Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label dr margaret kannimmel. Show all posts
Showing posts with label dr margaret kannimmel. Show all posts

Wednesday, March 05, 2008

Anak Kecil Hidap Gastroenteritis

SOALAN:
Doktor, saya mempunyai anak berusia satu tahun tujuh bulan. Dia mengalami muntah-muntah dan cirit-birit. Saya telah membawanya ke hospital tetapi setelah dua hari di hospital doktor membenarkan anak saya pulang.

Saya ingin mendapatkan nasihat doktor apa lagi patut saya lakukan?

Kluang, Johor

JAWAPAN:
Penyakit cirit-birit dan muntah atau gastroenteritis adalah sangat kerap di kalangan kanak kanak terutamanya di bawah umur dua tahun.

Salah satu komplikasi penyakit ini ialah kekurangan air dalam badan yang boleh membawa kesan mudarat kepada kanak-kanak kecil.

Yang penting dalam rawatan penyakit ini ialah mengganti balik segala cecair yang hilang dan memastikan yang kanak-kanak itu berhenti muntah dan cirit.

Selagi kanak-kanak ini boleh minum dan tidak muntah puan tidak perlu risau.

Adalah dinasihatkan untuk seorang ibu meneruskan penyusuan badan dan sekiranya susu formula digunakan, ibu seharusnya gunakan susu tanpa laktosa atau susu soya untuk sementara waktu.

Pastikan kebersihan susu botol dan berikan makanan yang segar untuk dimakan oleh anak puan.

Pastikan juga anak yang sakit diberi garam rehidrasi secara oral untuk diminum.


Ditulis oleh:
Dr Margaret Kannimmel
Pakar Pediatrik Am,
Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Demam akibat alahan atau anafilaksis?

SOALAN:
Doktor, saya mempunyai anak perempuan berusia lima tahun. Pada Februari lalu dia telah mendapat demam panas.

Antara simptom awalnya adalah badan gatal-gatal dan diikuti dengan keluar gelegata. Muka dan telinga anak saya juga menjadi bengkak dengan cepat.

Anak saya dimasukkan ke wad dan doktor mengatakan beliau mendapat alahan. Doktor memberi chlorpheniramine-2 dan losen calamine.

Masalahnya doktor, tanda-tanda tersebut akan keluar setiap kali apabila anak saya demam dan batuk.

Masalah ini juga sering terjadi pada waktu tengah malam di antara pukul 12 tengah malam dan 3 pagi.

Doktor yang merawat akan memberi suntikan dan gelegata akan surut secara perlahan dan kemudian terus hilang. Saya ada membaca sebuah artikel kesihatan mengenai anafilaksis dan seakan ada persamaan dengan apa yang dialami oleh anak saya.

Harap penjelasan doktor dapat membantu. Terima kasih.

Ibu risau

JAWAPAN:
Dari penjelasan yang puan beri, besar kemungkinan anak puan mengalami alahan disebabkan jangkitan virus.

Gelegata dan bengkak pada bahagian telinga dan muka adalah disebabkan oleh suatu bahan kimia yang dinamakan histamin di dalam darah akibat jangkitan virus.

Penyakit ini yang diberi nama urticaria atau ‘hives’ (gatal-gatal) dan boleh berlaku berulang kali dan kadangkala boleh hilang bila anak semakin membesar.

Oleh itu, setelah doktor memberinya chlorpheniramine (ubat anti histamin) tanda-tanda pada anak puan akan reda atau hilang.

Anafilaksis adalah sejenis alahan tetapi biasanya simptom yang dialami adalah lebih teruk dan berbahaya seperti semput pernafasan ataupun tekanan darah jatuh.


Ditulis oleh:
Dr Margaret Kannimmel
Pakar Pediatrik Am,
Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Epilepsi Mungkin Kekal Hingga Dewasa

SOALAN:
Doktor, saya seorang ibu dan mempunyai anak perempuan yang kini berumur lapan tahun.

Semasa berumur enam tahun anak saya terkena demam panas dan mendapat sawan.

Sebelum ini, antara umur satu hingga tiga tahun, bayi saya kerap mendapat sawan walaupun tidak demam.

Doktor mengesahkan ia epilepsi dan diberi ubat untuk dimakan setiap hari.

Anak saya ini telah dua kali menerima imbasan CT otak dan EEG, semuanya normal.

Di bahagian mukanya pula tumbuh bintik-bintik hitam seperti jeragat.

Pemeriksaan jantung dan pakar kulit sudah dibuat. Jantung normal tetapi pakar kulit tidak dapat memberikan jawapan.

Saya ingin bertanya adakah penyakit ini akan sembuh apabila ia dewasa kelak walaupun anak saya kini jarang terkena sawan seperti dahulu?

Adakah cara lain untuk menyembuhkannya?

Untuk pengetahuan doktor anak saya tidak terkena sawan selama tiga tahun dan doktor telah mengurangkan jumlah ubat.

Bagaimanapun, semasa umurnya 6 tahun sekali lagi anak saya terkena sawan sehingga sekarang.

Zainon,
Johor

JAWAPAN:
Biasanya sawan tanpa demam dinamakan epilepsi dan diagnosis penyakit ini lebih berdasarkan simptom.

Pada kebiasaannya imbasan CT otak adalah normal sementara EEG yang normal pula tidak semestinya bermakna ini bukan epilepsi.

Sekiranya anak puan kerap mengalami sawan, adalah penting untuk memulakan ubat antisawan dan rawatan ini patut berterusan untuk sekurang-kurangnya dua tahun tanpa sawan. Selepas jangka masa ini, doktor akan mengurangkan dos ubat dan sekiranya tiada sawan lagi boleh diberhentikan ubat ini sama sekali.

Bintik hitam yang timbul mungkin dari kesan sampingan ubat ataupun mungkin tiada kaitan dengan pengubatannya.

Penyakit ini boleh hilang dengan peningkatan usia anak tetapi segelintir anak-anak ini masih boleh menghidap penyakit ini sehingga dewasa.

Adalah penting untuk anak puan meneruskan rawatan yang diberi dan jangan sekali cuba berhentikan atau kurangkan ubat yang diberi tanpa arahan doktor.


Ditulis oleh:

Dr Margaret Kannimmel
Pakar Pediatrik Am,
Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/