Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label kandungan luar rahim. Show all posts
Showing posts with label kandungan luar rahim. Show all posts

Monday, February 13, 2012

Bahaya Uri Bawah Rahim

SOALAN:


Dr., apakah yang dimaksudkan dengan uri? Adakah berbahaya jika uri berada di bawah? Saya selalu mendengar rakan-rakan berbual tentang perkara ini. Saya baru mengandung dua bulan dan amat takut dengan perkara ini.


Puteri R,
Subang.

JAWAPAN:

Uri adalah organ yang terdapat di dalam rahim wanita hamil dan bertanggungjawab membawa oksigen dan nutrisi daripada ibu kepada bayinya. Kedudukan uri yang normal apabila ia berada di tengah atau di bahagian atas rahim. Ini bermakna ia jauh daripada kawasan bayi sepatutnya keluar dari rahim.

Uri di kedudukan bawah pula berada di kawasan bawah rahim, menutup ruang laluan bayi (pintu rahim) semasa kelahiran. Ini seterusnya akan memberikan komplikasi semasa proses bersalin.

Ia bukanlah sesuatu yang jarang ditemui di awal kehamilan kerana 20 peratus daripada uri berada di bawah pada awalnya, tetapi apabila kandungan berusia melebihi 28 minggu, kebanyakan uri sudah tertarik ke atas oleh rahim yang semakin membesar dan cuma lima peratus yang masih berada pada bahagian bawah rahim. Jika uri ini masih kekal di bawah, keadaan ini dipanggil Placenta Previa (PP).

Sekiranya uri anda masih di bawah selepas kandungan 28 minggu, tidak banyak yang anda boleh buat untuk menaikkannya. ke atas. Rawatan pula bergantung kepada tahap PP tersebut, sama ada ia menutup keseluruhan laluan bayi (pintu rahim) atau separuh sahaja. Tahap keseriusan dibahagikan kepada empat jenis iaitu uri berada di kedudukan bawah tanpa menutup pintu rahim, uri berada di bahagian rahim dan di pintu rahim, uri menutupi sebahagian pintu rahim dan uri menutup keseluruhan pintu rahim.

Sekiranya wanita mengalami PP jenis keempat, terdapat risiko tinggi kelahiran pramatang dan pendarahan. Kadang-kadang pendarahan boleh menjadi terlalu banyak sehingga membahayakan nyawa. Doktor selalunya memantau simptom pesakit dengan memasukkan mereka ke wad pada usia kandungan 32 minggu sekiranya terdapat risiko pendarahan yang tinggi. Sekiranya anda mengalami pendarahan tidak normal dari faraj, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor untuk memastikan yang anda tidak mengalami PP.

Risiko

Sehingga hari ini, punca berlakunya PP tidak diketahui. Namun terdapat beberapa keadaan yang meningkatkan risiko PP, iaitu wanita yang mempunyai sejarah kelahiran secara pembedahan sebelum ini, wanita yang melahirkan anak secara kerap dan bilangan yang ramai, wanita muda di bawah umur 20, merokok semasa hamil dan kandungan kembar.

Wanita yang mengalami PP pada kebiasaannya mengalami kedudukan bayi tidak normal (mungkin melintang, songsang atau oblik). Kedudukan kepala bayi perlu sentiasa berada di atas rongga pelvis di saat tempoh matang kehamilan.

Selain masalah pendarahan yang membimbangkan, faktor lain yang mempengaruhi keadaan ibu adalah kaedah kelahiran bayi itu sendiri. Mereka ini biasanya tidak dapat melahirkan bayi secara normal akibat kedudukan uri yang menghalang kelahiran bayi melalui bukaan pintu rahim. Pembedahan caesarean adalah kaedah yang disyorkan. Selain itu, jika keadaan ibu membimbangkan akibat pendarahan, pembedahan caesarean terpaksa dijalankan walaupun dalam keadaan kehamilan yang tidak cukup bulan.

Apa yang membimbangkan mengenai PP ini, komplikasi yang boleh timbul pada bayi dan ibu. Komplikasi pada bayi adalah seperti pendarahan yang banyak pada ibu. Ini boleh meningkatkan kadar morbiditi dan kematian pada bayi dan meningkatkan risiko lahir tidak cukup bulan.

Komplikasi pada ibu pula pendarahan serius yang boleh mengancam nyawa. Pembedahan caesarean, meningkatkan risiko pendarahan selepas bersalin (postpartum haemorrhage) dan meningkatkan risiko uri melekat pada rahim. Keadaan uri melekat pada rahim dikenali sebagai placenta accreta. Dalam keadaan ini uri tidak boleh dipisahkan daripada dinding rahim akibat sebahagian tisu uri telah melekat pada otot-otot rahim. Jika ini berlaku, rahim terpaksa dibuang demi menyelamatkan ibu.

Bagaimanapun, risiko placenta accreta dalam kalangan ibu yang tidak mempunyai sejarah pembedahan pada rahim hanyalah sekitar lima peratus sahaja.

Bagaimanapun jika seseorang itu mempunyai sejarah pembedahan di rahim umpamanya caesarean, risiko placenta accreta bertambah 25 peratus.

Selamat

Dalam menangani PP, doktor akan mengesyorkan ibu supaya melahirkan kandungan dengan kaedah yang selamat, iaitu pembedahan caesarean. Bagaimanapun apabila pembedahan itu harus dilakukan, ia bergantung kepada penilaian dan faktor-faktor berikut iaitu tahap keseriusan pendarahan, usia bayi dalam kandungan dan juga sokongan perkhidmatan pediatrik.

Kebiasaannya jika seseorang ibu yang mengalami PP tetapi tiada pendarahan, pembedahan caesarean secara elektif akan dilakukan pada minggu ke 38 usia kandungan. Jika pendarahan berlaku sebelum usia kandungan tersebut, keputusan pembedahan akan dibuat oleh pakar setelah mempertimbangkan faktor-faktor di atas.

Saya harap Puteri R sudah jelas dengan penjelasan yang diberikan dan jangan mendengar bualan rakan-rakan sahaja. Anda perlu mendapatkan nasihat doktor dan semoga penjelasan yang diberikan akan menghilangkan kegusaran tersebut.



Ditulis oleh: Prof. Madya Dr. Nik Hazlina Nik Hussin

Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik & Ginekologi) 
Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan 
Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Friday, January 22, 2010

Hamil Luar Rahim Ancam Nyawa



Ujian ultrasonografi di bahagian pelvis akan memberitahu kedudukan sebenar fetus.

Kandungan luar rahim atau istilah perubatannya kehamilan ektopik merupakan satu proses patologi yang amat jarang berlaku. Ia terjadi apabila fetus membesar di luar kawasan rahim atau uterus.

Kandungan seumpama ini merupakan ancaman kepada nyawa si ibu kerana ia berisiko menyebabkan pendarahan yang banyak serta koyakan tisu.

Kes seperti ini berlaku apabila telur yang subur dan telah bersenyawa tidak tertanam di dalam rahim. Sebaliknya dalam kebanyakan kes kandungan di luar rahim, telur tersebut tertanam di dalam tiub fallopio atau ovari. Kadangkala terdapat juga keadaan di mana telur tersebut melekat dalam ruang abdomen.

Kehamilan jenis ini merupakan keadaan perbidanan yang serius dan memerlukan rawatan perubatan segera.

Jika telur yang akan berkembang menjadi embrio tertanam di luar kawasan uterus, maka secara logiknya ia tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk membesar.

Bukan itu sahaja, embrio tersebut juga tidak mendapat khasiat yang mencukupi untuk tumbesaran serta pembangunannya.

Tiub fallopio terlalu sempit untuk fetus yang membesar dengan pesat, jadi besar kemungkinan boleh terjadi kerosakan serta koyakan pada tisu di kawasan tersebut.

Bila itu terjadi maka pendarahan akan berlaku dan mengancam nyawa wanita tersebut.

Penyebab Kandungan Luar Rahim

Wanita yang pernah mengambil rawatan kesuburan dan stimulasi proses ovulasi mempunyai risiko lebih tinggi untuk terjadinya kandungan luar rahim.

Sejarah pernah menghidapi penyakit radang pelvis juga meningkatkan risiko kandungan luar rahim kerana kesan penyakit tersebut menyempitkan saluran fallopio.

Keadaan itu menyebabkan telur yang subur terhalang untuk menerusi saluran fallopio dan terus ke uterus. Apa saja pembedahan yang pernah berlaku di kawasan fallopio meningkatkan risiko kandungan luar rahim.

Endometriosis juga adalah salah satu punca risiko kandungan luar rahim.

Simptom Kandungan Luar Rahim

Sebenarnya susah untuk tentukan kandungan berada di luar rahim terutama ketika usia kandunganmasih awal.

Rasa sakit yang dialami oleh wanita seperti dicucuk pada bahagian abdomen atau pelvis, merupakan tanda pertama kandungan luar rahim. Simptom lain ialah tekanan luar rahim, rasa loya, mual atau pitam.

Pendarahan pada vagina juga merupakan simptom biasa kandungan luar rahim. Jika anda mengalami satu atau lebih simptom seperti yang dinyatakan, anda patut segera menghubungi doktor kerana kemungkinan boleh berlaku pendarahan dalaman.

Koyakan pada tiub fallopio biasanya diikuti dengan simptom pendarahan, kesakitan yang ketara dan parut pada formasi tisu.

Keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan reproduktif wanita dan mendatangkan komplikasi jika ingin hamil pada masa hadapan.

Diagnosis Kandungan Luar Rahim

Kandungan luar rahim biasanya didiagnosis pada minggu kelapan hingga 10 kandungan. Pada hari pertama kejadian uri akan terhasil hormon yang menyekat ovari dari menghasilkan telur seterusnya, sekali gus menghalang proses untuk mengandung kali kedua.

Biasanya kandungan luar rahim akan dapat dikesan menerusi sejenis hormon yang dipanggil krionik dan progesteron yang terkandung dalam darah.

Jika berlaku kandungan di luar rahim biasanya hormon krionik dalam darah akan menurun.

Ujian ultrasonografi di bahagian pelvis akan memberitahu kedudukan sebenar fetus dan tentukan sama ada kandungan berlaku di luar rahim.

Ujian laparoskopi juga membantu untuk menentukan lokasi kandungan sebenar. Jika kandungan ektopik tidak berakhir dengan keguguran, doktor akan memberikan ubat untuk mengeluarkan uri.

Ubat tersebut hanya akan diberikan pada kandungan luar rahim yang telah dikesan di peringkat awal.

Manakala pembedahan pula akan dilakukan sekiranya kandungan sudah agak lama.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/