Apakah itu kanser hati?
Kebanyakan kanser mengambil sempena nama bahagian tubuh di mana kanser tersebut bermula. Kanser hati primer terjadi apabila sel-sel hati berubah dan menjadi malignan. Ia berasal dari hati bukan hasil perebakan (metastasis). Metastasis berlaku apabila sel-sel kanser yang berasal dari bahagian lain dalam tubuh manusia merebak ke hati. Kanser hati ini juga dikenali sebagai hepatoma.
Bagaimanakah kanser hati ini boleh diperjelaskan?
Kanser hati ataupun hepatoma ini biasanya lebih lazim berlaku di negara-negara Asia. Secara purata, pesakit kanser ini kebanyakannya berumur antara 40 hingga 50 tahun. Ia didapati empat kali ganda lebih kerap berlaku di kalangan kaum lelaki berbanding dengan kaum wanita .
Tumor hati merupakan sejenis kanser yang jarang berlaku di dunia Barat. Tetapi ia merupakan antara beberapa jenis kanser yang paling biasa menyerang penduduk-penduduk Asia dan Afrika.
Tumor hati primer iaitu tumor yang bermula dari tisu hati itu sendiri boleh di bahagikan kepada tumor benigna dan tumor malignan.
Tumor benigna hati:
- Adalah lebih biasa berlaku berbanding dengan tumor hati malignan.
- Ianya termasuk hemangioma, adenoma dan hiperplasia nodul fokal.
Tumor malignan hati:
- Termasuklah hepatoma (kanser hati primer), kanser kolangioselular, gabungan kanser hepato-kolangioselular dan angiosarkoma.
TUMOR BENIGNA HATI
Hemangioma
- Hemangioma merupakan tumor hati yang paling biasa berlaku.
- Kerapkalinya ia dikesan secara kebetulan melalui pengimbasan CT atau ultrasound.
- Pengimejan resonan magnetik (MRI) juga digunakan untuk membuat diagnosis hemangioma.
- Rawatan bagi kebanyakan penyakit ini termasuklah:
- Apabila ketumbuhan menimbulkan gejala, pembedahan merupakan rawatan pilihan. Pembedahannya bergantung pada saiz dan kedudukan atau lokasi ketumbuhan tersebut. Ia mungkin merupakan hanya satu pembedahan kecil (reseksi) atau satu pembedahan lanjutan hepatektomi (eksisi organ hati).
- Jika pembedahan dilakukan, ia biasanya diikuti dengan rawatan sinaran atau radiasi.
Adenoma
- Tumor jenis ini lebih lazim berlaku di kalangan kaum wanita muda yang mengambil pil perancang keluarga (kontraseptik) terlalu lama.
- Selalunya terdapat ketulan dalam abdomen dan terasa sakit.
- Kira-kira 1/3 dari pesakit mengalami pendarahan sekunder dalam abdomen dan tumor pecah.
- Kebanyakan pesakit yang mendapat tumor ini akan dibedah. Tujuannya adalah sama ada disebabkan oleh pendarahan itu ataupun untuk mengesahkan diagnosis ketumbuhan tersebut.
Hiperplasia nodul fokal
- Ketumbuhan ini selalunya tidak menimbulkan sebarang gejala dan ditemui secara kebetulan.
- Pesakit yang mengalami kesakitan sebagai gejala awal atau primer mungkin memerlukan pembedahan. Rawatan pembedahan biasanya dilakukan ke atas mereka yang ada gejala atau di kalangan mereka yang diagnosisnya tidak dapat dipastikan.
TUMOR MALIGNAN HATI YANG LAIN
Kolangiokarsinoma
Kolangiokarsinoma merupakan tumor malignan hati yang berasal dari duktus hempedu. Ia boleh dibezakan dengan hepatoma (kanser hati primer) melalui perkaitannya dengan penghasilan musin dan tindak balas tisu berseratnya yang tebal. Pesakit selalunya diserang demam, jaundis (kekuningan kulit dan bahagian mata yang putih) dan kesakitan.
Tumor ini sukar dirawat kerana ia tidak dapat dibedah disebabkan ia multisentrik (mempunyai banyak pusat). Terapi sinaran dan kemoterapi didapati tidak berkesan untuk merawat kanser jenis ini.
Kanser hati jenis ini jarang berlaku. Ia biasanya multisentrik. Tumor ini lazimnya besar, multisentrik dan mudah merebak. Pesakit selalunya mengadu sakit abdomen, terasa letih, penurunan berat badan, anoreksia (hilang selera makan) dan perut membuncit. Pesakit juga mungkin mendapat jaundis.
Diagnosis dibuat melalui arteriografi dan diikuti oleh pengimbasan CT. Prognosis (kesan) bagi penyakit ini adalah tidak baik - kemandirian hanya beberapa bulan sahaja dan tidak banyak yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan pesakit.
Bagaimanakah kanser hati ini terbentuk?
Hati merupakan organ utama dalam tubuh manusia yang bertanggungjawab menyingkirkan toksin, dadah dan racun keluar dari tubuh. Ini dilakukan dengan memecahkan toksin tersebut kepada sebatian berpigmen dan kemudiannya diangkut keluar melalui duktus ke dalam usus. Apabila virus, dadah atau alkohol merosakkan hati, sebatian berpigmen ini akan terkumpul, menyebabkan berlakunya jaundis, atau kekuningan bahagian mata putih. Biasanya sel-sel hati inilah yang menjadi kanser.
Terdapat pelbagai bentuk atau pola histologi bagi hepatoma. Hepatoma boleh wujud dalam dua bentuk: Tumpuan (fokus) dan berbaur. Bentuk fokus atau tumpuan ini dapat dilihat sebagai jisim yang bulat atau berlobul, biasanya wujud dalam jumlah yang banyak. Bentuk berbaur atau tersebar pula lebih sukar untuk didiagnoskan.
Apakah faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser hati?
Mereka yang berisiko termasuklah:
- Peminum alkohol.
- Pembawa Hepatitis B.
Ingat:
- Elakkan pengambilan alkohol yang berlebihan. Ia dikaitkan begitu rapat sekali dengan masalah kanser hati terutama di negara-negara maju.
- Pembawa Hepatitis B berisiko lebih tinggi untuk mendapat kanser hati terutamanya jika mereka memiliki virus yang aktif ataupun jika mereka mengalami kerosakan hati*.
Apakah tanda-tanda dan gejala kanser hati?
Terdapat beberapa gejala yang anda perlu ketahui:
- Gejala-gejala yang utama adalah kesakitan di bahagian abdomen, susut berat badan dan hilang selera makan. Gejala-gejala ini juga wujud apabila hati dijangkiti virus seperti Hepatitis A atau B. Berwaspadalah kerana hampir 30% dari pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala.
- Demam yang tidak diketahui puncanya juga merupakan gejala yang biasa berlaku.
- Asites atau busung (pengumpulan cecair dalam rerongga peritoneum yang menyebabkan abdomen menjadi kembung). Cecair ini biasanya mengandungi kandungan protein yang tinggi dan mungkin bercampur dengan darah.
Bagaimanakah kedudukan penyakit ini?
Kanser hati merupakan penyebab utama yang ketiga kematian akibat kanser di seluruh dunia (450,000 - 1,000,000 kematian setahun di seluruh dunia). Secara globalnya, kira-kira 80% daripada jumlah kematian dikaitkan dengan jangkitan Hepatitis B (dengan atau tanpa pendedahan kepada aflatoksin) manakala 15% lagi dikaitkan dengan sirosis Hepatitis C yang kronik.
Apakah komplikasi yang mungkin boleh terjadi?
Metastasis - kanser tersebut boleh merebak ke bahagian-bahagian badan yang lain.
Apakah ujian yang boleh dilakukan untuk mengesan kanser hati?
Ujian darah untuk mengukur kandungan alfa-fetoprotein (AFP) - sejenis penanda tumor - bagi pesakit kanser hati, ia akan menunjukkan peningkatan sebanyak 80%. AFP juga boleh meningkat semasa kehamilan ataupun dalam kanser-kanser jenis lain. Ujian fungsi hati juga berfaedah untuk menentukan tahap kerosakan pada hati.
Ultrasonografi ataupun pengimbas CT (Tomografi Berkomputer) untuk mengimbas hati adalah penting dalam membuat diagnosis. Apabila diagnosis telah dibuat, angiografi mungkin diperlukan untuk memastikan sama ada pembedahan boleh dilakukan ataupun tidak. Ketika angiografi dijalankan, sejenis pewarna X-ray akan disuntik ke dalam saluran darah di bahagian kelangkang pesakit. Kemudiannya, beberapa pengimejan X-ray hati akan diambil. Pewarna yang disuntik itu akan bergerak menuju ke hati dan menunjukkan garis bentuk kedudukan serta keadaan kanser yang dipaparkan dalam X-ray.
Biopsi - teknik biopsi perkutaneus meliputi penyedutan sitologi menggunakan jarum halus (FNA - Fine Needle Aspiration) ataupun biopsi jarum teras (Core Needle Biopsy). Biopsi jarum ini boleh dilaksanakan secara langsung dengan bantuan ultrasound ataupun CT, secara tidak langsung ke dalam jisim yang boleh dirasa, ataupun dengan menggunakan peralatan laparoskop.
Apakah jenis rawatan yang boleh diberikan?
Kemoterapi menggunakan dadah untuk merawat kanser. Dadah-dadah ini bertindak dengan mengganggu pertumbuhan sel-sel kanser dan seterusnya membunuh sel-sel kanser tersebut. Kemoterapi boleh diberikan dengan pelbagai cara. Rawatan keseluruhan badan dikenali sebagai 'kemoterapi sistemik', manakala rawatan di sesuatu bahagian tertentu dikenali sebagai 'kemoterapi setempat'. Kemoterapi diberikan melalui pelbagai cara: secara oral (melalui mulut), melalui vena (intravena) ataupun melalui arteri (intra-arteri).
Kemoterapi dan radioterapi memainkan peranan yang kecil sahaja dalam rawatan kanser hati. Dadah-dadah kemoterapi hanya mampu mengecutkan kanser di kalangan kira-kira 30% pesakit. Kesan sampingan seperti keguguran rambut yang sementara, rasa loya dan muntah-muntah, penurunan jumlah sel darah putih dan rasa letih (letargi) boleh berlaku. Rawatan hormon juga merupakan rawatan yang masih di dalam percubaan di beberapa negara.
Terapi radiasi atau sinaran memainkan peranan yang kecil sahaja di dalam merawat kanser hati ini. Kebanyakan tumor primer yang merebak ke hati mewujudkan pertentangan terhadap terapi sinaran, manakala hati yang sihat sangat mudah terjejas oleh radiasi. Terapi pancaran sinaran luaran ataupun gabungannya dengan kemoterapi digunakan sebagai rawatan paliatif (rawatan untuk melegakan sahaja tetapi tidak boleh memulihkan) bagi hepatoma. Rawatannya akan menjadi lebih berkesan jika kanser tersebut dikesan awal.
RAWATAN AM
Rawatan pilihan utama kanser hati ialah pembedahan dan diikuti dengan kemoterapi dan terapi sinaran atau radiasi.
RAWATAN BUKAN FARMAKOLOGI
Walaupun pelbagai kemajuan telah dicapai dalam kaedah rawatan pelbagai jenis kanser sejak sedekad yang lalu tetapi, rawatan bagi kanser hati tetap sukar dan mencabar. Keadaan hati yang teruk disebabkan sirosis dan juga hepatitis kronik selalunya membataskan pemilihan terhadap rawatan. Sehingga kini, pemilihan rawatan adalah amat terhad.
Pembedahan
Pembedahan bergantung kepada saiz dan lokasi kanser hati dan juga keadaan bahagian hati yang lain. Hepatoma berbaur dan juga hati yang mengalami sirosis teruk biasanya dianggap sebagai tidak boleh lagi dibedah. Bagi ketumbuhan yang kecil, cuma sebahagian daripada segmen atau satu segmen pada hati sahaja akan dibuang. Ini merupakan pilihan yang selalu dibuat terutamanya jika terjadinya sirosis. Ketumbuhan atau lesi yang lebih besar memerlukan pembedahan untuk membuang bahagian yang lebih besar atau beberapa segmen hati. Kadar kematian disebabkan pembedahan bergantung pada jumlah tisu yang dibuang dan jumlah tisu yang kekal selepas pembedahan. Jenis dan keterukan kanser, kewujudan sirosis dan hepatitis menentukan kemandirian pesakit.
Apakah prognosis bagi kanser hati?
Purata pesakit kanser hati dilapor dapat meneruskan hidup hanya untuk jangka 4-8 bulan sahaja selepas didiagnos. Keterukan kanser hati, kerosakan hati yang awal disebabkan oleh hepatitis B atau pengambilan alkohol dan kebolehbedahan kanser tersebut, akan menentukan kemandirian pesakit kanser hati. Jika pembedahan mampu memulihkan kanser, peluang untuk pesakit meneruskan hidupnya selama 5 tahun lagi adalah tinggi, hampir 46%.
Bagaimanakah kanser hati ini boleh dicegah?
Antara langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil ialah:
- Dapatkan imunisasi Hepatitis B seperti yang dijadualkan.
- Elakkan pengambilan alkohol berlebihan.
- Menjalani pemeriksaan kesihatan apabila terdapatnya perubahan tertentu pada kesihatan anda khususnya yang berkaitan dengan tanda-tanda amaran kanser
Dipetik dari:
http://www.infosihat.gov.my
Terima kasih banyak2.... bagi info
ReplyDelete