Peminat Setia Doktor Pakar

Sunday, May 04, 2008

Jangan Abai Suntikan Vaksin

“Pesan saya kepada ibu bapa di luar sana ialah jangan jadikan nyawa anak-anak kita sebagai mangsa puak-puak yang rakus untuk mengaut keuntungan,” kata Ritzzamoni Rosli, 30, ketika akhir wawancara mengenai anaknya, Ros Aqidah Rosli Rosaimi, 11 bulan yang pernah menghidap pneumonia atau radang paru-paru.

Ritzzamoni berkata demikian sebagai membidas sikap sesetengah doktor yang tidak memaklumkan kepada ibu bapa mengenai kewujudan vaksin ‘pravena’ yang mampu mengelakkan seseorang, terutamanya kanak-kanak, dari pada dijangkiti penyakit pneumokokal (PnD) yang kini menjadi penyebab utama kematian ramai kanak-kanak tidak berdosa.

Kematian akibat PnD kini dianggarkan mencecah satu juta setiap tahun di kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah yang juga bermakna kira-kira 112 orang kanak-kanak akan menemui ajal setiap jam di seluruh dunia.

Doktor yang tidak beretika dan bertanggungjawab ini berbuat demikian kerana boleh menjana pendapatan lebih RM30,000 jika seseorang itu, terutama kanak-kanak dan bayi menjalani rawatan untuk PnD.

Berbanding dengan rawatan, doktor-doktor hanya akan menerima bayaran sekitar RM1,000 untuk empat suntikan vaksin pencegahan itu kerana setiap satu suntikan berharga antara RM290 hingga RM340 sahaja, bergantung kepada hospital yang dipilih.

Dalam hal ini, Ritzzamoni yang kesal dengan keadaan itu meminta agar Kementerian Kesihatan mengambil tindakan segera bagi menangani kesan negatif berpunca daripada sikap sesetengah doktor ini.

Banyak kerajaan negara maju termasuk Amerika Syarikat (AS) telah mengambil tindakan drastik dengan mewajibkan rakyat agar mengambil suntikan vaksin PnD. Ini termasuk menjadikan rekod suntikan tersebut sebagai prasyarat ke atas kemasukan pelajar ke universiti di negara berkenaan, katanya.

“Tindakan sedemikian membuktikan pneumonia kian menjadi ancaman kepada masyarakat global termasuk Malaysia dengan ramai ibu bapa kini menghantar anak-anak mereka ke taman asuhan yang mendedahkan mereka kepada pelbagai jenis virus daripada kanak-kanak lain, termasuk bayi.

“Saya sendiri menyedari hal ini setelah anak saya menghidap pneumonia yang teruk sehingga kedua paru-parunya gagal berfungsi dan hidup hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua minggu,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tragedi

Dalam nada sedih mengenangkan tragedi yang menimpa anak keempatnya itu, Ritzzamoni yang kini menjadi suri rumah sepenuh masa berkongsi pengalaman tersebut dengan menceritakan anaknya, Ros Aqidah menghidap pneumonia ketika berumur tiga bulan setelah dihantar ke taman asuhan kerana dia dan suami bekerja.

Seperti kakak dan abangnya yang lain, Ros Aqidah juga tidak menerima suntikan tambahan untuk mencegah radang paru-paru selain suntikan vaksin ‘tiga serangkai’ biasa kerana beliau dan keluarga tidak menyedari kewujudan vaksin untuk PnD, katanya.

Tidak lama selepas tinggal di pusat penjagaan kanak-kanak itu, dengan kehendak-

Nya, Ros Aqidah tiba-tiba mengalami demam selama tiga hari, lemah dan tidur lama sehinggalah hari ketiga yang menyaksikan mulutnya menjadi kelabu dan corak pernafasan pelik sehingga menampakkan tulang rusuk.

Dalam keadaan panik, Ritzzamoni membawa anaknya itu ke klinik sebelum kes anaknya segera dirujuk ke hospital dan dimasukkan ke ICU. Doktor mengesahkan paru-paru anaknya itu tidak lagi berfungsi dan mesin ventilator amat diperlukan bagi membolehkannya terus bernafas.

“Saya sangat sedih apabila melihat Ros Aqidah yang ketika itu belum mencapai umur enam bulan terpaksa bernafas menggunakan tiub di samping tiub-tiub lain berselang-seli di muka serta badannya, apatah lagi selepas doktor memaklumkan peluang untuknya pulih amat tipis,” menurutnya.

Namun, setelah proses penyedut lendir yang turut disertai darah dengan disusuli oleh proses imbasan x-ray, doktor mendapati tahap kebergantungan Ros Aqidah terhadap mesin tersebut semakin berkurangan dan dia dimasukkan ke wad biasa untuk proses pemantauan.

Syukur kepada Allah Taala, kini Ros Aqidah telah sembuh sepenuhnya, ceria dan selalu ketawa serta telah mengambil dua daripada empat suntikan vaksin pravena bagi mengelakkan penyakit tersebut daripada berulang.

Mengenai kos rawatan, keluarganya membelanjakan sekitar RM15,000 sepanjang proses berkenaan dan jumlah itu tidak termasuk rawatan susulan yang diambil sejak hari pertama Ros Aqidah keluar dari hospital.

Sekarang, beliau dan anaknya itu banyak menghadiri sesi ceramah penyakit pneumonia anjuran Wyeth untuk memberi kesedaran kepada masyarakat negara ini mengenai kepentingan untuk mengambil suntikan vaksin pencegah PnD yang semakin membimbangkan rakyat tempatan terutamanya kanak-kanak.

PnD berpunca daripada jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae, juga dikenali sebagai pneumokokus yang menyebabkan penyakit seperti otitis media (jangki tan telinga), pneumonia (radang paru-paru), bakteremia (kuman dalam darah) dan meningitis (radang selaput otak) terutamanya di kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan warga emas melebihi umur 65 tahun.

Antara pemimpin dunia yang meninggal dunia akibat penyakit penumonia ialah bekas Presiden AS, Gerald R. Ford yang meninggal setahun selepas diserang pneumonia dan bekas Presiden Indonesia, Suharto yang meninggal dunia baru-baru ini.


Ditulis oleh:
Amran Ahmad

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment