Peminat Setia Doktor Pakar

Sunday, March 30, 2008

Membaiki Saluran Jantung

Ensiklopedia bebas, Wikipedia mentakrifkan pembedahan pintasan jantung sebagai satu proses pintas bagi memulihkan pengaliran darah ke bahagian jantung.

Seterusnya ensiklopedia itu menyebut ia melibatkan penggantian salur darah jantung yang tersumbat dengan salur darah dari kaki (vena), lengan (radial arteri) atau arteri bawah tulang dada (internal mammary artery).

Kalau mahu dibuat perbandingan, pintasan ini juga bermaksud jalan pintas. Jika jalan itu rosak, maka kereta tidak boleh melalui jalan tersebut dan sebagai jalan keluar, satu lencongan perlu dilakukan.

Jika mana-mana salur darah jantung tersumbat, maka lencongan perlu dilakukan. Mudah kata, lencongan itu mewujudkan satu saluran darah baru bagi membolehkan bekalan darah kepada jantung dapat disalurkan.

Terdapat dua jenis saluran darah baru bagi menggantikan yang tersumbat iaitu vena di kaki dan arteri (lengan dan bawah tulang dada).

Membicarakan mengenai pintasan jantung, kita cepat teringat dengan apa yang dilalui oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam usianya 80-an, beliau telah menjalani dua kali pembedahan pintasan jantung. Beliau berjaya dalam kedua-dua pembedahan itu – satu pada tahun 1989 manakala terbaru 4 September lepas.

Pembedahan pintasan jantung pada lazimnya dibuat selepas berlaku perbincangan dan rundingan di antara doktor dan seseorang pesakit jantung.

Tidak semestinya mereka yang mengalami penyakit jantung tersumbat perlu menjalani pembedahan pintasan.

“Sebab itu, rundingan dan nasihat daripada doktor pakar perlu untuk membolehkan sama ada prosedur pembedahan atau cara lain dilakukan ke atas pesakit,” kata Pakar Perunding Bedah Kardiotorasik, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Mohd. Zamrin Dimon semasa ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau yang juga pensyarah di Jabatan Surgeri HUKM berkata, apabila seseorang itu didiagnos dengan penyakit koronari jantung tersumbat, satu rawatan yang menjadi kelaziman di kalangan pakar jantung ketika ini adalah rawatan angioplasti belon dan stent (sejenis rerelung dawai logam yang halus), yang dijalankan berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada prosedur penyiasatan angiogram koronari. Ia dilakukan terdahulu pada waktu yang berasingan ataupun serentak.

Saluran sempit atau tersumbat itu dirawat dengan belon khas dan diikuti dengan stent, untuk memastikan saluran darah itu terbuka luas bagi membolehkan darah membawa nutrien dan oksigen ke bahagian jantung.

Pintaran

Prosedur ini dijalankan oleh pakar kardiologi. “Biasanya jika saluran pembuluh darah itu melibatkan banyak tempat yang tersumbat ataupun saluran itu kritikal, ia tidak sesuai dirawat dengan angioplasti, namun pembedahan pintasan koronari akan disarankan.

“Ini selalunya terhasil daripada perbincangan lanjut antara pakar jantung (kardiologi) dan pakar bedah jantung,” ujar beliau.

Dalam pada itu, ada kemungkinan untuk seseorang pesakit yang telah menjalani pembedahan koronari mengalami semula koronari jantung tersumbat.

Kalau saluran darah jantung yang asal boleh tersumbat, maka kemungkinan saluran darah pintasan juga boleh tersumbat sekiranya pesakit tidak mengawal risiko-risiko yang ada padanya seperti darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi dan sebagainya.

Sebab itulah berlaku pembedahan pintasan jantung kedua atau ketiga, bergantung kepada usia serta keadaan pesakit.

“Ada pesakit yang saya rawat mengalami tujuh tempat tersumbat. Perlu diingatkan, tempat yang tersumbat itu akan terus kekal tersumbat, pakar bedah hanya membuat pintasan. Manakala faktor risiko yang mengundang kepadanya ialah kencing manis, darah tinggi, kolesterol dan merokok.”

Oleh itu, jika faktor-faktor risiko ini dielakkan, ketahanan saluran darah baru itu adalah lebih lama.

Kebiasaannya, pintasan koronari daripada vena, daya tahannya adalah sekitar lapan hingga 12 tahun, arteri lengan pula 10 hingga 15 tahun dan arteri bawah tulang dada lebih daripada 15 tahun.

Mengambil kira daya tahan dan tempoh masa itu, apa yang cuba disampaikan ialah jika pesakit itu menjalani pembedahan pertama pada usia 40 tahun, beliau akan menjalaninya sekali lagi pada usia sekitar 50 hingga 60 tahun, dan kemungkinan pembedahan kali ketiga pada usia lewat 70-an, sekiranya masih hidup.

Pada awal tahun 1980-an, pembedahan pintasan koronari jantung mula dijalankan di Hospital Besar Kuala Lumpur dan Hospital Universiti Kuala Lumpur.

Antara pakar bedah jantung yang awal di negara ini ialah Tan Sri Dr. Yahya Awang, Datuk Dr. Razali Wathoot dan Allahyarham Dr. Razali Hashim.

Perkembangan pesat dalam bidang pembedahan kardiotorasik dan juga kardiologi berlaku selepas berjayanya pembedahan pintasan koronari ke atas Dr. Mahathir, pada tahun 1989, di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Ini merupakan sejarah yang amat penting dalam profesion ini.

“Ia memberi momentum yang besar dan penting kepada perkembangan kardiotorasik itu sendiri. Tindakan beliau itu seolah-olah memberi kepercayaan kepada pakar-pakar tempatan.”

Peristiwa ini merupakan pencetus utama kepada penubuhan Institut Jantung Negara (IJN). Daripada IJN, lahir ramai pakar bedah jantung di negara ini.

Mengendalikan

Di HUKM sendiri kata beliau, terdapat unit kardiotorasik, diletakkan di bawah Jabatan Surgeri yang mengendalikan banyak pembedahan sukar berkaitan jantung dan paru-paru.

Di HUKM, pembedahan pintasan koronari jantung adalah pembedahan yang biasa dan juga dapat dilaksanakan dengan kaedah menggunakan mesin jantung dan paru-paru ataupun kaedah terkini dalam keadaan jantung masih berdegup.

Menurut beliau, baru-baru ini, pihaknya melakukan pembedahan yang rumit iaitu pembedahan 3 dalam 1 di mana pesakit mengalami saluran darah tersumbat, fungsi jantung lemah dan bengkak serta injapnya mengalami kebocoran.

Sepasukan pakar bedah yang diketuai oleh beliau menjalankan pembedahan pintasan koronari ke atas pesakit tersebut, membaiki injap yang bocor serta rekonstruksi fungsi ventrikal kiri dalam satu prosedur yang mengambil masa selama empat jam. Pesakit tersebut pulih dan telah pun dibenarkan pulang ke rumah.

Dalam banyak hal, menurut Dr. Mohd. Zamrin, perasaan takut yang disebabkan kekurangan maklumat, menjadikan seseorang yang didiagnos penyakit koronari jantung takut menjalani pintasan jantung.

“Ini perlu diatasi melalui perbincangan dengan doktor pakar. Jika tidak, perasaan bimbang dan khuatir itu semakin menebal dengan kesudahannya melambat-lambatkan proses yang sepatutnya mereka jalani.

Memang setiap pembedahan ada risikonya, tapi sekiranya pesakit itu perlu dibedah tetapi tidak mahu, risiko untuk mendapat serangan jantung adalah lebih tinggi.”


Ditulis oleh:
Azlinariah Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

1 comment:

  1. bagaimana seseorang usia 80 tahun keatas yang mengalamai kencing manis tapi dapat dikawal ingin menjalani pembedahan pintasan jantung ini di sebabkan saluran tersumbat

    ReplyDelete