Peminat Setia Doktor Pakar

Sunday, February 17, 2008

Bahaya Virus Hepatitis

GAYA hidup tidak sihat membuka laluan luas kepada penyakit untuk bersarang dalam badan.

Badan manusia adalah ‘perumah’ paling disukai virus dan bakteria kerana menerima bekalan makanan yang berterusan.

Virus hepatitis merupakan antara virus yang perlu diberikan perhatian yang serius.

Hepatitis bermakna keradangan hati dan virus hepatitis boleh menyebabkan kita mengalami masalah ini yang mungkin berakhir dengan kematian jika tidak diberikan rawatan yang sewajarnya.

Punca utama hepatitis ialah jangkitan virus dan tahap kerosakan pada hati bergantung kepada jenis virus yang menyerang.

Sehingga kini, tujuh jenis virus hepatitis telah dikesan di seluruh dunia yang dinamakan mengikut nama huruf iaitu virus hepatitis A,B,C,D,E,F dan G.

Bagaimanapun, virus yang lazim ditemui adalah hepatitis jenis A hingga E manakala jangkitan untuk hepatitis F pula hanya dijumpai sekali di India pada 1994 dan Hepatitis G hanya dikesan pada 1995.

Jangkitan virus-virus ini boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu akut (gejala yang teruk dalam masa yang singkat) atau kronik (kerosakan teruk yang berlaku secara perlahan dalam tempoh yang panjang).

Virus Hepatitis A dan E

Dua virus ini mempunyai ciri yang lebih kurang sama. Ia disebarkan melalui makanan tercemar dan menyebabkan hepatitis akut.

Biasanya pesakit akan mengalami masalah kesihatan selama sebulan.

Antara gejala jangkitan adalah;

- demam kuning, demam,

- sakit perut, muntah, cirit-birit,

- sakit kepala, mata menjadi kuning dan lesu

Apabila virus memasuki badan, ianya mengambil masa kira-kira dua minggu (dipanggil tempoh inkubasi) sebelum menyebabkan masalah kesihatan.

Biasanya individu dijangkiti juga mengambil masa kira-kira dua minggu untuk pulih semula.

Sehingga kini, Malaysia hanya mempunyai kes virus Hepatitis A (HAV) kerana jangkitan virus Hepatitis E (HEV) hanya dilaporkan berlaku di India dan Afrika.

Walaupun gejala jangkitan HAV dan HEV dianggap lebih ‘ringan’ berbanding virus Hepatitis B dan C, wanita hamil yang mendapat jangkitan HEV menghadapi risiko paling tinggi menemui maut (antara 15 hingga 25 peratus).

Hepatitis A boleh merebak melalui makanan dan minuman yang tercemar (disebarkan penyedia makanan yang telah dijangkiti atau daripada makanan mentah) atau melalui sentuhan, seperti membabitkan alat keperluan harian dan permainan di pusat jagaan kanak-kanak.

Malah, ada individu yang dijangkiti melalui darah yang tercemar (pemindahan darah atau perkongsian jarum suntikan) tetapi jangkitan melalui cara ini jarang berlaku.

Kanak-kanak yang dijangkiti HAV biasanya mengalami penyakit demam kuning pada kadar yang berbeza.

Kurang daripada 10 peratus kanak-kanak di bawah umur enam tahun mengalami demam kuning sementara 40 hingga 50 peratus kanak-kanak dalam lingkungan umur enam hingga 14 tahun mengalami demam kuning.

Kebarangkalian untuk mendapat demam kuning meningkat sehingga 70 atau 80 peratus jika jangkitan berlaku pada kanak-kanak lebih dewasa atau peringkat remaja sekitar umur 14 tahun ke atas.

Sehingga kini, masih tiada rawatan khusus untuk penyakit ini tetapi ia boleh dielakkan melalui pengambilan dua dos vaksin pada jarak enam hingga 12 bulan.

Pengambilan vaksin disarankan bagi individu yang berisiko tinggi seperti pengembara, lelaki homoseksual dan penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan.

Virus Hepatitis B

Virus Hepatitis B (HBV) mempunyai tempoh inkubasi yang lebih lama iaitu antara dua hingga tiga bulan.

Virus ini juga boleh menyebabkan dua jenis masalah, sama ada akut atau kronik.

HBV adalah virus yang paling lazim berjangkit di dunia. Dianggarkan lebih dua bilion penduduk dunia dijangkiti penyakit HBV dan kira- kira 350 juta lagi menjadi pembawa HBV yang kronik.

Lebih menyedihkan, kebanyakan pembawa HBV kronik ini berada di India dan Afrika.

Di Malaysia, 60 hingga 70 peratus kes HBV berlaku di kalangan orang Cina, Melayu (30 peratus) dan 10 peratus di kalangan orang India.

Virus ini disebarkan melalui hubungan seks, berkongsi jarum suntikan atau pemindahan darah.

Wanita hamil yang telah dijangkiti HBV juga boleh memindahkan virus ini kepada anak ketika bersalin.

Selain itu, HBV dikatakan 100 kali lebih cepat merebak berbanding virus HIV dengan gejala jangkitan seperti;

- demam kuning

- kematian akut (mengejut)

- jangkitan kronik

- kematian akibat penyakit hati yang kronik

Bagaimanapun, bukan semua orang yang mendapat penyakit hepatitis akibat HBV dan ada yang tidak mengalami masalah kesihatan dan boleh bekerja seperti biasa.

Hampir 90 peratus individu yang dijangkiti HBV mampu menyingkirkan virus tersebut melalui tindakan antibodi badan manakala 10 peratus lagi menjadi pembawa.

Oleh kerana itu, HBV lebih bersifat kronik dan gejala kesihatan biasanya muncul apabila usia menjangkau umur 40 tahun.

Di kalangan pesakit, dianggarkan 20 hingga 25 peratus mengalami masalah sirosis hati (sel hati mati, mengeras dan menyebabkan parut).

Daripada jumlah yang mengalami sirosis hati ini, kira-kira lima hingga 10 peratus mendapat kanser hati.

Jangkitan HBV boleh dikesan melalui pemeriksaan fungsi hati terutama ujian paras enzim hati (ALT).

Biasanya bagi individu yang dijangkiti, paras antibodi adalah tinggi, walaupun hatinya boleh berfungsi secara normal.

Selain itu, ujian yang boleh dilakukan bagi mengesan jangkitan virus ini adalah melalui proses serologi, imbasan bunyi, DNA bagi mengesan HBV dan biopsi hati untuk mengesan darjah keradangan atau kehadiran fibrosis (tisu hati bengkak dan bertukar menjadi parut).

Rawatan yang ada sekarang adalah untuk memperlahankan dan memberhentikan tindakan HBV daripada terus merosakkan hati.

Ianya diberikan dalam bentuk suntikan yang perlu diambil tiga kali setiap minggu dalam tempoh empat hingga enam bulan.

Pesakit juga perlu mendapatkan pemeriksaan susulan setiap enam bulan atau setahun sekali bagi memastikan tiada keradangan baru pada hati mereka.

Sebagai perlindungan, anda boleh mengambil vaksin Heptitis B yang diberikan dalam tiga dos dengan jarak tiga bulan setiap suntikan.

Virus Hepatitis C

Hepatitis C dikategorikan sebagai penyakit kronik. Virus ini dikenali sebagai HCV dan boleh berjangkit melalui perkongsian jarum suntikan dengan individu yang dijangkiti, menerima darah atau menjalani pembedahan pemindahan organ sebelum 1995, menjalani dialisis darah dalam tempoh berpanjangan, hubungan seks (terutama yang kerap bertukar pasangan), akupuntur dan jangkitan dari ibu kepada bayi ketika bersalin.

HVC mempunyai tempoh inkubasi antara enam hingga tujuh minggu. Antara gejala yang biasa yang dibabitkan dengan HCV adalah;

- demam kuning (30 hingga 40 peratus kes)

- demam yang tidak teruk

- sakit perut

- keletihan

- kerap mendapat jangkitan virus lain seperti virus selesema

HVC boleh menyebabkan sirosis hati dan pengambilan alkohol yang berlebihan boleh mempercepatkan proses sirosis hati di kalangan penghidap Hepatitis B dan C.

Jika seseorang itu mendapat kedua-dua jangkitan HBV dan HCV, masalah sirosis dan kanser hati akan menjadi bertambah teruk. Bagaimanapun kes ini jarang berlaku.

Ubat yang diberikan kepada pesakit HCV biasanya bertujuan menghentikan tindakan virus berkenaan dan perlu diambil melalui suntikan atau pil selama enam hingga 12 bulan.

Virus Hepatitis D

Virus Hepatitis D (HDV) dikategorikan sebagai virus yang tidak lengkap kerana ianya memerlukan HBV untuk bertindak.

Maknanya jika seseorang itu hanya dijangkiti HDV, dia tidak akan mengalami sebarang masalah.

Gejala kesihatan hanya muncul jika individu berkenaan juga dijangkiti HBV selepas dijangkiti HDV. Namun, kes seperti ini jarang berlaku.

Jika anda mengalami mana-mana gejala seperti yang telah disebutkan, segera jalani ujian lanjut untuk hepatitis, terutamanya bagi individu yang lahir sebelum 1989.

Berbincang dengan doktor mengenai kaedah rawatan yang sesuai dengan anda.

Individu yang disahkan bebas daripada jangkitan mana-mana virus hepatitis disaran mengambil suntikan vaksin sebagai perlindungan.

Ditulis oleh:
Dr Abdul Malik Jamal Buhari
Pakar Runding Perubatan dan Gasteroenterologi
Kelana Jaya Medical Centre (KJMC)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

5 comments:

  1. Salam, Dr, saya ingin bertanya,emak saya menghidap penyakit hepatitis B kerana menjalani haemodialisis sejak setahun lalu.Apakah kami berisiko mendapat jangkitan juga melalui perkongsian pinggan mangkuk dan barang barang yang biasa dikongsi ahli rumah memandangkan kadar risiko dijangkiti Hep B lebih tinggi dari HIV?Apakah langkah berjaga2 lain ynag perlu kami ambil?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hepatitis b tidak berjangkit melalui perkongsian pinggan mangkuk..hepatitis b berjangkit melalui darah..hubungan kelamin, penggunaan jarum suntikan secara bersama, berus gigi, pencukur, pemotong kuku, gunting rambut

      Delete
  2. Apakah hbsag reactive akan sembuh

    ReplyDelete
  3. Salam,Dr,pasangan saya mempunyai hipetitis b,dan jika sy melakukan hubungan intim,adakah sy berisiko dijangkiti hipetitis b tersebut??

    ReplyDelete
  4. Baik anda check darah dgn doktor kerana hepatitis b ni mudah berjangkit bah kan 100 kali lebih mudah dah HIV

    ReplyDelete