Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label kesihatan jantung. Show all posts
Showing posts with label kesihatan jantung. Show all posts

Friday, September 28, 2012

Inovasi Implan Stent Untuk Jantung


Siti, dalam usia 50-an, sentiasa sibuk dengan tugas beliau sebagai seorang ketua pegawai eksekutif untuk sebuah syarikat. Terlalu sibuk hinggakan tidak mempunyai masa untuk menjaga kesihatan diri.

Pada suatu pagi, sewaktu beliau hendak ke pejabat, Siti mengalami rasa sakit dada yang amat sangat dan akhirnya dia terus tidak sedarkan diri.

Apabila pulih dan sedar semula, Siti mendapati dirinya berada di hospital. Apakah yang telah berlaku?

“Siti, anda telah mengalami serangan jantung dan disahkan menghidap penyakit jantung koronori (CAD). Kami mendapati saluran darah jantung anda menjadi sempit. Anda perlu rawatan segera untuk mengelak komplikasi yang lebih teruk," terang doktor.

Arteri Siti iaitu saluran darah yang membawa darah mengandungi oksigen keluar dari jantung untuk mengalir ke seluruh badan menjadi sempit disebabkan pembentukan plak pada bahagian dalam dinding arteri.

Halangan ini menyebabkan kekurangan pengaliran darah yang membawa oksigen ke jantung yang mengakibatkan sakit dada, degupan jantung tidak tetap (arrhythmias), serangan jantung dan mungkin maut.

Untuk merawat CAD, stent membebaskan ubat (perancah) dimasukkan ke dalam saluran darah. Implan ini direka khas bagi membantu melebarkan saluran darah untuk pengaliran darah yang lebih lancar ke jantung.

Teknologi perubatan terkini menemui Absorb™ BVS, iaitu satu-satunya stent pembebasan ubat (DES) bukan-metalik.

Uniknya, BVS menggunakan teknologi inovatif syarikat, dihasilkan daripada polylactide, sejenis bahan yang biasanya digunakan dalam bidang perubatan seperti benang jahitan pembedahan mudah larut.

Memandangkan ia daripada bahan semulajadi, BVS selamat digunakan sebagai implan kerana ia akan habis larut setelah dua tahun dan diserap semula ke dalam tubuh.

Menurut Ketua Jabatan Kardiologi di Institut Jantung Negara, Datuk Dr. Rosli Mohd. Ali, ciri istimewa ini membezakan Abbott BVS dengan stent pembebasan ubat (DES) metalik yang konvensional.

Selain itu, BVS mengandungi stent metalik yang dimasukkan ke dalam saluran darah jantung pesakit dan meninggalkan implan kekal dalam badan pesakit.

“BVS bersifat bioresorbable, bermaksud ia akan larut secara beransur-ansur (dalam masa lebih kurang dua tahun). Salur darah yang dirawat boleh kembali ke keadaan semulajadinya. Ia turut mengembalikan keanjalan semulajadi dan pergerakan saluran darah. Dalam jangka masa panjang, BVS berpotensi mengurangkan keperluan pesakit untuk mengulangi prosedur tersebut atau menjalani pembedahan pintasan jantung (bypass)," jelas beliau pada sidang media memperkenalkan BVS oleh Abbott Laboratories (M) Sdn Bhd (Abbott) baru-baru ini.

Tambah Dr. Rosli, faktor ini menyebabkan prosedur BVS paling sesuai untuk pesakit muda atau yang mendapat rawatan untuk kali pertama.

“ Pada masa ini, masih tidak terdapat jenis stent yang sesuai untuk golongan pesakit ini. Oleh itu, BVS membantu doktor menawarkan pilihan rawatan yang lebih luas sebagai pencegahan pada masa depan," tambahnya.

Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah  

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Saturday, July 21, 2012

Larian Maraton Rosakkan Jantung

Sebelum ini ramai yang percaya bahawa jika kita melakukan aktiviti olahraga secara teratur, kita dapat dapat mengekalkan kesihatan tubuh. Namun, terdapat beberapa aktiviti kecergasan yang perlu diberi perhatian kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan.
Kajian oleh Universiti Melbourne, Australia baru-baru ini mendapati mereka yang melakukan aktiviti ekstrem seperti larian maraton dan memanjat gunung mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap penyakit jantung.
Dalam kajian ke atas 40 orang atlet, pengkaji mendapati mereka yang aktif melakukan sukan tersebut menunjukkan tanda-tanda kerosakan pada bahagian ventrikel kanan jantung dan kerosakan fibrosis pada otot jantung.
Penemuan tersebut disiarkan di dalam European Heart Journal.


Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my/

Monday, October 03, 2011

Kesesakan Cetus Serang Jantung?

Kesesakan lalu lintas sememangnya tidak dapat dielakkan apatah lagi dengan pertambahan bilangan kenderaan di atas jalan raya.

Berhadapan dengan keadaan ini boleh membuatkan tahap tekanan atau stres anda melonjak.

Selain degupan jantung yang cepat dan badan banyak berpeluh, lain-lain tanda amaran stres termasuklah loya, bernafas kencang, cirit-birit dan terasa hendak membuang air kecil, sejuk kaki dan tangan, berubah selera makan (tidak lalu makan atau makin bertambah), keinginan seks menurun, sakit-sakit badan yang tidak diketahui puncanya, tidak dapat menumpukan perhatian dan gangguan tidur.

Cuba bayangkan setiap hari kita berhadapan dengan kesesakan lalu lintas, tanpa disedari anda mula stres dan simptom-simptom tersebut muncul.

Anda juga bakal berhadapan dengan pembunuh senyap atau kematian mengejut akibat serangan jantung.
Risiko

Kesesakan lalu lintas mengakibatkan kepekatan karbon monoksida meningkat di udara dan ini menyebabkan otot jantung kekurangan oksigen. Stres atau tekanan perasaan juga menyebabkan kadar denyutan jantung meningkat. Pemandu pula hilang kawalan emosi hingga tercetusnya perasaan marah dan ‘mengamuk’.
Satu kajian baru-baru ini menunjukkan kesesakan lalu lintas mempunyai kaitan dengan risiko serangan jantung.

Penyelidikan yang melibatkan 1,500 kes serangan jantung itu dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Jerman dan Amerika Syarikat (AS).

Menurut kajian itu, mereka yang berdepan dengan kesesakan trafik tidak kira sama ada pemandu, penumpang, penunggang motosikal atau pengguna pengangkutan awam akan mengalami risiko serangan jantung tiga kali ganda lebih daripada keadaan biasa.

Kebanyakan kes yang diteliti menunjukkan tempoh satu jam pertama kesesakan trafik sudah cukup untuk meningkatkan risiko itu.

Kajian oleh Institut Epidemologi Helmholtz dan Sekolah Kesihatan Awam Universiti Havard itu juga mendapati suku daripada kes yang dipantau melibatkan wanita berusia sekitar 60-an.

Pemandu kereta yang terperangkap dalam kesesakan merupakan kelompok utama yang terdedah kepada serangan jantung.

Merangsang

Dalam konteks ini, keadaan stres sama ada akut atau kronik meningkatkan risiko penyakit jantung. Pada seseorang yang menghidapi penyakit jantung, stres akut boleh mencetuskan serangan jantung (infarksi miokardium).

Stres yang berlarutan atau kronik akan meningkatkan risiko penyakit jantung. Ia merangsang penyakit tekanan darah, dinding saluran darah menebal, merangsang mendapan lemak dan sel darah beku pada dinding saluran darah.

Selain itu, hormon adrenalin yang meningkat menyebabkan kadar degupan jantung turut bertambah, dinding jantung menebal serta merangsang peningkatan insulin yang boleh menebalkan dinding saluran darah.
Tidak ketinggalan peningkatan hormon CRP dan homosistein semasa stres turut menyumbang kepada risiko sakit jantung koronari dan serangan jantung.

“Apabila seseorang stres, ia boleh memberi kesan kepada saluran darah dan meningkatkan aras gula dalam badan. Keadaan ini merupakan risiko kepada serangan jantung hingga boleh menyebabkan kematian mengejut dan kemalangan jalan raya.

Secara amnya, kita melihat ramai yang stres akibat kesesakan lalu lintas. Pendek kata, kita harungi kehidupan moden ini bersama stres, kebimbangan dan kekecewaan yang mana adunannya cukup menekan, menjadi sebahagian daripada rutin seharian.
Bagaimanapun, tekanan luar biasa yang berpanjangan mempunyai kesan-kesan psikologi negatif dan menjejaskan fungsi jantung , sistem penghadaman dan rangka otot.

Justeru itu, setiap orang perlu bijak mengawal perasaan setiap kali berhadapan dengan keadaan yang boleh menyebabkan stres. ‘‘Ia bukan sahaja berpunca daripada keadaan jalan raya, malah masalah kewangan, tempat kerja, keluarga dan sebagainya boleh menyumbang stres,” jelas Pakar Kardiologi Pusat Pakar Perubatan KPJ Tawakkal, Dr. Zul Hilmi Yaakob.

Rokok punca utama

Bercerita lanjut, Dr. Zul Hilmi memberitahu, serangan jantung bukanlah punca utama kemalangan di jalan raya. Secara kebetulan, banyak kes serangan jantung ketika memandu menyebabkan kematian dan kemalangan.

“85 peratus kemalangan jalan raya disebabkan alkohol, pemanduan individu itu sendiri dan menggunakan telefon atau khidmat pesanan ringkas (sms) ketika memandu. Namun, orang ramai perlu bersedia dan berhati-hati sekiranya serangan jantung berlaku sama ada ketika kesesakan lalu lintas atau jalan raya tenang kerana ia bukan sahaja membahayakan diri pemandu tetapi turut membahayakan penumpang lain,” ujarnya.
Kebiasaannya, seseorang yang mendapat serangan jantung tidak akan dibenarkan memandu selama empat minggu.

Berbeza pula kes mereka yang merokok ketika memandu terutamanya untuk bagi perjalanan jarak jauh.
“Keadaan ini banyak berlaku. Ramai pemandu merokok untuk hilangkan mengantuk ketika memandu balik kampung pada musim perayaan atau berhadapan dengan kesesakan lalu lintas. Tidak kurang pula yang merokok kerana stres apabila jalan raya mulai sesak.

‘‘Dalam diam, rokok sebenarnya meningkatkan kolestrol dan serangan jantung mengejut. Justeru itu, amalan ini sebenarnya perlu diubah kerana ia membahayakan pemandu dan penumpangnya,” katanya.

Panduan

Jika berasa sakit dada ketika memandu, Dr. Zul Hilmi menyarankan berhenti memandu dan segera meminta bantuan penumpang yang lain untuk membawa anda ke hospital. Sebaliknya, sekiranya anda memandu sendiri, segera berhenti daripada memandu kereta.

Di Malaysia, 15 hingga 20 peratus pesakit meninggal dunia selepas mendapat serangan jantung. Berbeza dengan negara maju, kematian hanya lima hingga sembilan peratus.

“Statistik ini disebabkan ramai pesakit lewat datang ke hospital, lewat didiagnosis dan lambat mendapatkan rawatan selepas mendapat serangan jantung secara tiba-tiba.

‘‘Justeru itu, orang ramai yang mendapat sakit dada ketika memandu tidak kira dalam apa jua keadaan lalu lintas, perlu bertindak segera iaitu berjumpa doktor dan membuat pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Menyentuh tentang pemandu kenderaan komersial seperti bas, Dr. Zul Hilmi menyaran agar individu yang ingin mendapatkan lesen tersebut perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.

Setakat ini katanya, belum ada undang-undang dikuatkuasa untuk memastikan pemandu bas perlu bebas daripada penyakit jantung.

Dalam pada itu, Pusat Pakar Perubatan KPJ Tawakkal yang terletak di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur mengadakan program khusus sempena Hari Jantung Sedunia 2011 yang berlangsung semalam. Antara aktiviti yang dilakukan adalah ceramah kesihatan berkaitan jantung dan pemeriksaan asas kesihatan secara percuma.

Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah 
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Tuesday, May 17, 2011

Mati Pucuk Tanda Awal Sakit Jantung?



SOALAN
Benarkah mati pucuk atau istilah perubatannya dysfunctional erection (ED) adalah simptom awal bagi penyakit kardiovaskular? Setahu saya ia lazimnya dikaitkan dengan kencing manis, hipertensi, kolesterol tinggi dan penyakit jantung.

Rahim,
Kuala Lumpur.

JAWAPAN:
Saudara Rahim,

Penyakit-penyakit yang saudara senaraikan adalah penyakit berkaitan kardiovaskular. Memang telah terbukti bahawa disfungsi ereksi (erectile dysfunction, ED) boleh menjadi tanda awal penyakit jantung.

Proses ereksi berlaku apabila darah memasuki saluran-saluran darah di zakar. Kalau dilihat secara logiknya, saluran darah ke zakar adalah jauh lebih kecil berbanding dengan saluran darah ke jantung. Proses penyumbatan saluran darah berlaku lebih awal di saluran darah di zakar yang menyebabkan ED.

Jadi, pastikan saudara mendapatkan rawatan awal doktor jika mengalami ED untuk memastikan saudara tidak mengalami masalah kesihatan seperti yang disenaraikan oleh saudara di atas.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Sunday, May 01, 2011

Pengembalian Denyutan Jantung Secara Spontan

Hari itu Dr. Azar Azman Abu Bakar pergi kerja seperti biasa. Pagi-pagi lagi dia mempunyai kes kecemasan. Seorang pesakit diserang jantung di rumah dan setibanya di Unit Kecemasan pesakit didapati tidak mempunyai denyut nadi dan tekanan darah yang tidak boleh dikesa. Dr. Azar dan pasukannya melakukan resusitasi kardio-pulmonari (CPR). Selepas melakukan CPR melebihi setengah jam didapati pesakit itu tidak menunjukkan reaksi denyutan jantung dan tekanan darah.

"Setelah memastikan apa-apa informasi klinikal pesakit, saya dan pasukan saya berpendapat secara klinikalnya pesakit telah meninggal dunia.

Saya mengambil keputusan memberitahu isteri dan keluarga bahawa suaminya sudah meninggal dunia. Belum sempat saya membuka mulut, saya dipanggil oleh jururawat untuk melihat keadaan pesakit. Ketika itu, saya melihat adanya aktiviti gelombang jantung dan tekanan darah dapat dikesan semula walaupun amat rendah. Kami saling berpandangan dan masing-masing berharap pesakit mungkin boleh diselamatkan dan ubatan tertentu terus dimulakan dan persiapan untuk dihantar ke ICU dilakukan.

Namun nyawanya hanya mampu bertahan kurang dari sepuluh minit. Selepas itu, dia disahkan meninggal dunia," ujar Pakar Kardiologi dan Perubatan Hospital Pusrawi, Dr. Azar ketika diminta mengulaskan sindrom Lazarus.

Sejarah

Menurut Dr. Azar, dari segi bahasa saintifik, Lazarus dikenali sebagai pengembalian sirkulasi darah secara spontan- ROSC (Return Of Spontaneous Circulation) selepas prosedur CPR dipersetujui diberhentikan apabila difikirkan CPR tidak berjaya.

Namun katanya, fenomena Lazarus sudah lama wujud dan disebut dalam sejarah peradaban manusia.
"Cerita Lazarus diambil daripada kitab Bible. Dikatakan seorang yang bernama Lazarus dihidupkan kembali oleh Nabi Isa empat hari selepas kematiannya. "Dalam sejarah perubatan pula, kes fenomena Lazarus pertama dilaporkan pada tahun 1982 manakala penggunaan istilah fenomena Lazarus diperkenalkan oleh Bray pada tahun 1993," jelasnya.

Dr. Azar memberitahu, pada tahun 1800an, wujudnya golongan yang menulis dalam wasiat mereka agar waris memastikan jika mereka betul-betul meninggal dunia dengan menuangkan cecair panas atau menoreh kulit mereka.

"Wasiat ini timbul kerana mereka takut kejadian ditanam hidup-hidup. Pada tahun 1897, keranda khas yang mempunyai sistem loceng dan bendera diperkenalkan bertujuan sekiranya mereka tiba-tiba hidup di dalam keranda, mereka boleh menekan loceng tersebut. Bahkan persatuan (Society for the Prevention of Burial Before Death) ada diwujudkan," ujarnya.

Kategori Lazarus
Dr. Azar menjelaskan terdapat beberapa kategori tema-tema Lazarus yang diguna pakai di seluruh dunia. Fenomena Lazarus juga ada diguna pakai pada penerima buah pinggang yang dianggap tidak selamat tetapi selepas itu berjaya.

Kompleks Lazarus
>> Ia merupakan kesan sampingan psikologi iaitu orang yang terselamat daripada pengalaman hampir kematian (misalnya semasa kemalangan yang teruk).

Sindrom Lazarus
>> Kebiasaannya melibatkan kanak-kanak pediatrik (kes-kes yang dianggap akan meninggal tetapi kemudiannya menjadi stabil).

Tanda-tanda Lazarus
>> Pesakit yang kematian otak atau kecederaan saraf tunjang tetapi ada pergerakan secara spontan.
Kesan Lazarus
>> Spesis haiwan tertentu yang sepatutnya dah pupus tetapi didapati masih wujud.
Primonasi Lazarus
>> Keadaan sementara seperti telah sihat pada pesakit terminal. Fenomena ini sebenarnya telah diketahui agak lama kerana dalam sejarah Cina 1000 tahun yang dulu pun ada perkataan " Hui Guang Fan Zhao" yang bermaksud "pantulan cahaya dari matahari terbenam" digunakan.

Pil Lazarus
>> Penggunaan pil zolpidem untuk mereka yang koma ada menunjukkan respons saraf yang sebentar.
Serangan jantung

Mengikut pemerhatian majoriti fenomena Lazarus terjadi pada pesakit yang mengalami serangan jantung atau masalah paru-paru (COPD).

Dr. Azar menambah, kes-kes trauma atau terlebih dos dadah juga terdapat fenomena Lazarus.

"Dalam kes serangan jantung contohnya, disosiasi elektromekanik (electromechanical dissociation/EMD) menunjukkan tiada tanda nadi dan tekanan darah tetapi ada gelombang jantung (ECG)," katanya.

Majoriti kes-kes fenomena Lazarus yang dilaporkan menunjukkan tanda-tanda pesakit hidup kembali dalam tempuh sepuluh minit selepas CPR diberhentikan.

Ada juga fenomena yang dilaporkan selepas beberapa jam CPR diberhentikan.

Dr. Azar memberitahu berdasarkan kes-kes yang dilaporkan, kurang daripada satu pertiga akan terus hidup secara normal tanpa sebarang masalah saraf.

Laporan media

19 Disember 2000 /12 Ogos 2002 di Eropah.
Ada mayat yang bangun dalam peti sejuk bilik mayat.
19 Januari 2004 di India
Pesakit yang disahkan mati didapati mayatnya telah hilang dari hospital .
Saintifik
Dr. Azar menjelaskan antara pendapat yang diguna pakai untuk menjelaskan Fenomena Lazarus;

1. Auto PEEP (Positive End Expiratory Pressure)
Semasa melakukan CPR; Lazarus dikatakan terjadi apabila oksigen yang diberi terlalu cepat atau banyak dalam paru-paru. Akibatnya gas dalam paru-paru terperangkap (gas trapping) dan dada mengembang (dynamic hyperinflation) menyebabkan bertambahnya PEEP.

Ini mengakibatkan darah vena kurang kembali ke jantung dan menurunkan keluaran darah yang dipam oleh jantung. Seterusnya menyebabkan jantung berhenti (cardiac arrest)

Selepas berhenti CPR, PEEP berkurang dan seterusnya memungkinkan jantung berdenyut kembali.
Ada juga yang mencadangkan selepas berhenti melakukan CPR, pesakit harus diperhatikan selama 10 minit sebelum disahkan mati.

2- Ubat-ubatan ketika CPR lambat bertindak dan ini memungkinkan reaksi tubuh lambat bertindak.
3- Garam potasium dalam sel jantung terlalu tinggi.
4- Jantung berhenti sekejap disebabkan oleh iskemia (cardiac stunning)

Walaupun fenomena Lazarus bukan baru, sekiranya berlaku ada kemungkinan para paramedik berhadapan dengan tuduhan tidak melakukan CPR secukupnya.

"Kebiasaannya kita akan melakukan CPR untuk tempoh sekurang-kurangnya setengah jam dan bergantung kepada keadaan tertentu, CPR akan dilakukan lebih lama untuk kes-kes pediatrik, keracunan dadah, hipotermia, lemas dan sebarang indikasi tertentu," katanya.

(Petikan daripada Journal of The Royal Society of Medicine).

Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah   
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Friday, January 21, 2011

Risiko Sakit Jantung Bagi Penonton TV

Menghabiskan masa berlebihan di depan televisyen atau skrin komputer meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular dan mati awal, walaupun individu tersebut dari kategori yang rajin bersenam.
Itu adalah penemuan yang diperoleh dari Jurnal Kolej Kardiologi Amerika isu Januari 2011.

Data menunjukkan, berbanding dengan individu yang menghabiskan masa kurang dari dua jam menonton televisyen untuk hiburan seperti menonton rancangan televisyen, menggunakan komputer atau bermain permainan video, mereka yang menggunakan lebih daripada empat jam untuk tujuan yang sama mempunyai risiko dua kali ganda untuk terlibat dalam masalah kardiologi yang seringkali dirujuk ke hospital dan kematian atau kedua-duanya sekali.

Penyelidikan tersebut merupakan julung kali dibuat dan ia mengaitkan masa menonton televisyen dan risiko maut akibat kardiovaskular.

Kajian ini juga mencadangkan faktor metabolik dan keradangan berkait dengan tabiat duduk lama dan risiko kesihatan jantung.

"Orang yang menghabiskan masa berlebihan di depan skrin seperti menonton televisyen akan mempunyai kebarangkalian untuk mati secara tiba-tiba dan menderita masalah berkaitan kesihatan jantung.

"Analisis kami juga mencadangkan mereka yang menghabiskan masa dua jam ke atas setiap hari di depan skrin meletakkan dirinya berisiko untuk mendapat penyakit berkaitan jantung," ujar Dr. Emmanuel Stamatakis, dari Jabatan Epidemiologi dan Kesihatan Awam, Kolej Universiti London, United Kingdom.
Malah risiko kematian bagi mereka yang menghabiskan masa lebih empat jam menonton skrin hiburan meningkatkan sebanyak 125 peratus, berbanding 48 peratus bagi mereka yang cuma menghabiskan masa kurang dua di depan televisyen.

Tabiat tersebut meningkatkan risiko serangan penyakit berkaitan tekanan darah tinggi, Indeks Jisim Badan (BMI) dan penyakit-penyakit berkaitan merokok.

Penemuan ini turut mencadangkan pengamal kesihatan awam membuat garis panduan dengan menganjurkan gerakan-gerakan senaman ringkas dan cara duduk yang betul terutama pada individu berumur dan menghabiskan banyak masa secara tidak aktif.

Antaranya seperti membongkok di bawah meja atau komputer.

"Ini sebenarnya tentang tabiat. Kita macam sudah diprogram, balik rumah terus tekan suis televisyen dan duduk sehingga berjam-jam lamanya. Memanglah ia satu perkara yang seronok dan senang dibuat, tapi ketahuilah dengan tabiat seperti itu memburukkan kesihatan jantung dan kesihatan anda secara keseluruhannya," ujar Dr. Stamatakis.

Satu lagi penemuan hasil kajian yang disiarkan dalam jurnal tersebut ialah, duduk dalam masa yang lama akan mempengaruhi tubuh badan manusia sama ada dalam jangka masa panjang atau pendek.

Penyelidik juga akan mencari formula bagaimana untuk mengubah suai kehidupan demi mengurangkan masa duduk dan meningkat pergerakan dan senaman.

Secara umumnya, kajian tersebut telah melibatkan seramai 4,512 orang dewasa yang juga merupakan responden daripada Kajian Kesihatan Scotland 2003.

Sejak tahun tersebut sejumlah 325 kematian daripada pelbagai punca dan 215 penyakit berkaitan jantung terjadi sepanjang tempoh purata 4.3 tahun kaji selidik.

Waktu menonton yang diukur dalam kajian ini termasuk mereka yang suka menonton DVD/TV, permainan video dan termasuk menggunakan komputer untuk tujuan berhibur.

Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah  Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Monday, January 17, 2011

Pesakit Jantung Muda Meningkat

Ramli dalam usia lewat 30-an sentiasa sibuk dengan tugasnya sebagai ketua pegawai eksekutif untuk sebuah syarikat. Terlalu sibuk hinggalah tidak mempunyai masa untuk menjaga kesihatan diri.

Pada suatu pagi, sewaktu Ramli hendak ke pejabat, dia mengalami rasa sakit dada yang amat sangat. Rasa sakit itu menyebabkan dia sukar bernafas dan tiba-tiba pitam.

Apabila Ramli pulih dan sedar semula, dia mendapati dirinya berada di hospital. Apakah yang telah berlaku?
“Ramli, anda telah mengalami serangan jantung . Saya dapati serangan jantung berpunca daripada tabiat merokok anda,” terang doktor.

Kisah Ramli adalah lazim bagi kebanyakan penghidap sakit jantung tetapi belum lagi didiagnosis. Oleh yang demikian, mereka menjalani kehidupan harian tanpa menyedari bahawa mereka sedang menghidap penyakit ini.

Kebanyakan pesakit mungkin dengan secara tiba-tiba diserang dengan gejala-gejala terkejut seperti sesak nafas, sakit dada atau debaran jantung .

Biasanya selepas ini berlaku, barulah mereka bergegas berjumpa doktor dan diberitahu apa yang mereka alami sebenarnya merupakan gejala-gejala sakit jantung.

Sejak akhir-akhir kebanyakan kes jantung turut menyerang orang muda hingga menyebabkan kematian mengejut.

Misalnya, berita kematian pelakon popular, Mohd. Faisal Yusup, 33 yang dipercayai diserang sakit jantung membuatkan orang ramai terfikir, betapa jahatnya penyakit jantung.

Pendek kata, sakit jantung kini tidak lagi berperangai ala-ala gadis sunti yang malu-malu seperti mana pernah dipertontonkannya dahulu.

Ia bukan lagi penyakit pak cik, mak cik. Bukan juga ia menyerang orang-orang kaya sahaja. Sila buang tanggapan anda bahawa ia jarang-jarang membunuh seperti tabiatnya sebelum ini.
Wabak ini juga dikatakan menjadi semakin kerap menyerang golongan muda.

Meningkat

Menurut kajian Unit Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang dijalankan Perunding Kardiologi PPUM, Dr. Ahmad SyadiMahmoos Zuhdi, 20 peratus pesakit jantung terdiri daripada mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.

Hasil kajian juga menunjukkan lebih 95 peratus terdiri daripada lelaki.
Pakar Perunding Kardiologi, Pensyarah Kanan PPUM, Dr. Zul Hilmi Yaakob memberitahu, kajian itu bertujuan membuat perbandingan antara statistik pesakit muda dan tua.

Statistik itu menunjukkan pesakit yang berumur 40 tahun ke bawah meningkat.
“Kebanyakan pesakit mempunyai gaya hidup yang tidak baik termasuk aktif merokok. Pesakit juga tidak tahu bahawa mereka menghidap sakit jantung sehinggalah pemeriksaan dibuat.

Ada juga pesakit menganggap sakit dada sebagai penyakit biasa kerana tidak menyangka ia sebenarnya sakit jantung sebab umur masih muda,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai menjalankan gaya hidup sihat, berhenti merokok dan segera membuat pemeriksaan di bahagian kecemasan hospital jika tiba-tiba mengalami sakit dada.

Sementara itu, menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, akibat tidak bersenam dan gagal mengamalkan gaya hidup sihat dipercayai menjadi faktor bilangan penghidap penyakit jantung yang baru mencecah sehingga 38,000 orang setiap tahun.

Jumlah tersebut menggambarkan penyakit jantung sebagai penyumbang kematian terbesar di hospital-hospital kerajaan iaitu 7,597 kematian atau sebanyak 16.54 peratus daripada keseluruhan 45,936 jumlah kematian yang dicatatkan pada 2008.

Di Malaysia terdapat seramai 141 orang menghidap penyakit jantung koronari bagi setiap 100,000 orang setiap tahun iaitu bersamaan 38,000 kes baru setiap tahun.

Pemeriksaan kesihatan

Terdapat beberapa simptom jika seseorang itu diserang sakit jantung, antaranya ialah:
* Rasa tidak selesa pada dada. Pesakit seolah-olah merasakan ada sesuatu yang menekan.
* Rasa sakit ini kemudiannya menular ke leher seolah-olah ada sesuatu yang mencekik.
* Rasa lenguh pada lengan terutama ketika bekerja atau melakukan sesuatu aktiviti, bagaimanapun rasa lenguh ini akan hilang apabila pesakit berehat
* Sukar bernafas seolah-olah ada sesuatu yang menikam pada dada
* Pedih perut iaitu seperti ada angin atau menghidap gastrik.
* Kepala berpusing
* Badan lemah serta berpeluh sejuk.

Dr. Zul Hilmi menasihatkan agar mereka yang mempunyai simptom-simptom tersebut supaya tidak membiarkan sehingga ke peringkat yang serius.

“Hampir sebahagian besar pesakit tidak mengendahkan simptom-simptom tersebut dengan alasan ia tidak serius. Apa yang perlu, jika anda mengalami simptom tadi, lakukan pemeriksaan kesihatan segera,” jelasnya.
Bagaimanapun, sikap tersebut merugikan kerana rawatan yang diberikan bergantung kepada tahap serius penyakit yang dihidapi.

Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah   
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Wednesday, August 18, 2010

7 Langkah Jantung Sihat

Risiko penyakit jantung bermula sejak kecil dan tabiat buruk menjadikannya lebih teruk. Penyakit jantung adalah penyakit senyap. Tiba masanya akan wujud simptom - sama ada serangan jantung atau strok - ia sudah terlambat," kata Pakar Perunding Kardiologi Datuk Khoo Kah Lin, Pengarah Yayasan Jantung Malaysia (YJM) dan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Mengulas lanjut, beliau berkata: "Melalui Program 'Jantung Sihat' YJM yang disokong oleh Quaker, kami menggesa ibu bapa memberi komitmen dalam mengamalkan gaya hidup sihat supaya menjadi teladan kepada anak-anak.

"Itulah hadiah terbaik yang anda boleh berikan kepada mereka."

Berikut tujuh langkah terbaik untuk menjadi teladan yang baik kepada anak-anak.

1. Berikrar

Ikrar adalah sumpah untuk tidak melakukan suatu perkara. Dalam kes ini bermaksud anda ingin menjalani gaya hidup sihat dengan mempraktikkan tabiat baik dan menjauhi yang buruk.

2. Nilai kesihatan jantung anda

"Risiko seseorang mendapat penyakit jantung koronari dan penyakit berkaitan pembinaan plak, dan diabetes Jenis 2, bergantung kepada faktor risiko metaboliknya.

"Risiko faktor metabolik adalah obesiti abdomen, tinggi LDL kolesterol ("jahat"), rendah HDL kolesterol ('baik'), tinggi tekanan darah dan glukosa dalam darah. Lebih banyak faktor risiko metabolik, lebih tinggi risiko mendapat penyakit jantung,'' kata Dr. Khoo

Untuk bacaan tepat risiko anda terhadap penyakit jantung, belia menasihatkan anda mengukur lilitan pinggang dan lakukan ujian darah. Anda juga perlu jujur dalam menilai diri dan gaya hidup. Adakah anda gemuk? Adakah anda ambil makanan rendah lemak, berserat tinggi? Adakah anda selalu bersenam? Adakah anda merokok? Tanya mengapa amalkan tabiat tersebut. Adakah anda merokok untuk elak tekanan? Adakah tabiat makan yang buruk disebabkan pengurusan masa yang tidak teratur?

3. Tetapkan sasaran

Sasarkan berat badan, lilitan pinggang, kolesterol darah, tekanan darah dan glukosa darah anda berada di julat sihat. Khususkan sasaran anda dan berikan tempoh akhir.

Contohnya, jika anda perokok, beri masa tiga bulan untuk berhenti. Jika anda tinggi kolesterol darah, berusaha untuk menurunkan kolesterol LDL dan tingkatkan HDL dalam 30 hari.

4. Atur strategi

Tetapkan strategi berdasarkan nasihat pakar (rujuk Jadual B). Jika anda mahu menurunkan kolesterol darah, seeloknya anda tahu bagaimana kolesterol berlebihan dalam darah boleh menyebabkan penyakit jantung. Sekiranya anda buat rujukan, anda akan tahu bahawa perkara yang paling efektif untuk jantung adalah mengambil makan berserat tinggi, terutamanya oat larut (beta-glukan) yang boleh menurunkan kolesterol dalam darah secara klinikal.

Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA), diet tinggi oat atau bran oat dan rendah lemak tepu serta kolesterol boleh mengurangkan risiko penyakit jantung.

Perunding Diet Indra Balaratnam memberi nasihat membina. "Salah satu strategi untuk turunkan kolesterol adalah makan dua mangkuk oat setiap hari. Ia sebanyak 70 gram oat, di mana ia membekalkan 3 gram beta-glukan yang menurunkan paras kolesterol dalam darah secara efektif."

"Oat juga pilihan terbaik jika anda berhasrat untuk menurunkan berat badan kerana ia 100 peratus semulajadi, rendah lemak dan anda berasa kenyang lebih lama."

Adakala strategi anda memerlukan nasihat professional. Contohnya, jika anda terlalu gemuk, bertekad untuk menurunkan berat dengan cara sendiri akan membawa kepada kekecewaan dan mungkin gagal.

Jadual B Prinsip-prinsip gaya hidup sihat

>> Berhenti merokok.

>> Turunkan berat badan.

>> Ambil makanan berserat tinggi dan rendah lemak tepu, lemak trans dan kolesterol.

>> Utamakan oat untuk nikmati kebaikan serat oat larut (beta-glukan) yang menurunkan kolesterol.

>> Kekal berat badan sihat dengan bersenam sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.

5. Kongsi bersama

Jangan simpan rancangan anda. Kongsinya bersama pasangan, rakan malah anak-anak. Sokongan yang tersayang membantu memotivasikan anda, terutama pada waktu sukar. Mereka membantu anda berada di landasan yang betul dan siapa tahu, mungkin menyertai anda!

6. Laksana dan awasi


Tiba masanya untuk bertindak. Buat keputusan bijak setiap hari untuk mengawal tabiat anda seperti pilihan makanan dan senaman. Berbangga dengan diri anda apabila membuat pilihan bijak. Awasi perkembangan dengan menulis log pengambilan makanan dan senaman. Simpan rekod mingguan ukuran lilitan pinggang sekiranya anda ingin mengurangkan lemak di perut.

7. Nilai dan susun semula strategi

Bila anda sampai ke tarikh akhir, jalani ujian darah untuk mengetahui bagaimana keadaan anda. Jika anda patuh dengan prinsip hidup sihat, anda mendapati lilitan pinggang, berat badan serta bacaan lain akan terletak di dalam julat sihat.

Jika usaha anda tidak berjaya, masih ada masa untuk menyusun semula strategi. Dapatkan nasihat professional jika perlu.

Usaha yang anda ambil untuk gaya hidup sihat akan memberi impak besar kepada anak anda. Dengan mempraktikkan tabiat jantung sihat, anda bukan saja merendahkan risiko penyakit jantung tetapi juga kepada anak anda. Artikel ini adalah sumbangan Program Jantung Bijak Quaker yang menyokong Program Jantung Sihat Yayasan Jantung Malaysia.


Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Friday, July 30, 2010

Implan Stent Untuk Pesakit Jantung

Di kebanyakan negara, penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu baik di kalangan lelaki mahupun wanita.

Bagaimanapun, dewasa ini terdapat rawatan berkesan untuk serangan penyakit jantung di mana ia dilihat seiring dengan kemajuan teknologi dalam bidang perubatan.

Penerokaan teknologi, teknik dan cara baru untuk mencari penawar kepada pembunuh nombor satu penduduk dunia ini, sentiasa menarik perhatian ramai terutama para saintis.

Pembedahan pintasan jantung adalah antara penemuan paling cemerlang bidang perubatan kepada penyakit jantung koronari (CAD).

Pembedahan ini yang juga dipanggil pembedahan pintasan turut mengalami beberapa perkembangan seperti kejayaan pintasan berganda dan pintasan tiga kali ganda.

Tidak ketinggalan kejayaan baru terhadap pembedahan itu termasuklah seperti pembedahan pintasan jantung ketika jantung masih berdegup.

Bagaimanapun, penemuan teknologi belon angioplasti koronori yang pertama kali dilakukan ke atas manusia pada tahun 1977 di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) dikatakan pesaing kepada kaedah pintasan jantung.

Pada tahun 1987 dan 2001, kaedah belon angioplasti menerima penambahbaikan apabila sejenis implan stent atau dawai kasa yang membawa sejenis ubat turut disertakan.

Seterusnya pada Mei 2002, stent bebaskan ubat (DES) telah diperkenalkan dan ia mula digunakan secara komersial di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Menurut Ketua Jabatan Kardiologi, Institut Jantung Negara, Datuk Dr. Rosli Mohd. Ali, DES yang merupakan generasi baru, Xience Prime dihasilkan daripada versi stent ubat yang lebih canggih.

Xience Prime menggunakan ubat yang dikaji selidik dengan teliti dengan polimer yang terbukti bersesuaian secara biologi.

"Stent membebaskan ubat merupakan segulung wayar halus yang diselaputi ubat yang dimasukkan ke dalam salur darah pesakit supaya saluran darah terbuka luas bagi membolehkan darah membawa nutrien dan oksigen ke bahagian jantung.

"Stent membebaskan ubat ini juga terbukti berkesan menurunkan kadar restenosis (pengecilan kembali arteri) dan keperluan untuk rawatan lanjut, di mana ubat yang digunakan itu adalah ubat yang berkesan supaya ia menahan sel ketumbuhan yang tidak meluru yang boleh menyebabkan kesempitan terjadi semula.

"Kita juga dapati daripada segi analisis, stent generasi baru ini nyata selamat dan risikonya jauh lebih rendah jika hendak dibandingkan dengan stent sebelum ini,'' ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dia yang ditemani Presiden Persatuan Jantung Malaysia, Prof. Dr. Sim Kui-Hian, menjelaskan stent tersebut yang dimasukkan ke dalam saluran darah akan kekal di dalamnya cuma apabila ada kewajaran baru belon akan dicabut keluar.

Tambah Dr. Rosli, stent tersebut juga akan dilitupi dengan kulit dan penutupannya diharap tidak tebal supaya ia tidak menyebabkan kesempitan berlaku kembali.

Ditanya bagaimanakah stent tersebut dimasukkan ke dalam saluran darah, menurut Dr. Rosli, prosedurnya ringkas dan ia tidak memerlukan sebarang ubat bius untuk melalikan pesakit.

Ini kerana ia bukanlah satu pembedahan malah ia cuma dipanggil prosedur di mana pesakit akan sedar.

Dalam prosedur tersebut, wayar halus dimasukkan melalui pangkal paha atau pergelangan tangan.


Ditulis oleh:Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah
Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Friday, May 07, 2010

Jantung Bermasalah Punca Letih

Ika anda selalu berasa letih, kemungkinan besar jantung anda tidak memperolehi 'bahan bakar' yang diperlukan untuk menjadi sihat dan kuat. Bahan bakar ini ialah Koenzim Q10 (CoQ10). Ia adalah penting untuk mengeluarkan tenaga di peringkat selular. Saintis mendapati jantung mengandungi 10 kali ganda lebih banyak CoQ10 berbanding organ lain dalam badan. Ini kerana jantung adalah organ yang paling kuat bekerja dan ia berdegup sebanyak kira-kira 100,000 kali sehari. Tiada satu pun degupan itu boleh berlaku tanpa tenaga. Oleh kerana jantung merupakan organ yang bekerja tanpa henti, ia memerlukan tenaga yang amat banyak secara berterusan

Di peringkat sel, tenaga dikeluarkan dalam mitokondria ('janakuasa') dan kerana jantung merupakan organ yang paling kuat bekerja, ia kaya dengan mitokondria yang menjana tenaga (sehingga sebanyak 5,000 pada setiap sel), lebih banyak daripada apa yang dijumpai dalam mana-mana tisu lain. Lebih banyak mitokondria yang ada dalam sel, maka lebih banyak tenaga ia boleh keluarkan. Oleh kerana CoQ10 itu penting untuk pengeluaran tenaga dalam mitokondria, maka tidaklah hairan jika jantung itu mengandungi berlipat ganda banyaknya CoQ10 berbanding mana-mana organ lain.

Mendapatkan tenaga tidak menjadi masalah semasa muda. Badan dapat mengeluarkan semua CoQ10 yang diperlukan oleh jantung. Tetapi apabila semakin tua, kita mengeluarkan semakin sedikit CoQ10.

Manfaat CoQ10 kepada jantung kini diterima umum oleh doktor. Beberapa kajian menunjukkan pembaikan yang konsisten dalam fungsi jantung bagi mereka yang mengambil CoQ10. Oleh kerana CoQ10 it begitu perlu untuk pengeluaran tenaga, sekiranya terdapat kekurangan maka sudah tentu ia akan menjejaskan fungsi jantung - ini belum lagi mengambil kira organ-organ lain.

Koenzim Q10 - Sebagai anti oksida yang berkesan

CoQ10 wujud di mitokondria, iaitu tempat di mana radikal bebas dijanakan. Sebagai sejenis anti oksida yang berkesan, CoQ10 telah terbukti dapat mencegah kerosakan mitokondria, dengan itu memelihara dan melindungi sistem tenaga kita.

CoQ10 - Untuk mencegah oksida kolesterol LDL

Penyelidikan telah memutuskan bahawa bukan semua kolesterol itu tidak berfaedah. Lipoprotein berdensiti rendah (LDL) dikenali sebagai 'kolesterol jahat' manakala Lipoprotein berdensiti tinggi (HDL) ialah 'kolesterol baik'. Lebih tinggi HDL adalah lebih baik. Sebenarnya, kolesterol LDL secara bersendirian tidak menjadi masalah, ia menjadi masalah hanya apabila ia dioksidasikan oleh radikal bebas. LDL yang dioksidasikan ini yang menimbun di dalam arteri kita serta membantu membina plak-plak, merupakan ciri pengerasan arteri.

Dalam aliran darah, CoQ10 diangkut oleh LDL. CoQ10 melindungi LDL daripada dioksidasikan oleh radikal bebas. Kajian mendapati lebih banyak CoQ10 yang terkandung dalam kolesterol LDL, maka lebih berkurangan kerentanannya terhadap pengoksidaan dan juga semakin kurang kemungkinannya untuk membentuk plak yang menyumbat arteri.

Vitamin E juga ialah sejenis anti oksida yang membantu melindungi pengoksidaan LDL. Sehubungan ini, CoQ10 memainkan peranan penting untuk membantu badan anda menyimpan lebih banyak vitamin E dalam aliran darah anda dengan hanya mengitar semula vitamin E supaya badan anda dapat menggunakannya secara berulang-ulang. Melindungi LDL daripada pengoksidaan merupakan suatu langkah yang amat penting untuk mengekalkan kesihatan jantung anda.

Hubungan CoQ10 dan Statin (Kumpulan Ubat untuk Menurunkan Kolesterol)

Statin (juga dikenali sebagai HMG-CoA Reductase Inhibitor) sudah dianggap sebagai sejenis ubat yang berkesan kerana ia bukan sahaja dapat menurunkan kolesterol secara mendadak tetapi juga mengurangkan risiko serangan jantung. Statin menghalang sintesis kolesterol dengan menyekat enzim HMG-CoA Reductase. Namun demikian, kesan ini juga menghalang pengeluaran CoQ10. Sejak tahun 1990, terdapat banyak kajian yang melibatkan manusia untuk menilai kesan statin dan CoQ10. Kajian-kajian ini mendapati penurunan ketara pada paras CoQ10 dalam jantung, otot rangka dan tisu hati selepas rawatan dengan ubat-ubat statin, terutama sekali apabila ubat-ubat ini diambil dengan dos yang tinggi.

Menurut seorang pakar jantung Peter Langsjoen, "Semua statin akan menyusutkan konsentrasi Q10 dikedua-dua paras darah dan paras selular." Dos yang lebih tinggi akan menyebabkan kesusutan CoQ10 yang lebih besar. Masalahnya ialah penyusutan ini berlaku secara perlahan sepanjang beberapa tahun, menyebabkan sukar untuk kita menyalahkan sesuatu kesan yang buruk tiga tahun kemudian (misalnya) kepada pengambilan statin. Penyusutan ini adalah amat bahaya bagi golongan tua, kerana apabila kita semakin tua paras CoQ10 kita menjadi semakin berkurangan.

Antara ubat Statin yang terdapat di pasaran Malaysia ialah: Lovastatin, Pravastatin, Simvastatin, Fluvastatin dan Atorvastatin (Sumber: MIMS Malaysia, Edisi ke 97, 2004).

Kajian menunjukkan penyusutan CoQ10 akibat daripada penggunaan statin boleh dicegah dengan mengambil suplemen. Lagipun, pengambilan suplemen CoQ10 tidak menjejaskan keupayaan statin untuk menurunkan kolesterol. Menurut Langsjoen, menggabungkan CoQ10 dengan statin bukan sahaja dapat mencegah penyusutan CoQ10, tetapi juga mungkin boleh meningkatkan keberkesanan ubat statin dengan mengurangkan pengoksidaan kolesterol LDL (kolesterol 'jahat'). Kesimpulannya: Statin adalah berkesan untuk menurunkan kolesterol. Walaubagaimanapun, jika anda sedang mengambil statin atau berhajat untuk mengambilnya, bincangkan dengan doktor anda tentang pengambilan suplemen CoQ10 bersamanya.

Mengambil suplemen CoQ10 larut air

Suplemen CoQ10 bukan sahaja untuk mereka yang mengambil ubat statin. Ahli kardiologi Dr. Langsjoen telah memberi suplemen CoQ10 kepada beribu-ribu pesakit, dan beliau berpendapat kita tidak sepatutnya menunggu sehingga kita mengalami masalah jantung barulah hendak mengambil CoQ10. Beliau pecaya mengambil CoQ10 bermula dari pertengahan umur (apabila kemerosotan CoQ10 bermula), akan memberi kesan perlindungan kepada mitokondria jantung dan membantu memelihara fungsi jantung.

Bentuk tradisi suplemen CoQ10 tidak mudah diserapkan oleh badan (serbuk CoQ10 yang disampaikan dalam minyak soya dan dimasukkan ke dalam kapsul-kapsul gel lembut, pil-pil yang berasaskan serbuk dan gelatin-gelatin keras yang berisi serbuk). Masalahnya ialah saiz zarah CoQ10 adalah amat besar, tidak larut air, dan tidak begitu larut dalam lipid yang menyebabkannya sukar untuk badan menyerapinya.

Sebuah syarikat Amerika berjaya membangunkan proses "Biosolv" yang dipatenkan yang dapat mengecilkan saiz zarah CoQ10 daripada 25 hingga 70 mikron kepada 0.3 mikron - bahkan lebih kecil daripada bakteria! Dengan menggunakan proses ini, molekul CoQ10 menjadi begitu kecil sehingga ia menjadi "larut air" (hydrosoluble). Umumnya, lebih kecil saiz zarah itu maka lebih baik lagi penyerapan. Oleh itu, dengan CoQ10 yang larut air lebih banyak CoQ10 dapat diserapkan ke dalam aliran darah untuk memberikan lebih banyak manfaat kepada anda.

Maklumat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan seharusnya tidak digunakan sebagai ganti nasihat kesihatan peribadi. Jika anda sedang mengalami masalah kesihatan, anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan pengamal pakar kesihatan.

Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Friday, March 26, 2010

Diet pesakit jantung

Mary Easaw John bersama kakitangannya yang terlibat dalam sesi demonstrasi masakan untuk diet di IJN, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Kesempatan 'berkampung' sekejap di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini membuatkan saya terfikir, betapa mudahnya menyediakan makanan berkhasiat untuk pesakit khususnya yang menghidap sakit jantung.

Jika sebelum ini ramai yang menganggap perkara ini rumit kerana golongan ini perlu disediakan menu lain, seharusnya persepsi ini diubah.

Seperti orang lain, mereka juga boleh makan koktel, acar dan puding.

Namun, penggunaan perisa seperti gula dan garam serta minyak dikurangkan. Hasilnya, makanan tetap enak dan sesuai untuk mereka yang inginkan diet sihat.

Menurut Pengurus Pengurusan Diet IJN, Mary Easaw John, pesakit jantung perlu mengadakan pelan pemakanan berkhasiat yang memberi tumpuan kepada sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin.

"Jauhi makanan yang mengandungi lemak buatan seperti snek dan makanan yang telah diproses, serta lemak tepu. Mulakan pelaburan kesihatan jantung pada umur muda dan nikmati masa tua yang bakal mendatang.

Pesakit juga tidak boleh pemakanan minyak serta pemakanan yang banyak lemak kerana ia boleh menyebabkan arteri tersumbat," ujarnya ketika majlis demonstrasi masak sempena Bulan Pemakanan IJN.

Penyumbang terbesar penyakit ini adalah aterosklerosis, di mana berlakunya penebalan kolesterol serta bahan berserat yang dikenali sebagai plak, di sepanjang dinding arteri.

Ini menyebabkan arteri tersumbat dan akhirnya mengehadkan aliran oksigen dan darah ke jantung serta otak anda.

Dalam kes-kes di mana jantung tiba-tiba menerima aliran darah yang tidak mencukupi, kesakitan pada dada serta serangan jantung yang lebih serius boleh berlaku.

Tambah Mary, pesakit juga perlu makan lebih sayur-sayuran dan mengurangkan makanan mengandungi karbohidrat seperti nasi dan roti. Ramai yang tidak mengetahui sayur dapat mencuci badan dan membuang toksik.

Selain pemakanan, pesakit perlu menjaga gaya hidup mereka.

Dengan godaan makanan segera serta hidangan berkalori tinggi, adalah amat penting bagi golongan muda mengamalkan gaya hidup lebih sihat bagi mengurangkan risiko peningkatan tahap kolestrol jahat.

Pertama sekali, teruskan pemeriksaan rutin bersama pakar perubatan anda. Mengetahui lebih awal bahagian kesihatan anda yang bermasalah dapat membantu mencegah penyakit serius dalam jangka masa panjang serta merancang satu pelan kesihatan yang boleh anda ikuti.

Senaman tetap serta aktiviti fizikal mampu memperbaiki kesihatan jantung serta mengawal berat badan anda. Malahan, senaman meningkatkan jumlah kolesterol baik dan membantu mengurangkan tekanan.

"Jika anda tidak mampu mengamalkan senaman secara tetap, anda mungkin mengambil sedikit masa untuk berjalan. Anda juga boleh menari," jelasnya.

Selain itu, ramai pesakit jantung yang tersalah anggap apabila merasakan mereka boleh makan apa sahaja selepas mengambil ubat-ubatan.

Jika keadaan ini berlaku, Mary berpendapat ubat tersebut sudah tentu tiada fungsi.

Sempena bulan pemakanan, IJN menyediakan perkhidmatan nasihat diet termasuk diet kaunseling, maklumat antara makanan dan penyakit serta panduan pemakanan sihat.

Bagi mereka yang berminat boleh menghubungi IJN, 03-26006596 atau e-mel info@ijn.com.my


Ditulis oleh:
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Monday, November 30, 2009

ED Petanda Awal Penyakit Jantung

Disfungsi erektil (ED) sering dianggap sementara atau merupakan isu psikologi. Bagaimanapun, pengamal perubatan kini memberi amaran bahawa ED - subjek yang selalunya dipinggirkan, mempunyai implikasi mengancam nyawa.

Sekiranya rawatan gagal didapati, terdapat peningkatan bukti perubatan yang menunjukkan bahawa ED merupakan amaran awal kepada penyakit kardiovaskular.

Pakar perunding dan Ketua Unit Urologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Zulkifli Md. Zainuddin menyokong fakta berkenaan.

Jelas beliau, kedua-duanya berkongsi punca yang sama dan salah satu penyakit vaskular adalah kardiovaskular atau penyakit arteri yang membawa risiko serangan jantung.

"Meskipun tidak semestinya semua lelaki yang mengalami ED menghadapi risiko penyakit jantung, namun kami sarankan pesakit mengambil langkah proaktif dan berjumpa doktor untuk mengenal pasti faktor-faktor risiko," katanya ketika menyampaikan ceramah Fungsi Ereksi pada Pelancaran Kempen Kesihatan Kardiovaskular, baru-baru ini.

Di Malaysia, secara purata dianggarkan tiga dalam lima lelaki (3:5) urban berusia 40 tahun ke atas mengalami masalah ED.

Insiden ini meningkat mengikut usia di mana ED turut didapati berlaku kepada satu dalam lima (1:5) lelaki berusia antara 50 dan 59 tahun, lelaki berusia 60 hingga 69 tahun (2:5) serta lelaki berusia 70 tahun ke atas (3:5).

Risiko

Menurut Dr. Zulkifli, mendapatkan bantuan rawatan ED bukan sahaja boleh mengurangkan risiko penyakit jantung malah mampu mengembalikan keyakinan diri, meningkatkan pencapaian seksual dan memulihkan hubungan dengan pasangan.

Aspek kekerasan dan tempoh ereksi merupakan pertimbangan yang diambil semasa rawatan.

Bagaimanapun bilangan pesakit ED yang tampil mendapatkan rawatan terlalu sedikit.

"Ramai yang menganggap ED sebagai masalah psikologikal, sementara, tidak serius atau sebahagian daripada proses penuaan.

"Apabila tidak berkongsi atau mendapatkan bantuan doktor, pesakit mengambil jalan mudah dan mencuba pelbagai jenis 'ubat kuat' yang boleh memudaratkan," kata beliau.

Tambahnya lagi, lelaki perlu meningkatkan pengetahuan mengenai ED dan memahami punca serta akibatnya terhadap kesejahteraan hidup mereka.

Sebenarnya, ereksi bermula dengan stimulasi deria atau mental. Impuls dari otak dan saraf berkaitan menyebabkan otot 'corpora cavernosa' berehat.

Ini membolehkan darah disalurkan dan mewujudkan tekanan dalam 'corpora cavernosa' sekali gus menjadikan zakar mengembang.

Sekiranya ereksi gagal dicapai dan dikekalkan dalam perhubungan seksual, maka seseorang itu dikatakan mengalami ED.

Punca

Terdapat beberapa penyebab fizikal ED. Bagaimanapun punca yang paling lazim ialah ke kurangan aliran darah ke zakar dan kerosakan saraf.

Simptom ini mencadangkan 'arteriosclerosis' (pengerasan dan pengecutan arteri) yang memperlahan atau mengurangkan penyaluran darah ke seluruh tubuh dan boleh menjurus kepada impoten (mati pucuk).

"ED boleh menjadi simptom kepada penyakit berterusan yang menjejaskan harga diri lelaki dan perhubungan dengan pasangannya, jika dibiarkan tanpa rawatan," ujarnya.

Tetapi, kata Dr. Zulkifli, ED perlu diambil serius kerana boleh menjadi petanda kewujudan dan 'serangan senyap' penyakit arteri koronari.

Secara purata ED muncul dua hingga tiga tahun sebelum simptom penyakit berkenaan. Jadi, jika pesakit mengalami masalah mendapat atau mengekalkan ereksi, dia perlu mendapatkan nasihat doktor.

Rawatan

Hari ini, ED boleh dirawat dengan terapi dan ubat-ubatan. Walaupun terdapat terapi ED boleh membantu mengembalikan ereksi dan ketegangan, pesakit perlu bertanya diri mereka adakah ia turut membantu mengekalkan ketahanan?

Kaji selidik Bayer Schering Pharma mendedahkan, pesakit menganggap ketahanan sebagai elemen utama untuk mencapai kepuasan normal.

Semasa kaji selidik itu, satu kajian Endurance atau ketahanan menggunakan pendekatan 'jam randik' bagi mengukur kekuatan pesakit ED dan jangka masa ereksi dengan tepat dijalankan.

Menerusi kajian itu, pesakit mengambil pil yang lazim digunakan untuk merawat ED bagi membantu melegakan otot serta meningkatkan pelepasan darah ke alat kelamin sewaktu stimulasi seksual.

"Hasilnya mendapati pesakit ED kini bukan sahaja menikmati kespontanan tetapi ereksi yang lebih memuaskan hati pasangan.

"Bahkan jangka panjang ereksi lelaki turut berjaya dicapai dan memuaskan pasangan masing-masing," katanya.


Ditulis oleh:
Diyana Rose Kamalludeen

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Monday, October 05, 2009

Pentingnya Jantung Pekerja

Melihat telatah kanak-kanak, dapat dirasakan dengan jelas perbezaan keseronokan yang dikecapi dalam bergerak, bermain dan bergembira.

Bagi kanak-kanak, semua perkara merupakan satu pengalaman baru yang perlu diterokai, sementara ada di antara golongan dewasa seakan hilang rasa teruja terhadap persekitarannya.

Bolehkah semua ini digalaskan puncanya terhadap suasana kerja dalam zaman moden yang pantas dan menyerabutkan kepala?

Mungkin frasa kata bekerja untuk hidup (mencari rezeki) kini lebih sesuai ditukar kepada hidup untuk bekerja.

Dikerjakan

Mungkin disebabkan keinginan mengejar kemewahan ataupun aplikasi teknologi moden dalam pekerjaan telah memaksa ramai pekerja menghabiskan lebih banyak masa di pejabat daripada di rumah.

Balik ke rumah juga cuma untuk tidur, kadang kala hanya untuk beberapa jam sebelum terpaksa bangun awal untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas untuk ke pejabat semula.

Bertuah sekali bagi golongan pekerja yang tidak terperangkap dalam rutin 'maut' yang menambah tekanan mental dan fizikal kerana akhirnya ia bukan sahaja akan merosakkan badan pekerja, malahan memberi kesan kepada organisasi yang mengupah mereka.

Masakan tidak, organisasi tersebut perlu menanggung kos perubatan yang tinggi dan juga kehilangan produktiviti tenaga kerja berkenaan.

Untuk itu, Pakar Perunding Kardiologi, Jabatan Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Shaiful Azmi Yahya menekankan pentingnya menjaga kesihatan diri dan jantung di tempat kerja.

"Sempena Hari Jantung Sedunia hari ini, kita perlu memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan jantung pekerja.

"Memandangkan kita menghabiskan lebih masa masa di tempat kerja, jangan biarkan diri terperangkap dalam gaya hidup yang boleh merosak dan menjejaskan kesihatan diri," katanya.

Beliau menyarankan kaedah mudah seperti banyakkan berjalan, menggunakan tangga (bukannya lif), menjaga apa yang dimakan dan tidak merokok untuk memastikan diri kekal sihat.

Tegasnya, majikan juga boleh menonjolkan sifat prihatin dengan menyediakan sedikit kemudahan untuk bersenam (gim) dan kafeteria yang menghidangkan pilihan makanan seimbang.

"Bagi sesebuah organisasi, kesihatan kakitangan menjadi tunjang kejayaan dan kelangsungan mereka.

"Jika pekerja sakit, organisasi tersebut juga yang akan kerugian dari segi pembiayaan perubatan dan juga kehilangan produktiviti kerja!"

Dr. Shaiful Azmi mendakwa masalah jantung kini berada di tangga kedua pembunuh utama rakyat Malaysia, di belakang jangkitan kuman (seperti denggi dan sebagainya).

"Sedangkan kereta juga kita perlu servis untuk pastikan bergerak lancar, inikan pula badan dan jantung kita.

"Lakukan pemeriksaan sebelum sebarang masalah timbul, terutamanya untuk mereka yang melebihi umur 40 tahun atau dalam kumpulan berisiko," ujarnya.

Beliau memaklumkan banyak mangsa serangan jantung yang akan menemui ajal (sekitar 20 peratus).

Tambahnya, bukan sahaja keluarga kehilangan orang tersayang, malahan majikan akan kehilangan tenaga kerja di usia mereka paling produktif.

Saringan dari ketika diri masih sihat juga sebenarnya melindungi dari bebanan kos rawatan jika mengalami penyakit jantung.

Dr. Shaiful Azmi menjelaskan kos rawatan pesakit dengan masalah jantung boleh melangkaui RM20,000, dan ini belum termasuk kos rawatan susulan.

"Pembedahan, prosedur rawatan, ubat dan kos ditahan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) menelan belanja besar bagi seseorang pesakit jantung.

"Kos ini akan menjadi lebih tinggi sekiranya terdapat komplikasi semasa rawatan. Untuk itu, pemeriksaan berkala dan pencegahan dari awal dapat menyelamatkan anda dari beban kewangan untuk rawatan penyakit jantung kelak," tegasnya.

Kos rawatan yang besar ini juga pasti menjejaskan kewangan majikan, terutamanya jika terpaksa menanggung rawatan untuk ramai kakitangan dengan masalah jantung.

Untuk itu, jangan diabaikan atau diambil mudah kelebihan saringan dan pemeriksaan berkala yang hanya menelan belanja kecil berbanding rawatan selepas sakit.

Abaikan

Antara kesan jelas pengabaian kesihatan diri adalah kehilangan beberapa pemimpin, sehinggakan negara tidak putus-putus mengadakan pilihan raya kecil.

Dr. Shaiful Azmi turut berkongsi rasa kecewa bagaimana masalah jantung tetap diambil mudah masyarakat umum.

"Kita sering kali menganggap semua orang tiada masalah jantung. Pemeriksaan kesihatan jantung selalunya diabaikan selagi seseorang itu kelihatan sihat atau tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit.

"Pemeriksaan jantung sepatutnya dimulakan ketika kita masih sihat lagi, bukannya selepas sudah sakit. Periksa dari awal! Jika tiada masalah, boleh ulang saringan selepas satu atau dua tahun," tegasnya.

Menurut beliau, pemeriksaan berkala dari ketika badan masih sihat dapat memastikan tiada masalah pada jantung dan juga dapat mengesan sebarang masalah dari peringkat awal.

Tambahnya, jika kerosakan jantung lewat dikesan, dan pada usia yang sudah lanjut, pasti amat sukar untuk memulihkan dan merawat masalah tersebut.

"Ada juga yang mengalami sakit dada tetapi hanya mengabaikannya. Risiko untuk masalah jantung juga telah berulang kali dinyatakan tetapi masih ramai yang tidak ambil peduli.

"Mereka yang mempunyai faktor risiko masalah jantung perlu beri perhatian dan jalani pemeriksaan berkala sebelum berlakunya kerosakan yang tidak dapat dirawat lagi!"

Mengerjakan

Puasa selama satu bulan telah melatih diri kita untuk mengurangkan pengambilan makanan, terutamanya jenis yang memudaratkan badan.

"Semasa Ramadan, kebiasaannya ramai yang mengurangkan pengambilan makanan berlemak, berminyak ataupun air berkarbonat.

"Namun, semua kebaikan yang dikumpulkan sepanjang berpuasa boleh musnah dalam satu Hari Raya sahaja jika tidak menjaga apa yang dimakan," tegas Dr. Shaiful Azmi.

Beliau menyarankan orang ramai meneruskan amalan baik sepanjang Ramadan supaya segala manfaat kesihatan dapat dikekalkan selepas 1 Syawal, sehingga Ramadan tahun hadapan dan selama yang boleh.

"Jika tidak boleh ubah gaya hidup secara drastik sekalipun, ubah sedikit-sedikit dahulu. Mulakan dengan puasa sunat selepas Hari Raya.

"Berpuasa bukan sahaja baik untuk perut, malahan organ-organ lain, termasuklah jantung anda," katanya.

Selain kolestrol tinggi (makanan berlemak), tekanan darah tinggi, diabetes, tekanan (stres), obesiti dan kurang bersenam, Dr. Shaiful Azmi sekali menegaskan peranan rokok terhadap masalah jantung.

"Sudah berbuih mulut mengulang kesan rokok terhadap jantung dan kesihatan badan. Pekara ini masih sukar dikawal sepenuhnya memandangkan rokok menjadi sumber pendapat pihak tertentu.

"Walaupun beberapa langkah sebelum ini masih kurang memberi kesan terhadap tabiat buruk ini, tindakan kerajaan meningkatkan jumlah tempat larangan merokok dilihat dapat membantu mengurangkan kesan asap rokok."

Beliau menekankan perlunya menghalang tabiat merokok mengambil tempat di usia remaja dan kanak-kanak lagi untuk menghalang bilangan perokok terus meningkat.

"Jangan dilupa, masih banyak pesakit yang mengalami masalah atau penyakit jantung akibat rokok," ujarnya.

Dr. Shaiful Azmi terus menegaskan pentingnya pemeriksaan awal, semasa masih sihat dan bukannya selepas sudah timbul gejala penyakit.

"Saya sendiri menjalani pemeriksaan berkala, termasuk pemeriksaan darah bagi memastikan tiada bacaan yang melebihi tahap normal.

"Jika pemeriksaan mengesan sesuatu masalah sekalipun, kita masih mempunyai pilihan seperti mengubah gaya hidup, pemakanan dan senaman sebelum perlu mengambil sebarang ubat atau rawatan," jelasnya.

Tambahnya, sedangkan kereta yang dibeli mahal dijaga rapi, inikan pula badan dan jantung kita. Peliharalah jantung anda supaya tidak luput nyawa secara tiba-tiba.


Ditulis oleh:
NurulAnuar Kari

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Friday, June 26, 2009

Perkongsian Ilmu Intervensi

Rawatan intervensi kardiologi pediatrik merupakan satu alternatif tanpa pembedahan untuk rawatan masalah jantung. Ia menggunakan alatan-alatan khusus yang dimasukkan ke dalam badan melalui salur kateter.

Prosedur intervensi juga dilakukan melalui panduan imbasan sinar-X atau imbasan ultrasound, sepenuhnya di dalam makmal prosedur kateter jantung.

Bagaimanapun, bukan semua kecacatan pada struktur jantung boleh diperbaiki melalui kaedah ini. Masalah seperti injap (stenosis injap aortik atau pulmonari) dan salur darah (himpitan aorta) yang tersumbat atau menyempit tidak dapat dirawat melalui kaedah ini. Serupa juga untuk sesetengah masalah jantung berlubang seperti secundum atrial septal defect dan selected ventricular septal defects.

Namun, banyak kemajuan telah dicapai dalam menjalankan rawatan intervensi melalui pembangunan serta aplikasi peralatan dan prosedur-prosedur terkini. Institut Jantung Negara (IJN) merupakan antara pusat serantau dengan reputasi tinggi dalam rawatan intervensi jantung untuk penyakit jantung kongenital (dihidapi sejak lahir).

IJN juga mempunyai keupayaan pancaran secara langsung kepada kumpulan persidangan di tapak-tapak berbeza seluruh dunia bagi menjayakan konsep perkongsian ilmu untuk prosedur intervensi. Melalui hubungan secara langsung antara-pusat-pusat terlibat, penonton dan peserta seluruh dunia dapat menyaksikan secara terus dan berinteraksi dengan pihak pakar yang terlibat pada masa yang sama.

Sebagai satu langkah memajukan lagi kaedah rawatan intervensi kardiologi pediatrik, IJN dan pusat serantau lain akan mengadakan sesi pancaran secara langsung ke Kongres Sedunia Kelima Pembedahan Jantung dan Kardiologi Pediatrik di Cairns, Australia pada 20 dan 21 Jun ini (Sabtu dan Ahad). Ini akan membolehkan pakar dari negara dan rantau lain berkongsi pengalaman, pendapat dan maklumat terkini dalam kaedah rawatan intervensi.

Pusat-pusat pancaran yang terlibat, termasuklah dari Melbourne, Seoul, Okayama, Kuala Lumpur (IJN), Kochi (India), Riyadh (Arab Saudi) dan Berlin iaitu pusat-pusat serantau dengan perbezaan waktu yang kurang ketara berbanding Australia. Untuk maklumat lanjut mengenai perkembangan rawatan jantung, kaedah intervensi dan maklumat kardiologi terkini, layari laman web www.ijn.com.my atau hubungi talian utama IJN 03-26178200.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Monday, April 13, 2009

Sedih, Marah Punca Sakit Jantung

Umum mengetahui, emosi terbentuk di dalam otak manakala perasaan terbit dari dalam hati, atau sebenarnya organ dalaman iaitu jantung.

Namun begitu, bagaimana pula dengan emosi negatif? Apabila anda terlalu sedih atau marah sehingga 'sakit hati', adakah keadaan emosi tersebut benar-benar menyebabkan kesakitan pada jantung anda?

Bagi mengetahui kesan tersebut, dua kajian dijalankan baru-baru ini bagi menyokong teori bahawa apa yang difikirkan otak benar-benar mampu mencederakan jantung anda.

Kajian pertama terbitan Journal of the American College of Cardiology (JACC) mendapati, wanita yang menghidap simptom kemurungan menghadapi risiko lebih tinggi diserang penyakit jantung. Wanita yang disahkan murung secara klinikal pula dua kali ganda berkemungkinan meninggal dunia akibat jantung terhenti.

Para penyelidik menyimpulkan bahawa kemurungan mempunyai impak psikologi secara terus menerus terhadap jantung kerana ia terpaksa berfungsi lebih kuat apabila berdepan tekanan.

Kajian turut mendapati, wanita murung lebih cenderung merokok, mengalami tekanan darah yang tinggi dan menghidap diabetes.

Ubat anti murung yang digunakan oleh ramai pesakit wanita juga dikaitkan dengan masalah jantung dan kematian secara tiba-tiba terutama di kalangan remaja.

Satu lagi kajian pula mendapati, mood seseorang itu mempengaruhi tekanan ke atas jantung dan bukan sebaliknya.

Kertas kajian yang disediakan oleh penyelidik University College London pula menemui, lelaki yang mudah meradang dan panas baran besar kemungkinan diserang penyakit koronari berbanding mereka yang tidak bersikap demikian.

Kajian pertama menemui golongan yang didorong semangat bekerja, kompetitif dan obses dengan 'deadline', kurang potensi mengalami penyakit jantung.

Dalam kata lain, pekerja yang terlalu bercita-cita tinggi dan 'terlebih' rajin kurang risiko diserang sakit jantung berbanding golongan yang menyimpan dendam, marah dan menentang secara berselindung.

Kajian kedua menemui beberapa teori mengenai emosi marah yang diterjemahkan dalam bentuk serangan jantung fizikal. Ini kerana, golongan panas baran mengalami kesukaran tidur, kurang mengambil ubat, tabiat pemakanan teruk, tidak bersenam, kuat merokok dan lebih gemuk.

Golongan panas baran ini pada mulanya langsung tidak menghadapi risiko, tetapi akhirnya mengalami 19 peratus kemungkinan lebih tinggi diserang penyakit jantung koronari.

Kedua-dua kajian tersebut turut menemui stereotaip jantina iaitu, wanita 'sakit' jantung akibat menanggung kesedihan manakala lelaki 'sakit' jantung dengan kemarahan.

Walaupun begitu, dua kajian bersetuju bahawa lelaki dan wanita mengetahui punca penyakit jantung seperti diet salah, kurang bersenam dan sukar tidur.

Sehubungan itu, adalah penting lelaki atau wanita tidak membiarkan diri tenggelam dalam emosi kerana boleh merosakkan mental dan organ dalaman yang paling penting iaitu jantung.


Ditulis oleh:
Diyana Rose Kamalludeen

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Friday, February 20, 2009

Rawat Jantung Berlubang Yang Pantas Dan Murah

Struktur cakera yang anjal dan lembut sebagai implan bagi menutup lubang pada jantung pesakit.

Kecacatan septal atrial (ASD) atau lebih dikenali sebagai jantung berlubang merupakan kecacatan jantung sejak lahir di mana dinding yang memisahkan antara kebuk jantung atas (atria) tidak mampu tertutup sepenuhnya.

Sewaktu kitaran janin berlaku, lazimnya terdapat ruang antara atria kanan dan kiri untuk membolehkan darah memintas paru-paru. Ruang ini bagaimanapun akan tertutup dengan sendirinya apabila bayi dilahirkan.

Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), Prof. Dr. Yap Yee Guan berkata, kajian di Amerika Syarikat (AS) mendapati, kira-kira 3,000 bayi dari sejumlah 300 juta penduduk dilahirkan dengan kecacatan itu setiap tahun.

Manakala di Malaysia, beliau menganggarkan hampir 300 bayi menghidap ASD sejak dilahirkan dalam tempoh yang sama.

Sekiranya disahkan menghidap penyakit berkenaan, jangka hayat pesakit kemungkinan mampu menjangkau sekitar 20 hingga 30 tahun sahaja sekiranya keadaan itu tidak dirawat.

Ia disebabkan tekanan darah ke paru-paru akan meningkat manakala paras oksigen semakin menurun, Eisenmenger iaitu bengkak paru-paru berlaku atau terlalu lewat menjalani pembedahan pemindahan organ.

Justeru, pesakit ASD perlu mengawasi tanda-tanda penting dan menjalani pemeriksaan berkala bagi mengelak serangan Eisenmenger atau angin ahmar apabila darah beku mula terbentuk di otak.

"Darah yang mengandungi banyak oksigen dari jantung kiri akan memasuki kebuk (jantung) kanan, mengakibatkan dua jenis darah ini bercampur dan berkitar dalam jantung.

"Lama kelamaan, tekanan darah pada jantung kanan semakin meningkat sehingga jantung membengkak dan jika dibiarkan boleh mengakibatkan kerosakan paru-paru.

"Ketika ini, kulit pesakit menjadi kebiruan (sinosis) disebabkan kekurangan oksigen dalam darah dan pesakit menghadapi risiko meninggal dunia lebih awal jika keadaannya dibiarkan,'' jelas beliau.

Tanda-Tanda Dan Simptom

Yee Guan berkata, ciri-ciri simptom ASD bergantung kepada saiz lubang dan lokasinya pada jantung kanak-kanak berkenaan.

Malah kebanyakan kanak-kanak yang dilahirkan dengan ASD lazimnya kelihatan sihat dan tidak mengalami sebarang simptom.

Ini kerana, kata beliau, kira-kira 50 peratus kes jantung berlubang berkenaan akan tertutup sendiri pada tahun pertama kelahiran bayi berkenaan.

Bagaimanapun keadaan bayi akan diperiksa terlebih dahulu untuk memastikan saiz lubang tidak melebihi 7 milimeter (mm) atau terdapat bengkak pada jantung kanannya.

''Biasanya, saiz lubang yang kecil atau sederhana (kurang 7 mm) tidak akan memberi sebarang kesan kepada kesihatan pesakit sehingga usia remaja atau 30-an,'' jelasnya.

Bayi dan kanak-kanak yang mempunyai ASD yang lebih besar atau serius, kemungkinan mengalami simptom berkenaan;

- Sukar bernafas

- Senang letih apabila berjalan dan berlari

- Jantung berdebar

- Tiada stamina

- Kurang selera makan

- Pertumbuhan terbantut

- Masalah paru-paru dan jangkitan seperti pneumonia

Diagnosis (Mengesan) ASD

Menurut Yee Guan, sekiranya saiz lubang pada dinding jantung pesakit terlalu kecil, ia sukar dikesan terutama di kalangan pesakit kanak-kanak walaupun menggunakan stetoskop sewaktu pemeriksaan kesihatan atau fizikal rutin.

Sebaliknya ASD pada pesakit dewasa boleh dikesan menerusi tekanan jantung yang meningkat, jantung membengkak, kerosakan paru-paru dan masalah pernafasan kronik.

"Peringkat terminal (maut) pula apabila warna kulit pesakit bertukar kebiruan.

"Justeru, lubang perlu ditutup jika ia cukup besar tetapi jika masih kecil, pesakit perlu menjalani pemantauan dan pemeriksaan dari setahun ke setahun sehinggalah tiba masanya untuk ditutup sebelum terlewat,'' katanya lagi.

Sebaik sahaja pakar kardiologi mengesyaki pesakit berkenaan menghidap ASD, beberapa ujian akan dijalankan seperti;

- Elektro kardiogram (EKG) untuk merakam aktiviti dan mengesan lebihan volum pada jantung kanan.

- Pemeriksaan x-ray untuk memeriksa imej/saiz jantung dan organ sekitarnya.

- Ultrabunyi eko kardiogram bagi mengukur saiz dan mengesan bengkak (jika ada) pada jantung serta visual aliran darah menerusi kebuk jantung.

Yee Guan menjelaskan, terdapat tiga jenis ASD iaitu;

- Secundum ASD - Dihidapi 70% pesakit dengan keadaan jantung berlubang di tengah dinding jantung atas.

- Premum ASD - (20%) Terletak di kebuk bawah jantung, hampir ke injap.

- Sinus Venosus - Melibatkan 10% pesakit, kekeringan abnormal arteri pulmonari.

Prosedur Rawatan

Katanya, premum dan sinus venosus perlu melalui pembedahan pintasan jantung kerana kecacatan kedua-duanya lebih kompleks.

Sementara Secundum ASD yang berukuran antara 7 hingga 32 mm dahulunya juga perlu dibedah tetapi kini boleh dirawat dengan lebih berkesan menggunakan teknologi pembedahan kesan minimum (MIS) atau 'keyhole'.

"Sejak kira-kira 10 tahun lalu teknik pembedahan 'keyhole' dibangunkan untuk menutup jantung berlubang.

"Ia merupakan prosedur tanpa pembedahan ke atas ASD menggunakan sistem Amplatzer Septal Occluder (ASO), sejenis jaringan wayar diperbuat daripada nikel dan titanium (nitinol),'' katanya.

Wayar berkenaan mempunyai sistem yang direka khas untuk memudahkan doktor pakar memasuk dan melepaskan amplatzer di dalam jantung pesakit.

Kesesuaian prosedur ini bagaimanapun, jelas Yee Guan, bergantung kepada bentuk fizikal dan saiz lubang pada jantung penghidap ASD.

Sebelum pesakit boleh menjalani prosedur rawatan tersebut, saiz dan bentuk lubang jantungnya akan ditentukan menggunakan sejenis belon khas.

Seterusnya, prosedur yang mengambil masa kira-kira 45 minit di bawah panduan alat ultra bunyi atau eko kardiogram dan endoskopi serta memasukkan wayar logam panjang dipanggil 'loader' menerusi saluran makanan atau dubur ke jantung.

Kesan Jangka Panjang

Jika dibandingkan dengan pembedahan pintasan jantung, prosedur berkenaan kurang memberi kesan sampingan termasuk tidak meninggalkan parut besar atau risiko seperti strok.

Pintasan jantung juga memerlukan kos perbelanjaan yang lebih besar iaitu antara RM35,000 dan RM40,000 sementara prosedur tanpa pembedahan memerlukan sekitar RM25,000 hingga RM30,000.

Tambahan pula, pesakit hanya perlu tinggal di hospital selama dua malam dan boleh menjalani aktiviti harian seperti normal berbanding lima hari sekiranya menjalani pembedahan dan tempoh pemulihan sehingga berminggu-minggu lamanya.

"Walaupun begitu, pesakit perlu mengambil ubat untuk mencairkan darah hingga enam bulan seterusnya untuk mengelak pembentukan darah beku.

"Kadar kejayaan untuk prosedur seumpama ini adalah hampir 90% kerana 10% pesakit lagi disebabkan lubang jantung terlalu besar dan ASO tidak sesuai untuk keadaan mereka itu,'' ujar beliau.

Di Malaysia terdapat lapan pakar kardiologi berpengalaman yang layak mengendalikan prosedur berkenaan termasuk Yee Guan sendiri.

Baru-baru ini beliau berjaya menjalankan prosedur penutupan ASD ke atas empat wanita sebagai usaha PCMC membantu golongan berpendapatan rendah menerusi program kebajikan sosialnya.

PCMC merupakan hospital swasta pertama yang berjaya melaksanakan prosedur berkenaan ke atas pesakit.


Ditulis oleh:
Diyana Rose Kamalludeen

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Friday, June 13, 2008

Minyak Ikan Untuk Kesihatan Jantung

SOALAN:
Saya menghidap tekanan darah tinggi sejak beberapa tahun, tetapi baru-baru ini saya juga disahkan mengalami artritis reumatoid. Ahli farmasi menyarankan saya mengambil minyak ikan sebagai makanan tambahan setiap hari. Apakah kepentingan minyak ikan untuk masalah kesihatan saya dan adakah tip lain yang boleh diamalkan?

JAWAPAN:
Minyak ikan yang diekstrak daripada daging ikan marin mengandungi asid lemak omega-3 yang terdiri daripada Asid eikosapentanoik (EPA) dan Asid dokosaheksanoik (DHA) yang berperanan penting dalam mencegah penyakit jantung, kesihatan penglihatan, otak serta fungsi saraf.

Bagi mereka yang mengalami masalah berkaitan keradangan, pengambilan asid lemak omega-3 membantu kerana ia mempunyai aktiviti antiradang seperti yang banyak dialami oleh penghidap artritis.

Artritis reumatoid boleh diburukkan dengan alahan dan sensitif terhadap makanan. Ramai di kalangan penghidap artritis reumatoid akan menjadi lebih teruk apabila mereka makan makanan yang mendatangkan alahan.

Oleh yang demikian, mengelak daripada mengambil makanan tersebut adalah langkah terbaik.

Walaupun pada permulaannya senaman mungkin boleh menyakitkan, namun senaman ringan seperti berenang, berjalan atau aktiviti regangan juga boleh membantu.

Selain itu, jauhi merokok kerana ia boleh menyebabkan penghasilan radikal bebas yang merosakkan. Pengurangan berat badan pula akan meringankan tekanan ke atas sendi yang menampung berat badan.

Kepentingan minyak ikan kepada masalah tekanan darah adalah disebabkan oleh kesan pencairan darah yang membantu merendahkan tekanan darah.

Dengan pengambilan omega-3, ia boleh membantu merendahkan kedua-dua tekanan sistolik (darah dipam daripada jantung ke sel) dan tekanan diastolik (darah dipam daripada sel-sel ke jantung).

Dengan itu, ia mengelakkan pembekuan darah yang boleh menyumbatkan saluran darah serta mengurangkan tekanan darah tinggi.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Friday, May 23, 2008

Kebaikan Tumbuhan Untuk Jantung

Dalam bahagian pertama siri anti penuaan, kita telah meneliti peranan fitonutrien terutamanya likopena dalam pencegahan kanser. Fitonutrien penting ini juga dikenalpasti berupaya mencegah penyakit yang menakutkan rakyat Malaysia pada hari ini iaitu penyakit jantung.

Minggu ini, penekanan kan diberikan kepada faedah likopena dalam mengurangkan risiko penyakit jantung bagi golongan lelaki dan wanita yang berusia 45 tahun ke atas.

Dalam amalan perubatan holistik, kepentingan diet yang mengandungi serat yang tinggi, kaya dengan vitamin, mineral, antioksidan dan asid lemak omega-3 selalu ditekankan untuk membantu melindungi jantung.

Fitonutrien yang tidak begitu dikenali seperti likopena boleh memainkan peranan penting dalam kesihatan jantung. Likopena ialah pigmen antioksidan yang terdapat dalam tomato, limau gedang dan tembikai yang membuatkan buah berkenaan berwarna merah.

Terdapat beberapa kajian yang mencadangkan bahawa pengambilan makanan yang kaya dengan likopena berhubung rapat dengan risiko rendah penyakit kardiovaskular.

Kesan perlindungan antioksidan pada penyakit jantung banyak didokumenkan dengan baik. Oleh itu, pesakit dinasihatkan memakan diet yang kaya dengan likopena untuk menikmati faedah kesihatan tersebut.

Risiko Penyakit Jantung Kalangan Wanita

Likopena dalam diet mungkin berkesan mengurangkan risiko penyakit jantung. Penyelidikan terkini menunjukkan wanita dengan tahap antioksidan tertinggi di dalam darah mempunyai risiko penyakit 34 peratus lebih rendah berbanding dengan mereka yang mempunyai tahap zat makanan yang lebih rendah.

Penyakit jantung ialah punca kematian utama bagi golongan wanita di seluruh dunia, mengakibatkan kematian lapan juta orang setiap tahun, 18 kali ganda lebih tinggi daripada kadar kematian akibat kanser payu dara.

Satu kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Pemakanan pada 2003 mendapati golongan wanita dengan pengambilan tertinggi makanan berasaskan tomato (yang kaya dengan sumber antioksidan likopena), mempunyai risiko penyakit kardiovaskular yang rendah berbanding dengan golongan wanita yang memakan sedikit sahaja makanan berkenaan.

Data-data berkenaan dilaporkan oleh ketua penyelidikan dari Pusat Pengajian Kesihatan Awam Harvard, Howard Sesso, ScD, MPH, yang diperolehi daripada Kajian Kesihatan Wanita ke atas 40,000 orang wanita sejak 11 tahun lalu, yang bebas daripada kanser atau penyakit kardiovaskular pada permulaan kajian ini, dan masih lagi berterusan

Selepas kajian susulan selama tujuh tahun, para penyelidik merekodkan sebanyak 719 kes penyakit kardiovaskular.

Hasil penyelidikan ini adalah tambahan kepada sebilangan badan penyelidikan ke atas likopena dan penyakit kardiovaskular yang semakin berkembang.

Risiko Penyakit Jantung Kalangan Lelaki

Dalam kajian yang diterbitkan oleh Kajian Antioksidan, Infarksi Miokardial dan Kanser Payu Dara Eropah (EURAMIC), peluang golongan lelaki yang mempunyai tahap likopena tertinggi dalam lemak badan untuk mengalami serangan jantung adalah separuh daripada mereka yang mempunyai tahap likopena rendah.

Para penyelidik telah mengesahkan bahawa tahap likopena dalam lemak badan adalah petunjuk kepada kandungan likopena dalam diet.

Kajian Faktor Risiko Penyakit Jantung Kuopio Ischaemic juga mendapati bahawa takat serum likopena yang rendah berhubungkait dengan meningkatnya risiko serangan jantung dan angin ahmar.

Sebelum kajian terbaru dijalankan, 12 kajian epidemiologi telah diterbitkan yang menyiasat perhubungan antara plasma likopena dengan kepekatan serum (11 kajian), atau tahap tisu adipos (satu kajian) dengan penyakit titik pangkal atau beberapa petunjuk biologi.

Di antara kajian-kajian ini, 10 kajian menunjukkan hubungan terbalik yang ketara secara statistik dengan likopena dan pangkal penyakit kardiovaskular.

Sebelum ini, penyelidikan telah mengenalpasti likopena mempunyai sifat antioksidan yang kuat berbanding karotenoid yang lain.

Di samping mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, likopena telah memperlihatkan keupayaan dalam peningkatan faktor risiko penyakit kardiovaskular lain.

Sebagai contoh, tahap tinggi serum likopena mungkin mengurangkan petunjuk ramalan penyakit jantung yang dikenali sebagai protein C-reaktif. Tambahan pula, likopena mungkin berperanan dalam membantu mengurangkan takat kolesterol jahat, LDL.

Likopena Untuk Umur 45 Tahun Ke Atas

Kesemua kajian saintifik masa kini meningkatkan kepercayaan bahawa likopena adalah satu antioksidan kuat yang harus menjadi sebahagian daripada diet seharian rakyat Malaysia.

Pengambilan suplemen tambahan harian yang diformulakan dengan baik mengandungi sekurang-kurangnya 24 jenis pelbagai vitamin dan mineral diperkaya dengan fitonutrien berfaedah seperti Likopena, Panax Ginseng, Lutein dan Rutin adalah penting untuk kesihatan. Lebih baik lagi jika ditambah dengan senaman yang kerap, makan secara sihat dan berhenti merokok.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Sunday, March 30, 2008

Membaiki Saluran Jantung

Ensiklopedia bebas, Wikipedia mentakrifkan pembedahan pintasan jantung sebagai satu proses pintas bagi memulihkan pengaliran darah ke bahagian jantung.

Seterusnya ensiklopedia itu menyebut ia melibatkan penggantian salur darah jantung yang tersumbat dengan salur darah dari kaki (vena), lengan (radial arteri) atau arteri bawah tulang dada (internal mammary artery).

Kalau mahu dibuat perbandingan, pintasan ini juga bermaksud jalan pintas. Jika jalan itu rosak, maka kereta tidak boleh melalui jalan tersebut dan sebagai jalan keluar, satu lencongan perlu dilakukan.

Jika mana-mana salur darah jantung tersumbat, maka lencongan perlu dilakukan. Mudah kata, lencongan itu mewujudkan satu saluran darah baru bagi membolehkan bekalan darah kepada jantung dapat disalurkan.

Terdapat dua jenis saluran darah baru bagi menggantikan yang tersumbat iaitu vena di kaki dan arteri (lengan dan bawah tulang dada).

Membicarakan mengenai pintasan jantung, kita cepat teringat dengan apa yang dilalui oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam usianya 80-an, beliau telah menjalani dua kali pembedahan pintasan jantung. Beliau berjaya dalam kedua-dua pembedahan itu – satu pada tahun 1989 manakala terbaru 4 September lepas.

Pembedahan pintasan jantung pada lazimnya dibuat selepas berlaku perbincangan dan rundingan di antara doktor dan seseorang pesakit jantung.

Tidak semestinya mereka yang mengalami penyakit jantung tersumbat perlu menjalani pembedahan pintasan.

“Sebab itu, rundingan dan nasihat daripada doktor pakar perlu untuk membolehkan sama ada prosedur pembedahan atau cara lain dilakukan ke atas pesakit,” kata Pakar Perunding Bedah Kardiotorasik, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Mohd. Zamrin Dimon semasa ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau yang juga pensyarah di Jabatan Surgeri HUKM berkata, apabila seseorang itu didiagnos dengan penyakit koronari jantung tersumbat, satu rawatan yang menjadi kelaziman di kalangan pakar jantung ketika ini adalah rawatan angioplasti belon dan stent (sejenis rerelung dawai logam yang halus), yang dijalankan berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada prosedur penyiasatan angiogram koronari. Ia dilakukan terdahulu pada waktu yang berasingan ataupun serentak.

Saluran sempit atau tersumbat itu dirawat dengan belon khas dan diikuti dengan stent, untuk memastikan saluran darah itu terbuka luas bagi membolehkan darah membawa nutrien dan oksigen ke bahagian jantung.

Pintaran

Prosedur ini dijalankan oleh pakar kardiologi. “Biasanya jika saluran pembuluh darah itu melibatkan banyak tempat yang tersumbat ataupun saluran itu kritikal, ia tidak sesuai dirawat dengan angioplasti, namun pembedahan pintasan koronari akan disarankan.

“Ini selalunya terhasil daripada perbincangan lanjut antara pakar jantung (kardiologi) dan pakar bedah jantung,” ujar beliau.

Dalam pada itu, ada kemungkinan untuk seseorang pesakit yang telah menjalani pembedahan koronari mengalami semula koronari jantung tersumbat.

Kalau saluran darah jantung yang asal boleh tersumbat, maka kemungkinan saluran darah pintasan juga boleh tersumbat sekiranya pesakit tidak mengawal risiko-risiko yang ada padanya seperti darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi dan sebagainya.

Sebab itulah berlaku pembedahan pintasan jantung kedua atau ketiga, bergantung kepada usia serta keadaan pesakit.

“Ada pesakit yang saya rawat mengalami tujuh tempat tersumbat. Perlu diingatkan, tempat yang tersumbat itu akan terus kekal tersumbat, pakar bedah hanya membuat pintasan. Manakala faktor risiko yang mengundang kepadanya ialah kencing manis, darah tinggi, kolesterol dan merokok.”

Oleh itu, jika faktor-faktor risiko ini dielakkan, ketahanan saluran darah baru itu adalah lebih lama.

Kebiasaannya, pintasan koronari daripada vena, daya tahannya adalah sekitar lapan hingga 12 tahun, arteri lengan pula 10 hingga 15 tahun dan arteri bawah tulang dada lebih daripada 15 tahun.

Mengambil kira daya tahan dan tempoh masa itu, apa yang cuba disampaikan ialah jika pesakit itu menjalani pembedahan pertama pada usia 40 tahun, beliau akan menjalaninya sekali lagi pada usia sekitar 50 hingga 60 tahun, dan kemungkinan pembedahan kali ketiga pada usia lewat 70-an, sekiranya masih hidup.

Pada awal tahun 1980-an, pembedahan pintasan koronari jantung mula dijalankan di Hospital Besar Kuala Lumpur dan Hospital Universiti Kuala Lumpur.

Antara pakar bedah jantung yang awal di negara ini ialah Tan Sri Dr. Yahya Awang, Datuk Dr. Razali Wathoot dan Allahyarham Dr. Razali Hashim.

Perkembangan pesat dalam bidang pembedahan kardiotorasik dan juga kardiologi berlaku selepas berjayanya pembedahan pintasan koronari ke atas Dr. Mahathir, pada tahun 1989, di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Ini merupakan sejarah yang amat penting dalam profesion ini.

“Ia memberi momentum yang besar dan penting kepada perkembangan kardiotorasik itu sendiri. Tindakan beliau itu seolah-olah memberi kepercayaan kepada pakar-pakar tempatan.”

Peristiwa ini merupakan pencetus utama kepada penubuhan Institut Jantung Negara (IJN). Daripada IJN, lahir ramai pakar bedah jantung di negara ini.

Mengendalikan

Di HUKM sendiri kata beliau, terdapat unit kardiotorasik, diletakkan di bawah Jabatan Surgeri yang mengendalikan banyak pembedahan sukar berkaitan jantung dan paru-paru.

Di HUKM, pembedahan pintasan koronari jantung adalah pembedahan yang biasa dan juga dapat dilaksanakan dengan kaedah menggunakan mesin jantung dan paru-paru ataupun kaedah terkini dalam keadaan jantung masih berdegup.

Menurut beliau, baru-baru ini, pihaknya melakukan pembedahan yang rumit iaitu pembedahan 3 dalam 1 di mana pesakit mengalami saluran darah tersumbat, fungsi jantung lemah dan bengkak serta injapnya mengalami kebocoran.

Sepasukan pakar bedah yang diketuai oleh beliau menjalankan pembedahan pintasan koronari ke atas pesakit tersebut, membaiki injap yang bocor serta rekonstruksi fungsi ventrikal kiri dalam satu prosedur yang mengambil masa selama empat jam. Pesakit tersebut pulih dan telah pun dibenarkan pulang ke rumah.

Dalam banyak hal, menurut Dr. Mohd. Zamrin, perasaan takut yang disebabkan kekurangan maklumat, menjadikan seseorang yang didiagnos penyakit koronari jantung takut menjalani pintasan jantung.

“Ini perlu diatasi melalui perbincangan dengan doktor pakar. Jika tidak, perasaan bimbang dan khuatir itu semakin menebal dengan kesudahannya melambat-lambatkan proses yang sepatutnya mereka jalani.

Memang setiap pembedahan ada risikonya, tapi sekiranya pesakit itu perlu dibedah tetapi tidak mahu, risiko untuk mendapat serangan jantung adalah lebih tinggi.”


Ditulis oleh:
Azlinariah Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Sunday, March 16, 2008

Pelbagai Punca Sakit Dada


UJIAN ECG tekanan (kiri) dapat membantu mengesan salur darah tersumbat.

Sakit dada, sakit jantung. Ini telah menjadi satu pemahaman dan ketakutan di kalangan masyarakat negara ini sehinggakan banyak drama atau filem di negara ini menjadikannya satu klise untuk menunjukkan bencana dan tragedi keluarga. Setelah bertahun-tahun masyarakat didedahkan kepada ‘kefahaman’ ini, tidak hairanlah ramai yang bergegas mencari doktor apabila mengalami sakit dada kerana khuatir diserang sakit jantung.

Tidak boleh disangkal bahawa penyakit jantung menjadi pembunuh utama di negara ini dan banyak negara lain lagi. Memandangkan semakin ramai golongan muda yang diserang sakit jantung, tidak menghairankan juga golongan yang cemas ini terdiri daripada semua peringkat umur.

Namun, orang ramai perlu pandai membezakan antara serangan jantung dengan penyakit lain supaya perasaan cemas ketika mengalami sakit dada tidak membawa kepada kemudaratan lain.

Pakar Perunding Gastroenterologi dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh menjelaskan, serangan jantung biasanya menyebabkan kesakitan pada bahagian kiri atau tengah dada tetapi kadangkala boleh berlaku pada bahagian kanan dada juga.

“Rasa sakit ini seperti dada ditindih (ditekan), berat atau dibelit (sempit), dan boleh merebak dari dada ke leher, rahang atau lengan kiri

“Selain itu, rasa sakit akibat serangan jantung turut dikaitkan dengan simptom lain seperti berpeluh, rasa mual, sesak nafas dan rasa berdebar-debar (palpitation),” jelas beliau.

Kata beliau, rasa sakit ini juga datang dan pergi dan cuma bertahan untuk beberapa saat atau beberapa minit sahaja, serta dapat dikurangkan dengan berehat.

Tambahnya, serangan jantung juga dikaitkan dengan aktiviti fizikal berat seperti senaman terlalu kuat, mengangkat barang yang berat atau naik banyak anak tangga. Jika stres ditambah dengan perasaan marah yang membuak-buak, terdapat juga kemungkinan serangan jantung berlaku secara mendadak.

Jantung vs Reflux

Perkara pertama dalam mengelakkan kekeliruan dan rasa cemas akibat sakit dada adalah mengenali simptom ketika berlakunya serangan jantung. Perasaan cemas adalah normal jika kesakitan timbul di tempat yang sebelum ini tidak pernah berasa sakit.

Tetapi jangan terlalu risau atau cemas sehingga memudaratkan lagi keadaan dan menyebabkan rasa sakit itu semakin kuat.

Antara punca sakit dada bukan akibat serangan jantung yang biasa ditemui adalah masalah reflux asid perut yang menyebabkan radang dan bengkak kepada esofagus serta rasa pedih hulu hati.

“Sistem badan manusia telah diatur untuk berfungsi dengan elok, dari atas turun ke bawah, yang mengalir pula dalam satu arah. Jika fungsi sistem badan terganggu sehingga menjadi songsong, itu mungkin tanda hadirnya penyakit tertentu dan rasa sakit itu pula sebagai petanda daripada badan, memaklumkan terdapat kepincangan dalam fungsi sistem berkenaan,” kata Dr. Ahmad Shukri.

Penyakit yang dikenali Reflux Gastroesophageal (GERD) ini merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh reflux asid dari perut yang menghakis struktur salur penghadaman.

Dr. Ahmad Shukri menjelaskan, rasa pedih hulu hati yang berhampiran dengan kedudukan jantung ini mungkin menyebabkan kekeliruan di kalangan orang ramai.

“Selalunya reflux berlaku selepas makan terutama bila individu berkenaan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak,” kata beliau.

Beliau menyatakan reflux juga menyebabkan rasa mual, rasa asid (masam) di dalam mulut dan tidak melibatkan simptom seperti serangan jantung (sesak nafas, rasa berdebar) serta tidak dikaitkan dengan aktiviti fizikal.

Tambahnya, reflux juga boleh menyebabkan simptom batuk yang kering pada waktu malam, serangan asma (lelah) disebabkan kekejangan bronkiol atau menyebabkan pesakit bangun mengejut pada waktu malam akibat sakit di bahagian dada.

Rasa pedih hulu hati berbeza dengan sakit jantung kerana melibatkan perasaan seperti terbakar (heart burn) yang berpanjangan. Makanan pedas atau berlemak boleh menyebabkan simptom ini berlaku atau menjadi bertambah teruk.

Saringan dan Rawatan

Selain simptom, perlu juga diketahui ujian saringan bagi menentukan keadaan kesihatan anda serta menentukan rasa sakit pada dada berpunca daripada masalah jantung atau sebaliknya. Bukan sahaja ujian saringan, malahan cara rawatan untuk serangan jantung dan reflux juga berbeza.

Menurut Dr. Ahmad Shukri, doktor akan menjalankan ujian elektrikal kardiogram (ECG) jika pesakit disyaki mempunyai masalah jantung atau mengalami serangan jantung.

“Selain ECG, ujian darah juga dijalankan untuk menentukan kandungan kolesterol dan gula di dalam darah.

“Doktor juga akan mengambil tekanan darah pesakit dan menguji kehadiran enzim jantung yang dikeluarkan jika jantung mengalami kecederaan,” kata beliau.

Jika ECG adalah normal tetapi masih disyaki masalah jantung, Dr. Ahmad Shukri memaklumkan doktor akan melakukan ujian ECG tekanan (stres) yang memerlukan pesakit berlari di atas mesin treadmill bagi menguji kesannya terhadap jantung.

Beliau menjelaskan jantung akan memerlukan lebih banyak oksigen ketika menghadapi tekanan atau berlari dan perubahan pada bacaan ECG akan berlaku jika terdapat salur darah yang tersumbat.

Bagaimanapun, ujian ECG tekanan tidak memberikan bacaan yang 100 peratus tepat dan kadangkala boleh memberikan bacaan positif atau negatif yang salah. Ini merupakan antara batasan terhadap ujian saringan ini yang kadangkala boleh menunjukkan pesakit yang mempunyai masalah jantung sebagai sihat.

Dr. Ahmad Shukri memaklumkan pesakit boleh menjalani ujian koronari angiogram jika ujian stres ECG juga normal sedangkan doktor masih mengsyaki masalah jantung.

“Ujian koronari angiogram boleh menunjukkan bilangan dan tahap salur darah koronari jantung yang tersumbat dengan lebih tepat. Selain angiogram, pesakit juga boleh menjalani ujian angiogram MultiSlice Computer Tomography (MSCT) yang hanya memerlukan suntikan di tangan dan lebih cepat,” jelas beliau.

Selain itu, beliau turut menyatakan rawatan masalah jantung berbeza mengikut keadaan dan tidak semestinya memerlukan pembedahan besar.

Sekiranya doktor mengesan tanda positif pada ECG, Stres ECG atau MSCT, maka kaedah seterusnya yang terbaik adalah koronari angiogram yang membolehkan rawatan dilakukan pada saluran darah yang tersumbat melalui belon angioplasti dan stenting. Pembedahan pintasan jantung mungkin perlu dilakukan sekiranya bilangan dan tahap saluran koronari tersumbat terlalu serius. Selain itu, pesakit juga perlu meneruskan rawatan yang melibatkan penggunaan ubat bagi mengelakkan serangan jantung berulang.

Dalam pada itu, Dr. Ahmad Shukri memaklumkan masalah reflux pula dapat ditentukan dengan ujian endoskopi (OGDS) bagi menentukan sama ada terdapat radang atau luka di saluran penghadaman esofagus, atau hiatal hernia yang menjadi punca masalah berkenaan.

“Ujian lain untuk masalah reflux adalah kajian pH saluran penghadaman esofagus selama 24 hingga 48 jam.

“Rawatan untuk masalah reflux pula lebih mudah dengan bertumpu kepada mengurangkan penghasilan asid perut,” jelas beliau.

Menurut Dr. Ahmad Shukri, penghasilan asid perut boleh dikawal menggunakan ubat tertentu yang perlu diambil secara berkala oleh pesakit.

Dr. Ahmad Shukri menasihatkan sesiapa yang menghadapi sakit dada untuk berjumpa dengan doktor untuk menjalani ujian lanjut dan juga untuk dirujuk kepada doktor pakar perut, jantung atau paru-paru mengikut penyakit yang disyaki.

“Perlu diingat sakit dada itu bukan hanya petanda sakit jantung tetapi mungkin juga melibatkan masalah kesihatan lain yang perlu dikenalpasti dengan segera untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin.

“Jangan ambil mudah walaupun jika bukan disyaki serangan jantung dan dapatkan nasihat serta pandangan doktor anda dengan segera,” tegas beliau.

Sebarang pertanyaan mengenai sakit dada boleh diajukan kepada Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh melalui e-mel ashukris@yahoo.co.uk

Risiko dan Pencegahan

Terdapat dua jenis faktor risiko serangan jantung iaitu faktor tidak boleh ubah dan boleh ubah. Faktor tidak boleh ubah termasuk umur lebih 40 tahun, jantina lelaki dan mempunyai sejarah keluarga sakit jantung pada usia muda. Faktor boleh ubah pula lebih melibatkan gaya hidup yang boleh dikawal seperti merokok, kolesterol tinggi, darah tinggi, diabetes, obesiti dan stres.

Serangan jantung juga boleh berlaku seawal usia 20-an akibat amalan pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.

Bagi mereka yang aktif dalam sukan dan boleh berlari dalam jarak dua kilometer dengan mudah, rasa sakit dada berkemungkinan bukan akibat serangan jantung. Namun bagi mereka yang bermain sukan kurang tekanan seperti golf, sakit dada berkemungkinan menandakan serangan jantung terutamanya jika mereka kurang berjalan dan banyak menaiki kereta buggy sepanjang bermain golf. Senaman, diet rendah lemak dan tidak merokok menjadi antara kaedah utama yang dicadangkan untuk mengurangkan risiko dan mengelak mengalami serangan jantung.

Antara kumpulan yang berisiko menghidap reflux asid pula adalah perokok, berat badan berlebihan, mempunyai masalah hiatal hernia dan kuat minum kopi. Merokok dan tabiat sering minum kopi boleh melemahkan cerut atau spinkter esofagus dan akan memudahkan asid perut naik ke dalam saluran esofagus. Pesakit yang menghidap reflux perlu menjaga pemakanan dan mengamalkan pengambilan makanan dalam hidangan kecil dengan kekerapan lebih tinggi, atau makan sedikit-sedikit, banyak kali setiap hari.

Punca-Punca Lain Sakit Dada

* Aneurisme aorta yang bocor atau pecah

Masalah ini melibatkan salur darah yang membengkak dan lebih berbahaya daripada serangan jantung kerana boleh menyebabkan kematian mengejut pesakit. Masalah ini biasanya berlaku di kalangan mereka yang sudah lanjut usia dan antara punca utamanya adalah tekanan darah tinggi. Selain itu, pesakit yang dijangkiti kuman siflis ketika masih muda juga menghadapi risiko aneurisme yang lebih tinggi selepas melewati umur 50 tahun.

* Pleuritis

Masalah ini melibatkan radang pada lapisan pleura iaitu membran yang melitupi paru-paru. Pesakit biasanya berasa sakit ketika menarik nafas akibat paru-paru yang mengembang menyentuh lapisan pleura. Pleuritis mungkin berlaku akibat jangkitan kuman dan cara rawatannya adalah dengan merawat jangkitan tersebut.

* Costochondritis (Sindrom Tietze)

Masalah ini melibatkan keradangan dan bengkak pada satu atau lebih tulang rawan costal pada tulang rusuk pesakit. Antara puncanya adalah trauma atau batuk yang berpanjangan. Kesakitan akibat masalah ini turut melibatkan tulang rusuk dan pesakit akan berasa lebih sakit jika kawasan terbabit ditekan. Rasa sakit pada dada akibat masalah ini juga berpanjangan dan boleh mencecah berhari-hari lamanya.

Selain tulang rusuk dan rawan costal, kesakitan pada otot dada juga diletakkan di bawah kumpulan ini. Antara punca kepada masalah ini adalah senaman keras atau terlalu berat yang mencederakan struktur tulang, otot atau rawan pada dada. Kebanyakan pesakit yang mengalami masalah ini menyangkakan mereka, mengalami serangan jantung tetapi costochondritis mudah dibezakan dengan sakit jantung atau reflux asid memandangkan kedua-dua keadaan berkenaan tidak menyebabkan kesakitan bertambah jika dada ditekan.

Pesakit selalunya hanya perlu mengambil ubat penahan sakit untuk masalah ini dan akan pulih selepas satu masa tertentu, bergantung kepada punca masalah berkenaan.

* Tekanan pada saraf

Masalah ini berpunca daripada tekanan pada saraf tunjang akibat dihimpit tulang belakang ‘cervical’ yang semakin rapat. Kesakitan yang mulanya dirasakan pada leher boleh beralih ke dada dan boleh berlaku kepada golongan muda ataupun yang berusia. Walaupun jarang berlaku, masalah ini mungkin dihadapi mereka yang mengalami kecederaan teruk pada leher.

Masalah ini boleh dikesan melalui imbasan Sinar-X atau imbasan MRI (Magnetic resonance imaging) ke atas tulang belakang pesakit. Rawatan untuk masalah ini biasanya melibatkan ubat dan fisioterapi tetapi pembedahan mungkin diperlukan untuk pesakit dengan masalah yang lebih serius.


Ditulis oleh:

Nurul Anuar Kari

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/