Peminat Setia Doktor Pakar

Tuesday, March 18, 2008

Pemeriksaan Awal Jamin Keselamatan Ibu Hamil


PEMERIKSAAN awal sehingga kandungan sarat amat penting dilakukan bagi memastikan bayi dalam kandungan sihat dan selamat.
Sebaik melihat alat ujian kehamilan anda menunjukkan tanda positif, perasaan teruja dan gembira tiba-tiba muncul. Yang pasti tidak lama lagi anda bakal bergelar ibu. Bermula saat ini anda harus memikirkan banyak perkara, bukan sahaja persediaan dari segi mental dan emosi tetapi juga fizikal.

Bagaimanapun, tidak semua bakal ibu dapat melaluinya dengan perasaan sama, sebaliknya kehamilan itu juga turut membawa kepada perasaan takut, cemas dan bimbang.

Ini diakui sendiri Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Universiti Kebangsaan (HUKM), Prof. Madya Dr. Tan Ay Eeng.

Katanya, perasaan sedemikian memang biasa dialami di kalangan bakal ibu, terutama yang baru pertama kali hamil.

Antara soalan yang dikenalpasti sering diutarakan kepada doktor pakar sakit puan ialah ‘Apakah bayi yang saya kandung ini normal atau tidak, ‘Bagaimana agaknya bentuk badan saya nanti’ atau ‘Bagaimana mengurangkan rasa sakit bersalin’?

Menurut Ay Eeng, kebimbangan itu tidak seharusnya berterusan kerana ia akan menganggu bakal ibu menikmati tempoh kehamilan yang disifatkan sebagai tempoh paling indah dan menakjubkan.

Ini kerana ketika hamil, ibu dan bayi dalam kandungan amat berhubung rapat.

Sekiranya emosi si ibu terganggu ketika itu, sama ada sedih, marah, tertekan dan sebagainya, bayi akan cepat merasainya.

‘‘Seharusnya, nikmatilah tempoh itu dengan penuh gembira dan ceria kerana bayi dapat mendengar dan merasai semasa dalam kandungan lagi,’’ katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk `Kehamilan Yang Selamat dan Selesa’ pada Seminar Asuhan Positif anjuran Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, baru-baru ini.

Menurut Eeng, antara perkara penting yang perlu dititik beratkan oleh setiap ibu hamil ialah soal kesejahteraan dan keselamatan bayi dan diri.

Ini kerana ia jaminan kepada kelahiran yang selamat dan sihat.

Katanya, pemeriksaan kesihatan sebelum hamil dan selepas disahkan hamil amat penting bagi setiap wanita.

Ini penting bagi mengenalpasti sebarang penyakit atau faktor-faktor yang boleh membawa risiko kepada kandungan seterusnya mendapatkan rawatan sewajarnya.

Gaya hidup yang sihat harus dijadikan amalan bagi memastikan kandungan sihat dan selamat.

Antaranya tidak merokok, menjauhi perokok kerana perokok pasif lebih terdedah kepada bahaya berbanding perokok aktif, tidak mengambil dadah dan minuman keras.

Ibu hamil juga tidak dibenarkan mengambil sebarang ubat-ubatan kecuali atas nasihat doktor.

Selain itu juga, mereka juga perlu peka terhadap keselamatan diri sama ada di rumah mahupun ditempat kerja.

Elakkan diri terdedah kepada bahan-bahan toksid yang boleh memudaratkan diri dan kandungan sebagai contoh bahan pencuci, cat dan sebagainya.

Paling penting pastikan persekitaran rumah bersih dan mempunyai pengudaraan yang baik.

‘‘Jika ibu hamil tidak menghadapi sebarang masalah, mereka boleh meneruskan aktiviti seperti bersenam secara ringan, mengembara dan melakukan kerja-kerja rumah.

‘‘Dari segi hubungan kelamin, jika tidak ada apa-apa yang boleh memudaratkan kandungan, ia harus diteruskan sehingga trimester ketiga kehamilan,’’ ujarnya.

Beliau juga memberitahu, sebaik disahkan hamil juga, bakal ibu perlu menjalani pemeriksaan antenatal dari trimester pertama bagi memudahkan doktor melihat keadaan kesihatan ibu serta perkembangan bayi.

Selain ujian air kencing, ibu hamil perlu menjalani ujian tekanan darah dan menimbang berat badan.

Pemeriksaan tersebut dilakukan bagi mengesan sebarang komplikasi seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan protein berlebihan dalam air kencing.

‘‘Pemeriksaan sebulan sekali sehingga kandungan berusia 28 minggu akan dilakukan, dua minggu sekali selepas 28 minggu hingga minggu ke 36 dan setiap minggu selepas minggu ke 36 hingga bayi dilahirkan,’’ ujarnya.

Sokongan ahli keluarga terutama suami dan ibu bapa juga katanya, turut mempengaruhi bakal ibu menjalani tempoh kehamilan dengan tenang dan selesa.

Beliau yang juga ahli panel Asuhan Positif itu turut menasihatkan agar setiap wanita membuat perancangan dan persediaan lebih awal sebelum hamil.

Maklumat mengenainya, bukan sahaja boleh diperoleh melalui bahan bacaan, tetapi juga nternet, televisyen serta seminar yang membincangkan perkara berkaitan.


Ditulis oleh:

Roslah Othman

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment