Peminat Setia Doktor Pakar

Sunday, March 16, 2008

Kaki Pendek Sebelah

SOALAN:
Doktor, Saya berumur belasan tahun dan pernah mengalami kecederaan di kaki setelah mengalami rempuhan di kaki oleh sebuah kereta yang melanggar bahagian lutut semasa saya menaiki motosikal kira-kira empat tahun lalu.

Selepas kejadian itu, kaki saya kelihatan hanya lebam-lebam dan tiada kecederaan teruk.

Kerana menyangkakan tiada kecederaan besar, saya tidak ke hospital dan hanya meletakkan ubat sapu di kaki.

Bagaimanapun, sekarang saya merasakan kaki saya pendek sebelah sedangkan kawan-kawan saya mengatakan tidak.

Adakah disebabkan kemalangan itu kaki saya boleh menjadi pendek? Semoga doktor dapat memberi nasihat kepada saya.

Remaja Pelik

JAWAPAN:
Mengikut maklumat yang diberikan, kemalangan tersebut berlaku ketika anda masih muda atau awal usia remaja.

Usia muda ini merupakan titik penting dalam tumbesaran tulang terutamanya bagi memastikan pembentukan kerangka yang selari dan bersimetri.

Tulang kanak-kanak dikategorikan sebagai tulang yang belum matang dan menjalani proses pembesaran pesat sehinggalah ke peringkat umur tertentu di mana proses pembesaran berhenti.

Terdapat juga perbezaan di antara lelaki dan perempuan, iaitu pembesaran lelaki akan berterusan sehingga umur 16 ke 19 tahun tetapi bagi perempuan pula hanya hingga ke lingkungan umur 13 ke 16 tahun.

Bahagian tulang bagi tangan dan kaki pula membesar dan memanjang di kawasan sendi iaitu di sendi bahu, siku dan pergelangan tangan bagi tangan dan di kawasan pinggul, lutut dan pergelangan kaki bagi kaki.

Ini dinamakan ‘epiphyseal growth plate’ (kawasan pembesaran tulang) yang akan matang sepenuhnya pada usia yang tersebut di atas.

Oleh itu, sekiranya terdapat kecederaan pada kawasan pembesaran tulang ini, berkemungkinan akan terdapat gangguan pada proses tumbesaran tulang di mana pembesaran tulang boleh menjadi perlahan atau dipercepatkan oleh kecederaan tersebut.

Akan tetapi kesan tulang yang lebih pendek atau panjang itu hanya boleh diketahui selepas beberapa tahun kemudian.

Perasaan kaki yang pendek sebelah boleh ditentukan dengan pemeriksaan rapi oleh doktor perubatan atau pakar Ortopedik, yang mana perbandingan dengan kaki yang ‘normal’ akan dilakukan.

Ini boleh dilakukan dengan perbandingan secara visual (melalui perbandingan aras lutut dan buku lali) atau perbandingan dengan menggunakan pita pengukur dan diukur dalam sentimeter.

Perbandingan secara pengukuran adalah lebih tepat lagi di mana sekiranya berlaku perbezaan pada panjang kaki tersebut, rawatan susulan boleh dicadangkan.

Sekiranya terdapat perbezaan yang minimum iaitu antara dua dan lima sentimeter, rawatan yang diperlukan hanyalah pengubahsuaian pada tumit kasut agar selari dan sama tinggi dengan panjang kaki yang normal.

Tetapi sekiranya melebihi lima hingga 10 sentimeter, pengubahsuaian tumit kasut yang lebih tinggi hanya akan mengurangkan kestabilan sewaktu berdiri dan berjalan.

Oleh itu, pemeriksaan rapi oleh pakar Ortopedik adalah disarankan agar dapat memberikan nasihat rawatan yang sewajarnya sama ada anda perlu atau tidak menjalani rawatan yang melibatkan pembedahan pemanjangan tulang yang dikenali sebagai prosedur memanjangkan tulang (bone lengthening procedure).

Rawatan jenis ini disarankan untuk pesakit yang mempunyai perbezaan panjang tulang melebihi 10 sentimeter.


Ditulis oleh:
Dr Khaizatul Ezam Abu Bakar
Pakar Perunding Ortopedik dan Trauma,
Pakar Artroskopi dan Kecederaan Sukan,
Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

1 comment:

  1. As salam,

    masalah kaki pendek dapat diatasi tanpa pembedahan dengan terapi Yumeiho...
    boleh rujuk pada www.facebook.com/bekam.nilai

    Terima Kasih

    ReplyDelete