Peminat Setia Doktor Pakar

Tuesday, March 25, 2008

Tujuh Bulan Tidak Datang Haid

SOALAN:
Doktor, saya berumur 24 tahun dan masih bujang. Saya mengalami masalah kitaran haid tidak menentu.

Hampir tujuh bulan darah haid saya tidak keluar dan sepanjang tempoh itu juga saya berasa amat bimbang.

Setakat ini saya belum menjalani sebarang ujian atau mendapatkan apa-apa rawatan di hospital atau klinik.

Apakah langkah terbaik yang perlu saya lakukan dan apakah punca sebenar masalah saya ini?

Kiah


JAWAPAN:
Melalui maklumat yang diberikan, masalah yang saudari alami ini mungkin melibatkan tahap hormon yang tidak seimbang.

Ini dapat dipastikan dengan ujian darah bagi menentukan kandungan dan tahap hormon yang dihasilkan badan saudari.

Ujian darah juga dapat membantu doktor menentukan kaedah rawatan paling sesuai untuk saudari, seperti pemberian ubat hormon untuk melancarkan kembali kitaran haid.

Pastikan juga berat badan saudari dikekalkan pada tahap ideal mengikut ketinggian badan bagi mengelakkan masalah sampingan kepada kitaran haid.

Tempoh tujuh bulan itu juga cukup lama untuk saudari menunggu dan tidak mendapatkan pandangan pakar perubatan.

Saudari dicadangkan berjumpa doktor untuk menjalani ujian darah dan mendapatkan nasihat rawatan terbaik untuk masalah ini.


Ditulis oleh:
Dr Norleen Mohd Salleh
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan,
Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment