Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label epilepsi. Show all posts
Showing posts with label epilepsi. Show all posts

Thursday, July 02, 2009

Epilepsi Bukan Titik Penamat

Kisah empat individu tersebut merupakan secebis kisah pesakit sawan yang dialami kira-kira 50 juta penduduk dunia daripada pelbagai peringkat umur. Menurut kajian Persatuan Epilepsi Malaysia, kira-kira 100 juta di dunia mengalami pengalaman epilepsi sekali dalam seumur hidup.

Menurut sejarah purba, epilepsi ditakuti dan dianggap kesan ilmu sihir malah pada zaman purba Babylon, jika seseorang diserang sawan, ia disebabkan dirasuk hantu. Sebab itu, cara perubatan mereka menerusi ilmu kebatinan.

Orang Yunani pula percaya seseorang yang diserang sawan melakukan kesilapan kepada dewanya. Pada 400 Sebelum Masihi, ahli falsafah dan perubatan Yunani, Hippocrates, orang pertama membuktikan epilepsi perlukan perubatan secara fizikal dan sekiranya penyakit ini bertambah teruk, ia tidak dapat diubati.

Sehingga hari ini, masih ramai yang beranggapan gangguan epilepsi disebabkan 'buatan orang' dan menyamakannya dengan gila atau cacat otak. Justeru ramai yang tidak tahu menangani keadaan kecemasan pesakit epilepsi.

Keadaan ini perlu berubah kerana pesakit epilepsi masih mempunyai harapan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.

Menurut Pegawai Perubatan Kanan Pusat Perubatan Tropicana, Petaling Jaya, Selangor, Dr. Suraya TS Yahya, ada juga kes kanak- kanak yang demam dikaitkan dengan penyakit ini.

Bahkan, ada tanggapan kes sawan yang kononnya dapat dihalang dengan menggunakan sudu hingga menyebabkan kecederaan.

"Pendidikan tentang epilepsi amat penting untuk menghalang salah faham masyarakat. Sebaiknya, ketika sawan berlaku, orang ramai jangan mengerumuni pesakit. Biarkan dia bergerak dalam keadaan lapang.

"Sebaik-baiknya biarkan pesakit mengiring untuk mengelakkan kepala terhentak dan mengakibatkan cedera," katanya.

Jika epilepsi berlaku lebih daripada tiga minit, sebaiknya rakan atau ahli keluarga menghubungi doktor.

Dr. Suraya berharap agar masyarakat tidak menganggap epilepsi sebagai sakit mental.

Tambah beliau, epilepsi sering dikaitkan dengan genetik iaitu sejarah keluarga yang mempunyai penyakit ini.

Namun, masyarakat perlu tahu, sejarah membuktikan ramai prominent figure yang mempunyai epilepsi mampu memberi impak kepada tamadun manusia dan teknologi dunia seperti aristotle dan leonardo di Vincci.

Berkongsi cerita bersama pembaca, Dr. Suraya memberitahu, sesetengah kes sawan di kalangan masyarakat hanya untuk menarik perhatian.

Ada kes yang tidak boleh dikesan dan apabila pihak hospital merujuk kepada pakar psikiatrik, rupa-rupanya pesakit tersebut hanya ingin menarik perhatian.

"Kebiasaannya, apabila seseorang diserang epilepsi, orang di sekelilingnya akan mengambil berat. Kejadian seperti ini juga perlu diambil kira," ujarnya.

Berbicara tentang rawatan epilepsi, Dr. Suraya tidak melarang pesakit mendapatkan alternatif rawatan lain.

Misalnya, pesakit boleh menggunakan holistik sebagai rawatan lain.

Bagi bayi yang mengalami demam panas, sebaiknya ibu bapa jangan panik atau membuat tindakan sendiri.

Terbaik, mereka perlu membawa bayi ke hospital untuk rawatan lanjut.

Bagi mereka yang mempunyai tanda pelupa, kejadian ini berlaku kerana selepas sawan, pesakit akan mula mengantuk dan tidak ingat kejadian sebelum itu.

Kadang-kadang mereka akan terus tidur. Sebab itu, pesakit tidak diberi lesen memandu kerana boleh membahayakan keadaan.

"Dalam keadaan epilepsi, otak pesakit tidak dapat mengawal keadaan. Biasanya, pesakit akan termenung atau keluar buih daripada mulutnya. Ini merupakan tanda-tanda yang biasa," jelasnya.

Dr. Suraya menjelaskan, penyakit ini tidak boleh sembuh, orang ramai hanya boleh mengawalnya melalui ubat dan bersedia dalam keadaan kecemasan.

Tetapi pesakit perlu menerima rawatan berkala. Walaupun mereka terpaksa bergantung pada ubat-ubatan sepanjang hayat, penyakit epilepsi bukannya penamat bagi pesakit daripada menikmati kebahagiaan hidup.

Anggaplah ia satu dugaan dan penyuntik semangat untuk kita menjadi lebih kuat dan tabah. Penyakit epilepsi bukan petanda buruk dan memalukan malah ia bukan penyakit berjangkit dan tiada kaitan masalah mental.

Namun, sehingga kini, tidak diketahui punca sebenar yang menyebabkan epilepsi. Bagi sesetengah pesakit, jangkitan otak, kekurangan oksigen, pendarahan otak, komplikasi penyakit seperti buah pinggang dan penyakit kemerosotan otak seperti alzheimer, boleh menjadi penyebab epilepsi.

Kebanyakan sawan separa berlaku tanpa disedari individu itu sendiri.

Antara tandanya ialah termenung, tidak banyak bercakap, anak mata memandang ke atas beberapa ketika dan kadangkala pesakit tidak sedarkan diri dalam tempoh sesingkat 30 saat dan selalunya orang tidak perasan serangan yang singkat ini.

Ini yang berlaku dalam kes 2 tadi, Norma dalam keadaan keliruu adakah anaknya mengalami epilepsi atau tidak.

Bagi sawan keseluruhan, seperti kes 1 (pelajar), 3(Rosnah) dan 4 (Roslan), ia menyebabkan pesakit kaku, rebah dan tidak sedarkan diri, badan mengalami tarikan dan meronta-ronta. Air ludah mungkin berbuih dan terdapat darah pada mulut

sekiranya lidah atau bibir tergigit. Serangan biasanya berlaku lebih kurang lima minit dan kebanyakan pesakit akan tertidur selama setengah jam atau lebih.

Dalam sesetengah kes seperti pelajar dalam kes 1, mereka mungkin mempunyai perasaan atau aura bahawa mereka akan diserang epilepsi. Misalnya, ada pesakit yang tidak boleh berada dalam keadaan terlalu panas dan apabila berada dalam situasi itu, mereka boleh merasainya.

Stigma masyarakat yang menganggap pesakit epilepsi itu gila atau sakit jiwa menyebabkan mereka disisihkan. Malah, ada pesakit yang terpaksa berhenti kerja kerana tidak tahan dengan tekanan ketua dan rakan sepejabat yang tidak memahami. Ada juga keluarga yang malu mempunyai pasangan atau anak menghidap sawan lantas menyembunyikan mereka daripada pengetahuan masyarakat. Keadaan ini perlu berubah kerana epilepsi bukan penamat kehidupan pesakit.

Serangan Epilepsi

>> Membabitkan keseluruhan otak.

>> Boleh menyebabkan pesakit kaku, rebah dan tidak sedarkan diri, dan mungkin badan akan mula bergoncang, atau mengalami konvulsi, meronta-ronta dengan kekuatan otot seperti biasa.

>> Serangan biasanya berlaku dalam lingkungan lima minit, tetapi kebanyakan pesakit kemudiannya akan tertidur buat setengah jam atau lebih dan bila terjaga seolah-olah termenung dan bingung buat seketika.

>> Apabila pesakit diserang, beliau mungkin akan terjatuh dan menjadi kejang, menyentak, pernafasannya tidak menentu dan tidak dapat mengawal buangan air kecil dan besar.

Rawatan

>> Jangan panik, sebaliknya baringkan pesakit di tempat selamat, dan alas sesuatu bahan lembut di bawah kepalanya. Jangan letakkan sebarang objek dalam mulut pesakit (termasuklah jari anda) kerana ia boleh mencederakan pesakit itu sendiri atau jari anda.

>> Ini boleh mencederakan anda, gigi pesakit boleh patah dan objek itu boleh menghalang saluran pernafasan. Jangan cuba menahan atau mengikatnya daripada bergerak.

>> Apabila sawan sudah berakhir, baringkan pesakit lalu mengiringkan badannya, supaya saluran pernafasannya lapang.

>> Jika pesakit berasa keliru atau ketakutan, berikan beliau keyakinan yang semuanya adalah seperti sedia kala. Elakkan daripada memberi apa-apa makanan atau minuman sehingga pesakit sedar seperti biasa dan teman pesakit sehingga beliau pulih.

>> Jangan cuba menahan pesakit daripada merayap kecuali ke tempat yang berbahaya bagi dirinya.

>> Jauhkan objek yang berbahaya yang ada berhampiran.

>> Jangan menenangkan pesakit dengan menggoncang badannya atau menjerit padanya.

>> Temankan pesakit sehingga beliau pulih.


Ditulis oleh:
Dr Suraya
Pegawai Perubatan Kanan Pusat Perubatan Tropicana

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Sunday, June 08, 2008

Memahami Penyakit Epilepsi

"Epilepsi adalah panggilan nama bagi muntahan berwarna kelabu yang berlaku sekali sekala, secara tiba-tiba, cepat dan keluar dengan banyak," demikian menurut John Hughlings Jackson, seorang doktor bangsa Inggeris yang dianggap sebagai bapa kepada konsep moden sawan.

Penjelasan dan konsep yang diperkenalkan oleh Jackson itu masih kekal relevan walaupun selepas 150 tahun berlalu. Secara mudahnya, epilepsi adalah satu gangguan di mana aliran isyarat elektrik di dalam otak menjadi celaru.

Ia kadangkalanya diumpamakan seperti berlaku ribut elektrik di dalam otak. Pelepasan elektrik dari otak yang berlebihan, pada zahirnya, adalah serangan sawan.

Ia dapat dilihat dalam bentuk sentakan (jerky), menggigil dan terkejang-kejang, bunyi kuat seperti berdengkur atau rebah ke tanah, atau gabungan ketiga-tiganya.

Dalam realitinya, serangan sawan boleh terjadi dalam sebarang bentuk perlakuan atau pergerakan yang tidak disedari atau tidak normal. Terdapat bermacam jenis epilepsi atau sawan, dan diklasifikasikan sebagai sawan keseluruhan (generalised) dan sawan separa (partial).

Perbezaannya bergantung kepada bahagian mana serangan sawan itu bermula dan setakat mana ia menjejaskan otak.

Dalam serangan sawan am, aktiviti aliran elektrik yang tidak normal berlaku pada pada kedua-dua hemisfera otak.

Pengidapnya akan tidak sedarkan diri. Serangan separa (partial) pula menjejaskan satu bahagian otak sahaja.

Serangan separa sawan (partial) terbahagi kepada serangan ringkas dan serangan kompleks. Sewaktu berlakunya serangan separa-sawan, seseorang itu tidak pengsan.

Dia mungkin mengalami sensasi atau emosi yang ganjil, misalnya secara tiba-tiba dilanda perasaan suka atau marah, atau berlaku perubahan pada bau, rasa, bunyi atau bentuk sesuatu benda itu.

Sewaktu berlakunya serangan sawan separa kompleks, seseorang itu mungkin tidak mengecam keadaan persekitarannya, mungkin kelihatan seperti bingung atau seperti berada dalam mimpi.

Tanda-tanda serangan ialah perbuatan mengunyah, bingung, menarik-narik pakaian dan berjalan berpusing-pusing dalam satu bulatan.

Kadang-kadang pengidapnya menyedari 'amaran' tersebut dan tahu yang dia akan diserang sawan. Amaran ini juga dipanggil aura.

>> Sawan menyeluruh

Serangan sawan menyeluruh pula dibahagikan kepada empat jenis: absens, myoklonik, atonik, and tonik-clonik.

>> Serangan sawan absens kebiasaannya berlaku pada kanak-kanak pada usia persekolahan dan biasanya berlaku sekejap sahaja (dalam beberapa saat).

Tanda-tanda biasanya ialah kelihatan bingung, pergerakan yang tidak ketara seperti mata terkelip-kelip. Mungkin tiada yang perasan ia sedang berlaku, malahan kadang-kala pengidap sendiri pun tidak perasaan ia berlaku.

>> Serangan sawan Myoklonik menyebabkan berlaku sentakan ringkas pada bahagian tangan, kaki atau bahagian atas badan. Ia sama seperti terjahan atau sentakan secara tiba-tiba pada kaki, yang dialami kebanyakan orang ketika hampir terlelap tidur.

>> Serangan sawan Atonik menyebabkan otot tiba-tiba menjadi lemah, mengakibatkan seseorang itu tiba-tiba rebah atau terjatuh.

>> Tonik-clonik adalah merupakan serangan sawan yang paling teruk dan jenis inilah yang akan terlintas di fikiran orang ramai apabila memikirkan tentang sawan. Tanda- tandanya adalah seperti tidak sedarkan diri, seluruh badan badan menjadi kejang, disusuli dengan sentakan pada tangan dan kaki. Mungkin juga berlaku hilang kawalan pada pundi kencing.

Jika tidak dirawat, serangan epilepsi ini boleh menjejaskan aktiviti harian seperti memandu atau ketika mandi atau berenang. Terjatuh ketika diserang sawan pula boleh mengakibatkan kecederaan pada kepala.

>> Epilepsi biasa berlaku

Ia dialami oleh kira-kira 0.8 peratus kanak-kanak dan 0.4 peratus orang dewasa. Ia mudah berlaku terutamanya pada kanak-kanak dalam lingkungan usia satu tahun dan mereka yang berusia melebihi 65 tahun.

Epilepsi juga boleh menyerang tanpa mengira umur, jantina, bangsa atau status sosial. Separuh daripada kes-kesnya, tidak diketahui puncanya.

Bagaimanapun, beberapa punca utama epilepsi adalah jangkitan pada otak (encephalitis, meningitis dan sebagainya), keadaan seperti serangan angin ahmar, ketumbuhan otak, trauma kelahiran, kecederaan teruk pada kepala, terdedah pada bahan toksik atau penyalahgunaan dadah dan faktor genetik (keturunan).

Walaupun terdapat kemajuan dalam bidang rawatan epilepsi, tidak banyak yang difahami mengenai keadaannya serta mitos menyelubungi penyakit ini.

Kerana kurang kefahaman dan kesedaran, maka pengidap epilepsi masih dilayan dengan rasa takut dan syak wasangka, dan kadang kala dilayan sebagai seorang orang buangan.

Mengidap epilepsi tidak bermakna seseorang itu 'gila' atau terencat akal, ataupun ia akan mengakibatkan masalah mental.

Penyakit ini tidak berjangkit. Sebahagian besar salah faham dalam masyarakat kita ialah epilepsi berpunca daripada gangguan kuasa ghaib.

Sesetengah anggota masyarakat masih mempercayai bahawa badan seseorang yang mengidap epilepsi telah 'dikuasai atau dirasuk oleh makhluk halus'.

Satu cara yang paling mudah untuk menangani kekeliruan tersebut dan mengikis sikap negatif terhadap penghidap sawan ialah dengan membandingkannya dengan penyakit lelah, mengalami debaran hati atau penyakit cirit birit.

Ketidakseimbangan atau gangguan yang sama berlaku pada jantung atau usus mengakibatkan debaran hati atau gangguan perut, boleh menyebabkan berlaku serangan sawan jika ia berlaku dalam otak.

Oleh itu, ia harus diuar-uarkan bahawa aliran elektrik tidak normal yang mengakibatkan berlakunya sawan, memang boleh dirawat!

Tambahan lagi, rawatan perubatan untuk epilepsi mudah diperoleh di semua klinik dan hospital kerajaan.

Ini bermakna orang ramai yang mengidap epilepsi tidak perlu menyisihkan diri atau merasa malu dengan keadaan mereka. Anggota keluarga dan penjaga mereka harus disedarkan bahawa pengidap epilepsi juga boleh menjalani kehidupan biasa seperti orang lain.

Untuk maklumat lanjut mengenai epilepsi, sila layari laman web www.epilepsy.org.my atau www.livebeyondepilepsy.com

Tajuk berikutnya dalam siri tiga artikel mengenai epilepsi ini akan menumpukan kepada diagnosis dan pelbagai pilihan rawatan yang disediakan sempena Hari Epilepsi Antarabangsa 2008 pada 28 Jun ini (Sabtu).


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Wednesday, March 05, 2008

Epilepsi Mungkin Kekal Hingga Dewasa

SOALAN:
Doktor, saya seorang ibu dan mempunyai anak perempuan yang kini berumur lapan tahun.

Semasa berumur enam tahun anak saya terkena demam panas dan mendapat sawan.

Sebelum ini, antara umur satu hingga tiga tahun, bayi saya kerap mendapat sawan walaupun tidak demam.

Doktor mengesahkan ia epilepsi dan diberi ubat untuk dimakan setiap hari.

Anak saya ini telah dua kali menerima imbasan CT otak dan EEG, semuanya normal.

Di bahagian mukanya pula tumbuh bintik-bintik hitam seperti jeragat.

Pemeriksaan jantung dan pakar kulit sudah dibuat. Jantung normal tetapi pakar kulit tidak dapat memberikan jawapan.

Saya ingin bertanya adakah penyakit ini akan sembuh apabila ia dewasa kelak walaupun anak saya kini jarang terkena sawan seperti dahulu?

Adakah cara lain untuk menyembuhkannya?

Untuk pengetahuan doktor anak saya tidak terkena sawan selama tiga tahun dan doktor telah mengurangkan jumlah ubat.

Bagaimanapun, semasa umurnya 6 tahun sekali lagi anak saya terkena sawan sehingga sekarang.

Zainon,
Johor

JAWAPAN:
Biasanya sawan tanpa demam dinamakan epilepsi dan diagnosis penyakit ini lebih berdasarkan simptom.

Pada kebiasaannya imbasan CT otak adalah normal sementara EEG yang normal pula tidak semestinya bermakna ini bukan epilepsi.

Sekiranya anak puan kerap mengalami sawan, adalah penting untuk memulakan ubat antisawan dan rawatan ini patut berterusan untuk sekurang-kurangnya dua tahun tanpa sawan. Selepas jangka masa ini, doktor akan mengurangkan dos ubat dan sekiranya tiada sawan lagi boleh diberhentikan ubat ini sama sekali.

Bintik hitam yang timbul mungkin dari kesan sampingan ubat ataupun mungkin tiada kaitan dengan pengubatannya.

Penyakit ini boleh hilang dengan peningkatan usia anak tetapi segelintir anak-anak ini masih boleh menghidap penyakit ini sehingga dewasa.

Adalah penting untuk anak puan meneruskan rawatan yang diberi dan jangan sekali cuba berhentikan atau kurangkan ubat yang diberi tanpa arahan doktor.


Ditulis oleh:

Dr Margaret Kannimmel
Pakar Pediatrik Am,
Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/