Peminat Setia Doktor Pakar

Friday, March 07, 2008

Masalah Awal Sakit Puan Di Kalangan Remaja

Dengan kemajuan teknologi dan komunikasi, remaja sekarang terdedah kepada lebih banyak perkara, melebihi apa-apa yang didedahkan secara formal.

Kematangan pemikiran mereka juga lebih cepat dan akan memerlukan ibu bapa serta guru-guru memahami dan menguruskan mereka sebaik mungkin dengan menerangkan perkara berkaitan perkembangan tubuh badan mereka dan bukan melalui cara menakut-nakutkan.

Kemunculan masalah sakit puan seperti sakit semasa kedatangan haid boleh membebankan pelajar, terutamanya jika mereka takut untuk berkongsi masalah dengan rakan atau guru.

Remaja juga mempunyai organ reproduksi yang sama seperti wanita dewasa sementara tumbesaran dan kemajuan sistem endokrin mereka sahaja yang masih belum matang.

Walaupun masalah sakit puan di kalangan remaja bukan sesuatu yang luar biasa, ibu bapa sewajarnya memerhatikan perkembangan tumbesaran mereka.

Remaja di dalam konteks ini didefinisikan sebagai mereka berumur antara tujuh hingga 19 tahun.

Masalah Dengan Akil Baligh

Pada peringkat sekolah rendah fasa 1 (darjah 1 hingga 3), rupa bentuk budak lelaki dan perempuan seakan sama sahaja.

Bagaimanapun, selepas akil baligh berlaku di antara usia lapan hingga 14 tahun, bentuk badan mereka akan mula berubah mengikut perkembangan seksual masing-masing.

Pada peringkat ini berlakunya pengeluaran hormon yang menyebabkan remaja lelaki mengalami perubahan suara dan pertambahan kepadatan otot badan.

Sementara itu, remaja perempuan akan melalui pembentukan payudara dan permulaan kitaran haid sementara bulu akan mula tumbuh di beberapa bahagian badan.

Bagi remaja perempuan, hormon khusus akan dikeluarkan hipotalamus, pituitari dan seterusnya ovari.

Masa untuk seorang remaja mencapai akil baligh pula bergantung kepada beberapa faktor seperti kesihatan umum, genetik, pemakanan dan juga aktiviti fizikal.

Akil baligh yang awal bermula sebelum seorang remaja perempuan mencapai umur lapan tahun sementara remaja yang lambat baligh pula selalunya tidak datang haid dan tiada perkembangan seksual sebelum usianya mencapai 14 tahun.

Lambat baligh pula mungkin sesuatu yang normal bergantung kepada sejarah keluarga remaja tersebut sekiranya ujian menunjukkan tiada masalah kesihatan dengan semua kadar hormon normal.

Status pemakanan, paras lemak badan, ketegangan emosi dan fizikal juga boleh mempengaruhi masa remaja tersebut baligh.

Banyak penyebab yang perlu disiasat bagi kedua-dua keadaan termasuk kadar pengeluaran hormon estrogen.

Permasalahan Dengan Haid

Sistem endokrin (hipotalamus, pituitari dan ovari), yang terlibat dalam perkembangan seksual remaja pada mulanya tidak peka dengan tugas masing-masing dan membawa kepada masalah kitaran haid.

* Menoragia adalah masalah haid tidak teratur, yang kerap berlaku, lazimnya akibat kitaran remaja berkenaan tidak berovulasi (telur tidak dikeluarkan).

Lazimnya kitaran tidak teratur dan turun darah mungkin berpanjangan berikutan fungsi hipotalamus dan kelenjar pituitari akan mengambil masa dua tahun untuk diseimbangkan badan.

Paras hemoglobin pesakit menoragia juga perlu dipantau bagi mengelakkan masalah anemia (tidak cukup darah) yang akan menyebabkan badan berasa letih dan lesu.

Selain itu, remaja perempuan mungkin mengalami penyakit Von Willebrand ataupun immune thrombocytopenic purpura yang kedua-duanya memerlukan ujian darah dilakukan.

Doktor akan memeriksa anatomi pelvis (sistem reproduksi) dengan melakukan ujian ultrasound dan akan memberi rawatan serupa seperti kepada wanita dewasa.

Ubat antifibrinolitik seperti asid traxenamic berupaya mengurangkan pengaliran darah tetapi tidak dapat menetapkan kitaran haid.

Ubat lain seperti NSAID (Ibubrufen dan Asid Mefenemik) pula dapat mengurangkan kesakitan semasa haid, termasuk sakit kepala dan juga cirit-birit.

Bagaimanapun, asid traxenamik lebih berkesan dari segi pengurangan jumlah darah sementara pil perancang keluarga pula paling sesuai untuk rawatan menoragia bagi menghalang pengaliran darah yang terlalu banyak.

* Dismenorea pula menyebabkan sakit semasa haid sehingga boleh mengganggu persekolahan dan hidup seharian remaja.

Pil penahan sakit mungkin perlu diambil sementara pil perancang keluarga boleh mengurangkan jumlah pendarahan.

* Masalah tidak datangnya haid (amenorea) pula dibahagikan kepada dua iaitu primer dan sekunder, bergantung pada ciri-ciri fizikal wanita yang telah terbentuk pada remaja berkenaan.

Bagi remaja tidak mempunyai ciri-ciri kewanitaan dan tidak datang haid, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan sebelum mereka memasuki sekolah menengah.

Masalah perkembangan ciri fizikal mungkin berlaku akibat tumbesaran rahim yang tidak lengkap atau bahagian atas faraj yang hilang akibat masalah tumbesaran ketika masih dalam kandungan.

Selain itu, terdapat juga kemungkinan selaput dara terlalu tebal dan tidak mempunyai bukaan untuk darah haid keluar.

Mereka yang mempunyai sifat fizikal wanita pula mungkin melibatkan kelainan genetik yang akan memerlukan penyiasatan lanjut di hospital yang berupaya melakukan ujian genetik.

Ibu bapa serta guru-guru memainkan peranan penting dalam mengenal pasti remaja dengan masalah perkembangan seksual dan merujuk kepada doktor pakar untuk ujian lanjutan.

Masalah Ovari

* Sindrom Ovari Polisistik

Sindrom ini menyebabkan pendarahan haid yang tidak teratur atau tidak datang haid langsung.

Remaja dengan masalah ini juga akan mempunyai berat badan yang berlebihan, bulu tumbuh di tempat yang lazimnya hanya pada remaja lelaki, dan mempunyai masalah jerawat.

Remaja sedemikian dinasihatkan supaya melakukan senaman untuk mengurangkan berat badan serta menjaga jumlah dan jenis makanan yang diambil.

Selain itu, kulit di bahagian lipatan remaja yang mempunyai masalah ini akan menjadi bertambah gelap yang dikaitkan dengan permulaan penyakit kencing manis.

* Sindrom kegagalan Ovari

Sindrom ini mungkin berpunca daripada kelainan kromosom seperti pada pesakit sindrom Turner, kelainan mozek pada kromosom atau masalah sistem imun badan.

Remaja perempuan yang mempunyai masalah ini perlu menjalani ujian lanjut untuk memastikan punca dan cara rawatan yang sesuai untuk pesakit.

Ditulis oleh:
Prof Madya Dr Shah Reza Johan Noor
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan,
Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

2 comments:

  1. Jika anda telah disahkan oleh klinik mempunyai fibroid, cyst dan dinasihatkan membuat pembedahan..makanlah SALAMON selama 1-2 minggu. Selepas itu buatlah pemeriksaan semula di klinik.

    ReplyDelete
  2. salam saya mempunyai masalah tidak dtg period 2bulan stgh..sblm ni sy ad mslh mcm ni jga tp clalu slps 2 bulan period dtg..oleh itu td sy g klinik dktr beri suntikan utk dtg period..selain itu,ad bonjolan di belah kiri perut sy..dktr ckp tkot ad mslh ovari jdi dia bg ubt tok mkan..bonjolan 2 bila tekan kuat ke dlm sy x rasa skit pn tp bila pegang ckit je d permukaan sy rsa skit sgt2.. ap mslh sy hdpi skrg?? ad pnh sy g urut bru period dtg..adkh kemungkinan angin punca period sy x teratur??

    ReplyDelete