Peminat Setia Doktor Pakar

Monday, March 17, 2008

Rawatan Kanser Prostat

Rawatan kanser prostat dikendalikan oleh gabungan dua doktor pakar, iaitu pakar urologi dan pakar kanser. Tidak semua pesakit kanser prostat mendapat rawatan yang sama.

Seseorang pesakit kanser prostat perlu memahami beberapa pilihan rawatan. Dengan dibantu oleh doktor pakar, pesakit perlu membuat pilihan rawatan yang sesuai dan paling baik untuk diri mereka.

Pilihan rawatan bergantung kepada dua faktor, iaitu faktor klinikal dan faktor psikologi. Para pesakit boleh berunding dengan pakar urologi, pakar onkologi dan pakar radioterapi.

Mereka boleh membantu pesakit untuk memilih cara rawatan yang sesuai. Berikut adalah pilihan rawatan kanser prostat:

1. Pengawasan yang aktif

Konsep pengawasan yang aktif atau tunggu dan lihat merupakan salah satu pilihan rawatan bagi mereka yang enggan membuat pembedahan atau radioterapi awal.

Ujian darah PSA setiap enam bulan dan membuat biopsi prostat setahun sekali. Sekiranya ada gejala atau ujian yang menunjukkan pembiakan kanser, rawatan mesti dilaksanakan.

Rawatan ini sangat sesuai bagi mereka yang mempunyai kanser prostat yang membiak secara perlahan ataupun kanser yang dikesan di peringkat awal. Ia juga sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah perubatan lain yang teruk.

2. Surgeri atau pembedahan

Rawatan ini boleh membuang kesemua atau sebahagian daripada kelenjar prostat. Pada amnya, bagi penyakit kanser prostat di peringkat awal, pakar urologi akan membuat prostatektomi radikal di mana keseluruhan kelenjar prostat dan sebahagian daripada tisu di sekeliling prostat akan dikeluarkan.

3. Terapi radiasi

Kaedah rawatan ini adalah membunuh sel-sel kanser menggunakan sinaran radiasi. Jenis terapi radiasi yang selalu digunakan adalah radioterapi sinar luaran.

Skan berkomputer (CT) dan pengimejan resonans magnetik (MRI) digunakan untuk menentukan kedudukan kanser tersebut. Kemudian sinar-x ditujukan ke arah kanser yang sudah dikenal pasti.

Satu lagi kaedah terapi radiasi adalah Terapi Radiasi Bermodulkan Intensiti (IMRT). Kaedah ini membolehkan pakar onkologi mempelbagaikan atau mengubah kekuatan radiasi pada kanser prostat dan juga organ- organ yang berhampiran dengan prostat. Ini boleh mengurangkan kerosakan pada tisu- tisu di sekitar prostat.

Brachytherapy merupakan salah satu cara terapi radiasi. Peluru kecil halus yang mengandungi bahan radioaktif iodin atau paladium dimasukkan ke dalam prostat melalui jarum. Radioaktif ini akan memusnahkan sel-sel kanser.

4. Terapi hormon

Sel-sel kanser prostat memerlukan testosteron untuk terus hidup dan membiak. Tujuan rawatan hormon adalah untuk mengurangkan tahap testosteron yang dikeluarkan oleh testis. Testosteron membantu pembiakan sel kanser prostat.

Tidak semua sel-sel prostat bergantung pada testosteron. Dalam kes ini, rawatan hormon tidak memberikan kesan. Oleh yang demikian, rawatan hormon bukan sesuatu langkah yang sempurna untuk merawat kanser prostat, tetapi ia merupakan satu langkah penting dalam rawatan kanser prostat yang sudah teruk.

5. Rawatan kemoterapi

Menggunakan bahan kimia untuk memusnahkan atau menghentikan pertumbuhan sel-sel kanser. Ia menahan sel-sel daripada membiak dan ini memberhentikan ketumbuhan dan menahan dari merebak.

Rawatan kemoterapi mempunyai banyak kesan sampingan jika dibandingkan dengan terapi hormon. Oleh yang demikian, kemoterapi hanya ditawarkan kepada pesakit kanser prostat yang tidak bergantung kepada hormon untuk membiak.


Ditulis oleh:
Dr Sulaiman Tamanang
Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear,
Pusat Kebangsaan Kanser, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment