Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label artikel kesihatan. Show all posts
Showing posts with label artikel kesihatan. Show all posts

Monday, November 26, 2012

Bahaya Gula Berlebihan

Bukan senang untuk menerima hakikat jika ibu atau bapa anda didiagnos menghidapi diabetes. Perkara pertama yang pasti diminta oleh doktor ialah menjauhi gula. Ia tidak senang dilakukan kerana mereka telah biasa dengan gula sepanjang hayat. Lagipun, rasa gula mencetuskan sejenis hormon dalam otak yang membuatkan kita berasa senang. Inilah yang menyebabkan mengapa ramai orang mendapati sangat susah hendak meninggalkan gula.

Bagi penghidap diabetes, gula akan meningkatkan paras gula darah yang seterusnya akan meningkatkan risiko komplikasi yang melibatkan saraf, mata, buah pinggang dan jantung.

Kini, Persatuan Jantung Amerika (American Heart Association (AHA)) telah meletakkan gula tambahan dalam senarai penyebab yang boleh menjejaskan jantung selain daripada pengambilan terlalu banyak garam, lemak, kolesterol dalam diet. Menurut AHA, pengambilan gula yang tinggi dikaitkan dengan kesihatan yang tidak baik, termasuk kegemukan (obesiti), diabetes, tekanan darah tinggi, radang, paras trigliserida tinggi, semuanya ini merupakan faktor risiko penyakit jantung dan strok.

Apakah itu gula?

Gula pasir putih, juga dikenali sebagai sukrosa adalah bentuk gula paling biasa, tetapi bukan satu-satunya jenis gula. Bentuk-bentuk lain termasuk gula perang, fruktosa, maltosa, gula melaka, glukosa, madu dan sirap mapel.

Adakah kita mengambil terlampau banyak gula?

Rakyat Malaysia pada amnya mengambil lebih kurang sebanyak 19 sudu teh (76 gram) gula tambahan setiap hari. Ini bermakna kira-kira 300 kalori daripada jumlah kalori harian anda datangnya daripada gula. Pakar kesihatan menganggap ini adalah jauh melebihi had. Kita sepatutnya mengambil gula tidak lebih daripada enam sudu teh (100 kalori) bagi wanita dan sembilan sudu teh (150 kalori) bagi orang lelaki( yang disyorkan oleh Persatuan Jantung Amerika).

Tahukah anda bahawa minuman 3-dalam-1 sarat dengan gula. Satu cawan minuman kopi putih dan malt coklat mungkin mengandungi tiga hingga empat sudu teh gula. Bayangkan, jika anda meminum hanya dua hingga tiga cawan minuman ini sehari. Anda pasti sudah melebihi had harian yang disyorkan oleh AHA. Ini belum lagi diambil kira beberapa jenis gula yang terkandung dalam makanan-makanan biasa anda.

Pemanis tiruan

Seperti yang anda ketahui, pemanis tiruan dikatakan'bebas gula' dan boleh menjadi satu pilihan baik untuk menggantikan gula. Persoalannya, adakah ia benar dan selamat? Munkin anda boleh melayari laman web untuk mengetahui lebih lanjut tentang 'aspartame; sucralose; side effects; dangers.'

Mungkin anda pernah terbaca bahawa makanan dan minuman, minuman berkarbonat, yogurt, makanan yang dimasak dengan ketuhar, malah minuman segera tiga dalam satu mengandungi pemanis tiruan. Sebelum membeli, periksa label makanan untuk mengesan sebarang pemanis tiruan yang tersembunyi.

Pemanis semula jadi - ekstrak stevia

Ia dikenali sebagai 'daun manis' atau stevia rebaudiana. Stevia 300 kali lebih manis daripada gula tetapi tidak mengandungi sebarang kalori. Ekstrak ini diperbuat daripada bahagian yang paling manis dalam daun stevia.

Di samping rasanya yang sedap, ekstrak stevia adalah selamat dan tiada kesan sampingan. Ekstrak stevia tidak mengandungi kalori dan tidak menaikkan paras gula darah. Oleh itu, ia adalah pilihan bijak bagi penghidap pra-diabetes, diabetes dan mereka yang mengambil berat tentang kesihatan.

Sebagai pemanis semula jadi, rasa stevia tidak seperti gula tetapi ia tetap menjadi pengganti gula yang terbaik.

Terkini, terdapat minuman segera tiga dalam satu bebas gula yang dimaniskan dengan ekstrak stevia di pasaran. Minuman ini bebas gula mengandungi tiga perisa iaitu putih, coklat malt dan oat dan bijirin (vanilla) dimaniskan dengan stevia, pemanis semulajadi. Minuman segera ini bebas gula ini disyorkan untuk anda dan pesakit diabetes untuk hidup lebih sihat.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Saturday, November 12, 2011

Buang Tahi Lalat Jika Mudarat

Ketika diperkenalkan rawatan membuang tahi lalat, ada yang terfikir apakah hukumannya? Ada pakar agama berpendapat, seandainya tahi lalat terlalu banyak di muka sehingga mendatangkan aib, maka diharuskan untuk membuangnya. Sekiranya seseorang itu berhajat membuang tahi lalat untuk kecantikan semata-mata, maka hukumnya juga haram kerana ia termasuk dalam konteks mengubah ciptaan Allah.

Dalam konteks ini, membuang tahi lalat sebenarnya perlu sekiranya tahi lalat makin membesar dan berubah warna (merah, coklat, kehitaman). Manakala tahi lalat berambut dikatakan bahaya kerana ia boleh mengundang kanser sel basal (bengkak-bengkak pada badan atau sembap kerana sakit beri-beri). Selain rawatan alternatif, terdapat pelbagai rawatan moden seperti laser untuk membuang tahi lalat.

Resdung

Tahi lalat atau kutil yang tumbuh banyak juga boleh menyebabkan resdung (sinus ). Resdung akan menyebabkan seseorang berasa tidak selesa seperti mengalami bersin, gatal, batuk banyak kahak, nafas berbau, alah pada cuaca dan berjerawat yang boleh menjejaskan aktiviti harian.

Tidak kurang pula yang menyifatkan tahi lalat sebagai kecacatan pada kulit.

Ini kerana tahi lalat yang tumbuh besar atau terlalu banyak dan berada di kedudukan tidak sepatutnya boleh menjejaskan penampilan dan keyakinan diri.

Pakar perubatan pula menggunakan beberapa istilah berlainan seperti tanda lahir, ketidakseimbangan saluran darah dan titik tidak berbahaya.

Terdapat dua jenis tahi lalat iaitu yang wujud semasa lahir atau sewaktu membesar. Antara penyumbang kepada kewujudan tahi lalat sewaktu membesar ialah sinaran matahari yang dikenali sebagai atypical atau dysplastic.

Faktor keturunan juga tidak boleh dipandang remeh kerana banyak keluarga mempunyai tahi lalat atypical, yang boleh dikaitkan dengan frekuensi tinggi melanoma atau kanser kulit.

Bagaimanapun, bintik hitam atau coklat pada permukaan kulit sering menimbulkan tanggapan sama ada membawa tuah atau sebaliknya.

“Tahi lalat boleh menjadi bahaya jika terdapat perubahan dari aspek warna, ketinggian, saiz atau bentuk. Misalnya tahi lalat yang mempunyai diameter lebih besar daripada pemadam pensel atau yang mempunyai bayang warna pelik seperti biru, putih atau merah atau yang mempunyai tekstur kasar dan menggerutu.

‘‘Sekiranya seseorang mempunyai tahi lalat sebegitu, dinasihatkan supaya membuangnya. Kini terdapat pelbagai cara yang selamat lagi berkesan bagi membuang tahi lalat. Ada yang menggunakan kaedah pemotongan dengan jahitan serta pengecutan tahi lalat,” ujar pemilik Putri Timur Beauty & Spa, Nelly Arifin.

Pantang

Di pusat kecantikan ini, pelanggan yang ingin membuang tahi lalat akan menjalani rawatan pengecutan terlebih dahulu.

Tahi lalat akan gugur dengan sendirinya dalam masa lima hingga tujuh hari bergantung kepada saiznya selepas menjalani rawatan khusus. Bagi tahi lalat kecil, ia akan gugur selepas sahaja menjalani rawatan.
Bagi mengelak timbulnya parut selepas tahi lalat jatuh, pelanggan dinasihatkan tidak mengambil kicap, cuka dan serbuk perasa sehingga tahi lalat gugur dengan sendirinya.

Menurut Nelly, kos rawatan untuk membuang tahi lalat dan kutil antara RM10 hingga RM50, bergantung kepada saiz bintik tersebut.

Selain rawatan tersebut, pusat kecantikan ini turut menyediakan rawatan muka, kolagen, lilin telinga, resdung, membuang bulu roma dan sebagainya.

Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah   
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Sunday, September 25, 2011

Suhu Panas Rosakkan Ubat

Apabila pulang dari klinik atau farmasi, pasti pada bungkusan ubat yang dibeli itu tertera aturan penyimpanan iaitu perlu disimpan di tempat yang kering dan sejuk.

Peringatan tersebut mempunyai sebab. Ini kerana ubat-ubatan mudah rosak jika dibiar terdedah kepada suhu yang terlalu panas.

Dalam satu kajian oleh sekumpulan pakar dari Perkhidmatan Maklumat Ubat-ubatan, Universiti Butler, Indiana, Amerika Syarikat, mendapati suhu udara melebihi 30 darjah Celcius boleh merosakkan bahan aktif di dalam ubat.

Ahli farmasi yang turut serta dalam kajian ini, Dr. Amy Peak, memberitahu, beberapa ubat-ubatan yang tidak tahan pada udara panas ialah insulin, hormon tiroid, ubat berkaitan dengan aerosol dan inhaler.

Walaupun ada pengeluar ubat yang mendakwa produk mereka boleh bertahan dalam suhu lebih 30 darjah Celcius, tetapi seeloknya ia disimpan di dalam kotak yang jauh daripada suhu panas.

Apabila anda membawa ubat-ubatan ketika bercuti atau mengembara, simpanlah ubat di dalam kabin, bukannya di ruang penyimpanan kargo. Jangan sekali-kali meninggalkan ubat di dalam kereta yang diparkir di kawasan lapang kerana kepanasan dalam kereta boleh mencecah sehingga 71 darjah Celcius.

EKSTRA: Lelaki dan perempuan menggunakan kaedah berbeza untuk menangani tekanan dan mengekspresi emosi. Lelaki pada umumnya sering berdepan gangguan perilaku, penyalahgunaan atau antisosial sedangkan wanita pula lebih kerap mendapat sindrom cemas atau berdepan kemurungan apabila tertekan.

Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my/

Thursday, March 10, 2011

Hari Kanser Tanam Kesedaran

Laporan oleh Persatuan Antarabangsa Kawalan Kanser (UICC) menunjukkan setiap tahun di seluruh dunia sebanyak 7.6 juta dilaporkan meninggal dunia akibat kanser dan hampir 12.7 juta orang lagi berisiko mendapat penyakit tersebut.

Malah jika masih tiada sebarang langkah proaktif diambil, angka tersebut akan terus meningkat sebanyak 26 juta kes baru dan 17 juta kematian menjelang tahun 2030 terutamanya di negara-negara sedang membangun dan miskin.

Menyedari ancaman tersebut UICC telah menginisiatifkan Sambutan Hari Kanser Sedunia pada 4 Februari setiap tahun dengan sokongan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Di Malaysia sambutan yang sama telah diadakan oleh Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) pada 4 Februari lalu dengan bertemakan Kanser Boleh Dicegah.

Hakikatnya kanser merupakan penyakit yang boleh membawa maut, namun ia masih boleh dicegah dan sesetengahnya mampu disembuhkan melalui rawatan-rawatan yang khusus.

Ketua dan Pengarah Kesihatan NCSM, Dr. Saunthari Somasundaram berkata, sebagai salah sebuah ahli dalam UICC, NCSM turut komited dalam usahanya membendung peningkatan seterusnya mengurangkan jumlah kematian disebabkan kanser di negara ini.

''Kami di NCSM perlu menyebarkan fakta dan maklumat sebenar kepada bahawa kanser bukannya penyakit yang mudah dijangkiti.

"Sebaliknya kanser satu jenis penyakit yang boleh dicegah dan dielak melalui perubahan gaya hidup," katanya.
Dr. Saunthari berkata, tahun 2011 merupakan tahun untuk menjelaskan mengenai penyakit yang tidak mudah berjangkit termasuk kanser, penyakit jantung, dan kencing manis.

Kebanyakan penyakit ini menyebabkan lebih 60 peratus kematian di seluruh dunia.

"Kanser, penyakit kencing manis dan penyakit jantung bukan lagi penyakit yang melibatkan golongan kaya sahaja kerana hari ini penyakit tersebut turut menjangkiti orang ramai yang terdiri daripada penduduk miskin melebihi daripada jangkitan penyakit lain.

''Sebanyak 30 peratus hingga 40 peratus kanser boleh dicegah dan satu pertiga kanser boleh dirawat melalui pendedahan awal tentang penyakit dan juga rawatan,'' katanya.

Katanya, risiko untuk mendapat kanser sebenarnya boleh dielakkan dengan berhenti daripada tabiat merokok, mengurangkan jumlah pengambilan alkohol, mengelakkan daripada terdedah kepada cahaya matahari yang terlampau, makan makanan yang sihat dan mengekalkan berat badan dan melindungi daripada jangkitan yang menyebabkan kanser.

Pada tahun ini jelasnya, NCSM juga turut menganjurkan beberapa aktiviti seperti larian berganti-ganti yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 11 hingga 12 Jun selama 16 jam.

Program ini juga akan turut diadakan di Melaka pada Bulan Julai dan di Pulau Pinang pada bulan Oktober.
NCSM juga katanya, turut menganjurkan kempen penggalakkan hidup secara sihat kepada kanak-kanak sekolah melalui kempen Hope for Our Children dan juga kempen barah payu dara dan barah servik termasuk taklimat-taklimat lain mengenai kanser.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Tuesday, March 08, 2011

Kesihatan Kunci Kebahagiaan

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendefinisikan kesihatan sebagai keadaan positif atau sihat daripada segi fizikal, mental dan sosial serta bebas penyakit atau berkeupayaan.

Satu daripada cara untuk mengekal dan mendapatkan kesihatan yang baik adalah melalui pemakanan sehingga ada ungkapan menyebut 'anda adalah apa yang anda makan'.

Menyedari hakikat itu, At 19 Culinary Studio menganjurkan siri bengkel memasak, Kesihatan dan Pemakanan bermula 10 Februari hingga 21 April 2011.

Mengetengahkan pakar pemakanan dan chef jemputan berpengalaman sebagai tenaga pengajar, studio itu menawarkan kelas mempelajari ilmu masakan untuk beberapa keperluan sama ada secara asas untuk dijadikan sebagai hobi di waktu lapang, mendalami tekniknya atau perniagaan.

Studio itu kali pertama menganjurkan siri bengkel masakan pada tahun ini bagi meningkatkan kesedaran orang ramai dan membantu masyarakat mengenai diet seimbang, apa yang perlu dimakan dan bagaimana mengekalkan kesihatan melalui pemakanan sihat.

Penyelaras Program At 19 Culinary Studio, Angelin Low berkata, masyarakat hari ini berdepan atau berisiko dengan pelbagai masalah kesihatan serius termasuk kencing manis, kadar kolesterol tinggi, buah pinggang dan obesiti.

Jelasnya, siri bengkel itu juga memberi peluang kepada peserta untuk mengetahui corak pemakanan mereka, masalah kesihatan dan belajar memasak sendiri hidangan berkhasiat mengikut resipi ditentukan studio dengan penerangan serta pemantauan tenaga pengajar.

"Apa yang penting, semua ilmu dan persoalan akan diperjelaskan pakar perunding diet berpengalaman, bukannya chef kerana bengkel kali ini mengutamakan isu kesihatan dan pemakanan berkhasiat.

"Siri bengkel kami ini mengikut tajuk berbeza iaitu Saya Mempunyai Kolesterol Tinggi-Apa Perlu Saya Makan? yang diadakan pada 10 Februari lalu, Saya Mempunyai Kencing Manis-Apa Perlu Saya Makan? (24 Februari) dan Anak Saya Tidak Menggemari Sayur-Sayuran-Apa Yang Perlu Saya Beri Mereka Makan? (10 Mac) dan banyak lagi,'' katanya pada siri bengkel Saya Mempunyai Kolesterol Tinggi-Apa Perlu Saya Makan di At 19 Jalan Damansara Heights, baru-baru ini.

"Yuran dikenakan kepada peserta adalah RM207 bagi ahli dan RM230 (bukan ahli) untuk setiap siri bengkel," ujarnya.

Turut hadir, Pakar Perunding Diet, Goo Chui Hoong yang bertindak memberi penerangan mengenai isu kolesterol dan memantau peserta menyediakan hidangan.

Ditulis oleh: Faizatul Farhana Farush Khan
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Wednesday, March 02, 2011

Baik, Buruk Minyak Masak

Beberapa teman di laman sosial Facebook mengeluh mengenai kesukaran mendapatkan minyak masak di pasaran sejak akhir-akhir ini.

Ada yang menyoal sinis: “Pokok kelapa sawit banyak, mana minyaknya?” Ironinya, sama seperti gula, negara kita merupakan antara pengeluar utama minyak sawit dunia tetapi kekurangan bahan tersebut di pasaran tetap berlaku.

Kesihatan tidak mahu mengulas mengenai fenomena tersebut atau mencari apa puncanya, cuma sekadar ingin mencungkil rahsia di sebalik bahan asas masakan rakyat Malaysia itu.

Tanpa disangkal, kita menggunakan minyak masak setiap hari dalam kebanyakan jenis masakan. Goreng, kari, kurma, sup, asam pedas, masak kicap, sebut sahaja apa jenisnya, bahan asasnya adalah minyak. Itu belum dikira lagi kuih muih seperti karipap, donat, pisang goreng dan bermacam lagi yang menggunakan minyak yang banyak ketika dimasak.

Persoalan utama, benarkah minyak masak hanya mendatangkan kemudaratan kepada tubuh badan?
Pakar Nutrisi dari Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) Shah Alam, Chew Lih Theng berkata, seperti bahan lain minyak masak juga mempunyai kebaikan dan boleh mengundang keburukan andai diambil dalam kuantiti berlebihan.

Kebaikan minyak masak menurut beliau mengandungi lemak yang menjadi sumber utama tenaga yang paling mudah diperolehi. Selain itu katanya, ia juga mengandungi komponen yang membantu penyerapan vitamin seperti AHA, DHA dan vitamin penting lain untuk fungsi otak dan sel membran.

Namun seperti juga bahan lain, jika diambil dalam kuantiti yang berlebihan ia menyumbang kepada masalah penyakit berkaitan obesiti dan jantung.

Jenis minyak

Minyak masak terhasil daripada tumbuhan, namun terdapat juga minyak daripada haiwan yang wujud dalam bentuk pepejal pada suhu bilik seperti marjerin, mentega dan minyak sapi.

“Secara asasnya, semua minyak masak berasaskan tumbuhan tidak mengandungi kolestrol. Namun ia mempunyai komposisi kandungan yang berbeza berdasarkan strukturnya,” kata beliau.

Menjelaskan lebih lanjut kata Lih Theng, minyak kelapa, kelapa sawit dan isirung kelapa sawit tergolong dalam kumpulan minyak yang mengandungi lemak tepu yang tinggi tetapi rendah kandungan asid lemak mono tak tepu (MUFA) dan asid lemak poli tak tepu (PUFA).

Walaupun lemak tepu dikelaskan sebagai lemak jahat, tetapi tidak semua mempunyai kesan negatif terhadap kolestrol dalam badan. Ada kajian yang menunjukkan asid palmitic dalam minyak kelapa sawit neutral terhadap paras kolestrol kerana ia membahagi secara sama rata kepada tiga bahagian utama molekul triglyceride.

Dalam satu kajian oleh saintis dari Amerika Syarikat pada tahun 2007 mendapati, pengambilan lemak tepu dan PUFA diperlukan untuk nisbah kolestrol LDL (kolestrol jahat)/ HDL (kolestrol baik) yang ideal dalam darah. Ini berikutan kedua-duanya menyumbangkan keseimbangan dalam proses metabolisme lipoprotein.
Disebabkan kandungan asid lemak tepu yang tinggi, minyak kelapa sawit dan kelapa sering digunakan untuk jenis masakan goreng rendam (deep fried) kerana strukturnya yang lebih stabil.

Kumpulan minyak sayuran lain seperti zaitun, kacang soya, bijan, bunga matahari, kanola dan jagung pula mengandungi kandungan MUFA dan PUFA yang tinggi manakala lemak tepu pula rendah.

Ini menjadikan minyak jenis itu sesuai untuk masakan tumis ringkas atau dimakan mentah.

Mungkin ada yang bertanya, jika minyak yang mengandungi MUFA dan PUFA baik, mengapa tidak digunakan untuk menggoreng dalam jumlah yang banyak?

Jawapan Lih Theng selain harga yang tinggi, ia tidak sesuai kerana setiap jenis minyak, katanya, mempunyai tahap tertentu (smoke point) di mana jika dipanaskan pada suhu yang melebihi had ditetapkan menyebabkan ia mengeluarkan bahan toksik yang dipanggil 4-hydroxy-trans-2-nonel (HNE). Bahan itu, kata beliau, akan meningkatkan paras kolestrol dalam badan.

“Sebenarnya tidak sukar untuk mengenalpasti kandungan minyak masak kerana ia fakta nutrisinya sudah terkandung pada label produk. ,” katanya.

Kata beliau, jenama bukanlah faktor utama yang menentukan baik atau tidak sesuatu jenis minyak masak, tetapi terpulang kepada sebanyak mana yang kita ambil dan bagaimana cara memilih kaedah masakan dalam menghasilkan hidangan yang menyihatkan.

Ditulis oleh: Bintu Rasyada A. Rahman  

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Friday, January 07, 2011

Saring Kesihatan Anda

Bilakah kali terakhir anda menjalani ujian saringan atau pemeriksaan kesihatan? Mungkin ada di antara kita yang hanya menjalani pemeriksaan kesihatan ketika diterima bekerja, tidak kurang beranggapan ia tidak penting kerana berasakan mereka cukup sihat.

Ada juga yang takut hendak menjalani pemeriksaan kesihatan, bimbang jika keputusannya kelak menunjukkan mereka menghidap penyakit tertentu. Kebimbangan ini sebenarnya tidak berasas kerana lebih cepat sesuatu penyakit dikesan, lebih baik supaya kita boleh mendapatkan rawatan sewajarnya dengan segera. Kaedah rawatan lebih mudah dan murah jika penyakit masih di peringkat awal.

Mungkin ada yang bertanya, apa perlunya pemeriksaan kesihatan sedangkan mereka berasa cukup sihat? Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendefinisikan kesihatan adalah sihat dari segi fizikal, mental dan sosial dan bukan hanya sekadar bebas dari segala penyakit atau ketidakupayaan.

Pemeriksaan kesihatan adalah kaedah untuk mengesan penyakit sebelum gejala penyakit muncul dan mengenalpasti punca sekiranya ada sebarang tanda tidak normal. Ini kerana ada banyak penyakit terutama penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, kegagalan buah pinggang dan kanser yang bersarang dalam diam; gejala hanya muncul apabila penyakit sudah teruk.

Penyakit jantung, strok dan kanser adalah faktor utama kemasukan ke hospital dan kematian. Kegemukan, tekanan darah tinggi, kencing manis dan paras kolesterol yang tinggi adalah faktor risiko utama untuk penyakit jantung dan strok. Mengawal keadaan tersebut boleh mengelakkan atau mengurangkan kadar kejadian serangan jantung dan strok.

Keperluan ujian saringan kesihatan bergantung kepada umur, jantina, sejarah kesihatan keluarga dan sama ada anda mempunyai faktor risiko terhadap penyakit tertentu. Contohnya individu gemuk atau terlalu gemuk (obes) berisiko tinggi mendapat kencing manis.

Malah orang yang mempunyai salah seorang ibu atau bapa atau kedua-duanya menghidap kencing manis juga berisiko tinggi mendapat penyakit yang sama.

Penyakit gaya hidup seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, masalah kolesterol tinggi adalah antara penyakit kronik yang tidak menunjukkan gejala awal sehinggalah ia sampai ke tahap serius.

Banyak masalah kesihatan dan penyakit kronik yang boleh menyebabkan kematian awal sebenarnya boleh dicegah. Melalui pemeriksaan kesihatan berkala, kita bukan saja mengetahui status kesihatan diri sendiri malah meningkatkan kesedaran terhadap penyakit, faktor risiko, jenis rawatan dan bentuk sokongan yang ada jika disahkan menghidap penyakit tertentu.

Ujian yang boleh dilakukan:

Ujian darah - Paling penting dalam saringan atau pemeriksaan kesihatan. Ujian darah bukan saja penting untuk mengetahui tahap kesihatan seseorang tetapi juga dijadikan asas bagi memantau keberkesanan rawatan yang diterima seseorang pesakit.

Gejala penyakit biasanya tidak disedari pada peringkat awal tetapi ketidaknormalan ini boleh dikesan pada darah. Apabila penyakit semakin berkembang, ketidaknormalan pada darah juga bertambah banyak. Jika penyakit dirawat, kesan perubahan pertama (pada status kesihatan) akan dilihat pada darah.
Ujian darah juga adalah cara paling lazim digunakan doktor apabila pesakit mengadu kurang sihat. Walaupun mereka boleh mengagak masalah kesihatan yang dihadapi, tetapi dengan ujian darah pengesahan jenis penyakit adalah lebih tepat.

Bagi individu sihat, ujian darah juga boleh mengesan sebarang ketidaknormalan yang tidak disedari dan memberikan pelbagai maklumat penting untuk diagnosis, rawatan dan kaedah pencegahan bagi satu-satu penyakit.

Ujian darah mengesan paras komponen penting dalam darah; adakah ia dalam julat yang normal. Ini termasuklah jumlah kiraan darah untuk jenis sel dalam darah (sel darah merah, sel darah putih dan platelet). Sel ini kemudiannya dianalisis untuk melihat sama ada ia menunjukkan ketidaknormalan.

Antara penyakit yang boleh dikesan melalui ujian darah ialah kencing manis, jantung dan aterosklerosis, buah pinggang, hati, talasemia, anemia, hepatitis B, artritis, gout, masalah tiroid, jangkitan dan sesetengah jenis kanser seperti prostat, hati dan kolon.

Ujian air kencing - Doktor biasanya mencadangkan ujian air kencing untuk memastikan buah pinggang pesakit berfungsi dengan baik atau apabila mereka mengesyaki pesakit itu mengalami masalah kesihatan yang berkaitan dengan buah pinggang.

Buah pinggang berfungsi menapis kekotoran dalam darah supaya bahan penting seperti gula dan protein dapat dialirkan ke seluruh badan. Jadi apabila air kencing mengandungi gula, protein atau bahan-bahan lain, ia biasanya menandakan ada masalah pada buah pinggang.

Ujian air kencing digunakan untuk mengesan penyakit atau jangkitan pada saluran kencing, kencing manis, batu karang, tekanan darah tinggi, masalah hati dan buah pinggang.

Ditulis oleh: Dr L.Y. Kam  

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Sunday, April 11, 2010

Ketandusan tenaga punca letih

Ramai antara kita menganggap keletihan adalah perkara biasa dalam kesibukan hidup. Kita berkejar ke sana dan ke sini sambil menyulap antara kerja dan keluarga, dan cuba melakukan banyak perkara dalam masa yang singkat. Kita mengalami keletihan serta ketandusan tenaga. Bolehkah kita berjaya memulihkan semula diri kita daripada krisis ketandusan tenaga? Jawapannya sudah tentu ya.

Sistem paling asas dalam badan kita ialah pengeluaran tenaga. Ia juga merupakan sistem paling penting kerana membuatkan badan kita berfungsi. Apabila sistem tenaga tidak berfungsi dengan baik, ia akan menjejaskan semua aspek kehidupan kita serta membahayakan kesihatan, juga membawa penyakit dan mempercepatkan proses penuaan.

Pengeluaran tenaga dalam badan manusia merupakan proses yang rumit. Makanan akan dipecahkan menjadi komponen yang lebih kecil dalam saluran penghadaman kita. Komponen-komponen yang lebih kecil ini kemudian digunakan oleh sel-sel untuk mengeluarkan tenaga. Untuk membolehkan sel-sel menukarkan makanan menjadi tenaga ia memerlukan sejenis jisim yang menyerupai vitamin, dikenali sebagai Koenzim Q10 (CoQ10). Tanpa Koenzim Q10, badan kita tidak dapat mengeluarkan tenaga; dan tanpa tenaga sudah semestinya tidak akan wujud kehidupan.

Semasa kita muda, sel-sel kita dipenuhi oleh CoQ10 dengan itu ia dapat mengeluarkan tenaga dengan banyak dan melimpah-ruah untuk menggerakkan badan kita dengan cekap dan kuat. Tetapi apabila kita semakin tua, pengeluaran CoQ10 oleh badan menjadi semakin sedikit dan ini menyebabkan kemerosotan dalam pengeluaran tenaga.

Tanda-Tanda Ketandusan Tenaga

Anda bangun daripada tidur berasa lebih letih daripada sebelum tidur.

Adakah anda berasa begitu susah untuk bangun daripada tidur setiap pagi? Terdapat dua sebab mengapa mereka bangun tidur dan berasa lebih letih - tak cukup tidur atau mutu tidur yang tidak baik. Ramai antara kita memerlukan enam hingga lapan jam tidur untuk bangun dengan lebih segar dan aktif. Jika anda telah pun memperolehi tidur yang mencukupi tetapi masih lagi bangun dan letih, barangkali anda sedang menghampiri krisis tenaga. Tekanan atau ketegangan merupakan satu lagi pemusnah tidur dan keadaan yang lebih sukar untuk ditangani apabila anda berada di peringkat kekurangan tenaga. Tekanan selanjutnya menyusutkan paras tenaga kita, membuatkan kita dua kali ganda lebih letih daripada sebelumnya.

Anda Ketagih Untuk Tidur Tengah Hari

Adakah anda berasa lebih letih apabila hari semakin lanjut? Adakah anda mengelakkan mesyuarat yang diadakan selepas makan tengah hari kerana anda tahu anda tidak dapat mencelek mata serta menahan mengantuk? Kemelesetan tengah hari seperti ini merupakan satu tanda klasik kemerosotan tenaga.

Otak Yang Kabur

Adakah anda berasa lembap dan tidak dapat menumpukan fikiran ataupun mengalami kesukaran untuk memberikan tumpuan pada mana-mana waktu pada hari itu? Adakah ingatan anda mengecewakan anda pada sesuatu ketika? Kehilangan daya ingatan yang tak ketara seperti ini merupakan satu lagi tanda yang badan anda sedang mengalami keadaan tenaga yang rendah.

Anda Makan Berlebihan Kerana Tenaga Anda Rendah

Seperti juga orang lain, barangkali anda juga menyimpan timbunan makanan ringan yang anda simpan dalam laci atau dalam peti sejuk untuk memuaskan nafsu makan anda yang seringkali berlaku apabila anda berasa letih. Apa akan jadi selepas itu? Tenaga anda meningkat buat beberapa minit, tetapi akan merudum semula dan anda terpaksa memakan banyak lagi makanan ringan. Satu-satunya unsur yang tinggal daripada semua ini ialah tambahan berat badan.

Tindak balas badan terhadap kelaparan dan keletihan adalah hampir sama. Ramai antara kita silap tanggapan kerana menyifatkan keletihan sebagai kelaparan dan terus mencari makanan walaupun anda tidak perlu berbuat demikian; akibatnya berat badan yang tidak diingini itu akan bertambah.

Tersebut di atas adalah beberapa tanda kemerosotan tenaga yang jika diabaikan akan menyebabkan kesusutan dalam sistem tenaga anda - yang akhirnya akan menjejaskan setiap aspek kehidupan anda.

Sekiranya anda sedang mengalami mana-mana satu atau lebih tanda-tanda amaran ini, anda boleh mengambil langkah untuk meningkatkan sistem tenaga anda. Walaupun CoQ10 wujud secara semula jadi dalam beberapa jenis makanan seperti daging lembu, dan sayuran, jumlah CoQ10 dalam makanan ini adalah kecil. Adalah sukar untuk mendapat jumlah CoQ10 yang mencukupi pada satu hari dalam makanan kita. Oleh itu satu-satunya penyelesaian terhadap masalah ini ialah mengambil suplemen CoQ10.

Mengambil Suplemen Koenzim Q10 Larut Air (Hydrosoluble)

Masalah paling besar yang dihadapi mengenai kebanyakan produk CoQ10 ialah tentang kecekapan penyerapannya ke dalam aliran darah. Bentuk tradisi suplemen CoQ10 tidak mudah diserap oleh badan (seperti serbuk CoQ10 yang disampaikan dalam minyak kacang soya dan dimasukkan ke dalam kapsul gel lembut, tablet yang berasaskan serbuk, pil gelatin keras yang diisikan dengan serbuk). Mengapa produk CoQ10 ini tidak boleh diserapi dengan mudah? Sebabnya ialah saiz zarah CoQ10 adalah sangat besar, tidak larut dalam air dan susah hendak melarut dalam lipid, dengan itu membuatkannya sukar untuk badan menyerapinya.

Bagaimanapun, sebuah syarikat di Amerika telah berjaya membangunkan proses Biosolv yang telah dipatenkan. Proses ini dapat mengecilkan saiz zarah daripada 25 hingga 70 mikron menjadi hanya 0.3 mikron. Malah, lebih kecil daripada seekor bakteria! Dengan itu membuatkannya "larut air" (hydrosoluble). Sebagai hukum umum, lagi kecil saiz zarah maka lagi baik pula penyerapannya. Oleh itu, dengan CoQ10 yang larut air, lebih banyak CoQ10 akan dapat diserapi ke dalam aliran darah anda untuk meningkatkan paras tenaga dalam badan anda. Oleh itu, mulakanlah mengambil CoQ10 yang larut air setiap hari untuk memulih dan membaharui tenaga anda serta ucapkan selamat tinggal kepada segala rasa keletihan!


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Thursday, July 02, 2009

Rawatan Tradisi Herba

Kesakitan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, Merana pula merupakan suatu pilihan!

Apabila kita berasa sakit, kita akan menjerit "Aduh!". Kesakitan adalah merupakan satu amaran, bagaimana otak anda menafsir maklumat tentang sesuatu rangsangan yang badan anda sedang alami. Kita memerlukan rangsangan rasa sakit untuk melindungi badan kita daripada terus tercedera.

Penerimaan terhadap rasa sakit adalah berbeza dari individu ke individu; sakit adalah sesuatu yang sukar untuk digambar dan ditakrifkan.

Kesakitan yang tidak dikawal untuk jangkamasa yang lama adalah perkara serius kerana ia boleh mengganggu tidur, memberi kesan kepada sistem pertahanan badan, tidak boleh berfikir dengan jelas, mengganggu tugasan serta kegiatan harian dan selera makan.

Ia boleh membuatkan seseorang berasa penat, risau, marah, tertekan, kecewa dan mungkin menjadi murung.

Penyebab Kesakitan

Sebab-sebab kesakitan yang biasanya dialami oleh mereka yang berada di pertengahan usia mungkin disebabkan oleh Osteoartritis (OA) dan Artritis Reumatoid (RA) hinggalah kepada sakit belakang.

OA adalah gangguan sendi dan seringkali memberi kesan terhadap lutut, pinggang, tulang belakang dan sendi lain. Rawan sendi akan beransur lusuh dan boleh menyebabkan kesakitan.

RA pula adalah penyakit autoimun, di mana antibodi badan itu sendiri menyerang membran di sekeliling sendi. RA boleh menyerang mana-mana sendi dan kesakitan yang dirasai biasanya disebabkan oleh radang yang berlaku di sendi terbabit.

Ubat-Ubat Konvensional

Rawatan pertama untuk sakit sendi dan belakang kebiasaannya dimulakan dengan mengambil ubat menghilangkan kesakitan seperti paracetamol. Jika ini tidak berjaya, doktor akan memberi ubat anti radang yang tidak mengandungi steroid (NSAID), seperti aspirin atau ibuprofen.

Pesakit yang mengalami kesakitan yang lebih teruk mungkin akan diberikan COX-2 inhibitor (sejenis NSAID yang menyekat COX-2 secara terpilih, iaitu sejenis enzim yang terlibat dalam saluran radang). Jika ia diambil untuk jangkamasa yang panjang pesakit bukan sahaja terpaksa menghabiskan banyak duit untuk membeli ubat, malah terpaksa berhadapan dengan kesan sampingan akibat pengambilan ubat ini.

Kesan sampingan yang paling biasa daripada pengambilan NSAID ialah pendarahan dalam perut dan ulser. Pengambilan paracetamol secara berterusan dan NSAID boleh merosakkan hati dan buah pinggang, manakala pesakit yang mengambil COX-2 inhibitor dalam jangka masa panjang mungkin akan menghadapi peningkatan risiko untuk mengalami serangan jantung, strok, malah kematian.

Selain dari kesan sampingan, mengambil NSAID sebenarnya mungkin akan menyebabkan kemusnahan rawan, menurut satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Lancet. Walaupun ubat dapat memberi kelegaan segera, mengambil NSAID sebenarnya mungkin boleh membahayakan sendi kerana ia mengalami kemusnahan secara berterusan.

Herba Penawar Kesakitan

Memandangkan kesan sampingan buruk yang begitu banyak, syukurlah ada herba semulajadi yang terbukti dapat memberi kesan setanding untuk melegakan rasa sakit tanpa kesan sampingan NSAID. Dua jenis herba yang didapati berkesan ialah pati kulit pokok willow yang dipiawaikan (EFLA462) yang dipatenkan dan pati pokok Cat's Claw yang dipiawaikan.

i) Kulit pokok willow

Spesis kulit pokok willow telah digunakan berabad lamanya sebagai anti radang dan pelega kesakitan. Terdapat banyak penyediaan pati kulit pokok willow yang boleh didapati di seluruh dunia dan kebanyakannya mengandungi Salacin sahaja sebagai bahan aktif dan ini didapati tidak berkesan berbanding produk kulit pokok willow tradisi yang menggunakan kulit itu pada keseluruhannya.

Frutarom dari Switzerland menggunakan kulit pokok willow itu sepenuhnya yang diambil daripada berbagai jenis pokok willow termasuk Salix purpurea, Salix fragilis, dan Salix daphnoids yang semuanya mempunyai ramuan aktif dengan jumlah yang lebjh tinggi. Frutarom telah berjaya membangun serta mempatenkan proses yang dikenali sebagai 'Polyshield' untuk menghalang kemusnahan dan penurunan kualiti ramuan aktif tersebut.

Di samping tindakan anti radang dan pelega kesakitan, kajian mendapati kulit pokok willow yang dipatenkan oleh Frutarom ini juga memberi kesan perlindungan kepada rawan sendi. Ini merupakan satu kelebihan yang nyata berbanding ubat konvensional kerana ia bukan sahaja melegakan gejala-gejala tetapi juga merawat penyebab masalah itu.

Oleh itu, kulit pokok willow merupakan pilihan yang lebih baik untuk menguruskan kesakitan jangka panjang dan radang jika dibandingkan dengan ubat konvensional kerana kajian-kajian telah pun mengesahkan profil keselamatannya.

ii) Cat's Claw

Cats's Claw (Uncaria tomentosa) telah diselidik dengan meluas melibatkan keupayaannya untuk melegakan kesakitan. Berasal dari wilayah Amazon, penduduk Amerika Selatan telah lama menggunakan kulit dan akar pokok cat's claw untuk menangani masalah kesihatan seperti artritis dan radang.

Sebatian dalam pokok cat's claw dianggap boleh menghalang badan daripada mengeluarkan jisim yang menggalakkan radang dikenali sebagai prostaglandins dan faktor nekrosis tumor (TNF). Kajian klinikal melaporkan pesakit osteoartritis dan rheumatoid artritis, apabila mengambil suplemen cat's claw telah mengalami pembaikan yang ketara.

Tindakan Berganda

Seperti mana juga dengan pati kulit pokok willow, saintis telah mendapati cat's claw juga boleh melindungi rawan dari kemusnahan. Dengan demikian, pati kulit pokok willow dan pati cat's claw mempunyai tindakan berganda, iaitu memberikan kelegaan daripada kesakitan dan juga melindungi rawan sendi daripada kerosakan. Tidak terdapat sebarang laporan tentang kesan sampingan yang tidak baik daripada dua herba ini.

Panduan Membeli Suplemen

Apabila membeli suplemen kulit pokok willow, ambillah yang mengandungi pati kulit pokok willow yang dipiawaikan keluaran Frutarom EFLA® 462. Kulit pokok willow dan cat's claw membawa kesan bersinergi dari segi kelegaan kesakitan, anti radang dan perlindungan rawan.

Walaupun suplemen boleh menghilangkan kesakitan yang dialami, anda juga seharusnya mengamalkan gaya hidup sihat. Jaga berat badan, makan makanan berkhasiat seperti buahan dan sayuran segar, kurangkan daging merah dan lemak tepu serta bersenam dengan kerap. Rawatan secara tradisi mungkin mengambil masa yang agak lama jika dibandingkan dengan ubat konvensional. Tetapi yakinlah yang anda membuat pilihan yang tepat untuk pulih dari 'Aduh!


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Monday, June 01, 2009

Masalah Penghadaman di Kalangan Rakyat Malaysia

Apabila membincangkan tentang isu kesihatan dan kesejahteraan, kesihatan saluran penghadaman biasanya kurang diutamakan berbanding topik yang membabitkan jantung dan tekanan darah. Tetapi usaha menjaga kesihatan sistem penghadaman anda tidak kurang penting berbanding usaha menjaga kesihatan semua bahagian lain badan. Masalah kesihatan saluran penghadaman bukan sahaja mengganggu perut dan usus, tetapi juga boleh menjejaskan kehidupan anda.

l Empat Masalah Utama

Penyakit yang berkaitan dengan saluran gastrousus (GU) dinamakan penyakit penghadaman. Di Malaysia, masalah penghadaman umum yang dialami oleh dewasa Malaysia, berasaskan tahap penularannya ialah:

1. Penyakit Refluks Gastroesofagus (Reflux Oesophagitis)

Penyakit ini berlaku apabila sfinkter esofagus bawah (injap antara esofagus dan perut) tidak ditutup dengan cukup rapat, membolehkan asid perut untuk mengalir kembali ke dalam esofagus. Tanda ataupun simptom paling umum ialah pedih hulu hati. Gejala lain termasuk batuk, suara serak, sendawa dan rasa masam di mulut. Di Malaysia, seperti kebanyakan negara di Asia, penyakit refluks semakin menular kerana faktor gaya hidup, seperti gaya hidup tidak aktif yang tidak mementingkan kegiatan fizikal dan juga pilihan makanan, misalnya makanan berminyak dan berlemak. Namun begitu, penyakit ini boleh dirawat menerusi ubat preskripsi atau dengan membuat perubahan gaya hidup, iaitu jangan makan secara berlebihan, mengurangkan berat badan berlebihan dan menambahkan kekerapan senaman.

2. Sindrom Usus Terganggu (Irritable Bowel Syndrome)

SUT ialah sejenis gangguan usus yang dialami kira-kira 430,000 rakyat Malaysia. Gangguan ini menyebabkan sakit perut, kekejangan, kembung, cirit-birit atau sembelit. Gejala utamanya ialah sakit perut dengan sembelit atau cirit-birit. Terdapat pelbagai teori yang mengenal pasti punca SUT. Ia mungkin berlaku akibat kaitan antara faktor alam sekitar dan genetik. Gejalanya juga dianggap berkaitan dengan komunikasi kurang baik antara otak dan saluran gastrousus. Pergerakan yang normal mungkin tidak berlaku di dalam kolon seseorang yang menghidap SUT. Walaupun SUT ialah sejenis gangguan tidak berbahaya (benign), ia boleh menjejaskan kualiti kehidupan dan mengganggu anda selama bertahun-tahun. Penyakit ini biasanya dialami oleh mereka yang berusia lewat 20-an, wanita dan individu yang mempunyai sejarah SUT dalam keluarga. Rawatannya termasuk perubahan diet dan gaya hidup, seperti mengelakkan makanan yang mencetus gejala, kerap bersenam dan menguruskan stres.

3. Ulser peptic (peptic ulcer)

Ulser peptik ialah liang kecil yang menembusi lapisan perut atau duodenum. Ulser mungkin atau mungkin tidak memperlihatkan sebarang gejala, tetapi apabila gejala didapati, ia termasuk sakit membara atau menusuk di bahagian tengah atau atas perut, kehilangan selera dan penurunan berat badan serta najis berwarna gelap atau hitam (akibat pendarahan). Gejalanya berbeza-beza antara individu. Punca utama ulser peptik ialah penggunaan ubat antiradang bukan steroid (NSAID) seperti aspirin, ibuprofen dan ubat lain. Punca umum kedua ialah jangkitan oleh sejenis bakteria yang dinamakan Helicobacter pylori (H. pylori) Sebab lain termasuk merokok atau pengambilan alkohol berlebihan. Stres juga boleh memburukkan lagi gejala.

4. Kanser kolon (colon cancer)

Kanser kolon biasanya bermula sebagai polip, iaitu ketumbuhan kecil pada permukaan kolon. Kebanyakan polip adalah tidak berbahaya (benign), tetapi sekurang-kurangnya satu jenis polip boleh bertukar menjadi malignan (merebak) dan merupakan pelopor bagi kanser kolon. Laporan kedua Pendaftaran Kanser Kebangsaan menarafkan kanser kolon sebagai kanser ketiga paling umum dialami oleh rakyat Malaysia. Penularan kanser kolon juga semakin ketara, terutamanya di kalangan golongan muda. Orang yang berusia lebih 50 tahun menghadapi risiko kanser kolon yang lebih tinggi. Faktor risiko lain termasuk sejarah kanser kolon dalam keluarga, kegemukan, diet yang tinggi kandungan lemak dan rendah kandungan serat, merokok dan kehidupan tidak aktif.

Mengawal Kesihatan Anda

Lazimnya, anda boleh mengawal kesihatan anda hanya dengan mengambil beberapa langkah pencegahan seperti mengubah gaya hidup dan tabiat pemakanan anda. Jangan tunggu sehingga anda mengalami masalah penghadaman. Mulakan serta-merta untuk memastikan sistem penghadaman anda akan kekal sihat pada hari ini dan sepanjang hayat.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Sunday, May 31, 2009

Demensia Boleh Dielak

"APA nama kamu tadi?" soal moyang Aizat kepadanya. Seingat Aizat sudah lebih 10 kali moyangnya bertanya soalan yang sama pada hari itu. Reaksinya seolah-olah baru bertemu dengan cicitnya walaupun Aizat sebenarnya sudah seminggu menghabiskan cuti sekolahnya di kampung.

Sebahagian daripada kita tentu pernah mengalami pengalaman yang sama seperti Aizat. Anak cucu kita sebenarnya amat bertuah kerana masih mempunyai moyang yang mampu berinteraksi dengan cicit masing-masing.

Tetapi tidak semua cicit mahupun cucu menganggap moyang istimewa pada mereka sekiranya moyang tersebut mula berkelakuan tidak seperti orang dewasa lain.

Malah pada situasi yang lebih teruk moyang tidak boleh lagi menguruskan diri sehingga menyebabkan ahli keluarga menjauhi mereka.

Sebagai anak, cucu mahupun cicit yang bertanggung jawab, anda perlu mengetahui bahawa emak, nenek atau moyang telah menunjukkan simptom penyakit demensia atau mungkin dalam bahasa mudahnya nyanyuk.

Pakar neurologi dari Pusat Pakar Alpha, Dr. Lee Moon Keen berkata, demensia berlaku disebabkan perubahan dalam fungsi otak. Malah terma demensia itu sebenarnya berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud tanpa minda.

Penyakit ini bersifat progresif iaitu semakin lama semakin teruk jika tidak diberi rawatan pada peringkat awal. Ia biasanya dialami oleh golongan usia 65 tahun ke atas.

"Demensia berlaku apabila keupayaan dalam otak semakin berkurangan. Apabila keupayaan merosot di mana otak tidak mampu membuang kimia yang dinamakan cellular junk. Dalam cellular junk ini mengandungi sejenis protein yang dinamakan amyloid, bila cellular junk ini tidak dibuang, ia akan menyebabkan demensia," jelasnya.

Dr. Moon Keen berkata, ada lima punca yang yang kerap dilaporkan apabila terjadinya demensia pada seseorang. Pertama adalah disebabkan faktor usia - semakin bertambah usia, semakin kurang fungsi penggunaan otak.

"Punca kedua berkaitan dengan saluran vaskular di mana apabila saluran darah semakin sempit, oksigen yang dibawa ke otak berkurangan. Individu yang mempunyai kolesterol yang tinggi, kuat merokok, darah tinggi dan diabetes juga berisiko untuk mengalami demensia menerusi punca ini," jelasnya.

Ketiganya, mungkin disebabkan oleh trauma kecederaan yang menyebabkan kesan kepada kualiti sel otak.

"Contohnya boleh dilihat kepada ahli sukan tinju dan mereka yang kerap melakukan aktiviti sukan lasak dan berisiko tinggi. Punca keempat pula adalah kerana jangkitan kuman seperti HIV dan yang terakhir kerana hydrocephalus iaitu kandungan air yang banyak pada otak," ujarnya.

Dr. Lee menambah, demensia memang berisiko pada mereka yang berusia 65 tahun ke atas namun peratusan adalah paling tinggi pengidapnya ialah pada usia 85 tahun.

"Alzheimer adalah satu jenis penyakit dementia yang paling kerap terjadi di kalangan warga tua," tambahnya.

Akan tetapi menurut Dr. Lee, warga emas yang mengamalkan cara hidup sihat boleh mengelakkan dari terkena penyakit ini.

"Pepatah Inggeris ada menyatakan use it or loose it, sama seperti otak, jika kita tidak gunakannya dengan berfikir dan berinteraksi maka kita akan kehilangan fungsinya.

"Jika seorang pesara misalnya tidak perlu lagi memikirkan hal kerja tetapi dia perlu pastikan dirinya hidup dalam suasana yang bermakna. Banyak aktiviti boleh dilakukan seperti senaman yang terbukti mampu membekal oksigen ke otak sekali gus merangsang keupayaan berfikir," jelasnya.

Dr. Moon Keen turut mencadangkan individu yang meningkat usia agar melakukan stimulasi mental seperti bergaul dengan rakan-rakan, menceburi persatuan sukarela, melakukan aktiviti berkumpulan dengan tujuan untuk merangsang minda agar berfikir.

"Biasanya, penyakit ini dialami oleh salah seorang suami atau isteri yang telah kehilangan pasangan mereka. Paling utama ahli keluarga seperti anak-anak dan saudara mara memberi sokongan emosi dan kasih sayang kepada mereka agar mereka tidak berasa keseorangan dan seterusnya hilang fungsi fikiran," ujarnya.

Diagnosis

Bagi seorang pesakit yang berjumpa doktor, perkara pertama yang ditanya ialah tentang sejarah perubatan pesakit. Setelah mendapat maklumat, pesakit akan diberikan soalan soal selidik. Set soalan ini umpama ujian IQ untuk mengenalpasti tahap demensia yang dialami pesakit.

"Ujian imbasan otak (CT Scan) boleh mengenalpasti sama ada otak mula mengecut atau sebaliknya. Ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) juga boleh dilakukan untuk mengesan penyakit ini, bergantung kepada penilaian menerusi soalan kaji selidik tadi," katanya.

Dr. Moon Keen menambah, selepas mengenalpasti punca, rawatan akan dibuat dengan pengambilan ubat-ubatan serta terapi bergantung kepada tahap demensia seseorang pesakit.

Amalan Makanan Mampu Mengelakkan Risiko

Beliau menyarankan pengambilan sayur-sayuran pelbagai warna yang mampu menguatkan minda. Dengan mengambil sayur-sayuran yang berwarna warni tersebut akan membekalkan zat dan nutrien yang diperlukan untuk otak. Ia sekali gus dapat mengelakkan risiko diserang dimensia apabila tiba usia berisiko kelak.

"Tidak bermakna makan sejenis sayur tidak baik, tetapi lebih baik jika sayuran hijau dicampur dengan sayuran seperti lobak, kubis dan sebagainya kerana ia adalah lebih baik untuk kesihatan otak anda," ujarnya.

Tambahnya, kajian membuktikan pengambilan minyak ikan mampu mengelakkan penyakit dementia. Satu lagi kajian terbaru di Britain pula mendapati amalan meminum kopi di kalangan wanita mengurangkan risiko mereka dari terkena penyakit ini.


Ditulis oleh:
Noor Fazrina Kamal

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Kebersihan Cegah Penyebaran Wabak

Kehadiran penyakit berjangkit sejak akhir-akhir ini memang sangat membimbangkan, terutama di kalangan pendatang tanpa izin (PATI) sejak beberapa minggu lalu.

Walaupun Kementerian Kesihatan menegaskan keadaan masih terkawal dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan memberi rawatan rapi kepada pesakit, orang ramai perlu berhati-hati serta sentiasa menjaga kebersihan tempat tinggal sementara mereka.

Dalam keadaan tempat tinggal yang sesak, banyak perkara tidak dijangka boleh berlaku, antaranya kemunculan penyakit leptospirosis yang disebabkan jangkitan bakteria air kencing haiwan seperti tikus.

Leptospirosis berlaku di seluruh dunia, tetapi lebih kerap di negara beriklim sederhana dan tropika. Leptospirosis berpunca daripada jangkitan bakteria Leptospira dikelaskan sebagai penyakit yang jarang berlaku.

Sehingga artikel ini ditulis, kes leptospirosis hanya dilaporkan berlaku di Depot Tahanan Imigresen Juru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dengan dua kematian. Banyak jenis haiwan boleh menjadi perumah bakteria ini, sama ada liar atau peliharaan.

Penularan penyakit leptospirosis di Depoh Tahanan Juru, Pulau Pinang apabila 35 pendatang tanpa izin disahkan menghidap penyakit itu, termasuk dua orang meninggal dunia memerlukan perhatian serius. Penyakit berjangkit bawaan haiwan yang boleh menjangkiti manusia disebabkan bakteria spirochete itu berlaku apabila ia terdedah kepada kuman dalam air tercemar dengan kencing haiwan seperti tikus. Depoh tahanan yang menempatkan 552 pendatang itu terpaksa menjalankan proses pembersihan di empat blok pusat rawatan, bilik air serta tempat penyimpanan air bagi membasmi penyebaran bakteria berkenaan.

Pakar perubatan Am, Pusat perubatan darul Ehsan (DEMC), Dr. Aizan Hassanuddin berkata, leptospirosis tidak berjangkit dari manusia ke manusia

"Ia adalah satu wabak penyakit zoonosis. Infeksi itu terjadi apabila seseorang itu terdedah kepada kencing haiwan seperti tikus, lembu, kambing, khinzir, anjing dan sebagainya yang telah dicemari dengan kuman Leptospira. Penyakit ini tidak berjangkit dari manusia ke manusia. Zoonis itu bermaksud jangkitan yang berasal dari haiwan," katanya.

Menurut Dr. Aizan, kuman leptospirosis itu memasuki badan seseorang itu melalui luka di badan atau jika ia termakan atau terminum air atau tanah yang telah dicemari dengan kuman leptospira.

"Sebagai contoh, semasa musim banjir, air kotor yang diredah semasa berjalan yang telah dicemari dengan kuman leptospira boleh memasuki badan seseorang itu jika ia ada luka kecil di kaki atau di mana-mana bahagian badan. Ia juga merupakan penyakit yang boleh terjadi bagi mereka yang bekerja di ladang-ladang, sawah atau penternakan binatang di mana kuman itu didapati hidup di tanah atau air kotor," ujarnya.

Untuk pengetahuan umum, gejala-gejala penyakit ini adalah demam, sakit-sakit badan, sakit kepala, sakit perut, muntah, cirit-birit dan sakit kuning atau jaundice.

Dalam kes yang serius, ia boleh membawa maut di mana seseorang itu boleh mendapat kegagalan buah pinggang, kegagalan hati, pendarahan di paru-paru dan meningitis atau infeksi di bahagian otak.

"Ini adalah peringkat septisemia di mana kegagalan fungsi organ dalaman menyebabkan kadar mortaliti atau maut meningkat ke tahap 50 hingga 60 peratus," katanya.

Dalam pada itu, Dr Aizan mengakui wabak ini jarang menular.

"Ia sebenarnya bergantung kepada tahap kebersihan sesuatu kawasan itu dan tidak terkecuali hanya kepada PATI.

Rakyat di negara-negara kawasan tropika seperti Malaysia terdedah kepada wabak penyakit ini disebabkan oleh cuaca hujan di mana lopak-lopak air yang telah dicemari dengan kuman leptospira merupakan punca wabak ini," jelasnya.

Oleh itu, di kawasan-kawasan setinggan atau di tapak-tapak pembinaan kawasan perumahan di mana sistem persaliran yang kurang memuaskan boleh menjadi lubuk kepada penyakit ini.

Mengulas hubungan wabak ini dan PATI, Pakar Perubatan Hospital Pantai Ampang, Dr. Matvinder Singh menjelaskan, kebanyakan golongan ini tinggal di tempat-tempat kotor.

"Misalnya, tandas yang mereka gunakan secara berkongsi yang mempunyai air bertakung.

Namun, mereka yang bekerja dengan binatang atau pembawa juga mudah mendapat risiko dijangkiti penyakit ini. Ia tidak merebak melalui manusia.

Malah, mereka yang tinggal di tempat-tempat atau sering berkunjung di tempat air kotor seperti air sungai atau tasik yang tercemar turut berisiko tinggi," katanya.

Tambah Dr. Matvinder, hanya 10 hingga 15 peratus pesakit akan mendapat leptospirosis yang teruk.

"Pada tahap kritikal, penyakit ini boleh menyebabkan sel darah merah pecah hingga menyebabkan penyakit kuning, kegagalan fungsi buah pinggang dan kencing berdarah.

Kebiasaannya, kuman ini akan memasuki dalam badan dalam tempoh sepuluh hari," ujarnya.

Selain itu, mereka yang berusia, lebih kurang 20 peratus mudah dijangkiti penyakit ini lebih-lebih lagi mereka yang berisiko tinggi.

Sebagai pencegahan awal penyakit ini, bukan sahaja PATI, malah orang ramai perlu mengelakkan menggunakan air semula jadi seperti sungai dan tasik yang tercemar.

"Misalnya, mandi, berenang dan berkayak. Antara langkah yang boleh dilakukan ialah mandi dengan air bersih selepas melakukan aktiviti tersebut.

Selain itu, menjaga kebersihan rumah juga penting agar dapat mengurangkan populasi tikus. Penjagaan makanan juga penting misalnya, memastikan makanan sentiasa bersih dan ditutup.

Paling penting, sekiranya seseorang itu demam kuat, mereka perlu segera berjumpa doktor," katanya.

Dalam pada itu, Dr. Matvinder memberitahu masih ada rawatan penyakit ini dengan memberi suntikan antibiotik Penicillin atau Ceftriaxone. "Namun, pesakit perlu mendapat rawatan dengan kadar segera di hospital untuk mengelakkan komplikasi penyakit leptospirosis," jelasnya.

Maklumat

* Selain tikus, organisma letospira boleh juga menjangkiti kucing, kuda, anjing, babi dan haiwan lain.

* Manusia dijangkiti melalui hubungan langsung dengan air, makanan atau tanah yang tercemar.

* Biasanya seseorang yang sudah terdedah dengan sumber tercemar letospira mula jatuh sakit dalam dua hari hingga empat minggu.

* Ia boleh berlaku dalam dua fasa.

* Fasa pertama ialah demam, sejuk, sakit kepala, sakit otot, muntah atau cirit-cirit. Pesakit akan pulih sebelum kembali jatuh sakit.

* Fasa kedua keadaan pesakit lebih teruk termasuk kegagalan buah pinggang, hati atau meningitis. Fasa ini disebut juga sebagai penyakit Weil (Weil's disease)

* Leptospirosis berlaku antara beberapa hari hingga beberapa minggu atau lebih. Tanpa rawatan, tempoh untuk pulih mengambil masa beberapa bulan.

* Leptospirosis berlaku di seluruh dunia tetapi lebih biasa ditemui di negara beriklim tropika.

* Jika tidak dirawat, leptospirosis boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, meningitis, kegagalan hati malah dalam kes yang lebih teruk ialah kematian.

* Leptospirosis didiagnos dengan ujian makmal terhadap contoh darah atau kencing.

* Leptospirosis selalunya terjadi kerana pendedahan pada air yang dicemari air kencing binatang yang dijangkiti bakteria leptospira.


Ditulis oleh:
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Friday, April 17, 2009

Inovasi Rawatan Akupuntur

Seharian di pejabat menaip pada papan kekunci komputer menjadikan pergelangan tangan penulis lenguh dan kadang kala terasa berdenyut-denyut.

Mengetahui tentang keberkesanan rawatan alternatif akupuntur terfikir pula untuk mencuba rawatan bagi mengurang atau menghilangkan terus kesakitan tersebut.

Namun keinginan terbantut apabila mengenang tusukan jarum-jarum halus yang lazim digunakan dalam rawatan itu.

Situasi yang sama mungkin dihadapi oleh individu lain apabila teringin mencuba rawatan akupuntur.

Rawatan alternatif tradisional ini melibatkan tusukan jarum ke dalam kulit pada poin-poin tertentu. Jarum tersebut ditusuk ke dalam kulit sedalam suku hingga satu inci bergantung pada keadaan fizikal pesakit tersebut.

Jika tubuh tidak bersedia untuk rawatan konvensional ini, pesakit akan berasa tidak selesa terutama ketika proses memasukkan jarum tersebut. Perasaan 'ngilu' dan 'ngeri' dengan jarum-jarum akupuntur memang tidak mudah untuk dibuang.

Justeru bagi mengurangkan gerun kepada tusukan jarum, satu inovasi teknologi akupuntur telah direka iaitu sebuah alat berbentuk seperti pen yang mempunyai fungsi yang sama malah lebih baik daripada cara tradisional.

Inovasi rawatan akupuntur laser dari Korea ini dijangka dapat mengatasi masalah individu yang gerun pada jarum akupuntur.

Pakar rawatan akupunktur dari Korea, Dr. Muhammad Kim menjelaskan, penggunaan alat akupuntur laser ini mempunyai kesan yang lebih baik dan lebih utama ia hanya melibatkan luaran kulit membuatkan kebersihannya lebih terjamin.

"Rawatan laser akupuntur ini menggunakan alat berbentuk seperti pen. Bebola di hujungnya berfungsi menyalurkan tenaga laser pada poin yang tertentu untuk melancarkan peredaran darah," jelas beliau ketika ditemui di pusat rawatannya baru-baru ini.

Kesannya

Untuk merasai sendiri, penulis berkesempatan mencuba rawatan tersebut pada bahagian atas pergelangan tangan. Kesannya memang ketara dan penulis dapat merasa perjalanan darah hingga ke pangkal tangan seolah-olah aliran elektrik ringan yang melancarkan perjalanan darah.

Dr. Muhammad Kim menerangkan akupuntur laser berfungsi dengan cara merangsang poin-poin akupuntur.

"Poin-poin ini terletak berdekatan dengan sistem saraf. Apabila disalurkan laser, ia akan memberi rangsangan terus dan memindahkan impuls elektrik melalui spinal cord dan otak hingga ke bahagian badan yang bermasalah.

"Rawatan akupuntur laser ini mempertingkatkan tindakan psikologi semula jadi bagi mengawal kesakitan," jelas beliau yang mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam bidang perubatan tersebut.

Dr. Muhammad Kim menambah, kajian perubatan moden juga menunjukkan stimulasi pada poin akupuntur tertentu merangsang penghasilan kimia dari saraf tunjang ke sistem endokrin.

Mekanisme ini adalah semula jadi dalam tubuh kita sekali gus mengawal kesakitan.

Dr. Muhammad Kim turut menyarankan rawatan akupuntur laser kepada pesakit kencing manis, strok, darah tinggi dan masalah berat badan.

"Walau dalam keadaan kegawatan ekonomi sekalipun, kami menyediakan perkhidmatan berkualiti dalam harga yang mampu dibayar," ujar beliau.

Untuk memperlengkapkan proses rawatan, pesakit diberi menggunakan peralatan canggih dari Korea seperti katil urutan badan menggunakan batu jed serta katil elektrik kristal.

Kombinasi rawatan ini disarankan untuk mereka yang mengalami sakit pinggang dan melancarkan perjalanan darah.

"Sesiapa yang mempunyai masalah berat badan berlebihan juga boleh mencuba rawatan akupunktur laser serta peralatan lain yang disediakan," jelas beliau.

Pusat rawatan yang terletak di Kelab Golf Titiwangsa PDRM, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur dibuka antara hari Isnin hingga hari Ahad dari pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap minggu. Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-26980595.


Ditulis oleh:
Noor Fazrina Kamal

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Betulkan Stigma Pesakit Tibi

Tanggapan bahawa pesakit tibi perlu diasing dan dipinggirkan daripada masyarakat untuk jangka masa yang lama perlu diperbetul.

Seringkali pesakit tibi dipinggirkan sehingga bertahun-tahun dan stigma ini boleh membuatkan mereka yang dijangkiti kadang kala berat hati untuk mendapatkan rawatan.

"Ada yang selepas beberapa tahun pun masih makan minum guna bekas berbeza. Hingga hendak bergaul dengan keluarga pun sukar," kata Setiausaha Agung Persatuan Bagi Mencegah Penyakit Tibi Malaysia (MAPTB), Sahul Hamid A.Karim

Sebenarnya pesakit tibi boleh bergaul kembali dengan masyarakat seperti biasa setelah dua hingga tiga minggu mula mendapat rawatan.

Tetapi pesakit mestilah mendapat rawatan segera serta menghabiskan rawatannya selama enam bulan untuk memastikan mereka pulih sepenuhnya.

"Apabila seseorang pesakit tibi sembuh sepenuhnya, sekiranya dia dijangkiti tibi lagi, maknanya itu simptom baru," katanya kepada Bernama selepas majlis sambutan Hari Tibi Sedunia 2009 baru-baru ini.

Penyakit Berjangkit Berbahaya

Tibi merupakan sejenis penyakit berjangkit berbahaya yang boleh membawa maut sekiranya tidak mendapat rawatan sempurna.

Penyakit ini disebabkan oleh kuman Tubercle Bacili yang biasanya menjangkiti paru-paru. Ia juga boleh menyerang bahagian lain seperti selaput otak, tulang, kelenjar, buah pinggang dan kulit.

Kehadiran penyakit ini dalam kalangan masyarakat memang tidak disedari kerana ia merebak melalui udara dan titisan cecair badan daripada pesakit kepada orang lain. Tibi ini berjangkit dengan mudah dan tidak mengenal mangsa.

Seseorang yang terdedah kepada udara yang tercemar dengan kuman tibi akan menghidu kuman ke dalam saluran pernafasan melalui hidung, mulut dan kuman boleh hinggap di mana-mana sahaja bahagian berkenaan.

Tanda dan gejala penyakit tibi paru-paru ialah batuk berterusan lebih daripada dua minggu, kahak yang mengandungi darah, demam dan peluh lazimnya pada sebelah petang dan malam, susut berat badan dan hilang selera makan, sakit dada apabila batuk atau menarik nafas panjang dan mudah letih.

Kes Baru Tibi Mmeningkat

Tahun lepas sebanyak 17,496 kes baru tibi dikesan di Malaysia dengan 1,523 kematian. Pada tahun 2007 kira-kira 16,000 kes baru dikesan dan tahun 2006 pula sebanyak 14,000 kes.

Pada tahun 2006, nisbah pesakit tibi di Malaysia ialah 61 orang setiap 100,000 penduduk. Nisbah ini lebih rendah dibandingkan dengan Filipina (171), Thailand (89), Indonesia (121) tetapi lebih tinggi berbanding Singapura (30).

Melihat kepada pencapaian Program Kawalan Penyakit Tibi untuk Malaysia pada tahun 2008, kadar insiden ialah 63.1 kes untuk 100,000 penduduk. Ini jauh daripada sasaran yang ditetapkan pada 2008 iaitu 47.5 kes untuk 100,000 penduduk.

Di Malaysia, kes paling tinggi dicatatkan di Sabah, Wilayah Persekutuan, Sarawak dan Selangor.

"Walaupun jumlahnya tidak membimbangkan tetapi trendnya meningkat serta menyerang golongan yang lebih muda. Kalau dulu kebanyakan pesakit tibi berusia antara 40 tahun ke 60, sekarang ramai dalam kalangan mereka berusia lingkungan 30 tahun," kata Sahul.

Faktor peningkatan ialah kerana kurangnya kesedaran dan peningkatan penghidap sakit buah pinggang, diabetis dan HIV. Warga asing turut menyumbang dalam peningkatan kes tibi sebanyak 10 peratus.

Dalam pada itu, sasaran untuk mengawal penyakit tibi, malaria dan HIV secara global telah digubal berdasarkan Sasaran Pembangunan Milenium (MDG) oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2000.

Presiden MAPTB, Datuk Seri Yeop Jr. Yeop Adlan berkata, di bawah MDG, PBB menetapkan insiden penyakit tibi hendaklah dikurangkan menjelang 2015.

Sasaran Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ialah untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 70 peratus sputum positif pesakit tibi dikesan dan dirawat dengan Pengawasan Rawatan Jangka Pendek Secara Terus (DOTS) serta menyembuhkan sekurang-kurangnya 85 peratus kes yang dikesan, telah berjaya dicapai.

DOTS merupakan strategi yang disarankan oleh WHO untuk merawat penyakit tibi.

Prinsip DOTS ialah pesakit perlu mengambil ubat selama enam bulan. Pada dua bulan pertama pesakit diminta menelan setiap dos ubat setiap hari dengan disaksikan oleh anggota kesihatan yang terlatih.

Pada peringkat sambungan selama empat bulan, pesakit perlu mengambil ubat dua kali seminggu di bawah penyeliaan seseorang yang dilantik.

Rawatan Pesakit

Sementara itu Institut Perubatan Respiratori (IPR) akan terus memainkan peranan utama sebagai pusat kecemerlangan dalam rawatan pesakit tibi.

IPR diterajui oleh ketua yang berperanan sebagai Penasihat Teknikal Rancangan.

Perkara yang harus dititikberatkan oleh IPR ialah meningkatkan kesedaran pegawai perubatan dalam sektor kerajaan dan swasta dalam pengesanan kes-kes tibi pada peringkat awal serta memastikan mereka merawat pesakit dengan sempurna supaya dapat mengelakkan berlakunya drug resistance.

Kadar pengesanan di klinik primer dan klinik swasta masih lagi rendah iaitu 14 peratus daripada keseluruhan kes tibi yang direkodkan di Malaysia. Di Wilayah Persekutuan dan Selangor pula berbeza kerana lebih ramai pesakit mendapatkan rawatan di klinik-klinik swasta.

Kementerian Kesihatan telah merangka Pelan Strategik Menghentikan TB Malaysia 2009-2015 dan meminta kerjasama IPR dalam mengukuhkan pelan ini.

Tahun ini, 'Saya Mampu Hentikan Tibi' menjadi tema untuk sambutan Hari Tibi Sedunia. Tema ini bertujuan memperkasa semua pihak dalam memainkan peranan mereka menghentikan jangkitan tibi.

Kata Yeop Jr., pesakit boleh memainkan peranan aktif dalam rejim rawatan mereka dengan mengambil semua ubat yang ditetapkan dengan betul.

Anggota kesihatan pula boleh menghentikan tibi dengan sentiasa berwaspada akan tanda-tanda penyakit ini dan segera menjalankan diagnosis serta cepat memberi rawatan.

Di samping itu pemeriksaan saringan terhadap tahap kesihatan haruslah dijalankan pada kesemua anggota kesihatan yang mempunyai tanda-tanda penyakit tibi serta bagi kes yang berisiko tinggi seperti di penjara dan pusat serenti.

Selain itu pemeriksaan tibi adalah mandatori bagi semua kes HIV dan kepada semua pekerja asing melalui Fomema. Ini bertujuan bagi mempertingkat aktiviti pencarian kes secara aktif juga mengesan kes pesakit tibi yang terhenti rawatan.

Selain itu pengecualian caj bayaran hospital dan ubat-ubatan percuma akan diberikan kepada pesakit tibi yang mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan.

Ini bagi menggalakkan pesakit untuk mendapatkan rawatan sehingga mereka betul-betul sembuh. MAPTB juga menyediakan bantuan kepada pesakit tibi.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Friday, March 13, 2009

Pendarahan Abnormal

Ramai wanita yang mengalami keganjilan pendarahan yang bukan berkaitan dengan darah haid bulanan. Ada yang serius dan ada juga yang sembuh tanpa memerlukan apa-apa rawatan. Walau apa pun cara persembahan pendarahan tersebut, puan haruslah mengetahui penyebab-penyebab pendarahan tersebut, bagaimana ia didiagnosis dan kaedah rawatan yang mungkin diberikan.

Kitaran Haid

Ovari yang berada di kedua-dua belah rahim puan mengeluarkan dua jenis hormon yang penting untuk wanita iaitu estrogen dan progesteron.

Hormon-hormon tersebut berganding dalam fungsi menyediakan benih serta penebalan dinding dalaman rahim untuk kemungkinan penanaman selepas persenyawaan sperma dan telur. Ovulasi berlaku sekitar 12 hingga 14 hari sebelum datangnya kitaran haid yang berikutnya.

Benih yang dikeluarkan akan melalui tiub fallopian di mana persenyawaan mungkin (atau tidak) berlaku dengan sperma. Sekiranya persenyawaan tidak berlaku, paras hormon akan jatuh dan memberi isyarat pada dinding dalaman rahim untuk gugur sebagai darah haid. Kebanyakan kitaran berlangsung selama 28 hari dan kitaran yang sedikit pendek atau panjang sehingga 35 hari adalah normal.

Pendarahan Abnormal

Pendarahan abnormal mungkin melibatkan pendarahan di antara kitaran haid (iaitu di peringkat antara dua kitaran haid), pendarahan selepas hubungan kelamin, pendarahan tidak menentu harinya dalam kitaran haid, pendarahan yang banyak serta bilangan harinya panjang dari hari-hari sebelum ini, atau pendarahan yang berlaku selepas menopaus (putusnya haid secara fisiologi). Segeralah dapatkan rawatan sekiranya kitaran haid puan melebihi 35 hari ataupun pendek kurang dari 21 hari. Tidak hadirnya haid selama tiga hingga enam bulan juga abnormal dan memerlukan pemeriksaan kesihatan lanjut.

Jika keganjilan kitaran haid hanya berlaku sekali atau kadang kala, puan tidak perlu berasa cemas kerana mungkin itu adalah normal. Juga sesuatu yang normal jika jadual haid gadis yang baru akil baligh (antara sembilan hingga 16 tahun) tidak dapat diramalkan di awal kehadiran haid dalam hidup mereka. Apabila puan menghampiri umur 35 tahun, kitaran haid mungkin menjadi pendek dan makin pendek apabila menghampiri usia menopaus. Haid juga mungkin menjadi lebih sedikit (atau lebih banyak) dan kadangkala haid pada bulan tertentu tidak langsung tiada.

Punca

Pendarahan abnormal mempunyai banyak punca dan lazimnya doktor akan menumpukan pemeriksaan pada penyebab yang biasa mengikut umur. Sejarah kesihatan dan pengambilan ubat juga akan direkodkan. Untuk ramai wanita, ketidakseimbangan paras hormon mungkin menyebabkan keganjilan kitaran haid.

Di antara penyebab-penyebab yang akan disiasat termasuklah mengandung, keguguran, mengandung di luar rahim atau masalah berkaitan penggunaan alat dalam rahim dan pil perancang keluarga. Selain itu, jangkitan pada rahim atau pangkal rahim, fibroid, polip, masalah dengan sistem pembekuan darah, kanser wanita (rahim, ovari, pangkal rahim, faraj) atau masalah kesihatan kronik seperti penyakit tiroid dan kencing manis mungkin menjadi puncanya.

Semasa di klinik, doktor akan merekodkan sejarah kesihatan puan serta keluarga. Penggunaan ubat-ubatan, sama ada tradisional ataupun yang dipreskripsikan, penggunaan pil perancang keluarga, tabiat pemakanan, senaman, berat dan tinggi juga direkodkan. Ketegangan dan kestabilan emosi juga perlu diamati. Puan juga akan diberikan carta bagi menandakan hari-hari berlakunya keabnormalan kitaran haid.

Pemeriksaan lanjutan yang lazim disyorkan, berdasarkan pada simptom dan tanda- tanda yang dipersembahkan termasuklah;

l Pemeriksaan ultrasound untuk meneliti keadaan di dalam kawasan pinggul

l Biopsi dinding dalam rahim dengan menggunakan kaedah aspirasi vakum (ujian ini dilakukan di klinik)

l Sonohisterografi pula merupakan kaedah ultrasound di mana sebelum dijalankan, cecair steril dimasukkan ke dalam rahim melalui bukaan pangkal rahim untuk menjelaskan lagi pengimejan dalaman rahim apabila ultrasound digunakan.

l Histeroskopi pula seperti kaedah binokular untuk melihat secara langsung keadaan dalaman rahim

l Histerosalfingografi pula kaedah sinar-X, di mana bahan pewarna dimasukkan ke dalam rahim dan kedua-dua tiub falopian untuk tujuan visualisasi dengan kaedah sinar-X

l Dilatasi serta pengkuretan adalah kaedah pembedahan kecil di mana pensampelan tisu diambil dari bahagian dalam rahim untuk diperiksa di bawah mikroskop

l Laporoskopi adalah kaedah visualisasi langsung anatomi di bahagian pinggul, sejenis alat visual dimasukkan ke bahagian pusat dan rongga abdomen dikembangkan supaya visualisasi tidak terhalang (prosedur ini dijalankan di bawah bius keseluruhan)

Rawatan

Rawatan yang diberikan bergantung kepada apakah punca pendarahan yang dialami. Lazimnya terdapat tiga pilihan kaedah perawatan;

i) Rawatan menggunakan hormon. Ianya mengambil masa untuk menormalkan kembali kitaran haid. Hormon ini mungkin diberikan secara oral, suntikan, krim yang diletakkan di dalam faraj dan juga alat dalam rahim yang mengandungi hormon (IUS). Mungkin puan mengalami hiperplasia dinding rahim, keadaan ini boleh dirawat dengan hormon progesteron.

ii) Ubat-ubat lain seperti NSAID (NonSteroidal AntiInflammatory) dapat mengurangkan jumlah pendarahan. Ubat ini juga berkesan sekiranya puan mengalami senggugut. Antibiotik diberikan sekiranya puan mengalami jangkitan kuman. Pembedahan disyorkan apabila pendarahan berpunca daripada ketumbuhan seperti polip dan fibroid. Mungkin pembedahan ini dilakukan secara histeroskopi. Kaedah ablasi dinding dalam rahim juga digunakan untuk mengawal pendarahan. Lazimnya kaedah ini berbentuk kekal dan puan mungkin tidak dapat mengandung selepas menjalani prosedur ablasi ini. Pembedahan membuang rahim iaitu histerektomi disyorkan apabila kaedah lain mengalami kegagalan. Pembedahan ini merupakan satu pembedahan besar dan puan tidak lagi mengalami kitaran haid selepas itu.

Jangan takut serta segan untuk berbincang dengan doktor apabila puan mengalami masalah pendarahan. Berbincanglah dengan doktor mengenai kaedah rawatan yang terbaik dan terkini untuk memulihkan keadaan.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Thursday, March 12, 2009

Punca Kuasa Kehidupan

Badan manusia terdiri daripada bertrilion sel. Bagaimana badan berfungsi bergantung kepada bagaimana sel yang banyak itu bertindak dan berfungsi. Untuk mempunyai badan yang sihat, setiap satu sel dalam badan mestilah mengeluarkan tenaganya sendiri kerana sel-sel tersebut tidak boleh meminjam tenaga antara satu sama lain.

Di dalam sel, tenaga dibuat oleh struktur mikroskopik dikenali sebagai mitokondria. "Mitokondria ialah janakuasa sel-sel kita," ujar Pengarah Genomics Core di Institut Buck Untuk Penyelidikan Usia di Novato, California, Simon Melov. "Ia menukarkan makanan menjadi tenaga dalam bentuk Adenosina Trifosfat (ATP), yang digunakan oleh badan untuk menampung hidup."

Untuk membolehkan sel menukar makanan kepada tenaga, ia memerlukan jisim menyerupai vitamin yang dikenali sebagai Koenzim Q10 (Co Q10). Tanpa Co Q10, badan kita tidak dapat mengolah tenaga, dan tanpa tenaga tidak mungkin ada kehidupan. Tanpa Mitokondria yang berfungsi dengan baik, maka sudah tentu tidak akan wujud tenaga.

Kebanyakan sel dalam badan manusia mengandungi kira-kira 500 hingga 2,000 mitokondria. Mitokondria juga membentuk sehingga 60 peratus isipadu sel-sel otot dan 45 peratus isipadu sel jantung. Mitokondria adalah agak luar biasa di kalangan struktur dalam sel kerana ia mempunyai gen (DNA) sendiri, dan DNA Mitokondria lebih mudah rosak dalam menempuh kegiatan hidup harian kita.

Kecacatan Fungsi Mitokondria

Sejak kepincangan fungsi mitokondria dihuraikan buat pertama kalinya pada tahun 1960-an, bidang perubatan telah mencapai kemajuan dalam memahami peranan mitokondria dalam kesihatan, penyakit dan penuaan. Kerosakan mitokondria telah dianggap sebagai penyumbang utama terhadap proses penuaan.

Mitokondria yang rosak juga akan menyebabkan penyakit. Sebenarnya, lebih 200 penyakit keturunan telah pun dikaitkan dengan fungsi mitokondria yang rosak, termasuklah Alzheimer, kencing manis, kanser, penyakit jantung dan strok.

Setiap kali mitokondria mengolah tenaga, ia juga mengeluarkan radikal bebas yang amat memudaratkan dan ia mestilah disingkirkan sebelum boleh menyebabkan kerosakan. Radikal bebas ini, jika tidak dineutralkan, boleh menyebabkan kemusnahan yang dahsyat terhadap setiap bahagian mitokondria, termasuklah DNA dan membrannya. Membran mitokondria adalah kunci bagi proses pengeluaran tenaga. Jika membran itu rosak, maka pengeluaran tenaga akan berkurangan dan toksin pula akan menimbun dan akhirnya akan merosakkan sel. Sekiranya banyak sel yang rosak, ini akan mengganggu fungsi organ terbabit. Kombinasi Asid Alfa Lipoik (ALA), Acetyl L-Carnitine (ALCAR) dan Co Q10 boleh membantu mengurangkan kemusnahan mitokondria oleh radikal bebas dan menjaga fungsi mitokondria.

Co Q10, ALCAR dan ALA

Kombinasi bersinergi tiga unsur ini dapat membantu mengekalkan mitokondria yang sihat dan paras tenaga yang optimum.

i) Co Q10 merupakan bahan penting untuk pengeluaran tenaga. Apabila kita semakin berumur, pengeluaran Co Q10 oleh badan semakin berkurangan dan sistem pengeluaran tenaga mula menjadi perlahan. Otak didapati tidak setajam dahulu, jantung tidak berdegup sebegitu cekap dan badan mudah keletihan.

Paras Co Q10 yang rendah menjejaskan setiap aspek kehidupan, dari aspek kesihatan serta mempercepatkan penuaan. Maka tidak hairanlah mengapa saintis menganggapkan sistem pengeluaran tenaga badan sebagai sistem yang paling asas. Ia juga merupakan sistem induk tenaga yang menggerakkan segala fungsi utama badan. Namun, sistem yang paling penting ini pada sebahagian besarnya sentiasa diabaikan, dan akibatnya telah membawa kesengsaraan terhadap kehidupan hampir setiap insan yang melepasi usia 30 tahun.

Punca Kekurangan Co Q10;

l Pemakanan - Co Q10 dikeluarkan oleh setiap sel dalam badan. Mengeluarkan Co Q10 membabitkan proses merangkumi 17 langkah yang memerlukan sekurang-kurangnya lapan jenis vitamin, beberapa mineral surih dan asid amino tyrosine. Kekurangan dalam mana-mana satu nutrien ini akibat amalan pemakanan kurang baik boleh menghalang pengeluaran Co Q10 badan.

l Penuaan - paras Co Q10 dalam badan akan mencapai kemuncak pada umur 20 tahun dan selepas itu mula merosot. Penurunan paling ketara boleh dilihat selepas umur 40 tahun, ketika Co Q10 badan susut 40 peratus berbanding ketika berumur 20 tahun. Pada usia 70 tahun, Co Q10 akan susut sehingga 60 peratus.

ii) Acetyl L-Carnitine (ALCAR)

Acetyl L-Carnitine (ALCAR) merupakan suatu bahagian semulajadi bagi membran dalaman mitokondria, terutamanya dalam jantung, otak dan otot. Oleh itu, untuk mengekalkan kesihatan jantung, fungsi daya ingatan dan pemikiran yang optimum, kita perlu memastikan badan mempunyai ALCAR yang mencukupi. Oleh kerana paras ALCAR merosot dengan peningkatan usia, pengambilan suplemen ALCAR adalah penting kerana ia membantu memulihkan fungsi mitokondria.

Satu lagi fungsi ALCAR yang sangat penting ialah keupayaannya untuk membakar asid lemak (lemak) untuk mengeluarkan tenaga. ALCAR terlibat dalam pengangkutan asid lemak yang berantai panjang ke dalam mitokondria untuk ditukarkan menjadi tenaga. Fungsi jantung terjejas kerana mengalami kebuluran sumber bahan bakar utamanya, iaitu lemak. Pengambilan ALCAR dapat membantu memperbaiki proses pengangkutan itu, justeru lebih banyak asid lemak boleh dimasukkan ke dalam mitokondria bagi menyokong fungsi jantung.

iii) Asid Alfa Lipoik (ALA)

Asid Alfa Lipoik (ALA) merupakan antioksidan yang amat mujarab dan ia membantu meneutralkan radikal bebas. Kajian menunjukkan penggunaan ALA akan mengurangkan tekanan oksidatif (kerosakan angkara radikal bebas) secara mendadak dalam jantung. Jika tekanan oksidatif dikurangkan, kerosakan kepada mitokondria juga akan dikurangkan.

ALCAR dan ALA

Gabungan ALA dan ALCAR dapat membantu memperbaiki prestasi daya ingatan dan daya pemikiran di kalangan orang dewasa yang berumur. Terdapat bukti menunjukkan mitokondria dalam otak amat penting untuk fungsi daya ingatan dan pemikiran. Kepincangan fungsi mitokondria otak dikaitkan dengan beberapa bentuk demensia akibat penuaan seperti penyakit Alzheimer dan Parkinson. Kedua-dua ALA dan ALCAR dapat menembusi lapisan penghadang darah-otak dan memanfaatkan otak.

Walaupun tugas ALA dan ALCAR berbeza, kedua-duanya dapat berfungsi bersama dalam menjaga tekanan oksidatif dan kemerosotan pengeluaran tenaga yang berlaku dengan peningkatan usia, membolehkan jantung dan otak berfungsi dengan lebih baik.

Penjagaan Mitokondria

Kombinasi Co Q10, ALCAR dan ALA boleh memberi manfaat kepada kesihatan badan. Mereka yang berada dalam lingkungan umur 40-an, atau yang lebih muda sekalipun dapat merasai manfaatnya. Manfaat yang paling biasa dilaporkan ialah peningkatan tenaga sepanjang hari dan kecerdasan mental yang lebih baik.

Jika anda sedang mengambil suplemen Co Q10 larut air setiap hari, tidak perlu berhenti. Cuba tambahkan dengan pengambilan ALCAR dan ALA. Kombinasi yang bersinergi ini dapat membantu mencegah kerosakan mitokondria dan menggalakkan pengeluaran tenaga. Kerosakan mitokondria dan fungsi mitokondria yang cacat dalam pengeluaran tenaga dikaitkan dengan kemunculan beberapa penyakit. Oleh itu, penjagaan mitokondria yang baik merupakan peluang yang terbaik untuk mengekalkan kesihatan sel, organ dan badan anda sehingga ke akhir hayat.

Maklumat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan seharusnya tidak digunakan sebagai ganti nasihat kesihatan peribadi. Jika anda sedang mengalami masalah kesihatan, anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan pengamal pakar kesihatan.



Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Wednesday, March 11, 2009

Latihan Fungsi Yang Praktikal

Sebahagian besar daripada wanita berkerjaya mempunyai rutin hidup yang hampir sama. Setiap pagi bangun dari tidur, bergegas mengemas katil sebelum ke bilik air membersihkan diri dan terus bersiap untuk ke pejabat. Pada hujung minggu barulah berpeluang mengambil kesempatan mengemas rumah, mengalih perabot, mencuci pakaian dan sebagainya.

Justeru, apabila tiba-tiba melakukan pergerakan yang lebih daripada kebiasaan pada hujung minggu, pasti membuatkan seluruh anggota badan berasa lenguh dan amat penat.

Sebenarnya, keletihan itu dapat dihindari dan tubuh lebih bertenaga bagi melakukan aktiviti rutin sekiranya membiasakan tubuh dengan senaman terutamanya senaman latihan fungsi atau functional training.

Ia suatu program senaman terkini yang bermanfaat untuk fleksibiliti, keseimbangan dan kekuatan tenaga demi kesihatan tubuh badan.

Pakar senaman berpendapat, pergerakan aktiviti harian secara konsisten boleh membantu badan bersedia untuk prestasi yang lebih baik.

Malah, latihan fungsi juga dikatakan salah satu latihan yang efisien dan efektif untuk atlet dan bukan atlet kerana pergerakannya direka untuk menampakkan kesan bagi setiap sesi senaman.

Sehubungan itu, sebuah kelab kecergasan pengeluar barangan sukan Nike, Kelab Latihan Nike telah menggabungkan skil dan prinsip yang telah digunakan oleh atlet bertaraf dunia untuk membentuk keseimbangan serta kestabilan otot khas untuk para pelatih dan pelanggannya.

Lima komponen utama diberi tumpuan dalam senaman kecerdasan itu iaitu melibatkan jantung, impulur, kekuatan, keseimbangan dan fleksibiliti.

Pelatih persendirian Nike, Marie Purvis berkata, senaman ini tidak membosankan kerana rentak serta gerakannya membawa dimensi baru dalam dunia kecerdasan.

"Rutin senaman ini menyerupai pergerakan semula jadi dan sekali gus boleh mengurangkan kecederaan," jelasnya ketika memberikan tunjuk ajar senaman kepada sekumpulan wakil media tempatan di pusat kecergasan Fitness First, baru-baru ini.

Maksimumkan Senaman Anda


Kelebihan latihan fungsi ialah untuk membentuk keseimbangan otot yang lebih baik. Koordinasi yang dihasilkan daripada latihan juga mengikut pergerakan semula jadi badan yang bermula dari pergerakan tepi, depan ke belakang dan pusingan.

"Apabila kita bercakap tentang senaman, ramai yang mengadu bosan dengan rentak tarian yang sama setiap kali. Tetapi latihan fungsi pasti membuat anda seronok, " katanya.

Untuk lebih memudahkan, Kelab Latihan Nike telah menghasilkan set senaman lengkap yang memfokuskan kepada komponen penting dalam sukan dan kecerdasan umumnya.

Terdapat tujuh kategori pergerakan yang boleh diubahsuai bergantung kepada tahap kecerdasan, skil dan minat individu terbabit.

Kategori tersebut merangkumi aktiviti memanaskan badan, regangan, jantung, keseimbangan dan senaman penutup. Setiap kategori mengandungi 16 pergerakan berbeza yang menjadikan jumlah keseluruhan 112 kesemuanya.

"Ia satu senaman yang menyeronokkan, tidak membosankan, membuatkan anda berasa segar dan bertenaga. Tapi apa yang paling penting ialah senaman ini melatih seseorang untuk menjadi lebih kuat!" kata Purvis lagi.


Ditulis oleh:
Noor Fazrina Kamal

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Semua Program Diet Berkesan?

Pengusaha pelbagai jenis teknik diet akan mempertahankan produk masing-masing sebagai cara terbaik untuk menurunkan berat badan.

Dan, berita baik untuk semua apabila kajian yang dijalan di luar negara baru-baru ini mendapati kebanyakan daripadanya memang benar-benar efektif!

Hasil kajian di Harvard School of Public Health, Boston membuktikan bahawa mereka yang ingin berdiet perlu memilih program paling selesa dan yang penting mestilah tinggi dengan serat, rendah kalori dan lemak tepu.

Penyelidiknya, Dr. Frank Sacks berkata, pilihan diet seharusnya memberi fokus ke arah kesihatan jantung.

"Anda juga mesti bertolak ansur terhadap pengambilan makanan ketika berdiet, jika ingin kurangkan berat badan dan penting, kurangkan makan,'' katanya.

Dalam kajian yang dilakukan itu, seramai lebih 800 sukarela yang mempunyai berat badan berlebihan dan mengalami obesiti diletakkan di bawah empat program diet berbeza.

Empat program itu ialah diet rendah lemak, tinggi kandungan lemak, tinggi protein dan paras protein sederhana dengan kadar karbohidrat antara 35 dan 65 peratus .

Kesemua peserta diminta bersenam selama 90 minit seminggu dan mengikuti sesi kaunseling diet.

Dua peserta yang mengikuti diet masing-masing selama dua tahun hanya mengalami purata penurunan berat badan sebanyak 4 kilogram (kg) dan mereka berjaya mengurangkan dua inci (5 centimeter) ukuran pinggang bagi semua program yang diikuti.

"Diet yang lebih baik ialah yang menyihatkan anda, tinggi kandungan serat dan bijirin penuh, kurang makanan ringan serta daging berlemak - program yang melibatkan variasi ini sesuai untuk menurunkan berat badan,'' kata Sacks.

Dalam semua program diet tersebut, pengurangan berat badan memuncak pada tempoh enam bulan. Namun begitu, selepas setahun, berat badan mereka mula meningkat semula.

Menurut Sacks lagi, peserta yang turun 10 peratus daripada berat badan menghadapi risiko lebih rendah diserang penyakit jantung dan masalah kesihatan lain.

Tambahnya, hasil kajian itu juga amat menggalakkan kerana 15 peratus peserta berjaya mengurangkan berat badan mereka sebanyak itu.

Namun, hasil kajian terbaru berkenaan masih tidak memberi penyelesaian kepada masalah obesiti yang semakin meningkat.

"Peserta yang paling tinggi motivasi, bijak dan dibimbing oleh pakar profesional juga tidak mampu mencapai pengurangan berat badan diperlukan untuk menterbalikkan epidemik obesiti,'' tegas pakar VU University di Amsterdam, Martijn Katan.

Sebaliknya, kata beliau, langkah yang lebih bijak adalah mengambil pendekatan berasaskan komuniti di dua pekan kecil di Perancis pada tahun 2000 membabitkan usaha besar-besaran agar murid-murid sekolah diberi makanan berkhasiat dan banyak bergerak serta bermain.

Lima tahun kemudian, peratusan kanak-kanak berlebihan berat badan didapati menurun sebanyak 8.8 peratus berbanding 17.8 peratus di pekan bersebelahannya.

"Seperti penyakit taun, obesiti mungkin masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh seorang individu tetapi memerlukan tindakan secara komuniti,'' jelas Katan.


Ditulis oleh:
Diyana Rose Kamalludeen

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Saturday, February 28, 2009

Pesakit Perlu Sokongan Elak Beban Emosi

Setiap ibu bapa pasti mahukan bayi mereka yang baru lahir sihat dan sempurna tanpa ada sebarang kecacatan mahupun kekurangan.

Namun, tidak semua apa yang kita ingin menjadi kenyataan apatah lagi apabila melihat bayi mereka dilahirkan dengan kecacatan seperti rekah bibir atau sumbing.

Pada ketika itu pastinya perasaan terkejut, sedih, bersalah, emosi tertekan dan resah mula menyelubungi diri. Kegembiraan apabila rakan taulan dan saudara mara yang datang melawat bayi bertukar menjadi igauan ngeri.

Si ibu atau bapa mula memikirkan apa kesalahan yang telah mereka lakukan dan mula mengaitkan dengan mitos dan sebagainya. Jangan biarkan diri berasa tertekan, sebaliknya cuba menerima perkara secara positif.

Untuk pengetahuan, di Malaysia, seorang daripada 700 bayi yang dilahirkan mengalami masalah sumbing. Sumbing boleh terjadi kepada mana-mana bayi tanpa mengenal bangsa, agama atau taraf sosioekonomi seseorang.

Setiausaha Persatuan Bibir dan Lelangit (Clapam), Zuraini Ghazali, berkata, saat kelahiran anak adalah satu kegembiraan yang amat dinanti-nantikan oleh mereka yang bergelar ibu bapa, tetapi sebaliknya ia akan menjadi satu kejutan jika anak yang dilahirkan mengalami masalah sumbing.

"Walaupun ibu bapa tersebut telah mendapat pelbagai informasi dan pendedahan tentang sumbing, namun perasaan sedih dan kecewa sememang tidak sukar dibendung," katanya ketika ditemui di pejabat Clapam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebenarnya menurut beliau, dengan teknologi imbasan 3D dan 4D, membantu ibu bapa bersedia dengan sebarang kecacatan yang mungkin dialami bayi sejak dalam kandungan lagi.

Jika ini berlaku, ibu bapa tersebut akan diberi pendedahan sepenuhnya tentang kecacatan sumbing.

Mereka turut akan diberi kaunseling bagi memastikan emosi mereka stabil saat menerima kelahiran bayi tersebut kelak.

Sumbing atau rekah merujuk kepada lubang atau rekahan di bibir atau lelangit.

"Ketika pembentukan janin, bahagian muka terjadi di tempat yang berlainan kemudian bercantum, apabila sesetengah bahagian muka ini gagal bercantum maka rekah akan terbentuk. Rekahan bibir atau lelangit boleh terjadi sendiri atau kedua-duanya sekali," jelas Zuraini.

Jelasnya, sumbing bibir mungkin cuma rekahan yang kecil di bibir atau rekahan sepenuhnya di satu atau dua bahagian. Atau boleh jadi ia merekah ke dalam rahang dan hidung.

"Sumbing bibir unilateral terjadi di sebelah sahaja sementara sumbing bibir bilateral terjadi di dua bahagian.

"Manakala sumbing lelangit pula terjadi apabila bahagian lelangit tidak bercantum dan terdapat rekahan. Ini mungkin terjadi di bahagian lelangit lembut. Sumbing bibir dan lelangit pula terjadi apabila rekahan berada di bahagian bibir dan lelangit," tambahnya.

Zuraini berkata, genetik dan faktor persekitaran juga memainkan peranan penting dalam kejadian sumbing.

Di antaranya penyebabnya, mungkin jenis ubat yang diambil ketika hamil, jangkitan kuman contohnya Rubella, pengambilan alkohol, rokok, kecelaruan kromosom dan lain-lain lagi.

"Jangan disalahkan suami yang pergi memancing atau memotong ayam dan sebagainya. Tidak ada bukti saintifik untuk menyokong kenyataan tersebut. Justeru jangan salahkan diri. Anak adalah pemberian Tuhan, maka jagalah anak tersebut dengan penuh kasih sayang dan sokongan," ujarnya.

Zuraini berkata, perasaan takut dan bersalah bercampur baur dalam diri ibu bapa sehingga mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan atau bagaimana untuk menjaga anak itu.

"Pertama sekali ibu bapa perlu tahu bahawa sumbing tidaklah membahayakan nyawa dan boleh dirawat dengan jayanya.

"Memang masalah utama bagi bayi sumbing ialah penyusuan. Proses penyusuan akan mengambil masa yang panjang dan perlu dilakukan dengan teliti dan sabar.

"Terdapat botol susu khas untuk bayi yang sumbing, penyusuan bersudu juga digalakkan terutama sebelum dan selepas pembedahan membaiki klef. Kumpul maklumat lanjut tentang penyusuan menerusi persatuan yang sedia membantu pada bila-bila masa," jelasnya.

Bagi ibu bapa yang mempunyai bayi sumbing, pembedahan boleh dilakukan sebaiknya apabila mereka mencecah tiga bulan. Namun ada juga keadaan di mana ia dilakukan segera bergantung kepada tahap kecacatan sumbing tersebut.

Zuraini menambah, kos pembedahan untuk kecacatan sumbing di hospital kerajaan bermula daripada RM500 bergantung kepada tahap kecacatan.

"Kanak-kanak itu perlu diberikan rawatan menyeluruh dan rawatan pertama yang diperlukan adalah membaiki bibir iaitu ketika mereka berusia satu hingga tiga bulan, membaiki lelangit (sembilan hingga 12 bulan), latihan pendengaran (satu hingga dua tahun) dan latihan percakapan (tiga hingga empat tahun).

"Rawatan lain adalah pergigian (lapan hingga 10 tahun), pencantuman tulang Alveolar (ABG) pada usia sembilan hingga 12 tahun, pergigian susulan (13 hingga 17 tahun) dan pembedahan rahang bawah jika diperlukan pada usia lebih 18 tahun," katanya

Penjagaan Ortodontik

"Apabila pembedahan telah dilakukan, ibu bapa perlu memastikan kebersihan gigi dan mulut anak sepenuhnya. Ini akan memudahkan pakar pergigian mengekalkan gigi untuk rawatan ortodontik.

"Apabila rekahan terjadi di bahagian gusi, pasti ada gigi yang tidak timbul di bahagian tersebut, dengan penjagaan gigi dan rawatan ortodontik, gigi anak akan boleh kelihatan sempurna seperti orang lain," jelasnya.

Masalah suara sengau di kalangan individu sumbing terjadi apabila rekah berlaku di bahagian lelangit dan udara memasuki ruang tersebut sehingga ke rongga hidung ketika suara dikeluarkan.

Zuraini berkata, masalah sengau tersebut boleh diatasi.

"Selepas pembedahan menutup saluran lelangit tersebut, individu perlu membiasakan diri dengan latihan untuk bersuara dengan betul. Khidmat bantuan daripada pakar pertuturan boleh membantu golongan yang menghadapi suara sengau ini untuk tampil lebih berkeyakinan," katanya yang turut memberikan kaunseling di hospital kerajaan dan swasta.

Yang paling penting bagi keluarga yang mempunyai anak yang mengalami kecacatan sumbing ialah memberi sepenuhnya kasih sayang. Sokongan moral dan perhatian penuh dapat memberi kekuatan dalaman kepada anak tersebut dalam menghadapi dugaan hidup yang mendatang.

"Sokongan psikologi juga perlu untuk kedua ibu bapa dan anak bagi mengurangkan beban emosi yang mereka hadapi. Apabila anak ini memasuki alam persekolahan, mereka akan berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti ejekan, panggilan nama dan sebagainya.

"Sebagai ibu bapa, kita perlu mendidik mereka agar kuat semangat dan yakin akan diri mereka sendiri. Selain itu, guru-guru dan masyarakat perlu bersikap prihatin dan mempunyai nilai untuk menghormati sesama insan," tambahnya.

Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia


Jika anak anda mengalami bibir atau lelangit rekah (cleft palate), jangan rasa tersisih kerana Clapam sedia memberi bantuan.

Sehingga kini persatuan ini telah mempunyai 1,400 orang ahli yang terdiri daripada golongan profesional, ibu bapa dan individu yang pernah mengalami kecacatan sumbing.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang mengalami masalah sumbing boleh mendapatkan khidmat Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (Clapam) yang ditubuhkan bagi memberi sokongan secara sukarela.

Selain forum dan seminar, Clapam menyediakan khidmat nasihat dan kaunseling untuk ibu bapa atau keluarga individu sumbing, nasihat penyusuan yang sesuai untuk bayi sumbing, botol dan puting khas serta ceramah yang dikendalikan profesional perubatan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian Clapam 03-21621445 atau emel di clapam@streamyx.com


Ditulis oleh:
Noor Fazrina Kamal

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Friday, February 27, 2009

Inovasi SMART menangani asma

Dua daripada tiga penghidap asma tidak dapat mencapai apa yang diinginkan mereka dalam hidup akibat penyakit yang dialami.

Tidur terganggu, semput dan sesak dada, adalah antara masalah umum yang sering dialami oleh penghidap asma. Pada hari ini, asma ialah antara penyakit kronik paling berleluasa di seluruh dunia.

Laporan oleh Inisiatif Global untuk Asma (GINA) 2004, iaitu sebuah pertubuhan global dianggotai golongan profesional kesihatan dan pegawai kesihatan awam yang berganding bahu untuk mengurangkan penularan, kadar penyakit dan kematian akibat asma, mendapati terdapat 300 juta pesakit asma di seluruh dunia dan bilangannya dijangka mencecah 400 juta orang menjelang 2025.

Asma ialah penyakit yang menyebabkan saluran pernafasan mengalami radang dan menjadi hiper-responsif. Terdapat dua komponen asma, radang dan bronkokonstriksi (penyempitan salur udara).

Apabila seseorang yang menghidap asma terdedah kepada faktor pencetus dan faktor alahan, saluran udara mereka akan mengalami radang dan hiper-responsif, menyebabkan berlaku penyempitan saluran udara.

Jika radang tidak dirawat dan dibiarkan berlarutan, pesakit akhirnya akan mengalami serangan asma.

Hasil kajian menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 20 peratus daripada penghidap asma di Malaysia tidak menguruskan penyakit mereka dengan berkesan.

Jika penyakit bertambah teruk, mereka akan mengalami serangan asma serius yang boleh membawa maut.

Satu kajian global yang dilaksanakan baru-baru ini membabitkan 2,000 pesakit dari sembilan negara menunjukkan bahawa dua daripada tiga pesakit tidak dapat mencapai matlamat hidup mereka kerana menghidap asma.

Kajian tersebut, yang dinamakan Spring Into Action, juga mendedahkan bahawa hampir 90 peratus daripada penghidap asma mengalami kesukaran mengambil bahagian dalam kegiatan fizikal atau senaman, manakala 70 peratus daripada responden berkata asma mengganggu tidur mereka.

Walaupun menghadapi kesukaran tersebut, seorang daripada tiga masih tidak mengambil ubat asma mereka mengikut preskripsi doktor masing-masing.

Pilihan SMART Lebih Bijak

Penghidap asma masih boleh hidup secara aktif dan produktif. Mereka mampu melakukannya dengan menguruskan penyakit mereka secara lebih proaktif.

Walaupun masih belum ada penawar bagi asma, kita tetap boleh menguruskan penyakit dengan bijak. Inilah mesej penting yang ingin disampaikan

Kebanyakan penghidap asma membawa dua atau lebih alat sedut - satu untuk mencegah dan satu untuk melegakan penyakit.

Alat sedut pencegah digunakan sekali sehari untuk mencegah serangan dan merawat radang yang tersirat, manakala alat penyembur pelega biasa digunakan hanya untuk merawat bronkokonstriksi untuk memberi kelegaan, tetapi tidak merawat radang yang dialami.

Membawa banyak alat sedut bukan sahaja menyusahkan, tetapi boleh mengelirukan pesakit.

Akibatnya, ramai pesakit memilih alat sedut pelega, sehingga melupakan alat sedut pencegah yang mengurangkan keradangan. Penggunaan ubat pelega secara berterusan akan menyebabkan asma tidak dapat dikawal dengan baik.

Berbekalkan kemajuan dalam sains perubatan, penghidap asma kini boleh mengawal penyakit mereka dengan jauh lebih mudah. Terapi inovatif ini dikenali sebagai SMART (Single Maintenance and Reliever Therapy), iaitu terapi pencegah dan pelega dalam satu alat sedut.

Dengan menggunakan pendekatan SMART, pesakit tidak perlu lagi membawa ubat pelega berasingan, kerana alat serba maju ini bukan sahaja merawat radang saluran pernafasan yang tersirat dengan setiap sedutan, tetapi memberikan kelegaan pantas kepada masalah bronkokonstriksi, sepantas mana-mana alat sedut biru.

Penggunaan SMART memudahkan pesakit dan mengelakkan sebarang kekeliruan kerana ia mudah dikenal pasti menerusi warnanya - iaitu turbuhaler atau alat sedut merah - yang membezakannya daripada alat sedut lain yang digunakan pada waktu ini.

Institut Perubatan Respiratori (IPR) kini sedang menjalankan kajian di kalangan 200 pesakit asma di Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang pengurusan asma di Malaysia.

Kajian tersebut yang dinamakan kajian SMARTER, akan disempurnakan menjelang akhir 2008.

Mengawal penyakit, Meningkatkan Kualiti Hidup

Dalam pada GINA, sedang bekerjasama dengan pengamal perubatan dan pesakit untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan pengurusan berkesan.

Pertubuhan itu telah mengiktiraf pendekatan SMART yang bukan sahaja memudahkan rutin pengurusan asma harian, tetapi juga menambah baik kawalan asma harian kerana turut menangani radang yang tersirat dengan setiap sedutan, lantas mengurangkan kebarangkalian berlaku serangan serius.

Akhirnya, kawalan optimum asma akan dicapai apabila anda berunding dengan doktor untuk mengenal pasti pencetus asma dan melihat bagaimana anda boleh menguruskan penyakit ini menerusi penggunaan ubat.

Dengan tahap kesedaran lebih tinggi dan pematuhan lebih teliti kepada preskripsi ubat, anda boleh mengawal asma dengan lebih baik di samping mengurangkan gejala dan juga kekerapan serangan asma.

Jika anda menghidap asma, sebelum mengalami serangan seterusnya, tanya diri sendiri; adakah asma saya dapat dikawal?

Pencetus Asma

>> Alahan - saluran pernafasan mungkin menyempit apabila penghidap asma terdedah kepada hama habuk rumah, bulu, binatang, debunga dan makanan tertentu.

>> Jangkitan virus - virus yang menyebabkan selesema biasa atau influenza boleh memburukkan gejala asma dan menjadikan pesakit lebih sensitif kepada pencetus lain

>> Pencemaran udara - pencemar udara boleh menyebabkan gejala asma menular. Zarah di udara boleh menyebabkan gangguan pernafasan, kalau boleh elakkan daripada keluar semasa musim jerebu

>> Merokok - rokok boleh mencetus serangan asma, apabila pesakit merokok atau menyedut asap rokok sampingan.

>> Udara sejuk - Penghidap asma harus sedar bahawa perubahan cuaca seperti udara yang semakin sejuk boleh mencetus gejala asma.

>> Produk kegunaan rumah - bahan kimia daripada produk kegunaan rumah, seperti cat dan semburan, juga boleh mencetus tindak balas.

>> Perasaan ketara - tekanan dan keseronokan boleh mencetus gejala. Ini merupakan tanda bahawa asma seseorang tidak dikawal dengan baik.

>> Senaman berat - senaman boleh mencetus gejala asma. Apabila asma mengehadkan keupayaan seseorang untuk bersenam, ini bermakna penyakit tidak diuruskan dengan baik.


Ditulis oleh:
Datin Dr Aziah Ahmad Mahayiddin
Pengarah,
Institut Perubatan Respiratori

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my