Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label shafinaz sheikh maznan. Show all posts
Showing posts with label shafinaz sheikh maznan. Show all posts

Friday, April 11, 2008

Gambaran Kos Kawatan Kanser Payudara

Kos ubat-ubatan dan prosedur pembedahan dalam merawat penyakit-penyakit tertentu menjadi antara satu alasan utama kenapa kebanyakan pesakit tidak dapat bertahan dengan satu-satu pelan rawatan.

Tidak dinafikan, rundingan doktor dan harga ubat yang tidak kurang mahalnya boleh menjadi bebanan bagi sesetengah orang terutamanya bagi mereka yang tidak dilindungi oleh insurans perubatan.

Kalau ada (insurans) sekalipun, rawatan kanser payudara misalnya, boleh menjadikan pesakit tambah stres apabila kita memperkatakan tentang bajetnya.

Apatah lagi mengambil kira hilang upaya untuk bekerja seperti sebelumnya. Ditambah pula dengan kos pengangkutan dan perjalanan bagi menjalani rawatan yang telah dijadualkan.

Itu semua boleh kita fahami. Pendek kata, tiada siapa yang sepatutnya tidak menerima apa-apa bentuk rawatan dan hanya berserah kepada takdir dan berpegang kepada falsafah ajal maut di tangan Tuhan – hanya kerana masalah kewangan.

Bagaimanapun, rayuan meminta derma dan bantuan dihulurkan bagi menanggung kos rawatan yang dibuat oleh individu tertentu menerusi media tanpa disedari telah memberikan impak yang negatif pada wajah sebenar sesuatu penyakit.

Sedangkan gambaran sebenarnya menjanjikan sesuatu yang jauh lebih positif dan tidak sepatutnya menakutkan orang ramai.

Sepanjang minggu ini, Mingguan Malaysia menerima beberapa panggilan telefon serta e-mel daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pakar perubatan serta jururawat di dalam bidang onkologi klinikal iaitu satu bidang yang menawarkan rawatan untuk pesakit kanser dewasa.

Pakar onkologi (kajian dan amalan bagi merawat tumor/ketumbuhan) terbabit di dalam e-melnya yang menyusul selepas perbualan telefon melahirkan kebimbangan beliau dengan trend ini.

‘‘Pertama sekali, niat utama saya membawakan isu ini adalah untuk mendidik masyarakat. Saya tidak mahu orang ramai keliru selepas membaca cerita-cerita tentang kos rawatan yang amatlah tersasar itu. Apatah lagi dalam keadaan rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu kita masih ramai yang tidak faham mengenainya.

‘‘Mereka takut untuk berjumpa doktor bagi pengesahan penyakit dan lebih rela berjumpa bomoh atau pengamal terapi alternatif lain untuk berubat. Apabila kanser telah melarat dan tenggelam punca untuk mendapatkan rawatan, barulah mereka berjumpa kami (doktor). Sudah tentu pada tahap ini penyakit sudah berada di tahap lewat dan sukar dirawat,’’ ujarnya yang hanya mahu dikenali sebagai Dr. Mas.

Menurutnya, jika media sering kali melaporkan tentang individu yang memerlukan hampir ratusan ribu ringgit untuk merawat kanser payudara, sudah tentu mereka yang berpendapatan rendah semakin takut untuk menjalani rawatan disebabkan oleh kosnya yang sangat tinggi.

Dr. Mas yang juga ahli Persatuan Onkologi Malaysia (MOS) menyifatkan, jumlah tersebut (bagi kemoterapi dan radioterapi) amat diragui memandangkan kos biasa di pusat-pusat perubatan swasta adalah jauh lebih rendah.

Malah, beliau turut menyenaraikan beberapa nama pakar lengkap dengan hospital masing-masing yang menawarkan rawatan kanser.

‘‘Apa lagi rawatan tersebut ada ditawarkan di hospital kerajaan pada harga yang sangat rendah memandangkan kos ubat yang termasuk di dalam protokol standard disubsidi sepenuhnya oleh kerajaan. Sebagai contoh, kos kemoterapi FEC/FAC untuk kanser payudara sebanyak enam kali di Hospital Kuala Lumpur (HKL) cuma RM360 (RM60 sekali kemoterapi).

‘‘Jika pesakit memilih untuk mengambil rejimen kemoterapi berlainan misalnya T-A-C atau A-T, mereka hanya perlu membeli sendiri ubat T itu - RM12,000 untuk enam kali (lebih kurang RM1,500 hingga RM2,000 sekali) manakala kos untuk ubat A dan C dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan,’’ kata Dr. Mas.

Mengulas lanjut, paling maksimum, rawatan radioterapi untuk kanser payudara adalah sebanyak 25 hingga 30 kali. Kebanyakan pesakit yang melakukan mastektomi (pembuangan payudara melalui pembedahan) secara puratanya cuma memerlukan 15 kali radioterapi sahaja.

Mematuhi

Jika di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), rawatan 25 kali radioterapi adalah lebih kurang RM1,500 hingga RM1,750 (RM50 sekali rawatan dan RM500 untuk caj peralatan dan perancangan radioterapi). Di HKL, keseluruhan rawatannya tidak lebih RM500.

‘‘Jika hospital swasta mengenakan bayaran RM200 sehari, kos keseluruhan bagi radioterapi sebanyak 25 kali cuma RM5,000 hingga RM6,000 sahaja.

‘‘Pakar-pakar onkologi kerajaan dan swasta di dalam negara sering bertemu, mematuhi garis panduan antarabangsa dalam pengurusan kanser. Tiada perbezaan dari segi teknik rawatan, ubat-ubat yang disyorkan dan sebagainya,’’ terang beliau.

Kesemua ubat atau rawatan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan boleh diperoleh di mana-mana hospital cuma di hospital kerajaan, rawatan yang diberikan mestilah mengikut indikasi dan justifikasi penyakit kanser tersebut, tanpa mengira status sosial, warna kulit dan sebagainya.

‘‘Tujuan saya bukanlah hendak memburuk-burukkan sesiapa tetapi biarlah berpada-

pada dalam semua tindak tanduk kita. Jangan kerana terlalu beria-ia untuk mendapat rawatan di pusat swasta yang berstatus tinggi dan lebih selesa tetapi dalam masa yang sama memberikan tanggapan yang salah kepada orang awam mengenai penyakit dan rawatan kanser payudara ini. Itu yang saya mahu elakkan,’’ tegas Dr. Mas.

Sementara itu, Pakar Bedah Am, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Abd. Hamid Mat Sain yang banyak kali membedah pesakit kanser payudara ketika diajukan pertanyaan sama nyata terkejut dengan nilai tinggi yang dinyatakan.

‘‘Ini pertama kali saya dengar. Biasanya, selepas membedah pesakit, kita akan rujuk mereka kepada pakar onkologi. Bagi pesakit yang ada insurans atau ditanggung oleh syarikat, mereka selalunya memilih agensi swasta untuk rawatan lanjut dan bagi yang kurang mampu, ke hospital kerajaan.

‘‘Saya biasa berurusan dengan salah sebuah institusi swasta terkemuka yang menawarkan perkhidmatan adjuvan ini. Secara pakejnya, kos dikenakan RM30,000 sebanyak enam pusingan (setiap pusingan dari tiga minggu ke sebulan),’’ katanya.

Kemoterapi pula, terangnya, mempunyai pelbagai kelas dari yang standard dan lebih murah yang digunakan di negara ini sejak 10 hingga 20 tahun lepas sehinggalah kelas yang lebih tinggi.

Mengulas lanjut, kalau dibandingkan dengan negara-negara membangun lain, Malaysia boleh dikatakan antara yang terbaik dalam penyediaan rawatan awamnya di mana tiada seorang pun yang sakit akan terbiar tanpa rawatan walau tidak mampu membayar satu sen pun.

‘‘Pesakit kanser payudara sentiasa boleh pergi ke mana-mana hospital besar di negeri masing-masing untuk mendapatkan rawatan. Jika hospital berkenaan tidak mempunyai kepakaran atau rawatan tertentu, pesakit akan dirujuk kepada institusi swasta yang dibeli perkhidmatannya oleh kerajaan,’’ katanya.

Yang ada, jelasnya, pesakit yang tidak mahu menunggu lebih lama dan pergi ke hospital swasta. Ketika inilah, mereka memerlukan wang yang banyak untuk membiayai sendiri sepenuhnya kos rawatan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan terapi alternatif bagi merawat kanser payudara kerana setakat ini ujarnya, para saintis sependapat bahawa kebaikan kemoterapi mengatasi komplikasi teruk yang sering menjadi penghalang pesakit untuk mendapatkan rawatan.

Dalam kanser payudara, pembedahan merupakan rawatan utama sebelum disokong dengan rawatan adjuvan (sampingan) seperti kemoterapi melalui suntikan atau oral dan, radioterapi. Tidak semua orang memerlukan kemoterapi, ia bergantung kepada penilaian pakar onkologi ke atas pesakit.

‘‘Walaupun kemoterapi sering dikaitkan dengan cerita-cerita negatif loya muntah, keguguran rambut, keletihan melampau, tetapi pesakit tidak boleh menolaknya mentah-mentah. Kebaikannya mengatasi keburukan dan tidak semua orang mengalami kesan sampingan yang sama teruk di antara satu sama lain, jadi jangan bazirkan masa.

‘‘Ramai pengamal perubatan alternatif yang mengakui dapat merawat kanser dan yakin dengannya. Kalau boleh, kami pun mahu belajar daripada mereka tetapi sehingga kini tidak pernah jumpa satu pun yang didokumentasikan,’’ jelas Dr. Abd. Hamid.

Selain kemoterapi, belum ada agen lain yang ditemui bagi membunuh saki-baki sel-sel kanser yang halus dalam tubuh pesakit. Penggunaan antibodi masih dalam peringkat percubaan yang masih awal.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan media supaya berhenti daripada melayan rayuan-rayuan seumpama ini kecuali meminta pengesahan terlebih dahulu daripada doktor pakar yang terbabit.


Ditulis oleh:
Shafinaz Sheikh Maznan & Niezam Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Thursday, March 27, 2008

Pemanjangan Tulang Anggota


SELAIN kaki, anggota lain seperti tangan yang mengalami kecederaan traumatik boleh dipulihkan dengan kaedah ini.
Mangsa kemalangan jalan raya yang dahsyat mungkin terpaksa kehilangan anggota badannya kerana diamputasi (dipotong melalui pembedahan) lantaran ada sebahagian tulangnya yang telah hancur – mengakibatkan pemendekan dan perubahan bentuk lengan mahupun kaki.

Keadaan yang serupa juga banyak dialami oleh anak-anak yang baru dilahirkan dan menderita penyakit polio, kerdil ataupun tampak pendek semasa berdiri, patologi pinggul, lutut dan kaki yang bengkok keluar disebabkan oleh penyakit riket, di mana tulang tidak menjadi keras serta cacat akibat kekurangan vitamin D.

Senarionya sedikit berbeza di China. Anda mungkin terpaksa menambah beberapa inci ketinggian untuk mendaki tangga kerjaya di tanah besar itu. Ini kerana ketinggian sering tersenarai dalam syarat keperluan bekerja iaitu lebih 1.65 meter (5 kaki 5 inci) bagi wanita dan lelaki, lebih 1.70 meter.

Malah, wujud trend wanita di China yang dikatakan mencari calon suami yang lebih tinggi, begitu juga dengan lelaki yang mengambil berat tentang meter bakal isteri bagi mengelakkan zuriat yang ketot.

Kerana itulah, ramai juga daripada rakyatnya yang semacam terdesak hingga tidak lokek berbelanja besar khususnya di kalangan mereka yang agak berduit untuk melakukan pembedahan bagi memanjangkan kaki.

Wang Junhong adalah salah seorang daripada mereka yang sanggup memperuntukkan 80,000 yuan (AS$9,700) untuk mendapatkan kira-kira 5 sentimeter (dua inci) lebih ketinggian.

Bagaimanapun, keghairahan itu telah disalah guna oleh klinik-klinik kecil yang mahu mengaut keuntungan lebih apabila menawarkan pembedahan itu di bawah label kosmetik terutamanya kepada warga kota yang pernah melakukan prosedur pembesaran buah dada.

Akibatnya, kerajaan negara itu telah mengharamkan surgeri peregangan kaki seumpama itu kecuali atas alasan rawatan kerosakan tulang atau kaki tangan yang tidak rata disebabkan oleh kecederaan, tumor/ketumbuhan dan lain-lain kecacatan.

Wang antara yang terakhir menjalaninya dan dia juga bertuah kerana tidak menghadapi apa-apa komplikasi seperti kecacatan tulang, anggota yang tidak selari dan jangkitan teruk, seperti yang sering dilaporkan oleh media.

‘‘Berkenaan dengan persoalan ketinggian seseorang individu, memang benar faktor genetik memainkan peranan penting. Pada ketika ini teknologi perubatan yang ada memang boleh menambah ketinggian.

‘‘Walau bagaimanapun, kaedah pembedahan lebih digunakan untuk tujuan rekonstruktif anggota tubuh badan terutamanya selepas kecederaan patah tulang,’’ kata Pakar Ortopedik dan Trauma, Hospital Pakar Putri, Johor Bahru, Johor, Dr. Marvin Joseph Nair.

Pemanjangan tulang untuk tujuan menambahkan ketinggian (bersifat kosmetik) masih merupakan suatu indikasi yang baru dan menjadi topik perbincangan di kalangan doktor pakar ortopedik.

Kaedah pembedahan sedia ada termasuklah teknik Ilizarov, penetap luaran monoplanar, perenggang kinetik rangka intramedula (di dalam sumsum tulang) atau ringkasnya ISKD dan, pembedahan Fitbone.

Menurutnya, teknik Ilizarov mula diperkenalkan dan diterajui di Wilayah Kurgan, Siberia di Rusia pada tahun 1951 oleh Dr. Gavril Abramovich Ilizarov yang hanya dikembang luas ke negara-negara barat pada tahun 1981.

‘‘Teknik Ilizarov ataupun dikenali juga dengan nama teknik penetap cecincin menggunakan sistem cecincin dan wayar yang dipasangkan pada tulang yang menjalani proses pemanjangan secara beransur-ansur iaitu dikenali juga sebagai proses peregangan osteogenesis.’’

Apa Itu Peregangan Osteogenesis

Peregangan osteogenesis merupakan proses pembedahan untuk membina semula kecacatan rangka dan memanjangkan tulang.

Dalam proses ini, tulang akan diceraikan melalui pembedahan dan kedua-dua hujung tulang dipisah dengan cukup perlahan untuk membolehkan tulang baru tumbuh pada ruang yang wujud.

Keunikan dan nilai osteogenesis peregangan terletak pada keupayaannya untuk mengembangkan isi padu tulang dan tisu lembut di sekitarnya.

Pemanjangan sehingga tujuh sm disarankan bagi setiap tulang. Oleh sebab itu, seorang pesakit boleh mencapai pemanjangan tangan ataupun kaki total mencecah 14sm.

Walaupun 12sm untuk setiap tulang pernah dicapai, biasanya ini tidak disarankan kerana ia mengakibatkan tekanan yang kuat kepada badan.

Kadar pertumbuhan tulang bergantung kepada faktor-faktor seperti umur, disiplin dan gaya hidup umpamanya, tulang perokok tumbuh lebih perlahan berbanding bukan perokok.

Walaupun teknologi peregangan telah banyak diguna pakai dalam bidang ortopedik, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa proses ini juga boleh digunakan untuk membina semula rangka muka.

Langkah-Langkah Teknik Ilizarov

Tulang-tulang dan saluran-saluran yang hancur dibuang dan meninggalkan ruang. Bahagian tulang atas dipisahkan dengan gergaji luar menjadi dua bahagian. Kaki kemudian dipasang dengan rangka Ilizarov yang menembusi kulit, otot-otot, dan tulang.

Skru yang dipasangkan pada tulang tengah diputar satu milimeter setiap hari agar tisu tulang yang baru tumbuh dapat diregangkan sehingga secara beransur-ansur mengurangi ruang. Pemanjangan satu milimeter sehari paling optimum.

Jika terlalu lambat, tisu tulang akan mengeras sebelum selesai proses pemanjangan manakala pemanjangan yang terlalu cepat akan menyebabkan tisu lembut terbatas dan mengakibatkan bukan sahaja sakit tetapi juga ketidakupayaan mengisi ruang.

Setelah lubang ditutup, pesakit akan meneruskan pemakaian rangka sehingga tulang baru menjadi keras. Biasanya pesakit perlu dirawat hingga 120 hari sebelum kaki boleh digunakan semula.

Teknik Ilizarov ini rentan terhadap jangkitan. Prosedurnya juga cukup menyakitkan, pesakit akan berasa tidak selesa dan menimbulkan parut bedah yang hodoh.

‘‘Bergantung kepada jarak tulang yang perlu digerakkan ataupun dipanjangkan, maka proses ini boleh memakan masa lebih setahun dan pesakit harus menjalani rawatan susulan untuk mengesan masalah yang mungkin timbul seperti kelonggaran pin, jangkitan kuman dan sebagainya.

‘‘Teknik Ilizarov boleh digunakan untuk calon-calon yang sesuai sahaja kerana ia memerlukan rawatan susulan yang agak lama dan tidak ada kepastian yang komplikasi tidak akan timbul sepanjang jangka masa rawatan,’’ kata Dr. Marvin.

Penetap Luaran Monoplanar

Selain sistem Ilizarov, pakar bedah ortopedik juga kerap menggunakan alat penetap luaran monoplanar dari Orthofix untuk tujuan yang sama. Sistem ini menggunakan rel dan pin yang lebih mudah dipasang oleh doktor bedah dan dijaga oleh pesakit.

‘‘Konsep asas osteogenesis peregangan juga digunakan di mana tulang yang telah dipotong (kortikotomi) direnggangkan pada kadar 1mm sehari (0.25mm setiap enam jam).

‘‘Kadar pemanjangan yang perlahan ini memberi kesempatan untuk tulang baru tumbuh di ruang kortikotomi,’’ tambah beliau.

Peregang Kinetik Rangka Intramedula/ISKD

Kemudian, muncul teknologi ISKD yang memungkinkan pemanjangan secara dalaman dan berupaya mengurangkan risiko infeksi dan parut bedah.

‘‘Dengan teknik ini, implan besi/pin yang boleh dipanjang sedikit demi sedikit dipasang terus ke rongga tulang (melalui pusingan lutut atau buku lali). Kulit, otot-otot dan tisu-tisu lain akan menjalani proses adaptasi/penyesuaian selaras dengan proses pemanjangan tulang.’’

ISKD memerlukan pergerakan kaki untuk mengaktifkan peralatan yang membuatnya cukup menyakitkan, terutamanya selepas baru sahaja dibedah.

Risikonya, pesakit kemungkinan terlalu memanjangkan tulang tanpa sengaja, akibatnya, tulang terbentuk dengan cara yang salah.

Pembedahan Fitbone

Metod pemanjangan anggota badan dalaman ini telah menyempurnakan beberapa kelemahan ISKD di mana anggota badan yang hancur mampu diperbaiki dan dipanjangkan tanpa ada parutan dan tidak melalui proses sangat menyakitkan.

Ia dikembangkan di Jerman oleh Augustin Betz dan Rainer Baumgart dengan pembedahan kali pertama dilakukan pada tahun 1996 sebelum dipatenkan setahun kemudian.

Fitbone merupakan peralatan pemanjangan anggota badan yang dapat dipasang di dalam tubuh dan digerakkan secara elektronik. Metod ini memungkinkan tulang-tulang yang hancur disatukan dan dipanjangkan manakala tulang-tulang yang melengkung, diluruskan.

Peralatannya terdiri dari antena yang ditanamkan di bawah kulit, alat penerima dikawal oleh pemancar frekuensi radio genggam.

Namun, rawatan yang dibincangkan di atas tidak dianjurkan bagi orang yang ingin memanjangkan tulangnya beberapa sentimeter demi memperindah penampilan (pembedahan kosmetik).

‘‘Ia memang dapat mengatasi masalah kependekan tulang, walau bagaimanapun proses rawatan memakan masa dan perlu dijalankan dengan rapi untuk mengesan atau mengelakkan komplikasi yang mungkin timbul.

‘‘Lagipun, pembedahan dilakukan dengan mematahkan tulang, pesakit harus menggunakan kerusi roda selama lebih kurang setahun, mengalami rasa sakit dan pertimbangan kosnya,’’ jelas Dr. Marvin.

Bagi mana-mana individu yang mendesak untuk melakukan pemanjangan kosmetik kaki dan tangan ini perlu menjalani penilaian imej tubuh badan bersama-sama dengan pakar psikologi bagi membantu menentukan sejauh mana kualiti hidupnya telah terjejas oleh persepsi kekurangan tinggi, di samping menentukan sama ada pelaksanaan pembedahan akan menyebabkan perbezaan yang besar atau tidak.

Taksiran menyeluruh melibatkan perbincangan-perbincangan terperinci di antara doktor dengan pesakit dan ia menelan masa beberapa bulan. Dalam tempoh ini, doktor-doktor mengharapkan pesakit akan menukar fikiran.


Ditulis oleh:
Shafinaz Sheikh Maznan

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Saturday, March 15, 2008

Disfagia : Gangguan Menelan


SESETENGAH orang mengalami disfagia yang tidak dapat dijelaskan apabila sukar mengambil pil atau tablet walaupun tiada masalah menelan.




















Anda mungkin mengambil sikap endah tak endah tentang aktiviti menelan makanan iaitu menggigit, mengunyah dan menelan. Kebanyakan orang tidak memikirkan hal ini. Tetapi tahukah anda, menelan menjadi satu cabaran yang besar bagi sesetengah orang?

Acap kali, kesukaran sewaktu menelan (disfagia) bukanlah sesuatu yang membimbangkan. Ia terjadi apabila anda makan terlalu cepat atau tidak mengunyah makanan dengan sempurna. Bagaimanapun, kesukaran menelan makanan mungkin menandakan keadaan perubatan yang serius dan memerlukan rawatan.

‘‘Kesukaran menelan makanan mungkin bermaksud proses menelan itu mengambil masa dan daya usaha untuk menggerakkan makanan atau cecair daripada mulut ke perut anda.

‘‘Kesukaran menelan makanan juga boleh dikaitkan dengan rasa sakit. Dalam beberapa kes, anda mungkin tidak dapat menelan langsung,’’ kata Pakar Perunding Bedah Am dan Laparoskopik, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan.

Dr. Abd. Hamid Mat Sain berkata, disfagia terjadi apabila terdapat masalah dengan mana-mana bahagian proses menelan makanan.

Apabila menelan, lidah menolak makanan ke bahagian belakang kerongkong anda. Otot-otot akan mengecut dengan cepat dan mengalihkan makanan melalui farinks, kawasan yang bersambung dari bahagian belakang kerongkong ke bahagian atas esofagus anda.

Kemudian, makanan bergerak melepasi trakea ke dalam esofagus, tiub yang menyambungkan kerongkong ke perut anda. Lingkaran otot-otot sfinkter di bahagian atas dan bawah esofagus akan terbuka setiap kali anda menelan makanan untuk membiarkan makanan berlalu dan akan cepat-cepat tertutup.

Bahagian bawah sfinkter akan membenarkan makanan memasuki perut anda dan menyimpan asid perut daripada naik semula ke dalam esofagus. Otot-otot di dinding esofagus akan membantu menolak makanan ke arah perut anda.

Punca-Punca Disfagia Esofageal

Merujuk kepada rasa sensasi makanan yang terlekat di bahagian pangkal kerongkong atau dada anda. Punca biasa disfagia esofageal termasuklah proses penuaan dan tumor esofageal. Lain-lain:

* Bahan asing. Kadangkala, makanan seperti seketul daging yang besar atau objek-objek lain tersekat di dalam kerongkong atau esofagus anda.

Orang dewasa yang memakai gigi palsu dan mereka yang mempunyai kesukaran mengunyah makanan dengan betul mempunyai risiko berlakunya penyekatan di kerongkong atau esofagus anda.

Kanak-kanak juga lebih cenderung untuk menelan pin, duit syiling, barang permainan atau objek-objek kecil yang boleh tersekat di kerongkong mereka.

* Penyakit refluks gastroesofageal (GERD). Kerosakan pada tisu esofageal daripada asid perut yang naik semula (refluks) ke dalam esofagus anda boleh menyebabkan spasma atau parut dan penyempitan bahagian bawah esofagus, menyukarkan anda untuk menelan. GERD dalam jangka panjang akan menyebabkan esofagus Barrett‘s, sekali gus meningkatkan risiko kanser esofageal.

* Divertikula faringeal. Satu kantung kecil terbentuk dan mengumpul partikel-partikel makanan di dalam kerongkong anda, di atas esofagus anda, menyebabkan anda mengalami kesukaran menelan, mengeluarkan bunyi gogokan, nafas berbau dan batuk atau berdehem yang berulangkali.

Disfagia Orofarinkgeal

Terdapat beberapa masalah berkaitan dengan neuromuskular yang akan melemahkan otot kerongkong anda, menjadikannya sukar untuk mengeluarkan makanan daripada mulut ke dalam kerongkong dan esofagus.

Anda mungkin tercekik atau batuk apabila cuba untuk menelan, atau mempunyai sensasi makanan atau cecair turun melalui trakea atau ke atas hidung anda, menyebabkan pneumonia.

Punca-punca disfagia orofaringeal termasuklah kerosakan mendadak pada neurologikal seperti strok atau kecederaan di otak atau korda spina yang boleh menyebabkan kesukaran sewaktu menelan makanan atau tidak boleh menelan.

Disfagia Di Kalangan Kanak-Kanak

Punca biasa termasuklah masalah yang berkembang disebabkan lahir tidak cukup bulan atau kurang berat badan sewaktu bayi dilahirkan; gangguan sistem saraf seperti palsi serebrum atau meningitis; bibir atau lelangit sumbing.

*Disfagia yang tidak dapat dijelaskan

Sesetengah orang mengalami disfagia tanpa mana-mana punca anatomikal.

* Kesukaran sewaktu mengambil ubat-ubatan oral. Sesetengah orang tidak dapat menelan pil atau tablet walaupun mereka tidak mempunyai sebarang masalah untuk menelan makanan.

* Ketulan di kerongkong. Sesetengah orang mengalami sensasi seketul bahan asing atau ketulan di dalam kerongkong mereka padahal, tidak terdapat sebarang benda atau ketulan yang tersekat di kerongkong anda.

Stres atau rasa keseronokan mungkin memburukkan lagi sensasi ini. Kadangkala, menyelesaikan stres yang dialami dapat meringankan masalah ini. Padahal, kesukaran menelan sebenarnya tidak berlaku.

Simptom-Simptom

Rasa sakit apabila menelan – Langsung tidak boleh menelan – Tercekik atau tersedak sewaktu makan – Rasa makanan tersekat di kerongkong, dada atau belakang tulang dada – Tekanan atau rasa sakit pada bahagian dada – Mengeluarkan makanan semula – Pedih ulu hati yang kerap – Asid makanan atau perut yang naik semula ke kerongkong anda – Bunyi gogokan (kumuran) di kerongkong anda – Kehilangan berat badan luar biasa

Faktor Risiko

Menurut Dr. Abd. Hamid, disebabkan proses penuaan dan kesan koyakan di dalam esofagus, orang dewasa lebih berisiko mengalami kesukaran sewaktu menelan berbanding kanak-kanak.

Bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan juga lebih cenderung mengalami masalah perkembangan termasuk gangguan gastrousus yang akan menyebabkan kesukaran sewaktu menelan.

‘‘Disfagia boleh menyukarkan anda untuk mengambil makanan dan minuman yang secukupnya untuk kekal sihat. Mereka yang mengalami kesukaran menelan berisiko untuk mengalami malnutrisi dan dehidrasi.

‘‘Jika makanan atau cecair memasuki rongga udara sewaktu anda cuba untuk menelan, masalah respiratori atau jangkitan akan berlaku seperti pneumonia atau infeksi respiratori,’’ katanya.

Tambahnya, jika terdapat sesuatu halangan untuk menelan atau mengganggu pernafasan seseorang, dapatkan pertolongan kecemasan dengan segera.

‘‘Kesukaran menelan makanan yang sedikit atau tidak kerap selalunya bukan merupakan punca untuk dirisaukan. Tetapi kesukaran bernafas boleh menandakan masalah medikal yang serius seperti kanser esofageal.

‘‘Berjumpalah doktor dengan segera jika anda mempunyai sebarang masalah sewaktu menelan. Begitu juga jika anda mengesyaki anak anda mengalami kesukaran menelan,’’ saran beliau.

Rawatan

Punca-punca kesukaran menelan ini berbeza-beza dan rawatannya bergantung kepada sebab ia berlaku. Dalam kebanyakan kes, keadaan ini boleh disembuhkan sepenuhnya atau separuh sahaja.

* Untuk disfagia orofaringeal, doktor akan mengarahkan anda berjumpa doktor pakar kerongkong atau neurologi untuk ujian diagnostik dan pakar pertuturan atau menelan untuk terapi seterusnya.

Senaman tertentu mungkin boleh membantu menyelaraskan otot-otot yang digunakan untuk menelan atau merangsang saraf-saraf yang mencetuskan refleks untuk menelan.

Anda juga akan belajar cara-cara ringkas untuk meletakkan makanan di dalam mulut anda atau membetulkan kedudukan tubuh dan kepala untuk membantu anda menelan makanan.

* Untuk sfinkter esofageal yang ketat (akalasia) atau striktur esofageal, doktor mungkin menggunakan endoskop dengan belon khas terlekat di hujungnya untuk meregang dan mengembang kelebaran esofagus anda (dilatasi).

Bagi tumor esofageal atau divertikula faringeal, anda mungkin memerlukan surgeri untuk membersihkan laluan esofageal anda.

Kesukaran menelan sering dikaitkan dengan GERD yang boleh dirawat dengan preskripsi medikasi oral untuk mengurangkan asid perut selepas striktur dikembangkan. Anda mungkin perlu mengambil medikasi ini untuk jangkamasa yang panjang.

Jika anda mempunyai spasma esofageal tetapi esofagus kelihatan normal dan tanpa GERD, anda mungkin dirawat dengan medikasi untuk merehatkan esofagus dan mengurangkan ketidakselesaan.

* Disfagia yang teruk. Jika kesukaran menelan menghalang anda daripada makan dan minum secukupnya untuk mengekalkan berat badan yang sihat dan mengelakkan dehidrasi, doktor anda mungkin mencadangkan diet khas yang mengandungi cecair.

Dalam kes-kes disfagia yang teruk, anda mungkin memerlukan satu tiub makanan untuk memintas bahagian mekanisme menelan yang tidak berfungsi dengan normal.

‘‘Walaupun kesukaran menelan agak sukar dihalang apabila puncanya adalah kerosakan atau gangguan neurologikal, anda boleh mengurangkan risiko kesukaran yang dialami dengan makan perlahan-lahan dan mengunyah makanan dengan betul.

‘‘Jika dikesan lebih awal dan diberi rawatan GERD yang berkesan akan merendahkan risiko anda menghidapi disfagia yang dikaitkan dengan striktur esofageal,’’ akhiri Dr. Abd. Hamid.


Ditulis oleh:
Shafinaz Sheikh Maznan

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Payudara: Apa Selain Kanser?

SOALAN:
Saya berumur 23 tahun dan masih bujang. Baru-baru ini, saya mendapati satu benjolan kecil telah timbul di bawah ketiak dan berasa sakit. Kalau boleh, saya ingin tahu, adakah benjolan itu merupakan sebahagian daripada tanda-tanda kanser payudara ataupun tidak?

Muniey

JAWAPAN:
Payudara seseorang wanita boleh berubah-ubah – mengikut kitaran haid, semasa mengandung, semasa penyusuan dan juga ketika putus haid (menopaus). Permasalahan boleh berlaku semasa perubahan ini.

Kebanyakan perubahan pada payudara tidak serius, tetapi harus diingat, sebarang keabnormalan yang ada lebih baik dikesan awal supaya perawatan dapat dijayakan dengan lebih berkesan.

Di antara yang serius adalah kanser payudara, selalunya itu sahaja yang kita tahu.

Terima kasih kepada sekian banyak program berkaitan yang dijalankan oleh pelbagai pihak sehingga menimbulkan kesedaran khalayak mengenai bahayanya walaupun ironinya, masih ramai wanita yang tidak melakukan pengesanan kanser payudara pada peringkat awal lagi.

Payudara terdiri daripada kelenjar-kelenjar, lapisan lemak dan tisu fibros yang tebal dan dipengaruhi oleh perubahan hormon wanita estrogen dan progesteron semasa kitaran haid.

‘‘Perubahan ini menyebabkan berlakunya perubahan cecair pada payudara terutama sekali di lapisan tisu fibros yang tebal dan ini menimbulkan kesakitan.

‘‘Perubahan juga berlaku semasa mengandung, penyusuan anak dan ketika menopaus,’’ kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr. Shah Reza Johan Noor.

Menurutnya, perancangan keluarga menggunakan hormon seperti pil perancang keluarga juga menyebabkan perubahan pada payudara, begitu juga sekiranya wanita menerima rawatan hormon menopaus dan juga implan payudara.

Masalah Payudara

Kebanyakan masalah payudara tidak mempunyai tanda-tanda yang ketara. Jadi, terpulang kepada wanita itu sendiri yang sepatutnya memeriksa sendiri payudara mereka.

Masalah payudara pada umur yang masih muda selalunya adalah tidak berbahaya (benigna). Lazimnya, di peringkat umur ini, tanda-tandanya adalah seperti:

* Benjolan/bengkakan yang dirasakan di satu tempat ataupun menyeluruh di payudara

* Keluarnya discaj/cairan dari puting payudara

* Rasa sakit di payudara

Masalah Payudara Benigna

‘‘Yang kerapkali merupakan perubahan sistik di mana payudara dirasakan seperti ada benda di dalam dan kadangkala rasa sakit. Kebiasaannya, kedua-dua payudara akan dirasai sedemikian.

‘‘Simptom lain seperti bengkakan, sakit apabila disentuh dan rasa gatal. Sista (sarung berisi cecair) juga mungkin terbentuk dan berubah mengikut kitaran haid dan semasa menopaus,’’ ujar Dr. Shah Reza. Lingkungan umur terlibat di antara 25 hingga 50 tahun.

Fibroadenoma pula berlaku di kalangan wanita yang muda, berupa bengkakan yang keras dan tidak berbahaya. Walau bagaimanapun, pemeriksaan pakar perlu dibuat untuk pengesahan.

Kanser Payudara

Boleh menyebabkan kematian, tetapi boleh dikesan awal dan seterusnya dirawat sekiranya pemeriksaan payudara seperti berikut dibuat:

* Mamografi: Ujian radiologi yang dijalankan terhadap payudara

* Pemeriksaan oleh doktor atau pakar sakit puan

* Pemeriksaan sendiri payudara (PSP)

Risiko Tinggi Kanser

* Genetik turun-temurun iaitu BCRA1 dan BCRA2

* Sejarah kanser payudara di kalangan ahli keluarga terutamanya ibu, saudara perempuan dan juga anak perempuan

* Sejarah perubatan sendiri iaitu kanser payudara, rahim (endometrium), telur (ovari) dan juga kanser usus (kolon)

* Kematangan usia

* Tidak pernah mengandung atau mula hamil melebihi umur 30 tahun

* Didatangi haid pada umur yang lebih awal (sebelum 12 tahun)

* Menopaus pada umur melebihi 55 tahun

* Tidak pernah menggunakan payudara untuk tujuan penyusuan bayi

* Badan yang gemuk selepas menopaus. Berat ideal boleh dikira dengan perbezaan tinggi dalam sentimeter dan ditolak 100. Contohnya, kalau tinggi 140sm, maka berat badan ideal adalah sekitar 40kg

* Pengambilan minuman beralkohol

* Penggunaan perawatan hormon semasa menopaus tanpa pemeriksaan doktor pakar

* Penggunaan pil perancang keluarga tanpa menjalani pemeriksaan perubatan berkala.

Risiko Berkurangan

* Mengandung awal, sebelum umur 20 tahun

* Telur dikeluarkan secara pembedahan sebelum umur 40 tahun

* Menopaus awal sebelum umur 50 tahun.

Pemeriksaan Fizikal Oleh Doktor

Selain pengambilan sejarah risiko, doktor akan meneliti bentuk payudara, perubahan pada kulit di kedua-dua payudara, kedudukan puting-puting dan juga pembengkakan pada tisu-tisu dalaman, jika ada.

Kelenjar limfa di bawah ketiak juga akan diperiksa. Pemeriksaan doktor perlu dibuat setahun sekali.

Mamografi

Pemeriksaan menggunakan kemudahan sinar-X atau radiasi. Ia masih lagi menjadi satu pemeriksaan gold standard bagi kanser payudara. Mereka yang telah mencecah usia lebih 50 tahun digalakkan menjalaninya setiap satu hingga dua tahun sekali.

Pemeriksaan Sendiri Payudara

Berdiri di hadapan cermin, perhatikan sama ada terdapat perubahan pada kedua-dua payudara semasa kedua-dua tangan di sisi dan juga semasa kedua-dua tangan berada di atas.

Perhatikan kepada bentuk simetri (sama ukurannya) di antara payudara kanan dan kiri.

Kemudian baring di lantai dengan bantal lembut di bawah bahu di mana payudara diperiksa, rasakan dengan tangan dan teliti apa-apa kehadiran benjolan ataupun pembengkakan pada jisim payudara dan juga di bawah ketiak.

Perlu diingatkan, perbandingan di antara kedua-dua payudara perlu dibuat.

Pilih salah satu daripada cara-cara berikut untuk menentukan kehadiran sesuatu pada jisim payudara

* Cara bulatan: Mulakan di bahagian atas payudara dan buat lingkungan atau gelung bermula dari luar dan secara perlahan-lahan ke arah dalam hingga ke bahagian puting. Pastikan tiada bahagian yang tidak diperiksa.

* Cara garisan: Mulakan di bahagian bawah ketiak dan bermula dari atas dan kemudiannya turun ke bawah sehingga melepasi payudara, dan naik kembali ke atas. Pastikan supaya semua bahagian disentuh.

* Cara bajian/pasakan: Bayangkan yang payudara dibahagikan kepada empat bahagian. Pemeriksaan perlu dibuat pada setiap kuadran (sukuan), bermula dari luar dan menuju ke puting payudara/bahagian tengah. Lakukan sedemikian pada kesemua bahagian payudara.

Jangan Lupa...

Walau apa pun kaedah yang digunakan, pastikan yang puting payudara diperiksa dengan meletakkannya di antara dua jari (mana-mana cara yang selesa) dan ditekan supaya apa-apa cairan yang ada terkeluar dari puting tersebut.

Dr. Shah Reza menyarankan: ‘‘Jangan lupa untuk merasai bahagian atas dada dan juga di bawah ketiak, kerana kedua-dua tempat ini juga mempunyai tisu-tisu payudara.

‘‘Tidak usahlah teragak-agak untuk berjumpa doktor dengan segera sekiranya anda mengenal pasti kelainan pada payudara anda.’’


Ditulis oleh:

Shafinaz Sheikh Maznan

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Wednesday, March 12, 2008

D&C Kesan Punca Pendarahan Rahim

Pernah dengar perkataan dilatasi dan kuretaj? Mungkin anda lebih biasa mendengar ‘cuci’ yang lazimnya digunakan selepas seseorang wanita itu mengalami keguguran di mana sisa-sisa tisu janin dan uri yang masih tertinggal di dalam rahim wanita disedut keluar.

Dilatation and Curettage atau lebih popular dengan singkatan D & C sahaja sebenarnya merupakan prosedur yang dilakukan oleh pakar sakit puan untuk merawat dan juga mencari punca kenapa seseorang wanita itu mengalami pendarahan dari dalam rahim. Ia juga boleh mengesan kanser di dalam rahim.

Bagi memahaminya dengan lebih mendalam, mari kita bincangkan lebih lanjut mengenai pendilatan dan pengkuretan ini bersama-sama Pakar Perbidanan dan Sakit Puan dari Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr. Shah Reza Johan Noor.

“Dilatasi bermakna mengembang buka serta melebarkan pangkal rahim supaya alat pengkuretan boleh dimasukkan dan seterusnya pengambilan sampel dari dalam rahim dibuat.

“Lazimnya dilatasi dan pengkuretan adalah satu prosedur yang selamat dan senang dilakukan. Pemulihannya juga cepat dan berkesan,’’ ujar beliau.

Rahim dan Serviks

Rahim merupakan organ berotot-otot yang berada pada bahagian pinggul. Pembukaannya dipanggil serviks atau pangkal rahim.

Semasa umur reproduksi, perubahan bulanan dua hormon estrogen dan progesteron yang dihasilkan oleh ovari akan menyebabkan pendarahan bulanan.

Menurut Dr. Shah Reza, estrogen dan progesteron menyediakan badan wanita untuk tujuan persenyawaan dan seterusnya mengandung.

“Kitaran hormon wanita dibahagikan kepada dua fasa, estrogen dihasilkan pada kedua-dua fasa tetapi hormon progesteron dihasilkan pada fasa kedua.

“Hormon-hormon ini mengakibatkan penebalan dinding dalaman rahim sebagai persediaan untuk penerimaan janin,’’ ujar beliau.

Sekiranya tidak berlaku persenyawaan, paras hormon-hormon akan menurun, menyebabkan dinding dalaman rahim ini pecah dan dikeluarkan sebagai darah haid bulanan.

“Dilatasi dan pengkuretan mungkin dilakukan untuk mengenal pasti mengapa pendarahan berlaku. Sampel yang diambil dari dalam rahim akan dikaji oleh doktor pakar patologi untuk mendiagnosis tisu.

“Prosedur dilatasi dan pengkuretan juga dilakukan sekiranya keguguran yang berlaku tidak lengkap dan seseorang wanita itu masih lagi mengalami pendarahan, juga boleh mengesahkan kehamilan,’’ katanya.

Tisu-tisu yang tertinggal di dalam rahim, seperti keguguran yang tidak lengkap boleh menyebabkan infeksi atau jangkitan setempat pada rahim, juga infeksi menyeluruh atau pendarahan tanpa henti.

Jika tidak dikawal, jangkitan terbabit boleh menyebabkan kemandulan kepada wanita.

Bagaimana D&C Dilakukan

Dalam kebanyakan kes, prosedur ini dilakukan di hospital dan pembiusannya bersifat menyeluruh.

Kadangkala, prosedur ini diselang-seli dengan prosedur lain seperti histeroskopi iaitu sejenis alat bantuan visual untuk melihat persekitaran fizikal dalaman rahim.

“Doktor pakar mungkin akan terlebih dahulu memasukkan ubat ke bahagian pangkal rahim supaya bukaan pangkal rahim terbuka lebih luas untuk memudahkan kemasukan alat-alat penglebar bukaan yang lain.

“Mungkin juga bukaan pangkal rahim yang sempit dilebarkan dengan penglebar Hegar dalam pelbagai saiz bagi memudahkan pengkuretan serta pensampelan dibuat,’’ kata Dr. Shah Reza.

Tambahnya, kaki pesakit akan disokong menggunakan rakap berkaki dua sebelum spekulum dimasukkan ke dalam faraj supaya senang pangkal rahim distabilkan dengan alat pengapit khas.

Pemeriksaan dilakukan bagi menentukan kenormalan organ-organ di pelvik. Tisu-

tisu di dalam rahim dikuret ataupun disedut keluar untuk dikenal pasti oleh doktor pakar penyakit.

Di Hospital USM, prosedur dilatasi dan pengkuretan ini wajib dilakukan di bawah pengaruh bius menyeluruh.

Risiko-Risiko Berkaitan

Komplikasi, kata Dr. Shah Reza jarang berlaku tetapi sekiranya berlaku, komplikasi ini mungkin terdiri daripada jangkitan kuman, pendarahan yang tidak berhenti dan mungkin juga dari tebukan dan tembusan di dinding rahim.

Sekiranya wanita mengalami perkara-perkara berikut selepas dilatasi dan pengkuretan, segeralah berjumpa dengan doktor pakar yang melakukan prosedur tersebut.

* Pendarahan yang banyak ataupun tidak berhenti dari faraj

* Demam, walaupun mungkin anda terkena infeksi sistem pernafasan dan sebagainya

* Sakit di bahagian bawah abdomen

* Discaj atau lelehan berbau melalui faraj.

Walaupun jarang sekali berlaku, ada juga individu yang mengalami Sindrom Asherman selepas prosedur ini.

Akibatnya, wanita berkenaan mungkin mengalami kemandulan disebabkan oleh penyembuhan tisu-tisu di dalam rahim yang mendorong kepada berlakunya lekatan di antara dinding-dinding.

Seterusnya, kegagalan pertumbuhan kembali endometrium (dinding dalaman rahim untuk persediaan persenyawaan) dan pendarahan haid bulanan mungkin tidak berlaku.

Beliau menyarankan agar pesakit memaklumkan doktor pakar mereka sekiranya pendarahan haid menjadi tidak menentu selepas D&C.

Pemulihan

Prosedur ini tidak memerlukan pesakit bermalam di hospital. Sekiranya kesan sampingan bius sudah hilang dan pesakit kembali gagah, mereka dibenarkan pulang ke rumah.

Mungkin kerja harian ataupun aktiviti lazim tidak dapat dilakukan untuk satu ataupun dua hari namun, ramai juga yang boleh terus melakukan rutin seharian mereka seperti biasa beberapa jam kemudian.

“Hubungan kelamin dinasihatkan hanya dapat dilangsungkan pada minggu ketiga selepas dilatasi dan pengkuretan supaya penyembuhan tisu-tisu dapat berlaku tanpa gangguan kuman,’’ kata Dr. Shah Reza.

Lazimnya selepas prosedur dilatasi dan pengkuretan, pesakit akan mengalami:

* Ketidakselesaan kerongkong akibat tiub yang dimasukkan tujuan pembiusan menyeluruh

* Kekejangan di rahim seperti yang berlaku selepas proses bersalin. Lazimnya, kekejangan ini tidak serius

* Mungkin berlaku sedikit pendarahan.

Haid bulanan akan datang mungkin tidak seperti kitaran haid yang lampau. Ia mungkin datang lewat dan ada juga yang datang awal.

Prosedur dilatasi dan pengkuretan ini biasanya tidak banyak sangat mendatangkan permasalahan. Dalam masa yang sama, pemulihannya juga pantas.


Ditulis oleh:

Shafinaz Sheikh Maznan

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Bersalin Melalui Caesarean

Kadangkala anda tidak boleh melahirkan anak secara biasa dan terpaksa melalui pembedahan di abdomen dan seterusnya di rahim untuk melahirkan bayi yang dikandung.

Prosedur ini dipanggil pembedahan caesarean. Apa yang penting, anda sihat dan anak selamat.

Mengapa Anda Dibedah?

Ada ibu yang merayu supaya dibedah. Ini merupakan satu isu dan keputusannya sangat rumit dan memerlukan perbincangan serta pertimbangan terperinci.

Kalau demikian niat anda, berbincanglah dahulu dengan doktor anda.

“Biasanya, keputusan pembedahan dibuat setelah anda berada di bilik bersalin menjalani proses kelahiran tetapi gagal disebabkan oleh kepelbagaian faktor yang akan diterangkan oleh doktor pakar perbidanan.

“Ada juga ibu-ibu yang memang dijadualkan secara elektif untuk kelahiran melalui pembedahan disebabkan oleh faktor-faktor lampau,’’ kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr. Shah Reza Johan Noor.

Lain-lain faktor yang diambil kira termasuklah permasalahan perubatan semasa dan juga mungkin kerana wujudnya masalah-masalah obstetriks (perbidanan) yang menghalang kelahiran normal.

* Mengandung kembar/berganda - ramai ibu yang mengandung anak kembar dua melahirkan anak secara normal. Bagaimanapun, ada segelintir yang memerlukan pembedahan - bergantung bilangan janin dikandung.

Jika lebih ramai maka kebarangkalian untuk dibedah bertambah tinggi. Kedudukan janin turut mempengaruhi cara kelahiran.

* Proses kelahiran terbantut

Berjam-jam lamanya anda di bilik bersalin namun kemajuan pendilatan (pembesaran organ berongga) pangkal rahim tidak berlaku, walaupun ubat diberikan untuk menguatkan kontraksi (pengecutan).

* Masalah pada janin dikandung

Bayi dikandung mungkin mengalami masalah di dalam rahim, bekalan oksigen tergendala, mungkin tali pusatnya terhimpit, terpulas dan sebagainya mengakibatkan bekalan darah dari uri ke bayi menurun.

Ini dikesan melalui pemerhatian elektronik ultrasound yang dipasang pada abdomen puan. Seterusnya, keputusan pembedahan dibuat.

* Masalah uri

“Uri mungkin berada di bawah (previa plasenta) yang menghalang bayi dari keluar. Satu lagi masalah, apabila uri terpisah dari dinding rahim dikenali sebagai placenta abruption.

“Pendarahan yang banyak berlaku, pengaliran darah serta oksigen kepada bayi terbantut, kematian boleh berlaku,’’ jelas Dr. Shah Reza.

* Sejarah kelahiran pembedahan lampau

Sekiranya anda sudah pun dua kali dibedah, kelahiran kali ini mestilah juga melalui pembedahan.

Seandainya sejarah hanya sekali sahaja, keputusan kali ini bergantung banyak pada kejadian semasa pembedahan lampau.

Contohnya, jika pemotongan pada rahim bukannya di segmen bawah secara melintang, bermakna anda tidak boleh di cuba untuk kelahiran melalui faraj.

* Kemungkinan lain seperti saiz bayi yang besar secara relatif dibandingkan dengan tulang pinggul, kedudukan bayi songsang dan infeksi pada ibu seperti herpes genitalia (inflamasi kulit pada alat kelamin) yang boleh memudaratkan bayi semasa proses kelahiran.

Prosedur Pembedahan

Dr. Shah Reza berkata, kebiasaannya di hospital, bilik bedah merupakan satu kawasan larangan.

Suami tidak digalakkan atau mungkin tidak dibenarkan berada di bilik bedah di samping isteri semasa pembedahan dijalankan.

“Jenis pembiusan mungkin secara setempat (anda sedar sepanjang pembedahan), mungkin juga pembiusan menyeluruh (anda tidur sepanjang tatacara).

“Ini bergantung kepada penilaian doktor pakar bius. Kadangkala pembedahan dilakukan kerana kecemasan, jadi tidak sempat persediaan dilakukan seperti pembedahan-pembedahan elektif yang lain.

Persediaan

“Jururawat akan menyediakan anda bagi tujuan pembedahan, ubat diberikan untuk mengurangkan keasidan di dalam perut.

“Anda dikhuatiri akan muntah dan termasuk ke dalam sistem pernafasan yang boleh memudaratkan kesihatan selanjutnya,’’ kata Dr. Shah Reza.

Bahagian untuk dibedah akan dicuci, bulu roma yang lebih akan dicukurkan. Tiub kateter akan dimasukkan ke dalam uretra (saluran air kencing) untuk mengosongkan pundi kencing.

Ia boleh mengurangkan insiden trauma pada pundi kencing semasa pembedahan. Ia juga sebagai pengawasan sistem perkumuhan buah pinggang.

Jarum dimasukkan ke sistem pembuluh vena di tangan untuk dimasukkan dengan cecair gantian seperti darah dan juga portal untuk ubat-ubat ke dalam badan anda, semasa dan selepas pembedahan.

Jenis-Jenis Pembiusan

Ia bertujuan menghilangkan kesakitan serta menenangkan anda semasa prosedur. Pembiusan, kata Dr. Shah Reza, mungkin secara menyeluruh dan juga berbentuk setempat seperti pembiusan epidural ataupun spinal, di mana anda akan sedar sepanjang prosedur.

“Doktor pakar bius akan berbincang dengan anda mengenai jenis-jenis pembiusan yang selamat untuk anda, bergantung sama ada pembedahan tersebut jenis kecemasan ataupun secara elektif. “Yang penting kesihatan puan semasa serta keadaan bayi diutamakan,’’ kata beliau.

Kelahiran

Insisi dilakukan pada kulit dan tisu-tisu di abdomen.

“Lazimnya di Malaysia, insisi (torehan) di kulit dilakukan secara melintang. Otot-otot abdomen tidak dipotong.

“Insisi pada rahim juga secara melintang, ini mengurangkan pendarahan dan penyembuhannya bagus.’’

Bayi akan dikeluarkan melalui insisi yang dibuat. Uri juga dikeluarkan melalui cara yang sama. Untuk kulit, jahitan dibuat, kadangkala stapel digunakan (mahal).

Komplikasi

Sebagaimana pembedahan yang lain, kelahiran melalui pembedahan juga berisiko. Bagaimanapun, risiko jarang berlaku dan ditangani dengan cepat serta berkesan.

Antara risiko-risikonya adalah:

* Infeksi boleh berlaku di rahim, tisu-tisu dalaman dan juga di kulit

* darah boleh hilang dengan pantas dan banyak, memerlukan transfusi (pemindahan) darah

* Insiden ketulan serta pembekuan darah berlaku di pelvis, paru-paru serta di bahagian kaki

* Usus dan pundi kencing juga boleh tercedera

* Reaksi pada ubat-ubat serta pembiusan yang diberikan.

Selepas Pembedahan

Kata Dr. Shah Reza, sekiranya pembiusan diberikan dari jenis setempat, anda boleh memegang si bayi selepas pembedahan manakala pembiusan menyeluruh memerlukan masa untuk sedar.

Anda akan dihantar ke bilik pemulihan pembiusan, petanda seperti tekanan darah, nadi, kandungan oksigen dan lain-lain parameter akan dipantau rapat sehingga kesemuanya stabil, sebelum anda dihantar ke wad.

Penyusuan dada digalakkan walaupun baru dibedah. Lazimnya, ubat-ubatan yang diberikan adalah selamat untuk penyusuan dada.

Anda mungkin berada di wad selama tiga, empat hari. Pengawasan lanjut diteruskan walaupun sudah stabil.

Ubat penahan sakit serta ubat-ubatan lain diberikan agar anda selesa dan dapat bergerak seberapa segera.

Kembali Ke Rumah

Doktor akan membekalkan anda dengan ubat penahan sakit, antibiotik serta vitamin bagi membolehkan penyembuhan berjalan sempurna.

Walau bagaimanapun, anda perlu menjaga kesihatan diri, hadkan aktiviti berat.

Anda juga mungkin mengalami:

* Kekejangan pada bahagian bawah abdomen, terutamanya semasa memberikan susu dada

* Pendarahan dan juga lelehan untuk empat hingga enam minggu

* Pendarahan mungkin dalam bentuk ketulan dan kadangkala kekejangan berlaku semasa ketulan dikeluarkan

* Sakit di bahagian pembedahan.

“Untuk mengelakkan infeksi, jangan masukkan apa-apa cecair, tampon ataupun melakukan hubungan seks untuk beberapa minggu. Seorang suami yang baik seharusnya memahami keadaan isteri sekarang.

“Berikan badan anda masa untuk sembuh sebelum aktiviti-aktiviti lazim. Senaman ringkas yang tidak menyakitkan juga boleh dilakukan,’’ kata Dr. Shah Reza.

Segeralah berjumpa dengan doktor pakar perbidanan puan sekiranya demam berlaku, pendarahan semakin banyak, sakit yang tidak dapat dilegakan atau mana-mana pengalaman yang sebelum ini tidak pernah anda lalui.


Ditulis oleh:

Shafinaz Sheikh Maznan

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Bila Kandungan Terlebih Bulan

Menunggu kelahiran cahaya mata yang sedang dikandung merupakan satu peristiwa yang mendebarkan tetapi menggembirakan.

Apatah lagi dewasa ini boleh dikatakan lebih ramai pasangan yang memulakan institusi kekeluargaan pada umur lebih matang setelah membina kerjaya masing-masing, berbanding zaman ibu bapa mahu pun datuk nenek kita dahulu.

Ramai ibu melahirkan zuriat mereka di antara minggu ke-38 hingga ke-42 dan tidak ramai yang bersalin pada tarikh yang dijangkakan oleh doktor yang merawat.

Adalah normal sekiranya bakal ibu atau ibu-ibu melahirkan anak mereka tiga minggu sebelum ataupun dua minggu selepas jangkaan asal.

Tarikh Jangkaan Kelahiran

“Purata tempoh mengandung adalah selama 280 hari atau bersamaan 40 minggu – dikira dari hari pertama datangnya haid yang terakhir. Hanya 5 peratus sahaja kelahiran berlaku pada tarikh yang dijangkakan.

“Tarikh jangka kelahiran sebenarnya satu panduan kepada doktor untuk memeriksa kemajuan kandungan puan, tumbesaran janin serta umur semasa,’’ kata Dr. Shah Reza Johan Noor.

Menurut Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia itu, kebiasaannya doktor akan menggunakan pelbagai petunjuk untuk mendaftar umur semasa janin serta tarikh kelahirannya.

“Saiz rahim juga dapat memberikan anggaran umur kandungan. Ultrasound yang biasa digunakan di klinik perbidanan juga dapat memberikan umur serta tarikh kelahiran, dengan ralat yang diambil kira mengikut trimester kandungan.

“Ibu-ibu haruslah bergegas untuk pemeriksaan mengandung seawal yang mungkin kerana jika lambat, penentuan tarikh akan menjadi lebih sukar dan mungkin tidak tepat,’’ ujarnya.

Kandungan Melebihi Penggal

Beliau berkata, kandungan dikatakan melebihi penggal sekiranya ia menjangkau 42 minggu. Berdasarkan kebanyakan amalan perbidanan di Malaysia, ibu-ibu akan didorong untuk menjalani induksi (cetusan) kelahiran sebelum penggal ini berlalu.

“Bila wanita sebenarnya mengandung mungkin tidak diketahui. Justeru, doktor dan jururawat cuba membuat ramalan menggunakan parameter-parameter tertentu.

“Dalam kebanyakan kes, doktor mahupun jururawat meragui akan kesihatan bayi di dalam kandungan sekiranya melebihi penggal 42 minggu,’’ jelas Dr. Shah Reza.

Mengira Tarikh Kelahiran

Tarikh boleh diramalkan dengan mengira ke hadapan 40 minggu (280 hari) dari hari pertama haid terakhir.

Ini berdasarkan kenyataan bahawa persenyawaan berlaku dua minggu selepas hari pertama haid. Cara begini, anda diramalkan untuk membawa kandungan selama 38 minggu.

Cara lain untuk mengira tarikh kelahiran adalah seperti berikut:

1. Pastikan hari pertama haid puan yang terakhir.

2. Campurkan tujuh hari.

3. Tolak tiga bulan.

4. Campur setahun

Sebagai contohnya:

1. 1 April 2006 + tujuh hari = 8 April 2006

2. 8 April 2006 - tiga bulan = 8 Januari 2006

3. 8 Januari 2006 + setahun = 8 Januari 2007

Sekarang, pengiraan telah meramalkan kelahiran anak puan pada 8 Januari 2007.

Sekiranya kandungan melebihi penggal iaitu melebihi 42 minggu, risiko-risiko seperti sindrom dysmaturity akibat ketidakupayaan uri menyebabkan stres dan kekurangan oksigen pada janin; bayi tertelan tinja atau najis pertama bayi baru lahir yang lekit dan berwarna hijau tua atau; makrosomia di mana janin menjadi besar. Risiko kelahiran melalui pembedahan turut meningkat.

Risiko Mengandung Melebihi Penggal

Dr. Shah Reza menerangkan: “Risiko terhadap kandungan dan juga ibu bertambah sekiranya melebihi penggal 42 minggu. Lagi lama kandungan dibiarkan, lagi bertambahlah permasalahan, walaupun bukan semuanya berakhir sedemikian.

“Uri mungkin tidak berfungsi sebaik mungkin manakala air amniotik juga berkurangan. Ini boleh menyebabkan tekanan dan tersepit semasa berlakunya kontraksi (pengecutan) dan boleh memudaratkan kandungan.’’

Ujian-Ujian

Apabila ibu-ibu menghampiri tempoh jangkaan kelahiran, ada beberapa ujian yang mungkin terpaksa dilalui bagi menentukan kesejahteraan bayi di dalam kandungan.

Ujian seperti `pergerakan harian janin’ boleh dilakukan sendiri di rumah. Ujian-ujian lain seperti kardiotokografi untuk tegasan tanpa kontraksi, profil biofizikal dan ultrasound perlu dilakukan oleh pakar.

“Pergerakan harian janin mengambil kira pergerakan bayi di dalam kandungan yang lazimnya lebih kurang sama bilangannya, setiap hari.

“Doktor atau jururawat akan memberitahu anda bagaimana dan bila pergerakan ini perlu diamati dan direkodkan,’’ kata Dr. Shah Reza sambil menambah, suami juga boleh berperanan merasai pergerakan ini dengan meletakkan tangan pada perut isteri.

Mengulas lanjut, pengawasan janin secara elektronik pula memerlukan satu peralatan khas yang mengesan denyutan jantung anak dan juga kontraksi pada bahagian atas rahim.

1. Ujian tegasan tanpa kontraksi - ujian ini merekodkan perubahan pada denyutan jantung, serta kontraksi yang berlaku.

Apabila janin bergerak, denyutan nadinya berubah dan ini memberikan rangsangan positif pada kertas pengesanan.

2. Profil biofizikal – ujian ini mencantumkan ujian tegasan tanpa kontraksi dengan ujian ultrasound. Cecair likuor, pergerakan pernafasan janin dan nada otot-otot diperhatikan.

Ujian secara elektronik ini memerlukan kepakaran untuk ditafsirkan, doktor pakar perbidanan anda bertanggungjawab terhadap ujian secara elektronik ini.

Untuk pergerakan harian janin pula, kata Dr. Shah Reza, wanita hamil sendiri perlu mengamati pergerakan bayi yang dikandung.

“Satu carta pergerakan akan diberikan, bayi mempunyai banyak anggota dan sendi-sendi yang bergerak dalam satu masa.

“Untuk lebih mudah, anggaplah sebarang pergerakan dalam satu julat masa 15 minit sebagai satu kelompok pergerakan, jadi dalam satu jam ada empat julat 15 minit.

“Ini bermakna pengamatan pergerakan adalah sebanyak empat kali,’’ jelas beliau.

Bayi di dalam kandungan juga mempunyai masa tidur tersendiri yang mungkin berlangsung dari 20 hingga 40 minit.

Pergerakan juga lebih aktif apabila ibu-ibu berada dalam keadaan yang kenyang. Maklumkan dengan segera kepada doktor atau jururawat sekiranya pola dan ritma pergerakan berubah dari hari sebelumnya.

Induksi Kelahiran

“Doktor mungkin akan menasihati anda agar menjalani induksi (permulaan bersalin secara buatan) kelahiran sekiranya puan melebihi penggal mengandung.

“Induksi ini menyebabkan perubahan pada pangkal rahim untuk persedian kelahiran melalui faraj,’’ Dr. Shah Reza.

Secara amnya, induksi ini bergantung pada faktor-faktor tertentu seperti:

* Keadaan semasa anda serta bayi yang dikandung

* Tempoh mengandung sekarang

* Perubahan pada pangkal rahim

* Ujian-ujian penentuan kesejahteraan janin.

Kaedah-kaedah induksi yang digunakan untuk menyebabkan perubahan pada pangkal rahim termasuklah:

* Prostaglandin dalam bentuk pil yang dimasukkan melalui faraj, menyebabkan pangkal rahim menjadi lembut sekali gus membolehkan kontraksi bermula

* Membocorkan kantung amniotik iaitu kantung seperti belon berisi air yang mengelilingi janin yang sedang membesar serta melindunginya daripada tekanan luaran.

Biasanya anda akan merasai kontraksi selepas beberapa jam kantung tersebut dibocorkan

* Menggunakan ubat oksitosin yang diberikan melalui sistem pembuluh darah di tangan anda

Kata Dr. Shah Reza, langkah-langkah tersebut di atas bertujuan agar kelahiran dapat berlaku secara normal.

“Walaubagaimanapun, kelahiran melalui pembedahan mungkin terpaksa diambil sekiranya situasi semasa (sama ada ibu atau bayi) bertukar menjadi situasi kecemasan yang boleh memudaratkan jika ditunggu lebih lama.’’

Doktor pakar perbidanan sudah tentu mahukan seorang ibu yang selamat dan bayi yang sihat melalui proses bersalin. Maklumlah, perjalanan mengandung anda sangat lama iaitu purata 280 hari!


Ditulis oleh:

Shafinaz Sheikh Maznan

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Pembedahan ETS Rawat Peluh Berlebihan

Boleh dikatakan, semua orang akan berpeluh apabila cuaca panas di luar. Kebanyakan daripada kita juga boleh menjangkakan peluh akan keluar jika bersenam.

Itu normal kerana badan menggunakan peluh untuk mengawal suhu badan. Terdapat antara dua hingga empat juta kelenjar peluh yang digunakan oleh sistem saraf untuk menyejukkan badan.

Tetapi, cuba bayangkan peluh keluar lebih banyak daripada diperlukan, sekalipun berada dalam persekitaran yang sejuk dan tidak menggunakan tenaga.

Sesetengah orang menderita peluh berlebihan di mana tangan dan kaki mereka berpeluh dengan banyaknya, membuatkan mereka menjauhkan diri daripada bersosial dengan masyarakat disebabkan oleh masalah yang memalukan ini.

Rambo (bukan nama sebenar) merupakan salah seorang daripada mereka. Dia hidup dengan peluh yang berlebihan tidak kira apa sahaja yang dilakukannya.

Remaja berusia 19 tahun ini juga mengalami kebasahan yang teruk serta kesejukan hampir kebanyakan masanya. Diagnosis Rambo mengatakan, dia menderita keadaan kronik yang dikenali sebagai hiperhidrosis.

Rambo sering mengelak daripada berjumpa orang lain kerana bimbang dicemuh. Oleh kerana itu, kawan-kawannya boleh dibilang dengan jari. Dia juga mengelak daripada bersalaman.

Semasa musim peperiksaan, pelajar di salah sebuah universiti tempatan itu tidak boleh menjawab dengan baik walaupun dia seorang yang pintar dan tahu apa jawapannya.

Kertas jawapannya basah lencun dan koyak dek peluh yang menitis dari tangannya. Perasaan cemas menghadapi peperiksaan memburukkan lagi keadaannya.

Pada masa lalu, mungkin penyelesaian kepada masalah hiperhidrosis ini adalah sangat terhad tetapi kini, prosedur pembedahan berteknologi tinggi mampu menawarkan kelegaan segera.

Jika sebelum ini, para penderita hiperhidrosis mungkin diminta mengelap tangan mereka menggunakan tuala atau menggunakan talkum, atau paling tidak menerima keadaan mereka seadanya, namun itu semua tidak mendatangkan kesan seperti diharapkan.

Mereka kini boleh memilih rawatan pembedahan ringkas yang secara relatifnya berisiko rendah dan mampu menyembuhkan hiperhidrosis hampir 100 peratus, sepanjang hayat.

Sayangnya, pembedahan kelenjar saraf - simpatektomi torasik endoskopi (ETS), kurang diketahui wujud di negara ini.

“Hiperhidrosis atau masalah peluh berlebihan sehingga boleh menitis dari badan bukanlah satu perkara yang boleh dianggap biasa.

“Walaupun ia bukan penyakit kategori berbahaya namun ia boleh menyebabkan gangguan psikologi,’’ kata Pakar Perunding Bedah Kardiotorasik, Jabatan Pembedahan Kardiotorasik, Institut Jantung Negara, Dr. Jeswant Dillon.

Beliau turut berkongsi pengalaman pesakitnya yang mengakui terpaksa memakai plastik di dalam kasut bagi menadah peluhnya.

Peluh seorang pesakit lain yang ditemuinya pula menitik apabila tangan diiringkan. Mereka memilih pakaian berwarna lebih gelap agar peluh tidak nampak terlalu ketara.

Menurutnya, baik lelaki mahu pun wanita dari semua peringkat umur boleh menghidap penyakit ini, terutamanya di kalangan anak muda berusia 20-an.

“Hiperhidrosis lazimnya bermula sejak kecil lagi yang mana jika dibiarkan tanpa rawatan, boleh berlarutan seumur hidup.

“Ia juga bersifat keturunan. Adalah dianggarkan, sebanyak 30 peratus daripada penghidap mewarisinya daripada ahli keluarga mereka,’’ ujar beliau.

Tambahnya, anak-anak yang dilahirkan oleh ibu bapa penghidap hiperhidrosis mempunyai kebarangkalian sehingga 25 peratus mendapat masalah serupa.

Punca

Sehingga kini, masih belum diketahui dengan tepat apakah yang menyebabkan perpeluhan yang berlebih-lebihan ini.

“Apa yang pasti, aktiviti saraf simpatetik keterlaluan memberikan rangsangan kepada kelenjar peluh yang normal.

“Ini menyebabkan kelenjar menghasilkan banyak peluh dalam masa yang singkat ,’’ kata Dr. Jeswant.

Mengulas lanjut, hiperhidrosis terbahagi kepada dua kategori iaitu primer yang tidak diketahui puncanya. Ia biasanya terjadi setempat pada tangan, kaki, ketiak dan muka. Masalah ini turut dikesan berlaku pada bahagian kepala, dada, belakang dan pangkal paha.

Kategori sekunder pula boleh terjadi pada keseluruhan badan disebabkan oleh jangkitan kulat, obesiti, penyakit autoimun, hipertiroidisme, menopaus, kehamilan, kencing manis, tumor, batuk kering mahupun gangguan psikiatri.

“Seseorang itu lazimnya tidak menyedari bahawa masalah peluh berlebihan ini merupakan satu penyakit sehinggalah sampai satu tahap mereka tidak selesa langsung,’’ jelasnya.

Apa yang membuatkan beliau tambah terkilan, tidak ramai pesakit yang tahu mengenai rawatan hiperhidrosis ETS tanpa torehan atau bukaan besar sebagaimana pembedahan konvensional.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1995, lebih 260 pembedahan ETS bagi merawat hiperhidrosis telah dilakukan di IJN.

Prosedur ETS

Umumnya, pesakit sama ada boleh dirawat melalui teknik pembedahan dan bukan pembedahan – bergantung kepada sejauh mana seriusnya masalah itu. Bukan semua pesakit memerlukan pembedahan.

ETS memberikan tumpuan terhadap sistem saraf tubuh iaitu rangkaian simpatetik yang bertanggungjawab melencongkan darah dari kulit seseorang ke organ-organ penting, bagi membolehkan anda menguruskan situasi cemas.

Apabila kecemasan berlaku, anggota seperti tangan menjadi sejuk dan mula merembeskan sejumlah besar peluh.

Di kalangan penghidap hiperhidrosis, sistem saraf simpatetik adalah sangat aktif lalu menghasilkan tindak balas secara lebih kerap.

“Usah biarkan masalah ini berlarutan sehingga boleh menjejaskan kualiti hidup. Berjumpalah dengan doktor pakar bagi mendapatkan diagnosis tepat serta rawatan yang bersesuaian.

“Jika pesakit dikenal pasti mengalami masalah-masalah kesihatan lain seperti kencing manis yang juga boleh menjadi punca masalah peluh berlebihan, mereka terlebih dahulu akan diberikan rawatan bagi penyakit terbabit,’’ kata Dr. Jeswant.

Menggunakan ETS, dua lubang kecil berukuran 0.5 sm akan dibuat di bawah ketiak pesakit yang dibius sepenuhnya.

“Doktor kemudiannya akan memasukkan tiub yang mempunyai penyuluh pada hujungnya menerusi salah satu lubang manakala lubang yang satu lagi dimasukkan dengan alat pembedahan.

“Tiub berlampu tersebut disambungkan ke skrin komputer yang digunakan oleh doktor pakar untuk melihat ke dalam tubuh pesakit bagi melakukan pembedahan.

“Sebaik dikenal pasti, beberapa sentimeter urat saraf simpatetik terbabit akan dipotong,’’ jelas beliau sambil menambah, pembedahan mungkin dilakukan di kedua-dua bawah ketiak kiri dan kanan, jika perlu.

Keseluruhan prosedur mengambil masa lebih kurang sejam dengan masa tinggal di hospital yang singkat, tiga ke empat hari.

Parut pembedahan yang ditinggalkan juga adalah sangat kecil, tidak mencacatkan dan terlindung di bawah ketiak. Faktor ini lazimnya menjadi keutamaan para pesakit khususnya, wanita.

Risikonya adalah kecil manakala komplikasi jarang berlaku. Jika pun ada, segelintir pesakit mungkin mengalami perpeluhan lebih banyak buat sementara waktu sahaja sebelum kembali normal.

Sebelum pembedahan berlangsung, pesakit dibius dan beransur-ansur tidak sedarkan diri – umpama tidur dalam bilik berhawa dingin. Tangan dan kaki mereka basah dan sejuk.

Beberapa jam selepas pembedahan dan kesan ubat bius semakin hilang, mereka kini mempunyai tangan yang kering.

Bagi pakar bedah yang terbabit, adalah sesuatu yang menyentuh hati menyaksikan reaksi mereka terhadap perubahan ini.

Lazimnya, perkara pertama yang pesakit lakukan adalah menyentuh tangan sendiri. Mereka teruja dan hampir tidak percaya, tangan yang selama ini basah bertukar kering dan terasa lebih hangat, buat pertama kalinya seumur hidup mereka.

Bagi insan seperti Rambo, ETS bukan sekadar mengeringkan tangan serta menghangatkan hari-harinya yang mendatang.

Lebih dari itu, ia membawa satu keyakinan baru ke dalam dirinya sekali gus mengakhiri ketakutan dan rasa malu serta rendah dirinya selama ini.

“Ia satu kelegaan yang amat sangat. Lega sungguh,’’ ucap Rambo penuh makna.

Lain-lain rawatan bukan pembedahan

* Ubat sapu atau deodoran antipeluh yang mengandungi aluminium klorida di dalam larutan alkohol

* Iontoporesis di mana bahagian yang mengalami peluh berlebihan akan dimasukkan di dalam larutan garam dan diberikan kejutan kecil elektrik berukuran 15 hingga 18 mA. Ia perlu diulang beberapa kali

* Setakat ini, tiada rawatan ubat-ubatan yang benar-benar berkesan. Pemberian ubat makan yang mengandungi ejen antikolinergik seperti glycophyrrolate dan amitriptyline bagi mengehadkan kegiatan saraf mendatangkan kesan sampingan yang ketara.

* Suntikan Botulinum Toxin (Botox) pada dos tertentu bagi melumpuhkan saraf yang merangsang kelenjar peluh terutamanya ketiak.

Walaubagaimanapun, ia kurang menjadi pilihan kerana perlu diulang antara enam hingga 12 bulan sekali menyebabkan rasa sakit, selain mahal.


Ditulis oleh:
Shafinaz Sheikh Maznan

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/