Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, September 30, 2009

Waspada Pulang Membawa H1N1

Puasa sudah, Raya pun sudah! Sekarang tiba masanya ramai warga Malaysia berangkat pulang ke tempat mencari rezeki masing-masing, meninggalkan kampung halaman dan keluarga.

Sekali lagi, sekumpulan besar manusia berpusu menggunakan pengangkutan awam mahupun persendirian, dalam arah bertentangan, kampung ke bandar.

Dan, sekali lagi ramai yang menghadapi risiko penularan virus Influenza A (H1N1). Jangan pula disangka diri sudah terselamat jika tidak dijangkiti ketika dalam perjalanan pulang ke kampung sebelum ini. H1N1 bukan sahaja boleh dibawa dari bandar ke desa, malahan dari desa ke bandar, terutamanya ketika dalam perjalanan, melalui sistem pengangkutan yang padat dengan penumpang.

Mengawasi

Teruskan langkah-langkah berwaspada terhadap penyebaran kuman, H1N1 ataupun mana-mana penyakit berjangkit lain ketika dalam perjalanan pulang. Anda tetap digalakkan membawa kit H1N1, termasuk topeng mulut dan hidung, pencuci tangan antiseptik (hand sanitizer) dan tisu, ke mana sahaja, untuk digunakan mengikut kesesuaian.

Pengusaha pengangkutan awam juga jangan alpa dengan arahan mewajibkan pemakaian topeng mulut dan hidung, di samping langkah pencegahan bersesuaian untuk para penumpang yang menunjukkan gejala selesema. Pakai topeng mulut dan hidung sepanjang masa di dalam pengangkutan awam dan terminal jika anda sendiri yang mengalami gejala selesema, tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi mengalami komplikasi akibat jangkitan H1N1 ataupun jika anda duduk berhampiran individu yang mempunyai gejala selesema!

Mereka yang mempunyai gejala selesema atau tidak sihat juga digalakkan menggunakan pengangkutan peribadi yang kurang sesak, ataupun menangguhkan perjalanan pulang bagi mengelakkan penyebaran kuman kepada penumpang lain. Pastikan anda sentiasa menggunakan tisu dan etika ketika batuk atau bersin, serta buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah supaya tidak mencari permukaan yang sering disentuh ramai. Cuci tangan menggunakan air dan sabun atau pencuci tangan antiseptik selepas membuang tisu, dan juga sekerap mungkin terutamanya selepas menyentuh permukaan yang mungkin tercemar di tempat tumpuan umum.

Pengasingan

Dalam suasana Hari Raya yang berterusan selama sebulan, pasti aktiviti kunjung-mengunjung dan bersalaman akan berterusan. Tambahan pula duit raya yang bertukar-tukar tangan. Cuci tangan anda sekerap mungkin selepas bersalam atau menyentuh apa-apa yang mungkin tercemar dengan kuman.

Elakkan terus dari menyertai majlis keramaian ataupun bertandang ke rumah rakan dan saudara (kenduri atau rumah terbuka) jika anda menunjukkan gejala selesema. Bagi yang sihat, elakkan diri dalam jarak sekurang-kurangnya satu (1) meter dari individu dengan gejala selesema. Semakin banyak kita bertemu dengan ramai individu, semakin tinggi risiko dijangkiti virus ini.

Bagi yang sakit atau menunjukkan gejala selesema, adalah lebih baik anda menyambung cuti supaya virus selesema (H1N1 ataupun bukan) tidak disebarkan kepada rakan lain di sekolah, institusi pengajian ataupun tempat kerja.

Ambil peluang cuti sakit untuk berehat di rumah dan memberikan peluang badan anda pulih. Minum air secukupnya, sama ada air kosong, air mineral, minuman isotonik, jus buah-buahan mahupun sup.

Para majikan pula diseru memberikan pengecualian untuk pekerja yang diberikan cuti sakit oleh doktor bagi mengelakkan sebahagian besar tenaga kerja jatuh sakit. Pekerja yang sakit pasti sukar menjalankan tugas mereka dengan baik, dan mungkin menjejaskan produktiviti keseluruhan organisasi jika menjangkiti pekerja-pekerja lain.

Teruskan amalan menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Amalan mencuci tangan dengan kerap dan adab ketika batuk dan bersin perlu diberi penekanan, bukan hanya untuk kebersihan diri serta persekitaran, malahan mengelakkan penyebaran sebarang kuman. Segera dapatkan rawatan doktor sekiranya gejala berlanjutan atau menjadi semakin teruk!

Ambil tahu perkembangan terkini wabak influenza A (H1N1) serta langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Pastikan kesihatan dan keselamatan untuk diri, keluarga dan rakan taulan. Bersama kita mengawal penularan H1N1 di musim perayaan ini!


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Tuesday, September 29, 2009

Alternatif Merawat Masalah Kolesterol

SOALAN:
Berdasarkan pengalaman lalu, tahap kolesterol darah saya boleh meningkat dengan ketara selepas sebulan perayaan. Bagaimanakah saya boleh mengawal peningkatan ini?


JAWAPAN:
Peningkatan paras kolesterol akan berlaku apabila kita mengambil makanan berkolesterol tinggi.

Pengambilan lemak trans akan meningkatkan kolesterol berbahaya (LDL) dan merendahkan kolesterol baik (HDL), seterusnya meningkatkan risiko penyakit jantung.

Lemak tepu banyak dijumpai dalam makanan berasaskan haiwan seperti lembu, kambing, lemak ayam, mentega, susu, keju dan produk tenusu yang lain. Oleh yang demikian, hadkan pengambilan makanan tersebut.

Bagi mereka yang mempunyai masalah kolesterol tinggi, pengambilan red yeast rice (beras yis merah) dan minyak ikan boleh membantu.

Red yeast rice diperolehi daripada penapaian beras dengan yis merah (Monascus purpures).

Red yeast rice mengandungi statin semula jadi yang menghalang penghasilan kolesterol dalam hati (sekitar 80 peratus kolesterol dihasilkan oleh hati) dengan merencatkan aktiviti enzim hydroxymethylglutaryl coenzyme A (HMG-CoA) reductase.

Minyak ikan laut pula kaya dengan asid lemak omega-3 dan bermanfaat untuk merendahkan paras trigliserida.

Selain itu, minyak ikan juga bermanfaat untuk:

1. Mengurangkan risiko aritmia yang boleh membawa kepada kematian mengejut

2. Mengurangkan risiko trombosis yang membawa kepada serangan jantung dan strok

3. Mengurangkan trigliserida dan paras kolesterol

4. Mengurangkan kadar pertumbuhan plak aterosklerotik

5. Merendahkan tekanan darah

6. Mengurangkan tindak balas keradangan

Hasil penyelidikan juga mendapati gabungan minyak ikan dan Red Yeast Rice ini berkesan untuk menangani peningkatan kolesterol dan kesannya menyamai ubat rawatan kolesterol.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Sunday, September 27, 2009

Langkah Awal Cegah Kanser Serviks

Hakikatnya, walaupun angka menunjukkan kanser pangkal rahim (serviks) merupakan kanser pembunuh kedua tertinggi wanita, masih ramai yang tidak berusaha mencegah penularan penyakit tersebut.

"Dua pertiga daripada pesakit hanya bertemu doktor selepas keadaan mereka kritikal," kata Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, American University of Beirut, Prof. Muhieddine Seoud.

Beliau yang juga merupakan Professor Klinikal berkata, apa yang paling penting adalah semua pihak patut mengambil langkah pencegahan awal bagi mengelak penyakit tersebut melarat.

"Suntikan vaksin virus papilloma manusia (HPV) adalah cara terbaik untuk menentang penyakit ini," katanya ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.

Beliau menyarankan agar kerajaan mungkin boleh memikirkan kaedah yang sesuai contohnya memberi suntikan vaksin HPV kepada remaja perempuan di sekolah seperti suntikan BCG dan sebagainya.

Menurutnya, vaksin HPV perlu diberikan sebelum mulanya aktiviti seksual memandangkan virus ini hanya boleh merebak melalui cara tersebut.

"Tambahan pula, tindak balas terhadap vaksin itu lebih berkesan bagi mereka pada usia muda," katanya lagi.

Walaubagaimanapun katanya, faktor kos mungkin menjadi halangan. Namun katanya, pelbagai alternatif boleh difikirkan termasuk mencipta vaksin sendiri.

Jelas Prof. Seoud, kanser pangkal rahim adalah disebabkan oleh virus HPV menyerang wanita tidak kira umur dan latar di seluruh dunia.

"Ia bermula di bahagian pangkal rahim (serviks) dan boleh merebak jika dibiarkan tanpa sebarang rawatan," katanya.

Menurut beliau, terdapat 100 jenis virus HPV yang kebanyakannya tidak merbahaya. Hanya 15 jenis yang boleh menyebabkan kanser, termasuk jenis biasa ditemui iaitu HPV 16, 18, 45 dan 31.

Gabungan HPV jenis 16 dan 18 dikenalpasti mengundang 70 peratus daripada kes kanser seluruh dunia.

Prof Seoud berkata, walaupun vaksin HPV tidak memberi perlindungan terhadap semua jenis virus, namun langkah pencegahannya wajar diambil agar pesakit tidak terbeban dengan kos rawatannya kelak.

Selain itu, pemeriksaan pap smear juga sama penting bagi mengesan sebarang keganjilan pada rahim.

Katanya, semua wanita yang pernah melakukan hubungan seksual terutama sekali yang aktif, perlu menjalani pemeriksaan berterusan.

"Di Amerika Syarikat setiap wanita diwajibkan menjalani pap smear setiap tahun, manakala di United Kingdom setiap tiga tahun," katanya.

Jelas beliau pemeriksaan berterusan penting memandangkan penyakit ini mengambil masa yang lama untuk berkembang iaitu antara 10 hingga 15 tahun.

"Di kebanyakan negara, hanya sejumlah kecil sahaja wanita yang menjalani pemeriksaan pap smear," katanya.

Kata beliau, dalam sesetengah kes, pengesanan awal berjaya menghalang virus HPV daripada merebak sehingga menyebabkan berlakunya kanser.

Ditanya sama ada mereka yang mendapatkan suntikan vaksin HPV masih terdedah kepada risiko kanser pangkal rahim, Prof Seoud berkata, kerana itulah perlunya ujian pap smear sebagai langkah pencegahan awal.

"Wanita tidak kira tua atau muda berisiko menghidap kanser pangkal rahim berikutan jangkitan baru atau jangkitan semula oleh HPV yang menyebabkan kanserpangkal rahim," katanya.

Menurutnya lagi, kebanyakan pesakit kanser pangkal rahimmenghidapainya ketika usia perdana iaitu masih bekerja dan mempunyai tanggungan anak yang masih kecil.

"Pencegahan kanser pangkal rahim adalah tanggung jawab semua. Sebagai wanita, anda berhak melindungi diri daripada pembunuh senyap ini," ujarnya lagi.


Ditulis oleh:
Bintu Rasyada A Rahman

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Saturday, September 26, 2009

Lingkaran Hayat

Ramai orang akan terkejut apabila mengetahui bahawa ilmu CPR (cardiopulmonary resuscitation) sahaja tidak mencukupi untuk membantu mangsa yang terhenti nafas serta degupan jantungnya. Orang ramai perlu membantu dengan langkah selanjutnya iaitu defibrilasi. Langkah-langkah ini termasuk dalam bantuan kecemasan yang dipanggil lingkaran hayat (chain of survival).

Terhenti

Lingkaran hayat merupakan empat lingkaran yang menerangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk membantu mangsa yang berhenti bernafas dan jantung terhenti.

Jika keempat-empat lingkaran ini dapat dilakukan dengan baik, kebarangkalian untuk mangsa tersebut dapat diselamatkan adalah lebih cerah.

Keempat-empat lingkaran itu ialah:

1) Pengaktifan jaringan perkhidmatan kecemasan dengan kadar yang segera.

2) Melakukan CPR dengan kadar yang segera.

3) Melakukan defibrilasi dengan kadar yang segera.

4) Memberikan perawatan jantung lanjutan dengan kadar yang segera.

Jika dilihat kepada lingkaran hayat ini, lingkaran 1 hingga 3 merupakan tindakan yang boleh dan seharusnya dilakukan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian.

Sementara lingkaran 4 pula merupakan perawatan jantung yang lebih canggih dan melibatkan paramedik dan doktor, menggunakan kelengkapan yang bersesuaian.

Perawatan canggih ini akan mengambil masa yang agak lama kerana perlu menunggu ketibaan ambulans.

Justeru itu, sangat penting untuk orang ramai mempunyai tahap kesedaran tinggi mengenai lingkaran hayat, agar lingakaran 1 hingga 3 dapat dilakukan secepat mungkin.

>> Pengaktifan Jaringan Perkhidmatan Kecemasan

Apabila seseorang melihat mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, dia hendaklah memberitahu orang ramai untuk menelefon hospital atau ambulans.

Projek 'Satu Bangsa, Satu Nombor' merupakan satu langkah bijak kerajaan memperkenalkan satu talian kecemasan untuk sebarang kes kecemasan.

Semenjak Julai 2007, talian 999 digunapakai oleh seluruh rakyat Malaysia untuk panggilan kecemasan.

>> Melakukan Resusitasi Jantung dan Paru-paru

Resusitasi jantung dan paru-paru (CPR) hendaklah dilakukan dengan kadar segera. Bagaimanapun, pastikan tiada bahaya yang boleh mengancam nyawa sendiri sebelum memulakan dengan menilai tahap respons atau kesedaran mangsa.

Panggil mangsa dan berikan tepukan pada bahunya. Jika tiada respons, lakukan langkah ABC beriku:

A: (airway) Mulakan dengan membuka saluran pernafasan. Dongakkan kepala dan langutkan dagu mangsa. Langkah ini penting untuk mengelakkan lidah mangsa menutup saluran pernafasan. Pastikan saluran pernafasan mangsa tidak tersekat dan tiada sebarang bendasing di dalamnya.

B: (breathing) Nilai tahap pernafasan mangsa dengan melihat kepada pergerakan dada. Gunakan telinga untuk mendengar bunyi pernafasan dan merasa dengan pipi sama ada terdapat hembusan angin pernafasan dari hidung mangsa atau tidak. Jika tiada pernafasan, berikan dua kali bantuan pernafasan. Bantuan pernafasan yang berjaya dapat dilihat kepada pergerakan dada mangsa yang naik dan turun.

C: (circulation) Jika tiada tanda-tanda hidup seperti bernafas, batuk, tersedak atau gerakan anggota, lakukan CPR pada mangsa tersebut. Pemeriksaan nadi tidak digalakkan kepada orang awam kerana kajian menunjukkan kebanyakan mereka tidak dapat mengenalpasti nadi dengan baik dan kebiasaannya mereka mengambil masa yang agak lama. Akibatnya, CPR tidak dilakukan dalam masa yang cepat.

>> CPR

Lakukan tekanan dada sebanyak 30 kali dengan kiraan yang pantas; diikuti dengan dua kali bantuan pernafasan.

Langkah ini hendaklah dilakukan secara berterusan sehingga kepenatan atau mangsa kembali pulih atau bantuan ambulans sampai.

Jika ada di antara orang ramai yang tahu cara untuk melakukan CPR, anda digalakkan membantu dan memperkenalkan diri anda dengan mengatakan "saya tahu bagaimana untuk melakukan CPR dan sedia membantu".

Melakukan CPR sememangnya memenatkan jika dilakukan seorang diri.

Terdapat 4 jenis rentakan jantung yang memerlukan CPR iaitu asystole (tiada langsung aliran elektrik jantung), aktiviti elektrik jantung tetapi tidak bernadi (pulseless electrical activity), takikardia ventrikular tidak bernadi dan fibrilasi ventrikular.

>> Melakukan defibrilasi dengan kadar yang segera

Defibrilasi merupakan satu kaedah di mana tenaga elektrik dalam kuantiti terapeutik dialirkan ke jantung mangsa untuk menghentikan arithmia dan mengembalikan rentak jantung yang normal.

Ia digunakan untuk pesakit yang jantung dan pernafasannya terhenti akibat fibrilasi ventrikular dan takikardia ventrikular tidak bernadi.

Berdasarkan Panduan CPR dan Perawatan Jantung Antarabangsa, defibrilasi merupakan antara kemajuan terhebat dalam perawatan resusitasi.

Ia mampu memulihkan mangsa yang mengidap fibrilasi ventrikular dan takikardia ventrikular tidak bernadi jika diberikan dalam minit-minit awal jantung dan pernafasan mangsa berhenti.

Justeru itu, semi-auto exsternal defibrilator (AED - automated external defibrillator) merupakan defibrilator mudah alih yang telah diperkenalkan untuk kegunaan orang ramai.

Ia mempunyai langkah-langkah pengendalian yang mudah dan selamat. Bagaimanapun, pastikan anda tidak menyentuh pesakit ketika aliran elektrik (shock) diberikan.

AED juga tidak sepatutnya digunakan di tempat-tempat yang basah kerana aliran elektrik boleh berlaku yang mungkin membahayakan nyawa individu berhampiran.

Dalam satu artikel yang diterbitkan oleh Malaysian Journal of Medical Sciences, saranan diberikan agar penduduk Malaysia mempelajari dan menghayati peri pentingnya CPR dan belajar menggunakan AED.

AED juga hendaklah diletakkan di tempat-tempat yang strategik. Di negara-negara maju, AED dengan mudah didapati di tempat-tempat awam dan anggota bomba dan polis juga diajar untuk menggunakan AED.

>> Memberikan perawatan jantung lanjutan dengan kadar segera

Apabila ambulans sudah sampai, CPR dan defibrilasi akan diambil alih oleh perkhidmatan kecemasan hospital.

Langkah ini memerlukan paramedik atau doktor terlatih dalam perawatan lanjutan.

Ubat-ubatan akan diberikan melalui aliran vena dan punca jantung dan pernafasan terhenti akan disiasat.

Jika lingkaran 1 hingga 3 dapat diberikan secara berkualiti, kemungkinan mangsa dapat diselamatkan adalah cerah.

>> Saranan

AED merupakan alat yang sangat penting dan disarankan kepada pihak yang berwajib agar ia ditempatkan di bangunan-bangunan Pentadbiran di Putrajaya, lapangan-lapangan terbang, di dalam setiap kapal terbang yang melibatkan penerbangan antarabangsa, Menara Berkembar Petronas, pelantar-pelantar minyak, pasar raya besar dan lain-lain tempat yang strategik.

Kecemasan boleh berlaku pada bila-bila masa dan hanya mereka yang bersedia sahaja mampu menghadapinya dengan baik.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Friday, September 25, 2009

Mengenal Demensia: Jejak Segera

Suatu pagi, ayah Arman yang berusia 80 tahun keluar bersiar-siar di sebuah taman permainan berdekatan kediamannya. Hairannya, pada hari itu tidak seperti hari-hari sebelum ini, ayahnya tidak balik ke rumah. jam sudah menunjukkan 9 pagi. Waktu beginilah mereka akan bersarapan bersama. Seorang jiran datang membawa balik ayah Arman. Arman terkejut, rupa-rupanya ayahnya hilang ingatan dan tidak tahu jalan pulang ke rumah.

Arman segera membawa ayahnya berjumpa doktor dan disahkan menghidap Alzheimer yang sering menyerang warga emas berusia 65 tahun ke atas namun peratusan paling tinggi pengidapnya ialah pada usia 85 tahun.

Sempena Aidilfitri tahun ini, Arman berharap dapat melakukan sesuatu demi membantu ayahnya.

Seperti kata doktor, persekitaran yang positif perlu dilaksana untuk membantu ayah Arman.

Penyakit Alzheimer adalah penyebab utama demensia (hilang ingatan atau tanpa minda) dan nyanyuk. Ia merangkumi 60 hingga 70 peratus daripada seluruh kes demensia. Penyakit Alzheimer dan demensia yang lain bersifat progresif dan merupakan penyakit degeneratif yang menyerang otak. Penyakit Alzheimer mempengaruhi kemampuan fungsi hidup seseorang dan memberi kesan terhadap semua aspek kehidupan diri mereka dan orang di sekeliling mereka, terutama mereka yang memberi penjagaan harian.

Setiap tahun, 4.6 juta kes baru demensia dilaporkan di seluruh dunia, satu kes baru setiap tujuh saat.

Menjelang tahun 2050, dianggarkan terdapat 100 juta pesakit demensia di seluruh dunia. Tiada satu negara pun yang siap menghadapi krisis sebesar ini.

Kurangnya kesedaran dan pemahaman terhadap penyakit Alzheimer mengakibatkan kekurangan sumber daya untuk menghadapi krisis ini. Di seluruh dunia, perhatian terhadap masalah yang makin berkembang ini sangat kecil sehingga kebanyakan mereka yang dijangkiti terus menderita tanpa bantuan atau harapan. Ini harus diubah! Kualiti hidup pesakit Alzheimer dan demensia yang lain boleh diubah. Seringkali, pesakit, keluarga dan penjaga mereka kurang mendapat sokongan yang diperlukan dan sepatutnya diterima.

Baru-baru ini, Yayasan Alzheimer Malaysia (Alzheimer's Disease Foundation Malaysia; ADFM) dengan kerjasama Norvatis Corporation Malaysia mengumumkan satu siri inisiatif sempena Hari Alzheimer Sedunia (WAD) 2009, termasuk Piagam Global Penyakit Alzheimer.

WAD yang diraikan pada 21 September setiap tahun, bertumpu kepada meningkatkan tahap kesedaran penyakit Alzheimer dan mengutarakan realiti hidup dengan penyakit otak yang bertambah susut.

Penaung ADFM, Puan Sri Wendy Ong berkata, kebanyakan rakyat Malaysia masih samar mengenai realiti penyakit Alzheimer.

"Kurang kesedaran dan kefahaman mengenainya mendorong kepada lebih banyak yang menderita kerana mereka sering ketinggalan dari mendapatkan bantuan penjagaan yang sewajarnya. Justeru itu, WAD akan menjadi satu cara bagi kami untuk menarik minat lebih ramai orang awam dan juga mendidik mereka untuk mendapatkan lebih banyak sokongan bagi penyakit ini," katanya.

Sebagai salah satu dari cabang penyakit demensia, penyakit Alzheimer dihidap 18 juta orang di seluruh dunia . Ia adalah sejenis penyakit yang progresif yang menyerang otak sehingga menyebabkan gangguan ingatan, fikiran, sikap dan fungsi aktiviti yang lain.

"Akibatnya, penyakit Alzhiemer memberikan impak yang besar kepada kehidupan pesakit Alzheimer pada keseluruhannya dan juga kehidupan orang yang menjaga mereka," terang Ketua Unit Geriatrik, Hospital Kuala Lumpur, Dr Lee Fatt Soon.

Sebagai satu inisiatif Penyakit Alzheimer Antarabangsa (Alzheimer's Disease International; ADI), tahun ini, WAD dengan tema, 'Mengenal Demensia: Jejak Segera', berhasrat untuk mendapatkan sokongan dari seluruh dunia untuk menitik beratkan betapa pentingnya mengenalpasti tanda awal penyakit Alzheimer.

"Ramai yang melakukan kesilapan dengan mengkaitkan penyakit Alzheimer dengan proses penuaan semulajadi sedangkan ia bukan begitu. WAD berharap dapat menyalurkan maklumat bahawa penyakit Alzhiemer adalah sejenis penyakit yang boleh dikawal dengan baik menerusi diagnosis dan rawatan awal, yang boleh membantu menjadikan hidup lebih baik bagi pesakit, orang yang menjaga dan keluarga mereka," tekan Dr Lee.

Piagam Global Penyakit Alzheimer

Menyedari perlunya penyakit Alzheimer diberikan lebih banyak pendedahan, satu kempen mengumpul tandatangan telah dilancarkan oleh Puan Sri Ong untuk mendapatkan sokongan bagi Piagam Global Penyakit Alzheimer yang disediakan oleh ADI. Piagam ini akan mendesak satu tindakan untuk mencari penyelesaian ke atas isu kesihatan umum yang semakin meningkat dan penjagaan kecemasan sosial yang disebabkan oleh penyakit Alzheimer dan demensia yang lain.

Piagam Global Penyakit Alzheimer mempunyai enam prinsip utama untuk menjadikan penyakit Alzheimer dan demensia yang lain sebagai satu keutamaan kesihatan global. Ia termasuklah:

1. Meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai penyakit itu.

2. Menghormati hak asasi mereka yang mengalami penyakit itu.

3. Menghargai peranan utama kaum keluarga dan penjaga.

4. Menyediakan akses kepada penjagaan kesihatan dan sosial.

5. Menekankan kepentingan rawatan yang optima selepas diagnosis.

6. Mengambil langkah pencegahan penyakit menerusi pembaikan dalam kesihatan awam.

Lain-lain Acara WAD

Kemuncak perayaan WAD Malaysia adalah acara awam yang akan diadakan pada 26 September di Pusat Penjagaan Harian ADFM di Seksyen 11, Petaling Jaya.

"Acara awam ini akan memberi pesakit, penjaga kesihatan dan keluarga mereka serta orang ramai peluang untuk bersuka ria melalui pelbagai aktiviti yang diselitkan dengan penyertaan orang ramai dan keluarga, secara tidak langsung akan mendidik dan meningkatkan kesedaran mereka mengenai penyakit Alzheimer," kata Puan Sri Ong.

Acara ini termasuklah satu ceramah khas untuk penjaga dan mereka yang berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang penyakit Alzheimer. Aktiviti lain yang dirancang adalah cabaran mainan, pertandingan susun suai gambar dan carian harta karun mini.

Selain itu, pada bulan ini, satu siri suara umum (PSA) akan ke udara melalui stesen-stesen radio sebagai peringatan mengenai WAD. PSA itu akan mengutarakan pelbagai fakta mengenai penyakit Alzheimer dan juga membincangkan Piagam Global Penyakit Alzheimer serta kempen tandatangan yang sedang dilangsungkan.

Untuk keterangan lanjut mengenai penyakit Alzheimer dan Hari Alzheimer Sedunia 2009, sila layari www.adfm.org.my.

Mengenai Alzheimer

>> Alzheimer bukan masalah wajib penuaan.

l Tidak semua orang tua akan diserang alzheimer tetapi semua pesakit alzheimer membabitkan orang tua berusia 80 tahun ke atas.

>> Malaysia dijangka memiliki ramai pesakit alzheimer seiring dengan peningkatan golongan tua di negara ini. Ketika ini dianggarkan 50,000 warga Malaysia didiagnos dengan alzheimer.

>> Alzheimer sebenarnya penyakit pada otak yang progresif dan boleh membawa maut. Ia merosakkan sel otak menyebabkan memori, pemikiran, tingkah laku terjejas dengan teruk

Mengenal Simptom Alzheimer

>> Lupa nama orang, nombor telefon dan hari bulan.

>> Lupa tempat yang selalu dikunjungi (rumah atau pejabat).

>> Sukar berfikir ketika bercakap, sukar mencari perkataan yang betul dan tertekan apabila membuat keputusan.

>> Membuat sesuatu perkara berulang kali dan sentiasa mencurigai.

>> Hilang minat pada perkara atau seseorang yang dulu disukainya.

>> Berubah tingkah laku dan personaliti.


Ditulis oleh:
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Memberus dan Pemilihan Berus Gigi

Berakhir sudah zaman pemilihan berus gigi sederhana yang mempunyai berus padat, sederhana dan lembut. Kini, berus gigi datang dalam bentuk dan warna berbeza. Kita perlu peka apabila memilih berus gigi kerana ini bukan sahaja dapat memastikan gigi sihat, tetapi juga untuk memastikan kesihatan gigi yang optimum.

Kita haruslah melihat beberapa faktor dalam pemilihan berus gigi:

>> Pilih berus gigi yang mempunyai berus lembut! Berus sederhana atau keras boleh menghakis bahagian dalam mulut dan memusnahkan tisu gusi jika digunakan berulang kali. Ia adalah baik untuk menggunakan berus gigi yang mempunyai berus silang pangkah kerana ianya boleh menanggalkan sisa-sisa makanan di kawasan yang sukar dicapai.

>> Pastikan berus gigi itu adalah saiz yang betul untuk anda. Berus bersaiz sederhana adalah yang terbaik untuk muat ke dalam mulut.

>> Carilah yang berkepala bulat. Berus yang berbentuk segi empat tepat menyukarkan lagi kita memberus gigi. Oleh itu carilah yang berkepala bulat.

>> Pegangan kuat. Pilihlah berus gigi yang mempunyai pemegang berkusyen yang kuat.

Berikut adalah lima mitos tentang memberus gigi yang anda harus ambil kira:

1. Berkongsi berus gigi tidak berbahaya.

>> Ini mungkin satu penyelesaian masalah yang senang apabila anda lupa membawa atau tersalah letak berus gigi anda di mana-mana, tapi ini tidak sepatutnya menjadi satu pilihan. Pertukaran cecair badan di antara mereka yang berkongsi berus gigi boleh menyebabkan seseorang individu berisiko mendapat jangkitan daripada bakteria yang menyebabkan pereputan gigi, penyakit gusi dan penyakit serius. Ini haruslah dipertimbangkan khususnya bagi mereka yang mempunyai sistem imuniti yang rendah dan penyakit berjangkit.

2. Berus yang sederhana melakukan kerja yang lebih baik daripada berus lembut.

>> Walaupun bunyinya logik, realitinya, berus sederhana lebih mendatangkan bahaya dengan mencederakan tisu gusi. Menggunakan teknik memberus gigi yang betul, dengan berus yang lembut adalah lebih berkesan untuk menanggalkan plak dan sisa-sisa makanan, serta meninggalkan permukaan gigi yang lebih bersih dan tisu gusi yang sihat. Dalam sesetengah kes, berus gigi yang lebih (amat) lembut mungkin disyorkan (bagi mereka yang mempunyai permukaan akar yang terbuka, hipersensitiviti, mereka yang telah melakukan terapi laser atau pembedahan periodontal). Jika anda tidak pasti, silalah tanya doktor gigi anda dan dapatkan nasihat tentang berus gigi yang terbaik bagi anda.

3. Oleh kerana saya memberus gigi dua hingga tiga kali sehari, saya tidak perlu berflos.

>> Walaupun memberus gigi setiap kali selepas waktu makan dan waktu snek mengurangkan risiko dan mengelakkan daripada pereputan gigi serta penyakit gusi, ini tidak dapat menggantikan flos. Flos dental masih merupakan cara paling berkesan untuk membersihkan kawasan sentuhan, juga permukaan gigi di bawah garisan gusi di mana berus gigi tidak dapat mencapainya.

4. Lebih besar kepala berus lebih banyaklah ia membersih.

>> Kepala berus gigi yang besar mungkin boleh meliputi lebih banyak kawasan di permukaan gigi, tetapi ia juga boleh menghalang anda daripada membersihkan kawasan yang sukar dicapai. Kepala berus gigi yang kompak dan kecil adalah lebih elok untuk masuk ke kawasan sukar dalam mulut dan lebih senang untuk membersihkan gusi di sepanjang garisan gusi, membolehkan anda memberus gigi dengan lebih cekap dan berkesan.

Berapa kerapkah saya perlu menggantikan berus gigi?

>> Apabila berus nampak leper dan haus (sesetengah berus gigi mempunyai petunjuk warna pudar), inilah masanya untuk mendapatkan berus gigi baru.

Anda seharusnya menggantikan berus gigi anda setiap tiga bulan. Ia juga adalah penting untuk menukar berus gigi anda selepas anda dijangkiti selesema (flu), kerana berus boleh mengumpul kuman yang boleh menyebabkan jangkitan.

Dengan memberus gigi anda sekurang- kurangnya dua kali sehari, dapat mengelakkan pereputan gigi dan penyakit gusi.

Berikut merupakan beberapa tip memberus gigi yang betul:

>> Berus gigi anda antara dua hingga tiga minit.

>> Elakkan daripada memberus dengan kuat.

>> Pegang berus gigi anda pada sudut 45 darjah dan berus gigi secara perlahan-lahan dengan lembut dari gigi, ke arah gusi.

>> Berus kesemua permukaan luaran dan dalaman.

>> Bersihkan ruang dan krevis di permukaan gigi mengunyah dengan sapuan lembut.

>> Bersihkan lidah untuk menanggalkan bakteria dan menyegarkan nafas.

Artikel ini dibawakan oleh Oral-B sempena kempen kesihatan oral 2009.

>> Sesetengah daripada maklumat ini diperolehi dari laman web Dentistry http://dentistry.about.com/


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Thursday, September 24, 2009

Sakit Kaki Pada Hari Raya

Menziarahi sanak saudara memang menjadi amalan biasa menjelang Syawal ini. Amalan ini dapat merapatkan tali silaturrahim di antara kita. Berapa jauh dan lamanya kita berdiri dan berjalan boleh juga memberikan kesan terhadap kesihatan kaki kita terutama jika kita telah mempunyai sejarah kesakitan kaki sebelum ini seperti pernah terseliuh atau patah.

Anda boleh mengalami kesakitan kaki di bahagian tapak kaki belakang atau dikenali plantar fasciitis, di bahagian depan kaki (metatarsalgia) atau sakit kaki yang menjalar hingga ke bahagian betis atau kaki hadapan anda atau dikenali shin splint. Banyak faktor-faktor yang boleh menyebabkan anda mengalami sakit kaki seperti:

>> Bentuk kaki yang leper dan rendah lengkungan bahagian dalam kaki atau dikenali Pes Planus

>> Bentuk kaki yang mempunyai lengkungan dalam yang tinggi yang dikenali sebagai Pes Cavus

>> Pemilihan kasut yang tidak betul seperti tiada penyokong lengkungan tapak kaki atau bertumit tinggi

>> Selepas kecederaan seperti patah atau terseliuh

>> Berat badan yang berlebihan seperti mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) melebihi 30 kilogram meter persegi (kg/m2)

>> Melakukan aktiviti di tempat yang keras tanpa kasut yang sesuai seperti melakukan joging di jalan berturap tar dengan memakai kasut sukan taekwando.

Bagi mengatasi sakit kaki semasa amalan ziarah ini anda perlu mengetahui faktor-faktor penyebab sakit kaki terlebih dahulu dan cara bagaimana anda dapat mengatasinya dengan:

>> Kekalkan berat badan dengan pemantauan BMI normal sekitar 18.5 hingga 25 kg/m2

>> Tidak memakai kasut bertumit tinggi atau sekurang-kurangnya tumit kasut tidak melebihi 1 inci

>> Memilih kasut yang sesuai mengikut aktiviti fizikal anda seperti lembut dan fleksibel pada tapak kasut serta mempunyai penyokong di bahagian lengkungan dalam dan lengkungan lintang di hadapan kaki

>> Anda perlu memiliki sepasang tapak kasut atau insole yang mempunyai ciri-ciri sokongan tapak kaki yang boleh digunapakai pada semua kasut anda jika sekiranya anda telah mempunyai banyak kasut dan tidak ingin membazir dengan membeli kasut lain.

>> Lakukan senaman kaki mengikut panduan ahli fisioterapi anda dengan senaman regangan plantar fascia dan senaman kekuatan otot kaki

Justeru, anda mampu mengenalpasti dan mengelakkan daripada mengalami sakit kaki menjelang Syawal ini walaupun anda mempunyai bentuk kaki yang tidak normal. Amalan ziarah juga bukanlah menjadi faktor utama penyebab sakit kaki jika sekiranya anda bijak memilih kasut yang sesuai selari dengan aktiviti yang anda lakukan.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Risiko Makan Banyak di Musim Raya

Siapa mampu menolak juadah pagi raya apabila lemang, ketupat dan rendang yang penuh menyelerakan terhidang di atas meja makan menunggu untuk dijamah.

Sementara menanti makan tengah hari, mulut mengunyah biskut raya dan kerepek sambil menonton rancangan menarik sempena raya di kaca televisyen.

Hampir semua hidangan mengandungi kadar lemak, gula, garam serta kolesterol yang tinggi. Itu belum dengan pelbagai jenis minuman manis yang sentiasa tersedia di dalam bekas air.

Begitulah lumrah pemakanan bagi kebanyakan individu setiap kali menjelang 1 Syawal. Puasa sebulan terus dibalas dengan makan dalam sehari.

Namun apakah risiko yang mungkin terjadi pada sistem perut dan penghadaman yang tiba-tiba dikejutkan dengan pemakanan mendadak ini?

Pakar pemakanan dari Iree Touch Sdn. Bhd., Ida Rafidah El-Emin memberitahu, dalam keadaan berpuasa, kadar metabolik turun kerana tidak banyak makanan untuk diproses.

Namun apabila hari raya individu yang makan terlalu banyak boleh mengakibatkan kadar metabolik mereka semakin tidak stabil.

"Kerana keadaan ini, individu yang makan berterusan akan mengalami penambahan berat badan secara mendadak, segala makanan yang masuk secara banyak itu tidak boleh dibakar oleh sistem metabolisme kerana keadaannya yang lemah selepas sebulan berpuasa," ujar Ida ketika ditemui di spanya yang terletak di Bandar Puteri, Puchong, Selangor.

Menurut Ida, apa yang sepatutnya dilakukan oleh individu pada pagi raya ialah makan alas perut seperti buah-buahan dan sayuran sebelum menikmati juadah sinonim pada hari raya seperti lemang dan rendang.

"Memang sesiapa pun tak boleh menolak juadah di pagi raya. Alas perut memang penting kerana apabila kita mengambil buah dan sayur yang kaya dengan serat, akan memberi lapisan kepada usus supaya lemak tidak diserap dengan banyak ke dalam darah. Antara buah yang baik dimakan ialah buah limau, epal hijau, kiwi dan salad," jelas Ida.

Tambahnya, seperkara lagi yang perlu dielak pada musim raya ialah pengambilan minuman yang mengandungi kafein.

"Kita perlu tahu bukan kopi dan teh sahaja yang mengandungi kafein, air bikarbonat juga mengandungi kafein.

"Pengambilan minuman berkafein bersama lemang, rendang dan sebagainya memang memudaratkan usus. Sebaiknya, apabila kita makan makanan berlemak, minumlah air suam dan jus buah sebagai alternatif.

"Salah satu cara penyerapan lemak terbaik untuk tubuh ialah pengambilan soy lecithin sebelum makan makanan berlemak.

"Makanan tambahan ini berfungsi sebagai penyerap lemak yang akan dikeluarkan melalui najis ketika membuang air besar," jelas Ida yang turut aktif memberi ceramah pemakanan sihat di hospital swasta sekitar Lembah Klang.

Ida menambah, kerepek adalah makanan yang perlu dielak kerana ia mengandungi oksida yang tinggi.

Bahan makanan bergoreng dan mengandungi oksida tinggi ini boleh menyebabkan badan dipenuhi dengan toksin dan sebagai penyelesaiannya mereka disarankan mengambil bahan anti oksida seperti vitamin A, C dan E.

"Jika mahu makan kerepek, pilihlah kerepek daripada jenis dipanggang seperti emping jagung. Jika suka makan kekacang pula pilihlah kacang parang atau kacang kuda yang mempunyai kandungan lemak baik atau omega yang tinggi.

"Jangan makan makanan mengandungi protein sekali gus. Sebagai contoh, makan ayam, daging, sotong dan ikan dalam satu masa, ini kerana usus hanya akan menghadamkan protein yang paling ringkas sahaja seperti ikan.

"Protein lain seperti daging dan sotong akan terus menjadi toksin yang sekiranya tidak dibuang akan menjadi penyebab penyakit seperti migrin dan masalah-masalah lain," katanya.

Risiko Makan Banyak

Menurut Ida, antara risiko yang boleh terjadi pada individu yang tidak mengawal pemakanan mereka pada musim raya ialah sembelit.

"Apabila sembelit berlaku, masalah seperti buasir akan timbul. Selain itu, usus juga boleh mengalami kecederaan dan sekali gus mengakibatkan sistem penghadaman kacau bilau.

"Ketika bulan puasa, pesakit darah tinggi atau kencing manis akan turun kadar glukos dan kolesterol tetapi naik mendadak pada musim raya. Kita tidak mahu bulan raya diserang penyakit berbahaya, sebab itu kena kawal makan.

"Sebaiknya buang air besar sekurang-kurangnya sekali sehari. Selain menikmati makanan yang sedap pada hari raya, pastikan juga minum air kosong lapan gelas sehari demi kesihatan yang optimum," pesannya.


Ditulis oleh:
Noor Fazrina Kamal

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Tuesday, September 22, 2009

Sihat dan Ceria Menyambut Lebaran

Ibu! Angah sakit perut. Dah tiga kali masuk tandas, macam mana nak pergi sembahyang Aidilfitri? Angah pula dah janji dengan kawan-kawan nak beraya nanti. Malulah kalau Angah tinggal di rumah sahaja nanti. Mungkin Angah makan banyak pagi tadi. Menyesal, tak dengar cakap ibu tadi," keluh seorang kanak-kanak berusia 11 tahun.

Ini antara cebisan kisah yang sering berlaku di pagi raya. Dalam kesibukan kita bergembira, mungkin kita tidak sedar tentang aspek kesihatan.

Bukan sahaja dari segi pemakanan, masyarakat perlu sedar tentang apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kecemasan seperti kemalangan, terluka, melecur akibat memasak atau bermain bunga api, cirit-birit dan bagaimana kita mendepani wabak selesema babi.

Justeru itu, sambil kita menyambut Aidilfitri, jangan lupa bersederhana dan menitik beratkan keselamatan.

Sempena lebaran hari ini, Pakar Perubatan dan Pernafasan Pantai Hospital Ampang, Dr Zal Abdul Rahim berkongsi beberapa petua kesihatan ketika beraya.

Diarrhoea

Diarrhoea atau cirit-birit boleh berlaku semasa musim perayaan jika seseorang itu termakan makanan yang termakan makanan yang tercemar. Makanan boleh tercemar jika bahan yang digunakan untuk penyediaannya berada dalam keadaan yang tidak bersih dan tidak dimasak dengan sempurna.

Selain itu, ia juga disebabkan makanan tidak disimpan dengan baik, makanan terdedah kepada pencemaran seperti lalat, lipas dan sebagainya.

" Makanan yang telah basi atau disimpan lama atau mereka yang terlibat dalam penyediaan makanan ini pembawa kuman tifoid, disentri atau salmonella. Pencemaran makanan selalunya berpunca daripada transmission fecaloral (keracunan makanan).

Jika kita makan terlalu banyak jenis makanan secara tiba-tiba, misalnya selepas berpuasa sebulan dan tiba-tiba pada hari raya kita makan pelbagai makanan), kita akan mengalami indigestion atau makanan tidak hadam dan ini menyebabkan seseorang itu sakit perut, muntah-muntah, sendawa dan cirit," katanya.

Menurut Dr Zal, jika seseorang itu mengalami demam, sakit sendi, lenguh badan, selesema muntah, sakit perut dan cirit.

Ia mungkin berpunca daripada demam virus yang kerap berlaku tidak kira masa sama ada musim perayaan atau pun tidak. Penghidap demam denggi dan demam selsema H1N1 juga boleh mengalami simptom yang serupa.

"Jika anda mengalami muntah yang kerap dan teruk, cirit yang berulang kali, sakit perut yang teruk, kekeringan atau kekurangan air dalam badan dan demam, anda boleh menjadi terlalu lemah dan ketidakseimbangan air dan garam dalam badan.

Ini akan membahayakan nyawa. Anda perlu berjumpa doktor atau mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

Jika simptom tidak begitu teruk, cuba elakkan dari terus memakan pelbagai makanan kerana makanan yang dimakan tidak boleh dihadamkan dengan sempurna.

Tidak dapat diserap oleh usus dan akan menyebabkan ciri semakin teruk. Elakkan dari mengambil susu dan cuba makan makanan yang ringkas seperti bubur atau roti," jelasnya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai minum ORS atau garam rehidrasi untuk menggantikan garam dan air yang hilang daripada badan.

Dalam pada itu, pastikan anda basuh tangan dengan sempurna selepas menggunakan tandas dan pastikan tandas dalam keadaan yang bersih kerana kuman boleh berpindah kepada orang lain jika pengguna tandas seterusnya tidak mencuci tangan dengan bersih atau sempurna.

Pemakanan Semasa Hari Raya

Tidak dapat dinafikan kebanyakan makanan kita adalah sedap dan enak. Makanan ini juga mengandungi banyak minyak, lemak, santan, garam dan gula.

Untuk mereka yang terlibat dalam penyediaan makanan ini harus mempunyai tanggungjawab dan kesedaran tentang bahaya makanan yang mengandungi lemak tepu yang tinggi, terlalu manis dan berlebihan garam.

"Kita mestilah bijak memilih bahan mentah yang digunakan dalam penyediaan makanan (jika memasak sendiri atau menempah).

Jika membeli makanan makanan yang telah siap dimasak, elakkan dari membeli makanan yang mengandungi minyak dan berlemak. Kurangkan memakan makanan bergoreng dan bersantan. Kurangkan pengambilan makanan manis dan minuman bergula seperti sirap dan kordial. Minum air kosong. Pengambilan kuih-muih, kek dan kerepek juga harus dihadkan," katanya.

Sekiranya kita sudah makan makanan yang berat, minum air kosong dan jangan ambil kuih-muih. Kuih-muih boleh dimakan pada hari yang lain.

Pemakanan Pesakit Diabetes

Hari raya selama sebulan dan ada banyak peluang untuk menjamu selera kerana sentiasa ada banyak rumah terbuka pada bulan Syawal.

Musim perayaan amat mencabar iman terutamanya pada penghidap kencing manis atau diabetes melitus. Hampir kesemua makanan mengandungi paras karbohidrat yang tinggi dan ini menyebabkan paras gula atau glukosa dalam darah meningkat dengan mendadak.

"Penghidap diabetes harus sedar dan mengambil langkah yang sesuai supaya paras glukosa berada dalam keadaan yang selamat. Mereka mesti mengambil ubat mereka seperti biasa. Jangan terlupa dalam kesibukan beraya, ubat tertinggal bila balik ke kampung, ubat tercicir atau hilang dan sebagainya," ujarnya.

Bagi mereka yang menyuntik insulin, jangan tertinggal suntikan, kadang kala insulin perlu ditambah jika dijangka penghidap diabetes akan makan lebih dari yang sepatutnya. Sila berbincang dengan doktor anda untuk penjelasan selanjutnya. Penghidap diabetes juga digalakkan untuk mengukur paras glukosa dalam darah (ujian Dextrostix) dari masa ke semasa.

Dari segi pemakanan, konsep yang sama mesti diamalkan tidak kira sama ada bulan puasa atau musim perayaan atau pada hari-hari biasa.

"Contohnya, untuk makan tengahari pesakit boleh makan nasi anggaran setengah mangkuk, dua hidangan sayuran hijau atau ulam dan satu hidangan protein seperti daging atau ayam atau ikan atau telur. Air minuman digalakkan minum air kosong. Pesakit diabetes boleh makan kerap kali tetapi dalam jumlah yang kecil. Jika penghidap diabetes telah makan agak banyak kuih-muih, jadi tidak perlu untuk makan nasi," ujarnya.

Jika penghidap diabetes tidak berasa sihat, segeralah berjumpa doktor dan tangguh sehingga selepas musim perayaan kerana selalunya paras gula sudah terlalu tinggi.

Selain itu, kandungan ketona juga amat tinggi, pesakit kekeringan dan boleh menjadi koma atau tidak sedar diri. Ini amat membahayakan nyawa dan membawa kematian jika lambat dirawat.

Persediaan Kecemasan / Kotak Kecemasan

First aid kit atau kotak kecemasan amatlah penting pada setiap rumah kerana ia mengandungi bantuan awal untuk sebarang kecemasan yang berlaku sebelum pesakit mendapat rawatan selanjutnya.

Namun, Dr. Zal memberitahu, kotak kecemasan bukan pengganti doktor.

Setiap keluarga sepatutnya mempunyai kotak kecemasan tidak kira sama ada semasa di rumah atau semasa perjalanan jauh.

"Kotak kecemasan biasanya mengandungi alat kecemasan seperti sterilized cotton gauze awb, sterilized gauze dan cotton wool pad, adhesive plasters, elastic bandages, triangular bandages, jangkasuhu, gunting, safety pins, pointed tweezers, ubat sapu seperti krim anti alergi atau gatal, losen antiseptik, ubatan yang ringkas seperti parasetamol, ubat alergi seperti anti histamin, ubat sakit perut seperti gellusil, ORS - garam rehidrasi," katanya.

Ubat yang disimpan ini mestilah diperiksa dari masa ke semasa, pastikan tarikh luput dan ia dalam keadaan baik. dapatkan nasihat doktor anda untuk ubat-ubat lain yang perlu dan ia juga bergantung kepada masalah kesihatan yang dialami oleh pemiliknya.

Jika ahli keluarga jatuh sakit pada hari raya dan jika kita tidak pasti apa puncanya dan pesakit kelihatan teruk seperti tidak bermaya, muntah dengan teruk, cirit yang berulang-ulang dengan demam panas, hendaklah segera berjumpa untuk penilaian dan rawatan sewajarnya.

Dalam pada itu, pesakit yang mempunyai masalah kesihatan yang kronik seperti diabetes, darah tinggi, sakit jantung dan telah berumur lanjut segeralah berjumpa doktor. Biasanya golongan ini tidak mempunyai daya tahan penyakit yang baik dan mudah jatuh sakit.

Terbakar

Sudah menjadi kelaziman, ramai kanak-kanak gemar bermain bunga api ketika musim perayaan. Orang dewasa pula sibuk membakar lemang dan memasak. Terbakar mungkin disebabkan haba api dan bahan kimia atau air panas mungkin boleh berlaku dalam kesibukan kita beraya.

Sekiranya ia terjadi, segera alihkan penyebab kecederaan. "Secara lembut dan berhati-hati alihkan pakaian, barang kemas, tali pinggang, jam dan sebagainya dari kawasan yang bermasalah. Alirkan air sejuk pada kawasan yang terbakar selama sepuluh hingga 15 minit. Tutup kawasan yang tercedera dengan sterile dressing dan bandage. Jangan sapu kim, losen, ointment, butter, minyak dan sebagainya. Jangan pecahkan blisters. Jangan gunakan dressing yang melekat," jelasnya.

Pendarahan

Luka dan terjatuh. Mungkin anda tidak menyedarinya ketika menyambut Aidilfitri. Lebih-lebih lagi, anda sekeluarga berkumpul dan pelbagai aktiviti dilakukan bersama. Jika anda mengalami pendarahan kerana luka, anda perlu mengehadkan kawasan yang berdarah dengan menggunakan pressure dan elevation.

"Tekan kawasan yang berdarah dengan tekanan dan elevation. Tekan kawsan yang luka atau berdarah dengan absorbent dressing selama 20 minit. Jika tiada anggota yang patah, bahagian yang luka boleh diangkat pada masa yang sama kekalkan tekanan pada kawasan yang berdarah. Jika pendarahan berterusan, tekan pada pembuluh darah arteri yang terdekat untuk mengurangkan pendarahan. Bersihkan kawasan berhampiran luka dengan air sejuk dan lap dengan pembalut kasa yang kering. Balut dan letakkan anggota yang terputus di dalam beg bersih dan diletakkan dalam bekas berais," katanya.

Menurut Dr. zal lagi, suntikan tetanus mungkin perlu diberikan. Jika berlaku pendarahan dari hidung, picit hidung dan gunakan tekanan erat sekurang-kurangnya lima minit. Jangan beri makanan atau minuman serta menyentuh objek yang terbenam dengan kuat di dalam kawasan yang luka.

Di samping itu, jangan tarik keluar objek yang terbenam dengan kuat di kawasan yang luka kerana ia mungkin menutup luka dan mengelakkan pendarahan yang lebih teruk.

Gigitan / Serangan Serangga.

Perkara ini mungkin terjadi setiap kali anda balik ke kampung halaman.

Anda mungkin digigit atau diserang serangga.

Kesannya, terdapat bekas gigitan, bengkak, sakit pada kawasan yang digigit, muntah, kesusahan bernafas atau menelan dan kesan alahan. Sekiranya ia berlaku, anda perlu tindakan segera

"Basuh dengan air suam atau antiseptik. Kemudian, keringkan. Sapu calamine losen kalau gatal. Tutup dengan balutan yang bersih. Plaster atau balut. Letakkan bungkusan ais sejuk untuk meredakan bengkak. Jika ada kesusahan bernafas segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Jangan sedut keluar bahagian yang disengat atau digigit ular dan sebaiknya anda hanya perlu kurangkan pendarahan. Terbaik, anda perlu segera berjumpa doktor," ujarnya.

Pandemik H1N1

Walaupun kita sibuk menyambut lebaran, jangan lupa berwaspada dengan penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Dr. Zal memberitahu, orang ramai yang ingin beraya, perlu memastikan keadaan kesihatan masing-masing baik.

Pastikan keadaan kesihatan membolehkan kita berjumpa dengan orang lain atau tidak.

"Sekiranya sakit, elakkan kalau beraya kecuali berjumpa dengan orang-orang penting seperti ibu dan bapa. Paling penting, basuh tangan selepas bersalam dengan orang lain," jelasnya.

Menyentuh tentang pemakaian topeng muka, mungkin ramai yang beranggapan, ia tidak sesuai di hari raya tetapi jika perlu, orang ramai mesti memakainya.

Dr. Zal menyarankan, setiap orang membasuh tangan, tutup mulut ketika batuk dan bersin.

Selain itu, tetapkan jarak dalam tiga kaki dan satu meter ketika berjumpa dengan orang lain.

Sekiranya kita sakit, sebaik-baiknya duduk di rumah dan berterus terang jika kita mempunyai simptom H1N1 dansegera berjumpa dengan doktor.


Ditulis oleh:
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Keperluan Darah di Musim Perayaan

Bukan berdoa, tapi inilah kenyataan - musim perayaan tidak dapat dipisahkan dengan kemalangan. Faktor utamanya adalah apabila semakin ramai pengguna di jalan raya, maka semakin tinggilah risiko berlakunya kemalangan. Mungkin ada pengguna yang terlalu gembira dan ingin cepat sampai ke destinasi sehingga mereka mengabaikan aspek keselamatan.

Dalam masa yang sama, bekalan darah di hospital semakin berkurangan untuk menampung permintaan terutama bagi pesakit yang cedera parah. Sebulan berpuasa menyebabkan ramai penderma turut 'berpuasa' menderma darah kerana kekurangan tenaga.

Apatah lagi saat tibanya satu Syawal, kesibukan menyambut hari yang bahagia menyebabkan perkara lain ditolak ke tepi.

"Ketika umat Islam merayakan Aidilfitri, mereka yang bukan Islam pula dalam mood bercuti, tentulah menderma darah menjadi perkara terakhir yang mereka fikirkan," kata Koordinator Nasional Kempen Derma Darah Pra Ramadan ANSARA (Persatuan Bekas Pelajar-pelajar Maktab Rendah Sains MARA), Dr. Halim Abu Bakar.

Kempen Derma Darah Pra Ramadan edisi ketiga yang dijalankan Ansara dengan kerjasama Pusat Darah Negara dan AEON Co. baru-baru ini berjaya mengumpul sebanyak 6,357 pain di 36 tempat seluruh Malaysia.

Melepasi sasaran awal iaitu sebanyak 6,000 pain, Dr. Halim berkata, kejayaan ini cukup membanggakan memandangkan empat lokasi terpaksa dibatalkan saat akhir berikutan kebimbangan penularan Influenza A H1N1.

Sebagai perbandingan, kempen ulung yang dijalankan pada 2007 hanya mengumpul 2,160 pain di 13 tempat di sekitar Semenanjung. Manakala kempen kedua tahun lalu sebanyak 4,138 pain berjaya dikumpulkan di 32 tempat termasuk empat di Sabah.

Kesemua darah ini dikumpul seminggu sebelum berpuasa bagi menampung kekurangan bekalan darah menjelang Ramadan disebabkan umat Islam berpuasa.

Menurut Dr. Halim, memandangkan hayat maksimum simpanan darah adalah selama 42 hari, ia hanya boleh digunakan bagi menampung bekalan sepanjang lebih kurang seminggu berhari raya.

"Selain kemalangan, bekalan darah juga diperlukan ibu bersalin, penghidap penyakit darah, pesakit yang menjalani pembedahan dan bermacam masalah kesihatan lain," ujarnya.

Untuk itu, diharapkan semua pihak tidak kira agama, kaum dan keturunan tampil untuk menderma darah bagi menampung keperluan di musim perayaan ini.

Bagi umat Islam yang sedang merayakan Aidilfitri, diharap kedatangan hari penuh kebahagiaan dan kegembiraan ini membuatkan kita tidak lupa kepada tanggung jawab sosial dan mereka yang memerlukan.

Kunjungilah mana-mana hospital kerajaan terdekat bagi menjayakan misi ini. Cuba bayangkan andai kita atau keluarga kita mengalami situasi cemas di mana memerlukan bekalan darah, tentunya kita tidak mahukan sesuatu yang buruk berlaku.

Namun, pastikan anda tidak tergolong dalam kumpulan berisiko, sama ada membahayakan penerima atau diri sendiri jika menderma darah .

Anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pendermaan darah dari laman web Pusat Darah Negara (PDN), www.pdn.gov.my atau dengan menghubungi talian 03-26933888.


Ditulis oleh:
Bintu Rasyada A. Rahman

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Kekalkan Cara Pemakanan Sihat

Setelah lebih tiga minggu berpuasa, umat Islam kini menghampiri penghujung Ramadan 1430 Hijrah. Begitu pantas masa berlalu, meninggalkan mereka yang alpa dengan tibanya minggu terakhir berpuasa.

Suasana puasa tahun ini mungkin agak hambar berikutan ancaman wabak Influenza A H1N1 dan isu-isu yang terus disensasikan. Namun, sebagai sebuah negara dengan masyarakat majmuk, acara-acara sepanjang Ramadan dan Syawal tetap dikongsi bersama, tanpa mengira bangsa dan agama.

Gastrik Puasa

Seperti tahun-tahun sebelum ini, masih ada umat Islam yang ditangkap kerana tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai. Bila ditahan, alasan yang paling biasa adalah gastritis (gastrik), tidak sihat atau terlupa.

Tidak dinafikan terdapat individu yang diperakui doktor bertauliah mempunyai masalah kesihatan mahupun gastrik teruk yang menyukarkan mereka berpuasa.

Bagaimana pula golongan yang hanya mengalami gastrik, sakit perut atau apa sahaja penyakit yang hanya menyerang di bulan Ramadan?

Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, yang juga merupakan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh berkongsi pengalaman memeriksa dan merawat mereka yang mengalami masalah sistem penghadaman di bulan puasa.

“Masalah sistem penghadaman boleh bermula dari esofagus, perut, usus kecil mahupun usus besar.

“Untuk masalah sistem penghadaman di bulan puasa, biasanya ia melibatkan bahagian esofagus, perut dan usus besar.”

Menurut beliau, biasanya terdapat dua kumpulan yang hadir dengan gejala gastrik, iaitu yang telah lama menghidap gastrik atau mereka yang cuma mengalami gastrik di bulan puasa.

Sesetengah pesakit yang mengadu mengalami kesakitan di bahagian abdomen ketika berpuasa mungkin bukan menipu, sebaliknya akibat kandungan asid perut yang tinggi.

Pesakit juga mungkin mengalami masalah perut yang sensitif terhadap asid, sedangkan paras asid perut adalah normal.

“Golongan remaja yang mengalami gastrik misalnya, ada yang tidak menunjukkan kesan luka di dalam perut (melalui ujian endoskopi).

“Masalah mungkin berpunca dari jumlah asid yang banyak atau perut menjadi sensitif terhadap asid,” jelasnya.

Dr. Ahmad Shukri menerangkan kandungan asid perut berlebihan boleh menyebabkannya naik ke esofagus dan membawa kepada rasa sakit atau panas di bahagian dada (heart burn) atau pedih ulu hati.

Jumlah asid perut yang tinggi mahupun penyakit refluks asid juga boleh menolak asid jauh ke atas, sehingga ke dalam mulut.

Pulih Puasa

Walaupun gastrik merupakan antara masalah yang biasa timbul dan dikaitkan dengan amalan berpuasa, ada juga yang sembuh darinya di bulan Ramadan.

Dr. Ahmad Shukri mendedahkan terdapat di kalangan pesakit yang kembali normal ketika berpuasa, mungkin akibat perubahan amalan pemakanan.

“Sebelum Ramadan, pesakit mungkin makan terlalu banyak, atau memilih makanan berminyak, berlemak atau berkarbonat.

“Tidak hairan juga mereka semakin pulih di bulan Ramadan memandangkan cara pemakanan pada waktu berkala (sahur dan berbuka puasa) sepanjang berpuasa, berbanding mereka yang makan tidak mengikut waktu, termasuk yang hanya makan bila perut sudah memberi syarat ‘sakit’ di ulu hati.”

Beliau turut menegaskan, golongan yang pulih masalah gastriknya di bulan puasa kebiasaannya tidak mempunyai kaitan dengan masalah ulser mahupun barah dalam salur penghadaman mereka.

“Pesakit gastrik biasa tidak menunjukkan gangguan selera makan mahupun penurunan mendadak berat badan.

“Golongan ini juga tidak menunjukkan gejala serius seperti muntah atau najis yang berdarah. Tanpa gejala serius, pesakit tidak perlu terlalu bimbang dengan masalah gastrik mereka,” ujarnya.

Namun, Dr. Ahmad Shukri bertegas mereka yang mengalami gastrik tidak mempunyai alasan untuk membiarkan diri mereka merana sehinggakan tidak mampu berpuasa.

Beliau memaklumkan kini terdapat bermacam bentuk rawatan untuk masalah gastrik dan sistem penghadaman, sama ada untuk mengurangkan asid perut, menyembuhkan luka, melancarkan pergerakan najis di dalam usus dan sebagainya.

“Mereka yang sudah mempunyai pengalaman diserang gastrik pada masa khusus, seperti ketika bulan puasa, perlulah menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan sebelum tibanya bulan Ramadan. Jangan biarkan diri merana!”

Selain gastrik, beliau menerangkan terdapat juga banyak kes sembelit di bulan puasa. Ini secara mudahnya dikaitkan dengan kekurangan air sehingga menyebabkan najis menjadi keras dan sukar dikeluarkan.

“Lama-kelamaan, najis yang sukar keluar akan membawa kepada masalah angin, tersumbat, kembung dan juga sakit perut.

“Sembelit juga boleh membawa kepada masalah buasir, terutamanya jika pesakit meneran dengan kuat sehingga menyebabkan salur darah di sekitar dubur membengkak dan berdarah,” katanya.

Untuk mengelakkan sembelit, pesakit dinasihatkan meningkatkan pengambilan serat dan juga air. Serat bukan sahaja memanjangkan rasa kenyang, malahan dapat menyimpan air.

Mereka yang mengalami gejala hilang selera dan penurunan mendadak berat badan turut diingatkan supaya lebih berjaga-jaga.

“Gejala tersebut, ditambah dengan sejarah keluarga yang mempunyai sejarah kanser (sama ada pada sistem penghadaman atau barah yang lain dalam keluarga), memerlukan perhatian rapi.

“Pesakit dinasihatkan menjalani pemeriksaan endoskopi (OGDS) sebelum atau selepas bulan puasa, ataupun pemeriksaan segera jika keadaan dilihat membahayakan kesihatan dan nyawa,” jelas Dr. Ahmad Shukri.

Beliau turut memaklumkan kemungkinan berlakunya gastrik (dispepsia) dengan ulser atau tanpa ulser, mahupun kanser yang berpunca dari aktiviti bakteria Helicobacter pylori yang berada di dalam perut dalam jangka masa yang lama, tanpa disedari.

Amalan Berbuka

Waktu berbuka boleh dikatakan waktu yang paling dinanti-nantikan umat Islam yang berpuasa, terutamanya anak-anak kecil yang baru belajar berpuasa.

Dr. Ahmad Shukri mengulangi peringatan supaya waktu berbuka dimulakan dengan sesuatu yang ringan terlebih dahulu, seperti buah-buahan atau buah kurma mengikut sunah Nabi.

“Solat dahulu selepas berbuka ringan dan makan berat selepas solat. Ini dapat merangsang pengeluaran asid dan enzim sistem penghadaman untuk menerima makanan yang berat.

“Elakkan mengambil banyak makanan berminyak atau berlemak kerana ini akan melambatkan fungsi sistem penghadaman. Kurangkan juga makanan pedas dan masam kerana ia akan menyebabkan perut kurang selesa,” jelasnya.

Walaupun pengambilan air yang cukup diberi penekanan, beliau menasihatkan mereka yang berpuasa untuk mengelakkan minuman berkafein kerana ia akan menyebabkan otot pencerut (sphincter) pada esofagus menjadi lemah dan membolehkan asid perut naik ke atas.

Dr. Ahmad Shukri turut menyarankan orang ramai mengelakkan amalan makan lewat malam, dekat dengan waktu tidur, mahupun terus tidur selepas makan. Ini katanya akan menyebabkan asid perut mudah naik ke dalam esofagus atau refluks asid sehingga boleh menyebabkan radang esofagus (oesophagitis).

“Walaupun di waktu malam bulan puasa, adalah lebih baik mengamalkan pengambilan makanan yang sedikit berulang kali daripada makan dengan banyak dalam satu hidangan.

“Jika anda perlu mengambil ubat tertentu, dapatkan nasihat doktor mengenai cara mengambilnya di bulan puasa. Mungkin sekali di waktu sahur dan sekali di waktu berbuka.”

Seperti mana digalakkan mempercepatkan berbuka puasa, mereka yang berpuasa turut digalakkan melewatkan waktu bersahur mengikut sunah Nabi.

“Ini dapat mengurangkan tempoh perut kosong dan memudahkan amalan berpuasa,” kata Dr. Ahmad Shukri.

Dugaan Raya

Tidak dapat dinafikan kehadiran Syawal amat dinanti-nantikan ramai umat Islam, ada di antaranya sehingga terlupa akan segala keberkatan dan kelebihan Ramadan.

Walaupun Ramadan tahun ini membawa dugaan-dugaan tertentu kepada umat Islam, bagi Dr. Ahmad Shukri, Hari Raya Aidilfitri itu sendiri membawa dugaan yang besar.

“Besar dugaannya di Hari Raya. Bermacam juadah terhidang dan begitu mudah untuk kita lupa diri selepas sebulan menahan lapar dan dahaga.

“Perlu diingatkan, perut kita perlu diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga angin dan hanya satu pertiga ruang untuk makanan. Akan menjadi beban besar jika kita makan terlalu banyak.”

Selepas sebulan dilatih mengamalkan pemakanan teratur, dua kali sehari (pagi dan malam) di bulan Ramadan, sikap melahap bukan sahaja akan membebankan perut, malahan organ lain juga (seperti pankreas).

Dr. Ahmad Shukri memaklumkan amalan makan berulang kali sepanjang hari selepas tamatnya bulan puasa akan menyebabkan sistem penghadaman menjadi berkecamuk akibat campuran bermacam jenis makanan.

“Tambahan lagi, jika seseorang itu mempunyai alahan (intolerence) terhadap bahan atau makanan tertentu.

“Mungkin sukar untuk mengesan bahan atau makanan berkenaan (seperti kacang atau susu) memandangkan telah dicampurkan ke dalam hidangan Raya,” jelasnya.

Cara makan juga memainkan peranan penting! Beliau mencadangkan amalan mengunyah dilakukan lebih lama dari biasa dan bukannya terus menelan apa yang dimasukkan ke dalam mulut.

Ini bagi membolehkan perut dan usus bersedia dengan mengeluarkan asid dan enzim yang diperlukan untuk penghadaman.

Selain jumlah dan jenis makanan, perkara yang penting untuk diperhatikan adalah tahap kebersihan makanan.

Masalah kebersihan makanan telah dibangkitkan sepanjang bulan Ramadan hasil jualan makanan yang tercemar mahupun telah basi di beberapa gerai bazar Ramadan.

Ini juga mungkin berlaku ketika menjamah makanan di rumah terbuka ataupun ketika bertandang ke rumah rakan dan saudara-mara, terutamanya jika makanan telah lama dihidangkan atau terdedah kepada lalat dan serangga.

“Pengambilan kuih raya yang banyak juga perlu diberi perhatian terutamanya kepada mereka yang menghidap kencing manis dan darah tinggi.

“Ini memandangkan banyak kuih raya yang dijual secara komersial kini mempunyai banyak gula, kolesterol dan bahan sampingan lain, mengikut cara kuih itu dimasak.”

Dr. Ahmad Shukri turut mengingatkan mereka yang mempunyai penyakit tertentu supaya beringat dan mengambil ubat di pagi Raya sebelum keluar bertandang ke rumah rakan dan saudara.

“Mereka yang mempunyai masalah perut (seperti gastrik) perlu mengelak dari mengambil terlalu banyak makanan berlemak ataupun minuman berkarbonat.

“Adalah lebih elok jika mengambil sedikit makanan ringan di rumah sebelum keluar. Walaupun ingin menjaga hati tuan rumah, jangan sampai merosak hati dan perut sendiri,” katanya.

Beliau sekali lagi mengingatkan semua umat Islam supaya tidak memusnahkan segala manfaat yang dikumpul dengan berpuasa sepanjang Ramadan.

Tegasnya, puasa selama sebulan telah membolehkan sistem penghadaman berehat dan merupakan satu titik permulaan untuk kita semua mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang.

“Jangan pula kita jadikan sambutan Hari Raya alasan untuk memusnahkan segala kelebihan berpuasa di bulan Ramadan.

“Di penghujung Ramadan, di permulaan Syawal, jadikan titik permulaan untuk hidup sihat dan kekalkan amalan pemakanan yang teratur dan seimbang!”


Ditulis oleh:
Nurul Anuar Kari

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Monday, September 21, 2009

Beringat Sambil Beraya

Hari Raya Aidilfitri, pada 1 Syawal 1430 Hijrah semakin hampir. Rata-rata dapat dilihat umat Islam mula membuat persediaan menyambut hari lebaran. Ramai berpusu-pusu membeli baju, peralatan rumah baru dan juga kuih raya.

Tidak kurang juga golongan yang berhijrah mencari rezeki, mencari-cari pengangkutan untuk pulang ke kampung tatkala kebanyakan tiket pengangkutan awam telah habis dijual.

Minggu terakhir berpuasa ini juga dikatakan membawa banyak dugaan, kebanyakannya kerana ramai di antara kita yang tidak sabar menantikan ketibaan Syawal. Namun, jangan dilupa 10 hari terakhir Ramadan membawa lebih banyak kebaikan, di antaranya tersembunyi malam keberkatan Lailatul Qadar.

Waspada

Bagi tahun-tahun sebelum ini, tumpuan utama di minggu terakhir Ramadan adalah keselamatan orang ramai yang bergerak pulang ke kampung. Ini kerana musim perayaan juga merupakan musim banyak kemalangan berlaku, tidak kira di kalangan pengangkutan awam mahupun persendirian.

Tahun ini, keselamatan tetap menjadi agenda utama! Tetapi, tumpuan kini perlu dibahagikan bersama untuk kesihatan penumpang, terutamanya yang menaiki pengangkutan awam.

Kehadiran Influenza A H1N1 di musim perayaan ini memerlukan kita lebih berhati-hati di tempat tumpuan umum, terutamanya yang padat. Ini bukan sahaja di dalam kenderaan awam, malahan di terminal pengangkutan!

Dengan mengelakkan jangkitan semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman, kita bukan sahaja melindungi diri, malahan akan melindungi ahli keluarga di kampung dari ancaman H1N1. Ini paling penting bagi mereka yang kembali ke pangkuan ibu bapa yang uzur atau tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi mengalami komplikasi jika dijangkiti H1N1.

Bukan H1N1 semata-mata, kita juga perlu berwaspada dengan tahap kesihatan diri. Mereka yang sakit, tidak kira selesema, demam, pening atau sebarang penyakit yang menjejaskan fungsi deria, perlu lebih berwaspada di jalan raya.

Berhati-hati ketika memandu dan pastikan penyakit yang dihidapi tidak disebar kepada orang lain jika anda menjadi penumpang. Bagi yang mengalami gejala selesema mahupun kumpulan berisiko, gunakan topeng mulut dan hidung jika berada di tempat tumpuan umum yang padat.

Selagi boleh, gunakan bahan pencuci tangan antiseptik untuk mengelakkan penyebaran kuman, dari permukaan yang disentuh tangan, kepada diri dan ahli keluarga. Kesemua langkah pencegahan ini juga tidak menelan belanja yang besar, jauh sekali jika dibandingkan dengan nyawa insan tersayang.

Kepulangan

Dalam perjalanan pulang, pasti ramai yang terbayang-bayang wajah keluarga yang menunggu di kampung. Bermacam rancangan bertandang, bersahur, berbuka dan sambutan Hari Raya dirancang.

Walaupun baru di hari-hari terakhir Ramadan, pasti ramai yang sudah mula kunjung-mengunjung sesama sanak-saudara. Di sini, perlu diingatkan sekali lagi supaya kita semua lebih berwaspada. Dalam suasana gembira, jangan dibiar ada detik duka!

Bagi yang sakit, terutamanya gejala selesema, pastikan anda tidak menghabiskan banyak masa di tempat tumpuan umum, rumah saudara-mara, serta kurangkan hubungan terus dengan ahli keluarga, selagi boleh. Ini bukan sahaja bagi mengelakkan penularan H1N1 malahan dapat memberi anda lebih peluang berehat dan pulih.

Mereka yang mengalami sebarang bentuk penyakit, jangkitan kuman mahupun penyakit kronik juga perlu bijak menilai situasi diri. Dapatkan nasihat dan rawatan doktor jika tahap kesihatan diri semakin teruk. Bagi yang mempunyai keperluan perubatan berpanjangan, pastikan bekalan ubat mencukupi untuk sepanjang musim perayaan di kampung halaman.

Lebih penting lagi, kawal tabiat pemakanan anda dalam suasana keseronokan Hari Raya! Jangan menjadi pelahap sehingga tidak cukup tangan mencuba pelbagai hidangan lazat ketika berbuka, mahupun hidangan Hari Raya.

Ini terutamanya untuk mereka yang mempunyai penyakit kronik, seperti diabetes dan tekanan darah tinggi. Perlu lebih berwaspada dengan apa yang dimakan.

Timbunan daging yang lazat, kuih raya yang manis, di setiap rumah yang dikunjungi. Berhati-hati dan berpada-pada. Jangan biarkan pilihan anda di Hari Raya menjadikan Ramadan dan Syawal ini terakhir untuk anda!


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Elak H1N1 Gugat Hari Raya Anda

Balik kampung! Dinantikan ramai warga kota yang merantau mencari rezeki dan juga keluarga mereka di kampung.

Namun, di sebalik kemunculan wabak Influenza A (H1N1) tahun ini, orang ramai dinasihatkan mengambil langkah pencegahan supaya tidak dijangkiti mahupun menjangkiti orang tersayang.

Pulang

Virus H1N1 boleh menjangkiti kita semasa dalam perjalanan pulang, atau kita mungkin membawa pulang virus tersebut kepada keluarga di kampung.

Oleh itu, jangan alpa dan sentiasa berwaspada demi keselamatan diri dan keluarga. Pastikan anda sentiasa membawa bersama topeng mulut dan hidung serta bahan pencuci tangan antiseptik untuk waktu-waktu yang memerlukannya.

Bagi yang mempunyai gejala selesema atau tergolong sebagai individu berisiko tinggi mengalami komplikasi jika dijangkiti H1N1, anda perlu memaki topeng mulut dan hidung di tempat tumpuan umum yang sesak. Pastikan juga tangan anda sentiasa bersih.

Jika sudah mula demam atau menunjukkan gejala selesema, pastikan anda mengasingkan diri demi keselamatan ahli keluarga, saudara mara dan juga masyarakat umum.

Bersabarlah sekitar satu minggu dari hari mula mengalami gejala selesema untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga dan rakan. Jangan jadikan nyawa mereka sebagai pertaruhan.

Berhemah

Gunakan masa pengasingan diri untuk berehat dan memulihkan badan. Tetapi, jika keadaan semakin teruk atau tanda amaran mula muncul, dapatkan rawatan dengan secepat mungkin.

Jangan pentingkan diri! Jika ada mempunyai gejala selesema, elakkan ke tempat tumpuan seperti rumah terbuka, majlis kenduri mahupun sembahyang berjemaah bagi mengelakkan virus H1N1 disebarkan kepada orang lain.

Dengan amalan bersalam di musim perayaan, pastikan juga anda sentiasa membawa dan menggunakan pencuci tangan antiseptik, atau basuh tangan dengan air dan sabun sekerap mungkin selepas bersalam.

Jika tidak sihat atau gejala selesema timbul selepas pulang dari kampung halaman, anda dinasihatkan menyambung cuti dan elakkan diri pergi ke sekolah, institusi pengajian atau ke tempat kerja.

Bagi pengendali sistem pengangkutan awam pula, pastikan anda menyediakan pencuci tangan antiseptik serta topeng mulut dan hidung untuk penumpang yang memerlukannya.

Jika ada penumpang yang sakit, usahakan supaya penumpang berkenaan tidak bergaul rapat dengan penumpang lain yang tiada gejala selesema.

Ingatlah, pencegahan Influenza A H1N1 bukan hanya untuk melindungi diri, malahan untuk keselamatan bersama keluarga dan sahabat handai.

Bersama kita mengawal penularan wabak ini dan melindungi diri, keluarga dan negara dari pandemik Influenza A H1N1.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Sakit Belakang Berkemas Menjelang Raya

Mungkin kita pernah mengalami sakit pada bahagian tulang belakang selepas kita duduk, berdiri atau melakukan kerja-kerja seharian terlalu lama.

Punca sakit belakang ini boleh disebabkan pelbagai faktor seperti kecederaan sukan, kemalangan, proses penuaan atau penyakit-penyakit metabolik dan sebagainya. Mengikut perspektif fisioterapi, sakit belakang boleh dikategorikan sebagai sindrom Postural, Dysfunction dan Derangement.

Postural bermaksud sakit belakang yang disebabkan oleh postur badan yang tidak betul semasa melakukan aktiviti-aktiviti harian seperti duduk secara membongkok di pejabat.

Dysfunction pula bermaksud sakit belakang disebabkan kecederaan tisu-tisu lembut seperti otot atau ligamen di kawasan tulang belakang yang boleh menghalang pergerakan bebas sendi-sendi di tulang belakang.

Contohnya, anda akan berasa susah untuk mengambil sesuatu barang yang terjatuh di lantai.

Derangement adalah sakit belakang yang disertai oleh rasa kebas yang boleh menjalar dari punggung hingga ke sebelah atau kedua-dua belah kaki.

Sementara itu, penyakit Prolapsed Intervertebral Disc (PID) digolongkan dalam kategori sindrom Derangement di mana simptom PID ini boleh dialami berulang-ulang kali jika sekiranya anda melakukan kesilapan semasa menjalankan aktiviti seharian seperti mengangkat barang, duduk yang tidak betul atau semasa mengemas rumah sempena hari raya ini.

Bagi mengenali sama ada anda mengalami ketiga-tiga kategori sindrom sakit belakang ini, tanda dan simptom berikut mungkin boleh memberi gambaran pada diri anda apabila mengalami sakit belakang iaitu:

>> Sejarah kecederaan atau kemalangan lampau

>> Selepas bangun dari tidur atau satu-satu posisi yang lama contohnya duduk di sofa sambil menonton televisyen dalam jangkawaktu lama

>> Selepas melakukan kerja-kerja seharian seperti menyapu lantai, mengangkat barang, memasang langsir hari raya, menjahit baju raya atau sebagainya

>> Selepas melakukan kerja-kerja pejabat, contohnya duduk lama di depan komputer

Tanda

>> Ketegangan pada otot bahagian tulang belakang

>> Susah dan ketat apabila hendak membongkok seperti semasa rukuk atau sujud semasa melakukan sembahyang atau mengambil sesuatu barang di lantai

>> Susah atau ketat untuk mencangkung semasa membuang air di tandas

>> Merasa kebas dari belakang pinggang dan menjalar ke punggung seterusnya ke kaki

>> Keadaan sakit belakang yang teruk boleh mengakibatkan kelemahan pada otot-otot kaki atau hilang kawalan semasa membuang air kecil atau besar jika berlaku tekanan pada sistem saraf kawasan pinggang

>> Perubahan postur badan di mana tulang belakang senget ke sisi atau hilang lengkungan pada bahagian pinggang atau dikenali sebagai flat back

Jika anda mengalami tanda seperti di atas maka segeralah mendapat rawatan di hospital. Biasanya anda akan dirawat secara konservatif terlebih dahulu melalui ubat-ubatan penahan sakit atau anti-inflamasi bukan steroid dan ubat-ubat lain bagi menghilangkan simptom tersebut.

Anda juga biasanya akan dirujuk ke unit fisioterapi bagi mengatasi masalah sakit belakang. Pelbagai kaedah rawatan fisioterapi boleh ditawarkan bagi mengatasi simptom sakit belakang ini menggunakan kaedah terapi elektro seperti penggunaan rawatan haba dan stimulasi elektrik atau kaedah rawatan senaman.

Pengawalan dan mengatasi sakit belakang

>> Amalkan cara hidup sihat dengan bersenam selama 30 minit sebanyak tiga hingga lima kali seminggu

>> Kekalkan berat badan anda dalam keadaan ideal dengan sentiasa memantau Indeks Jisim Badan (BMI) dalam lingkungan 18.5 hingga 25 kg/m2

>> Segera dapatkan rawatan perubatan jika anda mengalami tanda dan aduan sakit belakang

>> Kurangkan sakit melalui pengambilan ubat penahan sakit yang diberi oleh pegawai perubatan atau penggunaan rawatan ais (Cryotherapy) atau haba (Heat Therapy) serta mengamalkan senaman atau kedudukan badan yang betul melalui panduan yang diberi oleh ahli fisioterapi

Jadi, elakkanlah diri anda dari mengalami sakit belakang terutama menjelangnya Syawal ini. Janganlah anda asyik mengemas dan menyiapkan keadaan rumah anda sempena hari raya ini tanpa memikirkan kesihatan anda.

Tip di atas mampu mengelakkan diri anda dari mengalami sakit belakang jika anda ketahui dan amalkan sebilang masa walaupun sesibuk mana anda menyiapkan persedian rumah anda menjelang Syawal ini

Dapatkan nasihat ahli fisioterapi tentang panduan senaman dan penjagaan sakit belakang.


Ditulis oleh:
Hamid bin Ahmad

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Tuesday, September 15, 2009

Kualiti Hidup Sepanjang Ramadan

Kualiti hidup adalah apabila kita dapat mengekalkan kesihatan tubuh badan daripada penyakit atau kecederaan. Hidup berkualiti juga bermaksud kita dapat menjalankan kehidupan seharian tanpa halangan penyakit atau faktor yang boleh menyebabkan penyakit atau kecederaan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengambilan makanan secara berlebihan daripada keperluan kalori yang sepatutnya, boleh mengundang penyakit.

Tenaga daripada sumber makanan yang dikenali sebagai kalori ini, jika berlebihan dan tidak digunakan maka ia nya akan ditukar menjadi lemak dan disimpan di dalam tisu-tisu badan kita seperti di pembuluh darah, organ-organ dalaman seperti jantung dan bahagian-bahagian badan tertentu terutama di bahagian lengan, pinggang, pinggul atau paha.

Ramadan mengajar kita untuk merancang dan mengurangkan pengambilan makanan secara berlebihan mengikut keperluan seharian kita.

Makanan yang tidak diambil sepanjang hari-hari berpuasa dapat mengurangkan kalori yang berlebihan pada hari-hari kita tidak berpuasa.

Sumber tenaga untuk aktiviti sistem badan dan harian kita hanya dibekalkan oleh sumber makanan yang diambil semasa sahur dan sumber simpanan lemak kita.

Justeru itu, pengurangan berat badan boleh direalisasikan sepanjang Ramadan ini sekiranya kita tidak mengambil makanan secara berlebihan semasa berbuka puasa di samping meneruskan aktiviti fizikal seperti bersenam dan beriadah seperti hari-hari biasa.

Ramadan, Pakaian Semakin Longgar atau Ketat?

Kita mungkin sedar bahawa kita akan berasa longgar apabila memakai seluar semasa bulan Ramadan disebabkan ukur lilit pinggang yang mengecil dan akan kembali sempit menjelang Syawal.

Ini menunjukkan bahawa sepanjang Ramadan pengambilan kalori kita adalah sedikit berbanding Syawal. Nisbah ukur lilit pinggang dan pinggul (WHR) boleh digunakan untuk mengenalpasti perubahan pada badan kita. Penambahan berat badan kita akan lebih ketara di bahagian pinggang dan pinggul.

Bahagian ini jugalah akan menjadi salah satu petunjuk kepada tahap kesihatan kita.

Bentuk badan yang mana kita inginkan, sama ada berbentuk buah epal atau pir ? WHR akan dapat menggambarkan keadaan bentuk badan anda. WHR yang normal adalah:

>> 0.95 atau ke bawah 0.80 atau ke bawah (berisiko rendah)

>> 0.96 ke 1.0 0.81 ke 0.85 (berisiko sederhana)

>> 1.0 dan keatas 0.85 dan ke atas (berisiko tinggi)

Cara pengukuran WHR ini adalah cara yang paling mudah selain pengukuran Body Mass Index (BMI) bagi mengenalpasti tahap aktiviti fizikal kita, kadar penggunaan tenaga kalori daripada pengambilan makanan atau kecenderungan kita untuk mengalami penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, sakit sendi atau sebagainya.

Cara Mengukurnya Adalah Seperti Berikut:

>> Ukur lilitan pinggang anda di paras pusat menggunakan pita pengukur menggunakan unit sentimeter atau inci

>> Ukur lilitan pinggul dikawasan yang paling besar atau lebar

>> Bahagikan ukur lilitan pinggang kepada ukuran lilitan pinggul dan rujuk hasil bahagi tersebut kepada jadual di atas bagi mengetahui kedudukan bentuk badan anda

Jika sekiranya keputusan WHR seperti tertera di jadual di atas dan bentuk badan anda menyamai bentuk buah epal lebih daripada menyamai bentuk buah pir makan risiko untuk mendapat penyakit disebabkan kegemukan adalah tinggi.

Melalui pemerhatian anda di depan cermin sudah pasti anda dapat mengenali bentuk badan anda tanpa perlu pengukuran WHR.

Tetapi jika sekiranya anda adalah seorang yang prihatin terhadap tahap kesihatan walaupun bentuk badan menyamai bentuk epal anda akan terus memantau perkembangan badan menggunakan teknik pengukuran ini.

Jika sekiranya anda dilahirkan dengan bentuk fizikal yang besar (keturunan) dan menyamai bentuk buah epal ini, bukan bermakna hidup anda akan sentiasa dihantui oleh penyakit-penyakit berbahaya disebabkan makanan melainkan anda dapat mengamalkan gaya hidup yang sihat melalui program pendidikan dan promosi kesihatan yang boleh diperolehi di hospital atau pusat-pusat kesihatan:

>> Sentiasa mengekalkan berat badan yang ideal

>> Pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat

>> Senaman yang betul dan berterusan

>> Tabiat hidup yang sihat dan berkualiti


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Puasa Tangan

Mikroorganisma, kuman! Kumpulan hidupan halus melibatkan virus, bakteria, protozoa, fungi dan sebagainya ini berada di sekeliling kita, sepanjang masa.

Bilangannya berpuluh ribu kali ganda lebih banyak memandangkan saiznya yang amat kecil dan kemampuannya membiak dan merebak dengan mudah dan pantas.

Ini jelas kelihatan dari situasi pandemik global akibat penularan virus Influenza A H1N1, yang merentasi hampir semua penempatan manusia di seluruh dunia.

Halus

Kuman, secara umumnya, memang sekumpulan makhluk yang kurang disenangi manusia kerana sering digambarkan sebagai kotor dan membawa penyakit. Pandangan ini adalah benar, dan juga salah!

Sememangnya tamadun manusia diketahui sering dibelenggu ancaman kuman yang menyebabkan penyakit mahupun membawa maut, sejak sejarah tamadun mula dicatatkan lagi.

Penemuan antibiotik, penisilin, pada 1928 serta ubat antiviral sekitar 1980-an (selepas bermulanya pemetaan genetik virus) telah membolehkan manusia menentang jangkitan kuman secara khusus dan berkesan.

Namun, seperti mana-mana hidupan, setiap kuman yang diserang menggunakan antibiotik, antivirus ataupun ubat-ubat lain akan membentuk adaptasi dan ketahanan terhadap ubat tersebut.

Hasilnya, muncul spesies-spesies kuman baru dengan daya ketahanan tinggi seperti Methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA), yang asalnya cuma bakteria penumpang biasa di permukaan kulit dan hidung kita.

Pembentukan ketahanan atau rintangan terhadap ubat banyak didorong oleh penyalahgunaan ubat oleh pesakit dan juga kakitangan kesihatan.

Walaupun ketahanan itu tetap akan terbentuk, prosesnya dipercepatkan melalui penggunaan ubat seperti antibiotik dan antiviral oleh pesakit yang tidak memerlukannya, atau pengambilan ubat dengan cara yang salah.

Bagaimanapun, tidak semua kuman itu kotor dan membawa penyakit. Bakteria biasa di permukaan kulit dan di dalam usus kita banyak membantu dalam pertahanan badan terhadap jangkitan kuman berbahaya lain. Bakteria dan fungi juga makin banyak digunakan dalam makanan (roti) dan minuman (kultur probiotik), sementara virus kini diaplikasikan sebagai satu kaedah rawatan (suntikan bahan genetik - DNA)

Puasa Tangan

Sebenarnya, telah menjadi maklumat umum peranan besar tangan kita dalam menyebarkan kuman pembawa penyakit. Sebelum ini, berlaku kes-kes keracunan makanan di sekolah dan di waktu banjir. Kini tersebar pula virus selesema, H1N1, juga kebanyakannya melalui tangan (ke hidung atau mulut).

Hakikatnya, tangan dan mulut manusia merupakan yang tempat paling banyak kuman, tetapi kebanyakannya tidak berbahaya. Namun, bayangkan bagaimana jika tangan dihinggapi kuman (bakteria, virus, protozoa) yang berbahaya. Tambahan pula, tangan itu yang menguruskan makanan, mahupun tangan sendiri yang mengutip 'tetamu tidak diundang' di dalam pengangkutan awam mahupun di tempat tumpuan umum.

Tangan bersentuh mulut, boleh menyebarkan kuman punca keracunan makanan (seperti bakteria Salmonella), ataupun tangan ke hidung (menyebar virus H1N1) menjejaskan sistem pernafasan.

Untuk itu, sepanjang bulan puasa ini, pastikan anda menjaga mulut, mata, telinga, dan juga tangan dari membawa mudarat kepada diri sendiri. Ini amat mudah dengan amalan menjaga kebersihan diri dan persekitaran di samping amalan berwuduk, yang boleh membantu membersihkan permukaan tangan, muka dan kulit badan. Pilih hidup yang suci dan bersih!


Ditulis oleh:
Nurul Anuar Kari

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Monday, September 07, 2009

Bersenam Ketika Puasa

Bersenam ketika berpuasa? Pasti ramai yang berkata tidak. Alasan yang popular adalah letih, dan ada juga yang menyoal kembali, kenapa perlu bersenam?

Bukankah berat badan akan menurun ketika berpuasa? Jadi, tak perlu lagi bersenam kerana kita sudah mendapat berat badan yang diinginkan selepas sebulan berpuasa.

Inilah persoalan-persoalan yang sering timbul tatkala dikaitkan senaman dengan berpuasa.

"Ramai yang berpendapat bahawa senaman untuk kurus. Ini merupakan pandangan yang tidak benar sama sekali," kata Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Saiful Adli Suhaimi.

Jelasnya, bersenam sebenarnya adalah untuk mengekalkan kecergasan badan. Tidak guna mendapat bentuk badan yang diingini andai badan tidak cergas.

"Kesihatan optimum tidak akan dapat dicapai seandainya aspek kecergasan fizikal diabaikan sekali pun pada bulan puasa," katanya.

Menurutnya, untuk kekal cergas ketika berpuasa, aktiviti fizikal sama penting dengan faktor pemakanan.

Kerana itulah katanya, setiap individu yang berpuasa perlu melakukan aktiviti fizikal ringan yang berintensiti rendah bagi terus mengekalkan tahap kesihatan yang sewajarnya.

Kata beliau lagi, puasa tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengelakkan aktiviti fizikal kerana ketika berpuasa, kalori lebih mudah terbakar.

"Ambillah peluang untuk menurunkan berat badan pada bulan yang mulia ini dan pilihlah aktiviti fizikal yang mudah serta ringan seperti berjalan kaki kerana ia merupakan senaman yang paling senang dilakukan di mana-mana, pada bila-bila masa," katanya.

Kebaikan Berjalan Kaki

Menurut Saiful Adli, berjalan kaki mampu memetabolisma (memproses) makanan yang dimakan ketika berbuka untuk digunakan sebagai tenaga.

"Ia juga menyihatkan jantung dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular (berkaitan jantung) dengan merendahkan paras kolestrol," jelas beliau.

Selain itu katanya, berjalan kaki membantu mengawal tekanan darah, mencegah penyakit darah tinggi serta strok dan mengurangkan risiko penyakit kanser usus, payu dara dan prostat.

"Bagi pengidap diabetes senaman jalan kaki baik untuk mereka kerana ia meningkatkan keupayaan badan untuk memproses gula dengan lebih baik dan membantu aliran darah," katanya.

Jelasnya lagi, jika mahukan bentuk badan yang menarik, berjalan kaki adalah cara yang paling mudah kerana ia membantu mengawal berat badan.

Bagi mereka yang mengalami stres juga digalakkan melakukan senaman berjalan kaki kerana ia merangsang penghasilan hormon endorfin yang membuatkan kita lebih ceria dan sihat.

Tambahnya lagi, berjalan kaki mengekalkan kekuatan otot dan mengurangkan risiko osteoporosis.

Bagi warga emas pula, ia membantu kestabilan dan mengurangkan risiko terjatuh.

"Malah jangan terperanjat kalau dengan berjalan kaki, anda mampu meningkatkan keyakinan diri," ujar beliau.

Persediaan Berjalan Kaki

Jelas Saiful Adli, senaman jalan kaki tidak semestinya dilakukan di trek joging dan memakai pakaian sukan lengkap.

Ketika di rumah atau pejabat pun katanya, kita masih boleh melakukan aktiviti tersebut tanpa perlu memaksa diri.

Dengan hanya berjalan antara lima hingga 10 minit katanya, ia mampu memberi perlindungan kepada beberapa penyakit berkait rapat dengan pemakanan.

"Misalnya ketika ke pejabat, cuba letak kereta di tempat yang jauh sedikit, perbanyakkan penggunaan tangga berbanding lif dan minimumkan penggunaan telefon. Jika ingin berurusan dengan rakan sekerja, berjalan kakilah ke tempat mereka," katanya.

Saiful Adli turut menyarankan agar sekiranya mempunyai urusan di sekitar tempat kerja, ambil peluang berjalan kaki bagi memaksimumkan aktiviti ini.

Selain itu katanya aktiviti berjalan kaki amat mudah dilakukan ketika di rumah.

"Kurangkan penggunaan alat kawalan jauh televisyen dan peralatan elektrik lain, sebaliknya lakukan secara manual," katanya.

Melakukan kerja-kerja rumah seperti menyapu sampah, mengemop lantai dan membersihkan halaman rumah juga katanya merupakan bentuk senaman ringan yang mudah dilakukan selain daripada berjalan kaki.

Bersiar-siar atau berjalan kaki ke pasar Ramadan untuk membeli juadah merupakan salah satu aktiviti senaman yang mudah dipraktikkan.

"Menunaikan solat tarawih juga dikira aktiviti fizikal, begitu juga dengan berjalan kaki ke masjid," ujar Saiful Adli lagi.

Teknik

Berjalan kaki, walaupun kelihatan mudah kata Saiful Adli perlu ada teknik yang betul.

"Paling utama, bahagian tumit perlu mencecah tanah sebelum bahagian tapak kaki lain," katanya.

Jelas beliau lagi, tangan perlu dihayun agar badan seimbang mengikut keselesaan sendiri.

Ketika berjalan, postur badan perlu dijaga iaitu dengan menegakkan kepala dan luruskan bahagian belakang badan.

"Bernafas seperti biasa melalui hidung. Kawal pernafasan, jika tercungap-cungap, kurangkan kelajuan dan berhenti untuk berehat seketika," katanya.

Selain itu, jangan lupa menetapkan sasaran pada tempoh tertentu untuk meningkatkan atau menurunkan kelajuan.

Aktiviti berjalan katanya perlu berterusan selama 10 minit atau lebih bagi membantu membakar lemak dan kalori makanan dengan berkesan.

"Sekiranya kita berjalan pantas (brisk walking), ia boleh dikategorikan sebagai aktiviti intensiti sederhana," katanya.

Menurutnya, sama ada dilakukan di dalam (indoor) atau luar rumah, kedua-duanya memberi manfaat kesihatan.

Namun, pada bulan puasa kita digalakkan bersenam di kawasan bertutup memandangkan keadaan cuaca yang sedikit panas.

Risiko

Bersenam atau melakukan aktiviti fizikal bersesuaian ketika berpuasa memang digalakkan untuk semua peringkat umur tidak kira sesiapa termasuk mereka yang kurang upaya, kata Saiful Adli.

Namun katanya, ia bergantung kepada tahap kesihatan individu itu sendiri.

"Jika tahu diri mempunyai penyakit tertentu, perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu dan tidak digalakkan memaksa diri," katanya.

Begitu juga dengan mereka yang tidak pernah bersenam, adalah tidak wajar seandainya tiba-tiba ingin melakukan aktiviti fizikal ketika berpuasa.

"Bagi mereka yang tidak biasa bersenam atau berpenyakit, risiko untuk cedera adalah lebih tinggi," katanya.

Secara kesimpulannya, Saiful Adli berkata kombinasi antara pemakanan, aktiviti fizikal yang bersesuaian dan rehat secukupnya dapat menjadikan badan kita lebih sihat meski pun ketika berpuasa.

"Jadikan keberkatan bulan Ramadan sebagai motivasi untuk menjadi cergas dan sihat dengan mengamalkan aktiviti fizikal," katanya lagi.


Ditulis oleh:
Bintu Rasyada A. Rahman

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Masalah Penghadaman di Bulan Ramadan

Bulan Ramadan yang mulia kembali lagi. Selama 30 hari, masyarakat Islam di serata dunia akan menahan diri mereka daripada makan, minum, merokok dan menikmati apa sahaja secara berlebihan atau perkara yang tidak baik, bermula dari waktu subuh hingga ke senja.

Sepanjang bulan ini juga, akan timbul beberapa masalah penghadaman yang lazim.

Presiden Persatuan Gastroenterologi Malaysia, Datuk Dr. Muhammad Radzi akan berkongsi pendapat beliau tentang masalah penghadaman lazim di bulan ramadan dan beberapa tip untuk mencegahnya.

Puasa dan Kesihatan

Apabila seseorang itu berpuasa, lemak dan karbohidrat yang tersimpan di dalam tubuhnya akan digunakan sebagai suatu sumber tenaga.

Pada masa yang sama, kadar metabolik asas kita akan menjadi lebih perlahan bagi menjimatkan sebanyak tenaga yang boleh semasa berpuasa.

Suhu tubuh dan paras gula kita juga akan menurun semasa berpuasa. Puasa boleh memanfaatkan tubuh kita jika dilakukan dengan betul.

Sebenarnya, ia adalah baik untuk sistem penghadaman kerana akan 'merehatkan' dan menjadikannya lebih efektif.

Kajian saintifik juga telah mencadangkan bahawa pergerakan peristaltik usus akan menjadi lebih kuat dalam tempoh ini.

Dalam pada masa yang sama, detoksifikasi sistem penghadaman juga akan berlaku semasa berpuasa.

Masalah Penghadaman Lazim

Pilihan makanan yang tidak sihat, makan secara berlebihan, makan dengan gelojoh dan tabiat makan lain yang tidak sihat semasa berbuka puasa merupakan punca lazim timbulnya isu penghadaman di bulan Ramadan.

Peningkatan keasidan gastrik yang dirasai semasa berpuasa dimanifestasikan sebagai sensasi panas terbakar di dalam perut, rasa berat perut dan rasa masam dalam mulut.

Kebanyakan masalah kesihatan semasa musim berpuasa kemungkinannya berpunca daripada pengambilan diet yang tidak sihat atau akibat daripada terlebih makan dan kurang tidur.

Tiga masalah yg sering berlaku yg melibatkan masalah perhadaman ialah refluks (angin), sembelit dan muntah serta cirit-birit disebabkan oleh keracunan makanan.

Refluks, angin atau dyspepsia merupakan keadaan di mana pesakit akan mengadu sakit perut, kembung dan pedih ulu hati, loya, muntah dan rasa kurang selesa.

Ini berlaku apabila asid daripada perut telah naik ke atas saluran bawah esofagus. Masalah ini kerap berlaku terutama sekali selepas makan dalam kuantiti yang banyak.

Sembelit! Semasa bulan puasa, keadaan ini berlaku kerap dalam bulan puasa kerana faktor kekurangan air dan tidak mengambil makanan secara seimbang.

Apa yang sering berlaku adalah kebanyakan dari kita mengambil banyak makanan dengan karbohidrat tinggi tanpa mengutamakan makanan yang mengandungi serat seperti bijirin, buah dan sayur-sayuran.

Gastroenteritis akut (muntah dan cirit birit). Ini sering berlaku di waktu bulan Ramadan kerana kebanyakan kita sering membeli makanan daripada luar.

Disebabkan sesetengah gerai kurang mengutamakan kebersihan dan mutu makanan, maka ini boleh membawa kepada keracunan makanan dan menyebabkan gejala muntah dan cirit birit.

Kebersihan dan penjagaan pemakanan dengan sebaiknya adalah sebahagian dari ajaran Islam, terutamanya semasa berpuasa.

Pencegahan

l Reflux - Kebanyakan pesakit akan bertambah baik apabila berpuasa kerana kandungan asid dan simptom (gejala) akan berkurangan.

Bagi pesakit yang masih dalam rawatan, dinasihatkan untuk meneruskan pengambilan ubat manakala yang mengalami sakit yang berterusan dinasihatkan untuk berjumpa doktor.

Cara pencegahan adalah mengelak makan yang berlebihan, makanan berlemak dan berhenti daripada merokok.

Bulan Ramadan adalah peluang keemasan untuk seseorang berhenti merokok dan mengamalkan cara pemakanan yang sihat.

l Sembelit - Kita perlu mengambil makanan yang seimbang, secara amnya, mengamalkan pemakanan yang sihat seperti mineral dan vitamin (buah dan sayur-sayuran), serat, bijirin dan pengambilan air sebanyak lima hingga lapan gelas sehari, iaitu pada waktu berbuka dan juga sewaktu bersahur.

l Gastroenteritis akut (muntah dan cirit birit) - Bagi mengelak masalah ini, kita digalakkan untuk menyediakan makanan di rumah dan menjaga tahap kebersihan.

Bagi yang ingin membeli, amatlah digalakkan untuk mengutamakan kebersihan persekitaran makanan tersebut dijual.

Anda perlu mengambil pelbagai jenis makanan secara seimbang dan sederhana serta berdasarkan Piramid Panduan Makanan.

Selain daripada mengamalkan gaya hidup yang aktif dan sihat, diet yang berkhasiat serta seimbang sememangnya boleh membantu mencegah atau mengurangkan keasidan gastrik, sembelit serta masalah penghadaman lain.

Diet Ramadan

Diet semasa bulan Ramadan perlulah sihat dan hampir menyamai diet anda pada hari biasa.

Pastikan anda mengambil makanan daripada kumpulan makanan yang utama - nasi, roti dan bijirin sarapan, sayuran dan juga buah-buahan, ikan, daging, ayam-itik, kekacang, susu dan produk tenusu.

Ada baiknya jika anda mengambil makanan yang mengandungi bijirin dan bijian seperti gandum, tepung mil penuh, oat, barli, kekacang, lentil dan beras kampung (unpolished rice), terutamannya semasa waktu sahur kerana makanan ini akan mengambil masa yang lebih lama (sehingga 8 jam) untuk dihadam dan oleh yang demikian, boleh mengurangkan tusukan rasa lapar di siang hari.

Kurangkan pengambilan minuman berkafein seperti air berkarbonat, kopi atau teh. Walau bagaimanapun, ini perlulah dilaksanakan secara beransur-ansur kerana pengurangan pengambilan kafein secara mendadak boleh mengakibatkan sakit kepala, perubahan mood dan kejengkelan.

Semasa bulan Ramadan, ada baiknya jika anda boleh mengelakkan makanan bergoreng, makanan yang terlampau pedas dan makanan mengandungi gula yang terlalu banyak seperti gula-gula kerana boleh mengakibatkan ketidakcernaan makanan, pedih hulu hati (heartburn) dan masalah berat badan.

Anda juga perlu memasak makanan yang sihat dan berkhasiat untuk diri sendiri dan keluarga serta cuba mengurangkan membeli makanan di luar. Ini juga membolehkan anda mengawal pilihan makanan dan juga cara penyediaannya.

Kanak-kanak, Wanita Hamil, Warga Emas dan Penghidap Penyakit Kronik

Kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan untuk berpuasa tetapi adalah bagus untuk mendidik dan melatih mereka untuk berpuasa.

Bagi kanak-kanak yang sihat, tidak ada masalah untuk berpuasa berdasarkan kemahuan mereka sendiri.

Ibu bapa pula mesti memastikan kanak-kanak mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat.

Wanita hamil dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat doktor mereka sebelum berpuasa kerana situasi dan keperluan setiap wanita hamil adalah berbeza.

Namun demikian, wanita hamil dan bayi yang belum lahir atau ibu menyusu dan bayinya mungkin boleh mengalami komplikasi kesihatan jika tidak mendapat keperluan tenaga dan nutrien yang diperlukan akibat berpuasa.

Bagi warga emas, mereka boleh berpuasa tetapi adalah diharuskan untuk tidak berpuasa apabila keadaan fizikal tidak lagi mampu atau berupaya (uzur) untuk melaksanakan ibadah ini.

Secara amnya, bagi mereka yang mengidap penyakit kronik, tetapi stabil, boleh berpuasa mengikut kemampuan masing-masing.

Sebagai contoh, bagi mereka yang mengidap kencing manis, pesakit berkenaan perlu menilai keadaan fizikal, sama ada stabil atau tidak.

Jikalau dengan berpuasa keadaan mereka kurang memuaskan, diharuskan berbuka puasa. Dalam ajaran agama Islam, jika seseorang itu uzur, dia dikecualikan untuk berpuasa.

Berpuasa dalam bulan ramadan tidak akan melemahkan sistem imuniti. Kelemahan imuniti hanya akan berlaku apabila menghadapi masalah-masalah lain seperti mengidap penyakit-penyakit yang berisiko tinggi seperti kencing manis.

Dari pengalaman Dr. Muhammad Radzi, buat masa sekarang, tiada bukti yang menunjukkan bahawa dengan berpuasa maka seseorang itu akan lebih terdedah kepada jangkitan, seperti kepada virus Influenza A H1N1.

Nasihat

Sepatutnya semasa bulan puasa, segala kegiatan rutin kita tidak seharusnya menjadi masalah dalam menjalankan ibadah ini.

Kita masih boleh meneruskan aktiviti senaman dan keperluan lain mengikut kadar kemampuan masing-masing.

Apatah lagi sepanjang bulan puasa, kita disunatkan untuk menunaikan solat tarawih. Ini secara tidak langsung merupakan salah satu cara untuk kita bersenam dan meningkatkan daya tahan diri.

Makanlah secara sederhana dan amalkan diet yang seimbang kerana kedua-duanya adalah kritikal dalam mengekalkan kesihatan yang baik.

Anda juga perlu meminum air dan jus yang mencukupi antara waktu iftar (sahur) bagi mengelakkan dehidrasi (kekurangan air).

Kita perlu menjadikan bulan ramadan ini sebagai bulan latihan untuk mengamalkan cara hidup sihat seperti mana telah dilandaskan dalam agama Islam.

Kita tidak sepatutnya menjadikan bulan puasa ini sebagai bulan pesta makanan semata-mata dalam melayan nafsu makan.

Ini akan menjadi salah satu faktor penyumbang kepada masalah penghadaman dan seterusnya menjadi punca segala penyakit kepada diri sendiri.

Mereka yang merokok pula digalakkan supaya berhenti merokok kerana ia akan menjejaskan penggunaan pelbagai nutrien di dalam tubuh.

Akhir sekali, amalkanlah gaya hidup aktif pada setiap hari untuk tubuh dan minda yang lebih sihat.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/