Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label jerawat. Show all posts
Showing posts with label jerawat. Show all posts

Friday, September 14, 2012

Atasi Parut Jerawat

Meningkat usia remaja, imej di kalangan rakan-rakan terutama dari segi penampilan diri menjadi semakin penting.

Namun usaha tersebut sering digagalkan dengan 'kemunculan' jerawat pada wajah akibat daripada beberapa faktor termasuk perubahan hormon.

Memburukkan keadaan apabila jerawat yang muncul meninggalkan kesan parut yang sudah tentunya menjejaskan penampilan.

Kerisauan tersebut mungkin reda dengan kehadiran gel Hiruscar Post Acne, yang merupakan produk rawatan parut jerawat pertama diperkenalkan di Malaysia.

Pengarah Pemasaran Medinova AG Regional OTC, Pamela Tan, berkata, rumusan tiga dalam satu Hiruscar Post Acne telah diuji secara klinikal untuk menghilangkan parut jerawat dalam tiga langkah mudah.

"Tiga langkah tersebut ialah pertama, memulihkan dan melicinkan kulit parut jerawat yang dalam, kedua, mencerahkan bintik hitam dan mengurangkan kemerahan selepas jerawat pulih dan ketiga, mengelakkan jerawat daripada kembali semula melalui ciri anti bakterianya," katanya.

Menurut Tan, produk berbentuk gel itu mudah disapu, cepat meresap, tidak berminyak dan berbau harum.

Rumusan Hiruscar Post acne juga tidak menimbulkan alahan dan tidak mengakibatkan masalah kulit kerana ia tanpa alkohol bagi memastikan kulit tidak akan terasa hangat.

"Produk ini dirumus bagi kegunaan harian dan disarankan bagi kegunaan selepas serangan jerawat sahaja.

"Caranya mudah iaitu dengan pada bahagian yang perlu sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali setiap hari.

" Dengan cirinya yang mudah meresap, gel ini boleh digunakan bersama solekan harian dan boleh dijadikan amalan harian penjagaan kulit.

"Dengan penggunaan yang mematuhi saranan dan berpanjangan, parut jerawat akan kurang kelihatan dalam masa empat minggu," kata Tan lagi.

Sementara itu, salah seorang ahli pasukan sorak dari pasukan Vulcanz All-Girls, Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield, Subang Jaya, Selangor. Esther Erin Wong, 16, mengakui rutin harian sebagai pelajar dan ahli pasukan sorak yang terpaksa berlatih enam kali seminggu menyukarkannya untuk mengekalkan rutin penjagaan wajah.

"Jadual saya begitu padat dan saya biasanya mendapat hanya enam jam tidur setiap malam.

" Ini mengakibatkan kulit saya mudah berjerawat terutamanya. Saya tidak dapat mengelak daripada mendapat parut jerawat sebaik sahaja jerawat saya pulih," katanya yang ternyata lega kerana berjaya mengatasi masalah tersebut dengan Hiruscar Post Acne.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Thursday, October 27, 2011

Cara Laser Hilangkan Parut

Parut ini bukan sahaja menjejaskan paras rupa tetapi menyebabkan kehilangan keyakinan diri dan masalah psikologi.

Namun dengan adanya teknologi terkini, kesan parut jerawat dapat dirawat iaitu menggunakan teknologi laser "fractional CO2". Apabila laser disinarkan pada permukaan kulit, sinaran laser akan berpecah menjadi beberapa sinaran kecil yang akan membuat lubang-lubang luka kecil pada kulit. Apabila luka-luka kecil ini sembuh, kolagen yang baru akan terbentuk di bawah kulit menyebabkan permukaan kulit menjadi rata. Hanya sebanyak 20 peratus kulit akan mengenai sinaran laser tersebut, oleh itu bahagian kulit yang tidak mengenai sinaran tersebut akan cuba diperbaiki oleh bahagian yang telah dilaser. Oleh sebab itu, waktu pemulihan dari rawatan fractional CO2 laser ini dalam lingkungan tujuh hari sahaja.

Proses penyembuhan berlaku dengan menghasilkan kolagen. Kemerahan kulit berkurangan dan lapisan epidermis terhakis meninggalkan kulit yang lebih bermaya

Persiapan sebelum laser

Sebelum melalui rawatan laser, muka akan dirawat selama enam minggu dengan set penjagaan muka yang mengandungi sedikit asid, vitamin A dalam bentuk tretinon dan hydroquinone. Ini dilakukan supaya kulit bersedia untuk rawatan laser dan tidak menyebabkan tindakbalas negatif seperti pigmentasi atau jeragat.

Persiapan seminggu sebelum laser

Seminggu sebelum rawatan laser, disarankan mengguna set penjagaan muka yang "mild", tiada asid, tretinon atau hydroquinone.

Persiapan sewaktu rawatan laser

Muka akan dicuci, krim kebas akan disapu pada muka selama setengah jam, kemudian krim kebas akan dicuci. Kini, muka sudah sedia untuk rawatan laser. Sewaktu rawatan laser dilakukan, pesakit tidak merasa sakit kerana kulit telah dikebaskan. Selepas rawatan laser selesai, muka akan terasa panas. Kulit muka akan disejukkan dengan tuala sejuk atau "mask". Krim pelembap dan krim pelindung matahari disapu pada kulit.

Penjagaan kulit selepas rawatan laser

Muka akan kelihatan kemerah-merahan sedikit selepas rawatan laser. Sekiranya perlu boleh mengambil ubat antiinflammatori untuk mengurangkan kesan kemerah-merahan tersebut.

Selepas rawatan laser, disarankan mengguna set penjagaan muka yang dikhaskan supaya kulit dapat sembuh dengan cepat. Penggunaan krim pelembap dapat mempercepatkan kulit untuk sembuh.

Hindari kulit dari pancaran matahari untuk mengelak masalah pigmentasi "postinflammatory hyperpigmentation". Jangan sesekali mengopek kulit yang telah dilaser, biarkan ia kering dan jatuh dengan sendirinya. Selepas mencuci muka, laplah muka perlahan-lahan.

Sekiranya kulit berminyak, kulit akan sembuh 5 hingga 7 hari berbanding kulit kering 7 hingga 10 hari. Penggunaan serum seperti hyaluronic acid, vitamin C atau placenta oil dapat menyerlahkan lagi kulit selepas rawatan laser. Penggunaan krim pelindung matahari perlu diteruskan.

Bagi yang mempunyai masalah parut jerawat, rawatan laser perlu dilakukan setiap 4-6 minggu sekurang-kurangnya 4-5 kali. Sekiranya parut itu dalam, rawatan memakan masa lebih lama. Dengan hanya satu sesi rawatan laser, kulit akan terus menunjukkan perubahan positif sehingga enam bulan.

Rawatan fractional CO2 laser juga boleh menegangkan kulit dan mengecilkan liang pori-pori dengan merangsangkan pembinaan kolagen. Ketuat dan tahi lalat juga boleh dirawat dengan fractional CO2 laser ini. Selain itu, laser ini juga dapat menyerlahkan kulit muka. Rawatan fractional CO2 laser juga sesuai parut akibat kecederaan kecil.Penulis boleh dihubungi di 0378808486, 0172661868.

Ditulis oleh: Dr Nurhalina Azly Minhat
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Sunday, September 11, 2011

Tekanan Emosi Punca Jerawat

SOALAN:
Muka saya banyak ditumbuhi jerawat sejak akhir-akhir ini. Rakan saya memberitahu, ia berpunca daripada aturan tidur saya yang tidak menentu. Adakah perkara ini benar atau ia berpunca daripada makanan berminyak? Apakah yang perlu saya lakukan doktor.

JAWAPAN:
Jerawat adalah masalah anak remaja tetapi ia juga melibatkan orang dewasa. Jerawat terjadi bila kelenjar minyak mengeluarkan terlalu banyak minyak dan sebum di kulit terutamanya di muka, dada dan belakang. Punca jerawat boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Faktor hormon adalah penyebab utama jerawat bagi wanita dalam lingkungan umur subur.

Majoritinya adalah dalam lingkungan belasan tahun dan awal 20-an. Faktor seperti ahli keluarga yang banyak jerawat juga memainkan peranan. Penggunaan pil perancang, ubat steroid, vitamin B12, kosmetik, pakaian yang ketat atau apa saja yang menutup liang minyak menyebabkan masalah jerawat.

Sebahagian jerawat timbul dari ketegangan dan tekanan emosi yang dihadapi setiap hari. Ini mungkin dari penghasilan minyak dan sebum di kulit yang bertambah dan terdedah kepada asap dan bahan kimia atau faktor alam sekitar seperti cuaca panas. Kebanyakan jerawat akan hilang sendiri jika kulit sentiasa bersih dan sihat.

Tetapi sesetengahnya boleh menjadi teruk dan kronik.

Jerawat juga disebabkan oleh masalah gula dalam darah, radang kulit yang kronik dan juga stres yang melampau. Untuk pengetahuan anda, banyak jenis makanan yang boleh memburukkan lagi keadaan kulit anda yang sedia bermasalah dan seterusnya menyebabkan pertumbuhan jerawat.

Contohnya, jerawat akan tumbuh jika anda kekurangan tidur, menyedut udara yang tercemar dan juga menghadapi tekanan yang teruk akibat kerja dan hal peribadi. Jadi elok adik dapatkan rehat yang secukupnya kerana jerawat mungkin timbul dari perasaan tertekan dan bermasalah yang juga secara tak langsung boleh menganggu aturan tidur seseorang.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Thursday, February 18, 2010

Kuma-Kuma Hindar Jerawat

Kuma-kuma atau nama komersialnya saffran antara rempah-ratus yang cukup mahal dalam masakan. Tetapi jarang sekali kedengaran ia digunakan dalam industri kecantikan khususnya produk penjagaan wajah.

Tumbuhan kecil berwarna kuning daripada keluarga Iridacea ini ditanam di beberapa negara seperti Iran, Sepanyol, Turki, India dan Itali.

Ia merupakan rempah termahal di dunia kerana dianggarkan sebanyak 150,000 hingga 200,000 kuntum bunga kuma-kuma diperlukan bagi mendapatkan sebanyak satu kilogram stigma kering.

Pelbagai ujian klinikal oleh saintis dan pakar-pakar kimia mengesahkan bahan ekstrak kuma-kuma memiliki nilai perubatan yang tinggi seperti dapat mengubati jerawat dan penyakit kulit.

Perubatan Ayurveda sejak ribuan tahun telah menggunakan bahan ekstrak kuma-kuma dalam lebih daripada 20 jenis ubat-ubatannya.

Pemilik First Impression Beauty Saloon, Fahrina Sheek Daud berkata, rawatan wajah yang menggunakan bahan campuran kuma-kuma dan serbuk emas dapat membantu menegang dan mencerahkan kulit muka.

"Rawatan ini sesuai bagi wanita yang berumur 35 tahun ke atas kerana pada umur ini struktur kulit mula berubah sedikit demi sedikit.

"Rawatan yang mengambil masa selama satu setengah jam ini memulihkan kulit yang suram tadi agar nampak bersih, cerah, halus, tegang dan lembap," kata Fahrina yang telah menjalankan perniagaan kecantikan ini selama lapan tahun.

Langkah-langkah:

1. Mula-mula muka akan dibersihkan menggunakan pembersih muka yang mengandungi herba, buah-buahan dan kuma-kuma bagi pembersihan secara mendalam untuk kulit lebih berseri.

2. Setelah dibersihkan, skrub yang mengandungi minyak gandum, kuma-kuma, aprikot dan tanah liat merah disapu pada muka bagi menanggalkan sel kulit mati dan menjadikan kulit lebih lembut.

3. Masker minyak tea-tree yang dicampur vitamin E, D, minyak gandum dan lemon disapu pada muka selama 10 minit bagi mengecilkan pori-pori dan sebagai anti oksida dan menjadikan kulit bersinar.

4. Muka diurut menggunakan krim urut kuma-kuma bercampur jel serbuk emas selama 20 minit bagi menegang, menganjalkan kulit dan anti penuaan.

5. Muka disapu rata dengan masker pencerah yang mengandungi basil, tulsi dan minyak kuma-kuma bagi memberi lebih kelembapan. Akhir sekali, krim pelindung matahari disapu pada muka.


Ditulis oleh:
Meran Abu Bakar

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/