Peminat Setia Doktor Pakar

Tuesday, May 13, 2008

Herba Ikon Pelancongan Negara

Lazimnya kemajuan yang ditunjangi dengan kepesatan sains dan teknologi yang membawa perubahan dalam hidup manusia merupakan anjakan yang amat positif. Tetapi biarpun zaman sentiasa berubah, penggunaan herba dalam kehidupan tidak dapat dipisahkan. Namun, hakikat itu semakin terpinggir jika dilihat realiti dan situasi di dalam industri herba pada hari ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa kita memiliki sumber hutan yang cukup besar untuk diteroka dan dikomersialkan. Tumbuh-tumbuhan dan herba seperti hempedu bumi, selaseh hitam, ulam raja, dukung anak, tongkat ali, misai kucing dan sebagainya mempunyai khasiat yang cukup tinggi dalam penjagaan kesihatan dan melawan penyakit.

Namun penggunaan produk berasaskan herba ini kurang mendapat sambutan dan pendedahan yang sewajarnya sehingga ianya dikategorikan sebagai ubat-ubatan alternatif semata-mata. Inilah tanggapan negatif yang perlu diperbetulkan dalam memacu industri herba ke peringkat lebih tinggi

“Kita tidak menolak keberkesanan ubat-ubatan moden dalam melawan penyakit dan penjagaan kesihatan, tetapi kita sentiasa didedahkan dengan ungkapan ini ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’,’’ kata pengasas Pameran Herba Asia, Safinah Yaakob baru-baru ini.

Katanya, herba merupakan unsur semulajadi terbaik dalam penjagaan kesihatan kerana ianya bukan bertindak sebagai ubat semata-mata, tetapi amalan penggunaannya secara berterusan akan membantu tubuh badan dibekalkan dengan sistem imunisasi yang asli dan segar tanpa sebarang penggunaan campuran bahan kimia seperti yang terdapat dalam ubat-ubatan moden. Contohnya, warisan zaman-berzaman iaitu ubat periuk yang mengandungi pelbagai jenis tumbuhan herba yang direbus untuk diminum.

“Biarpun ianya amat pahit, namun ubat periuk mampu melancarkan peredaran darah di samping meningkatkan sistem imunisasi tubuh secara berterusan tanpa sebarang kesan sampingan. Walaupun menyedari nilai khasiat ubat periuk begitu tinggi, namun amalan pengambilannya tidak dibudayakan,’’ tambah Safinah.

Justeru usaha berterusan perlu dibuat untuk mengembangkan industri herba di negara ini bukan hanya dengan menghasilkan produk semata-mata, tetapi mengamalkan budaya warisan tersebut sebagai cara melestarikan produk warisan budaya nasional.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak yang terbabit di dalam industri herba ini untuk sama-sama terus mengembleng tenaga dan idea serta fasiliti untuk mengangkat industri ini ke peringkat global.

“Saya ingin melihat produk herba warisan budaya kita menjadi ikon produk pelancongan di pasaran antarabangsa, selain daripada menjadi satu cara menarik kehadiran pelancong asing,’’ katanya.

Safinah menambah bahawa produk herba tradisional kini terpaksa mengikuti peraturan dan mutu perubatan moden dari negara Barat bermula dengan pelbagai ujian dan syarat lain yang menyebabkan industri ini tidak dapat berkembang.

‘‘Produk herba seharusnya tidak perlu diuji dengan piawaian negara Barat, kerana ia adalah warisan budaya kita yang seharusnya dibezakan, namun tetap dengan standard kualiti yang baik dan selamat digunakan,’ ujarnya.

Dalam hubungan ini, beliau berhasrat untuk menjadikan Malaysia Hab Herba di rantau Asia Pasifik dan seterusnya mencipta produk-produk herba sendiri sehingga menjadi ikon pelancongan negara.

“Dengan adanya kesedaran di kalangan masyarakat untuk membudayakan produk warisan tradisi ini, saya yakin matlamat tersebut dapat direalisasikan sedikit masa lagi, dengan syarat bahawa rantaian dan jaringan yang telah wujud di dalam industri herba ini sentiasa menyokong antara satu sama lain secara berterusan,’’ ujar Safinah.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment