Peminat Setia Doktor Pakar

Saturday, March 15, 2008

Payudara: Apa Selain Kanser?

SOALAN:
Saya berumur 23 tahun dan masih bujang. Baru-baru ini, saya mendapati satu benjolan kecil telah timbul di bawah ketiak dan berasa sakit. Kalau boleh, saya ingin tahu, adakah benjolan itu merupakan sebahagian daripada tanda-tanda kanser payudara ataupun tidak?

Muniey

JAWAPAN:
Payudara seseorang wanita boleh berubah-ubah – mengikut kitaran haid, semasa mengandung, semasa penyusuan dan juga ketika putus haid (menopaus). Permasalahan boleh berlaku semasa perubahan ini.

Kebanyakan perubahan pada payudara tidak serius, tetapi harus diingat, sebarang keabnormalan yang ada lebih baik dikesan awal supaya perawatan dapat dijayakan dengan lebih berkesan.

Di antara yang serius adalah kanser payudara, selalunya itu sahaja yang kita tahu.

Terima kasih kepada sekian banyak program berkaitan yang dijalankan oleh pelbagai pihak sehingga menimbulkan kesedaran khalayak mengenai bahayanya walaupun ironinya, masih ramai wanita yang tidak melakukan pengesanan kanser payudara pada peringkat awal lagi.

Payudara terdiri daripada kelenjar-kelenjar, lapisan lemak dan tisu fibros yang tebal dan dipengaruhi oleh perubahan hormon wanita estrogen dan progesteron semasa kitaran haid.

‘‘Perubahan ini menyebabkan berlakunya perubahan cecair pada payudara terutama sekali di lapisan tisu fibros yang tebal dan ini menimbulkan kesakitan.

‘‘Perubahan juga berlaku semasa mengandung, penyusuan anak dan ketika menopaus,’’ kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr. Shah Reza Johan Noor.

Menurutnya, perancangan keluarga menggunakan hormon seperti pil perancang keluarga juga menyebabkan perubahan pada payudara, begitu juga sekiranya wanita menerima rawatan hormon menopaus dan juga implan payudara.

Masalah Payudara

Kebanyakan masalah payudara tidak mempunyai tanda-tanda yang ketara. Jadi, terpulang kepada wanita itu sendiri yang sepatutnya memeriksa sendiri payudara mereka.

Masalah payudara pada umur yang masih muda selalunya adalah tidak berbahaya (benigna). Lazimnya, di peringkat umur ini, tanda-tandanya adalah seperti:

* Benjolan/bengkakan yang dirasakan di satu tempat ataupun menyeluruh di payudara

* Keluarnya discaj/cairan dari puting payudara

* Rasa sakit di payudara

Masalah Payudara Benigna

‘‘Yang kerapkali merupakan perubahan sistik di mana payudara dirasakan seperti ada benda di dalam dan kadangkala rasa sakit. Kebiasaannya, kedua-dua payudara akan dirasai sedemikian.

‘‘Simptom lain seperti bengkakan, sakit apabila disentuh dan rasa gatal. Sista (sarung berisi cecair) juga mungkin terbentuk dan berubah mengikut kitaran haid dan semasa menopaus,’’ ujar Dr. Shah Reza. Lingkungan umur terlibat di antara 25 hingga 50 tahun.

Fibroadenoma pula berlaku di kalangan wanita yang muda, berupa bengkakan yang keras dan tidak berbahaya. Walau bagaimanapun, pemeriksaan pakar perlu dibuat untuk pengesahan.

Kanser Payudara

Boleh menyebabkan kematian, tetapi boleh dikesan awal dan seterusnya dirawat sekiranya pemeriksaan payudara seperti berikut dibuat:

* Mamografi: Ujian radiologi yang dijalankan terhadap payudara

* Pemeriksaan oleh doktor atau pakar sakit puan

* Pemeriksaan sendiri payudara (PSP)

Risiko Tinggi Kanser

* Genetik turun-temurun iaitu BCRA1 dan BCRA2

* Sejarah kanser payudara di kalangan ahli keluarga terutamanya ibu, saudara perempuan dan juga anak perempuan

* Sejarah perubatan sendiri iaitu kanser payudara, rahim (endometrium), telur (ovari) dan juga kanser usus (kolon)

* Kematangan usia

* Tidak pernah mengandung atau mula hamil melebihi umur 30 tahun

* Didatangi haid pada umur yang lebih awal (sebelum 12 tahun)

* Menopaus pada umur melebihi 55 tahun

* Tidak pernah menggunakan payudara untuk tujuan penyusuan bayi

* Badan yang gemuk selepas menopaus. Berat ideal boleh dikira dengan perbezaan tinggi dalam sentimeter dan ditolak 100. Contohnya, kalau tinggi 140sm, maka berat badan ideal adalah sekitar 40kg

* Pengambilan minuman beralkohol

* Penggunaan perawatan hormon semasa menopaus tanpa pemeriksaan doktor pakar

* Penggunaan pil perancang keluarga tanpa menjalani pemeriksaan perubatan berkala.

Risiko Berkurangan

* Mengandung awal, sebelum umur 20 tahun

* Telur dikeluarkan secara pembedahan sebelum umur 40 tahun

* Menopaus awal sebelum umur 50 tahun.

Pemeriksaan Fizikal Oleh Doktor

Selain pengambilan sejarah risiko, doktor akan meneliti bentuk payudara, perubahan pada kulit di kedua-dua payudara, kedudukan puting-puting dan juga pembengkakan pada tisu-tisu dalaman, jika ada.

Kelenjar limfa di bawah ketiak juga akan diperiksa. Pemeriksaan doktor perlu dibuat setahun sekali.

Mamografi

Pemeriksaan menggunakan kemudahan sinar-X atau radiasi. Ia masih lagi menjadi satu pemeriksaan gold standard bagi kanser payudara. Mereka yang telah mencecah usia lebih 50 tahun digalakkan menjalaninya setiap satu hingga dua tahun sekali.

Pemeriksaan Sendiri Payudara

Berdiri di hadapan cermin, perhatikan sama ada terdapat perubahan pada kedua-dua payudara semasa kedua-dua tangan di sisi dan juga semasa kedua-dua tangan berada di atas.

Perhatikan kepada bentuk simetri (sama ukurannya) di antara payudara kanan dan kiri.

Kemudian baring di lantai dengan bantal lembut di bawah bahu di mana payudara diperiksa, rasakan dengan tangan dan teliti apa-apa kehadiran benjolan ataupun pembengkakan pada jisim payudara dan juga di bawah ketiak.

Perlu diingatkan, perbandingan di antara kedua-dua payudara perlu dibuat.

Pilih salah satu daripada cara-cara berikut untuk menentukan kehadiran sesuatu pada jisim payudara

* Cara bulatan: Mulakan di bahagian atas payudara dan buat lingkungan atau gelung bermula dari luar dan secara perlahan-lahan ke arah dalam hingga ke bahagian puting. Pastikan tiada bahagian yang tidak diperiksa.

* Cara garisan: Mulakan di bahagian bawah ketiak dan bermula dari atas dan kemudiannya turun ke bawah sehingga melepasi payudara, dan naik kembali ke atas. Pastikan supaya semua bahagian disentuh.

* Cara bajian/pasakan: Bayangkan yang payudara dibahagikan kepada empat bahagian. Pemeriksaan perlu dibuat pada setiap kuadran (sukuan), bermula dari luar dan menuju ke puting payudara/bahagian tengah. Lakukan sedemikian pada kesemua bahagian payudara.

Jangan Lupa...

Walau apa pun kaedah yang digunakan, pastikan yang puting payudara diperiksa dengan meletakkannya di antara dua jari (mana-mana cara yang selesa) dan ditekan supaya apa-apa cairan yang ada terkeluar dari puting tersebut.

Dr. Shah Reza menyarankan: ‘‘Jangan lupa untuk merasai bahagian atas dada dan juga di bawah ketiak, kerana kedua-dua tempat ini juga mempunyai tisu-tisu payudara.

‘‘Tidak usahlah teragak-agak untuk berjumpa doktor dengan segera sekiranya anda mengenal pasti kelainan pada payudara anda.’’


Ditulis oleh:

Shafinaz Sheikh Maznan

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

4 comments:

  1. Remaja yang bermasalahJune 8, 2009 at 10:42 AM

    saya nak minta pendapat doktor tentang payu dara kecil. saya berumur 17 tahun dan tidak suka makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Tapi semenjak masuk alam remaja, saya cuba makan beberapa jenis buah-buahan dan sayur-sayuran. saya mendapati payu dara saya kecil berbanding remaja yang seusia dengan saya. Adakah disebabkan saya tidak makan buah-buahan dan sayur-sayuran merupakan faktor payu dara saya kecil? Bagaimanakah cara untuk saya mengatasi masalah ini?

    ReplyDelete
  2. saya ingin meminta penjelasan daripada doktor mengenai masalah ibu saya yang pada mulanya mengalami rasa panas di sekeliling payudara kanan. setelah beberapa bulan, rasa panas itu hilang dan disedari bahawa ketiak kanan ibu saya bengkak sedikit berbanding ketiak kirinya yang normal. apakah punca sebenar masalah ini berlaku?

    ReplyDelete
  3. saya telah berhenti menyusukan anak kira2 2 bulan yg lalu kerana puting akan luka apabila menyusu. Semenjak itu, ada kudis di puting kanan yang bernanah dan gatal. kudis tersebut semakin membesar. boleh Dr jelaskan ttg penyakit ini?

    ReplyDelete
  4. ingin bertanya adakah saiz payudara berbeza antara kiri dan kanan merupakan salah satu tanda abnormal? teriamakasih

    ReplyDelete