|
|
Pada hari-hari tertentu, anda mungkin terlalu sibuk dengan tugas dan komitmen peribadi hinggakan tidak ada masa untuk berhenti bernafas. Oleh sebab anda cuba melakukan sebanyak yang boleh, maka anda tidak menghiraukan soal makan. Sarapan hanyalah secawan kopi atau teh tarik. Anda tidak sempat makan tengah hari disebabkan oleh jadual yang terlalu padat dan teman makan malam anda hanyalah sebungkus kentang goreng yang ditelan dengan gopoh-gapah di pejabat.
Jika anda sering menghadapi hari-hari begini, bermakna anda tidak dapat mengamalkan tabiat makan yang sihat. Usah bimbang. Ikuti petua mudah berikut untuk mencari masa makan dan mengetahui apa yang patut dimakan bagi mendapatkan nutrien dan tenaga secukupnya bagi membolehkan anda sentiasa cerdas dan dapat memberi tumpuan sepanjang hari.
Cergaskan Hari Anda Dengan Sarapan
Sarapan bukan sahaja penting untuk mencergaskan permulaan hari anda dan memberi tenaga yang cukup untuk kekal aktif sepanjang hari, tetapi juga telah terbukti secara saintifik dapat membaiki daya tumpuan, kecerdasan dan fungsi ingatan. Untuk meningkatkan metabolisme anda, amalkan diet yang seimbang dengan mengambil makanan karbohidrat kompleks seperti bijirin penuh dan makanan berprotein tinggi seperti susu dan keju. Kurangkan makanan berlemak seperti roti canai dan nasi lemak kerana makanan seperti ini boleh membuat anda berasa kembung dan lesu.
Jika anda selalu tidak mengambil sarapan dan menggantikannya dengan makan tengah hari yang berat, berikut adalah beberapa cara meluangkan masa untuk mengambil sarapan yang sihat di rumah:
=> Cuba bangun awal supaya ada masa untuk makan dan menikmati sarapan.
=> Siapkan sarapan pada malam sebelumnya jika anda rasa esoknya adalah hari yang terlalu sibuk dan akan kesuntukan masa.
Oh… Saya Terlambat Bangun Lagi!
Jika anda benar-benar tidak ada masa untuk menikmati sarapan yang sihat di rumah disebabkan terpaksa keluar awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas atau jika terlambat bangun, cuba petua berikut:
=> Sediakan makanan seperti buah-buahan, roti/bun, keju atau telur rebus yang senang dicapai dan dimakan sambil berjalan. Untuk pemakanan yang lebih lengkap, cuba makan bijirin sambil minum susu.
=> Beli makanan seperti pau kacang, kuih apam atau putu mayam dalam perjalanan ke tempat kerja.
=> Simpan makanan di tempat kerja anda. Biskut tawar, buah-buahan kering, kacang atau energy bar adalah pilihan yang berkhasiat dan lazat.
Tambah Tenaga Dan Pulih Kecergasan Dengan Makan Tengah Hari
Menjelang waktu makan tengah hari, badan anda sudah menggunakan kebanyakan daripada nutrien dan tenaga daripada sarapan. Jadi, makan tengah hari memberi anda peluang menambah tenaga dan kecerdasan serta meningkatkan prestasi.
Petua berikut dapat membantu anda merasa segar semula dan bersedia untuk meneruskan kerja hingga ke petang!
=> Elakkan makan sambil kerja, kerana anda mungkin makan lebih daripada yang diperlukan. Cuba makan pada waktu yang dikhaskan untuk makan tengah hari.
=> Sentiasa pilih sajian ringan yang sihat dan jangan terlebih makan; berhenti bila rasa kenyang. Jika terlebih makan, anda akan berasa kembung dan mengantuk.
=> Jika makan di luar dan memesan nasi campur atau mi, jangan lupa untuk tambah ikan atau daging tanpa lemak dan sayuran untuk memastikan pengambilan makanan yang lengkap dan seimbang. Makan sepotong buah-buahan sebagai pencuci mulut.
=> Jika makan di pejabat dan hanya terdapat mi segera, cuba tambah sedikit sayuran atau telur. Untuk menambahkan khasiat, makan buah-buahan atau minum segelas jus buah- buahan 100 peratus atau minuman kacang soya/susu. Untuk menambah kalsium, tambah keju ke dalam sandwic atau roti bun.
Makan Dalam Perjalanan
Jika terpaksa ke mana-mana pada waktu makan tengah hari dan tidak ada masa untuk makan, jangan bimbang. Simpan snek di tempat kerja yang boleh dicapai dan dibawa bersama. Pilihan makanan dan snek yang sihat termasuk buah-buahan segar atau kering, bijirin serat tinggi, biskut tawar serat tinggi dan biskut (tanpa krim), sandwic roti gandum penuh, kacang dan yogurt. Jangan lupa bawa sebotol air minuman untuk mengekalkan penghidratan!
Akhirkan Hari Dengan Makan Malam Yang Dimasak Di Rumah
Selepas sibuk seharian, anda tentu rasa seronok bila dapat duduk makan dengan selesa di rumah kerana sajian makan malam memberi peluang kepada anda untuk memenuhi keperluan pemakanan harian. Tetapi apa yang boleh anda lakukan jika anda masih sibuk hingga ke malam? Anda boleh makan di luar atau beli makanan bungkus.
Namun, jika anda lebih suka makan malam yang dimasak di rumah, berikut adalah beberapa cara yang membolehkan anda mendapat apa yang anda ingini:
=> Simpan nasi atau pasta sebagai makanan asas untuk penyedian sajian yang cepat. Jika anda mempunyai ramuan yang betul, anda boleh mencipta resipi anda sendiri untuk sajian yang berkhasiat!
=> Bersihkan sayuran dan simpan dalam peti sejuk supaya ia sedia untuk dimasak. Atau jika anda benar-benar kesuntukan masa, anda boleh makan sayuran mentah seperti lobak merah dan saderi.
=> Potong ikan, ayam dan daging dan bekukan dalam paket berasingan. Pindahkan ke dalam peti sejuk untuk dinyahbeku sebelum anda keluar bekerja.
=> Aturkan penghantaran makanan ke rumah. Ia menjimatkan masa memasak dan amat baik jika anda tidak berminat ke dapur atau tidak pandai memasak! Pesan makanan daripada orang yang anda kenali dan percaya. Jangan takut untuk meminta makanan disediakan secara segar.
Seperkara penting yang mesti diingati ialah jangan sama sekali mengabaikan waktu makan. Anda mungkin sibuk, tetapi jangan jadikan ini sebagai alasan untuk tidak makan. Bila anda tidak makan, anda kekurangan nutrien dan tenaga yang diperlukan untuk melakukan tugas anda dengan berkesan. Jika anda tidak mengambil makanan yang berkhasiat secara tetap, anda tidak akan mempunyai tenaga untuk bekerja, belajar atau melakukan apa sahaja!
Ditulis oleh:
Prof Madya Dr Zaitun Yassin
Persatuan Pemakanan Malaysia
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment