Peminat Setia Doktor Pakar

Thursday, April 03, 2008

Kerap Kencing, Masalah Prostat?

SOALAN:
Saya mengalami masalah kerap kencing walaupun saya tidak berada dalam persekitaran yang sejuk. Keadaan ini lebih kerap berlaku pada waktu malam. Adakah ia disebabkan oleh pembesaran kelenjar prostat? Untuk pengetahuan tuan saya berusia 56 tahun. Apakah yang terbaik untuk saya lakukan?


JAWAPAN:
Perubahan hormon akibat peningkatan usia bertanggungjawab kepada pembesaran prostat. Paras testosteron meningkat menjelang usia baligh dan hanya akan menurun pada usia sekitar 17 tahun. Apabila usia meningkat, risiko untuk mengalami pembesaran kelenjar prostat juga meningkat di mana hormon testosteron ditukarkan kepada dihidrotestosteron (DHT) akibat tindakan enzim 5 alpha reduktase. DHT menimbulkan masalah apabila pengumpulannya di dalam sel prostat menyebabkan pembahagian sel yang cepat, membawa kepada pembesaran prostat.

Apabila anda mendapat simptom-simptom seperti yang disebutkan, pemeriksaan doktor adalah cara terbaik untuk mengetahui penyebab sebenar.

Bagi ahli urologi Jerman dan Australia, Saw Palmetto adalah antara rawatan utama untuk kesihatan prostat. Ia berkesan dan selamat untuk meringankan simptom-simpton ringan dan sederhana akibat pembesaran prostat. Bahan sterol tumbuhannya dipercayai boleh mengelak perkembangan sel prostat dengan bertindak ke atas enzim yang mengubah testosteron kepada DHT. Kebanyakan lelaki mendapat perubahan positif selepas 12 minggu pengambilannya. Masyarakat terdahulu juga mempercayai bahawa Saw palmetto adalah tonik seksual dan afrodisia walaupun belum disahkan oleh kajian sains.

Dalam perubatan tradisional, biji labu digunakan untuk merawat pembesaran prostat dan mengembalikan kesihatan pembuangan air kencing. Suku kaum asli Amerika menggunakan biji labu untuk merawat pelbagai masalah, seperti kencing malam di kalangan kanak-kanak. Biji labu kaya dengan zink, asid lemak perlu dan juga sterol tumbuhan yang dapat meringankan simptom-simptom akibat pembesaran kelenjar prostat dan juga perkembangan sel prostat.

Pengambilan daging dan lemak seharusnya dihadkan kerana ia menjana radikal bebas yang dikaitkan dengan pelbagai masalah prostat termasuk kanser prostat. Sebaliknya, tingkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan antioksida, buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi serat untuk menggalakkan penyembuhan dan meneutralkan radikal bebas. Senaman seperti berjalan dan berenang adalah digalakkan kerana ia meningkat pengaliran darah termasuk ke prostat. Senaman yang intensif seharusnya dielakkan kerana ia mungkin memburukkan lagi masalah.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment