Peminat Setia Doktor Pakar

Saturday, March 15, 2008

Diet Pesakit Sindrom Nefrotik

SOALAN:
Doktor, saya seorang ibu berusia 29 tahun. Saya telah selamat melahirkan anak melalui pembedahan cara menegak pada minggu ke-37 kehamilan setelah saya disyaki menghidap penyakit Sindrom Nefrotik.

Sehingga sekarang saya masih mengambil ubat (Prednisolone) sebagaimana yang disarankan oleh doktor pakar sehinggalah tarikh akhir yang telah ditetapkan. Saya kini mempunyai seorang anak berusia lapan bulan yang masih aktif menyusu badan. Soalan saya:

1. Apakah kesan sampingan kepada anak saya terhadap pengambilan ubat tersebut?

2. Saya juga dinasihatkan supaya menjalani pembedahan kecil (pengambilan isi buah pinggang). Apakah risiko yang dihadapi sekiranya saya menjalani pembedahan tersebut?

3. Kini saya dalam keadaan stabil. Apakah terdapat cara lain untuk menyembuhkan penyakit saya ini? Kepada doktor berkenaan, saya ucapkan ribuan terima kasih.

Murni

JAWAPAN:
Sindrom Nefrotik merupakan sejenis penyakit buah pinggang peringkat glomerular yang menyebabkan kehilangan protein yang banyak menerusi urin (air kencing).

Ia turut mengakibatkan pengumpulan air dalam badan yang dipanggil edema serta penurunan paras protein seperti albumin dalam darah.

Selain itu, paras lelemak dalam darah meningkat, kecenderungan untuk mendapat darah beku bertambah dan seseorang itu lebih senang mendapat jangkitan penyakit.

Penyakit ini boleh berlaku bila-bila masa sahaja termasuklah di kalangan kanak-kanak. Ia kerap terjadi di antara usia 18 bulan sehingga 4 tahun.

Ia juga lebih cenderung menghinggapi kanak-kanak lelaki berbanding perempuan manakala bagi orang dewasa, kedua-dua jantina terbabit berada pada nisbah yang sama.

Penyebab

Sindrom Nefrotik boleh berlaku secara idiopatik di mana penyebabnya tidak diketahui. Namun demikian, Sindrom Nefrotik boleh juga berpunca daripada beberapa penyakit lain.

Contohnya kencing manis, eritematosus lupus sistemik (sejenis penyakit autoimun), kanser (seperti limfoma, leukemia), jangkitan kuman (seperti Hepatitis B dan C atau HIV) serta ubat-ubatan, contohnya ubat antiradang bukan steroid (NSAIDs) dan penicillamine.

Simptom-Simptom

Simptom-simptom awal antara lain adalah seperti kehilangan selera makan, rasa kepenatan, bengkak sekeliling mata, sakit perut dan urin berbuih. Tekanan darah boleh jadi rendah, normal atau tinggi. Di kalangan kanak-kanak, selalunya rendah.

Diagnosis

* Pemeriksaan urin (pengumpulan urin untuk 24 jam) bagi mengenal pasti jumlah protein yang keluar ke dalam urin

* Paras kolesterol dalam darah yang boleh meningkat kadang-kadang sampai 10 kali ganda lebih tinggi

* Biopsi buah pinggang untuk mengenal pasti jenis penyakit glomerulus yang tersebut tadi.

Ujian-ujian lain mungkin dibuat sekiranya doktor yang merawat mengesyaki penyakit ini disebabkan oleh penyakit-penyakit yang lain seperti barah, kuman dan sebagainya.

Rawatan

* Diet: Jikalau fungsi buah pinggang seseorang itu normal, individu tersebut boleh makan makanan berprotein dengan kuantiti yang normal, selalunya 1g/kg/hari. Jika tidak, individu tersebut perlu mengehad kuantiti protein kepada 0.6g/kg/hari

* Penggunaan prednisolone iaitu sejenis steroid, dalam kebanyakan kes-kes Sindrom Nefrotik. Dalam kes-kes rintangan (yang melawan), penggunaan ubat-ubatan imunosupresif seperti cyclophosphamide, cyclosporine atau mycophenolate mofetil mungkin dilakukan

* Ubat diuretik seperti frusemide digunakan untuk mengurangkan pembengkakan dan ubat Angiotension Converting enzyme inhibitor seperti enalapril dan perindopril digunakan untuk mengurangkan kadar kehilangan protein dari urin.

Jawapan Kepada Soalan Murni

1. Penggunaan sebanyak 80g/hari prednisolone pernah digunakan tanpa kesan sampingan kepada si anak. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan lain seperti Mycophenolale perlu diawasi kesan sampingannya.

2. Pembedahan tersebut dipanggil biopsi buah pinggang dan dilakukan untuk mengenal pasti jenis penyakit glomerulus tadi serta, mengenal pasti sejauh manakah penglibatan tisu-tisu buah pinggang.

Ini kerana ubat-ubatan dan prognosis seseorang yang menghidap Sindrom Nefrotik mungkin bergantung kepada jenis penyakit glomerulus yang disebutkan tadi.

3. Risiko pembedahan ini adalah:

* Pendarahan: Komplikasi ini boleh berlaku tetapi jarang sekali sampai memerlukan transfusi darah. Pesakit mungkin akan mendapati darah di dalam urin sampai seminggu lepas prosedur.

* Sakit: Selalunya, kesakitan digred sebagai sedikit ke sederhana. Sebanyak empat peratus daripada pesakit akan mengalami sakit lebih daripada 12 jam.

4. Seseorang itu dikatakan berada dalam keadaan remisi atau berkurangnya sakit apabila tiada protein dikesan dalam urin dalam tempoh tiga hari berturut-turut.

Namun demikian, kejadian ini boleh datang kembali dan bergantung kepada penyebab Sindrom Nefrotik serta jenisnya dan sejauh mana berlakunya kerosakan buah pinggang. Setakat ini, tiada cara lain untuk merawat penyakit ini.


Ditulis oleh:
Dr Zulkarnain A. Hamidy
Pakar Perunding Perubatan,
Hospital Pakar Shah Alam

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

1 comment:

  1. Salam doktor,

    Saya nak bertanya adakah penyakit nefrotik sindrom dan lupus nefritis adalah sama?

    ReplyDelete