Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label dr roliza ibrahim. Show all posts
Showing posts with label dr roliza ibrahim. Show all posts

Wednesday, March 19, 2008

Anak Batuk Dan Muntah Setiap Malam

SOALAN:
Doktor, anak kedua saya, perempuan, berusia 4 tahun lebih. Seperti kanak-kanak lain, dia aktif dan sihat. Menyusu botol tiga atau empat kali sehari dengan setiap susuan adalah pada kapasiti sembilan auns. Perkembangan tumbesaran mengikut kata doktor adalah normal.

Cuma apa yang membimbangkan saya ialah dia akan batuk-batuk pada setiap malam dan pengakhiran daripada batuk tersebut, dia akan memuntahkan segala isi perutnya. Barulah dia akan nyenyak tidur.

Keadaan bilik bukanlah sejuk ataupun panas sangat yang mungkin menyebabkan tercetusnya batuk itu. Saya juga akan memastikan bilik di sapu dan dibersihkan setiap hari bagi mengelakkan debu.

Jadi doktor, kami amat risau dengan keadaannya itu. Apakah terdapat kemungkinan lain yang menyebabkan dia berkeadaan sedemikian. Yang peliknya, dia tidak pula batuk pada siang hari.

Terima kasih di atas keprihatinan doktor.

Banges Munga


JAWAPAN:
Batuk di kalangan kanak-kanak adalah gejala yang kerap berlaku dan ada banyak faktor yang boleh menjadi faktor penyebabnya. Namun begitu, tidak banyak keadaan yang boleh menyebabkan batuk pada waktu malam.

Batuk waktu malam mungkin merupakan tanda awal penyakit lelah di kalangan kanak-kanak. Kanak-kanak yang menghidapi penyakit lelah pada awalnya boleh bermula dengan batuk berpanjangan terutama pada waktu malam dan awal pagi.

Dalam keadaan ini, mereka selalunya berkahak dan ini boleh menyebabkan batuk dan muntah. Sesetengah kanak-kanak juga mudah berhingus atau hidung berair pada waktu malam.

Di dalam keadaan begini juga, mereka boleh mengalami batuk pada waktu malam dan seterusnya muntah disebabkan oleh lendir yang banyak.

Bagi mengurangkan gejala ini, bilik haruslah kerap dibersihkan, seelok-eloknya bilik tidak ditempatkan dengan permaidani untuk mengurangkan habuk.

Saya nasihatkan puan agar membawa anak berjumpa doktor pakar untuk pemeriksaan selanjutnya.


Ditulis oleh:

Dr Roliza Ibrahim
Pakar Pediatrik,

Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Tuesday, March 18, 2008

Risiko Otak Gegar

SOALAN:
Doktor, baru-baru ini anak saya yang berusia lima bulan telah terjatuh dari katil yang agak tinggi dalam keadaan terlentang di lantai papan. Apabila terjatuh bayi saya hanya menangis yang sangat sekejap dan kelihatan sedikit terkejut. Saya khuatir berlaku gegaran otak atau kecederaan di dalam kepalanya.

Setakat ini, bayi saya tidak menunjukkan sebarang tanda yang mencurigakan misalnya, mengalami sawan, muntah atau menangis tidak henti-henti. Malah kelakuannya adalah seperti biasa. Soalan saya, apa yang boleh menyebabkan gegaran dan kecederaan pada otak bayi?

Adakah semestinya setiap kali kepala terhentak akan menyebabkan perkara tersebut? Adakah kemungkinan bayi saya akan mengalami kesan pada fizikal dan mentalnya di masa akan datang? Perlukah saya membawa anak saya berjumpa dengan doktor pakar?

Adakah amalan pengambilan zat-zat makanan tertentu seperti kalsium dapat membantu mengurangkan risiko gegaran dan kecederaan pada otak? Harap mendapat penjelasan doktor. Sekian, terima kasih.

Ibu Runsing,
Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Terima kasih kembali di atas pertanyaan puan. Otak manusia mempunyai beberapa lapisan perlindungan bagi mengurangkan risiko kecederaan kerana ia adalah salah satu organ yang penting untuk membolehkan kita berfungsi secara normal.

Otak kita terletak di dalam tempurung kepala dan dikelilingi oleh cecair otak bagi melindunginya daripada gegaran atau impak yang kuat apabila berlaku kecederaan.

Kecederaan otak boleh berlaku sama ada melalui trauma seperti jatuh atau gegaran yang kuat terhadap bayi iaitu jika bayi digoncangkan dengan kuat (sindrom bayi goncangan).

Seperti yang telah dinyatakan tadi, otak manusia mempunyai banyak lapisan perlindungan. Oleh itu, otak hanya akan tercedera atau mengalami gegaran yang kuat jika terjatuh dan terus menghempap kepala.

Kepala yang selalu terhentak tanpa impak yang kuat tidak akan mencederakan otak.

Bayi yang terus menangis sejurus selepas terjatuh merupakan satu petanda baik berbanding jika bayi terus terdiam atau pengsan selepas jatuh.

Jika tiada kesan seperti muntah, menangis yang berterusan atau sawan selepas 48 jam, besar kemungkinan jatuh tersebut tidak mempunyai kesan terhadap otak. Ini juga tidak akan mengganggu kesihatan fizikal dan mentalnya pada masa akan datang.

Pemeriksaan doktor boleh memberikan kepastian yang bayi tidak mengalami sebarang masalah akibat insiden tersebut.

Bayi yang masih menyusu akan mendapat bekalan kalsium yang cukup dan penambahan kalsium dalam makanan tidak akan menjamin bahawa otak tidak akan tercedera apabila terjatuh kerana trauma adalah suatu yang mekanikal.

Pastikan bayi anda tidak ditinggalkan di tempat yang tinggi seperti di atas katil bersendirian kerana pada usia lima bulan, mereka sudah mula berpusing dan terdedah kepada bahaya seperti terjatuh.


Ditulis oleh:

Dr Roliza Ibrahim
Pakar Pediatrik,

Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/