Peminat Setia Doktor Pakar

Sunday, July 27, 2008

Skizofrenia Bukan Masalah Disampuk Jin

Dianggarkan satu daripada 100 orang di seluruh dunia, menghidap skizofrenia, satu daripada penyakit mental paling serius. Di Malaysia sahaja, dianggarkan satu peratus penduduk menghidap skizofrenia yang mana bilangannya sama banyak antara lelaki dan wanita.

Penyakit ini mempunyai gejala positif (halusinasi dan delusi), gejala negatif (kemurungan, pengasingan diri dan emosi yang tidak terkawal) dan pemikiran yang tidak teratur.

Antara faktor yang dikatakan meningkatkan risiko seseorang untuk menghidap skizofrenia adalah pengaruh genetik, trauma (kecederaan) pada otak sewaktu atau ketika dilahirkan selainnya dari kesan pengasingan sosial ataupun tekanan.

Ketua Jabatan Perubatan Psikologikal Universiti Malaya, Prof. Dr. Mohamad Hussain Habil berkata, ramai pesakit skizofrenia lambat mendapatkan rawatan menyebabkan sukar untuk pulih.

Ini kerana keluarga tidak tahu perubahan tingkah laku yang dialami oleh pesakit adalah di sebabkan skizofrenia, malah yang biasa dilakukannya menghantar pesakit ini berubat dengan cara keagamaan kerana dipercayai telah disampuk jin, syaitan dan pelbagai makhluk halus.

‘‘Kerana wujudnya salah anggapan itu, maka pesakit lewat mendapat rawatan, cuma datang ke hospital apabila pesakit bertindak agresif. Mereka agresif hanya pada keluarga dan tidak kepada orang lain.

‘‘Justeru itu bagi mencegah schizofrenia, pesakit perlu mendapat rawatan awal sebaik sahaja menyedari terdapat perubahan ke atas dirinya supaya kerosakan pada otak dapat dirawat dan potensi untuk pulih lagi cerah,’’ katanya ketika menyampaikan ceramah mengenai All about Schizophrenia: The Facts and Myths and Bridging Psychosis with Reality di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Dr. Mohamad Hussain, secara tipikalnya skizofrenia terbentuk pada remaja atau awal usia 20-an sekali pun gejala yang ditunjukkan tidak jelas sehingga usia agak lewat.

Kebanyakan kaum lelaki jatuh sakit seawal usia 16 hingga 25 tahun manakala kaum wanita mula menunjukkan gejala ini antara usia 23 hingga 36 tahun.

‘‘Penyakit mungkin terjadi tiba-tiba namun sebelum sebelum episod pertama berlaku, ada perubahan ketara pada tingkah laku seseorang seperti mudah baran, murung, mengasingkan diri dan tidak boleh belajar atau bekerja dengan baik.

“Ramai orang muda mempunyai corak sikap begini tetapi tidak sakit. Namun, jika keadaan ini sering berlaku dan semakin buruk, ia seharusnya diberi perhatian.

‘‘Penyakit ini boleh bermula dengan pengambilan dadah. Adakalanya penyakit ini tersembunyi disebabkan dadah kerana dadah atau perbuatan menghidu gam yang dikaitkan dengan tingkah laku tidak menentu,’’ katanya.

Tambahnya, ramai pesakit menjadi penganggur atau diberhentikan kerja kerana penyakit ini. Ramai majikan tidak mahu mengambil pekerja yang ada skizofrenia kerana kurang faham mengenai keadaan mereka.

‘‘Gangguan ini memberi kesan besar pada aktiviti sosial mereka kerana kemampuan berinteraksi adalah rendah, keadaan kesihatan mental dan fizikal mereka lemah, tidak makan dengan baik, merokok dan mengambil minuman keras secara berlebihan dan gangguan terhadap kehidupan keluarga tidak dapat dielakkan kerana secara puratanya penjaga perlu menghabiskan 15 jam seminggu untuk menjaga ahli keluarga yang menghidap skizofrenia.

‘‘Sementara itu, masyarakat juga menanggung beban kerana keperluan penjagaan di hospital dan rumah, ubatan, keselamatan sosial dan sistem keadilan awam lain,’’ jelasnya.

Beliau memberitahu, selain daripada pemberian ubatan bagi merawat pesakit, mereka juga perlu menjalani beberapa program bagi membantu pesakit mencapai kefungsiannya atau kembali normal.

‘‘Inilah yang menyebabkan kos untuk merawat penyakit skizofrenia ini merupakan yang termahal. Di Amerika Syarikat sahaja pada tahun 1999, sebanyak AS$32.5 bilion (RM100.75 bilion) dibelanjakan untuk merawat penyakit ini. Ini adalah kos yang terpaksa digunakan kerana kelewatan pesakit mendapat rawatan,’’ ujarnya.

Sementara itu, Profesor Bersekutu Klinikal Columbia University College of Physicians & Surgeons, Prof. Zafar Sharif berkata, walaupun tiada rawatan yang boleh mengubati skizofrenia, ia boleh diurus dengan rawatan tertentu iaitu rawatan oral dan penggunaan ubat antipsikotik.

Suntikan intra-muskular iaitu antipsikotik konvensional sudah diperkenalkan sejak tahun 1960-an bertujuan bagi mengatasi masalah mematuhi rawatan. Kejayaan banyak terbukti. Banyak kajian menunjukkan pesakit memilih suntikan yang bertindak jangka panjang berbanding dengan rawatan oral. Namun begitu, antipsikotik ini mempunyai kelemahan kerana ia berasaskan minyak dan sering dikaitkan dengan rasa sakit atau alahan.

Manakala, Risoerdal Consta adalah ubat antipsikotik antipikal yang pertama terdapat dalam formulasi bertindak jangka panjang. Dengan menggunakan antipsikotik ini, pesakit tidak perlu memikirkan untuk mengambil pil harian.

‘‘Kajian untuk penambahbaikan ubat antipsikotik ini sentiasa dijalankan bagi meningkatkan keserasian, keselamatan dan kepatuhan rawatan. Sehubungan itu, baru-baru ini, formulasi oral baru bagi meningkat rawatan pilihan diperkenalkan.

‘‘Invega adalah ubat antipsikotik atipikal oral dengan mekanisme perlepasan berlanjutan bagi rawatan akut dan rawatan pencegahan berulang skizofrenia. Invega dengan dosnya sekali sehari, direka khusus bagi pengeluaran paliperidone (bahan aktif) menerusi teknologi perlepasan unik OROS terbukti akan profil keberkesanan, keselamatan dan ketahanan.

‘‘Daripada kajian-kajian klinikal sudah terbukti pada ramai pesakit, Invega mampu mengurangkan gejala skizofrenia, termasuk pada kali pertama, meningkatkan kefungsian pesakit berdasarkan Performance and Social Performance Scale,’’’ jelasnya.

Menurut Zafar, kesannya dapat dilihat seawal hari keempat di mana kajian klinikal secara statistiknya menunjukkan perbezaan ketara dibandingkan dengan penggunaan plasebo atau gejala skizofrenia. Apabila digunakan pada kadar yang dicadangkan, kesan sampingan Invega 6mg adalah berbandingan dengan plasebo.

‘‘Dengan teknologi inovatif OROS, Invega memberi peluang kepada ramai penghidap skizofrenia menguruskan penyakit mereka bersama kumpulan rawatan untuk menikmati kehidupan lebih bermakna dan produktif.

‘‘Invega melepaskan paliperidone iaitu satu entiti kimia dan merupakan rawatan bagi skizofrenia yang menggunakan teknologi pengeluaran berterusan OROS. Teknologi OROS menawarkan pelepasan ubatan yang konsisten dalam tempoh 24 jam dengan mengurangkan fluktuasi puncak dan jurang pada kepekatan plasma ubatan,’’ katanya.

Tambahnya, kelulusan penggunaan Invega adalah berdasarkan keputusan program pembangunan klinikal membabitkan 1,306 pesakit dalam tiga kajian utama yang dijalankan di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Sukatan primer untuk melihat keberkesanan ubat rawatan adalah dengan Positive and Negative Syndrome Scale (PANSS), satu skala yang biasa digunakan dalam penyelidikan skizofrenia bagi mengukur tahap gejala positif atau negatif.

‘‘Kadar pemberhentian pengambilan ubat Invega disebabkan kesan sampingan adalah lebih rendah berbanding dengan plasebo (5 peratus plasebo dibandingkan dengan Invega.

‘‘Selain mematuhi arahan rawatan, keluarga dan pesakit perlu mempunyai pengetahuan mengenai skizofrenia, gejala dan ubatan yang disyorkan bagi merawat pesakit kerana maklumat ini adalah sebahagian daripada proses rawatan khususnya untuk menyokong rasionalnya untuk mematuhi arahan,’’ jelasnya.


Ditulis oleh:
Sadatul Mahiran Rosli

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment