Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, March 12, 2008

Pembedahan ETS Rawat Peluh Berlebihan

Boleh dikatakan, semua orang akan berpeluh apabila cuaca panas di luar. Kebanyakan daripada kita juga boleh menjangkakan peluh akan keluar jika bersenam.

Itu normal kerana badan menggunakan peluh untuk mengawal suhu badan. Terdapat antara dua hingga empat juta kelenjar peluh yang digunakan oleh sistem saraf untuk menyejukkan badan.

Tetapi, cuba bayangkan peluh keluar lebih banyak daripada diperlukan, sekalipun berada dalam persekitaran yang sejuk dan tidak menggunakan tenaga.

Sesetengah orang menderita peluh berlebihan di mana tangan dan kaki mereka berpeluh dengan banyaknya, membuatkan mereka menjauhkan diri daripada bersosial dengan masyarakat disebabkan oleh masalah yang memalukan ini.

Rambo (bukan nama sebenar) merupakan salah seorang daripada mereka. Dia hidup dengan peluh yang berlebihan tidak kira apa sahaja yang dilakukannya.

Remaja berusia 19 tahun ini juga mengalami kebasahan yang teruk serta kesejukan hampir kebanyakan masanya. Diagnosis Rambo mengatakan, dia menderita keadaan kronik yang dikenali sebagai hiperhidrosis.

Rambo sering mengelak daripada berjumpa orang lain kerana bimbang dicemuh. Oleh kerana itu, kawan-kawannya boleh dibilang dengan jari. Dia juga mengelak daripada bersalaman.

Semasa musim peperiksaan, pelajar di salah sebuah universiti tempatan itu tidak boleh menjawab dengan baik walaupun dia seorang yang pintar dan tahu apa jawapannya.

Kertas jawapannya basah lencun dan koyak dek peluh yang menitis dari tangannya. Perasaan cemas menghadapi peperiksaan memburukkan lagi keadaannya.

Pada masa lalu, mungkin penyelesaian kepada masalah hiperhidrosis ini adalah sangat terhad tetapi kini, prosedur pembedahan berteknologi tinggi mampu menawarkan kelegaan segera.

Jika sebelum ini, para penderita hiperhidrosis mungkin diminta mengelap tangan mereka menggunakan tuala atau menggunakan talkum, atau paling tidak menerima keadaan mereka seadanya, namun itu semua tidak mendatangkan kesan seperti diharapkan.

Mereka kini boleh memilih rawatan pembedahan ringkas yang secara relatifnya berisiko rendah dan mampu menyembuhkan hiperhidrosis hampir 100 peratus, sepanjang hayat.

Sayangnya, pembedahan kelenjar saraf - simpatektomi torasik endoskopi (ETS), kurang diketahui wujud di negara ini.

“Hiperhidrosis atau masalah peluh berlebihan sehingga boleh menitis dari badan bukanlah satu perkara yang boleh dianggap biasa.

“Walaupun ia bukan penyakit kategori berbahaya namun ia boleh menyebabkan gangguan psikologi,’’ kata Pakar Perunding Bedah Kardiotorasik, Jabatan Pembedahan Kardiotorasik, Institut Jantung Negara, Dr. Jeswant Dillon.

Beliau turut berkongsi pengalaman pesakitnya yang mengakui terpaksa memakai plastik di dalam kasut bagi menadah peluhnya.

Peluh seorang pesakit lain yang ditemuinya pula menitik apabila tangan diiringkan. Mereka memilih pakaian berwarna lebih gelap agar peluh tidak nampak terlalu ketara.

Menurutnya, baik lelaki mahu pun wanita dari semua peringkat umur boleh menghidap penyakit ini, terutamanya di kalangan anak muda berusia 20-an.

“Hiperhidrosis lazimnya bermula sejak kecil lagi yang mana jika dibiarkan tanpa rawatan, boleh berlarutan seumur hidup.

“Ia juga bersifat keturunan. Adalah dianggarkan, sebanyak 30 peratus daripada penghidap mewarisinya daripada ahli keluarga mereka,’’ ujar beliau.

Tambahnya, anak-anak yang dilahirkan oleh ibu bapa penghidap hiperhidrosis mempunyai kebarangkalian sehingga 25 peratus mendapat masalah serupa.

Punca

Sehingga kini, masih belum diketahui dengan tepat apakah yang menyebabkan perpeluhan yang berlebih-lebihan ini.

“Apa yang pasti, aktiviti saraf simpatetik keterlaluan memberikan rangsangan kepada kelenjar peluh yang normal.

“Ini menyebabkan kelenjar menghasilkan banyak peluh dalam masa yang singkat ,’’ kata Dr. Jeswant.

Mengulas lanjut, hiperhidrosis terbahagi kepada dua kategori iaitu primer yang tidak diketahui puncanya. Ia biasanya terjadi setempat pada tangan, kaki, ketiak dan muka. Masalah ini turut dikesan berlaku pada bahagian kepala, dada, belakang dan pangkal paha.

Kategori sekunder pula boleh terjadi pada keseluruhan badan disebabkan oleh jangkitan kulat, obesiti, penyakit autoimun, hipertiroidisme, menopaus, kehamilan, kencing manis, tumor, batuk kering mahupun gangguan psikiatri.

“Seseorang itu lazimnya tidak menyedari bahawa masalah peluh berlebihan ini merupakan satu penyakit sehinggalah sampai satu tahap mereka tidak selesa langsung,’’ jelasnya.

Apa yang membuatkan beliau tambah terkilan, tidak ramai pesakit yang tahu mengenai rawatan hiperhidrosis ETS tanpa torehan atau bukaan besar sebagaimana pembedahan konvensional.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1995, lebih 260 pembedahan ETS bagi merawat hiperhidrosis telah dilakukan di IJN.

Prosedur ETS

Umumnya, pesakit sama ada boleh dirawat melalui teknik pembedahan dan bukan pembedahan – bergantung kepada sejauh mana seriusnya masalah itu. Bukan semua pesakit memerlukan pembedahan.

ETS memberikan tumpuan terhadap sistem saraf tubuh iaitu rangkaian simpatetik yang bertanggungjawab melencongkan darah dari kulit seseorang ke organ-organ penting, bagi membolehkan anda menguruskan situasi cemas.

Apabila kecemasan berlaku, anggota seperti tangan menjadi sejuk dan mula merembeskan sejumlah besar peluh.

Di kalangan penghidap hiperhidrosis, sistem saraf simpatetik adalah sangat aktif lalu menghasilkan tindak balas secara lebih kerap.

“Usah biarkan masalah ini berlarutan sehingga boleh menjejaskan kualiti hidup. Berjumpalah dengan doktor pakar bagi mendapatkan diagnosis tepat serta rawatan yang bersesuaian.

“Jika pesakit dikenal pasti mengalami masalah-masalah kesihatan lain seperti kencing manis yang juga boleh menjadi punca masalah peluh berlebihan, mereka terlebih dahulu akan diberikan rawatan bagi penyakit terbabit,’’ kata Dr. Jeswant.

Menggunakan ETS, dua lubang kecil berukuran 0.5 sm akan dibuat di bawah ketiak pesakit yang dibius sepenuhnya.

“Doktor kemudiannya akan memasukkan tiub yang mempunyai penyuluh pada hujungnya menerusi salah satu lubang manakala lubang yang satu lagi dimasukkan dengan alat pembedahan.

“Tiub berlampu tersebut disambungkan ke skrin komputer yang digunakan oleh doktor pakar untuk melihat ke dalam tubuh pesakit bagi melakukan pembedahan.

“Sebaik dikenal pasti, beberapa sentimeter urat saraf simpatetik terbabit akan dipotong,’’ jelas beliau sambil menambah, pembedahan mungkin dilakukan di kedua-dua bawah ketiak kiri dan kanan, jika perlu.

Keseluruhan prosedur mengambil masa lebih kurang sejam dengan masa tinggal di hospital yang singkat, tiga ke empat hari.

Parut pembedahan yang ditinggalkan juga adalah sangat kecil, tidak mencacatkan dan terlindung di bawah ketiak. Faktor ini lazimnya menjadi keutamaan para pesakit khususnya, wanita.

Risikonya adalah kecil manakala komplikasi jarang berlaku. Jika pun ada, segelintir pesakit mungkin mengalami perpeluhan lebih banyak buat sementara waktu sahaja sebelum kembali normal.

Sebelum pembedahan berlangsung, pesakit dibius dan beransur-ansur tidak sedarkan diri – umpama tidur dalam bilik berhawa dingin. Tangan dan kaki mereka basah dan sejuk.

Beberapa jam selepas pembedahan dan kesan ubat bius semakin hilang, mereka kini mempunyai tangan yang kering.

Bagi pakar bedah yang terbabit, adalah sesuatu yang menyentuh hati menyaksikan reaksi mereka terhadap perubahan ini.

Lazimnya, perkara pertama yang pesakit lakukan adalah menyentuh tangan sendiri. Mereka teruja dan hampir tidak percaya, tangan yang selama ini basah bertukar kering dan terasa lebih hangat, buat pertama kalinya seumur hidup mereka.

Bagi insan seperti Rambo, ETS bukan sekadar mengeringkan tangan serta menghangatkan hari-harinya yang mendatang.

Lebih dari itu, ia membawa satu keyakinan baru ke dalam dirinya sekali gus mengakhiri ketakutan dan rasa malu serta rendah dirinya selama ini.

“Ia satu kelegaan yang amat sangat. Lega sungguh,’’ ucap Rambo penuh makna.

Lain-lain rawatan bukan pembedahan

* Ubat sapu atau deodoran antipeluh yang mengandungi aluminium klorida di dalam larutan alkohol

* Iontoporesis di mana bahagian yang mengalami peluh berlebihan akan dimasukkan di dalam larutan garam dan diberikan kejutan kecil elektrik berukuran 15 hingga 18 mA. Ia perlu diulang beberapa kali

* Setakat ini, tiada rawatan ubat-ubatan yang benar-benar berkesan. Pemberian ubat makan yang mengandungi ejen antikolinergik seperti glycophyrrolate dan amitriptyline bagi mengehadkan kegiatan saraf mendatangkan kesan sampingan yang ketara.

* Suntikan Botulinum Toxin (Botox) pada dos tertentu bagi melumpuhkan saraf yang merangsang kelenjar peluh terutamanya ketiak.

Walaubagaimanapun, ia kurang menjadi pilihan kerana perlu diulang antara enam hingga 12 bulan sekali menyebabkan rasa sakit, selain mahal.


Ditulis oleh:
Shafinaz Sheikh Maznan

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

21 comments:

  1. Artikel ini sangat memberi informasi kepada mereka yang mengalami hiperhidrosis memandangkan kebanyakan pengamal kesihatan tidak memandang serius akan hal ini. Saya ingin bertanya tentang kos untuk pembedahan ETS ini dan di mana pembedahan tersebut boleh dijalanakan?
    Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. artikel ini sangat memberimanfaat kepada saya kerana saya juga mengidap hiperhidrosis.saya ingin cuba mendapatkan rawatan ets namun saya ingin mengetahu berapakah kos rawatan pembedahan ini?

    ReplyDelete
  3. saya pun ingin tahu berapa kos rawatan ini kerana saya baru-baru ini telah mengidap penyakit ini..selama ini saya tak pernah alami...dimana perlu saya mendapatkan pembedahan ini ini....

    ReplyDelete
  4. Sorry, I live in malaysia but don't speak malay, hence can't read the article. But I underwent the surgery here and I don't recommend it to anyone. It is not as simple as doctors make it sound. Imagine not being able to sweat at all from the nipple line up and the rest of your torso runs like a tap. All am saying is, no matter how bad is your hyperhidrosis is, you should be very careful before going for ETS. The human nervous system is very complex thing and it isn't a good idea to mess with it.

    ReplyDelete
  5. tq 4 the info.saya ada hiperhidrosis juga.seriously terpaksa mengelak dari bersalaman & bersosial dengan ramai2 kenalan..,saya jadi pendiam dan selalu menangis sendirian..macam mana ye? saya masih student...so,kalau untuk ETS, boleh ke saya mintak package student? dan adakah kalau pergi ke pusat kesihatan universiti saya ini, masalah saya akan diambil kisah kerana masalah ini sangat2 jarang ada??? tq.

    ReplyDelete
  6. Hi guys,
    sy slh sorg penghidap penyakit nehh..
    sy nk tanye la, baru2 ni sy ade pergi ke HSA JB..hospital kerajaan la kann..then sy direfer ker pakar kardiotorasik n stlah berbincang ngn DR, sy pon setuju utk wt pembedahan..tp ad satu hal la plak..sy lupe nk tanye kos pembedahan sbb sy igt kmpem la free kan kt hosp kerajaan..tp cm meleset jer sbb ad org ckp still kene bayar..
    btw, sy ni student UTM..n sy ade terbace kos dia dlm RM7K-14K..adehhh, klu kene byr cmne ea? bleh ker mntak pihak u tlg memandangkan sy sakng kt IPTA? any idea?

    ReplyDelete
  7. basically, how much it will cost for the ETS ?

    ReplyDelete
  8. kawan2....saya baru saje lepas jalani pembedahan ETS ni 2 mggu lepas....ALhamdulillah tangan saya kini x lagi berpeluh... saya buat di HSA JB...kos nye pon x sampai RM300.00..mUrah dan memang berbaloi...;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. cik nana.kalau hospital government lain ada tak buat prosedur ni?

      Delete
    2. Hi nana...sy pn ada msalah excessive sweating jgk. igt nk wt jgk surgery tp slalu sy bce kos msti dlm 10k-12k. 1st time ni dgr kne RM300 je. ni yg p HSA ni..=)

      Delete
    3. assalamualaikum nana, sy pon de prob yg sama.. peluh sentiasa mencurah2.. malu kdg2. :( bole kongsi pglaman cmne nk jmpe doktor tu..

      Delete
    4. saya baru menjalani pembedahan ETS pada 31/1/2013 lalu. setakat ni alhamdulillah peluh di tapak tangan sudah tiada lagi. tapi peluh di kaki masih ada cuma berkurangan. masalah lain yang timbul adalah peluh dibahagian badan dan ke bawah. selain itu, selepas pembedahan saya turut mengalami masalah sakit urat saraf dibahagian bawah ketiak dan kebas dibahagian dada sehingga kini. tetapi doktor memberitahu itu adalah perkara biasa. saya berharap masalah ini tidak berlarutan. untuk pengetahuan semua, saya menjalankan pembedahan ini di HUKM. jumlah kos pembedahan termasuk wad 3hari 2malam adalam RM350. jika ada sebarang pertanyaan, sila lah bertanya kepada saya :)

      Delete
    5. Helo nana.. Mase awak g HSA tu awak pergi refer ke bahagian mana ye ??? Saya pon stay jb jugak.. Hurm. Berapa lama awak amek masa tok operation tuh yeee ?? Saya pon ada problem ni jugak...

      Delete
    6. Nana..boleh tak explain prosedur utk pmbedahan ni..mula2 tu kena pegi jumpa deparment mne? Jabatan pesakit luar ke?sy pun stay kat jb jg.sy juga penghidap hiperhidrosis yg teruk..please pm me 0146841464.asap.tq

      Delete
  9. encik anonymous.c mane nk apply pmbdahan nih?just pgi HUKM dan set temujanji je?sy still lgi student.kt sepang.

    ReplyDelete
  10. helo...saya ada masalah peluh yg berlebihan pada tangan dan kaki yg teruk sehingga saya tidak dapat menggunakan selipar disebabkan selipar basah dengan peluh dan menyebabkan kekotoran yg ketara pada permukaan kaki.sy nk tanya dimana harus saya buat rawatan ETS ini dan berapa kos rawatan pembedahan ini.lokasi sekarang di kuala lumpur.terima kasih.

    ReplyDelete
  11. saya pon ada mslh pluh yg berlebihan
    14/4 ni ada appointment dgn doc.
    sblm tu,doc suggest kna operate...
    tp doc kata atas awak la nk bt ke x...
    ma ayh kata xpyh la sbb bknnya mmudaratkan..
    >>blank<<

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
    2. berapa kos kalau buat di hospital kerajaan ...

      Delete
  12. Oh god tq... Tq smua maklumat nie sgt penting utk sy... sy akn ke sana..sy fikir selama nie kos dia ribu..

    ReplyDelete
  13. Saya da buat pembedahan ETS tangan bole kate 98%baik..kaki 20 30 % jer..tp yg buruk nyer peluh tue beralih kt bdan ngn peha dgn bnyk!!paling xselesa..setahun merana peluh kt bdan dan peha..klau hiperhidrosis kt tgan or kaki skit2 tue..sy syor kn xyah buat la..sblom xmenyesal kemudian hari..

    ReplyDelete