Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, March 05, 2008

Punca Pendengaran Terjejas

SOALAN:
Doktor, saya menghadapi masalah pendengaran. Pada masa tertentu pendengaran kurang jelas dengan sendirinya dan kemudian normal semula dengan sendiri.

Saya telah berjumpa doktor pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) untuk mendapatkan rawatan. Buat sementara waktu selepas itu pendengaran saya kembali normal.

Beberapa hari kemudian, masalah berkenaan berulang lagi. Doktor menyatakan masalah disebabkan oleh pengumpulan tahi telinga.

Saya sentiasa membersihkan telinga tetapi perkara ini tetap terjadi berulang kali dalam masa-masa tertentu.

Bagaimanakah caranya untuk mengatasi masalah pendengaran kurang jelas berulang kali ini?

Yang kurang jelas

JAWAPAN:
Seseorang mendengar dengan menggunakan telinga. Gelombang bunyi sampai ke deria pendengaran (koklea) melalui cuping ke gegendang dan tiga tulang kecil di telinga tengah.

Di koklea, gelombang ini dikesan dan dihantarkan ke otak melalui saraf pendengaran sebelum gelombang ini diterjemahkan sebagai bunyi tertentu daripada pelbagai jenis bunyi yang pernah didengar.

Oleh kerana masalah anda berlaku berulang kali dan kemudian kembali normal, terdapat dua kemungkinan besar yang mungkin menjadi penyebab masalah ini.

Salah satu adalah tahi telinga yang keras telah menghindar gelombang bunyi daripada sampai ke gegendang dengan sepenuhnya.

Penggunaan putik kapas untuk mengorek telinga harus dielakkan kerana tahi telinga di bahagian luar saluran telinga boleh ditolak masuk ke bahagian dalam dan boleh mengurangkan tahap pendengaran.

Satu lagi sebab ialah jika seseorang kerap selesema, ia boleh membawa kepada pengumpulan bendalir di telinga tengah yang akan mengurangkan pergerakan gegendang dan seterusnya mengurangkan penerimaan gelombang bunyi.

Masalah kerosakan saraf pendengaran juga boleh menyebabkan masalah yang sama. Pemeriksaan klinikal dan ujian pendengaran harus dibuat pada masa anda mengalami masalah pendengaran berkenaan bagi membolehkan diagnosis dan rawatan yang tepat diberikan.


Ditulis oleh:
Dr Loganathan Athanari
Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT),
Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment