Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label asid lemak. Show all posts
Showing posts with label asid lemak. Show all posts

Monday, April 11, 2011

Asid Lemak Untuk Wanita

SOALAN: 
Saya telah mengamalkan pengambilan minyak evening primrose (EPO) sejak lebih daripada setahun yang lalu. Saya dapat rasai perubahan pada kelembapan kulit dan saya terfikir untuk diberikan kepada ibu. Apakah pengambilannya turut memberi kebaikan kepada ibu yang sudah berusia 52 tahun ? 

JAWAPAN:
Kegunaan minyak evening primrose bukanlah sesuatu yang baru, malah secara tradisionalnya ia telah digunakan oleh masyarakat asli Amerika untuk menangani masalah kulit dan keseluruhan pokoknya direbus untuk masalah batuk, sakit kerongkong, artritis, lebam dan beberapa lagi. Pada kurun ke-20 ahli saintis Jerman mengetahui bahawa minyak daripada biji evening primrose boleh diekstrak. Hasil analisis mendapati bahawa minyaknya kaya dengan asid lemak perlu (EFAs), iaitu linoleik (LA) dan asid gamma-linolenik (GLA).

Kandungannya yang kaya dengan GLA ini semakin mendapat perhatian dan kajian tidak terhenti begitu sahaja, malah kini ia dikenali dan digunakan di seluruh dunia.

Keajaiban dan kemujaraban kandungan minyak evening primrose ini mendapat pengiktirafan banyak pihak untuk menyokong kegunaannya ke atas beberapa masalah kesihatan termasuklah sindrom prahaid (PMS), artritis reumatoid, diabetik neuropati (masalah terjejasnya fungsi saraf akibat diabetes), ekzema, kesakitan payudara, alergi, menopos dan beberapa lagi. Ini menjadikan tumbuhan yang berasal dari Amerika Tengah ini semakin berkembang dan lebih dikenali.

Asid-asid lemak perlu (EFA) adalah kumpulan lemak politaktepu yang penting untuk fungsi tubuh. Asid lemak perlu merupakan komponen membran sel dan sel-sel saraf. Ia juga membantu mengekalkan intergriti membran-membran sel yang membenarkan nutrien-nutrien memasuki sel-sel dan penyingkiran bahan buangan. Asid-asid lemak ini juga menyumbang kepada kebendaliran membran sel untuk membolehkan komunikasi antara sel-sel berlaku.

Bagi mereka yang mengalami sesetengah masalah kesihatan seperti diabetes, pengambilannya mungkin lebih diperlukan kerana penukaran linoleic acid kepada GLA menjadi lebih sukar dan perlahan. Ini penting kerana untuk membolehkan ia digunakan sepenuhnya oleh tubuh, ia perlu ditukar kepada GLA.

Selain itu, faktor pemakanan dan gaya hidup juga boleh menjejaskan penukaran ini. Ini merangkumi makanan yang tinggi dengan lemak tepu, makanan proses, kolesterol, gula dan alkohol, stres dan peningkatan usia. Penukaran yang lemah ini boleh mengakibatkan paras prostaglandin yang lebih rendah.

Prostaglandin adalah bahan yang menyerupai hormon yang bertanggungjawab kepada beberapa fungsi tubuh, termasuklah dalam pengawalan tekanan darah, merehatkan salur darah untuk peredaran darah yang lebih baik, mencegah pembekuan darah, menghalang sintesis kolesterol, mengawal tindak balas hormon dalam sistem reproduktif dan juga mengawal paras insulin dan sebagainya.

Pengambilan asid lemak melalui makanan harian adalah perlu memandangkan ia tidak boleh dihasilkan oleh tubuh. Sumber GLA daripada makanan agak terhad dan hanya boleh dijumpai dengan jumlah yang kecil dalam oat dan juga daging organ. Untuk memperolehi sejumlah GLA yang lebih tinggi atas alasan kesihatan tertentu, minyak yang diekstrak daripada biji bunga evening primrose, iaitu dalam bentuk suplemen merupakan alternatif yang lebih mudah dan menyenangkan.

Dengan itu, jika diambil kira faktor-faktor seperti peningkatan usia, faktor kesihatan, pemakanan dan gaya hidup kini, pengambilan minyak evening primrose boleh memberi manfaat kepada wanita sama ada untuk alasan kesihatan mahupun kecantikan secara umum.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Tuesday, August 03, 2010

Makanan Sihat Untuk Anak

SOALAN:
Anak saya kini berusia 1 tahun 6 bulan. Saiz badannya agak gempal. Penyusuan badan diberikan sehinggalah beliau berusia setahun. Selepas tidak lagi menyusu badan, anak saya jadi kuat makan. Dia makan hampir semua jenis makanan termasuklah makanan orang dewasa yang pedas.

JAWAPAN:
Bukan semua makanan orang dewasa sesuai untuk anak kecil. Makanan orang dewasa biasanya mengandungi bahan perisa dan pewarna tambahan berlebihan yang tidak sesuai untuk anak kecil, malah kandungan zat pemakanan yang diperlukan juga berbeza.

Mempelbagaikan pengambilan makanan adalah digalakkan untuk memenuhi keperluan tubuh yang semakin meningkat. Namun dalam masa yang sama, langkah berhati-hati perlu bukan sahaja untuk mengelak kemungkinan alahan dan juga masalah yang berkaitan masalah penghadaman seperti kembung, cirit-birit, sembelit dan sebagainya. Walaupun anak anda makan apa sahaja, namun pilihlah makanan yang sesuai dengan peringkat tumbesaran di mana nutrien dengan kuantiti yang diperlukan juga berbeza.

Apa yang penting adalah nutrien yang diperlukan, bukan sekadar untuk tumbesaran fizikal tetapi juga perkembangan minda. Otak dan sel saraf mengandungi asid lemak tak tepu berantai panjang (LCPs) yang sangat tinggi, manakala Asid dokosaheksanoik (DHA) dan Asid arakidonik (AA) merupakan LCPs yang utama. DHA, komponen struktur utama tisu otak dan retina mata. Ia penting khususnya pada dua tahun pertama dan peringkat awal kanak-kanak apabila otak dan mata mengalami perkembangan yang pesat.

AA dan asid gama linolenik (GLA) daripada asid lemak Omega-6 tidak kurang pentingnya. AA hadir dalam membran sel tubuh yang diperlukan untuk penghantaran mesej di sepanjang saraf dan fungsi ingatan yang normal. AA juga penting dalam perkembangan penglihatan, keupayaan belajar dan koordinasi. DHA, AA dan GLA diperlukan untuk perkembangan otak dan dengan sebab inilah formulasi gabungan Omega-3 dan Omega-6 penting semasa tumbesaran.


Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Monday, June 23, 2008

Asid Lemak Perlu Merangsang Minda

SOALAN:
"Saya mempunyai seorang anak lelaki yang sedang belajar dalam tahun dua. Saya dapati prestasi pelajarannya tidak memberangsangkan. Dia agak perlahan dalam memahami apa yang diajar dan sukar memberi tumpuan. Selain daripada galakkan dan sokongan emosi, adakah khasiat pemakanan boleh membantu?,".


JAWAPAN:
Pemakanan yang baik bukan sahaja penting untuk kesihatan dan tumbesaran secara fizikal, tetapi juga sangat penting untuk perkembangan otak seseorang. Perkembangan otak yang optima yang bermula di peringkat kehamilan boleh dirangsang dengan pemakanan seperti asid lemak perlu. Asid lemak ini tidak boleh dihasilkan oleh tubuh manusia dan dengan itu ia perlu diambil daripada makanan. Pengambilan asid lemak ini penting kerana otak manusia itu sendiri terdiri daripada 60 peratus lemak dan dengan itu adalah penting untuk memilih lemak yang betul untuk menyokong perkembangan dan fungsinya yang normal.

Kekurangan asid lemak dikaitkan dengan masalah tingkahlaku dan pembelajaran kanak-kanak, seperti ADHD (masalah kurang tumpuan dan hiperaktiviti), disleksia (disfingsi yang melibatkan bahasa seperti membaca dan pembelajaran bahasa) dan autisme serta mengganggu sistem penglihatan.

Asid lemak omega-3 dan 6 meningkatkan fleksibiliti dan kebendaliran membran (terutama dalam otak) yang penting untuk pengisyaratan sel yang optima. Penglihatan dan perkembangan kognitif kanak-kanak boleh dipertingkatkan dengan memberi makanan yang mengandungi asid lemak perlu, manakala pengambilan ikan semasa hamil boleh membantu kesihatan otak dan penglihatan bayi.

Bagi kanak-kanak formulasi gabungan yang seimbang dengan Asid Dokosaheksanoik (DHA), Asid Gama Linolenik dan Asid Arakidonik (AA) adalah penting dalam pembentukan dan perkembangan sel saraf otak dan mata. Asid-asid lemak perlu ini penting dalam merangsang kecerdasan minda, memandangkan ia memainkan peranan penting dalam transmisi isyarat antara saraf.

Selain itu, bagi ibu-ibu hamil, pengambilan asid-asid lemak perlu bukan sahaja untuk perkembangan janin yang normal tetapi juga untuk ibu itu sendiri. Ini berdasarkan kajian yang menunjukkan bahawa asid lemak omega-3 ini juga bermanfaat dalam membantu masalah kemurungan selepas bersalin.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my