Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, March 19, 2008

Pesakit Strok Ngilu Di Punggung

SOALAN:
Doktor, saya berumur 51 tahun, warganegara Indonesia. Kira-kira empat tahun lalu, saya telah disahkan oleh doktor menghidap strok atau angin ahmar.

Sejak akhir-akhir ini, kurang lebih satu tahun, saya sering berasa sakit atau ngilu sekali pada tulang punggung terutama tulang belikat setelah saya melakukan aktiviti olahraga seperti berjalan atau bersenam dan apabila saya mengalami perubahan emosi seperti marah.

Ia hanya akan hilang setelah diurut oleh perawat saya kira-kira setengah jam. Saya kini mengambil ubat minum Agrenox (pengencer darah), Angioten (darah tinggi), Niaspan (kolesterol) dan kalau sakit di punggung atau belikat saya minum Somadril (relaksasi/merehatkan otot).

Strok yang saya deritai juga bersifat spastik. Setiap hari saya melakukan latihan jalan dan senam sendiri selama dua jam di samping fisioterapi di rumah sakit. Terima kasih atas saranan doktor.

Budiyanto


JAWAPAN:
Pesakit strok selalunya mengalami kekejangan otot pada separuh badan kiri atau kanan bergantung kepada lokasi strok tersebut.

Strok atau angin ahmar yang berlaku di otak sedikit sebanyak boleh mengganggu bahagian otak yang mengawal emosi/kemarahan.

Selain itu kekejangan otot itu juga lama-kelamaan akan menyebabkan sendi-sendi menjadi kaku atau keras sekiranya tidak digerakkan dalam satu jangka masa tertentu.

Oleh itu, rehabilitasi/pemulihan semula untuk pesakit strok adalah sangat penting selain daripada ubat-ubatan yang dibekalkan.

Untuk mengawal emosi, kemungkinan saudara boleh berjumpa dengan pakar psikologi atau psikiatrik untuk mendapatkan bantuan.

Bagi masalah otot pula, aktiviti meregangkan kembali otot-otot melalui fisioterapi hendaklah dilakukan secara berterusan, pada setiap hari dengan bantuan ahli keluarga yang lain untuk mengurangkan ketegangan otot.

Sekiranya masalah kesakitan ini berterusan, hendaklah berjumpa dengan doktor pakar yang mana sekiranya pembedahan perlu dilakukan, ini dapat mengurangkan ketegangan otot-otot tertentu melalui kaedah melegakan tisu lembut.

Saudara juga disarankan berjumpa dengan pakar perubatan dan berbincang dengan beliau kaedah-kaedah terbaru perubatan yang boleh mengurangkan ketegangan otot.


Ditulis oleh:
Dr Khaizatul Ezam Abu Bakar
Pakar Perunding Ortopedik dan Trauma,
Pakar Artroskopi dan Kecederaan Sukan,
Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment