Peminat Setia Doktor Pakar

Saturday, March 15, 2008

Uji Ketumpatan Jisim Tulang Melalui Mesin Pengimbas

Kemajuan teknologi dalam bidang kesihatan membolehkan seseorang itu mengesan penyakit mereka lebih awal.

Kini orang ramai tidak perlu bimbang kerana wujudnya alat ultra bunyi atau pengimbas, yang boleh mengesan penyakit pada bahagian organ-organ dalam badan manusia, termasuklah tulang.

Tulang yang kuat dan sihat membolehkan kita bergerak cergas.

Manusia mempunyai 206 tulang dengan bentuk dan saiz yang berbeza seperti tempurung kepala dan ada yang panjang.

Tulang dalam tubuh badan mempunyai banyak fungsi termasuk membentuk rangka yang menyokong tubuh dan memberikan bentuk.

Ia juga melindungi organ dalaman seperti otak, tulang rusuk, paru-paru, jantung, hati, limpa dan tulang belakang yang melindungi saraf tunjangnya.

Selain itu, tulang juga berfungsi sebagai kilang yang menghasilkan sel darah.

Bagi memeriksa kekuatan tulang seseorang, sebuah syarikat farmaseutikal, Sanofi Aventis memberi perkhidmatan percuma kepada orang ramai untuk menguji ketumpatan jisim tulang manusia melalui mesin pengimbas di Lecadia PrimaCare Centre Sdn. Bhd., Jalan Pudu, Kuala Lumpur, baru- baru ini.

Menurut Pakar Produk dan Wakil Perubatan Sanofi Aventis, Wai Chee, 27, tulang berada di tahap paling kuat apabila seseorang berusia kira-kira 25 hingga 35 tahun dan alat ini kebiasaannya diguna oleh orang ramai yang berumur 40 tahun ke atas.

Lelaki dan wanita mempunyai jisim tulang yang berbeza. Lelaki mempunyai jisim yang lebih tinggi daripada wanita.

‘’Bagaimanapun, lelaki dan wanita, lebih-lebih lagi wanita, mula kehilangan jisim tulang apabila usia mereka meningkat.

‘’Sebahagian besarnya adalah disebabkan sesuatu yang tidak dapat dielakkan, iaitu penuaan. Bagi wanita, jisim tulang susut lebih cepat selepas menopaus.

‘’Ini kerana mereka tidak lagi mengeluarkan hormon estrogen yang melindungi mereka daripada kehilangan jisim tulang,’’ jelasnya.

Tambah Wai Chee, orang ramai kini tidak perlu risau kerana melalui mesin ini, mereka boleh mengesan tahap kekuatan tulang mereka.

Jelasnya, tulang seseorang itu akan dikategorikan kepada tiga tahap, normal, osteopenia dan osteoporosis.

‘’Melalui mesin ini, bacaan jisim tulang seseorang berdasarkan bacaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan keluar. Bagi yang mempunyai kekuatan tulang yang normal, bacaannya ialah 1 hingga -1.0 dan mereka yang mengalami osteopenia, bacaan antara -1.1 hingga -2.49.

‘’Sementara itu, mereka yang mengalami osteoporosis akan mencapai jisim -2.5 hingga -4.0.

‘’Pada tahap ini, seseorang itu perlu berjumpa dengan doktor pakar untuk mendapatkan nasihat,’’ katanya.

Wai Chee memberitahu, mereka yang mengalami gaut dan mencapai tahap osteoporosis.

Tambah Wai Chee, tulang yang mempunyai ketumpatan normal mempunyai tulang yang sihat, osteoporosisi pula menunjukkan tulang kurang sihat dan osteoporosis menunjukkan tulang seseorang itu rapuh.

‘’Kehilangan jisim tulang menjadi lebih buruk jika seseorang tidak cukup kalsium sejak kecil hingga dewasa.

‘’Kehilangan terlalu banyak jisim tulang boleh menyebabkan osteoporosis.

‘’Ia biasanya menyerang orang tua dan meningkatkan risiko retak tulang, biasanya tulang pinggul, pergelangan tangan dan tulang belakang. Keretakan-keretakan ini boleh membawa kecederaan serius yang memerlukan penjagaan jangka panjang atau mungkin menyebabkan kematian,’’ katanya.

Wai Chee menjelaskan, pada usia kanak-kanak dan remaja, seseorang itu perlukan pemakanan tulang yang secukupnya adalah amat penting.

‘’Pastikan tubuh kita menerima bekalan vitamin, mineral dan nutrien yang optimum bagi melengkapkan proses pembentukan semula tulang untuk mendapatkan jisim tulang yang maksimum.

‘’Sebahagian daripada nutrien-nutrien penting yang diperlukan untuk tulang yang sihat adalah protein, zink, fosforus, vitamin C dan magnesium,’’ katanya.

Tambahnya lagi, terdapat tiga nutrien yang memainkan peranan tersendiri dan juga berfungsi secara sinergi dalam mengoptimumkan kesihatan tulang.

INFO

Vitamin D

* Meningkatkan keberkesanan penyerapan kalsium, oleh sebab itu ia membantu mengekalkan tahap kalsium yang optimum di dalam darah.

Kalsium

* Kalsium adalah salah satu mineral utama dalam pembentukan tulang yang diperlukan oleh tubuh dan kepentingan mineral ini merupakan asas yang telah lama bertapak dalam sains pemakanan untuk tulang.

Vitamin K

* Vitamin K berfungsi dengan meningkatkan jumlah osteocalcin yang aktif, yang dapat meningkatkan daya tarikannya terhadap kalsium. Ini akan mengekalkan dan mengikat nutrien-nutrien di dalam tulang.

Tindakan sinergi yang kolektif

* Setiap vitamin dan mineral mempunyai fungsi yang tertentu, kajian yang telah dijalankan baru-baru ini menunjukkan bahawa kalsium, vitamin D dan vitamin K mempunyai mekanisme sinergi yang unik dan memberi kesan yang signifikan terhadap kesihatan tulang.

* Kombinasi beta-kerotin, vitamin C, E dan zink dapat mencegahnya daripada menjadi serius. Ini kerana ia dapat meneutralkan dan membaiki kerosakan dan mengekang kerosakan rawan.

* Asid lemak yang mengandungi minyak omega seperti Omega 3 dan Omega 6 didapati dapat meningkatkan pengeluaran prostaglandin yang mampu mengurangkan keradangan kerana ia boleh bertindak sebagai agen antiradang yang berkesan bagi melegakan simptom penyakit artritis.

* Penggunaan herba terutamanya yang mempunyai kandungan biji saderi yang tinggi bermanfaat dalam rawatan masalah sakit sendi yang kronik dan masalah keradangan yang lain.

* Biji benih saderi berupaya meneutralkan asid urik dan asid lain yang berlebihan dalam badan. Kombinasi Guaiacum halia, dan capsicum juga membantu untuk mengurangkan kesakitan sendi dan otot-otot.

* Pengamalan gaya hidup sihat adalah amat digalakkan, seperti senaman yang dapat menguatkan tulang.

* Pengambilan kombinasi kalsi- um, mangan, zink dan vitamin D3 memainkan peranan penting dalam pembentukan tulang.

* Penjagaan berat badan juga penting kerana berat yang berlebihan akan memberi bebanan yang berlebihan kepada otot dan sendi.


Ditulis oleh:
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

3 comments: