Peminat Setia Doktor Pakar

Sunday, May 11, 2008

Rawatan Tidak Invasif Kurangkan Risiko

Anda takut pembedahan, takut jarum tetapi memerlukan rawatan untuk masalah kesihatan kulit? Mungkin kaedah tidak invasif alternatif terbaik untuk anda merawat masalah kulit seperti parut, bintik atau tompok, lebihan kulit, garis halus, bentuk badan atau mengurangkan lemak badan.

Prosedur tidak invasif juga dilihat menarik minat pesakit yang belum bersedia, tidak mahu atau tidak boleh menjalani pembedahan dengan catatan 11.4 juta prosedur dijalankan sepanjang 2005 iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding tahun 2000.

Pakar Runding Perubatan Estetik, Dr. Alice Prethima menjelaskan alternatif terhadap pembedahan dan jarum ini juga mampu membantu masalah kulit lembik, parut, kesan regangan atau selulit melalui kaedah terkini, berkesan dan selamat.

"Pada satu seminar di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, saya melihat fokus rawatan semakin bertumpu kepada kaedah rawatan tidak invasif.

"Namun, kaedah rawatan ini kurang dibawa masuk ke Malaysia berbanding negara luar yang memberikan lebih ruang untuknya berkembang," katanya.

Pencapaian

Antara cara pemikiran utama rakyat negara ini adalah lebih memilih pembedahan atau satu kaedah drastik untuk mendapatkan dan mengekalkan kecantikan.

Menurut Dr. Alice, pesakit di negara ini juga kurang diberikan pendedahan mengenai kaedah terkini rawatan kulit seperti penggunaan laser berbanding kaedah lama yang mencungkil keluar jerawat atau pigmen pada kulit.

"Penggunaan jarum merupakan antara yang paling digeruni pesakit tetapi melalui kaedah dilectropolation, pesakit tidak memerlukan suntikan untuk memasukkan molekul penting untuk rawatan kulit.

"Pembedahan juga tidak lagi diperlukan untuk menegangkan kulit melalui penggunaan kolagen yang menjadikan kulit anjal dan kelihatan lebih muda," jelasnya.

Kata beliau, kaedah tidak invasif seperti laser kini menjadi pilihan untuk rawatan kecantikan berbanding pembedahan yang membawa risiko kerosakan sel saraf dan juga jangkitan kuman.

Kaedah tidak invasif juga mampu melicin permukaan kulit seperti di bawah mata dengan hanya memerlukan rawatan berkala sekali setiap dua atau tiga tahun. Selain itu, rawatan laser selektif sekali setiap minggu dapat membantu penumbuhan kembali rambut selepas empat hingga enam bulan.

Ini dilihat lebih sesuai berbanding kaedah lama yang mengambil rambut dari bahagian belakang kepala untuk ditanam di kawasan yang keguguran rambut. Kaedah berkenaan membawa risiko pembedahan dan juga meninggalkan parut besar di belakang kepala.

Selain itu, Dr. Alice menyatakan lipolisis laser menjadi alternatif kepada pembedahan membuang lemak (liposuction) untuk membuang lemak berlebihan.

"Liposuction merupakan prosedur pembedahan yang berbahaya dan boleh menyebabkan kehilangan darah atau embolisma kepada pesakit.

"Selain itu, pembedahan tersebut memerlukan penggunaan ubat pelali (anestesia), meninggalkan kulit berlebihan yang menggeleber dan memerlukan pesakit berehat selama sebulan," katanya.

Dr. Alice membandingkan pembedahan tersebut dengan penggunaan laser yang mensasarkan sel lemak sahaja di kawasan dengan lemak berlebihan, menegangkan kulit, kurang tanda lebam dan pesakit pulih dengan lebih pantas sehingga boleh melakukan senaman perut selepas hanya 24 jam.

Kulit Mulus

Secara umumnya, banyak rawatan untuk kulit muka hanya membersihkan dan membuang lapisan permukaan atas kulit sahaja. Ini bagaimanapun boleh dianggap sia-sia memandangkan lapisan sel basal (lapisan bawah kulit) akan menggantikan lapisan atas itu setiap dua atau tiga minggu, seterusnya membentuk lapisan baru yang licin dan cantik secara semulajadi.

Menurut Dr. Alice, sesetengah pesakit sebelum ini mahukan masalah pigmentasi kulit mereka diselesaikan dalam hanya satu rawatan.

"Permintaan ini dipenuhi doktor dengan membakar permukaan atas kulit, mendedahkan lapisan kulit muda di bawah dan menampilkan rupa kulit yang bersih dan cantik untuk seketika.

"Masalah kulit pesakit bagaimanapun akan kembali berulang, dan mungkin lebih teruk dengan pigmentasi yang lebih gelap kerana punca masalah tersebut tidak dirawat," ujarnya.

Dr. Alice menegaskan diagnosis yang betul diperlukan sebelum sebarang rawatan diberi bagi menentukan punca pigmentasi dan mencari cara terbaik menangani punca masalah berkenaan.

"Sebarang perubahan pada badan pasti akan menunjukkan tanda pada kulit. Rawatan perlu dijalankan perlahan-lahan bagi menilai tindak-balas kulit dan puncanya berjaya ditangani," jelasnya.

Rawatan pigmentasi boleh dirawat melalui kaedah invasif minimum, tanpa memerlukan jarum, dan lebih penting lagi merawat punca masalah serta memberikan hasil yang lebih cantik.

Dr. Alice turut menekankan pentingnya penggunaan krim pelindung sinaran matahari tetapi perlu memilih krim yang bersesuaian dengan tahap pendedahan matahari.

"Kebanyakan produk di pasaran dihasilkan untuk kulit Kaukasia (kulit putih) dengan Faktor Perlindungan Kulit (SPF) antara 15 hingga 20.

"Ini tidak sesuai untuk kulit Asia yang memerlukan SPF lebih daripada 30 (SPF30). Pigmentasi dan juga kanser kulit boleh berlaku jika kadar SPF yang digunakan tidak mencukupi kerana hanya sebahagian kulit dilindungi sementara sebahagian lagi tidak dilindungi dari sinaran matahari," tegasnya.

Tambah beliau, penuaan akibat sinaran matahari boleh menyebabkan liang-liang kulit membesar, kulit menjadi kasar, kedut dan juga melayut.

Yang Mana Satu

Terdapat sesetengah pesakit yang berfikir pembedahan akan memberi perlindungan kekal dan penyakit yang dirawat tidak akan berulang. Ini tidak benar kerana masalah yang sama mungkin berulang beberapa tahun kemudian. Ada juga pesakit yang hanya mahukan hasil segera dan tidak gembira bila dimaklumkan kaedah yang betul untuk merawat masalah mereka akan mengambil sedikit masa.

Menurut Dr. Alice, hampir semua bahagian badan, dari kepala hingga ke ibu kaki, kini mempunyai alternatif kaedah invasif minimum untuk rawatan.

"Rawatan laser tiada darah, boleh mencapai kawasan badan yang agak dalam, tidak memerlukan ubat pelali dan pesakit pulih lebih pantas.

"Teknologi nano pula telah menghasilkan molekul nano yang lebih mudah diserap untuk memulihkan kecederaan sel kulit," katanya.

Namun, Dr. Alice terpaksa membangkitkan masalah pemilihan rawatan bersesuaian di kalangan pesakit.

"Masih ramai pesakit yang tidak tahu apa yang boleh dilakukan untuk merawat masalah kulit mereka dan akhirnya memilih kaedah yang tidak sesuai.

"Ramai pesakit yang datang menemui saya selepas mengalami komplikasi akibat memilih kaedah yang salah untuk merawat kulit mereka," ujarnya.

Katanya, sebilangan daripada mereka juga didapati tidak menjalankan penyelidikan sendiri sebelum mencuba kaedah baru yang dipasarkan.

Dr. Alice turut memaklumkan masalah pemilihan ubat dan kaedah rawatan juga tidak lagi hanya melibatkan golongan wanita malahan lelaki yang menghadapi masalah rambut gugur dan juga yang mahukan kulit sihat serta cantik.

"Penjagaan kulit kini bukan hanya bergantung kepada pelembap kulit, tetapi sekarang terlalu banyak produk kecantikan kulit di pasaran, diiringi bermacam dakwaan pemulihan dan rawatan.

"Orang ramai perlu berwaspada terhadap produk atau kaedah yang menghilangkan pigmentasi dalam tempoh seminggu kerana ia amat mencurigakan," jelasnya.

Menurut beliau, untuk hasil yang kekal berpanjangan, rawatan kulit akan mengambil sedikit masa, memerlukan rawatan ulangan dan mungkin semakin pulih sehingga 95 peratus dalam tempoh kira-kira dua bulan.

Rawatan tidak invasif atau invasif minimum tidak bebas risiko sepenuhnya tetapi dilihat jauh lebih rendah berbanding risiko melalui pembedahan.

Dr. Alice menasihatkan orang ramai yang ingin mencuba teknologi baru atau kaedah rawatan terkini memastikan ia telah diluluskan Pentadbiran Makanan dan Perubatan AS (FDA) dengan melakukan penyelidikan melalui Internet terlebih dahulu .

"Teknik atau teknologi yang sesuai digunakan bergantung kepada masalah yang dihadapi pesakit selain faktor lain seperti tahap kesihatan semasa dan bentuk badan. Pemeriksaan mencari punca dasar masalah kulit juga penting termasuk masalah hormon badan," tegasnya.

Dr. Alice turut menekankan orang ramai tidak terlalu mengikut perakuan individu yang menggunakan produk baru kerana kadangkala kaedah tersebut hanya bersesuaian untuk sesetengah pesakit sahaja.

Untuk khidmat pakar runding atau maklumat lanjut kaedah rawatan tidak invasif, sila hubungi Dr. Alice melalui talian 1-300-88-32-34.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment