Peminat Setia Doktor Pakar

Saturday, July 30, 2011

Bentuk Tidak Lurus Tidak Memudaratkan

SOALAN:
Saya mempunyai saiz zakar normal tetapi ia membengkok ke depan. Kebanyakan zakar lelaki yang saya tahu menegang atau mendongak ke atas, tetapi saya menegang ke depan dan membengkok. Adakah rawatan untuk masalah ini? Mungkinkah saya ada masalah melakukan penetrasi apabila berkahwin?

Mahukan Penjelasan, Johor Bahru

JAWAPAN:


Keadaan dan bentuk zakar tidak sama untuk semua lelaki. Memandangkan zakar tidak bertulang, ia mudah dibentuk atau diluruskan secara sederhana tanpa menyakitkan.

Zakar yang kedudukannya tidak sehala ketika ereksi, seperti melengkung ke kiri, kanan, atas atau bawah secara sederhana, ia boleh diluruskan sama ada oleh lelaki itu atau pasangannya untuk dimasukkan ke dalam faraj dengan mudah.

Lain pula jika proses meluruskan zakar yang ereksi itu menyakitkan. Mustahak untuk lelaki itu berjumpa doktor untuk membetulkan kedudukan zakar.

Jika pasangan wanita terasa sakit atau tidak selesa disebabkan ereksi berbentuk luar biasa dan sukar disalurkan ke dalamnya, tentu persetubuhan penetratif jadi hambar.

Bentuk dan keadaan zakar ketika tidak ereksi ialah melentuk dan tergantung. Bagi lelaki yang mempunyai zakar ‘mengembang’, ketika tidak ereksi ia kecil dan terbenam.

Dalam keadaan ereksi, zakar mendongak dan bahagian depan melengkung seperti huruf ‘S’. Sebahagian besar lelaki akan mendapati ereksi mereka sedikit ke kiri dan ini kerana sifat aktif otot bulbocavernosus (otot yang menampung pangkal zakar) kiri yang tegang dan membuatkan ereksi menghala sedikit ke kiri.

Posisi, kedudukan dan bentuk zakar berubah apabila ada parutan dalam otot zakar atau selaput tisu pengembang zakar menebal dan situasi ini dikenali sebagai penyakit Peyronie.

Jika zakar berbentuk luar biasa itu yang disebabkan parutan atau tisu pembalut otot menebal diurut, ia akan memudaratkan masalah sedia ada.

Kaedah mengurut atau menarik zakar tanpa kawalan dan pengawasan boleh merosakkan zakar. Tiada ubat, minyak atau krim urutan dapat membetulkannya. Anda perlu rujuk doktor untuk pemeriksaan.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my/

Wednesday, July 20, 2011

Minuman Ais, Berkafein Bukan Punca Lemah Tenaga Batin

SOALAN:
Adakah minuman sejuk seperti ais baik untuk lelaki? Suami gemar minuman sejuk serta berkafein. 

Adakah minuman seperti ini memudaratkan alat kelaminnya? Saya dan suami hanya melakukan seks seminggu sekali, dan air maninya hanya sedikit tetapi pekat. Bagaimanakah ia boleh terjadi?

Mia Mira
Kedah


JAWAPAN:

Minuman sejuk melegakan kehausan. Ini gambaran yang kita dapat setiap kali melihat iklan minuman. Malah, iklan itu tidak dibuat tanpa kajian.

Minuman sejuk juga melegakan keradangan tekak. Tidak hairan jika kita mengalami jangkitan tekak, doktor syorkan minuman sejuk atau aiskrim. Sama juga jika mengalami bengkak atau keradangan sendi atau kecederaan, kita guna ais untuk meredakannya.

Begitupun, minuman sejuk tidak mengganggu ereksi atau melemahkan tenaga batin. Sebenarnya, tiada kaitan antara ais dan tenaga batin seseorang kerana ketegangan dan ereksi lelaki berlaku apabila darah disalurkan kepada zakar. Jadi, tiada sebab mengapa lelaki tidak boleh minum minuman sejuk.

Bercerita mengenai kaffien, ramai tidak tahu kaffein daripada kopi mempunyai kuasa melancarkan darah dalam anggota kelamin secara sederhana seperti ubat pelancar darah PDE-5 Inhibitor seperti ‘Viagra’.

Tidak hairan jika kita lihat kopi menjadi minuman kegemaran lelaki sejak turun menurun. Kopi juga dapat menghindari penyakit nyanyuk atau Alzeimer selain mengandungi antioxiden yang menyegarkan tubuh badan dan nyah penuaan.

Jika suami suka minum kopi atau Nescafe bercampur ais, biarkan saja. Setahu saya, minum kopi sebegitu tidak mengganggu fungsi syahwat.

Mengenai air mani pekat, memang pada mula air mani yang keluar adalah pekat. Beberapa minit kemudian ia menjadi cair untuk memudahkan sperma bergerak aktif.

Kesuburan lelaki hanya boleh diketahui setelah menjalani ujian air mani.
Melihat keadaan air mani sama ada pekat, sedikit atau cair tidak memberi apa-apa makna.

Anda jangan was-was mengenai kesihatan suami. Jika dia gagal dalam hubungan seks, anda harus mencadangkan dia berjumpa doktor, bukan bomoh, tukang urut atau membeli ubat kuat di kaki lima.

Kini semua masalah kesihatan lelaki ada penawar dan boleh dirawati doktor melalui rawatan moden.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my/

Sunday, July 10, 2011

Sperma mati jadi nutrien dalam badan

SOALAN:
Benarkah  seorang lelaki tidak harus menyimpan sperma lebih dari tujuh hingga 10 hari kerana kualiti sperma akan menurun?

Jika benar, bagaimana remaja yang belum berkahwin mahu mengelak keadaan itu? Perlukah dia melakukan onani?


Izwan, Selangor 

JAWAPAN:
Sperma lelaki dihasilkan oleh buah zakar dan sperma berkumpul di penghujung salur sperma yang dikenali sebagai ‘ampulla’, berdekatan pundi seminal dania menunggu waktu untuk dikeluarkan melalui proses ejakulasi.

Proses pembiakan sperma daripada peringkat sel asal kepada sperma matang ialah 90 hari dan jangka hayat sperma dalam ‘ampulla’ ialah dua minggu.

Lelaki menghasilkan 70,000 sperma seminit dan 100-300 juta sperma sehari. Jika sperma itu tidak dikeluarkan melalui ejakulasi, sperma akan putus riwayat dan hasil kehancurannya diguna pakai sebagai nutrien dalam badan.

Jadi, tiada sebab kenapa sperma perlu dikeluarkan secara onani. Tanggapan anda dan kebanyakan lelaki yang mengikut kefahaman kononnya sperma perlu dikeluarkan sebelum tujuh hari, yang mana ia menjadi lemah atau kualitinya menurun ialah karut dan tidak benar.

Badan kita ada cara untuk melegakan tekanan syahwat dan tekanan pembiakan sperma. Jika sudah lama tidak melakukan onani, kita boleh mengalami mimpi basah. Jika tiada mimpi basah, sperma lama putus hayat dan hancur, kemudian diserap ke dalam sel badan.

Ingin saya tekankan, jangan mencuba dan membolehkan perkara haram dan yang tidak mendatangkan kebaikan.

Bagaimanapun, kajian di Australia mendapati onani dapat mengelak kemungkinan kanser prostat untuk lelaki berumur dan tiada pasangan.

Jika ada pasangan, pasangan boleh membantunya mengeluarkan sperma mengikut kemampuan mereka berdua. Bagi anda dan lelaki yang masih muda, jauhi onani dan zina. Begitupun, jika dengan onani boleh menjauhkan anda dengan zina, keadaan itu boleh dikira sebagai darurat. Wallahualam.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my/