Senarai Doktor Pakar Yang Terdapat di Malaysia dan Bidang Kepakaran Mereka dan Soal Jawab Permasalahan Yang Dihadapi Oleh Pesakit. Pakar Bedah, Pakar Bius, Pakar Oftalmologi, Pakar Ortopedik, Pakar Otorinolaringologi, Pakar Sakit Puan, Pakar Sakit Tuan,Pakar Traumatologi, Pakar Kanak-Kanak, Pakar Sakit Hidung, Telinga & Mulut (List of Specialist Doctor in Malaysia and Daily Health Information for Malaysian)
Peminat Setia Doktor Pakar
Wednesday, May 11, 2011
Tua Tidak Semestinya Sakit
Persoalannya, mengapa isu tua adalah isu yang enggan dibicarakan secara terbuka?
Tidak lain tidak bukan kerana ia bersangkut-paut dengan tahap kesihatan.
Penyakit membatasi kehidupan yang harmoni. Namun sejauh manakah rakyat Malaysia berasa tenang tentang kesihatan diri masing-masing?
Laporan Kesihatan dan Kesejahteraan Malaysia 2010 oleh Philips menemui jawapannya, yang secara kesimpulan menunjukkan bahawa rakyat di negara ini berpuas hati dengan tahap kesihatan dan kesejahteraan mereka.
Memang tidak disangka kerana skor kesihatan yang dicatat mencapai sehingga 71 peratus, yang merupakan tertinggi di kalangan negara-negara Asia Pasifik, bagaimanapun perasaan seronok dan yakin dengan kesihatan mereka ini merosot terus apabila mencecah usia 65 tahun dan ke atas.
Memegang status sebagai warga emas sekali gus menjadikan mereka tidak lagi yakin untuk beroleh kesihatan yang baik.
Dua perkataan, gemuk dan penuaan menjadi igauan golongan warga emas dan sudah tentu banyak lagi penyakit yang boleh terjadi daripada dua gejala ini.
Dalam kajian tersebut, golongan yang berusia 65 tahun dan ke atas menganggap bahawa tahap penglihatan mereka makin merosot, tahap kolesterol makin tinggi, sakit sendi, kencing manis dan kurang pendengaran antara penyakit yang akan mengancam kesihatan mereka dalam tempoh lima tahun akan datang.
Kegagalan mengambil langkah pencegahan menyebabkan kelewatan diagnosis dan rawatan. Ia seterusnya meningkatkan kos penjagaan kesihatan bagi individu terbabit.
Bilangan warga tua di Malaysia, mengikut laporan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia Pasifik (Escap) telah meningkat dua kali ganda kepada hampir 1.4 juta orang, turut memburukkan lagi keadaan.
"Indeks Philips merupakan barometer sosial yang membantu kami memahami dengan lebih mendalam lagi akan perasaan orang ramai terhadap kesihatan dan kesejahteraan mereka," ujar Lee Weng Siong, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Philips Malaysia.
Katanya, pengetahuan ini membolehkan Philips memahami tanggapan dan tingkah laku pengguna berkaitan kesihatan dan juga langkah yang boleh diambil bagi membendung, merawat atau mengatasinya.
Membimbangkan
Dalam kajian tersebut juga mendapati, meskipun permasalahan kesihatan yang berkaitan dengan berat badan dianggap sebagai satu ancaman, hanya satu daripada tiga rakyat Malaysia menganggap mereka mempunyai berat badan berlebihan.
Lebih dahsyat golongan ini tidak mempedulikan keadaan tersebut walau usia mereka makin meningkat.
Menurut laporan tersebut, tiga perempat daripada rakyat Malaysia yang berusia 55 tahun ke atas langsung tidak pernah mencuba untuk mengurangkan berat badan mereka.
Ia menunjukkan perbezaan jurang di antara tanggapan dan kenyataan yang sebenar, di mana data menunjukkan bahawa kegemukan merupakan permasalahan yang semakin membimbangkan di Malaysia.
Hasil laporan juga mendapati 29 peratus warga Malaysia mempunyai berat badan berlebihan dan 14 peratus mengalami obesiti.
Ditulis oleh: Noor Fazrina Kamal
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
Sunday, March 16, 2008
Forum Awam Sempena Bulan ARMD dan Masalah Penglihatan
Kemerosotan Makular Berkaitan Usia (ARMD) merupakan antara punca kemerosotan penglihatan dan menjadi buta di kalangan warga emas.
ARMD adalah penyakit kronik mata yang dikaitkan dengan peningkatan usia yang secara perlahan-lahan mengurangkan ketajaman dan penumpuan penglihatan.
Pesakit yang mengalami kemerosotan penglihatan atau menjadi buta juga pasti mengalami kualiti hidup yang lebih rendah akibat gangguan kepada aktiviti harian dan kebolehan melakukan kerja-kerja tertentu.
Bersempena dengan itu, Hospital Mata Kebangsaan Tun Hussein Onn (THONEH) mendedikasikan bulan Mac tahun ini untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang ARMD supaya penjagaan kesihatan mata dijadikan antara keutamaan bersama penjagaan kesihatan fungsi badan yang lain.
THONEH juga akan mengadakan satu forum khas pada 22 Mac ini (Sabtu) untuk mendedahkan maklumat penjagaan kesihatan mata dan kemungkinan hilangnya penglihatan jika tidak dijaga dengan baik.
Forum berkenaan akan disampaikan oleh Pakar Runding Oftalmologi, Dr. Gayatri Devi bermula pukul 2 petang di Auditorium Bangunan Institut Oftalmologi Kebangsaan, THONEH, tingkat 5, 2 Lorong Utara B, Petaling Jaya.
Kemasukan adalah percuma dan orang ramai dijemput hadir untuk menambah pengetahuan tentang penjagaan kesihatan mata.
Selain itu peserta yang melebihi umur 50 tahun juga ditawarkan pemeriksaan mata secara percuma, bergantung kepada terma dan syarat.
Untuk maklumat lanjut atau untuk mengesahkan kehadiran, sila e-mel ke marketing.pr@thoneh.com atau appointment@thoneh.com, atau hubungi Patrina di talian 03-77181564, Azreena dan Zura di talian 03-79561511 sambungan 3521 atau 3522.
Wednesday, March 05, 2008
Penyakit Katarak Kalangan Warga Emas
Kanta mata asal yang jernih telah bertukar secara perlahan-lahan menjadi keruh dan menyebabkan pandangan menjadi kabur.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit katarak yang disebabkan oleh faktor peningkatan usia menyumbang kepada 48 peratus kes-kes buta di seluruh dunia dan jumlah ini melibatkan seramai 18 juta penduduk dunia.
Senario yang sama juga turut berlaku di negara ini. Ramai kalangan warga emas yang mendapatkan rawatan di klinik-klinik pakar mata di hospital kerajaan atau swasta mengalami masalah katarak.
Penyakit katarak yang disebabkan faktor peningkatan usia biasanya berlaku pada individu yang berusia melebihi umur 60 tahun. Penyakit ini berlaku secara perlahan-lahan dan biasanya melibatkan kedua-dua belah mata. Penyakit ini juga berlaku tanpa mengira jantina lelaki atau perempuan.
Pesakit kencing manis, pendedahan kepada sinaran cahaya ultraviolet, merokok dan pengambilan alkohol meningkatkan risiko penyakit ini.
Tanda-tanda
Penyakit katarak akibat peningkatan faktor usia berlaku secara perlahan-lahan.
Antara tanda-tanda awal ialah penglihatan jauh menjadi kabur dan kerap menukar cermin mata.
Penyakit ini tidak menyebabkan rasa sakit pada bola mata ataupun menyebabkan bola mata menjadi merah.
Pesakit yang mengalami penyakit katarak pada peringkat yang hampir matang akan mengalami gangguan penglihatan yang ketara terutamanya pada jarak yang dekat.
Pesakit akan mengalami kesukaran untuk melihat ketika membaca, menulis dan memandu. Pesakit yang mengalami penyakit katarak matang pada kedua-dua belah mata pula akan mengalami kesukaran untuk menjalani aktiviti harian lain seperti makan, minum dan menjaga kebersihan diri.
Warga emas dengan masalah ini sebenarnya akan mengalami waktu yang sangat sukar kerana mereka memerlukan bantuan orang lain sepanjang masa untuk menguruskan diri sendiri.
Komplikasi Katarak Matang
Katarak yang matang boleh menyebabkan berlakunya keadaan yang dikenali sebagai glaukoma sekunder. Pesakit yang mengalami keadaan ini biasanya mengalami sakit yang kuat pada bola mata secara tiba-tiba.
Bola mata juga menjadi merah dan pesakit mungkin mengalami gejala seperti loya, muntah dan sakit kepala.
Keadaan ini berlaku disebabkan oleh gangguan kepada aliran cecair akuas di dalam mata yang disebabkan oleh katarak yang matang.
Tekanan di dalam bola mata menjadi tinggi dan pesakit perlu menjalani pembedahan kecemasan katarak sekiranya keadaan ini berlaku.
Pesakit dinasihatkan supaya menjalani pembedahan katarak mengikut nasihat yang diberikan oleh doktor pakar mata dan tidak bersikap ‘tunggu dulu’ sehingga keadaan glaukoma sekunder ini berlaku.
Potensi pesakit untuk melihat semula selepas pembedahan adalah jauh lebih baik sekiranya pembedahan katarak dilakukan secara elektif dan terancang berbanding pesakit yang hanya menjalani pembedahan setelah mengalami keadaan glaukoma sekunder.
Kaedah rawatan
Warga emas yang mengalami tanda-tanda seperti yang dinyatakan dinasihatkan berjumpa doktor pakar mata, sama ada di hospital kerajaan atau swasta. Pakar mata akan menjalankan pemeriksaan mata yang menyeluruh bagi memastikan diagnosis yang tepat ke atas pesakit.
Bagi pesakit yang mengalami penyakit katarak pada peringkat awal, biasanya akan disarankan menggunakan cermin mata bagi membantu penglihatan pesakit.
Pesakit mungkin memerlukan pemeriksaan mata secara berkala. Perkara ini bergantung kepada keadaan mata dan tahap penyakit katarak seseorang pesakit.
Warga emas yang didapati mengalami keupayaan penglihatan yang terjejas teruk akibat penyakit katarak, biasanya disarankan oleh doktor pakar mata supaya menjalani pembedahan katarak.
Para pesakit dinasihatkan supaya tidak menunggu sehingga penyakit katarak mencapai tahap matang, barulah mereka bersedia untuk menjalani pembedahan.
Pembedahan Katarak Secara Moden
Pembedahan katarak secara moden adalah selamat dan kemudahan ini disediakan di hospital-hospital kerajaan dan hospital swasta yang menawarkan kepakaran oftalmologi di seluruh Malaysia.
Kemudahan dan kepakaran yang ditawarkan di negara kita juga adalah setanding dengan negara-negara luar. Pembedahan katarak boleh dilakukan secara bius setempat atau bius am, bergantung kepada keperluan pesakit.
Pembedahan
Pesakit yang turut mengalami masalah perubatan yang lain seperti kencing manis, darah tinggi, asma, kegagalan buah pinggang dan masalah jantung perlu menjalani pemeriksaan fizikal secara menyeluruh bagi memastikan tahap kesihatan mereka memuaskan sebelum menjalani pembedahan katarak.
Semasa pembedahan katarak, kanta mata yang keruh akan dikeluarkan dan ia perlu diganti dengan kanta mata tiruan. Kanta mata tiruan akan dimasukkan ke dalam bola mata pesakit bagi menggantikan fungsi kanta mata yang asal dan membantu memulihkan keupayaan penglihatan setiap pesakit.
Pembedahan katarak secara ‘phacoemulsification’ boleh dilakukan ke atas pesakit yang belum mencapai tahap katarak matang.
Luka pada bola mata pesakit yang menjalani pembedahan secara teknik ini sangat kecil dan mungkin tidak memerlukan sebarang jahitan.
Keadaan ini membolehkan luka tersebut sembuh dengan kadar yang cepat dan kemungkinan berlakunya astigmatism (lekuk kornea) selepas pembedahan adalah sangat rendah.
Pesakit boleh menjalani aktiviti harian asalkan di dalam tempoh enam minggu hingga dua bulan selepas pembedahan.
Pesakit yang mengalami katarak pada peringkat matang biasanya perlu menjalani teknik pembedahan yang sedikit berbeza.
Teknik pembedahan ini dikenali sebagai pembedahan katarak secara ‘extracapsular’. Pembedahan secara ini melibatkan luka yang lebih besar berbanding luka yang dilakukan semasa pembedahan secara ‘phacoemulsification’.
Luka ini perlu dijahit dan mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.
Pesakit biasanya dibenarkan menjalani aktiviti harian yang asal selepas tempoh dua atau tiga bulan.
Terdapat juga beberapa salah tanggapan mengenai rawatan katarak di kalangan warga emas dan anggota masyarakat kita seperti;
* Pembedahan katarak menyebabkan pesakit menjadi buta
* Pembedahan katarak tidak memerlukan penggunaan kanta tiruan
* Pembedahan katarak hanya boleh dilakukan setelah katarak mencapai tahap matang sahaja.
Pesanan penting
Berjumpalah doktor pakar mata untuk mendapatkan nasihat sekiranya ibu bapa, kaum keluarga atau warga emas yang anda kenali mengalami tanda-tanda katarak seperti yang dinyatakan.
Penyakit ini tidak seharusnya menyebabkan seseorang individu menjalani kehidupan yang kabur dan sukar.
Pastikan juga ibu bapa anda menghabiskan usia-usia emas mereka dengan kehidupan yang berkualiti dan bermakna.
Langkah-langkah pencegahan
Setakat ini tiada langkah pencegahan yang khusus untuk penyakit ini memandangkan puncanya dikenal pasti berlaku akibat peningkatan faktor usia.
Bagaimanapun, para penyelidik dan doktor menyarankan pesakit supaya berhenti merokok, mengelakkan pengambilan alkohol dan mengurangkan pendedahan kepada sinar ultraviolet bagi memperlahankan kadar proses katarak berlaku.
Pesakit kencing manis dan darah tinggi juga dinasihatkan supaya memastikan tahap kesihatan mereka terkawal dan memuaskan.
Ditulis oleh:
Dr Shatriah Ismail
Pensyarah Kanan dan Pakar Oftalmologi,
Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Kampus Kesihatan Kelantan
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Tuesday, March 04, 2008
Hubungan Intim Pada Usia Emas
SOALAN:
Saya berusia awal 60-an dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang kronik seperti diabetes atau tekanan darah tinggi. Saya masih aktif dalam hubungan intim dengan isteri. Saya ada terbaca mengenai pentingnya peredaran yang sihat dengan kualiti ereksi alat kelamin seseorang lelaki, selain faktor kecergasan fizikal. Apakah makanan tambahan bersesuaian yang boleh membantu?
JAWAPAN:
Peredaran darah yang sihat sememangnya perlu untuk membantu kebolehan mencapai ereksi apabila adanya rangsangan seksual. Bekalan darah yang mencukupi juga penting untuk memastikan kualiti ereksi yang lebih baik.
Herba mempunyai sejarah penggunaan sejak sekian lama dalam menangani masalah kesihatan.
Ginko merupakan antara herba tertua yang digunakan dalam sejarah perubatan China dan kini ia semakin popular di Barat kerana kesannya membantu dalam melancarkan lagi peredaran darah dalam tubuh. Ini tentunya sangat berguna dalam memperbaiki masalah yang berkaitan dengan aliran darah yang lemah.
Dalam usaha untuk menceriakan kehidupan berumah tangga, pengambilan gabungan beberapa jenis herba tradisional seperti Horny goat weed, ginseng, Damiana, Withania, Muira puama dan Puncture vine tentunya akan memberi manfaat kesihatan yang lebih baik.
Herba-herba ini juga bersifat adaptogen dan kebanyakannya dianggap sebagai afrodisia di kalangan masyarakat terdahulu. Keberkesanannya menjadikan ia masih kekal sebagai herba yang bagus untuk meningkatkan prestasi seksual.
Berdasarkan ujian yang dijalankan sebelum ini, gabungan herba-herba ini bukan sahaja bermanfaat untuk meningkatkan tenaga dan melegakan kelesuan yang semakin banyak dialami oleh golongan muda kini, tetapi juga membantu menyemarakkan kehidupan berumah tangga bersama pasangan anda.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/