Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label dr abdul rahman mohd ali. Show all posts
Showing posts with label dr abdul rahman mohd ali. Show all posts

Friday, June 13, 2008

Salah Faham "Demam Pematah Tulang"


TELUR, jentik-jentik dan nyamuk dewasa Aedes boleh menyebabkan merebaknya jangkitan virus denggi dan meningkatnya kes demam denggi.


















Dikenali sebagai demam 'pematah tulang' atau 'pematah tulang belakang', demam denggi pernah dianggap penyakit akibat ilmu hitam akibat satu simptomnya menyebabkan sakit di dalam tulang, seperti akan meletup.

Namun, tahukah anda terdapat empat peringkat demam denggi; cirit-birit merupakan antara simptom demam denggi dan bukan semua pesakit denggi perlu dimasukkan ke wad?

Pakar Perunding Perubatan dan Kardiologi Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Kol (B) Dr. Abdul Rahman Mohd Ali menjelaskan, virus punca demam denggi dan denggi berdarah tergolong dalam kumpulan Arbovirus dan terdiri daripada empat jenis (serotype).

"Empat jenis virus denggi ini dikelaskan sebagai DEN 1, 2, 3 dan 4 yang kesemuanya boleh menyebabkan jangkitan yang tenat dan berpotensi membawa maut.

"Kesemua empat jenis virus denggi ini juga boleh menyebabkan demam denggi berdarah tetapi lebih kerap dengan jenis DEN 2, diikuti jenis 4, 3 dan 1," katanya.

Menurut beliau, jangkitan salah satu serotype virus denggi akan memberikan pesakit perlindungan imuniti seumur hidup terhadap jenis virus tersebut dan juga imuniti jangka pendek (dua hingga empat bulan) terhadap serotype lain.

Dr. Abdul Rahman turut mendedahkan kesemua virus denggi turut mengalami mutasi genetik yang menghasilkan variasi dalam jenis virus yang sama.

"Mutasi yang berlaku sekali setiap tiga atau empat tahun membolehkan virus tersebut 'menukar baju' dan menyebabkan badan pesakit tidak dapat mengenalinya walaupun pernah dijangkiti jenis virus sama sebelum ini.

"Segelintir variasi virus tersebut lebih ganas dan berpotensi menyebabkan berlakunya wabak besar denggi dari semasa ke semasa," jelasnya.

Kata beliau, manusia adalah perumah semulajadi virus denggi dengan tempoh eraman antara tiga hingga 14 hari selepas digigit nyamuk, di mana virus membiak dalam hati dan nodus limfa pesakit.

Tambahnya, fasa demam akan bermula selepas tempoh eraman berakhir, apabila virus memasuki darah dan menyerang sel darah putih (WBC) dan platlet. Demam biasanya berlaku antara empat ke enam hari selepas digigit nyamuk tetapi pesakit biasanya kembali pulih antara tujuh ke 10 hari kemudian. Simptom denggi bagaimanapun boleh berpanjangan sehingga sebulan walaupun sudah tidak demam.

Pemeriksaan Dan Rawatan

Semua pengidap demam denggi boleh mengalami peringkat denggi dengan demam biasa yang melarat kepada DDB atau DSS, mengikut ketahanan badan, bentuk jangkitan dan jenis virus. Selain itu, diagnosis denggi juga perlu membezakannya dengan simptom hampir serupa penyakit lain seperti selesema, campak, malaria, demam kepialu dan demam berdarah virus.

Pemeriksaan klinikal denggi melibatkan ujian tekanan darah, bukti pendarahan pada kulit atau bahagian badan lain, kandungan air di dalam badan yang cukup, dan bukti kebocoran atau pendarahan dalaman. Ujian dijalankan termasuk:

l Ujian Tourniquet - menggunakan alat menguji tekanan darah dan stetoskop; lebih 20 bintik merah atau hitam timbul.

l Ujian makmal - seperti kiraan sel darah dan platelet, kepekatan darah, albumin, ujian fungsi hati dan ujian kehadiran darah dalam air kencing.

l Ujian khusus denggi - ujian mengenalpasti virus atau ujian serologi. Ujian khusus dapat menentukan bentuk jangkitan virus denggi dengan mengesan antibodi IgG dan IgM. IgM dihasilkan jika jangkitan baru berlaku, di bawah dua minggu. Selepas dua minggu pulih, pesakit akan membentuk antibodi memori (IgG) pula untuk menentang jenis virus yang sama kelak (perlindungan kekal).

Menurut Dr. Abdul Rahman, tiada rawatan khusus untuk jangkitan denggi dan selalunya doktor hanya dapat memantau perkembangan pesakit dan merawat simptom atau komplikasi yang timbul.

"Untuk demam denggi biasa, pesakit hanya dirawat sebagai pesakit luar dan tidak perlu dimasukkan ke wad.

"Pesakit demam denggi klasik pula akan diperiksa tahap kepekatan darah (hematokrit) dan platletnya sebelum ditentukan perlu masuk wad atau tidak," ujar beliau.

Menurutnya lagi, peningkatan hematokrit, dehidrasi (badan kurang air) dan tahap platlet rendah (di bawah 100,000 sel/milimeter padu) akan memerlukan pesakit dimasukkan ke wad untuk pemantauan.

Tambah beliau, kemasukan wad juga bergantung kepada kekosongan katil di hospital memandangkan pesakit denggi berdarah dan DSS lebih memerlukan pemantauan dan rawatan rapi.

Mengikut pengalaman beliau, Dr. Abdul Rahman menjelaskan secara purata empat atau lima pesakit denggi dimasukkan ke wad DEMC setiap hari.

"Pesakit dimasukkan ke wad selama tiga hingga empat hari untuk pemantauan sahaja melalui ujian darah setiap hari dan juga dimasukkan air jika badan pesakit kurang air.

"Kebiasaannya, ujian darah pada hari ketiga pesakit demam akan menunjukkan jika mula menjurus kepada denggi berdarah dan perlu dimasukkan wad," katanya.

Beliau menjelaskan transfusi platlet perlu diberikan jika bacaan platlet pesakit di bawah 20,000 sel/milimeter padu dan terdapat tanda-tanda pendarahan.

Tambahnya, bila pesakit mencapai tahap renjatan (DSS), pemindahan darah dan komponen darah lain perlu dilakukan mengikut keadaan pesakit.

Menurut Dr. Abdul Rahman, pesakit denggi tidak akan menghadapi kesan jangka panjang kecuali jika terdapat komplikasi pada otak atau jantung. Pesakit juga hanya perlu diasingkan mengunakan kelambu sehingga pulih dari demam bagi mengelakkan virus disebar nyamuk.

Pencegahan

Buat masa ini, tiada lagi vaksin yang berkesan memberi perlindungan terhadap keempat-empat jenis virus denggi, ditambah pula masalah mutasi berterusan virus berkenaan menyebabkan vaksin sukar dihasilkan.

Dr. Abdul Rahman menjelaskan, kawalan terhadap vektor pembawa virus denggi merupakan pilihan terbaik untuk mengawal penularan virus denggi.

"Orang ramai perlu mengambil langkah proaktif menghapuskan jentik-jentik dan nyamuk dewasa bagi mengawal penularan wabak denggi.

"Selain menghapuskan tempat pembiakan, tabiat diri juga perlu diubah. Kurangkan berada di luar pada waktu nyamuk aktif, terutamanya dengan pakaian yang tidak melitupi tangan dan kaki, serta hapuskan habitat pembiakan nyamuk Aedes," tegas beliau.

Antara situasi membimbangkan yang diketengahkan Dr. Abdul Rahman adalah amalan kanak-kanak menunggu bas pada waktu nyamuk paling aktif (awal pagi) dengan pakaian seragam berlengan pendek atau seluar pendek.

Beliau menegaskan amalan sebegini meningkatkan risiko jangkitan denggi dan mungkin tiba masanya sedikit penyesuaian dibuat untuk mengelakkan anak-anak menjadi mangsa denggi.

Bagi Dr. Abdul Rahman, masalah denggi pada asasnya merupakan satu masalah persekitaran dan 'rawatan' pada persekitaran lebih berkesan dalam mengawalnya.

"Nyamuk Aedes hanya hidup antara 15 hingga 65 hari sahaja dan cuma dapat terbang sekitar 200 meter dari habitatnya. Jadi, tempat bertelurnya tentu berhampiran. Telurnya pula akan menetas menjadi jentik-jentik dalam tujuh ke 10 hari.

"Apa yang membimbangkan, telur nyamuk boleh bertahan sehingga 100 hari jika takungan air mengering di bawah cuaca panas terik. Telur ini hanya akan mati jika berada dalam suhu bawah 10°C," jelasnya.

Ditambah pula dengan hujan tidak menentu dan berpanjangan akibat pemanasan global, beliau tidak menolak kemungkinan denggi tidak lagi mengikut musim dan lebih kerap berlaku.

Walaupun demam denggi berdarah jarang berlaku, Dr. Abdul Rahman mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah perkara tersebut memandangkan kebanyakan pesakit denggi berdarah adalah kanak-kanak dan golongan muda.

Pemanasan global juga telah membolehkan denggi terus merebak ke hemisfera utara bumi melalui kawasan pembiakan nyamuk yang semakin luas, sehingga ke negara-negara beriklim sejuk di Eropah. Nyamuk dewasa juga semakin 'pandai' menumpang sistem pengangkutan manusia untuk berpindah ke kawasan baru, termasuk menaiki lif untuk mencari mangsa yang tinggal di tingkat atas bangunan tinggi.

Denggi boleh membunuh! Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memerangi denggi. Kembalikan amalan kerjasama bergotong-royong menjaga kawasan perumahan bagi mengelakkan nyamuk membiak dan menyebarkan virus denggi.

Kita tidak sepatutnya mementingkan diri dan melihat hanya pada statistik dan kos. Ingatlah penambahan satu angka kematian itu sudah terlalu tinggi untuk ditanggung jika keluarga atau diri anda sendiri menjadi mangsa denggi seterusnya.


Ditulis oleh:
Kol (B) Dr Abdul Rahman Mohd Ali
Pakar Perubatan Am dan Kardiologi,
Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Wednesday, April 30, 2008

Kecederaan Panahan Petir

Sering kita mendengar berita manusia cedera atau mati akibat dipanah petir. Walaupun kematian akibat panahan petir jarang berlaku, ia merupakan punca kematian akibat cuaca yang paling banyak berlaku selain daripada banjir.

Di Amerika Syarikat (AS), dilaporkan berlaku 3,000 kematian setahun akibat serangan jantung yang berkaitan dengan panahan petir. Kebanyakan kes orang terkena panahan petir berlaku di luar bangunan, semasa melakukan aktiviti sukan/rekreasi (memancing, berenang, bersukan padang, bermain golf) atau bekerja (pembinaan, pertanian).

Kecederaan akibat panahan petir berlaku dengan beberapa cara:

1. Panahan secara langsung (Direct Strike), tiga hingga lima peratus.

2. Panahan sentuhan (Contact strike), satu hingga dua peratus (seseorang yang menyentuh sesuatu objek yang terkena panahan petir seperti pokok, tiang bendera, tiang lampu jalan).

3. Serpihan (Side splash), 30 peratus (petir yang terkena pada sesuatu objek dan terpantul atau menyerpih ke bumi).

4. Panahan bumi (Ground Strike), 40 hingga 50 peratus (panahan petir ke permukaan bumi dan bergerak dalam lingkaran bulat dari pusat panahan sejauh 50 hingga 70 meter).

5. Petir bumi (Upward streamer) 20 hingga 25 peratus (semasa petir, caj elektrik bertenaga rendah dari permukaan bumi menjalar naik untuk bersambung dengan petir. Caj elektrik ini boleh mencederakan seseorang bila ia terkena walaupun caj ini belum bersambung dengan petir dari langit).

Kecederaan Panah Petir

Akibat terkena panahan petir seseorang boleh mengalami beberapa kecederaan, bergantung kepada cara mangsa dipanah petir.

Ianya boleh mengakibatkan kecederaan ringan, kecederaan parah dan juga kematian. Kadar kematian akibat panahan petir adalah antara lapan hingga 10 peratus.

Jantung berhenti berdenyut (cardiac arrest) semasa panahan petir menjadi antara punca utama kematian mangsa.

Kecederaan Yang Boleh Berlaku Termasuk:

1. Kecederaan pada jantung – cardiac arrest, arithimia, kerosakan alat bantu denyutan (pacemaker).

2. Kecederaan otak – hilang kesedaran, sawan, sakit kepala, perubahan personaliti, hilang tumpuan, pening, permasaalahan saraf seperti sakit dan kebas.

3. Kecederaan letupan (Blunt injury) – seseorang boleh terpelanting akibat letupan yang berlaku di kawasan panahan petir.

4. Kesan terbakar pada permukaan kulit. Kulit terbakar teruk (Deep burn) jarang berlaku (kurang lima peratus).

5. Kecederaan telinga – gegendang telinga koyak atau berdarah, sakit dan kurang pendengaran, vertigo.

6. Kecederaan mata – masalah penglihatan, katarak.

5. Cedera lain akibat kecederaan letupan - patah tulang, terkehel sendi, patah tulang tengkuk, retak tengkorak, paru-paru terkoyak, kecederaan dalam abdomen.

Risiko Terkena Panahan Petir

Terdapat dua faktor utama yang meningkatkan risiko panahan petir iaitu

1. Ketinggian sesuatu objek dari permukaan bumi

2. Jarak seseorang dari objek yang terkena petir. Petir boleh menjalar antara 30 hingga 50 meter secara bulatan daripada objek yang dipanah.

Telefon bimbit, alat muzik mudah alih dan komputer riba tidak meningkatkan risiko dipanah petir.

Tetapi telefon talian tetap, alat elektrik rumah (komputer, alat permainan video yang wayarnya disambung ke TV) meningkatkan risiko dipanah petir.

Tiada tempat di kawasan luar rumah yang selamat dari panahan petir.

Apakah bentuk bantuan kecemasan yang perlu dilakukan untuk mangsa?

1. Jika ingin membantu, pastikan anda tidak berada dalam keadaan yang berbahaya.

2. Alihkan mangsa dari kawasan bahaya.

3. Jika mangsa tidak bernafas, tentukan sama ada mangsa masih mempunyai nadi. Jika tiada nadi, cuba berikan pertolongan CPR (resusitasi jantung dan paru-paru), sekiranya anda tahu.

Jika anda tidak tahu CPR, segera dapatkan pertolongan orang yang tahu dan pada masa yang sama dapatkan orang untuk memanggil ambulans ataupun bawa sendiri mangsa ke pusat perubatan atau hospital.

4. Mangsa perlu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lebih rapi untuk menentukan tahap kecederaan.

Rawatan Di Hospital

1. Doktor akan pastikan tahap kecederaan.

2. Mangsa akan menjalani pemeriksaan darah, imbasan sinar-X dada, leher dan tengkorak jika perlu.

3. Ujian EKG (jantung).

4. Mangsa mungkin perlukan CT scan otak dan abdomen untuk pastikan tahap kecederaan.

5. Rawatan khusus akan diberikan mengikut kecederaan yang mangsa alami.

Komplikasi

Disebabkan kecederaan panahan petir boleh mengakibatkan komplikasi tertunda, mangsa perlu mendapatkan rawatan susulan untuk mengelakkan:

* sawan,

* kerosakan otak

* kelumpuhan (paralysis)

* kerosakan mata (katarak)

* kerosakan telinga (hilang pendengaran)

* kesakitan saraf yang kronik

Pencegahan

1. Semasa waktu petir, elakkan daripada berada di kawasan luar atau kawasan terbuka. Bila kedengaran bunyi guruh, bermakna kita berada di dalam lingkungan kawasan panahan petir. Petir boleh bergerak antara 10 hingga 12 batu ke hadapan sebelum ribut sampai walaupun langit masih cerah.

2. Semasa ribut petir jangan berlindung di kawasan tinggi dan bawah objek yang tinggi seperti pokok atau pondok di atas bukit.

3. Jangan memegang atau membawa objek besi semasa ribut petir seperti payung, kayu golf, alat pancing ikan atau basikal. Jangan pakai topi keledar besi seperti topi keledar bola lisut.

4. Jika tiada tempat berlindung duduk mencangkung dan tutup telinga dengan tangan. Jika berkumpulan, pastikan jarak antara kita adalah 15 kaki dan semua duduk mencangkung.

5. Anda boleh berlindung dalam kenderaan seperti kereta, bas dan lori tetapi jangan sentuh bahagian besi kenderaan. Kenderaan golf (buggy) tidak selamat untuk perlindungan daripada panahan petir.

6. Jika dalam bangunan seperti rumah atau pejabat, tutup dan jauhi dari tingkap. Jangan mengguna telefon talian tetap atau alat elektrik, seperti komputer, melainkan jika ada alat pemisah petir (lightning arresster). Jangan menggunakan paip air kerana arus petir boleh menjalar melalui paip dan wayar dari luar ke dalam bangunan walaupun bila petir terkena di luar bangunan.

7. Tunggu selama 30 minit selepas petir yang terakhir sebelum keluar semula.

8. Petir lazimnya memanah di tempat yang sama sebanyak dua kali.

Anda dinasihatkan menghentikan semua aktiviti luar apabila mendengar guruh di langit. Jangan tunggu berlakunya panahan petir baru mahu tergesa-gesa lari mendapatkan perlindungan. Kebanyakan kecederaan boleh berlaku semasa ribut belum bermula.

Peningkatan jumlah mangsa panahan petir mungkin berlaku disebabkan perubahan iklim dunia akibat pencemaran dan pemanasan global.

Oleh itu, orang ramai perlu belajar menyesuaikan diri dengan perubahan iklim dunia dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan ancaman bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan panahan kilat.


Ditulis oleh:
Kol (B) Dr Abdul Rahman Mohd Ali
Pakar Perubatan Am dan Kardiologi,
Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Wednesday, March 19, 2008

Ingin Tahu Mengenai Sindrom Eisenmerger

SOALAN:
Doktor, saya berumur 36 tahun, telah disahkan oleh doktor pakar menghidap penyakit VSD Eisenmerger pada Oktober tahun 2006. Semenjak itu, darah dari dalam badan saya telah dikeluarkan sebanyak dua kali. Apabila darah sudah dikeluarkan, pening di kepala saya hilang.

Bolehkah doktor terangkan secara terperinci tentang penyakit ini? Apakah pantang larang dan juga pemakanan yang sesuai untuk saya amalkan bagi mengekalkan tahap kesihatan saya sentiasa berada dalam keadaan yang baik? Saya dahului dengan ucapan terima kasih di atas perhatian yang doktor berikan.

Yaser CN,


JAWAPAN:
Terima kasih juga kerana menanyakan soalan ini. VSD adalah ringkasan untuk Ventricular Septal Defect. VSD adalah kebocoran atau lubang pada dinding jantung antara kedua-dua ventrikel.

Jantung kita terbahagi kepada sebelah kiri dan sebelah kanan. Setiap bahagian ada dua bilik iaitu bilik menerima darah dari badan atau paru-paru, iaitu at,rium dan bilik mengeluarkan darah ke paru-paru dan badan iaitu ventrikel.

Antara kedua-dua ventrikel terdapat dinding (interventricular septum) dan antara kedua-dua atrium ada dinding (interatrial septum).

Fungsi dinding ini adalah mencegah campuran berlaku di antara darah beroksigen di jantung sebelah kiri dan darah kurang oksigen di jantung sebelah kanan.

Jantung sebelah kiri juga mempunyai tekanan yang tinggi berbanding jantung sebelah kanan yang bertekanan rendah.

Jantung sebelah kanan mengepam darah ke paru-paru di mana berlaku penambahan oksigen dalam sel darah merah dan darah ini kembali ke jantung sebelah kiri untuk dipamkan ke seluruh badan yang lain di mana oksigen tadi diperlukan.

Dan darah ini yang kekurangan oksigen balik ke jantung sebelah kanan sebelum kembali ke paru-paru, dan proses ini berlangsung secara berterusan.

Jadi apabila berlaku kebocoran atau lubang di dinding jantung antara kedua-dua belah jantung, darah akan mengalir dari jantung kiri yang bertekanan tinggi ke jantung sebelah kanan.

Dengan ini isipadu darah dalam jantung kanan akan meningkat berkali ganda dan darah ini akan ke paru-paru lalu mengakibatkan saluran darah dalam paru-paru mengembang dan menebal.

Dengan penebalan dinding saluran darah di paru-paru ini, tekanan dalam saluran darah paru-paru akan meningkat.

Tekanan ini akan sebaliknya patah balik ke jantung kanan dan bila tekanan dalam jantung kanan melebihi tekanan dalam jantung sebelah kiri, darah dari jantung kanan pula akan mengalir ke jantung kiri mengakibatkan campuran darah kurang oksigen dengan darah beroksigen di jantung kiri berlaku.

Darah campuran yang berkurangan oksigen ini dihantar ke badan dan berlaku kebiruan-biruan tisu atau sinosis.

Pengaliran darah dari jantung kanan ke jantung sebelah kiri disebabkan oleh peningkatan tekanan pada saluran darah paru-paru mengakibatkan kebiruan bibir dan jejari. Inilah yang dinamakan sebagai Sindrom Eisenmerger.

Akibat dari kebiruan-biruan (sinosis) yang berterusan, seterusnya akan berlaku penambahan isipadu sel darah merah (polisitemia) untuk membawa lebih banyak oksigen.

Polisitemia meningkatkan risiko tekanan darah yang meningkat dan saudara akan mendapat tekanan darah tinggi dan darah mudah menjadi beku kerana kepekatan darah meningkat. Ini meningkatkan risiko strok dan serangan jantung.

Polisitemia mengakibatkan anda sering pening. Rawatan untuk polisitemia ialah dengan membuang darah dari badan untuk mengurangkan isipadu sel darah merah yang memekatkan darah.

Dalam rawatan keadaan ini tiada pantang makanan diperlukan. Bagaimanapun, anda digalakkan mengambil makanan berkhasiat yang seimbang.

Anda juga dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti berat dan membebankan jantung anda. Jantung berlubang biasanya perlu ditampal atau ditutup sebelum ia mengakibatkan Sindrom Eisenmerger.

Ini kerana, apabila lubang ditampal selepas Eisenmerger berlaku, tekanan darah dalam jantung kanan pada kala itu tidak cukup untuk mengepam darah ke paru-paru, kerana tekanan saluran darah paru-paru tinggi.

Dengan itu darah yang balik ke jantung kiri dari paru-paru berkurangan. Oleh itu, isipadu darah di jantung kiri bergantung kepada pintasan darah yang berlaku dari jantung kanan ke jantung kiri melalui lubang tersebut.

Saya harap penjelasan ini sedikit sebanyak dapat memberi penjelasan dalam memahami keadaan saudara. Wassalam.


Ditulis oleh:

Dr Abdul Rahman Mohd Ali
Pakar Perubatan Am dan Kardiologi,
Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/