Peminat Setia Doktor Pakar

Saturday, March 15, 2008

Lutut Tidak Boleh Dibengkokkan Sepenuhnya

SOALAN:
Doktor, saya pernah mengalami satu kemalangan jalan raya pada tahun 1985. Akibatnya, lutut kanan saya tidak boleh dibengkokkan sepenuhnya. Adakah kaedah rawatan atau pembedahan yang boleh memperbetulkan masalah seumpama ini?

Ruzailan

JAWAPAN:
Lutut merupakan salah satu sendi jenis engsel dengan tiga ruang utama yang diselaputi oleh tulang rawan di samping ligamen dan meniskus.

Kecederaan yang kerap dialami di bahagian lutut terutamanya selepas kemalangan jalan raya adalah seperti berikut:

1. Patah tulang paha dengan penglibatan ruang sendi

2. Patah tulang betis dengan penglibatan sendi lutut

3. Kecederaan meniskus dan ligamen

4. Kecederaan tulang rawan dan kesudahannya, artritis pascatraumatik.

Setiap kecederaan mempunyai rawatan sewajarnya yang berasaskan pemulihan fungsi pergerakan dan kekuatan otot- otot yang berhampiran.

Sewajarnya, selepas kecederaan dan sekiranya pembedahan telah dijalankan seperti memasukkan implan seperti plate dan skru, pesakit akan dirujuk untuk menjalani proses fisioterapi – antara faktor utama dalam proses pemulihan.

Rawatan fisioterapi akan dijalankan oleh jurupulih anggota yang berpengalaman dengan kaedah-kaedah untuk mengembalikan kekuatan otot serta pergerakan sendi yang terlibat.

Walau bagaimanapun, jika kecederaan yang dialami melibatkan kerosakan tulang rawan, maka masalah utama yang kerap dialami pesakit adalah pergerakan sendi yang terhad walaupun setelah menjalani rawatan.

Keadaan ini terutama sekali terjadi sekiranya sendi telah menunjukkan tanda-tanda kerosakan kekal (artritis pascatraumatik).

Sekiranya kecederaan yang dialami tidak melibatkan patah tulang, maka seterusnya masalah meniskus dan ligamen mungkin menyebabkan pergerakan sendi lutut yang terhad.

Di antara kaedah yang sedia ada pada waktu ini adalah dengan menggunakan Pengimejan Resonans Magnetik (Magnetic Resonance Imaging/ MRI).

Kelebihan MRI adalah dari segi keupayaannya untuk memberikan gambaran yang jelas akan keadaan struktur-struktur di dalam sendi yang terlibat seperti ligamen dan meniskus lutut.

Seandainya MRI menunjukkan tanda-tanda terdapat kecederaan meniskus ataupun ligamen, pesakit boleh berunding dengan doktor pakar ortopedik yang merawat mereka mengenai rawatan selanjutnya seperti pembedahan artroskopik.

Menerusi prosedur ini, satu kamera kecil (artroskopi) bersama peralatan khusus digunakan untuk meninjau keadaan sendi lutut melalui dua ataupun tiga pembukaan kecil lebih kurang 1 sentimeter panjang setiap satu bagi memperbetulkan kerosakan yang ada.

Pembedahan yang boleh dilakukan secara artroskopik termasuklah pembetulan meniskus, menisektomi, pembinaan semula ligamen cruciate dan sebagainya.

Memandangkan kecederaan yang dialami saudara berlaku lebih kurang 22 tahun yang lalu, adalah wajar sekiranya Ruzailan berjumpa dengan pakar ortopedik di hospital berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

Diharapkan maklumat ringkas ini dapat membantu sedikit sebanyak menjawab soalan-soalan yang saudara kemukakan itu.


Ditulis oleh:
Dr Marvin Joseph Nair
Pakar Bedah Ortopedik dan Trauma,
Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment