Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, April 30, 2008

Dialisis Kanak-Kanak

Bagi kanak-kanak yang menghidapi penyakit buah pinggang, masa depan mereka akan menjadi malap jika tidak menjalani dialisis dan tiada ihsan kemanusiaan.

Airul Mohamad Safie, 14, anak bongsu daripada lima adik-beradik dikenal pasti menghidap penyakit kegagalan buah pinggang sejak berumur sembilan tahun. Dua daripada kakaknya juga menghidapi penyakit ini pada usia yang muda. Salah seorang daripadanya meninggal dunia akibat komplikasi sampingan selepas didiagnosis pada umur empat tahun. Ibunya, Jamilah terpaksa berulang-alik dari Kuala Selangor ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan untuk anak-anaknya. Selama 23 tahun, Jamilah terpaksa menanggung beban kos rawatan dan pengangkutan awam.

Rajeswari Mathavam pula didiagnosis menghidap kegagalan buah pinggang peringkat akhir pada usia lima tahun apabila mata dan badannya bengkak. Namun hari ini, pada usia 10 tahun, hidup Rajeswari seperti kanak-kanak lain. Cuma, beliau perlu melakukan dialisis dalam persekitaran bersih setiap hari pada pukul 8 malam.

Tahukah anda kegagalan buah pinggang boleh berlaku kepada kanak-kanak, walaupun seawal tahun pertama kehidupan mereka? Penyakit yang diwarisi merupakan antara punca penyakit buah pinggang di kalangan kanak-kanak dari tahap kelahiran sehingga umur lima tahun. Manakala bagi yang berumur 10 hingga 19 tahun, penyakit glomerular merupakan penyebab utama penyakit buah pinggang. Glomerular berlaku apabila unit penapisan (glomeruli) buah pinggang rosak, menyebabkan protein masuk ke dalam air kencing. Keluaran protein yang meningkat secara berterusan akan menyebabkan kegagalan buah pinggang.

Penyakit buah pinggang juga boleh berlaku semasa pembentukan fetus dalam kandungan disebabkan perkembangan unit perfungsian sel (nefron) yang abnormal dalam buah pinggang. Kanak-kanak juga boleh dilahirkan dengan buah pinggang yang tidak normal dan tidak berupaya berfungsi dengan betul. Ini mungkin berkaitan ataupun tidak berkaitan dengan sekatan saluran kencing. Sebab-sebab lain yang menyebabkan penyakit ini kronik termasuklah pembalikan aliran air kencing ke dalam buah pinggang.

Tanda-Tanda Dan Pencegahan

Bagaimanakah anda tahu sekiranya seseorang kanak-kanak sedang menderita akibat penyakit buah pinggang, terutamanya apabila kanak-kanak itu tidak tahu menyuarakan ketidakselesaan ataupun perasaannya?

"Ibu bapa harus lebih prihatin atas tumbesaran yang normal bagi kanak-kanak dan tumbesaran mereka tidak terencat. Kanak-kanak cepat membesar dalam dua tahun yang pertama kehidupan.

"Kanak-kanak yang menghidapi penyakit buah pinggang mungkin mengalami bengkak terutamanya kawasan sekeliling mata. Anemia atau kekurangan sel darah merah juga boleh menjadi simtom penyakit buah pinggang kronik," jelas Pakar Pediatrik Nefrologi dari HKL yang juga ahli lembaga Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF), Dr. Lim Yam Ngo.

Dialisis Untuk Kanak-Kanak

Jika penyakit buah pinggang kronik menjadi semakin teruk, ini akan menyebabkan kegagalan buah pinggang peringkat akhir yang memerlukan dialisis. Peritoneal dialisis yang terdiri daripada Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) dan Automated Peritoneal Dialysis (APD) adalah jenis rawatan yang biasa digunakan untuk kanak-kanak yang menghidapi penyakit buah pinggang berbanding rawatan hemodialisis.

"Hemodialisis tidak dijadikan pilihan di kalangan kanak-kanak kerana mereka perlu ke pusat dialisis selama empat jam, tiga kali seminggu. Selain daripada itu, kanak-kanak juga takut dengan jarum yang digunakan dalam rawatan tersebut," kata Dr. Lim.

Untuk kaedah CAPD, pesakit mempunyai satu kateter tetap yang dimasukkan ke dalam badan. Melalui kateter ini, cecair dialisis dimasukkan ke dalam abdomen pesakit. Bahan kumuh dari badan akan disingkirkan melalui cecair dialisis tersebut yang dikeluarkan selepas empat hingga enam jam.

Cecair dialisis yang baru dimasukkan ke dalam badan. Proses untuk pemasangan pertukaran cecair mengambil masa antara 30 hingga 45 minit setiap kali dan dilakukan oleh ibu bapa pesakit atau penjaga. Sesi rawatan pertukaran cecair mesti dijalankan setiap empat hingga enam jam, empat kali sehari. Jumlah masa yang diambil serta kekerapannya dalam sehari tidak mudah untuk kanak-kanak yang bersekolah dan yang kedua-dua ibu bapanya yang berkerja.

"Dengan APD, dialisis bermula pada waktu malam dan berterusan selama 10 jam semasa kanak-kanak tidur. APD membolehkan kanak-kanak menghadiri sekolah dan dapat mengurangkan beban dialisis pada keluarga terutama bagi ibu bapa yang bekerja.

"Kanak-kanak yang menjalani dialisis berkemungkinan mempunyai keyakinan diri yang rendah, kurang tumpuan dalam pelajaran serta kemahiran bahasa dan pergerakan yang lemah. Ibu bapa dan anak seharusnya diberi kaunseling supaya dapat mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi masalah seterusnya.

"Mereka harus belajar tentang penyakit ini dan cara menjalankan rawatan. Ia juga penting untuk ibu bapa berkongsi pengalaman dengan orang lain," kata Dr. Lim.

Penyakit buah pinggang kurang berlaku di kalangan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, tiada sesiapa pun dapat membantu mereka selain menghulurkan simpati.

Tetapi syukurlah, kerana terdapat rawatan dialisis untuk mereka tetapi memerlukan kos yang tinggi. Kini NKF membantu 21 kanak-kanak menjalani rawatan di HKL.

"Walaupun kanak-kanak ini mempunyai penyakit buah pinggang pada usia muda, mereka berpeluang membesar seperti biasa. Bantulah NKF supaya kami dapat memberikan harapan dan bantuan kepada pesakit yang mengalami masalah buah pinggang, terutamanya melalui Dana Dialisis Kanak-kanak ini," kata Pengerusi Lembaga Pengarah NKF, Dr.S.S.Gill. Untuk maklumat lanjut, layari www.nkf.org.my atau hubungi NKF melalui talian 1300-88-3110.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment