Peminat Setia Doktor Pakar

Thursday, May 08, 2008

Dunia Pelancongan Perubatan

Pelancongan perubatan (medical tourism) merupakan satu sektor yang kini muncul sebagai fenomena baru dan berkembang dengan pantas di mana pesakit-pesakit mendapatkan rawatan di luar negara walaupun rawatan serupa ditawarkan di negara sendiri. Keadaan tersebut berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya kos perubatan yang lebih murah sedangkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan setanding dengan perubatan di negara maju.

Biasanya keadaan ini berlaku di mana rakyat negara maju mendapatkan rawatan di negara membangun. Sebagai contohnya, pesakit negara maju yang tidak mempunyai insurans atau tidak ditanggung sepenuhnya oleh agensi insurans mengambil alternatif mendapatkan rawatan perubatan di luar negara.

Ini kerana perkhidmatan yang ditawarkan sama tarafnya berbanding negara mereka, dengan kos yang jauh lebih rendah di samping membolehkan mereka melancong di luar negara sambil mendapatkan rawatan.

Tawaran hebat

Sebenarnya, konsep pelancongan perubatan ini bukan sesuatu yang baru. Ia telah muncul sejak dulu dan kini semakin diperkembangkan.

Kini terdapat banyak negara yang menawarkan perkhidmatan ini kepada pesakit dari seluruh dunia termasuk India, Brunei, Cuba, Colombia, Hong Kong, Hungary, Jordan, Lithuania, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Arab Saudi, Jerman, Sepanyol, Tunisia dan New Zealand. Antara rawatan yang ditawarkan dalam sektor ini termasuklah pembedahan jantung, pemindahan organ dan pembedahan plastik.

Malaysia juga semakin berkembang menjadi salah sebuah destinasi pelancongan perubatan yang popular di mata dunia. Negara bukan sahaja memiliki kemahiran perubatan yang setanding dengan negara maju malahan pada harga yang lebih rendah sehingga mendapat sambutan baik rakyat luar negara menjalankan rawatan kesihatan di negara ini.

Terdapat banyak hospital tempatan menawarkan pelbagai perkhidmatan perubatan termasuk perkhidmatan kesihatan kritikal dan juga rawatan pemulihan. Salah satu faktor menggalakkan perkembangan sektor ini adalah penjimatan kos dan pengurangan waktu menunggu pesakit mendapatkan rawatan.

Rawatan perubatan di negara barat biasanya melibatkan kos yang tinggi. Ini menyebabkan ramai di antara mereka suka mendapatkan rawatan di destinasi pelancongan perubatan yang menawarkan kos yang lebih rendah.

Menurut Presiden Medical Insights International, Michael D. Horowitz, di sesetengah negara misalnya negara Barat, penduduknya perlu membayar kos rawatan yang tinggi.

‘‘Harganya jauh berbeza bagi pesakit menjalankan pembedahan atau rawatan yang sama di negara asal mereka berbanding di luar negara.

“Oleh itu, mereka lebih cenderung untuk mendapatkan rawatan melalui sektor ini (pelancongan perubatan) yang dapat membantu mereka menjimatkan kos rawatan,’’ katanya ketika membentangkan penyelidikannya mengenai sektor pelancongan perubatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Medical Insights International merupakan satu firma yang membuat analisis dan juga penyelidikan tentang pelancongan perubatan dan membekalkan maklumat berkaitan kepada sesiapa yang berminat melibatkan diri di dalam sektor ini.

Horowitz menjelaskan pesakit boleh mendapatkan rawatan dengan kos yang lebih rendah di negara yang popular dalam sektor ini termasuk India, Thailand dan Singapura.

Pada tahun 2005, salah sebuah hospital di Bangkok, Thailand menerima kira-kita 150,000 permintaan untuk mendapatkan rawatan perubatan. Pada 2006 pula, Thailand mencatatkan keuntungan sebanyak 36.4 bilion baht (RM3.63 bilion) melalui sektor ini.

Ini kerana Thailand menawarkan pelbagai perkhidmatan perubatan, dari pembedahan jantung hingga ke pemindahan organ, dengan kos yang jauh lebih rendah berbanding negara barat. Sebagai contoh, seorang pesakit yang menjalankan pembedahan pintasan koronari arteri di Hospital Bangkok hanya melibatkan kos keseluruhan sekitar AS12,000 (RM37,908) berbanding hampir 10 kali ganda atau kira-kira AS100,000 (RM315,947) sekiranya menjalankan pembedahan yang sama di negara asal.

Selain itu, menjalankan rawatan di luar negara juga dapat menyelesaikan masalah barisan menunggu giliran bagi pembedahan di mana pesakit perlu menunggu untuk satu tempoh yang lama bagi mendapatkan rawatan disebabkan sistem atau prosedur yang telah ditetapkan di negara masing-masing.

Oleh itu, mereka cenderung memilih untuk mendapatkan rawatan di luar negara. Kerajaan Britain juga kini mula menggalakkan rakyatnya mendapatkan rawatan di luar negara supaya mereka tidak perlu menunggu masa yang lama dan juga atas dasar kos rawatan yang lebih rendah berbanding di negara sendiri.

Baik dan buruk

Seseorang yang merancang untuk mendapatkan rawatan perubatan atau menjalani pembedahan di luar negara perlu mempertimbangkan pelbagai perkara.

Salah satunya adalah mereka perlu mempertimbangkan adakah insurans yang mereka miliki akan menanggung sepenuhnya kos rawatan jika pembedahan atau rawatan dijalankan di luar negara. Ini kerana berdasarkan kepada jenis insurans yang dimiliki dan juga prosedur yang diperlukan, anda mungkin tidak dijamin sepenuhnya dengan insurans yang dimiliki.

Oleh itu, sebelum mendapatkan rawatan di luar negara, anda perlu merujuk kepada agensi insurans untuk mendapatkan maklumat tepat perlindungan polisi insurans yang telah diambil. Selain itu, proses untuk mendapatkan maklumat mengenai hospital di negara sendiri juga lebih mudah bagi membolehkan mereka membuat perbandingan kemudahan yang ditawarkan.

Maklumat tentang perkhidmatan perubatan yang ditawarkan oleh hospital di luar negara pula mungkin lebih sukar diperoleh bukan sahaja dari segi perbezaan cara kerja, malahan sistem pengurusan, penilaian dan jarak.

Mereka yang berminat mencuba pelancongan perubatan dinasihatkan mendapatkan maklumat terperinci perkhidmatan yang ditawarkan terlebih dahulu bagi mengelakkan berlakunya sesuatu yang tidak diingini kemudian.

Dengan lebih banyak perkhidmatan yang ditawarkan terbukti selamat, berkesan dan pada harga berpatutan, pelancongan perubatan mungkin membawa makna baru dalam gabungan dunia perubatan dan juga pelancongan sejagat kelak.


Ditulis oleh:
Yang Chin Mee

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment