Senarai Doktor Pakar Yang Terdapat di Malaysia dan Bidang Kepakaran Mereka dan Soal Jawab Permasalahan Yang Dihadapi Oleh Pesakit. Pakar Bedah, Pakar Bius, Pakar Oftalmologi, Pakar Ortopedik, Pakar Otorinolaringologi, Pakar Sakit Puan, Pakar Sakit Tuan,Pakar Traumatologi, Pakar Kanak-Kanak, Pakar Sakit Hidung, Telinga & Mulut (List of Specialist Doctor in Malaysia and Daily Health Information for Malaysian)
Peminat Setia Doktor Pakar
Tuesday, February 17, 2009
Alergi Mata Kanak-Kanak
Dalam bahasa perubatan, penyakit ini dikenali sebagai allergic conjunctivitis. Keadaan ini menyebabkan mereka kerap tidak menghadiri persekolahan dan menimbulkan keresahan para ibu bapa.
Terdapat ramai juga di kalangan ibu bapa dan para guru yang kurang memahami tentang penyakit alergi mata ini dan menyangka keadaan ini boleh berjangkit kepada pelajar-pelajar lain.
Atas alasan tersebut, kanak-kanak dan remaja yang mengalami penyakit alergi mata dilarang menghadiri sesi persekolahan dan boleh menyebabkan mereka ketinggalan dalam pelajaran.
Penyakit ini berlaku disebabkan tindak balas alahan pada struktur konjunktiva mata. Tindakbalas alergi ini boleh disebabkan oleh pendedahan kepada:
* debunga
* habuk
* makanan-makanan tertentu (seperti makanan laut, telur dan sebagainya)
* bulu binatang
* asap rokok
* bahan kimia klorin
* minyak wangi dan kosmetik
* lain-lain punca
Penyakit ini bukanlah disebabkan oleh jangkitan kuman dan ia tidak berjangkit sama sekali. Pesakit yang mengalami masalah alergi mata kerap kali turut mengalami penyakit-penyakit alergi lain seperti asma, rhinitis (resdung) dan penyakit alergi kulit.
Kebanyakan pesakit-pesakit juga turut mempunyai sejarah keluarga atau ahli keluarga yang lain turut mengalami penyakit-penyakit alergi seperti yang dinyatakan di atas.
Gejala Klinikal
Penyakit ini biasanya berlaku pada kedua-dua belah mata. Pesakit biasanya mengadu mata merah, gatal pada mata dan mata berair.
Kelopak mata pesakit juga kadang-kala turut membengkak sedikit. Penyakit ini biasanya tidak mengganggu ketajaman penglihatan kecuali dalam kes-kes yang teruk dan serius.
Tanda-tanda klinikal ini kerap kali berlaku dan biasanya mengambil masa selama tujuh hingga 10 hari untuk pulih.
Ia juga boleh berulang pada bila-bila masa sahaja dan biasanya agak kerap berlaku dalam kes-kes yang serius.
Bagi kes yang serius, pesakit boleh mengalami keadaan mata yang sangat merah dan tidak selesa terutamanya apabila terkena cahaya matahari.
Lapisan konjunktiva pada kelopak mata biasanya membengkak (giant papillae).
Keadaan ini sekiranya berterusan boleh menyebabkan luka pada lapisan kornea mata (shield ulcer).
Luka pada lapisan kornea akan menyebabkan pesakit berasa sangat tidak selesa, mata berair dan berasa lebih selesa apabila memejam mata.
Luka ini perlu mendapat rawatan yang sewajarnya bagi mengelakkan berlakunya jangkitan kuman pada mata.
Pencegahan dan Rawatan
Ibubapa dinasihati supaya mengenalpasti punca-punca alergi kepada anak-anak mereka. Punca-punca alergi ini berbeza dari satu individu ke individu yang lain.
Seterusnya, elakkan anak-anak terdedah secara langsung kepada punca-punca tersebut. Langkah pencegahan ini penting bagi mengelakkan situasi yang kronik dan keadaan mata yang tidak selesa untuk tempoh masa yang lama.
Contohnya, sekiranya bulu kucing menyebabkan gejala alergi mata terjadi ke atas anak anda, jangan membela kucing sebagai binatang peliharaan di rumah.
Jangan menggunakan pewangi tertentu sekiranya bahan tersebut menyebabkan mata anak anda menjadi lebih merah, berair dan gatal-gatal.
Dapatkan pemeriksaan awal di klinik yang mempunyai kepakaran dalam bidang oftalmologi (mata), sama ada di klinik kerajaan atau klinik swasta.
Pengesahan diagnosis yang tepat oleh doktor mata adalah penting bagi menentukan anak anda mengalami penyakit alergi mata dan bukannya penyakit-penyakit mata lain yang mungkin boleh menjejaskan keupayaan anak anda melihat kelak.
Ubat titis mata biasanya digunakan untuk merawat penyakit ini. Terdapat pelbagai jenis ubat titis mata untuk rawatan penyakit alergi mata di pasaran dan preskripsi ubat akan diberikan oleh doktor mata berdasarkan keadaan mata pesakit.
Rawatan susulan dengan doktor pakar mata yang konsisten (berkala) dan penggunaan ubat titis mata secara teratur amat penting bagi mengawal gejala-gejala klinikal yang disebutkan di atas.
Ibu bapa dilarang daripada membeli ubat titis mata dari farmasi tanpa preskripsi doktor untuk merawat penyakit alergi mata.
Sesetengah ubat, contohnya ubat titis steroid, hanya boleh digunakan untuk tempoh masa yang singkat dengan pengawasan rapi oleh doktor mata.
Pesakit dikhuatiri menggunakan ubat tersebut untuk tempoh masa yang panjang dan berulang-ulang tanpa merujuk kepada doktor mata.
Keadaan ini boleh menyebabkan tekanan dalam bola mata meningkat dan berlaku kerosakan pada saraf mata, yang dikenali sebagai penyakit glaukoma akibat penggunaan ubat steroid.
Situasi ini boleh menyebabkan pesakit menjadi buta sekiranya tidak dikesan dan dirawat pada peringkat awal.
Pesakit yang mengalami gejala alergi mata juga tidak digalakkan menggunakan kanta lekap. Penggunaan kanta lekap biasanya akan menyebabkan gejala-gejala alergi mata sukar dikawal dengan penggunaan ubat titis mata.
Pesakit yang mengalami masalah alergi mata dinasihatkan menggunakan cermin mata bagi mengatasi masalah rabun penglihatan.
Ditulis oleh:
Dr Shatriah Ismail
Pensyarah Kanan dan Pakar Oftalmologi,
Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Kampus Kesihatan Kelantan
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my
Monday, June 02, 2008
Merokok Menyebabkan Buta
Walaubagaimanapun, masyarakat kita kurang didedahkan mengenai risiko buta di kalangan individu yang merokok.
Dalam satu kajian yang dijalankan di kalangan remaja Britain berusia antara 16 hingga 18 tahun, 30 peratus mengetahui bahaya merokok kepada jantung.
Namun, 90 peratus daripada remaja-remaja tersebut tidak mengetahui tentang kesan merokok kepada mata.
Mereka bagaimanapun mengakui lebih bimbang kepada kemungkinan menjadi buta akibat merokok melebihi risiko barah paru-paru, masalah jantung dan strok.
Merokok boleh menyebabkan buta akibat penyakit katarak, penyakit degenerasi makula (age related macula degeneration atau ARMD), saluran darah arteri tersumbat pada lapisan retina (central retinal artery occlusion) dan saluran darah vena tersumbat pada lapisan retina (central retinal vein occlusion).
Penyakit Katarak
Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit katarak merupakan punca utama masalah buta di seluruh dunia.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, lebih 18,000 orang pesakit negara ini menjalani pembedahan katarak pada tahun 2004 sahaja.
Angka ini tidak termasuk mereka yang mendapatkan pembedahan di klinik-klinik atau hospital-hospital swasta. Bilangan ini juga dijangka semakin meningkat setiap tahun.
Katarak sememangnya berlaku akibat peningkatan faktor usia. Tetapi, penyelidikan di serata dunia telah mengenal pasti merokok merupakan faktor yang menyumbang kepada berlakunya penyakit katarak.
Mereka yang kuat merokok dan telah merokok untuk tempoh yang lama dikatakan lebih berisiko menjadi buta akibat penyakit katarak.
Individu yang merokok melebihi satu kotak rokok sehari didapati lebih berisiko tinggi untuk menjadi buta akibat penyakit katarak.
Bagi perokok yang merokok kurang dari satu kotak rokok sehari, risiko katarak mereka hanya akan turun dan menyamai risiko katarak seperti individu yang tidak merokok selepas 10 tahun perokok tersebut berhenti merokok.
Pesakit yang mengalami masalah katarak biasanya mengadu kabur penglihatan secara beransur-ansur.
Pada peringkat yang teruk, pesakit mempunyai keupayaan melihat yang sangat terhad. Mereka tidak dapat melihat pada jarak jauh dan hanya boleh melihat objek-objek yang besar pada jarak yang dekat.
Mereka biasanya terpaksa bergantung kepada bantuan orang lain untuk melakukan aktiviti harian seperti makan, minum dan menguruskan keperluan diri.
Tembakau menyebabkan terhasilnya radikal-radikal bebas di dalam mata. Radikal bebas ini menyebabkan kerosakan secara langsung pada struktur kanta mata yang asalnya bersifat jernih.
Ini menyebabkan kanta mata bertukar keruh secara perlahan-lahan. Keadaan ini menghalang cahaya memasuki mata dan menjejaskan imej yang terbentuk pada lapisan retina.
Pesakit yang mengalami penyakit katarak pada peringkat teruk perlu menjalani pembedahan bagi memulihkan penglihatan mereka. Pembedahan perlu dilakukan supaya pesakit tidak terus hidup dalam keadaan yang gelap dan suram.
Berhenti merokok atau tidak merokok sama sekali merupakan satu pilihan yang tepat bagi mengurangkan risiko buta akibat penyakit katarak.
Penyakit Degenerasi Makula
Penyakit degenerasi (kemerosotan) makula merupakan salah satu punca masalah buta di kalangan individu berumur antara 55 hingga 60 tahun di serata dunia.
Sebanyak 3.5 peratus daripada individu berusia antara 40 hingga 80 di kalangan bangsa Melayu di Singapura dilaporkan mengalami masalah ini.
Kaum lelaki merupakan majoriti yang mengalami penyakit ini berbanding kaum wanita.
Kajian di kalangan warga Australia di Sydney juga menunjukkan peratusan yang sama. Walaubagaimanapun, kita masih tidak mempunyai data untuk prevalens (sebaran) penyakit ini di Malaysia.
Penyakit ini juga berlaku akibat faktor peningkatan usia. Namun, para penyelidik telah mengenal pasti hubung kait yang jelas di antara amalan merokok dengan penyakit degenerasi makula.
Mengikut laporan yang diterbitkan dalam salah satu jurnal perubatan antarabangsa pada awal tahun ini, mereka yang merokok pada usia muda dan telah berhenti merokok berisiko lebih tinggi untuk mengalami buta akibat penyakit degenerasi makula berbanding mereka yang tidak merokok.
Dalam satu kajian yang berasingan, mereka yang merokok mempunyai risiko tiga kali ganda lebih tinggi mengalami penyakit ini berbanding individu yang tidak merokok. Penyakit ini juga didapati berlaku 10 tahun lebih awal di kalangan mereka yang merokok.
Pesakit degenerasi makula biasanya mengadu kabur penglihatan pada bahagian tengah dan mengalami kesukaran untuk membaca, menulis, menonton dan memandu.
Keadaan ini bagaimanapun tidak menyebabkan rasa sakit atau kemerahan pada bola mata. Lama-kelamaan pesakit boleh menjadi buta sepenuhnya.
Ubat untuk merawat penyakit ini melibatkan kos yang mahal. Penglihatan pesakit juga sukar dipulihkan sekiranya terdapat parut pada bahagian makula.
Sekiranya ini berlaku, pesakit akan mengalami buta secara kekal dan perkara ini pasti menjejaskan satu kehidupan yang berkualiti dan berwarna-warni.
Penyakit ini boleh dicegah pada peringkat awal. 'Jangan merokok' merupakan langkah pencegahan yang utama dan sepatutnya menjadi amalan kita.
Banyakkan pengambilan sayuran hijau seperti bayam dan sawi. Khasiat sayur-sayuran ini memberi kebaikan kepada salur darah pada lapisan retina.
Senaman sebanyak tiga kali seminggu juga dilaporkan dapat mengurangkan risiko mengalami penyakit ini sebanyak 70 peratus.
Saluran Darah Arteri Tersumbat Pada Lapisan Retina
Saluran darah arteri yang tersumbat pada lapisan retina juga menyebabkan pesakit mengadu kabur penglihatan secara tiba-tiba.
Penyakit ini juga dikenali sebagai 'strok pada mata'. Ia merupakan satu keadaan kecemasan dan perlu diberi rawatan segera bagi mengelakkan pesakit menjadi buta.
Penyakit ini berlaku pada individu yang berusia melebihi 50 tahun dan berkait rapat dengan amalan merokok.
Di Amerika Syarikat, penyakit ini berlaku pada kadar 0.85 bagi setiap 100,000 individu pada setiap tahun. Penyakit ini juga lebih banyak berlaku di kalangan pesakit lelaki berbanding pesakit wanita.
Pesakit biasanya mengalami masalah jantung atau saluran arteri karotid yang sempit selain amalan merokok dan tahap kolesterol yang tinggi.
Darah beku dari jantung atau saluran arteri karotid menyebabkan saluran arteri pada lapisan retina tersumbat secara tiba-tiba.
Ini menyebabkan kekurangan oksigen yang ketara pada lapisan retina dan mengakibatkan mata menjadi buta.
Pesakit boleh menjadi buta secara kekal sekiranya rawatan kecemasan tidak diberikan dalam tempoh empat hingga enam jam yang pertama atau lambat mendapatkan rawatan doktor setelah mengalami gejala-gejala yang disebutkan di atas.
Penyakit ini perlu dicegah sebelum berlaku. Sebanyak 65 peratus pesakit menjadi buta kekal akibat penyakit ini.
Amalkan cara hidup yang sihat. Pesakit perlu mendapatkan rawatan perubatan yang konsisten dan teratur bagi memastikan penyakit jantung dan paras kolesterol berada pada tahap yang terkawal.
Berhentilah merokok atau jangan merokok merupakan asas yang penting untuk mencegah mata anda daripada buta.
Saluran Darah Vena Tersumbat Pada Lapisan Retina
Saluran darah vena pada lapisan retina yang tersumbat menyebabkan pesakit mengadu kabur penglihatan secara tiba-tiba. Pesakit biasanya tidak mengalami gejala sakit atau bola mata yang kemerahan.
Penyakit ini berlaku pada individu yang berusia melebihi 50 tahun dan juga mempunyai hubung kait dengan amalan merokok.
Selain itu, pesakit juga turut mengalami masalah perubatan seperti kencing manis, darah tinggi dan paras kolesterol darah yang tinggi.
Amalan merokok menyebabkan saluran vena mengalami kecederaan dan mengakibatkan berlaku tindak balas sel-sel darah pada tempat tersebut. Keadaan ini menyebabkan saluran vena menjadi sempit dan mudah tersumbat.
Saluran vena yang tersumbat ini menyebabkan kekurangan peredaran darah pada keseluruhan lapisan retina. Ini diikuti dengan terjadinya pendarahan dan bengkak pada lapisan retina.
Keadaan ini menyebabkan pesakit menjadi buta. Rawatan laser ditawarkan dalam kes-kes tertentu yang melibatkan bengkak dan timbul salur darah baru pada lapisan retina.
Sekali lagi, rawatan pencegahan amat penting. Dapatkan rawatan moden bagi memastikan penyakit kencing manis dan darah tinggi terkawal, serta pengawalan paras kolesterol yang optimum. Tinggalkan tabiat merokok yang terbukti menyumbang kepada masalah buta.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my
Saturday, April 26, 2008
Gejala Mata Malas Pada Kanak-Kanak
| |
| PEMERIKSAAN mata dan preskripsi cermin mata pada peringkat awal tumbesaran anak dapat mengelakkan berlakunya gejala mata malas selepas anak meningkat dewasa kelak. |
Gejala mata malas merupakan antara punca utama seorang kanak-kanak tidak berupaya melihat dengan baik.
Gejala mata malas dikenali sebagai ambylopia dalam bahasa perubatan. Keadaan ini berlaku disebabkan kanak-kanak melihat imej yang kabur sekiranya mengalami masalah rabun, juling atau keabnormalan pada tisu mata.
Imej yang kabur ini menyebabkan perkembangan otak turut terjejas.
Input visual yang dilihat akan dihantar ke otak bagi membolehkan kanak-kanak mengenali sesuatu objek.
Sekiranya proses ini terganggu dan tidak dirawat, kanak-kanak tidak dapat mengenali objek yang dilihat kerana bahagian otak yang berperanan mengawal deria penglihatan tidak berfungsi dengan baik. Fenomena ini dikenali sebagai gejala mata malas.
Gejala mata malas ini berlaku pada sebelah mata atau kedua-dua belah mata pesakit. Ia perlu dikesan pada peringkat awal dan pesakit dinasihatkan menjalani rawatan yang sewajarnya sebaik sahaja diagnosis dibuat oleh doktor pakar mata.
Rawatan awal dan konsisten amat penting bagi memastikan keupayaan kanak-kanak melihat berada pada tahap yang baik.
Punca dan Tanda-Tanda Klinikal
Antara punca gejala mata malas yang dikenal pasti ialah;
* masalah mata rabun
* perbezaan kuasa refraktif mata
* mata juling
* keabnormalan pada tisu mata
Masalah Mata Rabun
Mata yang rabun disebabkan oleh masalah hypermetropia, myopia dan astigmatism. Keadaan ini menyebabkan gejala mata malas berlaku pada kanak-kanak sekiranya tidak dirawat dengan berkesan.
Hypermetropia ialah satu keadaan apabila pesakit mengalami kesukaran untuk melihat dengan jelas pada jarak yang dekat.
Keadaan ini dikenali sebagai rabun dekat dan boleh dikesan seawal umur lima hingga enam tahun. Mereka mungkin menulis, membaca dan menonton televisyen pada jarak yang sangat dekat.
Kanak-kanak ini perlu menjalani pemeriksaan mata yang menyeluruh oleh doktor pakar mata. Sekiranya keadaan ini tidak dirawat, kanak-kanak ini akan mengalami kesukaran terutamanya ketika membaca dan menulis sebaik sahaja mereka memasuki alam persekolahan.
Myopia ialah satu keadaan dimana pesakit berupaya melihat pada jarak dekat dengan jelas tetapi mengalami kesukaran melihat pada jarak yang jauh.
Keadaan ini dikenali sebagai rabun jauh dan boleh dikesan pada usia lapan hingga sembilan tahun. Mereka biasanya mula mengadu tidak dapat melihat dengan jelas perkara yang ditulis oleh guru di papan hitam atau papan putih yang berada di hadapan kelas sekiranya mereka duduk dalam barisan belakang.
Kanak-kanak yang mengalami masalah rabun jauh (myopia) kurang berisiko mengalami gejala mata malas berbanding kanak-kanak yang mengalami masalah rabun dekat (hypermetropia).
Ini disebabkan kanak-kanak yang mengalami masalah rabun jauh tidak menghadapi masalah penglihatan pada jarak yang dekat. Mereka boleh membaca dan menulis tanpa sebarang kesulitan.
Astigmatism ialah keadaan struktur kornea atau permukaan mata yang berlekuk dan tidak sekata. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak melihat imej yang tidak jelas dan berpecah.
Sekiranya tidak dikesan dan dirawat, kanak-kanak yang mengalami masalah astigmatism akan mengalami gejala mata malas.
Kanak-kanak yang mengalami masalah rabun dekat (hypermetropia), rabun jauh (myopia) atau astigmatism mengalami gejala mata malas pada kedua-dua belah mata.
Perbezaan Kuasa Refraktif Mata
Keadaan ini dikenali sebagai anisometropia atau satu fenomena di mana terdapat perbezaan kuasa refraktif di antara mata kanan dan mata kiri seseorang pesakit.
Dalam erti kata lain, kanak-kanak mengalami masalah rabun seperti yang dinyatakan di atas, sama ada rabun dekat (hypermetropia), rabun jauh (myopia) atau astigmatism, mempunyai kuasa cermin mata yang berbeza di antara mata kanan dan mata kiri pesakit.
Mata yang memerlukan kuasa cermin mata yang lebih berbanding mata yang satu lagi akan melihat imej yang kabur sekiranya keadaan ini tidak dirawat.
Kanak-kanak yang mengalami situasi ini, akan mempunyai tahap keupayaan penglihatan yang tidak sama pada kedua-dua belah mata.
Pesakit akan melihat imej yang kabur pada sebelah mata sahaja dan fenomena ini dikenali sebagai mata malas.
Mata Juling
Keadaan mata juling yang berlaku secara konsisten pada sebelah mata menyebabkan berlakunya gejala mata malas.
Mata yang juling, sama ada juling masuk atau juling keluar, sebenarnya tidak melihat imej yang jelas. Keadaan ini menyebabkan mata yang juling mengalami gejala mata malas.
Keadaan mata yang juling silih berganti mempunyai risiko gejala mata malas yang sangat rendah.
Juling silih berganti ialah satu fenomena di mana hanya sebelah mata yang kelihatan juling dan sebelah mata lagi kelihatan lurus pada satu-satu masa.
Dalam tempoh yang singkat, mata yang mulanya juling boleh berkeadaan lurus dan mata yang sebelah lagi pula mengalami juling.
Pesakit sebegini biasanya tidak mengalami gejala mata malas kerana dia berupaya melihat dengan jelas menggunakan hanya satu mata pada setiap masa.
Keabnormalan Pada Tisu Mata
Sebarang keabnormalan pada tisu mata pada struktur kelopak mata, kornea, kanta mata, vitreous dan retina akan menyebabkan gangguan imej yang dilihat.
Masalah kelopak mata yang jatuh (ptosis) dan sebarang kesan parut pada kornea mata sama ada akibat kecederaan atau kecacatan asal menyebabkan input visual yang kurang jelas dihantar oleh saraf mata ke otak.
Penyakit katarak kongenital, gangguan struktur vitreous dan retina juga menyebabkan masalah yang sama.
Sekiranya keabnormalan seperti yang dinyatakan di atas tidak dirawat, kanak-kanak terbabit akan hanya melihat imej yang kabur.
Lama-kelamaan, otak akan mengabaikan imej kabur tersebut dan menyebabkan keupayaan melihat kanak-kanak tersebut menjadi sangat terhad.
Komplikasi
Perkembangan visual penglihatan dan otak yang mengawal deria penglihatan bermula seawal usia empat hingga enam bulan.
Usia dua hingga enam tahun pula sangat kritikal untuk perkembangan deria penglihatan. Sebarang keabnormalan deria penglihatan yang dikesan sebelum usia enam tahun berpotensi tinggi untuk dirawat bagi membolehkan kanak-kanak melihat dengan baik, sekiranya mendapat rawatan yang sewajarnya.
Sekiranya gejala mata malas ini dikesan selepas usia 11 hingga 12 tahun, potensi untuk melihat dengan kadar yang baik amatlah terhad.
Perkara ini dikhuatiri mengganggu proses pembelajaran dan fokus masa depan kanak-kanak terbabit.
Kaedah Rawatan
Kanak-kanak yang mengalami gejala klinikal seperti yang dinyatakan di atas perlu menjalani pemeriksaan yang menyeluruh oleh doktor pakar mata.
Pemeriksaan ini penting bagi memastikan diagnosis yang tepat dan mengenal pasti punca berlakunya gejala mata malas.
Kanak-kanak yang mengalami masalah rabun (sama ada rabun dekat, rabun jauh atau astigmatism) dan perbezaan kuasa refraktif (anisometropia) juga perlu menjalani pemeriksaan refraksi mata oleh pegawai optometris yang terlatih.
Pemeriksaan refraksi mata akan menentukan kuasa cermin mata yang diperlukan oleh para pesakit.
Kanak-kanak ini akan dinasihatkan menggunakan cermin mata bagi membantu memulihkan keupayaan penglihatan mereka.
Walau bagaimanapun, mereka perlu menjalani pemeriksaan mata secara berkala bagi memastikan tahap penglihatan dan kuasa cermin mata mereka berada pada tahap yang optimum.
Sekiranya terdapat perbezaan tahap penglihatan di antara kedua-dua belah mata selepas menggunakan cermin mata, kanak-kanak terbabit perlu menjalani rawatan oklusi mata.
Doktor pakar mata biasanya akan menasihati kanak-kanak supaya menjalani rawatan oklusi mata di rumah.
Rawatan oklusi ialah satu bentuk rawatan yang didapati berkesan untuk merawat gejala mata malas.
Ia melibatkan proses menutup sebelah mata yang mempunyai tahap penglihatan yang lebih baik dengan menggunakan penampal khas.
Rawatan ini memakan masa selama beberapa jam seperti yang disyorkan oleh doktor pakar. Tujuan rawatan oklusi ialah menggalakkan kanak-kanak terbabit mula menggunakan mata yang kurang jelas dan otak belajar menerima input visual dari mata tersebut.
Rawatan oklusi mengambil masa, memerlukan kerjasama kanak-kanak terbabit dan juga komitmen yang tinggi oleh ibu bapa atau penjaga. Ia perlu dilakukan secara berterusan sehingga mata yang malas menunjukkan tahap penglihatan yang setara dengan mata yang sebelah lagi.
Pesakit yang mengalami masalah mata juling dan keabnormalan pada tisu mata perlu menjalani rawatan yang sewajarnya terlebih dahulu.
Selepas menjalani rawatan yang khusus untuk masalah juling dan keabnormalan pada tisu mata, barulah rawatan oklusi mata boleh diadakan secara sistematik.
Adalah penting supaya pesakit dapat mengikuti rawatan susulan mengikut jadual yang ditetapkan oleh doktor pakar mata.
Sepanjang tempoh rawatan, doktor pakar mata akan memantau tahap penglihatan pada kedua-dua belah mata para pesakit.
Rawatan oklusi biasanya ditamatkan setelah doktor pakar mata berpuas hati dengan tahap penglihatan pesakit.
Salah Anggapan Masyarakat
Masyarakat amnya kurang mendapat pendedahan mengenai gejala mata malas dan kaedah-kaedah rawatannya.
Gejala mata malas boleh dirawat sepenuhnya sekiranya dikesan pada peringkat awal dan ibu bapa mengambil sikap yang proaktif sepanjang tempoh rawatan diadakan.
Sikap menunggu sehingga kanak-kanak membesar terlebih dahulu perlu dihindari. Kanak-kanak ini akan membesar dengan tahap penglihatan yang sangat rendah dan terhad sekiranya mereka tidak menjalani rawatan yang sewajarnya secepat mungkin.
Peranan Ibu bapa
Para ibu bapa dan penjaga memainkan peranan yang sangat penting dalam diagnosis awal dan rawatan yang tepat untuk penyakit ini.
Segeralah membawa anak anda berjumpa doktor pakar mata sekiranya anda mengesyaki mereka mengalami gejala mata malas.
Rawatan yang awal dan komitmen ibu bapa yang tinggi amat penting bagi membolehkan kanak-kanak yang mengalami gejala mata malas berupaya melihat kembali dengan baik dan jelas.
Mereka akan memerlukan keupayaan penglihatan yang optimum terutamanya menjelang alam persekolahan.
Ditulis oleh:
Dr Shatriah Ismail
Pensyarah Kanan dan Pakar Oftalmologi,
Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Kampus Kesihatan Kelantan
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Wednesday, March 05, 2008
Penyakit Katarak Kalangan Warga Emas
Kanta mata asal yang jernih telah bertukar secara perlahan-lahan menjadi keruh dan menyebabkan pandangan menjadi kabur.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit katarak yang disebabkan oleh faktor peningkatan usia menyumbang kepada 48 peratus kes-kes buta di seluruh dunia dan jumlah ini melibatkan seramai 18 juta penduduk dunia.
Senario yang sama juga turut berlaku di negara ini. Ramai kalangan warga emas yang mendapatkan rawatan di klinik-klinik pakar mata di hospital kerajaan atau swasta mengalami masalah katarak.
Penyakit katarak yang disebabkan faktor peningkatan usia biasanya berlaku pada individu yang berusia melebihi umur 60 tahun. Penyakit ini berlaku secara perlahan-lahan dan biasanya melibatkan kedua-dua belah mata. Penyakit ini juga berlaku tanpa mengira jantina lelaki atau perempuan.
Pesakit kencing manis, pendedahan kepada sinaran cahaya ultraviolet, merokok dan pengambilan alkohol meningkatkan risiko penyakit ini.
Tanda-tanda
Penyakit katarak akibat peningkatan faktor usia berlaku secara perlahan-lahan.
Antara tanda-tanda awal ialah penglihatan jauh menjadi kabur dan kerap menukar cermin mata.
Penyakit ini tidak menyebabkan rasa sakit pada bola mata ataupun menyebabkan bola mata menjadi merah.
Pesakit yang mengalami penyakit katarak pada peringkat yang hampir matang akan mengalami gangguan penglihatan yang ketara terutamanya pada jarak yang dekat.
Pesakit akan mengalami kesukaran untuk melihat ketika membaca, menulis dan memandu. Pesakit yang mengalami penyakit katarak matang pada kedua-dua belah mata pula akan mengalami kesukaran untuk menjalani aktiviti harian lain seperti makan, minum dan menjaga kebersihan diri.
Warga emas dengan masalah ini sebenarnya akan mengalami waktu yang sangat sukar kerana mereka memerlukan bantuan orang lain sepanjang masa untuk menguruskan diri sendiri.
Komplikasi Katarak Matang
Katarak yang matang boleh menyebabkan berlakunya keadaan yang dikenali sebagai glaukoma sekunder. Pesakit yang mengalami keadaan ini biasanya mengalami sakit yang kuat pada bola mata secara tiba-tiba.
Bola mata juga menjadi merah dan pesakit mungkin mengalami gejala seperti loya, muntah dan sakit kepala.
Keadaan ini berlaku disebabkan oleh gangguan kepada aliran cecair akuas di dalam mata yang disebabkan oleh katarak yang matang.
Tekanan di dalam bola mata menjadi tinggi dan pesakit perlu menjalani pembedahan kecemasan katarak sekiranya keadaan ini berlaku.
Pesakit dinasihatkan supaya menjalani pembedahan katarak mengikut nasihat yang diberikan oleh doktor pakar mata dan tidak bersikap ‘tunggu dulu’ sehingga keadaan glaukoma sekunder ini berlaku.
Potensi pesakit untuk melihat semula selepas pembedahan adalah jauh lebih baik sekiranya pembedahan katarak dilakukan secara elektif dan terancang berbanding pesakit yang hanya menjalani pembedahan setelah mengalami keadaan glaukoma sekunder.
Kaedah rawatan
Warga emas yang mengalami tanda-tanda seperti yang dinyatakan dinasihatkan berjumpa doktor pakar mata, sama ada di hospital kerajaan atau swasta. Pakar mata akan menjalankan pemeriksaan mata yang menyeluruh bagi memastikan diagnosis yang tepat ke atas pesakit.
Bagi pesakit yang mengalami penyakit katarak pada peringkat awal, biasanya akan disarankan menggunakan cermin mata bagi membantu penglihatan pesakit.
Pesakit mungkin memerlukan pemeriksaan mata secara berkala. Perkara ini bergantung kepada keadaan mata dan tahap penyakit katarak seseorang pesakit.
Warga emas yang didapati mengalami keupayaan penglihatan yang terjejas teruk akibat penyakit katarak, biasanya disarankan oleh doktor pakar mata supaya menjalani pembedahan katarak.
Para pesakit dinasihatkan supaya tidak menunggu sehingga penyakit katarak mencapai tahap matang, barulah mereka bersedia untuk menjalani pembedahan.
Pembedahan Katarak Secara Moden
Pembedahan katarak secara moden adalah selamat dan kemudahan ini disediakan di hospital-hospital kerajaan dan hospital swasta yang menawarkan kepakaran oftalmologi di seluruh Malaysia.
Kemudahan dan kepakaran yang ditawarkan di negara kita juga adalah setanding dengan negara-negara luar. Pembedahan katarak boleh dilakukan secara bius setempat atau bius am, bergantung kepada keperluan pesakit.
Pembedahan
Pesakit yang turut mengalami masalah perubatan yang lain seperti kencing manis, darah tinggi, asma, kegagalan buah pinggang dan masalah jantung perlu menjalani pemeriksaan fizikal secara menyeluruh bagi memastikan tahap kesihatan mereka memuaskan sebelum menjalani pembedahan katarak.
Semasa pembedahan katarak, kanta mata yang keruh akan dikeluarkan dan ia perlu diganti dengan kanta mata tiruan. Kanta mata tiruan akan dimasukkan ke dalam bola mata pesakit bagi menggantikan fungsi kanta mata yang asal dan membantu memulihkan keupayaan penglihatan setiap pesakit.
Pembedahan katarak secara ‘phacoemulsification’ boleh dilakukan ke atas pesakit yang belum mencapai tahap katarak matang.
Luka pada bola mata pesakit yang menjalani pembedahan secara teknik ini sangat kecil dan mungkin tidak memerlukan sebarang jahitan.
Keadaan ini membolehkan luka tersebut sembuh dengan kadar yang cepat dan kemungkinan berlakunya astigmatism (lekuk kornea) selepas pembedahan adalah sangat rendah.
Pesakit boleh menjalani aktiviti harian asalkan di dalam tempoh enam minggu hingga dua bulan selepas pembedahan.
Pesakit yang mengalami katarak pada peringkat matang biasanya perlu menjalani teknik pembedahan yang sedikit berbeza.
Teknik pembedahan ini dikenali sebagai pembedahan katarak secara ‘extracapsular’. Pembedahan secara ini melibatkan luka yang lebih besar berbanding luka yang dilakukan semasa pembedahan secara ‘phacoemulsification’.
Luka ini perlu dijahit dan mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.
Pesakit biasanya dibenarkan menjalani aktiviti harian yang asal selepas tempoh dua atau tiga bulan.
Terdapat juga beberapa salah tanggapan mengenai rawatan katarak di kalangan warga emas dan anggota masyarakat kita seperti;
* Pembedahan katarak menyebabkan pesakit menjadi buta
* Pembedahan katarak tidak memerlukan penggunaan kanta tiruan
* Pembedahan katarak hanya boleh dilakukan setelah katarak mencapai tahap matang sahaja.
Pesanan penting
Berjumpalah doktor pakar mata untuk mendapatkan nasihat sekiranya ibu bapa, kaum keluarga atau warga emas yang anda kenali mengalami tanda-tanda katarak seperti yang dinyatakan.
Penyakit ini tidak seharusnya menyebabkan seseorang individu menjalani kehidupan yang kabur dan sukar.
Pastikan juga ibu bapa anda menghabiskan usia-usia emas mereka dengan kehidupan yang berkualiti dan bermakna.
Langkah-langkah pencegahan
Setakat ini tiada langkah pencegahan yang khusus untuk penyakit ini memandangkan puncanya dikenal pasti berlaku akibat peningkatan faktor usia.
Bagaimanapun, para penyelidik dan doktor menyarankan pesakit supaya berhenti merokok, mengelakkan pengambilan alkohol dan mengurangkan pendedahan kepada sinar ultraviolet bagi memperlahankan kadar proses katarak berlaku.
Pesakit kencing manis dan darah tinggi juga dinasihatkan supaya memastikan tahap kesihatan mereka terkawal dan memuaskan.
Ditulis oleh:
Dr Shatriah Ismail
Pensyarah Kanan dan Pakar Oftalmologi,
Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Kampus Kesihatan Kelantan
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/