sihat pada Februari lalu.

Kelahiran itu dilakukan melalui pembedahan kerana terdapat masalah dengan uri bayi.

Bolehkah saya mengandung lagi memandangkan usia saya dan pembedahan yang dilakukan sebelum ini?

Benarkan tempoh untuk mengandung semula selepas pembedahan adalah dua tahun ke atas?

Untuk pengetahuan doktor, saya sihat sepanjang mengandung, sebelum dan selepas berkahwin.

Ibu,
Petaling Jaya

JAWAPAN:
Tahniah dan alhamdulillah puan mendapat seorang cahaya mata yang normal pada usia 42 tahun walaupun secara pembedahan caesarean.

Sebelum saya menjawab sama ada puan boleh atau tidak mengandung lagi, ada beberapa risiko yang puan terpaksa hadapi bila mengandung di usia 40-an.

Pertama ialah risiko anak puan mendapat Sindrom Down. Nisbah yang kami selalu gunakan ialah 1 dalam 80 hingga 100 pada usia 40. Ini berpunca dari usia telur yang telah “berumur” maka berkemungkinan mengalami kecacatan genetik. Tiada cara pencegahannya kecuali melakukan keguguran. Kami menasihat isteri berumur 40-an yang hamil melakukan ujian Sindrom Down. Ujian ini melibatkan imbasan ultrasound dan ujian darah seawal usia janin antara 10 hingga 12 minggu. Ujian-ujian ini boleh mencapai ketepatan 80 hingga 85 peratus.

Keduanya ialah risiko masalah kesihatan seperti darah tinggi, kencing manis dan lain-lain lagi. Perkara ini tidaklah sukar kerana terdapat kaedah-kaedah rawatannya. Maka tentukan puan tidak mengalami masalah perubatan yang boleh membahayakan puan semasa mengandung dengan melakukan pemeriksaan doktor. Oleh kerana puan tidak mengalami apa-apa masalah perubatan pada kandungan pertama maka saya rasa tidak menjadi masalah dari segi kesihatan.

Ketiganya, kandungan di peringkat lewat usia, terdapat beberapa masalah dari segi obstetrik seperti risiko keguguran atau kelahiran pramatang. Masalah tumbesaran janin terbantut juga adalah lebih tinggi sedikit. Pembedahan caesarean dahulu juga boleh menyebabkan kenaikan risiko kejadian uri bawah atau placenta praevia.

Jadi kesimpulannya, puan boleh cuba mengandung semula tetapi puan dan suami perlu bersedia menghadapi sedikit risiko Sindrom Down dan sanggup melakukan ujian-ujian tersebut bagi menentukan janin itu tidak mengalami ‘kecacatan genetik’. Di samping itu kemungkinan kejadian uri bawah sekali lagi dengan kandungan kedua juga adalah tinggi. Walaupun pembedahan pernah dilakukan, puan masih boleh melahirkan anak secara normal jika tiada masalah lain. Memandangkan usia semakin meningkat tidak perlu dan tidak sesuai puan menunggu sehingga 2 tahun lagi untuk mengandung anak kedua.


Ditulis oleh:

Dr Suhaimi Isa
Pakar Sakit Puan,
Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/